Solarvest Borneo jalin kerjasama dengan
CENTEXS, Huawei Malaysia bangunkan Makmal
Tenaga Hijau
11 Jan 2023
Solarvest Borneo Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Solarvest Holdings Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) and Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi membangukan Makmal Tenaga Hijau.
Makmal itu akan dibangunkan di Kuching, Sarawak dengan tujuan melatih dan membangunkan bakat tempatan untuk menyokong pertumbuhan Borneo dalam industri tenaga bersih.
Ia akan menyediakan program pembelajaran berkaitan tenaga hijau yang melibatkan solar, mobiliti hijau, sistem storan bateri serta hidrogen hijau.
Perkongsian pembelajaran dan bakat bertujuan untuk merangsang kerjasama penyelidikan dan pembangunan serta penciptaan harta intelek dalam penyelesaian tenaga bersih.
Pengarah Solarvest Borneo, Leon Liew Chee Ing berkata, program berkenaan adalah selaras dengan visi Kerajaan Sarawak untuk menjadi kuasa tenaga boleh diperbaharui serantau.
“Sebagai anak Sarawak, saya bersyukur kerana dapat menyumbang kepada masyarakat setempat dengan CENTEXS, menerusi perkongsian dengan Huawei Malaysia, kami percaya pembangunan modal insan adalah langkah penting dalam membina masyarakat yang berdaya tahan dan progresif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya sedar akan kepentingan melengkapkan bakat tempatan kami dengan latihan praktikal yang relevan untuk membolehkan integrasi yang lancar ke dalam tenaga kerja industri.
Katanya, makmal berkenaan telah membangunkan tiga program iaitu Solar, Green Mobility & Storage serta Green Hydrogen dan kami berbesar hati menawarkan kemudahan kami sebagai tempat ujian untuk program ini.
“Ini adalah satu langkah kecil, tetapi satu langkah yang bermakna apabila kita membantu Sarawak memenuhi aspirasinya untuk penjanaan kuasa hijau seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS2030),” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Unit Perniagaan Kuasa Digital Huawei Malaysia, Chong Chern Peng berkata, pihaknya komited untuk menyediakan teknologi hijau terbaik dan melatih bakat tempatan secara berterusan dalam bidang itu sambil memenuhi matlamat neutral karbon.
“Kami percaya pembangunan bakat tempatan di Sarawak akan membantu kami menangkap dan memenuhi keperluan dan permintaan pasaran industri hijau yang sentiasa berkembang. Kami berharap program yang ditawarkan di bawah kerjasama ini mampu menarik dan meningkatkan kebolehpasaran mereka,” katanya.
Kerjasama itu adalah sebahagian daripada Pelan Hala Tuju Strategik 5 Tahun Solarvest untuk berubah menjadi pakar tenaga bersih penjanaan semula.
Mereka juga telah melancarkan beberapa inisiatif hijau, termasuk cabang mobiliti hijau, “PowerBee” pada November 2022.
Sumber: DagangNews.com