Smith+Nephew buka kemudahan pembuatan di Malaysia dengan pelaburan bernilai lebih US$100 juta
28 Jun 2022
Smith+Nephew, sebuah syarikat teknologi perubatan global, membuka kemudahan pembuatan berteknologi tinggi baharu di Taman Perindustrian Batu kawan, Pulau Pinang dengan pelaburan bernilai lebih US$100 juta (US$1=RM4.39).
Ia berkata kemudahan itu akan menyokong perniagaan ortopedik syarikat, yang dijangka berkembang dengan kukuh di rantau Asia Pasifik.
“Sehingga 800 pekerjaan tempatan baharu dalam pembuatan, kejuruteraan dan rantaian bekalan akan diwujudkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan beberapa jawatan penting telah diisi,” katanya dalam satu kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.
Kemudahan baharu itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman serta CEO Smith+Nephew Dr Deepak Nath.
Smith+Nephew berkata kemudahan pembuatannya itu adalah pendahulu dalam kemampanan dan mencapai matlamatnya untuk sifar sisa ke tapak pelupusan empat tahun lebih awal daripada sasaran serta diiktiraf oleh United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) dalam kategori Penanda Aras SDG 4: Sifar Sisa ke Tapak Pelupusan dan Pembakaran pada Disember 2021.
“Smith+Nephew juga menyediakan dermasiswa kepada pelajar dari Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang yang akan diambil bekerja dan dilatih sebagai juruteknik selepas tamat pengajian di syarikat itu,” katanya.
Sementara itu, Arham berkata kemudahan itu merupakan usaha niaga pembuatan pertama syarikat itu di Asia Tenggara, menunjukkan kemampuan dalam menarik pengeluar peranti perubatan terkenal ke Malaysia.
“Kehadiran Smith+Nephew juga akan menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan dan ekosistem industri peranti perubatan kita dan mengukuhkan reputasi kami sebagai hab pembuatan teknologi perubatan yang ideal di ASEAN,” katanya.
Menurut kenyataan itu, MIDA telah meluluskan 38 projek pembuatan berkaitan peranti perubatan bernilai RM7.68 bilion, yang dijangka mewujudkan kira-kira 12,500 peluang pekerjaan kepada negara, pada 2021.
“Industri ini memberikan keyakinan dalam menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan nilai eksport dan memperkukuh ekosistem rantaian bekalan domestik,” katanya.
Ia menambah bahawa Malaysia juga berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peranti perubatan di Asia sambil menempatkan lebih 200 pengeluar dengan lebih 30 syarikat multinasional peranti perubatan mengeluarkan peranti perubatan bernilai tambah tinggi.
Pengarah Urusan dan ketua tapak Smith+Nephew Operation Malaysia Sdn Bhd Mark Arthun berkata kemudahan itu dijangka membuat penghantaran pertamanya pada Julai untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).
“Kami menjangkakan untuk membuat penghantaran pertama kami ke AS bulan depan dan kemudahan ini mewakili komitmen kami kepada Asia Pasifik, Malaysia, pelanggan kami dan pesakit mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.
Beliau menambah, pembinaan kemudahan kira-kira 23,225.76 meter persegi itu bermula pada Mac 2020 dan siap tahun lepas.
Sementara itu, Nath berkata sejajar dengan tonggak Strategi Pertumbuhan syarikat yang diperbaharui untuk mengukuhkan asasnya, kemudahan itu akan membolehkan Smith+Nephew melayani pelanggan dan pesakit mereka secara mampan melalui pembuatan termaju.
“Ia juga merupakan bahagian penting dalam Strategi Pertumbuhan kami, meningkatkan kecekapan dan daya tahan serta menyokong tujuan Life Unlimited kami supaya pesakit di seluruh rantau ini dan seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan sepenuhnya,” katanya.
Smith+Nephew ialah syarikat teknologi perubatan yang diasaskan di Hull, United Kingdom pada tahun 1856, memfokuskan pada pembaikan, penjanaan semula dan penggantian tisu lembut dan keras.
Syarikat itu kini beroperasi di lebih 100 negara.
Sumber: Bernama