Sektor tenaga akan jadi tunjang ekonomi Sarawak - Abang Johari - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Sektor tenaga akan jadi tunjang ekonomi Sarawak – Abang Johari

Sektor tenaga akan jadi tunjang ekonomi Sarawak – Abang Johari

26 Ogo 2023

Tumpuan Sarawak kepada tenaga hijau dan tenaga boleh baharu (TBB) akan menjadi tunjang kepada ekonomi negeri menuju ke 2030 dan seterusnya, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Abang Johari dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak berkata pembangunan semua sektor lain adalah susulan daripada pertumbuhan industri tenaga.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan alu-aluannya semasa mesyuarat dengan para pegawai tertinggi Shell di ibu pejabat gergasi minyak dunia itu di London, hari ini.

Abang Johari yang mengetuai delegasi ke Sweden, Norway dan United Kingdom (UK), berlepas ke London dari Oslo petang semalam untuk memuktamadkan lawatan kerja selama seminggu yang bertujuan untuk mengkaji dasar Ombudsman Sweden, inisiatif dan dasar penyimpanan pemerangkapan karbon (CCS) Norway dan UK serta industri tenaga boleh baharu negara-negara tersebut.

“Premier menyeru Shell yang mempunyai sejarah panjang dalam industri minyak dan gas di Sarawak untuk terus menjadi rakan kongsi Sarawak dalam pembangunan sumber minyak dan gas CCS.

“Beliau memuji Shell yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak sejak minyak mula digerudi pada 1910 di Miri,” demikian menurut kenyataan itu.

Antara yang mengiringi Abang Johari ialah Timbalan Premier dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Timbalan Menteri Kelestarian Tenaga dan Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni.

Premier dan anggota delegasinya disambut oleh Naib Presiden Eksekutif Shell bagi minyak dan gas konvensional Peter Costello, Naib Presiden Eksekutif eksplorasi Marc Gerrits dan Pengerusi Negara Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman semasa ketibaan mereka di premis tersebut.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon