S&P: Malaysia terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


S&P: Malaysia terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara

S&P: Malaysia terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara

25 Mei 2022

Malaysia berada di landasan untuk terus menerajui pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara, menurut S&P Global Ratings.

Pengarah Bersekutu Asia Selatan dan Asia Tenggara Nikita Anand berkata pertumbuhan perbankan Islam di Asia Tenggara diunjurkan tumbuh pada kadar tahunan kompaun sebanyak lapan peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang, manakala sektor perbankan Islam Malaysia dijangka berkembang antara enam dan lapan peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Di Malaysia, bank Islam tempatan berupaya menyumbang kira-kira 45 peratus daripada keseluruhan rekod pinjaman perbankan komersial menjelang 2026 daripada 37.5 peratus pada masa ini,” menurut Nikita dalam webinar bertajuk ‘Prospek Perbankan Islam Asia Tenggara’ S&P Global Ratings hari ini.

Beliau berkata sektor perbankan Islam yang besar di Malaysia mencatat peningkatan keuntungan yang positif pada tahun lepas selepas merosot pada 2020.

“Bagaimanapun, sebilangan bank kecil masih bergelut dan belum pulih.

“Kebanyakannya merekodkan kerugian dan kami yakin trend ini akan berterusan,” tambahnya.

Mengenai risiko, Nikita berkata industri tersebut masih bergantung kepada pemulihan daripada COVID-19, isi rumah yang terus bergelut terutamanya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, selain Perusahaan Kecil dan Sederhana.

“Selain itu, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine telah meningkatkan harga tenaga dan komoditi.

“Harga makanan yang lebih tinggi akan menjejaskan pendapatan isi rumah. Kami turut menjangka peningkatan sekurang-kurangnya 50 mata asas di Malaysia dan Indonesia, dan kadar faedah lebih tinggi akan memberi kesan kepada peminjam rentan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata kemunculan impak kenaikan kadar faedah terhadap keuntungan perbankan Islam akan mengambil tempoh yang lebih panjang.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk sektor teknologi kewangan (fintech) Islam menggantikan peranan perbankan Islam, Nikita berkata terdapat cabaran untuk berbuat demikian.

Ini khususnya apabila banyak perniagaan Islam bank konvensional masih tumbuh dengan pesat, katanya.

“Dalam masa setahun atau dua tahun kebelakangan ini, banyak bank Islam yang lebih kecil telah menerima modal pelabur asing dan mereka telah meningkatkan perkhidmatan digital masing-masing.

“Oleh itu, syarikat fintech Islam perlu menawarkan produk dan perkhidmatan yang lebih murah dan bermutu dari segi teknologi untuk menggantikan bank-bank ini,” katanya.

Pengarah Bersekutu S&P Global Ratings Asia Selatan dan Asia Tenggara Nancy Duan berkata Malaysia turut menerajui strategi pelaburan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di rantau ini. 

“Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha sebelum ini untuk menyelaraskan proses kredit penajajaminan dan bank telah mematuhi standard penarafan ESG tersebut secara sukarela.

“Ia merupakan perkembangan yang baik dan kami menjangka negara-negara lain di rantau ini akan turut berbuat demikian,” kata Duan.

Menurut agensi penarafan itu, Malaysia menyumbang 81 peratus daripada aset perbankan Islam di Asia Tenggara, diikuti Indonesia sebanyak 15 peratus dan Brunei pada empat peratus.

Malaysia dan Indonesia menyumbang 96 peratus daripada aset sektor tersebut di rantau ini.

Katanya Asia Tenggara memegang 17 peratus atau AS$290 bilion (AS$1=RM4.38) daripada aset perbankan Islam global bernilai AS$1.7 trilion.

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon