Berita Ekonomi Archives - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


RMK12: Purata pelaburan swasta dijangka RM301 bilion setahun, pelaburan awam RM83 bilion

Pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus setahun atau purata RM301 bilion setahun pada harga semasa, disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada merentas sektor utama ekonomi yang lebih cepat.

Menurut laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) 2021-2025 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada Isnin, usaha akan dipergiat untuk menggalakkan pelaburan berkaitan teknologi dalam industri pertumbuhan tinggi bernilai tinggi (HGHV), termasuk elektrik dan elektronik, pertanian pintar dan tenaga boleh baharu (TBB).

Di samping itu, firma akan digalakkan untuk meningkatkan pelaburan dalam mesin dan peralatan bagi mengembangkan kapasiti dan produktiviti.

Selain itu, inisiatif pelaburan sedia ada akan disemak semula untuk menarik pelaburan berkualiti yang menggunakan teknologi terkedepan dan menawarkan pemindahan teknologi, tambahnya.

Laporan itu memaklumkan sektor swasta akan digalakkan untuk mempergiat pelaburan hijau dalam operasi dan premis perniagaan, termasuk untuk pembangunan dan penggunaan sumber TBB.

Inisiatif ini akan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti, terutama yang memberi tumpuan kepada teknologi termaju, menurut laporan itu.

Pelaburan awam dijangka RM83 bilion setahun

Pelaburan awam dijangka berkembang sebanyak 3.9 peratus setahun atau purata RM83 bilion setahun pada harga semasa disumbang oleh perbelanjaan pembangunan kerajaan Persekutuan dan perbelanjaan modal oleh perusahaan awam bukan kewangan.

Laporan itu menambah, kerajaan akan terus melaksanakan program dan projek bagi meningkatkan keupayaan produktif ekonomi.

Projek ini termasuk pembukaan kawasan perindustrian berteknologi tinggi yang baharu di Kimanis dan Kota Belud, Sabah serta Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis, serta peluasan Taman Teknologi Tinggi Samajaya di Sarawak dan Taman Perindustrian Tok Bali di Kelantan, di samping pembinaan Central Spine Road dan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), menurutnya.

Sumber: Bernama

RMK12: Purata pelaburan swasta dijangka RM301 bilion setahun, pelaburan awam RM83 bilion


Content Type:

Duration:

ASEAN telah menyelesaikan 11 daripada 16 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah Indonesia sebagai pengerusi, manakala lima daripada tujuh PED di bawah bidang kuasa Menteri Ekonomi ASEAN juga siap dilaksanakan, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata PED yang telah diselesaikan termasuk Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).

Beliau berkata DEFA menyediakan pelan hala tuju komprehensif untuk memperkasakan perniagaan secara digital dengan mempertingkatkan saling boleh kendali dan keselamatan siber bagi menggalakkan perdagangan dan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam memastikan keterangkuman, MITI sentiasa menyuarakan kepentingan perniagaan terutama PMKS di ASEAN dan Malaysia.

“Perniagaan juga boleh meraih manfaat daripada Rangka Kerja ASEAN untuk Inisiatif Berasaskan Projek Perindustrian, yang menyokong pemulihan sektor perindustrian dan komersial dengan menggalakkan pertumbuhan rangkaian pengeluaran baharu dan rantaian bekalan yang berdaya tahan untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut MITI, keutamaan utama ASEAN termasuk menerima guna ekonomi digital, mencapai keneutralan karbon, mengutamakan agenda pembangunan mampan dan mempertingkatkan daya tahan rantaian bekalan — langkah penting dalam merealisasikan pembangunan ekonomi yang mampan untuk rantau itu.

Malaysia yakin PED itu akan mendorong ASEAN ke arah menjadi zon ekonomi amat bersepadu, bersatu, berdaya saing dan rancak di samping memupuk kebolehsuaian digital dan kemampanan, akhirnya memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kemakmuran perniagaan dan rakyatnya, tambah MITI.

Pengeksport Raih Manfaat

Tengku Zafrul berkata pengeksport juga akan meraih manfaat daripada Protokol Kedua untuk Pinda Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN- Australia-New Zealand (AANZFTA) — perjanjian perdagangan bebas utama yang merangkumi lebih 650 juta penduduk, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$4.5 trilion.

“Protokol Kedua untuk Pinda AANZFTA memperkenalkan tiga bab baharu iaitu mengenai pemerolehan kerajaan, PMKS, serta perdagangan dan pembangunan mampan,” katanya.

MITI menekankan bahawa Malaysia berharap untuk bekerjasama rapat dengan semua negara anggota ASEAN dan rakan blok itu bagi memastikan masa depan yang lebih makmur, hijau dan saksama.

Tengku Zafrul mengetuai pasukan MITI ke Sesi Khas Pemukiman Menteri-Menteri, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-23 serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-43, yang diadakan dari 1 hingga 7 Sept di Jakarta, Indonesia.

Sesi Khas Pemukiman itu menumpukan Tinjauan Ekonomi Global dan Serantau serta Aliran Masa Depan, Masa Depan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC): Pasca-2025.

Sementara itu, Mesyuarat Majlis AEC membincangkan PED di bawah Indonesia sebagai pengerusi, Pelaksanaan Pelan Tindakan AEC dan Agenda Kemampanan ASEAN.

Tengku Zafrul turut dijemput menyampaikan ucapan pada Forum Pelaburan Perniagaan ASEAN, dengan menekankan pelbagai usaha ekonomi dalam AEC, kepentingan ASEAN dalam memperkukuh daya tahan rantaian bekalan semasa krisis serta kepentingan peralihan ke arah ekonomi digital di samping menerima dan melaksanakan pelbagai langkah kemampanan.

Sumber: Bernama

ASEAN selesaikan 11 keberhasilan utama ekonomi, MITI terus perjuang kepentingan pengeksport Malaysia


Content Type:

Duration:

Australia telah mengenal pasti empat sektor utama yang berpotensi bagi mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi dengan Malaysia di bawah “Invested: Australia’s Southeast Asia Economic Strategy to 2040” yang baharu dilancarkan.

Ia adalah pertanian dan makanan, sumber, pendidikan dan kemahiran, dan ekonomi digital.

Menurut pelan tindakan itu, bidang kerjasama masa depan dalam sektor pertanian dan makanan termasuk sistem kawalan makanan, perdagangan makanan, dan peluang untuk perniagaan tani.

Pada masa ini, Australia menyediakan sebahagian besar produk makanan kepada Malaysia, termasuk anggaran 10 peratus daripada produk tenusu Malaysia, satu perempat daripada daging import dan dua pertiga daripada gandum import.

Dalam sektor sumber, ia menyatakan bahawa Australia berminat untuk terus menyokong pelan peralihan tenaga Malaysia melalui memperkukuh perkongsian peringkat institusi dan meluaskan bantuan teknikal mengenai penyahkarbonan, dan pembiayaan infrastruktur antara lain.

Ia menambah bahawa pada 2022, gas asli, tembaga dan arang batu merupakan antara enam barangan eksport tertinggi Australia ke Malaysia.

Strategi itu juga menggariskan komitmen Australia untuk meningkatkan kerjasama dalam ekonomi digital dengan Malaysia bagi menyokong cita-cita negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu secara digital dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

Australia dan Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman Australia-Malaysia Tech Exchange mengenai kerjasama digital pada 2020 untuk meningkatkan kerjasama digital, mengurangkan halangan kepada perdagangan digital dan mempromosikan peraturan perdagangan digital terbuka.

Ia juga berharap untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia untuk memasukkan peruntukan baharu dan kerjasama dalam ekonomi digital dan hijau.

Dalam pendidikan, Australia dan Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama dalam pendidikan dan latihan vokasional, penyampaian pendidikan tinggi dalam talian dan jaminan kualiti, pengiktirafan kelayakan dan kerjasama penyelidikan.

Ini akan memberi peluang lebih lanjut kepada penyedia pendidikan Australia.

Australia adalah antara destinasi pendidikan pilihan utama untuk rakyat Malaysia.

