Supermax labur RM1.47 bilion bina kilang di AS - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Supermax labur RM1.47 bilion bina kilang di AS

Supermax labur RM1.47 bilion bina kilang di AS

17 Dis 2021

Supermax Corporation Bhd menerusi anak syarikatnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Maxter Healthcare Inc melabur AS$350 juta (RM1.47 bilion) untuk membangunkan kemudahan pengeluaran utama sarung tangan di Brazoria County, Texas.

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, kilang pengeluaran yang dibangunkan di atas tanah berkeluasan 87 hektar itu dijangka dimajukan dalam empat fasa dengan pembangunan fasa pertama bermula suku pertama tahun depan sebelum operasi pengeluaran bermula suku keempat 2022.

Katanya, setiap fasa kilang pengeluaran ini dijangka menghasilkan 400 juta keping sarung tangan sebulan dan apabila siap sepenuhnya, ia berkemampuan menghasilkan 1.6 bilion keping sarung tangan sebulan atau 19.2 bilion setahun

Supermax berkata, Sebelum ini lembaga pengarah meluluskan perbelanjaan modal berjumlah AS$550 juta (RM2.32 bilion) bagi pelaburan untuk kilang berkenaan.

Katanya, pelaburan yang dikenal pasti untuk fasa pertama membabitkan sejumlah AS$350 juta, merangkumi pembinaan ibu pejabat pengeluaran Amerika Utara kumpulan, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), pusat latihan dan kemudahan pekerja yang lengkap.

“Bangunan di ibu pejabat ini akan terdiri daripada bangunan kejuruteraan, bangunan penyelenggaraan dan gudang pengedaran untuk produk kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang lain.

“Projek ini akan menjadi kemudahan pengeluaran ke-18 milik Supermax di seluruh dunia dan yang pertama di AS,” katanya.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai, berkata kapasiti pengeluaran di kemudahan terbabit akan membantu AS untuk bertindak balas terhadap wabak semasa dan membantu melindungi negara berkenaan pada masa depan.

“Selain itu, menerusi penubuhan pusat R&D kami dengan institusi pendidikan tempatan dan serantau, ia akan membolehkan kami membangunkan produk berteknologi dan inovatif.

“Kilang pengeluaran ini akan dilengkapi dengan keupayaan bertaraf dunia seperti automasi, pembuatan kejuruteraan robotik dengan Kepintaran Buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0.

“Kemudahan ini juga akan memberi penekanan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan sisa air. Kami juga berbangga untuk bekerjasama dengan syarikat AS dalam bidang automasi dan kejuruteraan robotik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Supermax Healthcare Inc, CK Tan, berkata kemudahan pengeluaran baharu itu, apabila beroperasi kelak, ia akan membina kapasiti dan mengukuhkan rantai bekalan PPE AS.

“Kami berupaya memenuhi sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus keperluan keseluruhan import tahunan sarung tangan ke AS bagi tempoh dua hingga empat tahun akan datang.

“Dalam tempoh empat hingga enam tahun akan datang, apabila kapasiti meningkat, kami akan dapat menyediakan 20 hingga 25 peratus daripada permintaan dan penggunaan di AS,” katanya.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon