Syarikat Hartanah Terbesar Di Taiwan Rancang Labur ebih RM1 Bilion Di Pulau Mengalum
13 Okt 2021
Kerajaan negeri Sabah menyambut baik pelan syarikat hartanah terbesar di Taiwan, Sinyi Realty Group, untuk membina sebuah resort eko-pelancongan mewah bertaraf lima bintang dianggarkan bernilai lebih RM1 bilion di Pulau Mengalum, di sini.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata beliau gembira apabila syarikat hartanah tersebut memilih untuk melabur di Sabah berikutan pelancongan amat penting bagi negeri ini dan sektor tersebut telah dikenal pasti sebagai antara tiga teras utama dalam pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Sabah antara negeri paling indah di Malaysia dan kami mempunyai banyak untuk ditawarkan dari segi pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan sempena pertemuan dengan Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu di sini hari ini.
Beliau berkata sejajar dengan SMJ, beliau memberi jaminan kepada Sinyi Realty Group bahawa kerajaan negeri akan memberikan bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan syarikat tersebut.
Terdahulu, Pengerusi Sinyi Group Chou Chun Chi menyatakan penghargaan kepada kerajaan negeri dan ketua menteri atas sokongan terhadap pelaburan dan pembangunan di Pulau Mengalum yang akan menguasai pasaran pelancongan mewah.
“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan dijangka membawa masuk 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun,” katanya.
Selepas memperoleh lebih daripada separuh pulau dengan nilai RM266 juta pada 2019, Sinyi Realty Group merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan menanam semula pokok di kawasan tersebut dan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat aktiviti bom ikan.
Pulau Mengalum pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga tahun 1997 dan sebelum pandemik COVID-19, pulau itu, yang kira-kira satu jam 15 minit perjalanan menaiki bot dari ibu negeri, amat popular dalam kalangan pelancong China.
Sumber: Bernama