Sebelum 2020, terdapat lebih 24,000 rakyat Malaysia belajar setiap tahun di Australia manakala terdapat 15,420 pelajar Malaysia di Australia setakat 2022.

Australia ialah rakan dagangan barangan ketujuh terbesar Malaysia dan Malaysia ialah rakan dagangan barangan dan perkhidmatan kelapan terbesar Australia.

Pada 2022, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai AUD$33.5 bilion (US$21.4 bilion), manakala pelaburan dua hala berjumlah AUD$30 bilion (US$19.15 bilion).

Strategi itu dilancarkan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese pada Forum Indo-Pasifik ASEAN, yang diadakan di Jakarta, hari ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.

Dibangunkan oleh Duta Khas Australia untuk Asia Tenggara Nicholas Moore AO, ia menetapkan laluan praktikal untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala negara dengan rantau ini, termasuk 75 cadangan untuk mengembangkan perkongsian dengan negara Asia.

Sumber: Bernama

Strategi ekonomi Asia Tenggara Australia: Empat sektor pertumbuhan berpotensi dengan Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Kanada akan terus memperkukuh kerjasama dua hala termasuk dalam bidang baharu iaitu ekonomi hijau, sains dan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) menerusi Strategi Indo-Pasifik Kanada.

Persetujuan itu dicapai pada pertemuan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Kanada, Justin Trudeau ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan sidang-sidang kemuncak berkaitan di Jakarta, Indonesia hari ini.

Menerusi perkongsian di Facebook malam ini, Anwar berkata kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan dan hubungan sesama insan juga akan terus diperkukuhkan antara kedua-dua negara menerusi strategi itu.

“Kesepakatan turut dicapai dalam mempertingkat hubungan dan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Kanada ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Anwar turut memuat naik beberapa keping foto pertemuan pertama kali antara kedua-dua pemimpin itu.

Malaysia dan Kanada menyaksikan peningkatan dalam hubungan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM10.58 bilion pada 2021, selain nilai pelaburan Kanada dalam sektor pembuatan Malaysia dalam tempoh 40 tahun kebelakangan pula adalah RM789 juta.

Anwar mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung semalam hingga esok dan ia sidang kemuncak pertama beliau bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada.

Sumber: Bernama

Malaysia, Kanada perkukuh kerjasama baharu menerusi Strategi Indo-Pasifik Kanada – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan kerjasama selanjutnya dengan Amerika Syarikat (AS) menerusi tumpuan terhadap kerjasama ekonomi yang lebih mendalam melalui perjanjian kerangka pelaburan dan perdagangan serta libat urus ekonomi yang meluas.

Beliau menegaskan pentingnya menyokong pelaburan langsung asing, mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana ke peringkat antarabangsa, mempromosi pertumbuhan hijau untuk kemampanan iklim dan memastikan penggunaan sumber yang cekap dan keterjaminan makanan.

Cadangan Perdana Menteri dikemukakan semasa Sidang Kemuncak ASEAN-AS Ke-11 di sini, dihadiri Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris dan dipimpin Presiden Indonesia Joko Widodo.

Dalam dunia digitalisasi, beliau menggalakkan AS supaya bekerjasama dengan ASEAN untuk memajukan transformasi digital di rantau ini, meliputi kesalinghubungan infrastruktur digital, 5G selain daripada peraturan dan dasar data digital.

Mengenai tenaga, Anwar berkata ASEAN menyasarkan untuk menjana 23 peratus tenaga primer daripada tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025 dan berusaha mendapatkan sokongan daripada AS untuk mencapai sasaran itu.

Malaysia juga menyambut baik Perkongsian Strategik Komprehensif AS , terutamanya ucapan pemimpin di sidang kemuncak itu untuk memajukan Pandangan ASEAN terhadap Indo-Pasifik semasa sidang kemuncak ini.

“Ini adalah amat penting untuk negara-negara yang komited kepada prinsip demokrasi dan kebertanggungjawapan,” katanya.

Semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Kanada yang dihadiri Justin Trudeau, Anwar berkata: “Kanada merupakan rakan yang sangat boleh diharapkan,” dan menyatakan Trudeau sememangnya amat peka terhadap pendirian ASEAN, seiring dengan rakan sekutunya dari Barat.

“Justeru kami berminat untuk kerjasama selanjutnya dalam bidang ini, termasuk Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada dan isu perubahan iklim,” katanya.

Sumber: Bernama

Anwar cadang tingkatkan hubungan ekonomi dengan AS menerusi tumpuan perdagangan, pelaburan


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu belajar dari China untuk melonjakkan ekonominya, terutamanya dari segi inovasi teknologi dan pembuatan, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata meskipun kelembapan ekonomi China menjejaskan sektor pembangunan dan pembinaan hartanah, sektor pembuatan dan teknologi negara itu masih mempamerkan prestasi yang sangat baik.

“Melonjakkan ekonomi bermakna anda tidak terus menghasilkan pada tahap yang sama. Anda mesti cuba meningkatkannya menerusi teknologi untuk menghasilkan dengan menggunakan automasi serta membuat perancangan digital.

“Kita perlu melakukannya dengan cara berbeza dan mencapainya pada tahap tertinggi dengan gaji tinggi, produktiviti tinggi dan pertumbuhan tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan acara padanan bisnes perniagaan kepada perniagaan Malaysia-China Ke-5 bersempena dengan Ekspo China-Asean Ke-20 (CAEXPO) 2023, di sini, hari ini.

Liew berkata rangka kerja Ekonomi Madani dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga bertujuan untuk melonjakkan ekonomi Malaysia.

Mengenai CAEXPO 2023, beliau berkongsi bahawa Anwar akan menghadiri ekspo tersebut pada 17 Sept di Nanning, China, dan lawatan itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara serta sebagai persiapan bagi meraikan ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia-China.

Sementara itu, pengarah kanan bahagian penggalakan eksport dan akses pasaran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Amran Yem dalam ucapannya berkata hubungan erat Malaysia dan China bukan sahaja memelihara malahan mendorong trajektori hubungan ekonomi yang kukuh dan dinamik antara kedua-dua negara.

“Ketika ini, hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan China berkembang dengan baik dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 berjumlah hampir RM500 bilion, meningkat 15.6 peratus berbanding 2021.

“Eksport Malaysia melepasi paras RM200 bilion buat pertama kali, berkembang sebanyak 9.4 peratus kepada RM211 bilion dan merupakan nilai tertinggi pernah direkodkan. Begitu juga, import merekodkan hampir RM300 bilion dengan pertumbuhan 20.7 peratus,” katanya.

Selepas hampir tiga tahun sempadan ditutup, tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 CAEXPO dan begitu juga penyertaan Malaysia.

Sejak 2004, penyertaan Malaysia dalam CAEXPO telah berjaya membantu lebih daripada 2,000 syarikat dengan urusan perniagaan terkumpul berjumlah lebih US$1 bilion, katanya.

Banyak jenama Malaysia telah menyertainya dan malahan mengukuhkan kehadiran mereka di pasaran China melalui penyertaan mereka dalam CAEXPO dan ia menandakan ekspo tersebut sebagai platform penting bagi syarikat Malaysia untuk meneroka lebih jauh ke pasaran China yang amat besar, katanya.

Bagi CAEXPO tahun ini, Amran berkata, MATRADE sedang menyelaraskan sejumlah 107 syarikat Malaysia yang akan mempamerkan pelbagai rangkaian produk dan perkhidmatan bernilai tinggi mereka termasuk penjagaan kesihatan dan kesihatan, farmaseutikal, kosmetik dan peralatan mandian, minyak sawit sebagai biojisim, makanan dan minuman serta sektor perkhidmatan termasuk perakaunan, reka bentuk dalaman dan pendidikan.

“Bagi mesyuarat B2B tahun ini, ia dijangka menggunakan mod hibrid dengan sesi mesyuarat perniagaan maya bermula hari ini hingga 8 Sept 2023.

“Mesyuarat perniagaan fizikal akan diadakan dari 16 hingga 19 Sept sebagai susulan. Dijangkakan lebih 200 mesyuarat perniagaan akan diadakan untuk kedua-dua sesi fizikal dan maya,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia perlu belajar dari China untuk lonjakkan ekonomi


Content Type:

Duration:

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), komponen utama Ekonomi MADANI antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan jangkaan limpahan hasil yang lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar ibrahim.

Perdana Menteri berkata ia termasuk pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat yang lebih adil dan makmur.

“Pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi ini penting untuk menaikkan dan memperluaskan masyarakat kelas pertengahan.

“Arah aliran mega global seperti peningkatan peranan teknologi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kelestarian, anjakan demografi dan rantaian nilai globalisasi mengubah sifat pekerjaan,” kata Anwar semasa melancarkan NIMP 2030 di sini hari ini.

NIMP 2030, yang mengambil pendekatan berasaskan misi yang jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan wawasan Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata transformasi kemahiran adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan dan ini telah ditetapkan sebagai fokus strategi perindustrian negara.

“Bagi memenuhi permintaan industri, kita akan melaksanakan sistem gaji progresif yang menggalakkan pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

“Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), memastikan pemerolehan kemahiran yang diperlukan oleh industri,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Dari segi pekerjaan, Perdana Menteri berkata pertumbuhan pada 2.3 peratus diunjurkan dari 2023, menyediakan pendapatan untuk 3.3 juta orang pada 2030.

“Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri disebabkan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara maju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” kata beliau

Beliau berkata menerusi NIMP, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976, yang di bawah purata kebangsaan walaupun peranan dominan sektor itu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Peningkatan 128 peratus daripada 2021 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Tingkat kualiti hidup rakyat dengan gaji lebih baik antara fokus NIMP 2030 – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Kejayaan Malaysia meraih komitmen pelaburan kedua dari China pada tahun ini adalah susulan daripada usaha proaktif Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencari peluang pelaburan untuk memberi manfaat kepada negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan Malaysia, dalam lawatan kerja sehari ke Nanning pada Ahad atas jemputan Perdana Menteri China Li Qiang untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Dalam lawatan kerja sehari ke Nanning, China, Perdana Menteri yang disertai beberapa menteri Malaysia telah menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China.

Daripada tiga MoU tersebut, yang pertama dengan anggaran nilai RM15 bilion adalah pertukaran antara Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, iaitu kedua-dua syarikat akan meneroka potensi kerjasama pembangunan loji jana kuasa sisa kepada tenaga, terutamanya di Malaysia.

MoU kedua, bernilai kira-kira RM2.34 bilion, adalah antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group manakala MoU ketiga, dengan potensi nilai eksport sebanyak RM2.5 bilion, dimeterai antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

“Pentadbiran semasa secara proaktif mencari peluang pelaburan yang akan memudahkan peralihan negara ke arah tenaga boleh baharu (TBB).

“Saya berpendapat ia akan membuka lebih banyak peluang untuk perniagaan Malaysia, mungkin melalui pemindahan teknologi yang akan membantu mempelbagaikan portfolio TBB kita,” kata Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

Katanya potensi usaha niaga dengan syarikat China dalam industri logistik dan minyak sawit akan turut membantu mengukuhkan industri sedia ada Malaysia.

Pada sidang media, Anwar berkata MoU antara Sime Darby Oils International dan GuangXi Beibu akan membantu melindungi kepentingan pekebun kecil dan pengeluar sawit.

Berkongsi pandangan yang sama, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan MoU tersebut sebagai berita baik untuk industri minyak sawit.

“Ini boleh meningkatkan lagi pasaran kami di sini, terutamanya hiliran. Dengan perjanjian ini, kami berharap dapat menyaksikan eksport produk hiliran kami berdasarkan kenaikan minyak sawit di sini,” kata Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Terdahulu, Ahmad Parveez telah dijemput oleh kerajaan China untuk membicarakan mengenai perdagangan minyak sawit dan kemampanan pada CAEXPO.

Beliau sebelum itu telah dipelawa oleh Tsinghua University untuk mengetuai ujian perintis penyelidikan dan pembangunan ke atas kenderaan berat mengenai pelepasan karbon menggunakan biodiesel sawit yang membuahkan hasil positif.

CAEXPO 2023 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN (CABIS) berlangsung dari 16-19 Sept.

Lawatan ini merupakan lawatan kedua ke China untuk Anwar apabila Perdana Menteri membuat lawatan sulungnya ke China pada Mac lepas, dan beliau melawat Beijing dan Hainan selepas memegang jawatan tersebut pada November lalu.

Lawatan pertama menyaksikan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi berjumlah RM170 bilion daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia berjaya menarik RM132.6 bilion nilai pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama melibatkan 2,651 projek yang dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Sumber: Bernama

Komitmen pelaburan kedua untuk Malaysia dari China cermin langkah proaktif Kerajaan Perpaduan


Content Type:

Duration:

Kejayaan Malaysia dalam mendapatkan lagi memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion dengan China tahun ini, membuktikan yang kerajaan menggunakan pendekatan betul mencari peluang pelaburan untuk manfaat kepada negara.

Sebanyak tiga MoU ditandatangani ketikalawatan kerja sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Nanning, China, semalam atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20.

Diiringi oleh beberapa menteri, Anwar menyaksikan pertukaran tiga MoU bernilai RM19.84 bilion di antara syarikat Malaysia dan China, sebagai tambahan kepada rekod komitmen pelaburan bernilai RM170 bilion yang diperoleh daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu pada Mac tahun ini.

Daripada tiga MoU itu, yang pertama dianggarkan bernilai RM15 bilion membabitkan Citaglobal Bhd dan Shanghai Sus Environment, yang mana kedua-dua syarikat akan meneroka kerjasama untuk membangunkan loji kuasa sisa kepada tenaga, khususnya di Malaysia.

Profesor Madya Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Dr Abu Sofian Yaacob berkata terdapat banyak industri berpotensi boleh dibangunkan daripada penerokaan ini seperti insinerator sisa untuk menukarkannya kepada tenaga.

“Ini boleh menjadikan persekitaran lebih bersih di Malaysia dan mengurangkan kadar elektrik,” katanya kepada Bernama hari ini.

MOU kedua, bernilai kira-kira RM2.34 bilion, adalah di antara PM Access World dan Beibu Gulf Port Group manakala MOU ketiga, dengan potensi nilai eksport RM2.5 bilion, ditandatangani di antara Sime Darby Oils International Ltd dan GuangXi Beibu Gulf International Port Group.

Abu Sofian berkata perjanjian PM Access World-Beibu Gulf Port Group akan membuka jalan kepada Malaysia untuk berkembang ke pasaran China.

“MoU bernilai RM2.34 bilion dalam pergudangan dan logistik merupakan satu lagi potensi untuk perniagaan eksport dan import. PM Access World mempunyai banyak cawangan di luar Malaysia dan terkenal sebagai penyedia pergudangan dan logistik.

“Ini boleh dipertingkatkan lagi melalui kerjasama dengan Beibu Gulf Port Group, sebuah entiti perniagaan yang mantap di China. Kumpulan ini terlibat dalam pelabuhan, logistik, industri dan perdagangan, hartanah dan pelaburan. Mereka juga memiliki pelabuhan dan perniagaan pelaburan di Hong Kong, Malaysia dan Brunei,” katanya.

Sementara itu, Abu Sofian berkata MoU di antara Sime Darby Oils International dan GuangXi Beibu membolehkan Malaysia menjual minyak sawit ditapis ke China serta ke negara jiran dengan China sebagai hab pengedaran.

Ini bermakna eksport minyak sawit dan produk minyak sawit Malaysia boleh meningkat, katanya.

Anwar pada sidang media memberitahu MoU Sime Darby Oils International-GuangXi Beibu akan membantu melindungi kepentingan pekebun-pekebun kecil dan pengeluar kelapa sawit.

Beliau berkata MoU itu akan meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia ke China kepada 500,000 tan setahun daripada 250,000 tan sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama 2023, Malaysia menarik pelaburan yang diluluskan bernilai RM132.6 bilion dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang melibatkan 2,651 projek dan dijangka mewujudkan 51,853 peluang pekerjaan di negara ini.

Sumber: Bernama

MOU China-Malaysia bernilai bilion ringgit bukti pendekatan betul diambil


Content Type:

Duration:

Pembangunan Projek Katalis Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 dijangka memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dan disasar menyumbang kira-kira 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan MVV 2.0 itu yang akan diterajui oleh agensi berkaitan pelaburan kerajaan negeri, Perbadanan NS, bakal memberi impak ekonomi ketara kepada negara menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara yang seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.

MVV 2.0 merupakan perancangan komprehensif jangka masa panjang sehingga tahun 2045 bagi daerah Seremban dan Port Dickson dengan memanfaatkan kedudukan strategiknya bersebelahan dengan pintu masuk antarabangsa negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan berdekatan Pelabuhan Klang.

“Pembangunan MVV membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi dengan peningkatan nilai pelaburan ke Negeri Sembilan melebihi RM32 bilion dari tahun 2018 hingga 2022,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Aminuddin berkata kejayaan Negeri Sembilan menarik pelaburan berjumlah RM8.9 bilion pada 2022, iaitu pencapaian tertinggi dalam sejarah, merupakan hasil manifestasi tadbir urus yang cekap dan sikap keterbukaan yang diamalkan kerajaan negeri.

Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengamalkan dasar terbuka dalam mengalu-alukan kemasukan pelabur terutamanya pemain industri berteknologi tinggi selain giat mengadakan sesi dialog bersama pelabur sedia ada serta yang berpotensi bagi mengembangkan operasi di Negeri Sembilan.

“Dasar ini menjadi kekuatan kerajaan negeri menarik lebih ramai pelabur dari dalam dan luar negara untuk melabur di kawasan MVV 2.0 memandangkan pembukaan kawasan perindustrian baharu dalam projek ini penting bagi memenuhi permintaan serta keperluan industri selain merancakkan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, konsep pembangunan yang dirangka kini sedang dalam fasa pelaksanaan selaras dengan rancangan bagi pembangunan fasa pertama projek katalis pembangunan iaitu projek ‘heartbeat’ yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan taman industri teknologi tinggi.

“Perancangan pembangunan MVV yang dahulu menyasarkan aktiviti ekonomi seperti perindustrian teknologi tinggi, pelancongan kesejahteraan, pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran perkhidmatan,” katanya.

Kini, ia diperincikan dengan perancangan khusus bagi setiap parcel pembangunan yang ditumpukan seperti Parcel A: Tech Park di Nilai, Parcel B: Smart County di Labu, Parcel C, NS Aerospace Valley di Tanah Merah dan Bukit Pelanduk di Port Dickson, Parcel D: Integrated Maritime Hub dan Waterfront Corridor di Port Dickson, Parcel E: NS Unmanned Vehicle Valley di Rantau, serta Parcel F: Semiconductor Valley di Senawang.

“Projek pertama akan dibangunkan di Parcel A, Nilai, dalam kawasan Ladang Hamilton dengan kerja-kerja membangunkan kawasan perindustrian telah dilancarkan dan kerja-kerja tanah sedang giat dijalankan,” katanya.

Manakala, Parcel B pula dirancang dalam kawasan seluas 8,796 ekar (3,518 hektar) untuk pembangunan Wilayah Pintar atau Smart County yang merangkumi kawasan perumahan dan komersial, industri ringan dan sederhana yang memfokuskan pengeluaran halal terutamanya dalam segmen makanan dan minuman, farmaseutikal dan industri kosmetik, hub perubatan serta hub pendidikan.

Menurutnya, Perbadanan NS juga telah memeterai perjanjian pembelian tanah Parcel B seluas 3,723 ekar (1,489 hektar) daripada Sime Darby Berhad bagi tujuan pembangunan di kawasan tersebut manakala pembangunan fasiliti pemasangan helikopter Turkish Aerospace Industries yang pada awalnya ditetapkan di Parcel C kini juga ditempatkan di Parcel B.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk membangunkan sebuah hab industri aeroangkasa yang dikenali sebagai NS Aerospace Valley di Parcel C manakala perancangan pembangunan Parcel D adalah untuk meningkatkan potensi industri perkapalan, pelabuhan dan logistik di Port Dickson.

“Parcel E dilihat berpotensi dibangunkan bagi ‘unmanned aerial vehicle’ mengambil kira ia tidak berada dalam laluan penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Parcel F yang dikenali sebagai NS Semiconductor Valley terletak berhampiran Taman Perindustrian Tuanku Jaafar juga kini dalam fasa perancangan yang akan dibangunkan sebagai pusat perindustrian bagi industri semikonduktor.

“Pada masa ini, syarikat SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) yang telah membawa masuk pelaburan berjumlah RM6 bilion sedang membina sebuah kilang sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa ke-2 di Parcel F,” katanya.

Aminuddin berkata, MVV 2.0 juga menerima pelaburan daripada Dutch Lady Milk Industries (DLMI) Berhad bernilai RM450 juta di kawasan seluas lebih 13 hektar di Bandar Baru Enstek dengan kerja pembinaan kilang telahpun dimulakan.

Menurutnya, Dutch Lady akan memindahkan sepenuhnya operasi mereka dari Petaling Jaya ke Bandar Enstek pada suku ketiga tahun ini yang bakal mewujudkan 400 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Kesemua usaha pembangunan diharap akan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat, yang mana akan dapat meningkatkan taraf ekonomi rakyat dan memberi impak limpahan positif kepada penduduk setempat,” katanya.

Sumber: Bernama

Pembangunan MVV 2.0 disasar sumbang 15 peratus kepada KDNK negara – Aminuddin


Content Type:

Duration:

Malaysia, Indonesia dan Thailand dijangka menarik pelaburan asing susulan kebanyakan syarikat berusaha untuk mengurangkan risiko daripada melabur di China, kata Moody’s Analytics.

Moody’s berkata apabila permintaan global beralih dari China ke Amerika Utara, negara-negara Asia akan mencari pelaburan baharu.

Ekonomi di Asia-Pasifik (APAC) juga semakin perlahan di bawah tekanan akibat perdagangan global yang perlahan, ketidaktentuan pemulihan ekonomi China daripada pandemik, kadar faedah tinggi dan beberapa pengetatan dasar fiskal, katanya.

“Impak terbesar ke atas seluruh Asia daripada kemelesetan ekonomi di China adalah melalui perdagangan. Bagaimanapun, negara-negara Asia akan mengelak daripada menghadapi kemelesetan tetapi tempoh baharu bagi pertumbuhan kukuh mungkin tidak akan berlaku sehingga pertengahan tahun 2024,” katanya dalam nota penyelidikan semalam.

Moody’s berkata faktor paling penting yang menyebabkan ekonomi China perlahan ialah hutang yang tinggi dan kekurangan permintaan dalam industri pembangunan hartanah.

Justeru, salah satu faktor utama yang membolehkan ekonomi APAC berkembang ialah penurunan inflasi, yang sedang berlaku sejak akhir tahun lepas, katanya.

Antara lima negara di Asia Tenggara, tiada negara di rantau itu yang menyaksikan ketibaan pelancong kembali ke tahap prapandemik, sama seperti pada akhir tahun 2019, katanya.

Bagaimanapun, sedikit peningkatan dijangka berlaku pada beberapa tahun akan datang kerana China baru-baru ini membenarkan pengaturan pengembaraan secara berkumpulan untuk perjalanan ke luar negara ke seluruh Asia tetapi ia hanya jangkaan kerana semuanya bergantung sama ada rakyat China mahu berbelanja mengembara dan berbelanja di luar negara, katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia terima manfaat daripada risiko pertumbuhan perlahan ekonomi China – Moody’s Analytics


Content Type:

Duration:

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan lebih selektif dalam memilih kemasukan syarikat asing ke negara ini dengan keutamaan kepada syarikat yang berkualiti dari segi pelaburan, kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Isham Ishak.

Beliau berkata strategi untuk mempunyai pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti lebih penting kerana kerajaan mahu kesan limpahan FDI dapat dimanfaatkan dan dinikmati rakyat, antaranya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan penggunaan teknologi terkini.

“Kalau kita melihat FDI tinggi, ini tidak bermaksud negara mencapai satu kejayaan dan jika FDI rendah, ini tidak bermakna negara tidak berjaya.

