Signature peroleh kepentingan 23.67 peratus dalam Fiamma berharga RM180 juta
18 Mei 2022
Signature International Bhd sedang memperoleh kepentingan 23.67 peratus atau 120 juta saham dalam Fiamma Holdings Bhd pada harga RM180 juta.
Pembuat kabinet dapur itu berkata pengambilalihan yang dicadangkan akan membolehkan kumpulan tersebut memasuki rangkaian pengedaran serta perkhidmatan peralatan elektrik dan dapur kediaman Fiamma yang luas.
“Cadangan pengambilalihan ini adalah sejajar dengan objektif kumpulan bagi memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang menguntungkan dalam rantaian pembekalan industri untuk pertumbuhan masa depan,” menurut Pengarah Urusan Chiau Haw Choon dalam satu kenyataan.
“Kami telah meninjau prospek Fiamma yang agak menarik, yang telah menyaksikan permintaan untuk produknya meningkat secara signifikan disebabkan COVID-19. Pandemik tersebut telah mengakibatkan lonjakan permintaan terhadap produk elektrik kediaman dan dengan itu menambah jualan dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan Fiamma.”
Fiamma, yang perniagaan utamanya menjurus kepada peralatan dapur serta peranti kediaman elektrik, memiliki banyak jenama dalaman yang terkemuka seperti Elba, Faber, Rubine, Tuscani dan Haustern.
Ia juga memegang hak pengedaran bagi produk-produk penjagaan kesihatan serta perubatan seperti Braun, Speed Queen, Omron dan Beurer.
Chiau berkata penyatuan kepentingan ekuiti Fiamma dijangka meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan kewangan Signature.
Urusan transaksi Fiamma dijangka selesai dalam masa empat bulan dari tarikh perjanjian penjualan saham bersyarat. Fiamma pada dasarnya merupakan syarikat pegangan pelaburan, manakala anak -anak syarikatnya terlibat dalam perdagangan serta perkhidmatan, pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan pelaburan hartanah.
Sumber: Bernama