VentureTECH memeterai perjanjian pelaburan RM10 juta dengan Kiwitech
16 Dis 2020
VentureTECH, sebuah subsidiari milik penuh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), telah mengumumkan kemasukannya dalam industri bandar pintar melalui pemeteraian perjanjian pelaburan RM10 juta dengan Kiwitech Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera yang menawarkan perkhidmatan aplikasi pengawasan bandar berasaskan Internet Pelbagai Perkara (IoT).
Syarikat itu dalam satu kenyataan Selasa berkata menerusi transaksi ini, ia akan dapat memanfaatkan pasaran bandar pintar global yang semakin berkembang dan dijangka mencecah US$717.2 bilion (US$1=RM4.05) menjelang 2023.
Didorong oleh kesedaran yang semakin meningkat mengenai “segala-galanya pintar”, konsep bandar pintar telah mendapat perhatian susulan daripada penggunaan teknologi perantara.
“Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai antara negara yang amat membangun di Asia Timur dan kawasan yang menikmati perkembangan perbandaran yang paling pesat di dunia, VentureTECH memuji inisiatif kerajaan untuk menggalakkan syarikat tempatan seperti Kiwitech memanfaatkan peluang besar yang dibentangkan oleh peningkatan penduduk bandar yang kini berkembang daripada kira-kira 66 peratus pada 2004 kepada 76.6 peratus pada 2019.
“Jangkaan pertumbuhan perbandaran akan diperkukuhkan dengan aktiviti penghijrahan yang dipengaruhi oleh landskap ekonomi serta pekerjaan yang terus beralih daripada aktiviti berasaskan pertanian kepada peluang yang didorong oleh pertumbuhan dalam industri dan perkhidmatan,” katanya.
Pengarah Urusan VentureTECH, Dr Norida Abd Rahman berkata perbandaran malaysia yang pesat telah menyebabkan keperluan dan pelaksanaan bandar pintar diselaraskan dengan agenda nasional serta 11 Objektif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk mewujudkan bandar dan komuniti mampan seperti yang dikembangkan oleh MIGHT.
“Pelaburan VentureTECH dalam Kiwitech bukan sahaja akan menyokong transformasi bandar-bandar Malaysia menjadi bandar pintar dengan cara perkongsian awam-swasta, tetapi juga bertujuan bagi mempercepatkan pelaksanaan aplikasi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) di peringkat platform, memanfaatkan bakat dan kepakaran Bumiputera serta tempatan yang mahir dalam tujuan meningkatkan platform digital bandar pintar semasa.
“Perbandaran pintar melibatkan pelaburan dalam modal insan dan sosial, infrastruktur termasuk teknologi pengganggu yang memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kualiti hidup yang tinggi dengan pengurusan yang boleh diterima melalui tadbir urus penyertaan,” katanya.
Pada masa ini, Kiwitech berkhidmat dengan 28 daripada 52 PBT di Malaysia dan mempunyai tapak di tiga daripada lima bandar perintis yang dikenal pasti dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia.
Sejak penubuhannya, dan dengan penambahan Kiwitech, VentureTECH telah melabur serta komited membuat pelaburan dalam 23 peneraju industri teknologi dalam industri berasaskan bio yang sedang membangun serta mesra alam dengan agregat pelaburan bersih bernilai sekurang-kurangnya RM1 bilion.
Sumber: Bernama