TNB perkasa teknologi modular bestari untuk capai 100% tenaga boleh baharu
14 Nov 2022
Tenaga Nasional Bhd. (TNB) melalui anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) membentuk perkongsian strategik dengan SMART Modular Technologies, Inc. (SMART) untuk memenuhi komitmen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam usaha mencapai 100 peratus tenaga elektrik yang dikuasakan oleh tenaga boleh baharu.
Melalui kerjasama itu, SMART, sebuah bahagian SGH dan peneraju global dalam penyelesaian memori, pemacu keadaan pepejal dan storan hibrid menjadi perbadanan multinasional pertama di Pulau Pinang dan syarikat elektronik pertama Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Malaysia mencapai matlamat ini.
Ia akan dicapai menerusi operasi SMART Seberang Jaya, kilang pembuatan utamanya di rantau ini. Pencapaian ESG hasil daripada melaksanakan penyelesaian bumbung solar dan Tarif Elektrik Hijau (GET) disediakan oleh TNB.
Pengarah Urusan GSPARX, Elmie Fairul Mashuri berkata, TNB sentiasa bersedia membantu organisasi dalam semua sektor ekonomi mencapai agenda hijau mereka dengan membentuk perkongsian strategik, sejajar dengan usaha berterusan TNB untuk mencapai sasaran ESG sendiri dan memastikan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.
“Kami percaya usaha sama dengan SMART dalam menangani matlamat ESGnya, memberikan contoh kepada syarikat multinasional (MNC) lain di Malaysia untuk memulakan inisiatif yang sama bagi mengurangkan karbon mereka.
“Sebaik sahaja kami menyiapkan pemasangan solar, SMART akan mampu menyalurkan 1,496 MWj tenaga suria setiap tahun. Dengan penyelesaian gabungan GET dan pemasangan solar atas bumbung, jumlah pengimbangan karbon ialah 5,403 tan metrik setahun, bersamaan dengan perkembangan sebanyak 99,128 anak pokok selama 10 tahun,” katanya.
Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Peruncitan Negeri (Pulau Pinang) TNB, U. Ananda Rani; Ketua SGH Pegawai Operasi dan Presiden Smart Modular Technologies, Jack Pacheco dan Elmie Fairul di pejabat SMART di Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat beroperasi di Pulau Pinang memfokuskan pelaburan mereka dan lebih menekankan ke arah persekitaran dan perubahan iklim yang lebih hijau.
“Ini sejajar dengan Wawasan 2030 Pulau Pinang, menggalakkan pengurangan pelepasan di seluruh industri. Kami mengalu-alukan semua inisiatif dan usaha ke arah wawasan alam sekitar ini dan menggalakkan kerjasama seperti yang dijalinkan di antara SMART, TNB dan GSPARX,” ujarnya.
Sementara itu, Jack Pacheco mengulas, sebagai syarikat teknologi global, pihaknya memahami tanggungjawab untuk memberi kesan positif kepada alam sekitar.
“Kami terus berusaha untuk melindungi alam sekitar, memulihara sumber dan mengurangkan jejak karbon di planet ini dalam setiap cara yang mungkin,” ujarnya.
Untuk mencapai 100 peratus aspirasi tenaga boleh baharu, sebanyak 80 peratus akan dicapai melalui SMART langganan GET dengan jumlah langganan 6.96 GWj setiap tahun manakala baki 20 peratus dikuasakan oleh pemasangan solar photovoltaik (PV) atas bumbung GSPARX dengan kapasiti 1,051kWp di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE).
Sehingga kini, GSPARX telah berjaya memperoleh sebanyak 287 projek dengan komersial, perindustrian dan organisasi kerajaan, menjana 232 MWp kapasiti solar secara keseluruhan.
Sumber: Utusan Malaysia