Sektor automotif dijangka pulih susulan permintaan kukuh – Firma penyelidikan
25 Mac 2021
MIDF Research mengekalkan saranan ‘positif’ terhadap sektor automotif susulan perkembangan positif membabitkan pemulihannya berbanding prestasi lebih lemah yang dicatat pada Januari lepas.
Dalam nota penyelidikannya pada Khamis, ia berkata prestasi sektor itu pada Januari dijejaskan oleh faktor membabitkan kekangan inventori selepas mencatat suku keempat 2020 yang lebih kukuh selain kekurangan bekalan komponen dan cip di peringkat global.
“Dua faktor pertama itu telah ditangani berikutan keputusan membenarkan aktiviti pembuatan beroperasi semula, termasuk di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, masalah kekurangan cip masih ketara sehingga pertengahan tahun 2021 walaupun impaknya terhad kepada model tertentu di pasaran.
“Selain itu, jumlah kehadiran di bilik-bilik pameran juga menunjukkan peningkatan semula selepas PKP di negeri-negeri tertentu ditamatkan,” katanya.
Menurut MIDF Research, setakat tahun ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) susut 10 peratus kepada 75,621 unit.
Bagaimanapun, data bagi Mac-April dijangkakan meningkat berikutan tamatnya sekatan pergerakan 10 kilometer, operasi penuh Jabatan Pengangkutan Jalan dan pembelian pra-Hari Raya Aidiltri.
Malah, TIV bagi Mac-April 2021 itu mengatasi angka lebih lemah pada tempoh sama tahun lepas (dengan jualan hanya 165 unit pada April 2020) yang terjejas teruk akibat PKP.
Sementara itu, CGS-CIMB dalam nota penyelidikannya, mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif dan menyasarkan TIV 2021 mencecah 580,000 atau 10 peratus lebih tinggi tahun ke tahun berikutan peningkatan jualan diraih Proton (20 peratus tahun ke tahun) dan Perodua (13 peratus tahun ke tahun) yang didorong oleh beberapa pelancaran model baharu.
“Kami berpendapat bahawa permintaan terhadap X50 dan X70 kekal kukuh dengan pihak pengurusan Proton menyatakan pada sesi taklimat keputusan kewangan suku keempat 2020 DRB-Hicom bahawa model-model tersebut mengalami kelewatan tempahan kira-kira 3-4 bulan.
“Perodua pula telah menerima lebih 8,000 tempahan bagi Kenderaan Utiliti Sukan terbaharunya, Ativa. Secara keseluruhannya, kami menjangkakan perkembangan positif ini dapat merangsang pertumbuhan TIV bagi suku kedua 2021 dan tempoh selepas itu,” kata CGS-CIMB.
Sumber: Bernama