WGC Kuantan bandar sarung tangan pertama Malaysia
26 Mac 2021
World Glove City (WGC) di Kuantan, Pahang bakal menjadi bandar pintar pertama di Malaysia yang menggabungkan pembangunan perindustrian sarung tangan global, kediaman dan komersial.
WGC adalah projek perkongsian awam dan swasta antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan World Glove International Group City & Hub Development Sdn Bhd (WGIC).
Ketua Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Datuk Madani Sahari, berkata projek WGC akan menggunakan teknologi maju terutama dalam pembuatan sarung tangan bagi memenuhi keperluan global selain kehidupan pintar.
Beliau berkata, MARii akan terbabit dalam menentukan teknologi pintar yang akan digunakan di WGC, dari kemudahan pembuatan sehinggalah kediaman.
WGC juga, katanya akan memulakan pembangunan fasa pertama dengan pelaburan sebanyak RM100 juta daripada WGIC.
“Kerjasama ini membuka peluang kepada perniagaan dan pelabur untuk melabur di WGC. Ia juga akan meningkatkam penggunaan teknologi dalam pembuatan dan kehidupan harian.
“Ia bakal dilengkapi dengan teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan kepintaran buatan. Ini adalah fasa pertama dengan pelaburan sebanyak RM100 juta dan terdapat sembilan fasa secara keseluruhannya sehingga 2025.
“WGC juga akan mempercepatkan Revolusi Industri 4.0 di Malaysia,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan MGIC di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi MARii, Datuk Phang Ah Tong; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Mohd Zaid Harun; Penasihat WGIC, Tan Sri Syed Mohd Yusof; dan Pengasas Bersama WGIC, Datuk Seri Desmond Lim.
WGC bakal mengubah landskap ekosistem pembuatan sarung tangan Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara dalam industri itu di peringkat global.
Ketika ini, Malaysia adalah pengeksport sarung tangan getah terbesar dunia sebanyak 60 peratus.
Sementara itu, Lim berkata, WGIC melabur bagi pembinaan kemudahan pembuatan sarung tangan dengan 10 barisan utama serta kemudahan simpanan produk sarung tangan.
Beliau berkata, fasa pertama kemudahan pembuatan sarung tangan dan peralatan perlindungan diri (PPE) dijangka siap sepenuhnya tahun ini dengan pembinaan bermula pada Jun 2021.
“Fasa pertama akan membabitkan kemudahan seluas 370 ekar yang akan mempunyai 10 barisan pengeluaran sarung tangan dan PPE. Ia dijangka akan bermula pada suku pertama 2022.
“Kumpulan menyasarkan apabila kemudahan dengan 10 barisan ini siap kelak, ia dapat mengeluarkan 200,000 keping sarung tangan.
“Dua barisan bakal siap pada November ini manakala bakinya secara berperingkat sehingga suku pertama tahun hadapan,” katanya.
WGIC pada majlis itu turut menandatangani perjanjian persetujuan pemajakan tanah dengan PKNP.
Lim berkata, WGC bakal meluaskan lagi eksport produknya ke Mesir dan China selain dapat mengukuhkan lagi kehadiran produknya di Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
Sumber: Berita Harian