Techna-X peroleh kepentingan 49 peratus dalam NHK
16 Jun 2021
Techna-X Bhd telah memeterai perjanjian jual beli untuk memperolehi 49 peratus kepentingan dalam NHK Energy Construction Sdn Bhd.
Pengerusi Eksekutif Tunku Naquiyuddin ibni Tuanku Ja’afar berkata pengambilalihan itu dijangka akan mempercepatkan lagi pengembangan syarikat ke dalam segmen tenaga hijau bandar-bandar pintar di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
“Kami teruja untuk mempunyai hubungan dengan NHK, yang mana kedua-dua pihak melihat sinergi serta peluang pengembangan yang besar dalam memanfaatkan teknologi digital pintar dan tenaga boleh diperbaharui, terutamanya melalui teknologi Internet Pelbagai Perkara (IoT) serta kapasitor ultra kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan NHK, Nik Hilmi Kadir berkata kerjasama dengan Techna-X akan membuka peluang dalam penawaran penyelesaian bandar pintar bersepadu ke pasaran.
“NHK akan mendapat manfaat besar daripada sinergi dengan ekosistem digital pintar Techna-X, analisis data, data mudah alih termasuk penyelesaian IoT.
“Dengan kepakaran serta sokongan kewangan Techna-X, NHK akan menggiatkan penawarannya kepada majlis tempatan dan meningkatkan pelancarannya di seluruh negara,” katanya lagi.
Techna-X adalah pengeluar kapasitor ultra berasaskan rutenium dan pemain teknologi utama dalam penyimpanan tenaga boleh diperbaharui, transformasi digital serta IoT.
Manakala, NHK adalah syarikat tenaga hijau yang mereka bentuk, membangunkan,mentauliahkan, memberi kontrak dan penerangan kepada pasaran berkaitan tenaga boleh diperbaharui.
Sumber: Bernama