“Melihat kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang akan dilancarkan Jumaat ini, kita akan menilai FDI yang lebih berkualiti termasuk dari segi teknologi yang dikongsi atau dibina bersama melalui proses tambah nilai atau penciptaan nilai.

“Ini sekali gus dapat memantapkan rantaian bekalan agar ekosistem dapat diperkukuhkan lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pembukaan hab teknologi pertama Demant di luar Eropah di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berkenaan FDI yang mencatat aliran masuk bersih yang lebih rendah sebanyak RM3.1 bilion pada suku kedua 2023 berbanding RM12.0 bilion pada suku sebelumnya.

Isham berkata FDI yang rendah pada suku kedua tidak memberikan sentimen negatif kepada pelabur asing berikutan pelabur menumpukan kepada jumlah kumpulan bakat negara yang membanggakan, infrastruktur maju, sistem politik yang kukuh dan polisi kerajaan yang komprehensif serta dapat menyokong operasi syarikat masing-masing di negara ini.

“Antara buktinya, syarikat Demant dari Denmark ini telah membuka hab teknologi pertama mereka di luar Eropah di Kuala Lumpur dan bakal menempatkan 65 peratus pasukan jurutera dan pakar global yang akan menjadi peneraju dalam membangunkan penyelesaian perisian yang menggabungkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan,” kata Isham.

Demant adalah kumpulan penjagaan kesihatan dan teknologi pendengaran terkemuka di dunia yang menggajikan kira-kira 20,500 pekerja di seluruh dunia dan menyediakan perkhidmatan di130 negara.

Sumber: Bernama

MITI lebih selektif pilih FDI, mahu pelaburan berkualiti, manfaatkan rakyat


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan melaksanakan inisiatif single window untuk menyelaras dan menyusun semula fungsi, terutamanya berkaitan kerjasama merentasi agensi dan penggiat dalam ekosistem syarikat pemula sebagai panduan dalam penggubalan dasar dan membuat keputusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malaysia menyasar untuk berada dalam kalangan 20 negara utama ekosistem syarikat pemula global menjelang tahun 2030 serta membangunkan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula dan digital serantau, katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang pertama bagi tahun 2023.

“Sehubungan itu, Majlis telah bersetuju dengan pelaksanaan inisiatif bagi memperkukuhkan ekosistem syarikat pemula serta meningkatkan keterlibatan dan prestasi syarikat pemula tempatan,” katanya.

Anwar berkata inisiatif itu menetapkan sasaran mewujudkan 5,000 syarikat pemula menjelang tahun 2025.

Sehingga kini, terdapat sekurang-kurangnya 14 agensi yang terlibat dalam ekosistem syarikat pemula merangkumi aspek pembiayaan, pembangunan produk, pemasaran dan kepakaran, katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Majlis tersebut turut bersetuju untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek Pembangunan Identiti Digital Nasional (IDN) di bawah Jabatan Pendaftaran Negara.

IDN adalah suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital dengan merujuk kepada sumber tunggal yang sahih berdasarkan ciri-ciri biometrik individu.

Beliau berkata, IDN, apabila siap kelak, akan bertindak sebagai platform pengenalan diri digital yang boleh diyakini untuk pengesahan maklumat individu semasa mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia perkhidmatan bagi memastikan transaksi dalam talian berada dalam persekitaran digital yang fleksibel dan selamat.

“Kerajaan akan terus mempertingkatkan program pendigitalan sektor awam untuk memastikan kemajuan digital yang mapan dan memacu agenda transformasi digital negara.

“Pelaksanaan IDN ini adalah antara inisiatif di bawah Teras Memacu Transformasi Digital Sektor Awam dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, seiring dengan hasrat Ekonomi MADANI untuk mengangkat negara sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” kata Anwar.

MED4IRN dianggotai barisan menteri selaku Pengerusi Kluster dan inisiatif ekonomi digital serta ahli lantikan yang terdiri dari wakil sektor swasta, industri, ahli akademik, kumpulan pemikir dan pertubuhan masyarakat sivil yang telah dipilih melalui permohonan terbuka.

Majlis itu berperanan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif terkait agenda transformasi digital negara.

Sumber: Bernama

PM: Inisiatif single window akan dilaksanakan untuk perkukuh ekosistem syarikat pemula


Content Type:

Duration:

KUALA LUMPUR – Malaysia dijangka menerima lebih banyak pelaburan pada masa depan, disokong oleh keyakinan pelabur terhadap rangka kerja Ekonomi Madani dan daripada pelaburan sedia ada, kata Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presiden MSIA, Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, pendekatan mesra pelaburan yang diamalkan oleh kerajaan semasa akan menarik syarikat asing memasuki pasaran Malaysia.

“Kita dapat melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bekerja keras untuk menarik pelaburan dari seluruh dunia termasuk China, Amerika Syarikat (AS) serta “sentuhan peribadinya” dengan Elon Musk Tesla.

Terdapat pengumuman pelaburan lain daripada firma semikonduktor Eropah.

Pelabur akan melihat pelaburan yang diluluskan ini secara positif.

“Syarikat AS telah mengembangkan jejaknya di Malaysia, antaranya ialah syarikat terkemuka, Intel Corp, selain itu pelbagai syarikat baharu akan memasuki negara.

Justeru, pelabur yakin terhadap Malaysia tetapi kita mahukan lebih banyak pelaburan berkualiti,” katanya kepada Bernama.

Duta AS ke Malaysia, Brian McFeeters berkata, syarikat-syarikat AS membuat ikrar pelaburan berjumlah RM100 bilion dalam pelbagai sektor sejak 18 bulan lepas.

Beliau berkata, ia melibatkan pelaburan besar dalam bidang yang AS mahu mengukuhkan kehadirannya, iaitu sektor elektronik dan semikonduktor dan segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan tinggi.

McFeeters berkata, pelaburan AS masuk secara aktif ke Malaysia selepas mendapati Malaysia adalah bahagian penting dalam rantaian bekalan dunia semasa pandemik Covid-19.

“Banyak kilang AS bergantung secara langsung pada produk buatan Malaysia.

Sehubungan itu, kita mempunyai hubungan ekonomi yang saling menguntungkan yang telah dibangunkan sehingga hari ini,” katanya.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini berkata, Malaysia akan mengutamakan penambahbaikan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini untuk menarik pelaburan berkualiti.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperkemas proses dan memantau serta menjejaki proses pelaburan ini secara dekat dan dalam masa nyata melalui unit pengurusan dan penyampaian projek dI Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, Malaysia sentiasa menggambarkan sebagai sebuah negara tidak berpihak dan bersikap akomodatif kepada hubungan dua hala.

“Dalam dunia hari ini, ‘deglobalisation’ merupakan satu ancaman jika tidak ditangani.

Sehubungan itu, menjalin pakatan ekonomi dengan pelbagai negara harus dilihat sebagai komitmen Malaysia untuk terus terbuka kepada pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Lebih penting lagi, Mohd Afzanizam berkata, pelaburan oleh syarikat asing boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur serta pemindahan teknologi.

Mengenai prospek sektor elektrik dan elektronik (E&E), Siew Hai berkata penggiat industri menjangkakan permintaan akan meningkat pada tahun 2024.

“Semua orang menjangkakan permintaan akan meningkat tahun depan tetapi kita tidak tahu bila.

Ada yang mengatakan ia mungkin berlaku pada awal separuh tahun pertama manakala ada berpendapat ia dijangka berlaku pada separuh kedua tahun 2024.

Kita perlu memantau trend tersebut,” katanya.

Permintaan merosot pada akhir tahun lepas disebabkan permintaan pengguna yang lebih lemah, didorong oleh kebimbangan terhadap inflasi tinggi dan kemelesetan ekonomi, semuanya bergerak perlahan dan ia berterusan hingga tahun ini.

Siew Hai menjangkakan permintaan akan stabil hujung tahun ini. 

Sumber: Bernama

Pendekatan mesra pelaburan oleh kerajaan bina keyakinan – MSIA


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Perak berjaya menarik pelaburan sebanyak RM7.1 bilion bagi suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Beliau berkata angka itu menunjukkan peningkatan 550 peratus berbanding RM1.3 bilion yang diterima bagi tempoh yang sama tahun lepas.

“Dalam tempoh setahun ini, banyak pelaburan berimpak tinggi berjaya masuk ke negeri ini, termasuk projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) bernilai RM32 bilion di Tanjung Malim serta pembinaan kilang elektronik XP Power di Seri Iskandar dengan pelaburan RM300 juta.

“Selain itu pembinaan kilang memproses mineral di Silver Valley Technology Park dengan pelaburan sejumlah RM100 juta, dan banyak lagi kejayaan-kejayaan yang telah kita capai,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee sempena majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-111 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar serta Presiden MICCI Christina Tee Kim Chin.

Saarani berkata ia adalah satu pencapaian yang amat bermakna, diraih dalam suasana ketidaktentuan global, dan Perak tetap berjaya menarik minat pelabur untuk terus melabur di negeri ini.

“Seharusnya kita semua bersyukur kerana pencapaian yang kita peroleh ini adalah bukti bahawa pelan Perak Sejahtera 2030 yang kita lancarkan setahun lalu berada pada landasan yang betul.

“Namun semua usaha ini tidak hanya sampai di sini. Kita semua perlu sama-sama bekerja dengan lebih keras lagi untuk melengkapkan pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 sebagaimana yang telah dirancang,“ katanya.

Sementara itu, Saarani berkata pihaknya amat berharap MICCI boleh berkerjasama lebih erat dengan agensi-agensi kerajaan untuk terus berusaha membawa lebih ramai lagi pelabur masuk ke negeri ini supaya ia dapat melimpahkan jutaan manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri Kerajaan akan sedaya upaya membantu mempermudahkan segala urusan dalam meningkatkan pelaburan dalam negeri termasuk menyediakan infrastruktur yang sebaiknya dalam memastikan mereka dapat beroperasi dengan pantas dan mudah di negeri ini. 

Sumber: Bernama

Perak berjaya tarik pelaburan RM7.1 bilion suku pertama tahun ini


Content Type:

Duration:

Pemaju hartanah, MK Land Holdings Berhad (MK Land) merancang untuk mewujudkan lebih banyak ladang solar di negeri-negeri di utara Semenanjung terutamanya Kedah susulan kejayaan projek pertamanya, loji solar fotovoltaik (PV) berskala besar dengan kapasiti 10.95 megawatt (MW) di sini.

Pengarah Solar Citra Sdn Bhd (SCSB), Kamarulzaman Abu Bakar berkata projek rintis di Lembah Beriah, Kerian telah mula membekalkan tenaga solar kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak Jun lalu dengan sasaran kutipan kira-kira RM400,000 sebulan.

“Berdasarkan kejayaan di Lembah Beriah, Solar Citra Sdn Bhd milik penuh MK Land telah dipilih pada 8 Ogos lalu oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) sebagai salah satu pengeluar tenaga solar di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di Kulim, Kedah. 

“SCSB bersama Total Energies Renewables SAS dianugerahkan kuota 30 megawatt (MW) di tanah berkeluasan 52 hektar iaitu tiga kali ganda keluasan di Lembah Beriah menjelang 2025,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kejayaan MK Land mencapai pengoperasian komersial loji janakuasa solar fotovoltaik berskala besar 10.95 MW di bawah skim projek Solar Skala Besar 4 (LSS4).

Turut hadir Pengerusi MK Land, Felina Mustapha Kamal, Pengarah Urusan Solarvest, Lim Chin Siu dan Pengurus Teknikal GoodWe Malaysia, Muhammad Farhan Zainuddin.

SCSB telah melantik Solarvest Holdings Berhad sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek di Lembah Beriah di atas tanah berkeluasan 16 hektar. 

Pada Julai 2021, SCSB menganugerahkan kontrak EPCC kepada Atlantic Blue Sdn. Bhd, anak syarikat Solarvest dan GoodWe selaku subkontraktor yang juga pengeluar dan pembekal peranti penyongsang solar projek itu. 

MK Land kemudiannya menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar dengan Tenaga Nasional Berhad pada Ogos 2021 untuk tempoh 21 tahun selepas tapak itu ditauliahkan pada 30 Dis 2022. 

Kamarulzaman berkata loji solar PV baharu itu siap tujuh bulan lebih awal dari masa yang telah ditetapkan dan ia membuktikan keupayaan serta komitmen pihaknya dalam penyampaian kejuruteraan dan penyelesaian teknikal untuk projek LSS4. 

“Ladang solar ini menggunakan lebih 32,000 panel suria dengan kos RM52 juta dan ia akan menjana tenaga elektrik pada kadar 11 MW yang disalurkan kepada Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Merah sebagai sumber tenaga baharu. 

“Melalui GoodWe, kita menggunakan inovasi teknologi terkini dalam menghasilkan peranti penyongsang solar, stesen voltan sederhana termasuk teknologi komunikasi talian kuasa yang memudahkan kawalan jauh melalui kabel arus ulang alik sederhana untuk mengurangkan kos sistem,” katanya. 

Katanya pihaknya berperanan membina aset tenaga boleh diperbaharui di seluruh Semenanjung selain menyumbang kepada aspirasi negara untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.

Sumber: Bernama

Projek Rintis Catat Kejayaan Besar, Mk Land Sasar Bangunkan Lebih Banyak Ladang Solar


Content Type:

Duration:

Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) hari ini bersetuju agar penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensi dibawahnya turut meliputi pelaburan langsung domestik (DDI) selain pelaburan langsung asing (FDI).

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, DDI yang menumpukan kepada sektor ekonomi yang membawa kepada pembangunan negara perlu diselaraskan dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) supaya mereka dapat peluang melabur dan memberi sokongan kepada syarikat tempatan.

“Kita setuju supaya GLIC ini semuanya juga fokus kepada DDI… menginstitusikan proses.

“Sudah tentunya, mereka ada tadbir urus mereka sendiri, tetapi buat masa ini tidak ada proses yang jelas di mana kita kerjasama rapat dengan GLIC untuk bantu syarikat tempatan kita (dari segi) FDI dan DDI,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat MPN Bil 2/2023 di sini hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Manakala tokoh koporat yang menghadirinya termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd, Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, mesyuarat tersebut turut membincangkan mengenai agenda pemerkasaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai peneraju utama agensi penggalakan pelaburan (IPA).

“Agenda pemerkasaan MIDA sebagai agensi peneraju utama IPA (dibincangkan) dan akan diselaraskan dengan IPA lain untuk memudahkan urusan pelabur.

“Perdana Menteri banyak kali sebut bahawa kita perlukan satu pusat sehenti dan MIDA adalah pusat itu tetapi kita kena selaraskan dengan semua agensi lain supaya dari segi pelaksanaan itu bagus,” katanya.

Sumber: Bernama

MPN mahu MITI, agensi fokus pelaburan langsung domestik – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kerajaan menetapkan pelaburan langsung domestik (DDI) sebagai salah satu petunjuk prestasi utama bagi menjana jumlah pelaburan negara kerana ia berpotensi untuk menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kerajaan, khususnya melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua FDI dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kali kedua, hari ini.

Anwar berkata, selain menetapkan DDI sebagai petunjuk prestasi utama, mesyuarat MPN kali ini juga antara lainnya turut membincangkan mengenai mekanisme terbaik dalam memperkemaskan landskap Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara menjelang 1 Januari, 2024.

Sehubungan itu, katanya, MPN juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan antara MITI dan kesemua IPA akan diaktifkan semula.

“DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar Kerajaan bagi memantapkan landskap pelaburan dan perniagaan negara.” katanya.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut ialah Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.

Manakala tokoh koporat yang menghadirinya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Bhd Ahmad Zulqarnain Onn dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Anwar berkata kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bagi menjana pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mampan.

Selain itu, katanya, ia juga akan memperkasa ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran global seperti ancaman perubahan iklim serta pelbagai cabaran pasca pandemik dan geopolitik yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

Usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata, walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun ia perlu ditingkatkan dengan lebih menyeluruh lagi.

Sehubungan itu, katanya, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi MADANI iaitu kepentingan kerjasama dan pembabitan strategik oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI.

Menurutnya, secara keseluruhan, GLIC mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion dan memainkan peranan penting bukan sahaja memacu pembangunan infrastruktur kritikal dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuh ekonomi negara.

“Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekali gus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” kata Perdana Menteri.

Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) yang bakal menjana 140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini. Manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, daripada komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun-ke-tahun.)

“Peningkatan nisbah DDI mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa,” kata Anwar.

Sumber: Bernama

Pelaburan DDI strategik berpotensi tarik lebih banyak FDI – Anwar


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya menarik pelaburan komited sebanyak RM5.6 bilion untuk Pahang setakat bulan lepas.

ECERDC dalam satu kenyataan hari ini berkata antara pelaburan itu adalah dalam sektor pelancongan; perkhidmatan; pembuatan; minyak, gas dan petrokimia (OGP) serta perniagaan tani.

“Sejumlah 64 peratus daripada pelaburan komited itu ialah pelaburan langsung domestik (DDI) dan 36 peratus adalah pelaburan langsung asing (FDI) dari Singapura, China dan Kanada,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Pahang yang berlangsung di Putrajaya hari ini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail merasa yakin ECERDC akan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri berkenaan menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan, katanya.

Selain itu, beliau juga percaya projek infrastruktur pelancongan yang sedang dilaksanakan ECERDC di Pahang dapat menghasilkan kesan limpahan ekonomi dan manfaat kepada negeri berkenaan dan penduduk.

Antara projek itu ialah kerja menaik taraf jeti Kampung Salang di Pulau Tioman, flotila teratai di Tasik Chini dan kerja menaik taraf Pantai Hiburan di Rompin yang telah dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di ECER.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Baidzawi Che Mat berkata projek itu yang dijangka siap tidak lama lagi, merupakan sebahagian daripada strategi ECERDC untuk ‘Mencipta Destinasi’ bagi memangkin pelancongan domestik dengan memberi tumpuan kepada pembangunan destinasi mampan.

“Ia selari dengan fokus kerajaan Persekutuan ke arah ekopelancongan dan pelancongan lestari. Semua projek ini akan memberi peluang yang bermakna kepada pelancong untuk berinteraksidengan alam semula jadi dan penduduk tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

ECERDC raih komitmen pelaburan RM5.6 bilion di Pahang


Content Type:

Duration:

Syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) telah membuat ikrar pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia sejak 18 bulan lepas, kata Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters.

Pelaburan besar itu melibatkan bidang yang menjadi tumpuan AS untuk mengukuhkan kedudukannya seperti elektronik dan semikonduktor selain segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

“Pelaburan AS semakin ketara ke Malaysia dan ini sememangnya baik untuk AS. Ini kerana, kami mendapat tahu bahawa Malaysia berperanan penting dalam (menyumbang kepada) rantaian bekalan dunia sewaktu pandemik COVID-19.

“Banyak kilang-kilang yang bergantung secara langsung terhadap produk yang dibuat di Malaysia. Kami juga telah menjalin hubungan ekonomi yang saling memberi manfaat dan masih wujud sehingga ke hari ini,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan dalam program The Nation terbitan Bernama TV di sini, hari ini.

McFeeters berkata, sebahagian besar syarikat-syarikat AS yang melabur di Malaysia turut meraih manfaat daripada teknologi terkini yang ditawarkan di negara ini.

Selain itu, beliau menyifatkan Malaysia telah memainkan peranan paling konstruktif dari segi integrasi ekonomi dalam rantau Asean.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Malaysia telah bersetuju untuk menjadi tuan rumah bagi pusingan perundingan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF) pada Oktober ini untuk membincangkan pendekatan mewujudkan ekonomi lebih bersih dengan penggunaan tenaga boleh baharu (RE).

Pusingan rundingan tersebut akan meneliti isu-isu berbangkit pada abad ke-21 yang merangkumi bidang untuk mewujudkan ekonomi bersih dengan menggunakan RE selain meningkatkan rantaian bekalan bagi mengelak berulangnya gangguan di masa akan datang, kata beliau.

“Pertemuan pada Oktober itu penting kerana menjelang November 2023, AS pula akan berperanan sebagai hos Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang turut menjadi lokasi mengumumkan hasil rundingan tersebut.

“Adalah diharapkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menghadiri acara itu berikutan peranan besar Malaysia sebagai hos rundingan tersebut,” katanya.

Sumber: Bernama

Firma AS ikrar pelaburan RM100 bilion di Malaysia sejak 18 bulan lepas – Duta Besar


Content Type:

Duration:

Malaysia mampu mencapai tahap negara maju seperti Korea Selatan dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan datang kerana mempunyai sumber alam dan tenaga yang mencukupi untuk memperkasa Ekonomi MADANI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin berkata Malaysia juga mampu mencontohi Korea Selatan yang berjaya mengubah hala tuju dan polisi ekonominya melalui pendekatan inovasi, berpendapatan tinggi dan menggunakan teknologi terkini sekali gus memacu pembangunan dan menjadi negara maju pada masa ini.

“Kalau kita lihat syarikat Samsung sebagai contoh di Korea Selatan, ada 5,000 pemegang PhD (kelulusan Doktor Falsafah) yang menjadi penyelidik, paling ramai di dunia. Ini menunjukkan mereka telah mulakan usaha dari dulu lagi (1960-an).

“Sebab itu kita perlu ikuti jejak Korea Selatan termasuk dari segi gaji progresif dan gaji minimum, supaya kita boleh mengekalkan bakat yang hebat dan menangani isu penghijrahan golongan profesional ke luar negara ekoran gaji yang rendah,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ bagi mengulas mengenai ‘Memperkasa Ekonomi MADANI’ di Bernama TV pada Selasa.

Rais turut melihat kerajaan hari ini juga memberi fokus kepada usaha mengimbangi keperluan dalam membangunkan ekonomi dan pada masa sama membantu golongan miskin tegar dan yang memerlukan termasuk peniaga mikro, kecil dan sederhana.

“Jika dilihat kerajaan melalui Menteri Ekonomi Rafizi Ramli juga banyak menekankan mengenai solusi operasi untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, antara lain untuk meningkatkan peratusan pendapatan pekerja kepada 45 peratus daripada 35 peratus ketika ini.

“Tidak seperti kerajaan terdahulu yang sering menguar-uarkan projek mega, projek besar-besar, tetapi tidak tahu apa yang akan dihasilkan…memang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) banyak, namun adakah bahagian KDNK ini pergi semula kepada rakyat atau tidak? kita tidak nampak perkara itu,” katanya.

Rais yakin dengan adanya keazaman politik yang kuat, pengurusan kewangan yang cermat, tadbir urus berintegriti dan beramanah, kerangka Ekonomi Madani dapat direalisasikan sekali gus menggerakkan Malaysia kepada sasaran yang ingin dicapai. 

Sumber: Bernama

Malaysia capai status negara maju dalam tempoh 5-8 tahun – EMIR Research


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan beberapa pelabur terkemuka di Putrajaya pada Selasa bagi meneroka peluang pelaburan strategik merentas sektor ekonomi utama.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, ia adalah sebagai ikhtiar untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan mendukung visi yang terkandung dalam Ekonomi MADANI.

“Kebijakan Ekonomi MADANI adalah sebuah kerangka wahana yang jelas dan komprehensif bagi memungkinkan sebuah tatanan (sistem) ekonomi negara yang mampan dan terangkum sebagai usaha dan upaya kerajaan dalam meningkatkan tahap kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

“Visi ini menekankan peri penting penyertaan sektor swasta dan pelabur untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menggalak daya inovasi dan juga mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti serta berdampak tinggi,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, perjumpaan itu disertai beberapa pelabur yang berpengaruh di peringkat antarabangsa dan terkenal dengan sumbangan mereka kepada pembangunan ekonomi serta syarikat yang berjaya.

Antaranya pengasas bersama laman Facebook Eduardo Saverin dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama B Capital Raj Ganguly, Pengasas WM Partners Alejandro Weinstein serta Pengasas European Venture Funds Peter Kadas.

