Semakan semula Belanjawan 2023 dapat perkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global – MRANTI
26 Feb 2023
Belanjawan 2023 yang disemak semula dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global dalam bidang utama — kelestarian alam sekitar, kesihatan dan keselamatan makanan, dengan inovasi sebagai pemboleh teras, menurut Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzuleira Abu Bakar berkata peruntukan sebanyak RM428 juta untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menangani cabaran sektor dan kemasyarakatan adalah tepat pada masanya.
“Ia akan memacu inovasi berdasarkan ‘teknologi impak’ dalam sektor perindustrian utama, untuk pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat, dengan mentransformasikan idea dan inovasi kepada impak.
“Melalui inovasi dalam bidang baharu dan sokongan kerajaan dalam perkara berkaitan perancangan dan dasar, Malaysia boleh menjadi destinasi pelaburan yang menarik,” katanya dalam kenyataan.
Dzuleira berkata langkah kerajaan untuk menyokong syarikat pemula kemampanan dan syarikat teknologi hijau dengan pembiayaan sebanyak RM2 bilion akan membantu MRANTI menarik dan mengupayakan syarikat dengan prinsip sedemikian.
“Langkah strategik ini akan membantu Malaysia membezakannya dalam pasaran global berikutan terdapat keperluan mendesak di seluruh dunia untuk penyelesaian yang mendukung kesihatan planet,” katanya.
Beliau berkata dalam teknologi pertanian, geran padanan sebanyak RM50 juta untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan merupakan instrumen penting untuk meningkatkan pertumbuhan Malaysia dalam industri teras.
“Subsidi dan insentif kerajaan untuk industri pertanian dan perikanan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menambah baik bekalan makanan, termasuk hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk pengusaha agromakanan dalam Belanjawan 2023 akan turut membantu mengukuhkan daya saing Malaysia dalam bidang ini,” katanya.
Sumber: Bernama