Ta Win beli tanah, kilang di Pelabuhan Klang
08 Nov 2021
Ta Win Innotech Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Ta Win Holdings Bhd, memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan BRB Properties Sdn Bhd untuk memperoleh tanah perindustrian pajakan di West Port, Pelabuhan Klang bersama bangunan kilang di atas tanah itu untuk jumlah pertimbangan tunai sebanyak RM35 juta.
Ta Win berkata dengan keluasan tanah kira-kira 1.61 hektar dan jumlah kawasan binaan seluas 1.393 hektar, cadangan pemerolehan akan membolehkan syarikat itu meningkatkan tiga kali ganda jumlah kapasiti pengeluarannya dalam jangka sederhana hingga panjang, memenuhi jangkaan permintaan jangka panjang pertumbuhan untuk rod tembaga dan wayar.
“Tanah itu juga terletak secara strategik berdekatan dengan pelabuhan, membolehkan kecekapan logistik yang lebih baik dan pengoptimuman kos,” kata pengeluar bersepadu produk tembaga itu.
Ia berkata, ini berikutan Ta Win baru-baru ini menandatangani kontrak pembekalan eksklusif dengan syarikat yang berpangkalan di Korea Selatan, POSCO International Corporation, yang akan menyaksikan syarikat itu secara eksklusif membekalkan kira-kira 65,000 tan metrik produk tembaga kepada pengeluar kerajang tembaga di Korea, termasuklah pengeluaran di luar negara mereka melalui loji POSCO International bagi tempoh tiga tahun bermula 1 Januari 2022.
Ta Win berkata, ia dijangka menjana hasil agregat sebanyak RM2.6 bilion berdasarkan harga tembaga di London Metal Exchange (LME) pada AS$9,440 setiap tan metrik setakat 28 Oktober.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Ngu Tieng Ung, berkata desakan global untuk penyahkarbonan dan tenaga bersih mendorong pertumbuhan dalam permintaan yang kukuh untuk segmen kenderaan elektrik yang dijangka menterjemahkannya kepada peningkatan dalam permintaan untuk tembaga.
“Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat ini, Ta Win merancang untuk menubuhkan tiga loji penyinaran pancaran elektron di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk membekalkan wayar pancaran bersilang dan produk kabel menggunakan teknologi pancaran elektron bersilang yang dipatenkan, dengan loji pertama untuk dibina di kemudahan pembuatan sedia ada kami di Melaka,” katanya.
Beliau berkata, sehubungan itu, syarikat memutuskan untuk menempatkan semula perniagaan pembuatan rod tembaga dan wayar dari premis sedia ada ke tanah dan kilang yang baharu diperoleh di Pelabuhan Klang.
“Ini akan membolehkan kami menggunakan sepenuhnya kapasiti kemudahan di Melaka untuk pengembangan perniagaan penyelesaian isyarat dan kuasa, yang membabitkan pembuatan sistem pengagihan kuasa dan isyarat, kabel tegangan tinggi, kabel bateri dan komponen serta alat ganti automotif lain untuk automotif dan kenderaan elektrik,” tambahnya.
Sumber: Bernama