Vaksin COVID-19 jalan terbaik rancak ekonomi
26 Feb 2021
Ketersediaan vaksin COVID-19 dalam negara disifatkan sebagai jalan terbaik dalam usaha merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi.
Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata dengan adanya vaksin itu juga memberi petanda bahawa kerajaan tidak perlu lagi melaksanakan Perintah Kawalan pergerakan (PKP), termasuk kemungkinan membuka sepenuhnya sektor ekonomi.
“Ketika kerajaan melaksanakan PKP sebelum ini, kita lihat pada ketika itu ekonomi menguncup lebih 17 peratus, ekonomi domestik dan external kita terjejas kerana pada ketika itu tiadanya vaksin…apa dilaksanakan ketika itu hanyalah dengan mengamalkan penjarakan zikal, hentikan segala bentuk ekonomi, pergerakan dan sebagainya.
“Tetapi dengan adanya vaksin pada hari ini kalau dari segi ekonomi makanya, kita tidak perlu lagi lockdown (sekatan pergerakan) dan tiada alasan lagi untuk kerajaan melaksanakannya,” kata beliau.
Madeline berkata demikian ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Setahun Malaysia Prihatin (Ekonomi, Politik dan Perundangan)’ di sini, malam ini.
Beliau berkata meskipun negara telah mempunyai vaksin, apa yang penting adalah rakyat harus kekal mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga diri bagi membantu mengekang penularan jangkitan COVID-19 secara optimum.
Sementara itu, mengenai keprihatinan kerajaan sepanjang setahun mentadbir negara, Penganalisis Politik dan Perundangan Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek berkata langkah yang dilaksanakan kerajaan selama ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kesengsaraan rakyat khususnya ketika negara dilanda pandemik COVID-19.
“Sebenarnya pada saya secara peribadi, tidak boleh untuk bandingkan kerajaan sekarang dengan kerajaan sebelum ini kerana dalam sejarah Malaysia, ini kali pertama sebuah kerajaan dibina pada masa sama mendapat cabaran paling hebat dengan isu COVID-19 sekali gus perlu urus tadbir negara dengan baik, kebajikan rakyat, ekonomi dan sebagainya.
“Ini perlukan fokus amat hebat dan perlukan bantuan dan sokongan semua pihak tidak kira pembangkang atau kerajaan, jabatan kerajaan atau swasta…kerajaan ini memang digelar kerajaan prihatin kerana banyak program dan agenda dilaksanakan kerajaan untuk rakyat,” katanya.
Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pzer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad (21 Feb) lepas.
Sumber: Bernama