Berita Ekonomi Archives - Page 10 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya terhadap WTO membuahkan hasil – MITI

Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan mengekalkan persekitaran perdagangan yang terbuka dan telus membuahkan hasil apabila bilangan soalan yang dibangkitkan pada Semakan Semula Dasar Perdagangan (TPR) kelapan di Geneva, Switzerland berkurangan dengan ketara.

Malaysia telah menerima sejumlah 367 soalan daripada 28 ahli WTO dengan majoriti soalan dari Amerika Syarikat, India, Australia, Kesatuan Eropah dan negara-negara anggota ASEAN.

Untuk rekod, bilangan soalan bertulis yang diterima oleh Malaysia pada TPR kelapan berkurangan berbanding 476 soalan diterima pada 2018, yang mencerminkan usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya kepada WTO dan mengekalkan persekitaran perdagangan yang terbuka dan telus, kata satu kenyataan dari Geneva kepada Bernama.

Ia berkata soalan-soalan ini merangkumi pelbagai bidang seperti keterbukaan perdagangan, hak harta intelek, sekuriti makanan, pensijilan halal, perkhidmatan kewangan, pembangunan mampan, e-dagang, pembangunan PKS, perjanjian perdagangan bebas, piawaian, serta isu berkaitan perdagangan dan jantina.

“Malaysia komited untuk menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan, serta melaksanakan pembaharuan ekonomi dan amalan baik dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kemampanan alam sekitar,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tersebut.

TPR Malaysia kelapan telah diadakan pada 8 Feb dan 10 Feb, 2023.

Kementerian dan agensi-agensi lain yang terlibat ialah Kementerian Kewangan; Kementerian Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup; Bank Negara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia.

Kenyataan itu juga berkata 37 ahli WTO melakukan intervensi dengan mengemukakan soalan dan memberikan komen positif mengenai dasar perdagangan dan pelaburan Malaysia semasa TPR dua hari itu.

Kebanyakan ahli telah memuji Malaysia di atas prestasi ekonominya walaupun menghadapi cabaran disebabkan pandemik, serta usaha berterusan Malaysia untuk menambah baik perundangan domestiknya bagi memenuhi piawaian antarabangsa terutamanya dalam bidang harta intelek dan hak pekerja.

Ahli WTO juga memuji sumbangan produktif Malaysia dalam perjanjian perdagangan serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Ahli-ahli mencerap perkembangan itu sebagai sesuatu yang baik untuk liberalisasi perdagangan pelbagai hala yang progresif.

Malaysia dipuji kerana penyertaan aktifnya dalam perbincangan WTO, seperti Inisiatif Kenyataan Bersama mengenai Kemudahan Pelaburan untuk Pembangunan (IFD) dan e-Dagang, mesyuarat Pembaharuan Kumpulan Cairns dan WTO. Pada masa ini, Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva diketuai oleh Duta Besar Syahril Syazli Ghazali.

TPR ialah pelaksanaan yang dimandatkan dalam perjanjian WTO, sebagai sebahagian daripada obligasi ketelusan, yang mana dasar perdagangan dan berkaitan perdagangan Ahli-ahli WTO diperiksa dan dinilai. TPR Malaysia sebelum ini telah diadakan pada 2018.

Sumber: Bernama

Usaha Malaysia untuk meningkatkan pematuhannya terhadap WTO membuahkan hasil – MITI


Content Type:

Duration:

Data prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh pada 2022 jelas membuktikan kalangan pelabur global terus yakin terhadap negara ini serta komitmen kerajaan untuk memastikan kelangsungan kestabilan makroekonomi, kata penganalisis dan ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI, Shan Saeed, berkata antara pemacu utama pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkenaan adalah permintaan domestik yang mantap, aliran masuk pelaburan serta angka perdagangan yang kukuh.

“Malaysia terus kekal dalam radar pelabur global berikutan kestabilan makroekonomi, tenaga kerja yang produktif, prasarana serba moden, pendekatan dasar yang dipacu teknologi serta kedudukan geografi yang strategik.

“Dari sudut makro secara keseluruhannya, kami kekal optimis terhadap prospek ekonomi dan trajektori pertumbuhan negara ini. Malah, Malaysia terus menjadi antara peneraju utama ekonomi ASEAN walaupun dalam senario ketidaktentuan ekonomi dan kewangan global,” katanya kepada Bernama.

Susulan itu, Shan berkata firma berkenaan menjangkakan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 berada dalam lingkungan 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata KDNK Malaysia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 22 tahun apabila mencecah 8.7 peratus pada 2022 berbanding 3.1 peratus dalam 2021 selepas mencatat perkembangan positif dalam semua sektor.

Bank Negara Malaysia (BNM) pula dalam kenyataan berasingan berkata pertumbuhan KDNK bagi suku keempat meningkat 7.0 peratus dalam suku keempat 2022 daripada 14.2 peratus pada suku ketiga berikutan sokongan daripada langkah rangsangan serta kesan asas rendah yang mereda.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng, menyifatkan data KDNK suku keempat 2022 itu hanya mengesahkan lagi prestasi memberangsangkan bagi 2022 susulan pertumbuhan di bawah purata pada 2021, sekali gus menjadikan Malaysia antara ekonomi paling pesat berkembang di Asia.

“Bagaimanapun, prestasi kukuh yang meluas itu tidak setara dari sudut rentas sektor serta bagi setiap industri yang berkaitan.

“Ini turut menandakan keuntungan yang tidak sama rata merentasi kumpulan pendapatan sehingga memerlukan bantuan lanjut kerajaan bagi golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terjejas akibat inflasi tinggi dan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Mengulas prospek 2023, Ambank Group menyifatkan faktor domestik sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan penggunaan swasta turut menjadi nadi pertumbuhan ketika pasaran tenaga kerja pulih serta inflasi menjadi lebih stabil.

“Secara keseluruhannya, kami menjangkakan pertumbuhan KDNK tahun ini pada 4.5 peratus berikutan unjuran pertumbuhan 6.1 peratus untuk penggunaan swasta,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi oleh RHB Investment Bank Bhd yang mengekalkan unjuran KDNK 2023 pada 4.5 peratus dari segi pandangan optimis namun berhati-hati, didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

“Perbelanjaan pengguna akan terus disokong baik oleh keadaan pasaran buruh yang berdaya tahan biarpun terdapat momentum pertumbuhan lebih perlahan akibat kesan rangsangan dan dasar kewangan lebih ketat,” katanya.

Dalam pada itu, MIDF Research mengujurkan KDNK Malaysia bagi tahun ini sekitar 4.2 peratus, diasak oleh tekanan luaran dan langkah kebanyakan negara memperketat dasar monetari.

“Pertumbuhan lebih perlahan itu adalah disebabkan oleh prestasi perdagangan luar yang lebih rendah akibat jangkaan permintaan global yang lebih perlahan.

“Oleh itu, kami mengunjurkan tahun ini menyaksikan keadaan ekonomi global yang lebih lembap dan bukannya meleset,” katanya.

Sumber: Bernama

Prestasi ekonomi bukti Malaysia diyakini, kekal dalam radar pelabur


Content Type:

Duration:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan mencecah 8.4 peratus bagi tahun kewangan 2022 berbanding 3.1 peratus pada 2021, mencatatkan pertumbuhan tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN, kata Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam).

Selain itu, pertumbuhan KDNK bagi suku keempat 2022 diunjurkan mencapai 5.7 peratus.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata ia merupakan unjuran yang lebih baik walaupun kemelut politik yang bermula pada awal 2020 dan reda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas berakhir dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Tambahan pula, ringgit mencapai paras tertinggi, RM4.746, pada awal November 2022 disebabkan oleh peningkatan kadar faedah dan perbezaan hasil bon.

“Kami berpendapat bahawa pertumbuhan positif itu disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan domestik dan pemulihan lebih kukuh dalam pasaran buruh selain daripada faktor kesan asas rendah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firdaos berkata walaupun ekonomi Malaysia akan terus berkembang tahun depan dalam persekitaran kelembapan global, kemelesetan ekonomi dijangka tidak berlaku kerana asas makroekonomi negara kekal kukuh.

Beliau berkata penggunaan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi sepanjang tahun selain daripada prospek pembukaan semula China yang boleh membantu mengehadkan pertumbuhan yang merosot.

Pelaburan swasta akan kekal menjadi perbalahan walaupun kadar dasar semalaman adalah lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik.

“Kami mengunjurkan ekonomi kami berkembang sebanyak 4.5 peratus pada 2023 tanpa mengambil kira kesan pembukaan semula ekonomi China dan rasionalisasi subsidi.

“Untuk rekod, projek (unjuran) bank-bank pembangunan pelbagai hala terkini Malaysia berkembang antara empat hingga 4.4 peratus pada 2023,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Firdaos berkata mengekalkan kadar pertumbuhan pasca pandemik di Malaysia merupakan perkara penting dalam persekitaran kelembapan global dan pilihan raya negeri yang akan datang untuk memastikan kerajaan mendapat ruang fiskal mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan pada masa hadapan.

Justeru, beliau berkata bahawa matlamat dasar jangka pendek akan lebih menyerlah daripada matlamat jangka panjang dalam beberapa minggu akan datang.

“Kerajaan dijangka menggariskan beberapa matlamat ini apabila membentangkan semula Bajet 2023, dan bakinya dalam semakan semula Rancangan Malaysia Ke-12 pada suku ketiga 2023.

“Kami yakin kerajaan tidak akan menolak pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan dan mengekalkan rasionalisasi subsidi buat masa ini,” katanya.

Sumber: Bernama

KDNK Malaysia dijangka catat pertumbuhan tertinggi di ASEAN – Firma penyelidikan


Content Type:

Duration:

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pimpinannya memberi komitmen dan menyokong penubuhan syarikat inovatif dan berpertumbuhan tinggi tempatan melalui peningkatan pelaburan dalam syarikat teknologi di bawah Belanjawan 2023. 

Menerusi catatan di Facebooknya hari ini Anwar berkata perkara itu beliau disampaikan dalam perbincangan secara maya bersama pengasas dan ketua pegawai eksekutif daripada 10 syarikat antaranya Aerodyne, Carsome dan Inari Amerton, semalam.

“Pertemuan ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus Belanjawan 2023 bersama-sama industri.

“Perbincangan terkait tentang potensi besar syarikat-syarikat pemula di Malaysia dan keperluan campur tangan dasar kerajaan dalam memperkukuh ekosistem syarikat pemula terutamanya bagi aspek pembiayaan, pembangunan bakat dan insentif fiskal,” katanya.

Anwar berkata Malaysia mempunyai bakat untuk membina syarikat inovatif berpertumbuhan tinggi yang seterusnya berupaya menjana pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat negara ini.

Selaras dengan teras daya cipta dalam visi Malaysia Madani, beliau berkata Belanjawan 2023 akan menggalakkan pelaburan berteraskan pengetahuan dan inovasi.

Menurut catatan itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah akan melabur lebih RM1 bilion dalam syarikat pemula tempatan yang inovatif dan berpertumbuhan tinggi.

Sumber: Bernama

Kerajaan sokong penubuhan syarikat inovatif dan berpertumbuhan tinggi, kata PM


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Thailand akan memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Anwar akan menyaksikan majlis pertukaran empat MoU itu di Government House di sini dan majlis itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha.

Zambry berkata pemeteraian itu membabitkan MoU antara Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dengan Digital Economy Promotion Agency of Thailand; Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT); TNB Renewables Sdn Bhd dengan Planet Utility Co Ltd dan TNB Power Generating Sdn Bhd dengan B.Grimm Power Public Co Ltd.

“Pemeteraian keempat-empat MoU tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua negara menerokai potensi kerjasama dalam bidang tenaga dan ekonomi digital yang menjadi kepentingan bersama,” katanya pada sidang media malam ini sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Thailand.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel.

Anwar akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Thailand selama dua hari bermula esok untuk bertemu rakan sejawatnya Prayuth, bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala yang mempunyai kepentingan bersama, di samping meneroka peluang kerjasama baharu.

Ini adalah lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November tahun lalu.

“Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama.

“Hubungan simbiotik ini memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor terutamanya melalui kerjasama rentas sempadan,” katanya.

Anwar dijadualkan berucap mengenai masa depan ASEANpada pertemuan dengan peneraju industri atau ‘Captains of Industry’ dan komuniti perniagaan di Thailand, Jumaat ini.

Tahun lalu, Thailand adalah rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), iaitu peningkatan 17.9 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.

Jumlah eksport ke Thailand meningkat sebanyak 18.9 peratus berjumlah RM65.84 bilion (AS$14.97 bilion), manakala jumlah import daripada Thailand mencatatkan peningkatan sebanyak 16.7 peratus berjumlah RM56.19 bilion (AS$12.78 bilion), berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

Malaysia, Thailand meterai 4 MoU bidang tenaga dan ekonomi digital


Content Type:

Duration:

Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok, Thailand pada Khamis ini dijangka akan memajukan lagi hubungan antara kedua-dua negara serta membantu mencapai matlamat perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion (RM126 bilion) pada 2025.

Timbalan setiausaha agung kepada Perdana Menteri Thailand yang juga pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri, dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala di Government House pada Khamis.

Beliau berkata kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dalam mempromosikan dan integrasi pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia, khususnya membabitkan lima wilayah selatan Thailand (Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun) dan empat negeri di Utara Malaysia (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak).

“Ini termasuk kesalinghubungan dalam perdagangan, pelaburan dan infrastruktur untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion (RM126 bilion) menjelang 2025 melalui mekanisme dua hala sedia ada, kemudahan perdagangan dan promosi kerjasama dalam industri berpotensi seperti getah, makanan halal dan tenaga serta bidang baharu seperti ekonomi digital dan teknologi lestari,” katanya.

Anucha berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa untuk bersama-sama menangani cabaran baharu dan merangsang pemulihan ekonomi pasca- Covid-19.

Ini merupakan lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov tahun lepas.

Sumber: Bernama

Lawatan Anwar ke Bangkok dijangka majukan lagi kerjasama dua hala Malaysia-Thailand


Content Type:

Duration:

Malaysia yakin untuk mencapai pertumbuhan positif dan mengelakkan kemelesetan pada tahun ini walaupun perlu berdepan dengan cabaran global, menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Walaupun pertumbuhan ekonomi negara pada tahun ini diunjurkan sederhana berbanding 2022, Tengku Zafrul berkata, beliau optimis bahawa Malaysia tidak akan mengalami kemelesetan.

“Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan negatif KDNK (keluaran dalam negara kasar) bagi dua suku berturut-turut. Bank Negara Malaysia, Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia telah mengunjurkan Malaysia untuk terus meraih pertumbuhan ekonomi positif dalam julat tiga hingga lima peratus.

“Saya tidak fikir kita akan mengalami kemelesetan. Bagaimanapun, berbanding pertumbuhan yang telah kita capai pada 2022, akan terdapat sedikit kesederhanaan.

“Sehubungan itu, kita perlu merebut peluang ini untuk memastikan semua enjin pertumbuhan kita kekal aktif terutamanya dari segi perdagangan dan pelaburan,” katanya kepada Bernama semasa lawatannya ke Pulau Pinang baru-baru ini. 

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion untuk tahun kedua berturut-turut iaitu RM2.8 trilion, dengan eksport mencapai RM1.6 trilion, melebihi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 manakala import mencecah hampir RM1.3 trilion.

Dalam lawatannya ke Pulau Pinang (3 hingga 4 Februari), Tengku Zafrul berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pegawai tertinggi negeri dan peserta industi untuk membincangkan usaha mengukuhkan ekosistem perindustrian di negeri itu berikutan Pulau Pinang adalah antara destinasi pelaburan utama sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan teknologi perubatan.

“Kita perlu menarik pelaburan berkualiti tinggi yang berupaya menawarkan pekerjaan kepada rakyat dan meningkatkan pendapatan negara. Kita juga mahu FDI (pelaburan langsung asing) ini dapat diterjemahkan kepada DDI (pelaburan langsung domestik).

“Sekiranya boleh, kita mahu membangunkan perusahaan kecil dan sederhana yang boleh menawarkan perkhidmatan dan menjadi pembekal kepada syarikat multinasional yang beroperasi di sini.

“Pulau Pinang ialah contoh terbaik untuk tujuan ini memandangkan banyak syarikat multinasional yang bekerjasama dengan syarikat kecil sehingga syarikat-syarikat ini dapat berkembang dan disenaraikan di bursa saham,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia yakin raih pertumbuhan positif, elak kemelesetan tahun ini


Content Type:

Duration:

Ericsson Group dan Microsoft adalah antara syarikat multinasional yang masing-masing terlibat dalam mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Forum Ekonomi Dunia (WEF) di sini.

Perbincangan dalam mesyuarat itu, dengan Ericson diwakili Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Borje Ekholm manakala Microsoft pula diwakili Naib Presiden Eksekutif Jean-Philippe, menumpukan mengenai potensi pelaburan dan pengembangan.

