Sektor Automatif Memuncak Tahun Ini, Pecah Rekod TIV - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor Automatif Memuncak Tahun Ini, Pecah Rekod TIV

Sektor Automatif Memuncak Tahun Ini, Pecah Rekod TIV

04 Dis 2022

Ia adalah kemuncak tahun yang hebat untuk jualan kereta!

Malaysia kini bersedia mencatat rekod tertinggi dalam jumlah volum industri (TIV) tahun ini, dicetuskan oleh angka tempahan awal yang kukuh dan permintaan yang mampan.

Jualan kereta dan tempahan terkumpul yang direkodkan oleh beberapa jenama pada separuh pertama (H1) 2022 jauh melebihi unjuran awal mereka, hasil daripada persekitaran kadar faedah yang rendah serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) adalah yang paling bersinar, berjaya menjual 127,343 unit pada H1 2022, lonjakan sebanyak 30 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Pembuat kereta itu juga menerima jumlah tempahan melebihi 200,000 unit sepanjang 2022 berikutan pengecualian SST oleh kerajaan.

Ia melaporkan tempahan dalam sehari yang tertinggi yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan 25,100 tempahan diterima pada 30 Jun, 2022, iaitu tarikh akhir untuk inisiatif SST.

Manakala Proton Holdings Bhd merekodkan jumlah jualan sebanyak 60,124 unit pada H1 2022, meningkat 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat kereta nasional itu menerima tempahan yang melonjak sebanyak 300 peratus pada minggu terakhir sebelum pengecualian SST berakhir pada 30 Jun, 2022 berbanding pada minggu biasa.

Prestasi Mantap Separuh Kedua  

Pada 21 Julai, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menaikkan unjuran TIV 2022 sebanyak 5.0 peratus kepada 630,000 unit kereta, berbanding anggaran 600,000 unit sebelum ini, berikutan permintaan terpendam untuk kereta baharu pada separuh pertama.

Semakan menaik oleh MAA bagi unjuran TIV automotif Malaysia 2022 disebabkan terutamanya oleh pemulihan berterusan ekonomi Malaysia selepas pandemik, dan keputusan Kementerian Kewangan untuk melanjutkan tarikh akhir pendaftaran kereta kepada 31 Mac, 2023.

Ini membolehkan pembeli kereta yang telah menempah kenderaan sebelum 30 Jun, 2022 menikmati pengecualian cukai jualan.

Data daripada MAA menunjukkan TIV untuk 10 bulan pertama 2022 (Januari-Oktober) meningkat 50 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada 577,902 unit.

Prestasi TIV pada Januari-Oktober 2022 didorong oleh jualan yang lebih tinggi dalam segmen bukan nasional (+60.5 peratus tahun ke tahun) diterajui oleh jenama Jepun, manakala Perodua dan Proton mencatatkan pertumbuhan TIV sebanyak 44.1 peratus tahun ke tahun.

Perodua mencatatkan sejumlah 222,203 kenderaan awal tahun sehingga kini (YTD) setakat akhir Oktober, meningkat 51.2 peratus daripada 146,951 unit yang dijual dalam tempoh yang sama pada 2021.

Dari awal tahun hingga akhir November, ia menjual 250,795 unit, melepasi sasaran setahun penuh sebanyak 247,800 unit yang diumumkan awal tahun ini, sekali gus merupakan pencapaian jualan tertinggi bagi syarikat itu setakat ini.

Syarikat kereta kompak itu menjangkakan pendaftaran kenderaannya meneruskan momentum optimis sehingga hujung tahun, didorong oleh tiga model utamanya — Bezza, Myvi dan Axia, serta kenderaan pelbagai guna segmen-B iaitu Alza serba baharu.

Proton juga nampaknya ‘terlebih laju’ tahun ini. Pembuat kereta nasional itu menyerahkan 115,366 unit YTD setakat akhir Oktober, mengatasi 114,708 unit yang dicapai untuk keseluruhan 2021, merekodkan peningkatan sebanyak 33.6 peratus setakat ini bagi sepuluh bulan pertama 2022.

Model Saga merupakan produk syarikat paling laris dengan jualan YTD (termasuk eksport) mencecah 45,865 unit sehingga akhir Oktober 2022, diikuti oleh X50 (33,193 unit) dan X70 (15,536 unit).

Proton sebelum ini menyasarkan untuk mendaftarkan sejumlah 150,000 unit kenderaan pada 2022.

Sementara itu, Toyota mengekalkan kedudukan pendahulu untuk jenama bukan nasional dengan penguasaan pasaran sebanyak 13.7 peratus bagi tempoh Januari-Oktober 2022 dan kini mendahului sasaran jualannya sebanyak 80,000 unit pada tahun ini.

Jenama lain seperti Honda, Hyundai, Nissan, Mazda, dan BMW juga melaporkan peningkatan jualan yang menggalakkan dari tahun ke tahun kerana kesan asas yang rendah dan dilaporkan tidak akan menghadapi masalah untuk mencapai sasaran jualan masing-masing tahun ini.

Bagaimanapun, tempahan kenderaan dalam beberapa bulan yang tinggal mungkin lemah berikutan masalah ekonomi makro seperti penyusutan nilai ringgit, kenaikan kadar faedah, kekurangan cip dan komponen yang berterusan, serta tekanan inflasi.

Beberapa jenama kereta mungkin melancarkan model baharu atau model yang dinaik taraf dan menawarkan diskaun akhir tahun bagi memikat hati pengguna, manakala pengeluar peralatan asal mempercepatkan pengeluaran, import dan penghantaran dalam memenuhi pesanan tertunggak yang tinggi.

Penganalisis automotif kekal yakin pada baki bulan terakhir mengenai momentum penghantaran kenderaan yang mampan dan ada yang meramalkan bahawa TIV untuk 2022 mencatatkan rekod tertinggi, jauh lebih baik daripada unjuran TIV MAA sebanyak 630,000 unit.

Firma penyelidikan seperti Kenanga Research mengunjurkan TIV kali ini memecah rekod 2022 kepada 680,000 unit daripada unjuran awalnya sebanyak 650,000 unit, manakala Hong Leong Investment Bank Research menaikkan sasaran TIV 2022 kepada 700,000 unit berbanding 600,000 unit.

Dari segi perspektif, TIV automotif Malaysia berjumlah 508,911 unit pada 2021. Ia menurun sebanyak 12.4 peratus kepada 529,434 unit pada 2020, lebih rendah pada paras prapandemik sebanyak 604,281 unit pada 2019.

Melangkah ke hadapan, kenderaan elektrik (EV) dijangka melatari tema dan pemangkin industri automotif tahun depan dan tahun-tahun seterusnya.

Ini kerana lebih banyak dana dan insentif cukai diperuntukan kepada segmen itu dan teknologi hijau, bagi memenuhi sasaran pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan agenda kelestarian yang dijangka diperkenalkan atau dilanjutkan.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon