Walta Pulau Pinang pertingkat pusat melatih bakat TVET, stem dengan pelaburan RM10 juta
28 Nov 2022
Walta Engineering Sdn Bhd (Walta) melabur sebanyak RM10 juta untuk mempertingkatkan Pusat Kecemerlangan Walta (WCOE) bagi memupuk bakat dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Ketua Pegawai Eksekutif WCOE Moey Lip Seng berkata sehingga kini, lebih 1,400 peserta telah menghadiri latihan kemahiran korporat di pusat tersebut dan lebih 110 graduan TVET dalam bidang automasi industri dan pemesinan kejituan telah dihasilkan.
Moey berkata sebagai sebahagian daripada rancangan pembesaran untuk TVET dan STEM, WCOE merancang membina bangunan baharu bersebelahan dengan bangunan sedia ada.
“Bangunan baharu itu akan digunakan untuk makmal pemesinan lanjutan TVET dan ‘makmal fabrikasi’ STEM yang bersedia untuk menyumbang ke arah pembinaan bakat yang sihat untuk industri,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Makmal fabrikasi STEM akan bertindak sebagai pusat untuk menyelaras, memacu dan mengekalkan inisiatif pendidikan STEM di Pulau Pinang.
Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyaksikan majlis pertukaran perjanjian di antara Walta dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk perjanjian pajakan 15 tahun bagi pembinaan bangunan baharu.
Chow berkata Pulau Pinang komited untuk mendalami dan meluaskan kumpulan bakat melalui pelbagai inisiatif STEM bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat di samping menarik pelaburan strategik baharu.
“Selain memupuk institusi TVET seperti WCOE, beberapa inisiatif berterusan seperti Program Subsidi Latihan Industri Pulau Pinang (PISP) yang menawarkan subsidi upah kepada syarikat tempatan dalam pengambilan pelatih.
“Terdapat juga Penang Future Foundation, yang menyediakan biasiswa untuk pelajar yang layak, rumah mampu milik untuk pekerja berpengetahuan, dan penglibatan berterusan dengan pemain industri dan institusi pengajian tinggi bagi memastikan ketersediaan bakat di tempat kerja,” katanya.
Sumber: Bernama