Sektor ICT sumbang 23.2 peratus KDNK Malaysia
14 Okt 2022
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menyumbang 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan pertumbuhan 12.1 peratus, menjangkau RM359.3 bilion tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menurutnya, sumbangan 23.2 peratus kepada KDNK itu merangkumi Nilai Tambah Kasar Industri ICT (GVAICT) dengan 14 peratus, dan e-dagang lain-lain industri dengan 9.2 peratus.
“GVAICT meningkat kepada RM217.1 bilion dengan pertumbuhan 7.8 peratus pada 2021, disokong oleh industri pembuatan ICT dan industri perkhidmatan ICT dengan pertumbuhan masing-masing 11.1 peratus dan tujuh peratus,” katanya.
Bagi e-dagang Nilai Tambah Kasar, DOSM berkata sektor itu mencatatkan pertumbuhan 22.7 peratus kepada RM201.1 bilion pada 2021.
Menurutnya, dari segi sumbangan kepada KDNK, e-dagang dalam industri ICT menyumbang kepada 3.8 peratus, manakala e-dagang dalam industri lain menyumbang 9.2 peratus.
DOSM berkata, guna tenaga dalam industri ICT berjumlah 1.21 juta orang pada 2021, dengan industri pembuatan ICT adalah penyumbang utama dengan 35.9 peratus, diikuti perkhidmatan ICT (29.2 peratus) dan perdagangan ICT (21.9 peratus).
Sumber: Bernama