Ketika ditanya mengenai rentetan pertemuan dua hala yang telah diadakan sejak beliau tiba di sini pada Isnin, Tengku Zafrul menyifatkan ia adalah sesuatu yang hebat setakat ini.

“Seperti yang anda ketahui WEF 2023 dihadiri kira-kira 2,700 pemimpin dari 130 negara, termasuk 52 ketua negara.

“Saya mahu mengadakan lebih banyak mesyuarat dua hala terutama dengan rakan sejawatan saya,” katanya kepada Bernama pada luar acara WEF 2023 di bandar peranginan ski di sini, pada Selasa.

Beliau berkata setakat ini, perbincangan dalam mesyuarat dua hala itu menumpukan peluang-peluang di Malaysia.

“Sesetengah syarikat yang bertemu dengan kita sebenarnya telah melabur di Malaysia tetapi mahu memastikan pelaburan mereka dilindungi. Kita juga berbincang mengenai potensi untuk mengembangkan operasi dan meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan perbincangan juga menyentuh perkara yang boleh ditawarkan Malaysia kepada syarikat multinasional ini.

“Jadi, menerusi kerajaan baharu, kita mahu melihat kestabilan dan kita juga bercakap tentang prospek Malaysia,” katanya.

Selain itu, syarikat Malaysia juga sedang berkembang ke luar negara, oleh yang demikian syarikat multinasional ini boleh membantu dalam usaha itu, katanya.

Mengenai pewujudan ruang ‘Malaysia House’ buat kali pertama di Davos sempena WEF, beliau berkata ia adalah pendekatan yang baik supaya kehadiran Malaysia dirasai.

“Negara lain telah mengambil pendekatan ini sejak beberapa tahun lepas. Kita mahu kehadiran kita dirasai. Kehadiran yang lebih kuat daripada sebelum ini,” katanya.

Tengku Zafrul kini mengetuai delegasi Malaysia ke WEF 2023.

Antara acara berjadual yang akan disertainya ialah sesi mengenai keburukan fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan Tengku Zafrul akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua ahli panel bagi mengupas mengenai ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi — seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti — akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Sumber: Bernama

WEF2023: Tengku Zafrul adakan mesyuarat dua hala dengan Ericsson, Microsoft


Content Type:

Duration:

Walaupun perdagangan global diunjur mencecah paras AS$32 trilion (RM138.6 trillion) pada 2022, namun prospek bagi 2023 dijangka suram berikutan ketegangan geopolitik yang berlarutan, harga tenaga tinggi, kenaikan kadar faedah dan inflasi yang berterusan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensinya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) telah bersiap sedia untuk membantu industri dan perusahaan mengharungi cabaran yang disebabkan oleh jangkaan kelembapan ekonomi dan perdagangan global.

“Faktor-faktor global tersebut jelas sekali di luar kawalan kita. Tetapi kita boleh mengawal dasar yang akan, sebagai contoh, membantu industri utama kita membina rantaian bekalan dan daya tahan pasaran dan membangunkan kapasiti pengeksport kita bagi memenuhi permintaan pasaran berkaitan dengan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya pada Rabu menerusi platform media sosial beliau.

Tengku Zafrul ketika ini sedang mengetuai delegasi Malaysia menghadiri Forum Ekonomi Dunia ke-53 di Davos, Switzerland.

Pada 2022, perdagangan Malaysia bernilai RM2.8 trilion, melepasi paras RM2 trilion bagi tahun kedua berturut-turut. Eksport mencecah RM1.6 trilion, mengatasi unjuran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi tahun 2025 sebanyak 24 peratus — tiga tahun mendahului sasaran.

Manakala import melepasi paras RM1 trilion buat pertama kali, mencecah hampir RM1.3 trilion pada 2022.

Bagi 25 tahun berturut-turut sejak 1998, Malaysia merekodkan lebihan perdagangan. Angka lebihan 2022 itu juga merupakan yang terbesar pernah direkodkan.

Memandangkan landskap global yang mencabar pada 2023, MITI telah mula meneroka pelbagai jalan untuk melindungi permintaan, meningkatkan penawaran dan memastikan akses pasaran yang berterusan terutamanya bagi barangan perkilangan Malaysia.

Beliau berkata, MATRADE dan agensi penggalakan pelaburan yang relevan di bawah MITI akan mencari jalan bagaimana mereka boleh memantapkan daya tahan perniagaan industri utama dari dalam kerana ini akan menjadi pertahanan terbaik Malaysia terhadap ketidaktentuan pasaran luaran dan membantu mengekalkan pekerjaan.

Menerusi inisiatif Empower Trade Associations (ETA) yang memperkasakan persatuan perdagangan, MITI akan terus menyokong aktiviti penggalakan perdagangan terutamanya produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi inovatif bernilai tinggi serta produk patuh ESG) di pasaran baharu dan negara rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia.

“Saya yakin ini akan membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai pasaran baharu di samping mengukuhkan integrasi mereka dalam rantaian nilai global. Lebih banyak kepelbagaian pasaran kita, kita akan dapat menguruskan risiko kegawatan pasaran dengan lebih baik lagi,” kata Tengku Zafrul.

Mengulas mengenai syarikat pertengahan, beliau berkata sektor itu menyumbang 40 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dan menggunakan khidmat 16 peratus daripada tenaga kerja Malaysia pada 2019.

“Meskipun membentuk kurang dua peratus daripada perniagaan di Malaysia, syarikat pertengahan memainkan peranan penting dalam membangunkan lebih daripada 7,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam ekosistemnya.

“MITI sedang mencari jalan bagaimana untuk menyokong dengan lebih baik lagi syarikat pertengahan ini dan dengan berbuat demikian akan mengukuhkan lagi PMKS dalam ekosistem,” katanya.

Tengku Zafrul juga memberi jaminan kepada pemegang kepentingan utama terutamanya industri dan pengeksport bahawa kerajaan akan terus memastikan mereka mendapat manfaat daripada pelbagai FTA yang telah diratifikasikan oleh Malaysia termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Beliau berkata, tarif rendah dan akses pasaran yang terjamin akan membantu menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya tahan dalam mendepani jangkaan cabaran pasaran pada 2023.

“Kita akan terus memantau persekitaran dagangan global bagi memastikan pengeksport kita kekal kukuh untuk berdepan dengan pelbagai isu perdagangan dan pasaran.

“Saya yakin kerjasama antara MITI, Matrade dan pemain industri dalam melaksanakan program eksport negara akan menyediakan lebih banyak peluang eksport serta menyokong pertumbuhan perdagangan Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI sedia bantu industri harungi kelembapan ekonomi global


Content Type:

Duration:

Perbadanan Labuan menggariskan pelan jangka pendek serta panjang bagi menarik pelabur luar ke pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa Labuan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Ismail, berkata antara pelan yang sedang dan akan diambil oleh agensi itu ialah mewujudkan kerjasama yang lebih erat dengan semua agensi pelaburan termasuk di koridor ekonomi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

“Melalui kerjasama strategik ini, promosi untuk peluang pelaburan di Labuan dapat dimanfaatkan dalam industri-industri sasaran seperti minyak dan gas, pusat perniagaan serta kewangan antarabangsa (IBFC) dan pelancongan,” katanya dalam temubual Program The Brief Bernama TV sempena Hari Wilayah Persekutuan hari ini.

Pendekatan ini juga memberi fokus kepada memudah cara proses kelulusan dan mengurangkan birokrasi pelaksanaan projek, mengadakan sesi dialog serta sesi libat urus bersama dewan-dewan perniagaan, pelabur-pelabur dan pemain industri dengan lebih kerap melalui pembabitan agensi seperti MITI, MIDA, kedutaan serta pesuruhjaya tinggi asing di Malaysia.

“Ini adalah bagi mencari penyelesaian kepada cabaran yang dihadapi oleh pelabur dalam pelaksanaan projek,” katanya.

Pelan itu juga menfokuskan kepada kajian potensi pelaburan asing selain mengukuhkan pelaburan tempatan melalui sokongan bantuan MATRADE untuk meningkatkan akses pasaran global dengan mengintegrasi syarikat tempatan ke rantaian global menerusi kerjasama strategik dalam pelbagai platform perdagangan/pameran antarabangsa.

Antara strategi-strategi yang akan dilaksanakan bagi menarik lebih ramai pelabur ke Labuan adalah pengurusan dalam menyediakan pelan perancangan strategik pelaburan; memperkukuhkan peranan agensi penggalakan pelaburan seperti MIDA dan MITI dalam membantu PL sebagai pemudahcara pelaburan kepada para pelabur; memperkasakan Unit Pelaburan PL bagi memperluaskan peluang pelaburan untuk menarik pelabur asing termasuk menubuhkan Task Force Pelaburan, kumpulan pemikir serta memastikan mesyuarat tentang pelaburan kerap diadakan bagi menyelesaikan isu-isu pengurusan dan penyelenggaraan.

Selain itu, strategi juga merangkumi penyediaan kawasan komersil serta perindustrian yang kondusif dan kawasan-kawasan berkenaan akan diselengara dengan baik selain menggalakkan pembukaan tapak perindustrian baharu dengan pembabitan anak syarikat dan pemaju tempatan; memperkenalkan inisiatif e-dagang bagi membantu usahawan tempatan melebarkan pasaran produk keluaran (jika berkaitan) dan memperkenalkan insentif termasuk inisiatif pelaburan untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama institusi berkaitan serta penyedia perkhidmatan profesional bagi memberikan perkhidmatan kepada pelabur yang berpotensi dan berminat melabur di Labuan.

Rithuan berkata, jaringan perhubungan juga diberi tumpuan dengan meningkatkan usaha promosi di luar negara seperti program lawatan penggalakan pelaburan melalui anak syarikat Perbadanan Labuan pada sekurang-kurangnya empat kali setahun selain mempertingkatkan jaringan perhubungan dengan Brunei; kedutaan-kedutaan di Malaysia; dewan-dewan perniagaan asing dalam dan luar negara melalui program kunjungan hormat yang diadakan dari semasa ke semasa.

Selain itu, fokus diberikan kepada penyertaan Labuan dalam misi penggalakan pelaburan dan perdagangan anjuran MITI / MIDA atau agensi/kementerian yang berkaitan; dan mewujudkan jaringan kerjasama strategik dengan syarikat milikan asing yang terdapat di Labuan bagi memperkenalkan Labuan kepada pelabur-pelabur di negara mereka.

Katanya lagi, usaha dalam promosi peluang-peluang pelaburan melalui pengiklanan dalam media cetak atau elektronik dalam dan luar negara akan dilaksanakan; penyertaan dalam pameran yang berkaitan dengan pelaburan di peringkat domestik serta antarabangsa; dan menganjurkan sekurang-kurangnya satu ekspo/pameran setahun berkaitan dengan pelaburan dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Sumber: Bernama

Perbadanan Labuan garis pelan tarik pelabur asing


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berjaya meraih komitmen pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM13 bilion daripada tiga pelabur melalui misi pelaburannya ke Singapura.

Misi itu, yang diketuai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dianjurkan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura.

Tiga syarikat iaitu Sea Ltd, Kumpulan Yondr dan INSEACT secara kolektif memberi komitmen untuk melabur RM13 bilion di Malaysia.

Pelaburan berkenaan dijadualkan akan beroperasi dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Sea Ltd, syarikat induk Shopee, platform e-dagang serantau terbesar di Asia Tenggara dan Taiwan komited untuk mengembangkan pelaburannya di Malaysia, mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan.

Syarikat itu berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan awan, pengehosan dan pemprosesan data, serta gudang logistik e-dagang baharu di negara ini.

Satu lagi pelabur adalah Kumpulan Yondr, peneraju global dalam pembangunan dan pengendalian pusat data.

Kumpulan Yondr yang menyalurkan lebih daripada 500 megawatt (MW) kepada pelanggan skala hiper terkemuka dunia, memasuki pasaran Malaysia dengan memperoleh tanah seluas 75 ekar di Sedenak, Johor.

Ia sedang membangunkan kampus pusat data skala hiper dengan kapasiti IT sebanyak 300MW.

Pelaksanaan projek Yondr di Johor dijangka menghasilkan sebuah kampus pusat data skala hiper terbesar di Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam pembangunan ekosistem digital Malaysia.

Syarikat ketiga, INSEACT, ialah syarikat protein alternatif yang berpangkalan di Singapura, dan pengeluar protein serangga untuk makanan akuakultur.

Ia berhasrat untuk menubuhkan kemudahan pengeluaran di Johor, yang pertama di Asia Tenggara.

Pendekatan unik dalam pengeluaran protein alternatif ini berpotensi untuk menampung permintaan Asia yang semakin meningkat bagi sumber makanan yang mampan.

Tengku Zafrul berkata, komitmen pelaburan bernilai keseluruhan RM13 bilion ini mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

Beliau berkata, ia juga mencerminkan hubungan perdagangan dan pelaburan yang sudah lama terjalin dan saling menguntungkan di antara Malaysia dan Singapura.

Katanya, MITI berhasrat untuk mengembangkan dan mengukuhkan hubungan istimewa ini, terutamanya dalam membina daya tahan rantaian bekalan untuk industri masing-masing, berasaskan kerjasama dalam ekonomi digital dan ekonomi lestari.

“Kami berazam untuk membuktikan kepada pelabur bahawa Malaysia adalah pro-perdagangan, pro-perniagaan dan pro-pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan.

Misi pelaburan yang dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan MITI dan MIDA itu adalah satu penanda aras yang penting ke arah merealisasikan matlamat Malaysia untuk menjadi hab inovasi global dengan ekosistem pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

Sumber: Berita Harian

Misi MITI ke Singapura berjaya raih pelaburan RM13 bilion


Content Type:

Duration:

Kerajaan memutuskan untuk memulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan ke atas import dagangan keluli tahan karat gulungan sejuk (CRSS) dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan hari ini berkata kajian semula itu adalah selaras dengan subseksyen 28(6) Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta 504) dan peraturan 34 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).

“Pengeluar tempatan memohon kajian semula pentadbiran dan berdasarkan keterangan bahawa penamatan duti anti-lambakan berkemungkinan menyebabkan lambakan dan kemudaratan akan berterusan atau berulang kepada pengeluar tempatan,” kata kementerian itu.

MITI berkata keputusan itu diambil setelah mempertimbangkan permohonan dan maklumat yang dikemukakan oleh pengeluar tempatan, Bahru Stainless Sdn Bhd.

Syarikat itu memohon kajian semula pentadbiran terhadap duti anti-lambakan yang dikenakan terhadap import CRSS dalam bentuk gegelung, kepingan atau apa-apa bentuk lain dengan ketebalan antara 0.3 milimeter hingga 6.5 milimeter dan kelebaran tidak lebih daripada 1,600 milimeter, tidak termasuk CRSS dengan kemasan sepuh lindap berkilat, No. 8 (Kemasan Cermin), timbul, keras, gores atau berwarna; atau CRSS dengan nilai kekerasan melebihi 250HV yang berasal atau dieksport dari negara-negara terbabit.

Duti anti-lambakan semasa yang dikenakan terhadap import dagangan subjek yang berasal atau dieksport dari China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand, berkadaran dari NIL hingga 111.16 perarus akan tamat tempohnya pada 7 Feb, 2023.

“Selaras dengan peruntukan di bawah Akta 504 dan Peraturan, penentuan muktamad bagi kajian semula pentadbiran akan dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh pemulaan,” kata MITI.

Kementerian itu akan mengedarkan soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengeksport/pengeluar asing dagangan subjek dan pengimport serta kerajaan China, Korea Selatan, Taipei dan Thailand.

Pihak berkepentingan lain yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam kajian semula pentadbiran itu hendaklah memohon soal selidik secara bertulis kepada MITI tidak lewat dari 11 Feb, 2023, katanya.

MITI berkata pihak berkepentingan dipelawa untuk menghantar pandangan secara bertulis, menjawab soal selidik dan mengemukakan maklumat sokongan tidak lewat dari 26 Feb, 2023.

“Sekiranya pihak berkepentingan tidak mengemukakan maklumat yang perlu atau maklumat dan pandangan itu tidak diterima dalam bentuk yang memadai dalam had masa yang dinyatakan, kerajaan boleh membuat penentuan muktamad berdasarkan kepada fakta-fakta yang sedia ada,” kata kementerian itu.

Sumber: Bernama

MITI akan mulakan kajian semula pentadbiran duti anti-lambakan import CRSS


Content Type:

Duration:

Kesatuan Eropah (EU) menjangkakan perdagangan dengan Malaysia akan pulih ke tahap prapandemik menjelang akhir tahun ini.

Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, kesatuan politik yang melibatkan 27 negara Eropah berikrar untuk terus menjadikan Malaysia sebagai rakan strategiknya memandangkan negara ini merupakan pintu masuk yang penting ke pasaran ASEAN.

“Negara-negara ASEAN secara amnya adalah destinasi yang hebat. Ia adalah penting secara strategik bagi kami dan 45 peratus daripada perdagangan kami (ke ASEAN) melalui perairan Malaysia. Jadi ia adalah penting,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu di program Bernama TV “The Nation”, bertajuk “Malaysia-EU Relations” hari ini.

Rokas berkata, EU dan Malaysia telah membentuk hubungan dua hala yang kukuh dan komitmen pelaburan selama beberapa dekad walaupun sebelum diperkenalkan dengan sebarang alat perjanjian atau instrumen perdagangan.

“Ini bermakna Malaysia sudah pun menjadi rakan kongsi yang dipercayai untuk EU, kerana sistem demokrasinya, kedaulatan undang-undang, orang tempatan yang boleh bertutur bahasa Inggeris, kemudahan menjalankan perniagaan dan tenaga kerja mahir,” katanya.

Duta Besar itu berkata, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama (PCA), yang ditandatangani di Brussels pada Disember tahun lepas, akan menyediakan batu loncatan penting yang meningkatkan perdagangan EU-Malaysia dan pelaburan langsung asing (FDI).

Ketika prapandemik, perdagangan dua hala EU-Malaysia berjumlah lebih 300 bilion euro tetapi ia merosot kepada 50 bilion euro selepas pandemik melanda di tengah-tengah gangguan rantaian bekalan, kekurangan buruh dan penutupan kilang, kata beliau.

Sambil menyatakan minatnya untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan baharu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pelbagai pembaharuan, Rokas berkata, terdapat hampir 1,500 syarikat Eropah beroperasi di Malaysia pada masa ini.

Bagi potensi kerjasama di masa depan, beliau berkata, antara bidang utama ialah dalam teknologi hijau, pendigitalan dan keselamatan siber, di samping pembangunan manusia, pendidikan serta logistik dan pembuatan komoditi.

Mengenai kebimbangan terhadap cadangan undang-undang EU mengenai eksport komoditi tertentu, termasuk minyak sawit, dan produk yang berkaitan dengan penebangan hutan dan degradasi hutan, beliau memberi jaminan bahawa tiada tindakan larangan yang diambil oleh blok perdagangan itu dan import minyak sawit dari Malaysia akan diteruskan.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh Malaysia kerana negara ini telah berjanji dengan tegas untuk tidak lagi menebang hutan.

“Di samping itu, 97 peratus pengeluaran minyak sawit Malaysia dilindungi oleh Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) yang mana kedua-duanya adalah pensijilan untuk membendung penebangan hutan,” katanya.

Beliau menyatakan bahawa sesi libat urus dengan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof, bersama pihak berkepentingan industri akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu lanjut berkaitan industri, termasuk undang-undang EU itu, kepada pasaran secara besar-besaran.

Rokas menjangkakan undang-undang itu akan berkuat kuasa pada suku pertama 2024 apabila pengendali dan pedagang mempunyai 18 bulan untuk melaksanakan peraturan baharu tersebut.

Sumber: Bernama

Perdagangan EU-Malaysia capai peringkat prapandemik menjelang akhir tahun – Duta


Content Type:

Duration:

Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura hari ini menyaksikan tiga perjanjian dimeterai antara Putrajaya dan Singapura meliputi aspek ekonomi digital, ekonomi hijau dan keselamatan siber.

Dua rangka kerja melibatkan kerjasama dalam ekonomi digital serta ekonomi hijau  ditandatangani Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatnya Gan Kim Yong bagi pihak Singapura.

“Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil pula mewakili Malaysia untuk menandantangani memorandum persefahaman (MoU) bagi mempromosikan kerjasama dari aspek data, keselamatan siber dan ekonomi digital,” kata Anwar menerusi hantaran di laman rasmi Twitter beliau. 

Perdana Menteri hari ini mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.

Ia merupakan lawatan rasmi pertama Anwar ke Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.

Beliau berkata pertemuan tersebut memberi peluang untuk meneroka bentuk kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura selain menjalin bekerjasama secara konstruktif serta menghasilkan situasi menang-menang untuk manfaat kepada rakyat serta perniagaan kedua-dua negara.

“Kami turut berpeluang membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya.

Sebelum ini Tengku Zafrul berkata bahawa perbincangan dengan Singapura mengenai Memorandum Kerjasama (MOC) dalam perdagangan digital dan ekonomi hijau itu bermula pada tahun lepas dan telah diberikan kelulusan oleh kabinet untuk dimuktamadkan tidak lama lagi.

MOC itu adalah susulan rangka kerja kerjasama yang dimuktamadkan oleh kedua-dua negara pada Ogos 2022. 

Rangka kerja dalam ekonomi digital akan memudahkan kerjasama dalam bidang seperti pemudahan perdagangan; identiti digital; piawaian; penggalakan pelaburan; pemudahan pendigitalan serta pendigitalan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

Ia bakal membuka peluang yang lebih luas serta memberi manfaat kepada perniagaan, pekerja dan rakyat di kedua-dua negara.

Dari aspek ekonomi hijau pula, kedua-dua negara akan mengukuhkan kerjasama untuk nyahkarbon industri selain membolehkan perniagaan dan pekerja merebut peluang yang muncul. 

Sumber: Bernama

Tiga Perjanjian Libatkan Ekonomi Hijau, Digital, Keselamatan Siber Dimeterai Di Singapura – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Sejak menaiktaraf hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada 2021, Australia dan Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam kemakmuran ekonomi, serta keamanan dan kestabilan serantau.

Kedua-dua negara juga menyaksikan kerjasama yang lebih kukuh dalam menangani isu-isu daripada perubahan iklim dan peralihan tenaga hinggalah keselamatan kesihatan.

“Ini adalah kemuncak perkongsian, yang disokong di peringkat tertinggi. Ia memberi komitmen kepada kami untuk mendalami lagi kerjasama antara negara, dalam bidang baharu dan memodenkan hubungan kami untuk generasi yang akan datang,” kata kenyataan media daripada Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur meraikan ulang tahun kedua CSP yang ditandatangani pada 27 Januari 2021.

Untuk membina hubungan ekonomi yang saling menguntungkan, pada tahun 2023 Australia akan mendraf Strategi Ekonomi Asia Tenggara hingga 2040 yang baru.

Dalam data terkini, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar Australia di kalangan negara anggota ASEAN dan rakan kongsi ke-9 terbesar di dunia.

Menurut kenyataan media itu lagi, tumpuan utama perdagangan dua hala adalah dalam bidang pertanian, perikanan dan produk perhutanan, dengan ia saling melengkapi dan mempunyai potensi yang besar untuk berkembang.

Perubahan iklim dan ekonomi hijau adalah keutamaan selanjutnya dengan kedua-dua negara komited dalam mencapai wasap rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

“Pada COP27 November lalu, kami (Malaysia-Australia) bersama-sama melancarkan projek untuk membina Sistem Pengurusan Maklumat Gas Rumah Hijau Malaysia, yang akan membolehkan pengiraan pelepasan gas rumah hijau yang cekap.

“Kami juga meneroka peluang baharu dalam peralihan tenaga hijau, termasuk sumber tenaga yang boleh diperbaharui, penyimpanan bateri, pengurusan grid, simpanan kuasa hidro dan hidrogen,” kata kenyataan itu lagi.

Sumber: Bernama

Australia-Malaysia rai pelbagai pencapaian hasil Perkongsian Strategik Komprehensif


Content Type:

Duration:

Pembangunan industri halal terutama yang melibatkan makanan adalah antara kerjasama baharu yang boleh diteroka bersama oleh Malaysia dan Brunei dalam era pascapandemik.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata berdasarkan jumlah penduduk Islam di seluruh dunia mencecah kira-kira dua bilion, pelaburan bersama antara Malaysia dan Brunei dalam membangunkan industri halal boleh dilaksanakan dengan baik terutama penyediaan makanan halal.

“Apabila adanya keupayaan ini, ia akan membuka lembaran baharu dari segi kualiti dan pensijilan industri halal yang dapat memberi impak baik. Malaysia dan Brunei antara yang dihormati dalam (perkara melibatkan) kualiti makanan, penentuan halal produk makanan.

“Industri halal kita boleh teroka lebih lagi. Ini cadangan awal untuk mencari ruang (kerjasama) baharu,” katanya ketika ditemui media Malaysia di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) akan dimeterai semasa lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Brunei bermula hari ini.

Selain industri makanan halal, ia akan turut melibatkan beberapa sektor penting seperti ekonomi digital, minyak dan gas, pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), pertanian pintar dan pelancongan, katanya.

“Ini adalah persefahaman yang sangat signifikan dalam rangka hubungan perniagaan menerusi agensi yang terbabit. MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan agensi pelaburan lain akan ada perancangan dalam memastikan kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan mantap, melihat aspek perniagaan baharu, yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Zambry berkata dalam hal perdagangan pula, wujud potensi untuk kedua-dua negara mempertingkatkannya ketika aktiviti import dan eksport menunjukkan pertumbuhan baik.

“Perbincangan dalam pertemuan awal Sultan Brunei dan Perdana Menteri hujung tahun lepas (semasa Lawatan Khas Sultan Brunei ke Malaysia pada 28 Nov, 2022) turut menyentuh beberapa hal. Antara yang dilihat (langkah untuk) hubungan dagang dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata dalam era pascapandemik, berlaku perubahan ke atas rantaian bekalan atau penawaran yang sedia ada di seluruh negara, dan perang Rusia-Ukraine memburukkan lagi situasi ini.

“Idea globalisasi pun dicabar, tidak dapat memenuhi permintaan. Namun ada potensi baharu yang boleh dibangunkan iaitu kerjasama di peringkat rantau. Dalam hal ini, Asean boleh berperanan besar untuk menentukan penawaran tidak terganggu.

“Pergerakan barangan dan perkhidmatan dapat dilakukan dalam rantau Asean dengan lebih mudah, bermaksud, tidak perlu bergantung kepada sumber yang terlalu jauh. Kerjasama di peringkat Asean akan beri kelebihan untuk kita.

“Saya yakin Malaysia dan Brunei akan meneliti kerjasama peringkat rantau ini yang akan memberi nilai tambah, dapat mengatasi kesenjangan ekonomi,” katanya.

Zambry berkata apabila semua sektor ekonomi dibuka semula selepas pandemik, hubungan Malaysia-Brunei telah mencatatkan prestasi positif dengan jumlah perdagangan melebih RM10 bilion, sekali gus memberikan keyakinan untuk penerokaan kerjasama dalam banyak bidang baharu.

Pada 2022, Brunei ialah rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di peringkat dunia serta keenam terbesar dalam Asean dengan jumlah perdagangan mencecah RM13.2 bilion (US$2.98 bilion).

Bagi tempoh Januari-Disember 2022, Malaysia merekodkan peningkatan jumlah eksport ke Brunei sebanyak 33.3 peratus berbanding pada 2021 dengan sebanyak RM7.4 bilion (US$1.68 bilion).

Jumlah import dari Brunei pula sebanyak RM5.82 bilion (US$1.21 bilion) iaitu peningkatan 154.8 peratus dari angka pada tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

Industri halal antara bidang kerjasama baharu boleh diteroka Malaysia, Brunei


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelabur dengan terkini menarik potensi pelaburan langsung asing (FDI) RM3.25 bilion dari Itali, yang dijangka direalisasikan tahun ini dan seterusnya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata, beberapa syarikat Itali melahirkan minat untuk melabur di Malaysia pada sesi lawatan kerja Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Itali pada 20 hingga 23 Januari 2023.

Ia berkata, lokasi strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke ASEAN dan rantau Asia Pasifik menjadi daya tarikan kepada syarikat negara itu untuk melabur di negara ini.

“Selaras dengan komitmen kerajaan menyokong perniagaan, pelaburan dan perdagangan, kementerian dan agensi bersiap sedia untuk meningkatkan hubungan dengan pelabur yang membawa masuk pelaburan berteknologi tinggi dan berkualiti yang akan membantu mewujudkan pekerjaan dengan gaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Dari sudut FDI, negara kita sudah pun diiktiraf lokasi strategiknya di Asia Tenggara, ekosistem industri yang pelbagai dan kumpulan bakat yang berkelayakan.

“Apa yang menjadi kunci sekarang adalah untuk menangani semua titik kesukaran dalam perjalanan pelabur bagi menambah baik keseluruhan kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata sebagai negara perindustrian dan berorientasikan perkhidmatan yang utuh, Malaysia menuju ke peringkat pembangunan seterusnya apabila ekonomi menjadi lebih pelbagai bagi memenuhi bidang pertumbuhan baharu.

Beliau berkata, MIDA terus mengalu-alukan FDI berkualiti tinggi dari seluruh dunia, termasuk dari Itali.

“Pelaburan ini memainkan peranan penting dalam pembangunan Malaysia kerana kesannya yang berganda kepada ekonomi dan akan berterusan dalam era pasca pandemik,” katanya.

Semasa lawatan itu, Tengku Zafrul bertemu dan bermesyuarat dengan beberapa pemimpin perniagaan yang berpengaruh dan pelabur berpotensi.

Itali adalah negara pelabur asing kesembilan terbesar Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU), yang mana setakat September 2022, sejumlah 77 projek pembuatan dengan penyertaan Itali dilaksanakan membabitkan jumlah pelaburan AS$382 juta (RM1.4 bilion), mewujudkan 4,346 peluang pekerjaan.

Sebagai salah satu negara yang mewujudkan banyak syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia di peringkat global, Itali mampu menawarkan banyak teknologi terkini dan kepakaran pendigitalan.

Oleh itu, kehadiran syarikat Itali di Malaysia dilihat penting untuk memudahkan pemindahan teknologi kepada mewujudkan lebih ramai pekerja berpengetahuan Malaysia.

Teknologi hijau di Itali juga kritikal untuk menyokong objektif strategik jangka panjang Malaysia untuk menarik pelaburan dengan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), selaras dengan Dasar Pelaburan Baharu (NIP) negara.

Sumber: Berita Harian

Misi ke Itali tarik potensi pelaburan RM3.25 bilion


Content Type:

Duration:

Selepas hampir sedekad sejak rundingan ditangguhkan secara rasminya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini sedang menilai semula perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).

“EU berminat untuk menyambung semula rundingan. Kami terbuka. Kami perlu melihat semula perbincangan sebelum ini. Kami sedang membuat semakan dan menilai situasi,” kata Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz apabila ditanya sama ada Malaysia akan melaksanakan semula rundingan mengenai perjanjian perdagangan bebas (FTA).

Apabila proses itu selesai, perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan sama ada akan disambung semula atau tidak, katanya kepada Bernama pada akhir Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 di sini pada Sabtu.

“Bagaimanapun, jika ia tidak baik untuk Malaysia, kita tidak akan menandatanganinya,” katanya.

Malaysia dan EU melancarkan perbincangan mengenai FTA pada 2010, tetapi selepas tujuh pusingan rundingan, ia telah ditangguhkan pada 2012.

Malaysia kemudiannya memberi tumpuan kepada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang telah diratifikasi dan berkuat kuasa pada 29 November 2022.

Sumber: Bernama

MITI kaji laksana semula rundingan FTA Malaysia-EU


Content Type:

Duration:

Johor Corporation (JCorp) menerusi kerjasama strategik dengan JLand Group Sdn Bhd’s (JLG) telah mengumpulkan pelaburan bernilai RM45.6 bilion tahun lalu.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata pelaburan itu dicapai melalui beberapa kerjasama strategik yang diwujudkan dengan pemain merentas industri yang terkenal di rantau ini dan di peringkat global.

“Perkongsian ini merangkumi sektor berpotensi yang mencatatkan pertumbuhan tinggi seperti logistik, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui, hanya namakan beberapa sektor sahaja.

“Lebih menarik, ini hanya isyarat permulaan dan akan lebih banyak lagi untuk JLG apabila kami menggerakkan pertumbuhan yang pelbagai dan pelaburan bernilai tinggi melalui usaha niaga tempatan, serantau dan antarabangsa,” katanya dalam ucapannya pada pelancaran JLG- ‘Masa Depan Hartanah. Membayangkannya Semula’ di sini pada Selasa.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Syed Mohamed, yang juga Pengerusi JLG berkata, syarikat itu telah mengenal pasti pelaburan masa depan dan inisiatif berpotensi yang akan mengukuhkan lagi jejaknya dalam ekonomi baharu.

“Dalam komitmen kami untuk memperkukuh kemajuan negara ke arah ekonomi digital, kami juga akan meneroka pelaburan infrastruktur ke dalam rangkaian gentian untuk mengembangkan ketersambungan data merentasi timur ke barat Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sektor tenaga boleh diperbaharui turut mewujudkan potensi pelaburan yang sangat besar.

“Selaras dengan agenda kemampanan kami, kami diberi tanggungjawab dalam pembangunan projek tenaga hijau dan bersih seperti ladang solar berskala besar dan loji penjanaan bersama untuk pengeluaran tenaga industri, pelaburan dalam stesen pengecas kenderaan elektrik untuk kegunaan komersial, serta panel solar di atas bumbung untuk pembangunan kediaman,” katanya.

Pelancaran JLG semalam berikutan dengan strategi transformasi JCorp untuk menyelaraskan aktiviti perniagaan dan penawaran perkhidmatan anak syarikatnya, yang mana JLG telah muncul sebagai syarikat pemegangan pelaburan untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat bagi usaha niaga hartanah yang strategik dan mampan di rantau ini.

Sumber: Bernama

JLand Group kumpul pelaburan RM45.6 bilion pada 2022


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Indonesia harus membina ekosistem ekonomi halal untuk menjadi peneraju global selain daripada fokus kepada penyeragaman sijil halal.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata memandangkan Indonesia, negara yang mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia manakala Malaysia pula majoriti penduduknya beragama Islam, justeru kedua-dua negara harus menerajui dan menjadi pemain utama dalam industri halal global selain daripada negara majoriti penduduknya bukan beragama Islam seperti seperti Thailand, Brazil dan Australia.

“Saya percaya kita (Malaysia dan Indonesia) boleh bekerjasama berganding bahu untuk membangun dan memanfaatkan potensi besar ini dalam ekonomi halal.

“Selain itu, saya juga berharap kita dapat mengenal pasti bidang kerjasama masing-masing supaya mendapat manfaat daripada industri halal ini,” katanya dalam ucapan khasnya pada Forum Halal Malaysia-Indonesia dan Libat Urus Industri 2023 yang julung kali diadakan di sini, hari ini.

Hermono berharap forum itu akan memperoleh beberapa kerjasama konkrit melangkaui penyeragaman sijil halal dan membincangkan cara membangunkan ekosistem ekonomi halal global.

“Memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Indonesia baru-baru ini mengenai keselamatan makanan akan memberi manfaat dan menyumbang kepada ekonomi dan industri Islam dengan mengambil kira tenaga kerja dan simpanan tanah Indonesia yang besar serta pengalaman luas Malaysia dalam industri halal,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob dalam ucapannya berkata ekonomi halal sudah bersedia untuk menjadi lebih bersepadu dalam perdagangan global dan rantaian bekalan serta menambahbaik tahap perdagangan dan kewangan Islam yang lebih, ia perlu mengiktiraf dan menerima pakai piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Untuk kekal relevan seiring dengan pembangunan global, industri halal perlu mengambil kira dua aspek utama iaitu pematuhan ESG dan daya tahan rantaian bekalan.

“Industri halal dan ekonomi ini memberi kita peluang membangunkan lagi rantaian bekalan halal yang akan memenuhi piawaian terutamanya berkaitan dengan kelestarian alam sekitar dan amalan buruh,” kata Norazman.

Beliau berkata Indonesia adalah rakan dagang halal kelima terbesar Malaysia dengan eksport halal Malaysia ke republik itu berjumlah RM9.34 bilion dalam tempoh lima tahun (2017-2021).

“Sektor makanan dan minuman mewakili bahagian terbesar, berjumlah RM1.06 bilion atau 11.6 peratus daripada eksport halal Malaysia ke Indonesia,” katanya.

Forum tiga hari yang diadakan dari 16 hingga 18 Januari anjuran Halal Development Corporation (HDC), Jakim Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia adalah untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh pengeksport Halal Malaysia dalam memasuki pasaran Indonesia.

Forum tahunan itu juga diletakkan sebagai platform terbaik untuk mendapatkan maklumat terkini dan berita semasa mengenai peraturan dan keperluan halal di kedua-dua negara sambil mempromosikan perdagangan halal secara keseluruhan.

Sumber: Bernama

Jadi peneraju global: Malaysia, Indonesia harus bina ekosistem ekonomi halal – Duta


Content Type:

Duration:

Misi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) bukan sahaja untuk menarik pelaburan ke Malaysia tetapi juga meneroka peluang perniagaan bagi syarikat tempatan ke peringkat antarabangsa.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata tugas mempromosi Malaysia bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, malah ia turut digalas oleh sektor korporat.

Justeru, katanya, misi MITI ke Davos kali ini turut disertai agensi di bawah kementerian tersebut seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL selain syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd, Petronas dan Sime Darby yang akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan pelbagai syarikat terkemuka dunia.

“Kita telah menyediakan ruang yang kondusif di Malaysia House untuk memudahkan pelbagai perbincangan yang telah diatur. InsyaAllah, semua usaha kita akan membuahkan hasil, demi Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Forum tahunan WEF ke-53 yang berlangsung dari 16-20 Jan itu menghimpunkan seramai 2,700 pemimpin mewakili 130 negara, termasuk 52 ketua negara di bandar peranginan Davos ini, di Pergunungan Alps.

Forum bertemakan ‘Kerjasama Dalam Dunia Terpisah : Menangani Krisis Mendesak, Mengendalikan Cabaran Masa Depan,’ itu dianjurkan di tengah-tengah pelbagai krisis yang telah meningkatkan lagi perpecahan serta pemisahan landskap geopolitik dunia.

Delegasi Malaysia ke WEF bagi tahun ini diketuai Tengku Zafrul yang dijangka menyertai sesi termasuk berkaitan kos perpecahan ekonomi, rantaian bekalan, pengangkutan dan juga ‘Living with Risk’ (Hidup Bersama Risiko) yang mana beliau merupakan antara tiga ahli panel bagi sesi tersebut.

Sumber: Bernama

MITI sasar tarik pelaburan, teroka perniagaan di peringkat antarabangsa bersama sektor korporat – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Selangor optimis menerima peningkatan pelaburan susulan pembukaan semula sempadan China sejak 8 Jan lepas, walaupun pertumbuhan ekonomi negara dijangka berdepan persekitaran mencabar pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata Asia Tenggara masih lagi menjadi tumpuan pelabur asing yang menjadikan rantau ini sebagai transit terutamanya dari China ekoran lanjutan perang perdagangan antara negara itu dan Amerika Syarikat (AS).

“Pada tahun lepas dan khususnya sejak tempoh 10 tahun kebelakangan ini, kita (kerajaan Selangor) memperoleh banyak pelaburan daripada China,” katanya pada sidang media berkenaan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2023 peringkat negeri Selangor di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Teng berkata, kerajaan negeri telah merangka pelbagai jenis program dan insentif dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi seperti pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025.

“Selangor sudah bersiap sedia untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang khususnya dengan adanya RS-1 yang merupakan satu rancangan untuk kita usahakan dalam tempoh lima tahun. Kita menjangkakan akan melihat hasilnya (RS-1) selepas lima tahun dan kita akan mencapai kejayaannya pada tahun kesepuluh,” katanya..

Menurutnya, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2023 menetapkan sasaran RS-1 dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kebangsaan pada tahap 30 peratus berbanding 24.8 peratus tahun lalu.

Sumber: Bernama

Selangor jangka pelaburan meningkat susulan pembukaan semula sempadan China


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mahu bertindak lebih bersasar dalam menarik dan mengekalkan pelaburan, dan ini akan bermula dengan penyertaan dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sejak pelantikannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, beliau telah mengadakan banyak sesi libat urus dengan dewan-dewan perniagaan dan kumpulan pelabur.

Selain itu, beliau telah mengenal pasti pelbagai isu utama bukan sahaja berhubung usaha menarik malah juga mengekalkan pelaburan yang tepat untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi bagi rakyat Malaysia, meningkatkan gaji secara umum, dan membina semula kelas pertengahan pascapandemik.

Ini akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan untuk negara dalam jangka panjang, katanya.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, MITI dan delegasi Malaysia ada tiga keutamaan semasa WEF yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Januari, 2023 iaitu bertemu dan menerangkan hala tuju kerajaan dengan industri tertentu serta mengeratkan lagi hubungan dengan komuniti pelaburan antarabangsa yang disasarkan.

“Kedua, kita mahu mengetengahkan agenda kerajaan dan ekonomi dalam isu-isu penting ekonomi global, terutama dasar Kerajaan Malaysia dalam panel khas forum kali ini.

“Ada sesi tertutup, sesi khas dan kita menggunakan platform tersebut untuk mengetengahkan agenda kerajaan dan saya sendiri telah diundang untuk bercakap dalam beberapa panel tentang Asean, rantaian ekonomi global dan risiko ekonomi global,” katanya kepada BERNAMA, baru-baru ini.

Antara sesi berjadual yang akan disertai oleh Tengku Zafrul adalah mengenai kos fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan beliau akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berada dalam sesi dua panel mengenai ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi – seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti – akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Tengku Zafrul berkata, keutamaan ketiga delegasi Malaysia adalah menguar-uarkan perkembangan terkini Malaysia dan maklumat mengenai hala tuju dan pemikiran kerajaan berhubung isu-isu kelestarian seperti alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang semakin penting.

“Kita kena fokus kepada komuniti pelaburan yang menekankan isu ESG ini. Naratif utama yang akan turut dibawa MITI adalah kestabilan politik, pascapilihan raya umum baru-baru ini supaya kita boleh menjana ekonomi yang lebih kondusif dan inklusif untuk membantu menarik pelaburan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga komited dengan dasar properniagaan.

“Kita terbuka kepada perniagaan, meletakkan Malaysia sebagai negara yang strategik untuk pelaburan kredibiliti dan sebagai pintu masuk ke Asia Tenggara,” katanya.

Ketika ditanya mengenai isu hangat yang akan dibincangkan di WEF, beliau berpendapat WEF akan didominasi oleh isu keresahan perniagaan, komuniti perniagaan dan pemimpin kerajaan tentang prospek ekonomi global yang kelihatan suram pada 2023.

“Namun demikian, Malaysia perlu mempamerkan bahawa pertumbuhan ekonomi global pada tahun ini boleh didorong oleh pertumbuhan ekonomi di Asia juga, termasuk di Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, ini terutama dengan pembukaan semula China, ia akan sedikit sebanyak membantu ekonomi di Asia dan Asia Tengara, termasuk Malaysia.

Sumber: Bernama

MITI akan lebih bersasar tarik pelaburan tepat, bermula dengan WEF, Davos – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia serius dalam menambah baik aspek mudah menjalankan perniagaan di negara ini dan Kerajaan Perpaduan komited terhadap dasarnya yang properniagaan.

Itu adalah antara mesej utama yang akan dikongsikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan bakal pelabur di Davos, Switzerland.

Menerusi sesi libat urus beliau dengan dewan perniagaan dan kumpulan pelabur, satu isu penting yang dikenal pasti adalah aspek memulakan dan menempatkan perniagaan di Malaysia yang boleh dipermudah lagi, katanya.

“Kita mahu menjelaskan kepada pelabur bahawa kita bukan hanya terbuka untuk perniagaan, malah juga menambah baik proses supaya lebih memudahkan aspek menjalankan perniagaan di sini.

“MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) juga mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang strategik dan destinasi pelaburan berkualiti, dan mempunyai kredibiliti sebagai pintu masuk ke Asia Tengara,” katanya kepada Bernama menjelang penyertaannya dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Januari 2023.

Bersama-sama dengan penyertaan korporat Malaysia yang positif, MITI dan agensinya menyasar untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan boleh dipercayai, menerusi penyertaan di forum terkemuka dunia itu.

Antara sesi berjadual yang akan disertai Tengku Zafrul adalah mengenai kos fragmentasi ekonomi, rantaian bekalan dan pengangkutan serta sesi bertajuk ‘Living with Risk’ dengan beliau akan menjadi antara tiga ahli panel.

Beliau juga akan berkongsi pandangan dalam sesi panel dua orang bagi mengupas ‘Global Trade: Navigating The Post Pandemic Supply Chain Challenge’ bersama-sama dengan Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif DP World yang berpangkalan di Dubai, H.E. Sultan Ahmed Bin Sulayem.

Sesi itu akan menumpukan sama ada kuasa makroekonomi seperti inflasi, ketegangan geopolitik, lonjakan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan dan kekangan kapasiti, akan berterusan sehingga 2023 dan cara untuk syarikat boleh mencipta rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan.

Agenda penyertaan MITI kali ini adalah untuk mengangkat suara Malaysia di persada antarabangsa dan berkongsi hala tuju dan dasar-dasar negara dari segi pelaburan, perdagangan dan pemerkasaan industri.

Sehubungan itu, WEF dilihat sebagai antara platform terbaik kerana ia dianjurkan pada awal tahun.

Tengku Zafrul berkata Malaysia boleh mengetengahkan perkara yang menjadi agenda ekonomi negara.

“Saya serta rakan-rakan sejawatan dari negara lain berpeluang bertukar pandangan tentang cabaran yang bakal dihadapi pada 2023 dan persiapan untuk berhadapan dengannya,” katanya.

WEF juga memberi peluang untuk bertemu dengan pemimpin koporat kerana sektor swasta juga akan berada di sana terutama syarikat multinasional untuk melabur di Malaysia atau yang merancang meningkatkan pelaburan sedia ada.

Dari segi persediaan kali ini, pihak MITI dan agensi utama seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan InvestKL melakukan persiapan yang cukup dalam mengatur pertemuan strategik dengan rakan sejawatan dari Korea Selatan, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) serta peserta industri antarabangsa utama sektor pendigitalan, teknologi, ekuiti swasta, pengilangan dan perubatan.

Di samping penyertaan MITI, WEF juga akan menyaksikan sektor korporat dari Malaysia terutama wakil daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd.

“Ini penting untuk kita menyampaikan satu mesej yang jelas bahawa pihak kerajaan dan juga pihak swasta Malaysia bersedia bekerjasama secara strategik untuk menarik pelaburan berimpak tinggi dan membawa ekonomi negara ke tahap yang lebih baik,” kata Tengku Zafrul.

Beliau berkata, justeru di Davos, kerajaan dan sektor swasta mesti mendorong keyakinan terhadap Malaysia.

“Kadang-kadang kita terlalu cepat berputus asa atau bimbang tidak berjaya. Kita mesti menunjukkan kita sebagai pihak yang bersatu dan mendukung kualiti terbaik Malaysia.

“Ia adalah pendekatan negara secara menyeluruh, dengan syarikat swasta bersama sektor kerajaan memastikan kepentingan Malaysia sentiasa terjaga,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan serius, komited teruskan dasar properniagaan


Content Type:

Duration:

Negara maju dan yang sedang membangun perlu bersama-sama di peringkat dua hala, serantau dan pelbagai hala memulakan perjalanan panjang bagi mencapai pembangunan mampan dalam jangka masa panjang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata usaha bersama oleh negara di seluruh dunia akan membantu menangani cabaran ekonomi dan sosial serta bersedia untuk masa depan yang lebih baik.

“Kita perlu menggandakan usaha untuk membuat kemajuan yang lebih besar dalam mencapai ekonomi global baharu yang berasaskan prinsip kemampanan, keterangkuman dan daya tahan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Voice of Global South yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Sidang kemuncak itu dihoskan oleh India, yang merupakan pengerusi semasa bagi forum antara kerajaan G20.

Tengku Zafrul berkata tahun ini dijangka menjadi tempoh yang lebih sukar bagi ekonomi global kerana dunia masih bergelut dengan pandemik dan cabaran hebat, yang dibentuk oleh kesan berpanjangan daripada pergeseran geopolitik yang masih jauh dari penyelesaian, krisis kos sara hidup ekoran tekanan inflasi yang berterusan, serta potensi kelembapan atau bahkan kemelesetan di beberapa ekonomi utama.

Justeru, Malaysia sebagai negara perdagangan akan terus memastikan perdagangan dan pelaburan kekal pemacu utama untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya, memulihkan keyakinan pelabur untuk meningkatkan pelaburan langsung asing, selain meneruskan komitmen dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, katanya.

“Malaysia akan terus terlibat secara konstruktif di forum serantau dan pelbagai hala serta kekal terbuka untuk meneruskan perjanjian perdagangan bebas dan kerjasama ekonomi secara aktif, yang akan membawa faedah ketara kepada negara yang mengambil bahagian,” katanya.

Tengku Zafrul berkata Malaysia juga sedang melabur dalam kemampanan dan ekonomi hijau.

“Memandangkan harapan terhadap kemampanan dan agenda hijau meningkat, Malaysia juga merasai tekanan besar untuk membuktikan kelayakan kemampanannya dan terus menjadikan perkara itu sebagai bahagian penting dalam saranan nilai.

“Bagi tujuan ini, kerajaan telah membuat komitmen untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi dengan kemampanan alam sekitar dengan menyegerakkan pembangunan ekonomi kami dengan aliran alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) global,” katanya.

Aspirasi Pelaburan Nasional Malaysia, yang dilancarkan tahun lepas, telah dirangka dengan prinsip ESG sebagai terasnya.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kini menerajui penggubalan Kerangka Kebangsaan ESG Industri untuk sektor pembuatan, dengan penekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi membantu PKS mematuhi prinsip ESG.

Sumber: Bernama

Malaysia gesa negara maju, sedang membangun bersama-sama dalam pembangunan mampan


Content Type:

Duration:

wpChatIcon