V.S. Industry peruntuk RM150 juta perbelanjaan modal bagi pengembangan
07 Jan 2022
V.S. Industry Bhd (VS) memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah kira-kira RM150 juta bagi mengembang dan meningkatkan kapasiti dan keupayaannya.
Pengarah Urusannya Datuk SY Gan berkata kumpulan itu membelanjakan RM30.0 juta untuk membeli tiga bidang tanah bersebelahan seluas 3.6 hektar di Senai, Johor bagi tujuan pengembangan masa depan pada November 2021.
“Tumpuan utama kami masih kepada menyediakan serahan berkualiti yang tepat pada masa kepada pelanggan kami sambil mengekalkan pelaksanaan standard yang sangat baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa yang sama, kumpulan juga akan melaburkan usaha dan sumber untuk mengukuhkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Secara keseluruhannya, kami optimistik dalam berhati-hati terhadap prospek kami berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan di atas, selain peka kepada cabaran,” katanya.
Pada tahun kewangan 2021, kumpulan itu meneruskan amalan pembayaran dividen suku tahunannya, dengan pembayaran dividen berjumlah RM113.8 juta, berdasarkan keuntungan bersihnya sebanyak RM245.4 juta.
Sehingga 1.35 petang, harga saham VS berada pada RM1.34 dengan 2.25 juta unit diniagakan.
Sumber: Bernama