Sektor pembuatan tunjuk isyarat pemulihan
04 Jan 2021
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia IHS Markit meningkat kepada 49.1 pada Disember 2020 daripada 48.4 pada November 2020, yang menunjukkan penambahbaikan dalam sektor pembuatan di negara ini.
Bacaan terkini itu adalah yang tertinggi sejak Ogos 2020, menurut IHS Markit dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, ia berkata gangguan berterusan akibat pandemik COVID-19 menyaksikan banyak syarikat mengalami masalah penyumberan dan penerimaan bahan mentah, sekali gus menyebabkan tempoh penghantaran lebih panjang selain peningkatan mendadak kos input.
IHS Markit berkata, data pada Disember menunjukkan bahawa output dan pesanan baharu kekal perlahan disebabkan permintaan terus terjejas akibat impak pandemik COVID-19.
Permintaan asing bagi barangan buatan Malaysia turut menguncup meskipun beberapa syarikat melaporkan kemasukan semula pesanan daripada pasaran di luar Asia.
Katanya, walaupun jumlah pengeluaran dan jualan adalah lebih rendah pada bulan terakhir 2020, tahap pekerjaan secara umumnya adalah stabil buat kali pertama sejak Mei.
“Secara positif, pengeluar barangan Malaysia menunjukkan kestabilan tahap pekerjaan yang lebih luas.
“Persediaan untuk pesanan pada masa akan datang memerlukan kapasiti tambahan, mendorong tinjauan indeks pekerjaan mencatatkan paras tertinggi dalam masa sembilan bulan pada Disember,” katanya.
Dari segi kos input, IHS Markit berkata ia meningkat selama tujuh bulan berturut-turut pada Disember, mencerminkan peningkatan kos bahan mentah dan logistik, terutama kos penghantaran.
“Kadar inflasi kos input meningkat amat cepat dalam tempoh tiga tahun lalu dan secara keseluruhannya mendadak,” katanya.
Ia berkata, pengeluar melepaskan sebahagian daripada kos yang lebih mahal itu kepada pelanggan menerusi bayaran output lebih tinggi.
Sementara itu, paras inventori jatuh pada Disember 2020 berikutan beberapa perniagaan tidak mahu menyimpan barangan sebelum dan selepas pengeluaran, manakala selebihnya melaporkan kelewatan bekalan telah menjejaskan usaha mengisi semula, kata IHS Markit.
Menurutnya, pengeluar Malaysia akan optimis namun berhati-hati terhadap unjuran output pada tahun akan datang.
“Meskipun syarikat terus mencatatkan sentimen positif, keyakinan berkurangan dengan ketara sejak Ogos.
“Anggota panel mengaitkan unjuran positif ini dengan harapan pemulihan kepada permintaan domestik dan luaran yang akan mendorong tahap pengeluaran untuk tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
PMI Pembuatan Malaysia IHS Markit adalah berdasarkan data yang disusun IHS Markit daripada respons kepada soal selidik yang dihantar kepada pengurus pembelian, membabitkan kira-kira 400 pengeluar.
Indeks adalah berbeza di antara 0 dan 100 dan bacaan melebihi 50 menunjukkan peningkatan keseluruhan manakala di bawah 50 ialah penurunan keseluruhan.
Sumber: Berita Harian