Terberg Tractors bakal keluarkan traktor autonomi
12 Okt 2022
Terberg Tractors Malaysia (TTM), pengeluar traktor terminal kontena terkemuka menjalin kerjasama dengan pakar kecerdasan buatan (AI), Aidrivers Ltd bagi menghasilkan traktor autonomi untuk diuji di Malaysia.
Perjanjian Persefahaman (MoU) antara TTM dan Aidrivers yang berpangkalan di United Kingdom akan membabitkan penyepaduan traktor terminal Drive-by-wire Terberg YT223-T3 yang dipasang dengan perisian Autonomous dari Aidrivers termasuk navigasi autonomi sepenuhnya, simulasi autonomi dan pemboleh operasi V2X.
TTM akan memasang trak berkuasa diesel dengan rangkaian sistem multi-sensor lidar 3D, radar dan penderia kamera penglihatan serta direka untuk bergerak dalam persekitaran, trafik dan keadaan cuaca yang berbeza.
Traktor berkenaan boleh melakukan operasi autonomi bersama kenderaan dan peralatan lain dalam persekitaran pelabuhan trafik yang bercampur.
Ia boleh disepadukan sepenuhnya dengan Sistem Operasi Terminal (TOS) yang menghantar kerja-kerja berkaitan kepada traktor seperti kenderaan dan peralatan biasa dalam tetapan yang tidak memerlukan proses, persekitaran dan perubahan infrastruktur.
Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching, berkata perjanjian dengan Aidrivers mencerminkan komitmen syarikat kepada inovasi.
“Perjanjian ini mengiktiraf visi perkongsian TTM dan Aidrivers serta sinergi yang jelas. Ia mencerminkan kepakaran TTM dalam pembuatan peralatan dan jentera berat yang menerajui industri serta penyelesaian dan platform mobiliti autonomi AIdrivers,” katanya.
Demonstrasi projek traktor terminal kontena autonomi itu akan dilaksanakan di Johor dalam persekitaran fizikal bermula bulan ini dan Fasa 1 akan berlangsung sehingga akhir tahun ini.
Sumber: Berita Harian