Tri-Mode peroleh kelulusan insentif cukai, pelesenan daripada MIDA
25 Ogo 2021
Tri-Mode System (M) Bhd, penyedia perkhidmatan logistik bersepadu hari ini mengumumkan telah menerima kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk insentif cukai perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan status perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).
Dalam satu kenyataan, ia berkata insentif cukai ILS membolehkan Tri-Mode menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 70 peratus daripada pendapatan berkanun selama lima tahun melalui status perintis insentif cukai (PS) yang diluluskan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986.
Di bawah terma dan syarat yang ditetapkan dalam surat kelulusan, Tri-Mode harus memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus ekuitinya dipegang oleh rakyat Malaysia, mengekalkan penyediaan perkhidmatan logistik bersepadu seperti penghantaran barang, pengangkutan dan pergudangan serta menjalankan sekurangkurangnya salah satu aktiviti nilai tambah seperti pengurusan pengedaran dan rantaian bekalan, katanya.
Bagi status IILS, ia membolehkan Tri-Mode memiliki 100 peratus pemilikan ekuiti dalam mana-mana lesen ejen penghantaran barang yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Tri-Mode pada masa ini mengendalikan gudang seluas 85,485 kaki persegi yang telah berisi sepenuhnya. Gudang lain yang berkeluasan 28,000 kaki persegi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada suku keempat 2021.
Sumber: Bernama