Unit tidak langsung Titijaya labur RM200 juta untuk bina kompleks komersial DHL
22 Jun 2022
Unit milik penuh tidak langsung Titijaya Land Bhd, Aman Duta Sdn Bhd dijangka melabur kira-kira RM200 juta untuk membina kompleks komersial logistik di sebahagian tanah seluas 26,688 meter persegi di Pulau Pinang untuk DHL Properties (M) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Titijaya berkata ini susulan perjanjian bina dan pajak yang ditandatangani antara Aman Duta dan DHL pada 15 Jun, 2022.
Pemaju hartanah itu berkata pembinaan kemudahan itu dijangka dimulakan selepas mendapat semua kelulusan yang diperlukan, projek itu dijadualkan siap pada Julai, 2023.
Titijaya berkata, tempoh perjanjian itu adalah 10 tahun dan pajakan bagi hartanah serta asetnya dianggarkan antara RM160 juta hingga RM 210 juta.
Pada 26 Mac 2022, Titijaya mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, City Meridian Development Sdn Bhd (CMD) dan DHL akan membangunkan kompleks komersial logistik paling moden di kawasan seluas 8.09 hektar di Bayan Lepas, Pulau Pinang untuk menyediakan penyelesaian logistik semikonduktor bagi sektor elektrik dan elektronik.
Titijaya berkata CMD akan mengekalkan peranannya sebagai pemaju hartanah manakala pembinaan dan pajakan akan dijalankan oleh Aman Duta.
“Perjanjian itu dijangka tidak memberi sebarang kesan terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham, tahap kadar hutang, modal saham dan pegangan oleh pemegang saham utama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.
“Penyewaan kemudahan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan sepanjang tempoh penyewaan tersebut,” katanya.
Sumber: Bernama