TBB sumbang tenaga tempatan yang kompeten, berwibawa – Takiyuddin
25 Mac 2022
Peranan pembangunan bidang tenaga lestari terutama Tenaga Boleh Baharu (TBB) dalam agenda peralihan tenaga menyumbang kepada industri tenaga tempatan yang kompeten dan berwibawa.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata sumbangan TBB dalam menyokong aspirasi perubahan iklim negara juga terbukti apabila komposisi campuran kapasiti penjanaan elektrik daripada sumber meningkat daripada lima peratus pada 2001 kepada 24 peratus pada 2021.
“Agenda peralihan tenaga adalah antara perkara yang akan mendominasi naratif hubungan geopolitik dunia serta aktiviti perniagaan dan perdagangan antara negara,” katanya pada Majlis Apresiasi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) dan Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) di sini, malam ini.
Seramai 25 pemain industri tempatan memenangi NEA dan mewakili Malaysia di pentas AEA 2021 dengan 12 daripadanya meraih kejayaan.
Justeru, Takiyuddin menggesa agar pemain industri tempatan meneruskan usaha menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah neutral karbon.
“Besarlah harapan saya agar pemenang NEA dan AEA saling berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam bidang TBB dan kecekapan tenaga,” katanya.
Sumber: Bernama