WTCA labur lebih RM60 juta bangun projek pemasangan tempatan GAC - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


WTCA labur lebih RM60 juta bangun projek pemasangan tempatan GAC

WTCA labur lebih RM60 juta bangun projek pemasangan tempatan GAC

11 Mei 2023

WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA), anak syarikat milik penuh Warisan TC Holdings Bhd melabur lebih RM60 juta untuk mengembang dan melonjak jenama GAC, antara jenama automotif terkemuka dari China.

Pelaburan terbabit juga adalah untuk menaik taraf kilang pembuatan milik Tan Chong di Segambut bagi memasang model GAC Motor GS3 serba baharu serta mengembangkan kehadirannya di seluruh negara.

Suntikan pelaburan untuk projek pemasangan tempatan (CKD) itu juga adalah pelaburan untuk peralatan model khusus bagi memenuhi keperluan CKD model baharu dan keperluan standard GAC.

Projek CKD yang diumumkan kira-kira 18 bulan selepas WTCA dan GAC International memeterai perjanjian pengedaran, pelantikan WTCA sebagai pengedar tunggal dan eksklusif kenderaan GAC di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings, Tan Keng Meng, berkata dengan pengalaman dan suntikan pelaburan terbaharu itu, syarikat itu yakin dapat memenuhi jangkaan GAC.

“Pasukan kami mempunyai kerjasama yang kukuh dengan pasukan GAC untuk memastikan kami dapat memenuhi Piawaian Kualiti GAC.

“GAC telah menetapkan standard yang sangat tinggi dalam industri automotif kerana mereka telah mendominasi tempat teratas dalam Tinjauan Kualiti Permulaan JD Power China selama lapan tahun berturut-turut,” katanya pada sidang media selepas pengumuman projek CKD WTCA-Guangzhou Automobile Group (GAC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden Kumpulan GAC dan Pengerusi Antarabangsa GAC, Yu Jun.

Projek CKD terbabit adalah sebahagian daripada perkongsian komersil jangka panjang GAC Motor dan Kumpulan Tan Chong di rantau ASEAN.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, WTCA akan memperkenalkan inventori yang menarik dan komprehensif bagi model GAC MOTOR pemanduan sebelah kanan, termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV), sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Selain itu, semua model Global GAC Motor baharu akan dibangunkan serentak untuk pemanduan sebelah kanan dan kiri, memastikan pengguna Malaysia menerima model terkini pada kadar yang sama seperti pengguna global yang lain.

Mengulas lanjut, Keng Meng berkata, kerjasama CKD antara WTCA dan GAC adalah satu pencapaian penting bagi industri automotif Malaysia kerana projek CKD Malaysia adalah yang pertama untuk projek GAC di ASEAN.

Katanya, ia menunjukkan komitmen kedua-dua syarikat untuk mengembangkan kehadiran dalam pasaran Malaysia dan membekalkan pengguna Malaysia dengan kenderaan termaju.

“WTCA juga merancang menggunakan pelaburan ini untuk menubuhkan lebih daripada 70 bilik pameran melalui persediaan cawangan dan pelantikan pengedar untuk meliputi seluruh negara.

“Bilik pameran perdana GAC Motor Malaysia yang pertama akan berpangkalan di Seksyen 13 Petaling Jaya, yang dijangka siap pada suku ketiga 2023.

“Bilik pameran flagship baharu itu akan mengalu-alukan semua pelanggan untuk melawat dan melihat dengan lebih dekat kenderaan GAC Motor. Pelanggan digalakkan untuk memandu uji untuk merasai keunggulan produk,” katanya.

Sementara itu, Jun berkata, GAC yang sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi dalam menghasilkan kereta berkualiti tinggi meletakkan keyakinan terhadap WTCA berdasarkan pengalaman luas dalam industri automotif.

“Kami yakin WTCA dapat memenuhi standard kualiti pembuatan kami yang tinggi. Kami menjangkakan bahawa dengan pembangunan tiga hingga lima tahun, pengeluaran serta jualan akan mencecah 50,000 unit.

“Untuk memenuhi sasaran ini, GAC akan terus menyelaraskan sumber dalaman dan luaran serta meningkatkan sokongan untuk pasaran Malaysia, mempercepatkan pelancaran model utama, menambah baik matriks model serta menyediakan produk kenderaan yang lebih pintar dan berkualiti tinggi untuk pengguna tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, WTCA akan memulakan pemasangan model pertama CKD, GAC Motor GS3 pada suku kedua tahun depan.

Model berkenaan hadir dengan enjin 1.5 Turbo Direct Injection generasi ketiga yang digandingkan dengan transmisi WDCT 7-kelajuan dengan tork 270Nm pada 1,400 hingga 4,500rpm.

Dengan reka bentuk generasi akan datang dan sistem bantuan pemandu termaju tahap 2, model terbabit dijangka menarik minat pembeli di pasaran automotif tempatan.

WTCA berkata, butiran lanjut mengenai model berkenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sumber: Berita Harian

TwitterLinkedInFacebookWhatsApp
wpChatIcon