Syarikat China pilih Malaysia jadi hab serantau
03 Apr 2023
Beberapa syarikat dari China setuju memilih Malaysia sebagai hab serantau, sekali gus memberi lonjakan baharu terhadap imej negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri bagaimanapun berkata, beliau akan mengumumkan perincian mengenai perkara itu dalam tempoh terdekat.
“Saya merasakan seolah-olah ada lonjakan baharu mengenai imej dan harapan Malaysia kerana ada beberapa syarikat terkemuka, mungkin dalam beberapa hari, saya akan umum.
“(Mereka) memutuskan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau selain daripada China dan ini kali pertama beberapa (syarikat) memilih Malaysia sebagai hab serantau,” katanya pada Perhimpunan Bulanan bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut mengusulkan supaya syarikat terbabit mengutamakan pengambilan pekerja tempatan yang memiliki kelayakan.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, jika syarikat terbabit berjaya membuktikan usaha mengambil pekerja tempatan yang diperlukan tidak berjaya, kerajaan sedia meluluskan permohonan untuk mengambil pekerja dari China.
“Kalau dikenal pasti tiada tenaga (kerja) yang cukup, itu kita akan luluskan segera, dengan syarat ada usaha mencari tenaga tempatan dengan syarat dia buktikan ada usaha awal mengambil pekerja tempatan.
“Jadi dalam perbincangan saya dengan mereka, dan syarikat tempatan seperti PROTON di bawah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, dipersetujui diadakan program latihan khusus untuk menentukan mengambil anak-anak tempatan, unjuran satu dua tahun dan sebelum mereka buka ruang kepada pegawai atau profesional dari China,” katanya.
Sumber: Berita Harian