Syarikat industri kenderaan rekreasi utama Jerman lawat ECER
10 Feb 2023
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mengalu-alukan kunjungan wakil syarikat industri kenderaan rekreasi (RV) terkemuka Jerman yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka di rantau ini.
Menurut ECERDC antara pengeluar RV terkemuka yang menyertai kunjungan itu ialah Erwin Hymer Group, Hobby Wohnwagenwerk, Knaus Tabbert AG, Eura Mobil GmbH serta pembuat komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan terkemuka.
“Susulan kunjungan awal Caravaning Industrie Verband e.V. (CIVD) (Persatuan Industri Karavan), yang mewakili peserta industri RV Jerman pada Februari 2022, satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani oleh ECERDC dan CIVD di Jerman semasa misi pelaburan pada Jun 2022.
“MoU itu bertujuan mempromosikan dan menjadikan ECER sebagai hab RV Asia dan destinasi pelaburan pilihan untuk pembuat, pembekal komponen dan pengendali taman RV,” menurut ECERDC dalam kenyataan pada Khamis.
Delegasi serta Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat turut membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seterusnya berbincang mengenai status terkini dan usaha untuk pembangunan industri RV di Malaysia.
Menurut Baidzawi, delegasi CIVD itu turut disertai kalangan eksekutif tertinggi daripada pembuat RV Jerman yang menguasai 65 peratus bahagian pasaran di Eropah yang bernilai kira-kira EUR7.5 bilion (EUR1 = RM4.64).
“Kita menghargai minat mereka dan ECERDC berharap dapat memudah cara pelabur dari CIVD yang berminat untuk mengembangkan operasi mereka ke Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ECERDC kekal optimis bahawa permintaan terhadap industri RV dan karavan adalah kukuh dan ia merupakan trend gaya hidup yang berkembang pantas di rantau ini.
Presiden CIVD, Hermann Pfaff berkata persatuan itu sangat teruja dengan kemajuan dan inisiatif berterusan oleh ECERDC dalam industri ini.
“Tahun ini, kami telah membawa pasukan yang lebih besar dan pelabur berpotensi untuk meneroka pengembangan mereka secara serius memandangkan saya telah memperoleh laporan yang menggalakkan mengenai peluang daripada wakil-wakil semasa lawatan kerja sebelum ini pada Februari 2022,” katanya.
Sumber: Bernama