Tiba masa Malaysia jadi peneraju sektor peralihan tenaga - Rafizi - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Tiba masa Malaysia jadi peneraju sektor peralihan tenaga – Rafizi

Tiba masa Malaysia jadi peneraju sektor peralihan tenaga – Rafizi

26 Mei 2023

Sudah tiba masanya Malaysia menerajui sektor peralihan tenaga, terutamanya bagi memudahkan perdagangan rentas sempadan sumber tenaga boleh diperbaharui (renewable energy atau RE).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, dasar negara sebelum ini menumpukan pada pembangunan pasaran domestik secara organik.

Namun, katanya, Malaysia kini punyai peranan penting untuk dimainkan dalam menghubungkan seluruh rantau Asia, yang memerlukan perancangan teliti dan pelaburan yang besar.

“Kami cukup faham bahawa kami perlu sangat fokus kepada sektor peralihan tenaga, dalam tempoh enam bulan lepas sejak mengambil alih kerajaan.

“Jadi, kami telah membuat beberapa perubahan dasar utama, yang termasuk, contohnya, dalam beberapa bulan akan datang, Malaysia akan melancarkan pasaran pertukaran RE serantau.

“Ia akan memudahkan perdagangan rentas sempadan, kerana kami mempunyai situasi unik di mana Malaysia secara geografi sangat strategik dan mempunyai banyak potensi,” katanya dalam temu bual di Forum Ekonomi Qatar, dibawakan oleh Bloomberg.

Beliau berkata negara akan melancarkan satu pelan induk perindustrian baharu pada Ogos dan semakan semula perancangan lima tahunnya pada September.

“Kami sedang melakukannya secara berperingkat sebagai persediaan menuju pembentangan belanjawan pada November.

“Akan ada lebih banyak kejelasan pada asas bulan ke bulan kerana (apa) yang ingin kami elakkan ialah ‘big bang’ dengan senarai perkara yang kami ingin lakukan dan enam bulan seterusnya mengecewakan semua orang dengan pergerakan pelaksanaannya.

“Jadi, dengan mengimbangi antara perkara yang kami ingin lakukan dan cara kami melakukannya, saya fikir, ia kunci kepada kemampanan,” katanya.

Rafizi berkata, Malaysia perlu meningkatkan kapasiti lebih 11 kali dalam masa 20 tahun akan datang dan melabur kira-kira AS$150 bilion dalam infrastruktur.

“Semua ini, dengan tumpuan pada peralihan tenaga, memberi petanda yang baik kepada rantau ini serta pelabur, dan meningkatkan skala peralihan kami daripada pembuatan nilai sederhana kepada bernilai tinggi,” katanya.

Jelas Rafizi, sebagai sebuah negara yang meneroka industri semikonduktor sejak 1970-an, Malaysia kini sedia mempelbagaikan ruang untuk bergerak ke hadapan, termasuk dalam aspek tenaga kerja.

“Polisi pada masa lalu sangat didorong oleh bekalan. Ini bermakna, kami membina universiti dan kolej teknikal kami, kami membina kurikulum kebangsaan dan ia telah berfungsi selama kira-kira 30 tahun.

“Tetapi kadar teknologi telah meningkat dan kami beralih ke arah permintaan dengan memberi kebebasan dan insentif, serta bekerjasama dengan industri.

“Ini supaya industri diberi peluang melatih dengan cepat, mengambil pendekatan latihan sambil bekerja, beralih daripada pensijilan kebangsaan, dan lebih kepada mengambil orang ramai dan melatih mereka dalam industri,” katanya lagi.

Tambah Rafizi, insentif nasional dan insentif pelaburan perlu beralih daripada insentif cukai dan fiskal semata-mata, ke arah peningkatan kemahiran dan insentif latihan untuk pengilang, sekali gus membolehkan Malaysia meningkatkan latihan dan penyediaan tenaga kerja pada kadar yang lebih pantas.

Sumber: Astro Awani

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon