TNB rancang pelaburan RM22 bilion untuk bangunkan grid pada masa depan - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


TNB rancang pelaburan RM22 bilion untuk bangunkan grid pada masa depan

TNB rancang pelaburan RM22 bilion untuk bangunkan grid pada masa depan

18 Nov 2021

Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif merancang untuk melabur sebanyak RM22 bilion bagi tempoh 2022 hingga 2024, tertakluk kepada kelulusan kerajaan bagi membangunkan grid pada masa depan dan menjadi pemboleh utama peralihan tenaga.

Sebagai menyokong matlamat negara untuk beralih daripada menggunakan bahan api kepada penggunaan sebanyak 31 peratus tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025, grid nasional mesti bersedia menerima RE untuk menyokong aliran tenaga dua hala dinamik dan pada masa sama mengekalkan kestabilan voltan, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju.

Beliau berkata menyedari komitmen TNB untuk terus mengutamakan pelaburan dalam memodenkan grid nasional ke arah Grid Masa Hadapan, beliau berkata langkah itu dapat mewujudkan sistem grid yang diyakini, berdaya tahan, pintar dengan teknologi digital serta fleksibel dalam memenuhi keperluan negara untuk peralihan tenaga.

“Dalam memenuhi keperluan ini, pulangan munasabah adalah penting bagi TNB untuk mengekalkan perbelanjaan modal yang diperlukan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembelajaran dan Pembangunan (ICLAD2021), di sini.

“Ini akan dilaksanakan dengan menghubungkan keseluruhan rantaian nilai daripada penjanaan kepada penghantaran dan pembahagian sehingga ke premis-premis pelanggan. Sebenarnya, pelanggan sudah pun menikmati grid masa depan sejak beberapa tahun lalu melalui pelaburan modal TNB dan juga di bawah IBR,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kawalselia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dalam ucapan pembukaan pula berkata TNB terus komited untuk melabur ke arah peralihan tenaga, selaras usaha-usaha menyediakan sokongan ekonomi kepada Kerajaan.

“Isu perubahan iklim menjadi keutamaan utama pelaburan TNB di samping menyokong dan merangsang agenda pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Roslan berkata sasaran TNB adalah untuk meningkatkan kecekapan industri dan menambah baik pengalaman pelanggan serta menggalakkan penggunaan tenaga hijau untuk mengimbangi keupayaan dan keselamatan sistem grid Malaysia.

“Melalui usaha kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini, TNB juga bersedia untuk menerajui peralihan Malaysia kepada mobiliti rendah karbon terutamanya melalui teknologi Kenderaan Elektrik Bateri (BEV),” katanya.

Mengenai ICLAD2021, beliau berkata persidangan antarabangsa itu adalah platform perbincangan intelektual mengenai bidang pembelajaran dan pembangunan industri tenaga di Malaysia serta seluruh dunia.

Persidangan yang sudah memasuki tahun kelima itu dianjurkan TNB Integrated Learning Solution (ILSAS), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Sumber: Bernama

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon