Sensata Technologies perluas operasi di Malaysia
24 Mac 2022
Sensata Technologies, syarikat teknologi perindustrian global, kini giat mengembangkan operasinya di Malaysia dengan bangunan baharunya yang meraih Pensijilan Hijau.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata Sensata Technologies telah melabur kira-kira RM790 juta di Malaysia dan akan melabur tambahan RM510 juta dalam tempoh lima tahun akan datang untuk mengembangkan penawaran teknologi dan kapasiti pembuatannya.
Syarikat itu telah meningkatkan ruang lantai pembuatannya sebanyak 40,000 kaki persegi, menjadikan jumlah ruang pembuatannya kepada hampir 275,000 kaki persegi.
“Ruang lantai tambahan ini akan menyediakan ruang yang diperlukan untuk mengembangkan ‘Sense Element Assembly’, iaitu komponen utama untuk alat pengesan yang digunakan dalam industri pembuatan,” kata MIDA.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata objektif syarikat itu melengkapi usaha berterusan MIDA dalam menggalakkan transformasi ekonomi untuk membangunkan bakat bagi landskap industri digital yang semakin meningkat.
“Langkah Sensata Technologies itu adalah bukti keyakinan berterusannya terhadap ekosistem perniagaan Malaysia berikutan keinginannya untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan komersialnya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Sensata Technologies Malaysia, Vijay Jayaratnam berkata syarikat itu merancang untuk mewujudkan 500 peluang pekerjaan.
“Kami juga akan lebih bersepadu ke dalam rantaian bekalan kami menerusi kerjasama dengan industri kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam pemasangan alat pengesan tercanggih, kerana kami tahu bahawa terdapat banyak PKS di rantau ini mempunyai teknologi yang kami perlukan pada kos yang berpatutan,” katanya.
Sensata Technologies ialah syarikat awam dan pengeluar terkemuka alat pengesan, komponen perlindungan elektrik dan penyelesaian alat pengesan.
Sumber: Bernama