Thong Guan kini beralih kepada 100 peratus tenaga boleh baharu
22 Jul 2022
Thong Guan Industries Bhd telah memulakan usaha penggunaan 100 peratus tenaga boleh baharu bagi bekalan elektrik di kilang pengeluaran pembungkusan polietilena miliknya.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata langkah tersebut dapat direalisasikan menerusi program Tarif Elektrik Hijau (GET) yang dilancarkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama TNBX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada November 2021.
Langganan GET itu dimulakan pada suku pertama tahun ini yang turut meletakkan syarikat berkenaan sebagai pelanggan GET terbesar di Kedah serta antara kelompok 10 terkemuka di Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan Thong Guan Datuk Ang Poon Chuan berkata menerusi langganan GET, syarikat itu dapat memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang membabitkan usaha pengurangan jejak karbon.
“Kami berharap sumbangan ini dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelanggan serta orang ramai mengenai kepentingan produk-produk karbon rendah selain turut menyokong pertumbuhan industri tenaga boleh baharu ini,” katanya.
Menerusi langganan GET tersebut, Thong Guan dijangka dapat menjimatkan sehingga 74,456 tan jumlah pelepasan karbon dioksida setahun atau menyamai pelepasan gas rumah hijau oleh 16,000 kereta penumpang setahun.
Sementara itu, Ketua Pegawai Runcit TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata sejak diperkenalkan pada Disember 2021, sambutan terhadap GET ternyata amat memberangsangkan.
“Peruntukan kuota sebanyak 4,500,000 megawatt jam (MWj) telah dilanggan sepenuhnya dalam masa empat bulan.
“Majoriti pengambilan itu melibatkan sektor industri sebanyak 61 peratus termasuk Thong Guan yang membuat langganan tahunan sebanyak 16,520 MWj,” katanya.
Sumber: Bernama