UMW Aerospace dapat kontrak baharu Rolls Royce bernilai RM1 bilion
10 Apr 2023
UMW Aerospace Sdn Bhd dianugerahkan kontrak baharu daripada Rolls Royce untuk mengeluarkan selongsong bagi enjin pesawat Rolls Royce Trent 1000 dan Trent 7000 dengan nilai pelaburan sehingga RM65 juta, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut beliau, jumlah pelaburan oleh UMW Aerospace adalah bagi menyediakan pengilangan kimia dan proses berkaitan untuk mengeluarkan barangan terbabit.
Buat masa ini, katanya selongsong itu diimport dari luar negara dan dipasang menjadi sarung kipas yang lengkap di fasiliti UMW Aerospace.
“Bagi kontrak baharu, nilai bekalan adalah kira-kira RM1 bilion selama 15 tahun.
“Kami menyedari mengenai pentingnya industri ini dan impak yang berganda adalah jauh lebih baik daripada industri lain,” katanya.
Justeru, katanya penganugerahan kontrak itu jelas membuktikan bahawa syarikat multinasional terkemuka menganggap landskap perindustrian negara sebagai stabil dan kondusif bagi rantaian bekalan global mereka.
“Kita juga sama-sama menumpang bangga kerana UMW Aerospace akan menjadi syarikat pertama di Asia Tenggara yang membangunkan keupayaan pengilangan kimia untuk industri aeroangkasa,” katanya semasa lawatan tapak ke UMW Aerospace di Serendah, hari ini.
Ia kontrak kedua daripada Rolls-Royce dalam tempoh lapan tahun.
Pada 2015, UMW Aerospace menjadi syarikat pertama di Malaysia yang dipercayai untuk membekalkan komponen enjin aero Tier 1 kepada Rolls-Royce selepas menerima kontrak selama 30 tahun untuk mengeluar dan memasang bekas kipas untuk enjin pesawat Rolls Royce Trent 1000 dan Trent 7000.
“MITI juga menghargai usaha berterusan UMW Aerospace ke arah amalan mampan seperti pemasangan panel solar di atas bumbung untuk menggunakan tenaga boleh diperbaharui serta pengumpulan air hujan untuk operasinya dan melayakkan UMW Aerospace menjadi ahli Kumpulan Kerja Kelestarian Rolls-Royce sendiri,” katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan mengambil maklum impak strategik yang disumbangkan oleh syarikat ini kepada pembangunan industri aeroangkasa negara, selaras dengan objektif yang diutarakan oleh Pelan Tindakan Aeroangkasa Malaysia 2030.
Dalam kenyataan berasingan hari ini, Presiden Rolls Royce Asia Tenggara, Pasifik dan Korea Selatan, Dr Bicky Bhangu, berkata sokongan berterusan kerajaan Malaysia terhadap sektor aeroangkasa telah menjadi contoh dan Rolls Royce berbangga untuk memainkan peranan dalam menyokong pembangunan seterusnya.
“Kami terus menganggap negara sebagai yang mempunyai potensi besar, bukan sahaja dalam bidang aeroangkasa, tetapi juga keupayaannya untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih luas dan menyumbang secara positif kepada rantau Asia Tenggara secara keseluruhannya,” katanya.
Dalam beberapa dekad, katanya Rolls Royce telah mendapat manfaat daripada pelbagai kepakaran, kemahiran dan perspektif dari Malaysia, selain keupayaan pembuatannya dan rantaian bekalan yang baik.
“Ini akan dapat dilihat daripada selongsong berkualiti tinggi yang akan dibekalkan oleh UMW Aerospace dan kami menantikan fasa seterusnya daripada kerjasama ini,” katanya.
Sumber: Bernama