WCR: Kedudukan lebih baik bukti keyakinan pelabur – Ahli ekonomi
21 Jun 2023
edudukan Malaysia pada tangga ke-27 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2023 berbanding ke-32, menggambarkan keyakinan pelabur dan mengesahkan komitmen negara terhadap dasar ekonomi semasa dan hala tuju strategik sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan dan perdagangan.
Profesor ekonomi Sunway University, Dr Yeah Kim Leng berkata, kejayaan itu yang diraih baru-baru ini menggariskan komitmen negara untuk mengemukakan dasar ekonomi dan orientasi strategik sebagai lokasi pilihan bagi pelaburan dan perdagangan.
“Kejayaan itu juga adalah pengiktirafan kepada peningkatan tahap pelaburan langsung asing serta keyakinan pelabur terhadap prestasi ekonomi kita.
“Selain itu, peningkatan yang konsisten ini akan menggalakkan kerajaan untuk menumpukan kepada bidang lain yang telah dikenal pasti memerlukan lebih banyak perhatian seperti pembangunan modal insan, pembaharuan dalam kawal selia digital dan perniagaan serta pembangunan mampan,” katanya.
Menurut IMD, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 dalam kalangan negara paling berdaya saing dunia pada 2023, melonjak daripada tangga ke-32 berikutan pemulihan ekonomi, pertumbuhan pelaburan serta aspek yang baik bagi kestabilan kadar pertukaran dan pasaran buruh.
Walaupun Malaysia kukuh antaranya dari segi harga, infrastruktur asas dan dasar cukai, IMD berkata negara ini tidak memenuhi standard bagi kedudukan sub-faktor seperti perundangan perniagaan, pendidikan dan rangka kerja sosiobudaya.
Sehubungan itu, Yeah berkata, masih terdapat ruang penambahbaikan dari segi kemudahan untuk menjalankan perniagaan dan mengurangkan beban pengawalseliaan.
“Kualiti pendidikan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan penawaran bakat yang memenuhi keperluan kemahiran industri,” katanya sambil memaklukan persepaduan sosial boleh ditambah baik menerusi dasar yang inklusif dan usaha negara intuk menggalakkan perpaduan.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan semasa dalam ranking IMD menunjukkan bahawa kerajaan dalam kedudukan yang tepat untuk memacu negara menjadi negara maju.
“Kedudukan sebagai berdaya saing itu memaparkan antara lainnya aspek kelancaran menjalankan perniagaan, dasar lebih jelas dan konsisten serta kerangka kerja undang-undang yang berwibawa dan membolehkan perniagaan terus maju.
“Ini akan menyumbang dari segi peningkatan pekerjaan tambahan untuk kelompok rakyat yang mahir, khususnya dalam kalangan siswazah,” katanya.
Sementara itu, Penganalis Ekonomi daripada Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kedudukan atau ranking tersebut adalah berdasarkan data jelas (bersifat kuantitatif yang boleh dianalisis secara rasmi) selain persepsi daripada kalangan pengurus global.
“Sejajar dengan kestabilan politik yang dicapai pada tahun lepas, ini telah meningkatkan persepsi pengurus terhadap prospek ekonomi Malaysia serta daya saingnya.
“Pada tahun lepas juga menyaksikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia melonjak kepada 8.7 peratus yang turut membuktikan aspek daya saing itu,” katanya.
Ahmed Razman berkata, peningkatan dari segi harga juga disebabkan oleh kemampuan negara mengekalkan kadar inflasi yang rendah berbanding negara-negara Asean lainnya.
Laporan WCR IMD tersebut adalah berdasarkan 336 kriteria daya saing mengikut empat kategori — prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan, kecekapan korporat dan infrastruktur.
Malaysia berada di kedudukan ke-27 daripada 64 negara, naik lima tangga dan meningkat dalam keempat-empat kategori itu yang memaparkan optimistik serta kemampuan berdaya tahan dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi global dan krisis selain pelbagai halangan domestik.
Denmark di kedudukan teratas bagi tahun kedua berturut-turut dan diikuti Ireland manakala Switzerland di tempat ketiga.
Sumber: Bernama