Vitrox tingkatkan operasi dalam persekitaran kelembapan semikonduktor
10 Feb 2023
Pengeluar peralatan pemeriksaan penglihatan, Vitrox Corp Bhd merancang untuk meningkatkan operasinya dalam persekitaran kelembapan semikonduktor semasa berikutan ia menjangka pemulihan yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chu Jenn Weng berkata Vitrox telah menerima manfaat daripada ledakan semikonduktor dalam beberapa tahun ini, membawa kepada pertumbuhan yang pesat.
“Ini merupakan masa untuk kami melakukan penyelenggaraan supaya kami lebih bersedia untuk perkara yang lebih besar pada masa akan datang dan kami yakin untuk peningkatan semula yang kukuh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Kami telah merangka strategi untuk mengambil lebih ramai tenaga kerja dan ini adalah masa yang baik untuk kami melabur lebih banyak dalam penyelidikan dan pembangunan serta dalam segmen pendidikan kami,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Vitrox College hari ini.
Ia disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Dalam kenyataan berasingan, syarikat itu berkata ia telah melancarkan Vitrox College untuk menyediakan pendidikan yang berteraskan industri, memberi inspirasi dan inklusif dengan memberi penekanan yang kuat terhadap persekitaran pembelajaran yang menarik dan praktikal.
Katanya kolej itu ditubuhkan untuk merapatkan sistem pendidikan dan industri dengan menggunakan amalan bilik darjah yang berkaitan dengan kerja seharian sebenar dalam industri.
“Vitrox College secara rasmi diumumkan penubuhannya pada 19 Disember 2022, selepas mendapat akreditasi daripada Kementerian Pengajian Tinggi.
Sementara itu, Chow berkata Vitrox komited untuk merapatkan dan mengukuhkan hubungan antara industri dan ahli akademik sejak penubuhannya pada 2000.
Sumber: Bernama