Anwar berkata, kehadiran mereka bukan sahaja mempamerkan keyakinan terhadap Kerajaan Perpaduan dan prospek ekonomi negara malah membuktikan Malaysia mempunyai daya tarikan sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, perjumpaan yang pertama seumpama itu membuka peluang untuk beliau dan pelabur terbabit berkongsi pandangan serta meneroka kerjasama bagi mencapai matlamat ekonomi negara.

“Perbincangan turut menyentuh soal peluang bagi meneroka pelaburan dalam sektor utama seperti teknologi dan inovasi, tenaga yang boleh diperbaharui, pembangunan infrastruktur, pelancongan serta hospitaliti, dan pembuatan,” katanya.

Beliau berkata, sesi berkenaan turut berkisar mengenai usaha memupuk persekitaran bagi menggalakkan pelaburan langsung asing, memperkemas peraturan dan proses serta meningkatkan tatakelola selain memastikan kemampanan jangka panjang.

Pertemuan itu turut menekankan kepentingan tanggungjawab sosial dan pertumbuhan inklusif dengan komitmen untuk mengutamakan inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat tempatan serta menyumbang kepada agenda pembangunan mampan,” katanya.

Perdana Menteri berkata usaha berterusan kerajaan adalah untuk menyediakan persekitaran mesra pelabur yang memupuk inovasi, melindungi harta intelek serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

“Saya turut membuka ruang untuk para pelabur mengenal pasti peluang pelaburan yang sejajar dengan matlamat strategik di samping memenuhi keperluan masyarakat.

“Ini merupakan asas untuk potensi kerjasama dan pelaburan yang akan memberikan manfaat ekonomi yang besar untuk Malaysia dan rakyatnya,” katanya.

Sumber: Bernama

PM bertemu pelabur terkemuka, teroka peluang pelaburan


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Menteri Luar China, Wang Yi di sini semalam dan kedua-dua pihak berikrar untuk mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang, lapor Xinhua.

Mengimbau kejayaan lawatannya ke China pada Mac tahun ini, Anwar berkata bahawa China adalah rakan baik Malaysia yang boleh dipercayai dan kedua-dua negara mempunyai hubungan istimewa dan mesra.

Perdana menteri berkata kedua-dua pihak giat melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara dan mencapai kemajuan ketara dalam kerjasama ekonomi, perdagangan, pelaburan, kebudayaan dan pelancongan.

Syarikat-syarikat China dialu-alukan untuk mengembangkan pelaburan di Malaysia, dan Malaysia bersedia memperkukuhkan kerjasama dengan China dalam pelbagai bidang untuk mencapai manfaat bersama, tambah Anwar.

Sementara itu, Wang berkata bahawa pemimpin kedua-dua negara telah menjalinkan persahabatan yang kukuh, dan hala tuju bersama membina komuniti China-Malaysia demi masa depan bersama.

China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk mengekalkan momentum pembangunan yang kukuh dalam hubungan dua hala, yang mendatangkan lebih banyak faedah kepada kedua-dua rakyat, serta menyumbang kepada pembangunan dan pemulihan serantau, kata Wang.

Menyedari bahawa inisiatif Jalur dan Laluan, seperti Laluan Rel Pantai Timur dan “Dua Negara, Taman Berkembar,” telah memberi kesan ekonomi dan sosial yang baik serta menunjukkan prospek luas untuk kerjasama praktikal, Wang berkata bahawa China bersedia untuk berkongsi dengan Malaysia peluang pasaran mega dan mengembangkan bidang kerjasama untuk mencapai manfaat bersama.

Wang turut bertemu Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu, Zambry berkata kedua-dua negara telah menikmati hubungan yang kukuh dan erat serta menyaksikan kemajuan besar dalam kerjasama praktikal.

Malaysia akan terus menyokong dan mengambil bahagian secara aktif dalam inisiatif Jalur dan Laluan, melakukan segala usaha mempromosikan projek kerjasama utama, dan berharap dapat mengukuhkan hubungan dalam semua bidang dan di semua peringkat, kata Zambry.

Malaysia amat menghargai dan menyokong beberapa siri inisiatif global yang dikemukakan China, menyeru kewujudan bersama yang harmoni, dan berharap untuk mengukuhkan hubungan rakyat dengan rakyat.

Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian bersama. Mereka bersetuju untuk mengukuhkan komunikasi dan penyelarasan, mengekalkan pemusatan ASEAN dan menggalakkan keamanan, kestabilan dan pembangunan serantau.

Wang sedang dalam lawatan ke Singapura, Malaysia dan Kemboja.

Sumber: Bernama

Malaysia, China ikrar erat kerjasama dalam pelbagai bidang


Content Type:

Duration:

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan Malaysia memperoleh pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dalam sektor ekonomi digital dari China dan Singapura.

Dalam hantaran di media sosial malam tadi, beliau memaklumkan daripada jumlah itu pelaburan RM3 bilion diraih dari China manakala RM2.2 bilion diperoleh dari Singapura.

“Saya ingin mengumumkan berita baik. Malaysia telah raih komitmen pelaburan sebanyak RM5.2 bilion dari China dan Singapura,” katanya

Fahmi berkata, untuk perbandingan, pelaburan dalam sektor ekonomi digital yang dibawa masuk oleh kementerian itu pada setengah tahun pertama 2022 adalah RM7.5 bilion manakala pada setengah tahun pertama 2023 adalah RM28.4 bilion.

“Ini bermakna, ada kenaikan sebanyak 279 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Insya-Allah Malaysia di landasan yang tepat!,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia terima pelaburan RM5.2 bilion dari China dan Singapura – Fahmi


Content Type:

Duration:

Pertumbuhan produktiviti Malaysia pada 2023 dijangka sederhana pada tiga peratus di tengah-tengah cabaran berterusan dalam ekonomi domestik dan global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata lebih banyak perlu dilakukan untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing Malaysia bagi melonjakkan ekonomi.

“Di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI yang dilancarkan baru-baru ini, satu daripada tujuh sasaran yang perlu dicapai ialah Malaysia tersenarai dalam 12 teratas kedudukan Ranking Daya Saing Global (WCR).

“Ini juga menandakan pertumbuhan produktiviti kita tidak cukup transformatif untuk mengeluarkan negara daripada perangkap ekonomi pendapatan sederhana lebih awal,” katanya pada pelancaran Laporan Produktiviti (PR) 2023 secara dalam talian, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, produktiviti boleh dipertingkatkan oleh sektor awam dan swasta yang mengutamakan kesejahteraan pekerja dan menyokong taraf hidup yang baik untuk mereka.

“Apabila ini berlaku, adalah lebih mudah untuk meningkatkan prestasi dan keuntungan pekerja, yang seterusnya memudahkan untuk mencapai produktiviti yang mampan.

“Kesemuanya ini bermakna Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan agensinya mempunyai tugas yang besar di hadapan. Bagaimanapun, saya yakin kita semua telah bersedia melaksanakan tugas dan komited untuk mencapai sasaran Ekonomi MADANI tersebut,” katanya.

PR 2023, bertemakan “Produktiviti Mampan,” dan dilancarkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), menyediakan butiran agenda produktiviti Malaysia.

Pengerusi MPC Datuk Kamaruzzaman Johari berkata MPC komited untuk memperkasakan inisiatif peningkatan produktiviti dengan memberi tumpuan kepada bakat, teknologi dan peraturan.

“Usaha MPC merangkumi pendekatan yang lebih meluas.

“Intervensi peringkat makro, cadangan dasar dan rangka kerjanya disusun untuk membolehkan persekitaran perniagaan yang dipertingkatkan produktiviti,” katanya.

PR 2023 melaporkan produktiviti Malaysia yang membanggakan serta daya saing, yang naik lima anak tangga ke kedudukan ke-27 dalam WCR 2023 oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD).

Ini disumbangkan oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 8.7 peratus pada 2022 dan pemulihan produktiviti yang lebih kukuh daripada jangkaan pada 5.4 peratus.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan produktiviti Malaysia dijangka pada 3 peratus tahun ini


Content Type:

Duration:

wpChatIcon