Sektor aeroangkasa peroleh RM5.7b kontrak pembuatan dalam masa kurang 2 tahun - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor aeroangkasa peroleh RM5.7b kontrak pembuatan dalam masa kurang 2 tahun

Sektor aeroangkasa peroleh RM5.7b kontrak pembuatan dalam masa kurang 2 tahun

24 Mei 2023

Sektor aeroangkasa Malaysia memperoleh kontrak pembuatan bernilai RM5.7 bilion untuk mengeluarkan bahagian dan komponen pesawat bagi pelbagai pelanggan global sejak ekonomi dibuka semula secara berperingkat pada lewat 2021.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kementeriannya menjangkakan projek itu akan menyediakan lebih banyak peluang penyetempatan dan rantaian bekalan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan potensi nilai subkontrak sebanyak RM1 bilion.

“Selain itu, lebih 500 pekerjaan berkemahiran tinggi baharu akan diperlukan untuk menyokong projek ini bagi tempoh dua tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Tengku Zafrul berkata, subsektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) menerima minat tinggi daripada pemain tempatan dan asing, untuk mengembangkan perniagaan mereka di negara ini atau menggunakan Malaysia sebagai hab pengembangan mereka di Asia Tenggara.

“Beberapa projek MRO, membabitkan MRO berat dan komponen bernilai RM600 juta sedang dilaksanakan ketika ini.

“Apabila siap kelak, Malaysia akan dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan penyelenggaraan asas, yang mana komponen pesawat tertentu boleh dibaiki dalam negara pada kadar yang lebih kompetitif dan masa pemulihan yang lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, semua pencapaian itu dijangka menyumbang kira-kira 25 peratus hingga 30 peratus peningkatan kepada RM15.3 bilion hasil industri yang diraih pada 2022.

Katanya, kontrak pembuatan aeroangkasa juga akan menjana tambahan 15 peratus hingga 20 peratus eksport bahagiann dan komponen aeroangkasa, yang berjumlah RM6.3 bilion pada 2022.

Tengku Zafrul berkata, kementeriannya sedang membuat perancangan jangka panjang dan meletakkan pemboleh yang sesuai di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu, untuk turut memastikan sasaran Malaysia menjana pendapatan RM55.2 bilion dan 32,000 pekerjaan berkemahiran tinggi berkualiti tinggi dapat dicapai.

Beliau berkata, Kementerian itu juga meluluskan dua projek aeroangkasa bernilai RM146.75 juta, membabitkan pembuatan aeroangkasa dan subsektor MRO pada 2022.

Pada masa hadapan, katanya, agensi di bawah MITI, Perbadanan Industri Aeroangkasa Kebangsaan Malaysia (NAICO), akan membangunkan kerjasama strategik dengan pengeluar peralatan asli untuk meningkatkan rantaian bekalan aeroangkasa Malaysia dan memanfaatkan trend untuk membuat penyumberan luar kontrak aeroangkasa ke rantau Asia Tenggara.

“NAICO, melalui Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Malaysia, akan mengenal pasti dan memupuk PKS tempatan yang berpotensi untuk menjadi juara global, sambil turut membantu mengukuhkan kedudukan negara dalam rantaian bekalan aeroangkasa di seluruh dunia,” katanya. 

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon