Berita Ekonomi Archives - Page 11 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Manfaatkan perjanjian perdagangan tingkat eksport – Chin Tong

Malaysia boleh memanfaatkan perjanjian perdagangan yang telah ditandatangani dengan negara-negara lain untuk memperkukuh pembuatan dan meningkatkan eksport, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau berkata sektor pembuatan yang kukuh terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh menyokong ekonomi dan pekerjaan yang baik kepada negara.

“Malaysia mencatat sumbangan sektor pembuatan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di bawah 25 peratus dan sebelum ini kita mencatat lebih 30 peratus,” katanya kepada pemberita pada Forum Prospek Perniagaan CITYPlus 2023 di sini semalam.

Menurutnya Malaysia juga boleh menghasilkan dan melatih lebih banyak jenama tempatan serta meningkatkan pengeluaran produk buatan tempatan untuk pasaran global.

“Kita perlu membantu industri terutamanya PKS untuk berkembang dan melangkah ke peringkat global,” katanya.

Beliau berkata pengembangan PKS perlu dilengkapi dengan teknologi lebih baik serta tenaga kerja yang berkualiti.

“Sekiranya kita menghasilkan produk tempatan yang lebih baik, kita mempunyai akses pasaran yang akan menawarkan manfaat lebih besar. Saya optimis namun berhati-hati mengenai ekonomi secara keseluruhan dan sektor PKS pada 2023,” katanya. 

Sumber: Bernama

Manfaatkan perjanjian perdagangan tingkat eksport – Chin Tong


Content Type:

Duration:

Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan usahawan dari China untuk mengembangkan perniagaan di rantau ini yang menyaksikan lebih ramai pelabur negara itu mengintai peluang melabur di sini.

Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing berkata dalam keadaan kelemahan ekonomi global yang kian meningkat dan ketegangan geopolitik yang memuncak, perdagangan dan pelaburan China-Malaysia bertentangan dengan itu dan mencapai pertumbuhan baharu.

Beliau berkata statistik rasmi China menunjukkan dari Jan hingga Nov 2022, perdagangan dua hala China-Malaysia meningkat 18.5 peratus pada asas tahun ke tahun mencecah AS$184.75 bilion.

China dijangka menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia untuk tahun ke-14 berturut-turut.

Menurut statistik rasmi Malaysia, pelaburan China menduduki tempat teratas pada separuh pertama 2022, mencecah AS$11 bilion, menyumbang 55.6 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang menjadikan ekonomi kedua terbesar dunia itu rakan kongsi pembangunan terpenting Malaysia.

“Hubungan China-Malaysia berada di barisan depan dalam hubungan China-ASEAN.

“China akan terus menggalakkan lebih banyak perusahaan China menambah pelaburan di Malaysia bagi meningkatkan lagi pembangunan ekonomi dan industri Malaysia,” katanya pada program “Bicara Duta” anjuran bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Kedutaan China di sini, hari ini .

Ouyang berkata beliau optimis bahawa trend itu akan terus berkembang berdasarkan penglibatannya yang kerap dengan usahawan China di sini.

“Mereka memberitahu saya sebab mereka memilih Malaysia kerana persekitaran politik negara yang stabil, lokasi geopolitik yang strategik, infrastruktur moden serta sistem perundangan yang baik.

“Hubungan baik rakyat dengan rakyat juga menjadi satu daripada faktor yang menarik pelabur China ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata China dan Malaysia boleh memperdalam lagi kerjasama dalam pembangunan kenderaan elektrik, separa konduktor dan cip serta industri minyak dan gas.

“China bersedia bekerjasama dengan Malaysia untuk menggunakan peluang pembangunan ini dengan baik. Kami akan mengukuhkan kerjasama ekonomi, mempercepat inovasi sains dan teknologi dan memperdalam kerjasama dalam semua aspek termasuk kesalinghubungan, ekonomi digital, ekonomi hijau, pertanian moden, bioperubatan dan lain-lain.

“Kami akan bekerjasama untuk membawa manfaat lebih banyak kepada rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada keamanan serta kemakmuran serantau,” katanya.

Memandangkan tahun ini ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia dan pada tahun 2024 China-Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik, beliau mencadangkan agar kedua-dua negara merangka pelan tindakan pembangunan masa depan China dan Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua negara harus mengukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan, parti politik dan pertubuhan sosial di semua peringkat, terus saling mempercayai dan memperdalam serta mengembangkan kerjasama pragmatik dalam semua bidang.

“Kita harus terus menambah dan memperkaya konotasi perkongsian strategik komprehensif China-Malaysia dan mendorong hubungan China-Malaysia ke tahap baharu.

“…China dan Malaysia harus merebut peluang, menggunakan sebaik mungkin momentum pembangunan ke arah membina komuniti China-Malaysia yang bersama berkongsi masa depan,” kata Ouyang.

Sumber: Bernama

Lebih banyak perusahaan China intai peluang melabur di Malaysia – Duta


Content Type:

Duration:

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia bagi tahun 2022 bakal berkembang lebih 30 peratus berbanding 2021.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, ia berikutan peningkatan aliran perdagangan dua hala bagi barangan dan perkhidmatan selepas pembukaan semula sepenuhnya sempadan kedua-dua negara pada tahun lalu.

Tengku Zafrul berkata, sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia, MITI dan agensi-agensinya yang berkaitan telah menyatakan komitmen untuk terus berusaha bagi mengembangkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan dengan Indonesia.

“Di kalangan negara-negara ASEAN, Indonesia merupakan rakan dagangan Malaysia yang kedua terbesar. Dari sudut sumber pelaburan langsung asing (FDI) pula, Indonesia merupakan yang ketiga terbesar. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Indonesia adalah sekitar USD23 bilion pada 2021, peningkatan 45.5 peratus tahun ke tahun berbanding 2020.

“Bagi tempoh Januari-November 2022, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara telah melebihi AS$27 bilion, iaitu peningkatan lebih 33 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, dari segi pelaburan, MITI akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pelaburan rentas sempadan antara Malaysia dan Indonesia, di mana antara bidang kerjasama yang bakal diterokai meliputi farmaseutikal, aeroangkasa, pemprosesan minyak sawit, barangan pengguna, serta pertahanan dan keselamatan.

Ini dicerminkan menerusi pertukaran sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara syarikat-syarikat Malaysia dan Indonesia, dengan jumlah nilai potensi pelaburan melebihi RM1.6 bilion.

MITI juga telah menerajui perbincangan dua hala mengenai potensi pelaburan dan projek pembangunan oleh syarikat-syarikat tempatan di ibu kota baharu Indonesia di Kalimantan Timur.

“Dalam hal ini, Perdana Menteri pada Ahad turut menyaksikan penyerahan sebelas Surat Niat oleh sepuluh syarikat Malaysia, yang telah menzahirkan hasrat untuk turut serta di dalam pembangunan ibu kota baharu Indonesia.

“Syarikat-syarikat ini mempunyai kepakaran dan kelayakan di dalam bidang-bidang seperti E&E, automotif, pembuatan barangan industri, pengurusan sisa, teknologi bandaraya pintar, perumahan, penjagaan kesihatan, kejuruteraan M&E, utiliti dan tenaga lestari,” tambahnya.

Cadangan usahasama bagi manfaat bersama kedua-dua negara itu juga katanya turut dibincangkan di dalam pertemuan diantara MITI dengan Menteri SyarikatSyarikat Awam Indonesia, dan Menteri Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan.

“Pertemuan juga turut diatur dengan Menteri-menteri lain yang bakal ditemui esok (hari ini) iaitu Menteri Perindustrian Indonesia, Menteri Kerja Raya dan Perumahan, serta Menteri Perdagangan,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani

Jumlah perdagangan 2022 Malaysia-Indonesia bakal berkembang lebih 30 peratus – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat-syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI).

Ini termasuk MoU antara ASIC Offshore & Marine & Marine Sdn Bhd dan PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta dan melibatkan usaha selama dua tahun.

Dua syarikat terbabit berhasrat mendapatkan bahagian pasaran bagi segmen kejuruteraan, pembinaan kapal, baik pulih kapal, pelaburan kewangan bagi instrumen serta kemudahan pengeluaran, kejuruteraan daratan dan luar pesisir, fabrikasi selain pembinaan kapal perniagaan dan pembaikan kapal dari syarikat perkapalan negara itu dalam rantau Indonesia.

Selain itu, Perjanjian Komitmen Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia dengan potensi nilai US$150 juta (RM660 juta) bagi projek pemodenan selama lima tahun yang akan diperincikan kemudian dalam perjanjian berasingan dan/atau menerusi tempahan melibatkan kedua-dua pihak.

Hadir sama dalam majlis pertukaran dokumen MoU itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta rakan sejawatnya dari Indonesia Retno Lestari Priansari Marsudi selain Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia M Basuki Hadimuljono.

MoU lain melibatkan kerjasama perniagaan antara Export-Import Bank of Malaysia Bhd dan Lembaga Pembiayaan Eksport Indonesia selain Citaglobal Bhd dan Indonesia Battery Corporation, AWC Bhd dan PT GKM (Kek Maloy) dan AWC Bhd dan PT Bintang Timur Investama.

Memorandum kerjasama (MoC) pula membabitkan FGV Holdings dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN) selain Penjana Kapital Sdn Bhd dan Indies Capital-AC Ventures manakala SIRIM Bhd dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia.

Majlis sama turut menyaksikan sesi pertukaran sejumlah 11 LoI membabitkan masing-masing 10 syarikat Malaysia yang berhasrat menyertai pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

Syarikat terbabit adalah Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd bagi pelaksanaan Pencahayaan Lampu Jalan Pintar LED manakala Carsome merangkumi usaha pendigitalan perdagangan automotif di Nusantara.

Pengeluar kabel aluminium dan tembaga, Olympic Cable Company pula berhasrat mengembangkan produk sedia adanya termasuk kabel kawalan, kabel instrumentasi, kabel pelbagai teras serta telekomunikasi.

Boustead Properties Bhd menawarkan usaha pembangunan hartanah dan perkongsian pengetahuan dalam mewujudkan perbandaran pintar serta lestari.

Selain itu, Berjaya Corporation Bhd akan menawarkan kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal, bekalan air minuman, pembangunan hartanah serta perumahan dan teknologi bandar pintar.

Pharmaniaga Bhd pula berhasrat menawarkan produk serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan manakala Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd pula dari segi penawaran perkhidmatan profesional.

Protasco Bhd (HCM Engineering) menyasarkan untuk membangunkan prasarana serta perumahan kerajaan dan Protasco Bhd (i2 Energy) melibatkan usaha memajukan tenaga boleh baharu dan stesen pengecasan.

Reneuco Berhad pula berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan tenaga dan utiliti lestari.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd yang berharap meneroka serta terbabit dalam pembangunan serta operasi penyelesaian tenaga, telah menyerahkan LoI kepada PT Perusahaan Listrik Negara.

Anwar tiba di Indonesia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas.

Sumber: Bernama

Anwar Ibrahim saksikan pemeteraian MoU, surat hasrat dalam lawatan rasmi pertama ke Jakarta


Content Type:

Duration:

Lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia bermula Ahad menjadi tumpuan penganalisis yang mengharapkan akan melakar kerjasama lebih konkrit dalam pelbagai bidang yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

Ini juga merupakan lawatan rasmi luar negara pertama Anwar sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada 24 Nov lalu dan Indonesia menantikan pembaharuan dasar yang bakal diperkenalkan, terutama mengenai tenaga kerja Indonesia (TKI) di Malaysia, persempadanan darat dan maritim serta kerjasama perdagangan dan ekonomi.

“Kita akan menantikan adakah Anwar Ibrahim memang benar-benar sosok yang difikirkan oleh rakyat Indonesia sebagai seorang yang boleh membawa perubahan.

“Saya sendiri mengharapkan agar ada perubahan yang lebih harmonis (pada) hubungan Indonesia-Malaysia,” kata penganalisis komunikasi politik, Hendri Satrio.

Lawatan rasmi julung kali Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu turut akan memperlihatkan pendirian beliau terhadap pembangunan ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan, isu serantau ASEAN dan antarabangsa.

Perkara lain yang perlu ditangani adalah situasi Laut China Selatan, pengaruh China di Asia Tenggara dan ketegangan geopolitik antarabangsa, katanya.

Hal senada turut ditekankan Badan Penyelidikan dan Inovasi Nasional (BRIN) Indonesia dalam laporannya, ‘Anwar Ibrahim dan Masa Depan Hubungan Indonesia-Malaysia’ baru-baru ini.

Penganalisis Pusat Penyelidikan Politik di BRIN, Sandy Nur Ikfal Raharjo berkata, kedua-dua negara perlu bekerjasama mewujudkan rantaian nilai rentas sempadan bagi industri terkemuka masing-masing.

Sebagai contoh, katanya, Indonesia boleh menyokong pembangunan industri makanan halal di Malaysia, manakala Malaysia menyokong Indonesia dalam industri fesyen Muslim.

Kerajaan di kedua-dua negara juga perlu menangani isu pengajian TKI di Malaysia termasuk masalah pengambilan pekerja tanpa permit sah dan usaha untuk menambah pusat pembelajaran untuk kanak-kanak TKI di pelbagai lokasi.

Menyentuh isu sempadan, beliau berkata, rundingan dua hala perlu dipergiatkan agar persetujuan dapat dicapai segera, sekali gus merancakkan pelan pembangunan di wilayah perbatasan masing-masing.

“Ketiga-tiga isu perlu diterjemahkan secara serius kepada dasar dan kerjasama antara negara dan perlu dijaga secara konsisten oleh rakyat kedua-dua negara.

“Justeru, kepentingan nasional setiap negara dapat dipenuhi dalam hubungan Indonesia-Malaysia yang lebih erat di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Joko Widodo,” katanya.

Sumber: Bernama

Lawatan Anwar ke Indonesia jadi tumpuan, perkukuh hubungan Jakarta-Kuala Lumpur


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berharap hubungan perdagangan Malaysia-China akan terus diperkukuhkan menerusi penglibatan berterusan antara kedua-dua negara, kata menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata demikian menerusi laman Twitternya selepas bertemu dengan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing, hari ini.

Semasa pertemuan tersebut, antara perkara yang dibincangkan adalah hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China serta langkah-langkah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala, katanya.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 13 tahun berturut-turut (2009-2021).

Semasa wawancara bersama saluran CNBC semalam, Tengku Zafrul berkata langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi prospek yang baik kepada sektor pelancongan dan ekonomi Malaysia.

Menurut data daripada Tourism Malaysia, semasa tempoh sebelum pandemik, China menyumbang kedatangan pelancong ketiga terbesar di Malaysia dengan kira-kira 3.1 juta pelancong dari negara tersebut melawat Malaysia pada 2019, daripada keseluruhan 26.1 juta orang.

Sumber: Bernama

MITI harap hubungan perdagangan Malaysia-China terus mengukuh – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia tidak akan menilai semula Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang telah diratifikasi tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebaliknya menegaskan kerajaan baharu ini komited untuk melaksanakannya.

“Saya berpeluang membentangkan CPTPP kepada Kabinet baru-baru ini dan kami (Kabinet) mengulangi komitmen kami terhadap apa yang telah dilaksanakan.

“Memang terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak, namun telah menangani perkara itu dan banyak tindakan telah diambil oleh kementerian dan kerajaan untuk menanganinya.

“Jadi kami sangat komited untuk menyertai CPTPP,” katanya dalam temu bual eksklusif saluran berita CNBC pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menandatangani semua dokumen pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import dapat diteruskan di bawah perjanjian tersebut.

Sumber: Astro Awani

CPTPP: Malaysia komited laksanakannya – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan CNBC pagi ini, beliau berkata walaupun cabaran masih ada disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi petanda baik untuk negara memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

“Langkah itu akan membantu eksport dan ekonomi kami. Di dalam negara, usaha yang memfokuskan pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor-sektor utama, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menggerak naik rantaian nilai dalam sektor yang kami amat kukuh juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

“Malaysia mengunjurkan pertumbuhan empat peratus pada 2023. Angka (pertumbuhan) kami kelihatan baik, inflasi pada empat peratus dan kadar pengangguran pada 3.6 peratus,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar 8.0-9.0 peratus pada 2022.

Bagi sembilan bulan pertama 2022, ekonomi negara berkembang sebanyak 9.3 peratus, katanya sambil menambah negara mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga 2022 di tengah-tengah permintaan domestik dan luar yang kukuh serta pasaran buruh yang bertambah baik. .

Dalam temu bual itu, Tengku Zafrul turut menyatakan beberapa kebimbangan yang mungkin boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi global, antaranya dasar monetari dan fiskal yang lebih ketat, ketegangan global seperti perang Ukraine-Rusia yang mengganggu rantaian bekalan serta kapasiti pengeksport dalam memenuhi tuntutan pasaran ESG.

CPTPP diteruskan

Menteri itu seterusnya berkata Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat komited terhadap penyertaan negara dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa pada 29 Nov 2022 di Malaysia.

Menjawab soalan sama ada akan terdapat penilaian semula baharu bagi perjanjian perdagangan 11 anggota itu, Tengku Zafrul berkata bahawa Perdana Menteri sendiri telah menandatangani semua perjanjian pentadbiran yang diperlukan untuk memastikan eksport dan import dapat diteruskan di bawah perjanjian yang telah diratifikasi.

“Jelas sekali terdapat beberapa isu yang dibangkitkan oleh pelbagai kumpulan dan kami telah menanganinya dengan mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan beberapa kebimbangan, jadi kami sangat komited untuk menyertainya,” katanya.

Ringgit akan terus mengukuh

Ketika ditanya sama ada apa yang dialami oleh ringgit telah berakhir yang mana mata wang tempatan telah menyusut nilai sebanyak enam peratus pada 2022, Tengku Zafrul berkata beliau optimis ringgit akan kembali dan terus mengukuh pada 2023, didorong oleh unjuran pertumbuhan Malaysia bagi tahun itu.

“Saya berpendapat perkara utama di sini ialah apa yang akan berlaku kepada dolar AS. Dari sudut pandangan saya, saya rasa dolar (AS) telah mencapai tahap yang selesa,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Malaysia terus kukuh untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Sembilan menjangka jumlah pelaburan yang dicapai melebihi RM9 bilion pada tahun ini iaitu rekod tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah pentadbiran negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, momentum itu dilihat bermula kukuh dengan jumlah pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merekodkan sejumlah RM1.48 bilion sehingga suku kedua tahun ini.

“Selain itu, permohonan pelaburan sebanyak RM6.44 bilion lagi dikemukakan kepada MIDA dan sedang menunggu kelulusan rasmi termasuk pelaburan berjumlah RM6 bilion daripada Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd bagi membina sebuah kilang membuat sel bateri kenderaan elektrik (EV) Fasa Kedua di Kawasan Perindustrian Tuanku Ja’afar, Senawang.

“Sekiranya ia berjalan seperti yang dirancang, kerajaan negeri amat yakin sekali lagi untuk mencatat sejarah yang amat luar biasa apabila jumlah pelaburan yang bakal diumumkan secara rasmi (oleh MIDA) nanti akan melebihi RM9 bilion,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya di sini.

Aminuddin berkata, pada tahun lepas, kerajaan negeri berjaya memacu pelaburan yang membanggakan meskipun menghadapi kekangan berikutan pandemik COVID-19 apabila mencatat pelaburan bernilai RM5.76 bilion melepasi sasaran RM5 bilion yang ditetapkan.

Untuk rekod, pada 2020, Negeri Sembilan meraih pelaburan berjumlah RM7.93 bilion termasuk meliputi sektor pembuatan utama, hartanah, kewangan dan perkhidmatan perdagangan pengedaran berbanding RM6.77 bilion pada 2019.

Sumber: Bernama

Negeri Sembilan jangka capai jumlah pelaburan lebih RM9 bilion tahun ini – MB


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar dengan mengamalkan tadbir urus yang baik, bebas rasuah dengan memastikan Malaysia bukan tempat untuk pemimpinnya menggondol kekayaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan kerajaan telah mendapat senarai pelabur dari negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, India serta beberapa negara sekitar Asia yang akan datang dan melihat sendiri perkembangan di Malaysia khususnya dari aspek ekonomi.

“Kita harap ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi lebih meyakinkan. Ini perlu kerana Malaysia adalah negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara.

“Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan malam ini.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam serta badan penguat kuasa yang didapati ‘cuai’ dalam menjalankan tugas dengan meneruskan ‘adegan lama’ mengutip habuan dan menetap kos tambahan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang meroboh dan merosakkan negara selama ini. Saya mohon kerjasama kerana saya tahu sejumlah besar penjawat awam dan kelompok kecil ini mengerti dan faham, dan kelompok ini mesti dihapuskan.

“Mudah-mudahan ada keinsafan, jika tidak tindakan tegas dan keras harus diambil,“ kata beliau.

Anwar berkata beliau juga tidak mahu kepincangan politik terus berlarutan dan melihat kedudukan serta jawatan sebagai satu kesempatan untuk ‘memunggah’ kekayaan.

“Saya singgung serangan yang mengatakan seolah-olah kami dalam kerajaan terpalit dalam hal-hal sedemikian, saya nak sebut bahawa sikap kita jelas, badan penguatkuasaan diberikan sepenunnya untuk memantau,” katanya.

Anwar turut mengingatkan agensi kerajaan supaya mengamalkan budaya kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran selain akan terus memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perbelanjaan mereka.

Selain itu, Perdana Menteri tidak mahu slogan ‘anjakan paradigma’ yang sering dilaung-laungkan tidak diterjemah dengan sebetulnya terutama dalam aspek pembangunan yang melibatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita akan dengan teruskan pembangunan tetapi jangan kita remehkan, jangan abai nasib dan kedudukan mereka di peringkat bawah, itu konsep pembangunan yang tertera dalam al-Quran, konsep pembangunan fizikal tidak boleh terlepas daripada nilai hidup, akhlak dan ketakwaan,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu perkauman sempit dan agama yang menghukum tanpa berlandaskan fakta, Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan akan memperhebat aktiviti imarah, pengajian dan latihan di masjid-masjid bagi anak muda.

Beliau juga mahu ada peningkatan kefahaman agama dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, bagi mengelakkan bibit-bibit Islamophobia yang tertanam sejak zaman penjajah, daripada mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran masyarakat.

Sumber: Bernama

Tadbir urus yang baik untuk tingkat keyakinan pelabur, halang gondol kekayaan negara: Anwar


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan Malaysia pada 2023.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, walaupun berdepan dengan persekitaran ekonomi yang dijangka mencabar, MITI juga turut memberi fokus kepada memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing.

“Kita juga perlu memastikan penggubalan dan pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala, mahupun pelbagai hala akan memberi nilai dan kelebihan yang padu kepada pemain domestik.

“Ini terutamanya dalam rantaian bekalan Malaysia khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS,” katanya.

Menerusi video ringkas ucapan Tahun Baharu 2023 hari ini, Tengku Zafrul juga mengajak rakyat Malaysia membulatkan tekad, bersama-sama berusaha sehabis baik demi Malaysia tercinta.

“Assalamualaikum dan selamat sejahtera, saya Tengku Zafrul serta warga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI akan pastikan perdagangan kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Jepun menegaskan komitmen untuk mengukuhkan lagi perdagangan dua hala, pelaburan serta hubungan perniagaan untuk manfaat kedua-dua negara, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini menjelaskan, komitmen itu dinyatakan selepas menteri berkenaan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menerima kunjungan rakan sejawatnya, Nishimura Yasutoshi serta delegasi, semalam.

Pertemuan buat julung kalinya yang berlangsung kira-kira sejam itu menyentuh isu-isu utama seperti daya tahan rantaian bekalan, memanfaatkan konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam pelaburan dan industri, serta kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama bersama antaranya dalam sektor industri tenaga dan pesawat.

Perbincangan itu turut menumpukan kepada kerjasama ekonomi di pelbagai platform perdagangan bebas seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF).

“Kedua-dua menteri turut membincangkan mengenai penganjuran Dialog Industri Awam-Swasta Malaysia-Jepun di Kuala Lumpur (2023) dan menegaskan komitmen mereka untuk memperkasa kerjasama, seiring dengan peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Jepun yang membawa kepada perkongsian strategik komprehensif pada awal tahun ini,” kata MITI.

Menurut kenyataan itu, Tengku Zafrul turut menzahirkan penghargaan kepada Jepun di atas sokongan berterusan terhadap Malaysia setakat ini dan menegaskan komitmen berterusan Malaysia kepada Dasar Pandang ke Timur (LEP) yang menumpukan kepada pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Jepun sejak lebih 40 tahun lalu.

Dalam hal ini, MITI berkata Malaysia akan terus bekerjasama secara strategik dengan Jepun terutamanya dalam bidang seperti ESG, kecerdasan buatan, Internet Pelbagai Benda, robotik, pembuatan pintar dan tenaga boleh baharu.

Mengenai hubungan ASEAN-Jepun, kedua-dua menteri berikrar untuk meneruskan libat urus, terutamanya menjelang ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama ASEAN-Jepun pada 2023.

Jepun ialah satu daripada sumber utama pelaburan langsung asing Malaysia dengan pelaburan berjumlah sehingga RM90.9 bilion (AS$27.6 bilion) pada 2021 dan mewujudkan 337,280 pekerjaan.

Negara itu juga adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia pada 2021 dengan perdagangan berjumlah sehingga RM149.76 bilion (AS$36.14 bilion).

MITI berkata, susulan pelancaran Dasar Pelaburan Baharu (NIP) pada Oktober 2022, Tengku Zafrul turut menegaskan komitmen kementerian itu dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan kepada semua pelabur termasuk dari Jepun.

Menyedari peluang besar untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi, kedua-dua menteri menyatakan komitmen untuk mengukuhkan momentum positif hubungan dua hala Malaysia-Jepun serta meningkatkan lagi kepentingan ekonomi kedua-dua negara.

Sumber: Bernama

Malaysia, Jepun komited perkukuh perdagangan, pelaburan


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama di negara ini dengan sumbangan 31.8 peratus, diikuti oleh Johor (19 peratus), Selangor (17.7 peratus), Sarawak (sembilan peratus) dan Kuala Lumpur (5.4 peratus).

Sementara itu, bagi import, Selangor adalah penyumbang utama dengan 26.5 peratus,

diikuti oleh Pulau Pinang (24.3 peratus), Johor (20.7 peratus), Kuala Lumpur (7.1 peratus) dan Kedah (5.8 peratus).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata eksport pada bulan November 2022 meningkat sebanyak RM17.6 bilion (15.6 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Katanya, eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM10.8 bilion), Sarawak ( RM3.2 bilion), Johor (RM1.9 bilion), Kuala Lumpur (RM1.6 bilion), Selangor (RM629.2 juta), Terengganu (RM315.6 juta), Melaka (RM152.0 juta), Kelantan (RM119.3 juta), Negeri Sembilan (RM77.4 juta) dan Perlis (RM30.6 juta).

“Walau bagaimanapun, eksport menyusut di Sabah (-RM565 juta), Pahang (-RM379.7 juta), Perak (-RM180.2 juta), W.P. Labuan (-RM38.8 juta) dan Kedah (-RM13.8 juta),” katanya dalam satu kenyataan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri November 2022 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Jumlah dagangan Malaysia pada bulan November 2022 bernilai RM238.2 bilion, meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun dengan nilai eksport RM130.2 bilion, peningkatan sebanyak 15.6 peratus tahun ke tahun dan import bernilai RM107.9 bilion, juga naik 15.6 peratus tahun ke tahun.

Beralih kepada prestasi import mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan, import pada November 2022 juga meningkat RM14.5 bilion (15.6 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (RM4.6 bilion), Selangor (RM4 bilion), Johor (RM3.4 bilion), Melaka (RM1.6 bilion), Kuala Lumpur (RM640.7 juta), Sarawak (RM447.8 juta), Terengganu (RM162.1 juta), Perak (RM148.6 juta),

Perlis (RM53.1 juta) dan Kelantan (RM33.1 juta).

“Walau bagaimanapun, import menyusut di Kedah (-RM368.5 juta), Negeri Sembilan (-RM211.5 juta), Pahang (-RM89.2 juta), Sabah (-RM25.3 juta) dan Labuan (-RM16.5 juta),” katanya.

Sumber: Berita Harian

Pulau Pinang kekal pengeksport terbesar Malaysia


Content Type:

Duration:

Pembukaan semula ekonomi China tahun depan dijangka memberi impak positif terutama berkaitan aktiviti pelancongan dan perdagangan Malaysia, demikian kata penganalisis.

Ia berikutan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia serta penyumbang tertinggi dari segi ketibaan pelancong ke negara ini.

China mengumumkan kelonggaran pengurusan COVID-19 pada 8 Januari ini dan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan Beijing tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu.

Ekonomi kedua terbesar dan negara paling ramai penduduk di dunia itu juga memansuhkan dasar ‘sifar COVID’ bulan ini berikutan pergolakan dan protes di beberapa bahagian negara itu.

Penganalisis menjangkakan China boleh berdepan kerugian sekurang-kurangnya AS$46 bilion sebulan atau 3.1 peratus daripada KDNK dengan pelaksanaan langkah sekatan dan kawalan ketat bagi membendung penularan COVID-19 di negara itu.

Profesor Adjung Tun Abdul Razak School of Government (TARSOG) Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Dr Zulkiply Omar, berkata impak secara langsung daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa China sudah pastinya kepada sektor pelancongan negara.

Beliau berkata, sektor yang mempunyai rantaian kukuh dengan pelancongan seperti peruncitan, pengangkutan dan seumpamanya akan meraih manfaat positif itu.

“Ia juga akan memberi manfaat kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS),” katanya kepada BH.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff juga berpendapat pembukaan ekonomi China akan memberi manfaat positif kepada ekonomi Malaysia memandangkan republik itu adalah rakan dagang utama Malaysia.

Beliau berkata, sektor yang akan menerima impak besar ialah elektrik dan elektronik (E&E) serta sektor komoditi seperti gas dan petroleum.

Namun begitu, Ahmed Razman mengingatkan risiko yang bakal timbul daripada kedatangan pelancong China dengan jumlah yang banyak tidak boleh dipandang ringan.

Justeru, beliau menyarankan kerajaan untuk melihat keperluan dan keberkesanan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dalam menerima kedatangan pelancong dari China.

Katanya, ia bertujuan bagi mengelakkan berlakunya pandemik baharu yang akan menjejaskan kembali sektor hospitaliti dan pelancongan serta sektor lain.

Sementara itu, KAF Research dalam nota penyelidikannya berkata, kelonggaran sekatan COVID-19 dan rancangan pembukaan semula selanjutnya oleh China tahun depan dijangka menyediakan beberapa potensi peningkatan kepada prospek pertumbuhan ekonomi negara.

Cabang penyelidikan KAF Investment Bank itu berkata, China adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan menyumbang hampir 17 peratus daripada jumlah perdagangan.

Malah, katanya, China juga penyumbang terbesar dari segi ketibaan pelancong ke Malaysia sebanyak kira-kira 11.9 peratus daripada jumlah ketibaan pada 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19 melanda.

“Kami menjangkakan pelancong China kembali semula sebanyak 30 peratus merujuk kepada tahap prapandemik (3.1 juta pelancong pada 2019), boleh menyumbang resit tambahan RM2.5 bilion kepada industri pelancongan, yang akan memberi peningkatan 0.2 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Namun begitu, KAF Research kekal berhati-hati dengan kebimbangan pembukaan semula di China boleh disertai peningkatan jangkitan COVID-19.

Pasaran saham Asia berada dalam dagangan turun naik tidak menentu pada Rabu memandangkan pelabur mencari arah selepas China mengambil langkah selanjutnya ke arah membuka semula ekonominya yang dilanda COVID-19, dengan kebimbangan mengenai kelembapan ekonomi yang menjejaskan sentimen.

Sumber: Berita Harian

Pembukaan semula China beri manfaat besar ekonomi Malaysia


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Australia hari ini menyatakan komitmen masing-masing untuk mengeratkan hubungan dua hala di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya, Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata, kedua-dua negara turut bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, serta hubungan sesama rakyat.

Beliau berkata Australia adalah rakan rapat dan penting bagi Malaysia, malah pada 2021, dua negara berkenaan meningkatkan hubungan dua hala melalui kerjasama strategik kepada CSP.

“Ini merupakan interaksi pertama kami berdua sejak saya memegang tampuk pentadbiran bulan lepas. Australia merupakan rakan dagangan ke-13 terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan nilai dagangan berjumlah RM52.28 bilion (USD13.76 bilion),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, rakaman video perbualan telefon antara Anwar dan Albanese berdurasi 2.50 minit turut dipaparkan.

Dalam perbualan itu, Anwar turut memaklumkan Kerajaan Perpaduan pimpinannya adalah stabil malah sudah mendapat lebih dua pertiga sokongan di Dewan Rakyat dan mahu memfokuskan kepada memacu ekonomi negara.

Albanese turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10, selain menyifatkan pelantikan beliau sebagai pemimpin utama kerajaan sebagai satu inspirasi menerusi sikap daya tahannya (resiliency) dalam kehidupan dan politik.

Pada 24 Nov lepas, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Sumber: Bernama

Malaysia-Australia komited perkukuh hubungan dua hala – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Langkah Chile untuk meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) membuka peluang besar untuk perniagaan Malaysia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk Chile, sebuah negara di bahagian barat Amerika Selatan, pada 21 Februari 2023.

“Chile telah meratifikasi CPTPP. Perjanjian itu akan berkuat kuasa untuk Chile pada 21 Februari 2023.

“Satu peluang besar bagi perniagaan Malaysia untuk mengambil kesempatan daripada kadar duti keutamaan ke atas barangan yang dieksport ke dan diimport dari Chile,” katanya dalam ciapan di laman Twitter hari ini.

CPTPP ialah pakatan perdagangan antara Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian perdagangan itu berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 Nov 2022, dan skop komprehensifnya termasuk kawasan akses pasaran tradisional serta faktor seperti tenaga kerja, alam sekitar, perusahaan milik kerajaan, pemerolehan kerajaan, harta intelek, perdagangan elektronik dan perusahaan kecil dan sederhana. 

Sumber: Bernama

Chile ratifikasi CPTPP buka peluang peniaga Malaysia – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), antara lain akan meningkatkan akses kepada bahan mentah serta barangan perantaraan yang berharga kompetitif dari negara-negara CPTPP, yang kemudiannya bertukar menjadi produk siap yang akan dieksport atau dijual di dalam negara. 

Oleh itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata rakyat sebagai pengguna boleh menikmati produk berkualiti pada harga yang lebih berpatutan.

CPTPP berkuat kuasa di Malaysia pada 29 Nov 2022. 

Sebanyak lapan negara telah melaksanakan perjanjian tersebut seperti Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam.

Perjanjian itu juga akan memudahkan aliran modal masuk ke negara ini, yang seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi termasuk peluang ekonomi bagi rakyat Malaysia. 

“Ia menjanjikan ekosistem pelaburan yang lebih baik melalui pembangunan kapasiti yang akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan. Ia juga memberikan perlindungan, kebolehramalan dan ketelusan yang lebih jelas untuk rakyat Malaysia melabur di negara-negara CPTPP,” kata MITI dalam satu menyataan hari ini. 

Perjanjian itu juga akan membolehkan profesional Malaysia keupayaan memperkenalkan perkhidmatan mereka melalui pengiktirafan bersama kelayakan profesional, pelesenan atau pendaftaran, melalui Garis Panduan Perjanjian Pengiktirafan Bersama (MRA) atau Pengaturan untuk Perkhidmatan Profesional.

Menurut MITI, Ia juga akan menjadi pemudahcara pergerakan rentas sempadan profesional yang berkelayakan dalam beberapa sektor berasaskan perkhidmatan yang mempunyai kepentingan utama kepada Malaysia seperti perakaunan, kejuruteraan, seni bina, undang-undang, perubatan dan pergigian. 

Khususnya, mekanisme pemudahcara yang ditawarkan oleh CPTPP akan mengurangkan halangan yang dihadapi oleh profesional perniagaan di sempadan negara-negara CPTPP. 

Menurut kenyataan itu lagi, ini akan memudahkan perjalanan perniagaan atau penempatan semula secara sementara bagi kategori profesional tertentu yang terlibat dalam aktiviti perdagangan dan pelaburan.

“Sama pentingnya ialah bantuan teknikal serta program pembangunan kapasiti yang dirangkumkan dalam perjanjian itu, yang akan membantu membangunkan kepasiti tempatan dalam sektor seperti automotif, elektrik dan elektronik, bahan kimia, peralatan optik dan saintifik serta peranti perubatan,” tambah MITI. 

Sebagai pihak yang mematuhi sepenuhnya perjanjian berkenaan, Malaysia kini boleh mengambil bahagian secara berkesan dalam rundingan penyertaan yang sedang berlangsung dengan United Kingdom.

Selain itu, dengan adanya, penyertaan China, Taipei China, Ecuador, Costa Rica dan Uruguay, Malaysia mempunyai hak untuk mengambil bahagian dalam rundingan penyertaan dengan negara-negara terbabit yang pastinya memberikan faedah maksimum kepada negara. 

Ia menambah, semua agensi dalam ekosistem Miti juga bersedia serta berupaya untuk membantu pengeksport, pengeluar Malaysia; pelabur dan pembekal perkhidmatan; komuniti perniagaan dan profesional; serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) bagi memanfaatkan potensi dan manfaat CPTPP sepenuhnya.

Sumber: Bernama

CPTPP menguntungkan pengguna dengan kualiti dan harga yang kompetitif


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersedia untuk membantu dan menyokong industri dan pengeksport Malaysia serta membantu rakyat mendapatkan pelbagai manfaat daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), yang berkuat kuasa 29 Nov, 2022.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) CPTPP berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 Nov, 2022 dan skop komprehensifnya termasuklah kawasan akses pasaran tradisional serta faktor-faktor seperti buruh, alam sekitar, perusahaan milik kerajaan, pemerolehan kerajaan, harta intelek, perdagangan elektronik dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam satu kenyataan semalam, MITI berkata Malaysia akan mendapat manfaat daripada kadar duti keutamaan bagi barangan yang dieksport ke dan diimport dari lapan negara anggota CPTPP – Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam – yang telah melaksanakan perjanjian ini.

Ia berkata kadar duti keutamaan yang berkuat kuasa serta-merta ialah:

(a) Layanan penuh bebas cukai kepada semua eksport Malaysia yang memasuki Singapura dan Australia.

(b) Layanan bebas cukai ke atas 96 peratus eksport Malaysia dan baris tarif ke New Zealand pada masa ini, yang dijangka meningkat kepada 100 peratus menjelang 2024. Terutamanya, produk Malaysia merentasi semua sektor boleh memasuki pasaran New Zealand pada kadar duti sifar, kecuali produk seperti tekstil dan kayu diproses yang akan menjadi bebas cukai menjelang 2024.

(c) Eksport Malaysia ke Jepun tertakluk kepada layanan bebas cukai untuk 86 peratus baris tarif, yang akan meningkat kepada 100 peratus menjelang 2038.

(d) Layanan bebas cukai untuk 88 peratus baris tarif Malaysia ke Vietnam, ditetapkan pada 100 peratus menjelang 2033.

MITI berkata CPTPP akan membolehkan pengeksport Malaysia mendapat manfaat daripada layanan bebas cukai bagi majoriti baris tarif ke tiga pasaran baharu, Kanada, Mexico dan Peru, yang mana Malaysia tidak mempunyai sebarang FTA sebelum ini.

“Kanada secara beransur-ansur akan menghapuskan duti pada baris tarif yang sedia ada menjelang 2029, manakala Mexico dan Peru menjelang 2033,” katanya.

MITI berkata eksport Malaysia yang penting secara jelas akan mendapat manfaat daripada duti sifar termasuk alat ganti dan komponen automotif, tekstil dan kasut untuk pasaran Mexico.

“Sektor lain ialah produk berasaskan koko, produk getah, minyak sawit dan plastik untuk pasaran Peru,” katanya.

MITI berkata untuk perniagaan Malaysia menikmati tarif keutamaan CPTPP, mereka mesti mendapatkan Sijil Tempasal (CO) daripada kementerian.

“Untuk layak mendapatkan CO, pengeksport Malaysia ke negara-negara CPTPP dikehendaki mematuhi keperluan Peraturan Tempasal (ROO) yang sepadan,” katanya.

Kementerian itu berkata input dan bahan mentah yang diperoleh dari semua negara CPTPP diiktiraf sebagai kandungan asal.

“Ini membolehkan syarikat memanfaatkan rantaian bekalan serantau yang pelbagai, lebih cekap dan kos efektif.

“Dalam memudahkan pematuhan ROO, CPTPP juga memberi pengeksport dengan pelbagai pilihan kaedah pengiraan Kandungan Nilai Serantau (RVC),” tambahnya.

Bagi maklumat lanjut tentang permohonan elektronik untuk CO, sila layari laman web MITI di https://fta.miti.gov.my/index.php/pages/view/7

Sumber: Bernama

MITI sedia bantu industri, pengeksport peroleh pelbagai faedah CPTPP


Content Type:

Duration:

Johor mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi untuk tempoh Januari sehingga September tahun ini iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han berkata berdasarkan statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 14 Disember lepas, pelaburan yang dicatatkan itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

Beliau berkata sektor perkhidmatan tetap mendominasi pelaburan di Johor iaitu sebanyak RM55.06 bilion, diikuti sektor perkilangan RM8.84 bilion dan sektor utama berjumlah RM25 juta.

“Sebanyak 340 projek diluluskan MIDA manakala 11,968 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan melalui pelaburan-pelaburan tersebut.

“Statistik itu menunjukkan Johor tetap menjadi destinasi pelaburan utama dalam negara bersandarkan ekosistem pelaburan dan perindustrian yang memenuhi kriteria para pelabur asing dan domestik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Lee berkata pencapaian positif itu turut disumbangkan oleh penyediaan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi, kestabilan politik di Johor, utiliti dan tanah yang mencukupi serta infrastruktur seperti pelabuhan dan kemudahan asas yang baik.

Sementara itu, beliau berkata Johor juga dijangka dapat menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor digital, peranti perubatan, pembuatan termaju serta industri sokongan berkaitan.

Beliau berkata ia dapat dilihat menerusi pelaburan dari negara luar baru-baru ini seperti Insulet Corporation dari Amerika Syarikat dan Singapura yang membangunkan kilang pengeluaran peranti perubatan serta Sistem Pengurusan Insulin Omnipod.

“Begitu juga GDS Holdings Ltd, Bridge Data Centres dari China serta YTL Power International Bhd Malaysia yang membangunkan pusat-pusat data tersendiri secara berskala besar dan Wiwynn Corporation dari Taipei yang menubuhkan fasiliti pembuatan papan litar bercetak,” katanya.

Lee berkata pelaburan itu juga sekali gus dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan berkualiti untuk Bangsa Johor selain meningkatkan daya saing.

Justeru itu, beliau mengalu-alukan inisiatif Pejabat Pelaburan Digital untuk mewujudkan iklim perniagaan unik dalam menarik pelaburan projek-projek digital, terutamanya bagi pembangunan pusat data di negeri itu yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan jumlah pelaburan yang diterima pada tahun ini.

Sumber: Bernama

Johor catat pelaburan tertinggi RM63.9 bilion, kekal destinasi pelaburan utama negara


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyasar untuk mengekalkan sinergi dan momentum dengan komuniti perniagaan terutamanya dalam usaha membantu mereka mendepani cabaran ekonomi.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata MITI sentiasa terbuka dan bersedia  mendengar pandangan dan membantu memudahkan urusan komuniti perniagaan.

“Memulihkan keyakinan pelabur selepas pandemik terus kekal menjadi keutamaan utama bagi MITI,” katanya menerusi ciapan di laman Twitter beliau hari ini susulan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) baru-baru ini.

Tengku Zafrul berkata peranan dewan dan majlis perniagaan seperti AMCHAM dan Majlis Perniagaan AS-ASEAN dalam usaha-usaha ini adalah sangat penting.

“Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) memiliki hubungan politik dan ekonomi yang kukuh sejak kemerdekaan kita pada 1957.

“Oleh itu, saya amat berbesar hati membincangkan usaha-usaha untuk mengukuhkan hubungan ini dengan Duta AS ke Malaysia Brian McFeeters,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI sasar kekalkan sinergi, momentum dengan komuniti perniagaan – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan telah melangkaui US$20 juta (US$1=RM4.41) dalam tempoh 10 bulan pertama 2022, kata Duta Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae.

Peningkatan ketara ini didorong oleh industri semikonduktor, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta petrokimia. 

“Tahun lepas, jumlah dagangan antara kedua-dua negara melebihi US$20 juta dan ia dijangka meningkat lebih banyak malah mencatat rekod tertinggi baharu sekali lagi tahun ini. Pelaburan oleh syarikat Korea di Malaysia akan terus bertambah. 

“Kami ingin menaik taraf serta memperluaskan skop kerjasama antara kedua-dua negara. Sekarang kami sangat berminat dengan industri berteknologi tinggi, sektor tenaga hijau dan boleh diperbaharui,” katanya selepas pelancaran logo rasmi bagi memperingati ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (LEP) antara Malaysia dan Korea Selatan, yang akan memasuki tahun ke-40 menjelang 2023.

LEP diperkenalkan pada 1982 oleh Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad, dengan objektif untuk belajar daripada pengalaman Korea Selatan dan Jepun dalam pembangunan negara. 

Logo rasmi yang baru dilancarkan itu bertujuan mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Korea Selatan-Malaysia, yang terdiri daripada warna bendera kedua-dua negara, antara lain. 

Mercu tanda terkenal kedua-dua negara iaitu Menara Berkembar PETRONAS dan Kwang-hwa-moon atau pintu utama Istana Diraja Gyung-bok-gung juga tertera dalam logo.

Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Norazman Ayob semasa majlis itu berkata Korea Selatan sentiasa kekal sebagai antara penerima pelaburan langsung asing (FDI) utama Malaysia. 

“Saya yakin akan ada lebih banyak peluang untuk dimanfaatkan oleh kedua-dua negara, khususnya dalam industri halal dan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Perkara (IoT), robotik, pembuatan pintar, bandar pintar, trend automotif baru muncul termasuk tenaga boleh diperbaharui, yang mana syarikat Korea agak tersohor,” katanya. 

Beliau juga memuji Kedutaan Republik Korea kerana menerajui perkongsian amalan terbaik mengenai prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) termasuk menekankan kepentingan bagi kedua-dua negara agar menjalankan lebih banyak kerjasama pada masa hadapan di bawah naungan LEP. 

Sepanjang tempoh 40 tahun, Korea Selatan telah menjadi salah satu pelabur asing terbesar di Malaysia daripada segi projek yang dilaksanakan, dengan jumlah nilai pelaburan lebih daripada US$10 bilion pada tahun lepas. 

Korea Selatan juga merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan mencecah US$21.30 bilion pada 2021. 

Sumber: Bernama

Jumlah dagangan Malaysia-Korea Selatan melangkaui US$20 juta


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap perwakilan diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu, diharap dapat membawa pendekatan lebih segar dalam usaha menarik kembali pelaburan asing ke Malaysia.

Menerusi catatan di laman Facebook rasminya hari ini, Anwar memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia ke luar negara yang baharu di Putrajaya hari ini.

“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka dan semoga dapat membawa nama negara terkait hala tuju dasar luar ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada 11 perwakilan Malaysia ke luar negara di Istana Negara pada 2 Dis lepas.

Antara yang hadir dalam pertemuan hari ini ialah Duta Besar Malaysia ke Vietnam Datuk Tan Yang Thai, Duta Besar Malaysia ke Jerman Dr Adina Kamarudin, Duta Besar Malaysia ke Senegal Datuk Zainal Izran Zahari, Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan Mohd Adli Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Laos Edi Irwan Mahmud.

Selain itu, Duta Besar Malaysia ke Jordan Mohamad Nasri Abdul Rahman, Duta Besar Malaysia ke Uzbekistan Ilham Tuah Illias, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan Mohammad Azhar Mazlan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka Badli Hisham Adam.

Sumber: Bernama

PM Anwar harap perwakilan diplomatik bawa pendekatan lebih segar tarik pelaburan asing


Content Type:

Duration:

 Malaysia mencatatkan sejarah penting dalam perdagangan serantau pada 2022 apabila negara akhirnya memuktamadkan dua perjanjian utama – Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Malaysia memuktamadkan perjanjian CPTPP pada 30 Sept, menjadikannya negara kesembilan daripada 11 negara yang telah meratifikasi perjanjian itu manakala RCEP berkuat kuasa pada 18 Mac, menyaksikan Malaysia sebagai negara ke-12 menandatangani perdagangan berkenaan.

CPTPP akan semarakkan pertumbuhan ekonomi

Selepas bertahun-tahun pertimbangan terperinci, perundingan yang meluas dan penilaian yang teliti, pengesahan CPTPP akhirnya berjaya dilakukan pada 30 Sept dan berkuat kuasa pada 29 Nov.

Malaysia menandatangani pakatan ini pada 2018. Perjanjian ini telah pun diratifikasi dan dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

Berdasarkan penemuan analisis kos-faedah (CBA) yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), CPTPP pastinya akan mengangkat keunggulan Malaysia sebagai ekonomi perdagangan global dengan jumlah perdagangan dijangka meningkat kepada US$655.9 bilion (US$1=RM4.40) menjelang 2030.

Menurut analisis CBA yang diterbitkan kementerian itu pada 25 Julai 2022, Malaysia diunjur mencapai keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang lebih tinggi sebanyak USS$56.5 bilion (US$1=RM4.40) dalam tempoh 2021-2030.

CPTPP turut menawarkan peluang akses pasaran baharu untuk Malaysia seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengannya.

MITI berkata berdasarkan data 2021 daripada Bank Dunia, ketiga-tiga pasaran baharu ini secara kolektif mewakili populasi lebih 200 juta orang dengan gabungan KDNK lebih US$3.5 trilion – 9.4 kali lebih besar daripada ekonomi Malaysia.

Dalam pada itu, China, Ecuador dan Taiwan telah menyerahkan permohonan masing-masing untuk menjadi ahli CPTPP tahun lepas manakala United Kingdom (UK) kini dalam proses “rundingan penyertaan/penerimaan” CPTPP.

Semasa Mesyuarat Suruhanjaya CPTPP ke-6 yang diadakan di Singapura pada awal Oktober, Menteri Kanan MITI pada ketika itu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pakatan itu akan menambah lagi dorongan kepada usaha pemulihan ekonomi Malaysia yang berterusan.

Kebanyakan pemain industri memuji ratifikasi itu, tetapi terdapat kumpulan tertentu menggesa kerajaan baharu pasca-PRU15 pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik diri daripada CPTPP, dengan alasan perjanjian perdagangan bebas itu lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Namun begitu, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata menarik diri daripada perjanjian perdagangan CPTPP akan memudaratkan reputasi antarabangsa dan kepentingan perdagangan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tricia Yeoh berkata menarik diri daripada perjanjian perdagangan itu bukan sahaja akan menafikan hak Malaysia daripada banyak faedah perdagangan dan akses pasaran tetapi juga akan menjejaskan kredibiliti antarabangsanya dalam kalangan pelabur asing.

“Ia mengambil masa kira-kira lapan tahun rundingan sebelum Malaysia akhirnya menandatangani perjanjian itu pada 2018. Selepas itu ia mengambil masa empat tahun lagi sebelum Malaysia akhirnya meratifikasinya pada akhir tahun ini.

“(Sekiranya) pusingan U dilakukan sekarang, ia mungkin boleh menakutkan pelabur asing yang sememangnya mahukan kestabilan dalam negara rakan kongsi,” kata Yeoh.

Kerajaan baharu masih belum memberikan arahan yang jelas mengenai pendiriannya terhadap CPTPP.

RCEP: Memanfaatkan pasaran berpopulasi 2.2 bilion

Sementara itu, perjanjian RCEP pula telah membuka jalan kepada negara untuk bergabung ke dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar dunia yang melibatkan 15 negara, dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion.

Bertonggakkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, ia akan membolehkan Malaysia menikmati ekosistem perdagangan dan pelaburan global, mendapat manfaat daripada penghapusan akhir sekitar 90 peratus tarif dalam kalangan ahli.

Menurut MITI, kelebihan lain yang akan diperoleh termasuk liberalisasi perdagangan selanjutnya, merangkumi penghapusan halangan bukan tarif, peningkatan kemudahan perdagangan serta pemansuhan halangan kepada sektor perkhidmatan.

Ia juga akan menyaksikan peningkatan persekitaran perniagaan melalui peraturan berkaitan perlindungan harta intelek, amalan perolehan kerajaan dan e-dagang.

Seterusnya MITI berkata penubuhan RCEP meletakkan rantau Asia-Pasifik sebagai pusat graviti baharu bagi perdagangan global, melonjakkan perdagangan antara wilayah/rantau sebanyak hampir US$42 bilion (US$1= RM4.40).

“Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia dijangka menjadi penerima terbesar perjanjian itu dari segi keuntungan dalam eksport, dengan unjuran peningkatan US$200 juta,” katanya.

RCEP, yang melengkapkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia, akan meningkatkan pengiktirafan terhadap peranan perusahaan kecil dan sederhana, termasuk perusahaan mikro, dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pekerjaan dan inovasi.

Ketika dunia beransur pulih daripada kesan ekonomi akibat pandemik COVID-19, RCEP menampilkan alat penting untuk menggiatkan semula perniagaan dan aktiviti ekonomi melalui pengurangan ketara dalam halangan perdagangan di seluruh rantau ini.

Disifatkan sebagai FTA terbesar di dunia, RCEP telah ditandatangani dalam kalangan 15 negara pada 15 Nov 2020, selepas melalui 31 pusingan rundingan sepanjang lapan tahun lalu.

Negara-negara tersebut adalah Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand.

Secara keseluruhannya, negara-negara ini menyumbang hampir satu pertiga daripada populasi global dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia.

Mencergaskan semula ekonomi APEC selepas pandemik

Semasa Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-29 di Bangkok bulan lepas, Malaysia menggalakkan ahlinya untuk menubuhkan platform kerjasama yang menangani keperluan kewangan dan menyokong penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam urus niaga perdagangan antarabangsa.

Ketua Setiausaha Negara (Malaysia) Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata PMKS ialah enjin pertumbuhan rantau ini, dengan menyatakan kumpulan ini mewakili kira-kira 95 peratus perniagaan global dan menyumbang 60 peratus pekerjaan merentas ekonomi di semua peringkat pembangunan.

Bagaimanapun, Mohd Zuki dalam kapasitinya sebagai Wakil Khas Perdana Menteri berkata pandemik COVID-19 menyebabkan PMKS beroperasi dalam keadaan aliran tunai yang ketat.

“Dalam hal ini, Malaysia ingin menekankan kepentingan saranan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) kepada para pemimpin dan menggalakkan ekonomi APEC mempertimbangkan penubuhan platform kerjasama yang membawa bersama pihak berkepentingan sektor awam dan swasta untuk meneroka penyelesaian yang nyata,” kata Mohd Zuki pada sesi di AELM ke-29.

Beliau menambah untuk mencapai ekonomi serantau yang dinamik dan saling berkaitan seperti yang dibayangkan Visi Putrajaya 2040, asas yang kukuh untuk pertumbuhan disokong dengan baik oleh pemain ekonomi yang berdaya saing termasuk dan khususnya PKS, adalah penting.

Dipengerusikan Thailand dan berpandukan tema ““Open. Connect. Balance”, Minggu Pemimpin Ekonomi APEC, sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun diadakan di Queen Sirikit National Convention Centre dari 14-19 Nov.

Mesyuarat 2019 telah dibatalkan kerana situasi domestik di negara tuan rumah Chile manakala mesyuarat pada 2020 dan 2021 diadakan secara maya.

CPTPP, sekiranya kerajaan memutuskan untuk tidak melakukan pusingan U, dijangka dapat melengkapkan keuntungan yang disediakan RCEP dan kedua-dua perjanjian itu dipandang tinggi dalam memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Kedua-dua pakatan akan mencergaskan aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi selain membantu mewujudkan lencongan perdagangan dengan lebih banyak negara mengalihkan sumber mereka ke rantau Asia-Pasifik, termasuk Malaysia, di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi global yang lembap dan pelbagai masalah yang dijangkakan tahun depan.

Sumber: Bernama

Malaysia Jangka Perdagangan Lebih Rancak Selepas Muktamadkan Perjanjian CPTPP, RCEP Pada 2022


Content Type:

Duration:

Malaysia mencatat pelaburan diluluskan bernilai RM193.7 bilion dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari hingga September 2022.

Dalam kenyataan semalam, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata jumlah tersebut bakal menjana sebanyak 98,414 peluang pekerjaan baharu di negara ini.

Menurutnya, angka pelaburan diluluskan itu merupakan peningkatan sebanyak 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan kejayaan menarik hampir RM194 bilion pelaburan diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menjadi bukti kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di Asia.

“Rantaian bekalan mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih serta bakat tempatan terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

“Melangkah ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya akan memastikan agar peluang pelaburan baharu dapat membina kapasiti serta modal insan bersesuaian dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan,” katanya.

Dalam pada itu, MIDA menjelaskan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (US$28.1 bilion) manakala pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (USD13.6 bilion).

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI diluluskan bagi tempoh sama pada 2021.

“Daripada jumlah pelaburan diluluskan itu, China mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion dan seterusnya Amerika Syarikat (RM16.9 bilion), Belanda (RM16.5 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion),” katanya.

Lima negeri dengan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion), Selangor (RM25.7 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion).

Bagi tempoh itu juga, kata MIDA, sektor perkhidmatan berperanan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara dengan merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan bernilai RM113.3 bilion yang melangkaui jangkaan bagi Jan-Sept 2022 iaitu melonjak 60.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

Ini diikuti sektor perkilangan berjumlah RM64.9 bilion atau 33.5 peratus dengan sektor utama RM15.5 bilion atau lapan peratus.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Wira Arham Abdul Rahman berkata Malaysia mempunyai reputasi baik di persada antarabangsa dan diyakini oleh pelabur.

“Negara ini mempunyai asas kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan untuk mereka. Menerusi iklim pelaburan menarik, Malaysia bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur.

“Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dengan kekayaan sumber asli serta populasi muda, berbakat dan berdaya saing,” katanya.

Arham turut berkongsi usaha kerajaan yang giat melaksanakan langkah agresif untuk menarik lebih banyak projek berkualiti dan berimpak tinggi serta berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan yang dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan,” kata beliau.

Sumber: Bernama

Malaysia tarik pelaburan diluluskan RM197.7 bilion pada Jan-Sept 2022


Content Type:

Duration:

Konsul Jeneral Jepun di Pulau Pinang, Kawaguchi Yoshiyasu berharap hubungan antara Jepun dan Malaysia yang telah lama terjalin akan terus diperkukuh di bawah kepimpinan baharu di negara ini.

Harapan kepada kerjasama selanjutnya di antara kedua-dua negara itu dinyatakan susulan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu Malaysia.

“Saya pasti bahawa hubungan ini akan terus maju dan berterusan. Apabila menyentuh mengenai kerjasama, ia tidaklah satu arah.

“Saya berharap Jepun dan Malaysia akan terus meningkatkan ikatan ekonominya yang kukuh,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Kepujian Menteri Luar 2022 kepada Penasihat Kehormat Persatuan Persahabatan Malaysia-Jepun Perak Datuk Tomiyasu Ushiama di sini semalam.

Menurut data Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Jepun adalah antara sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dari segi projek pembuatan dilaksanakan, dengan mencatatkan nilai pelaburan berjumlah US$688 juta (US$1=RM4.405) untuk tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Dari segi perdagangan, Jepun menyumbang sebanyak 6.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia iaitu peningkatan 49.5 peratus tahun ke tahun kepada RM17.11 bilion pada September 2022.

Mengulas mengenai anugerah kepujian itu, Yoshiyasu berkata anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan Ushiama sejak sekian lama dalam mendukung hubungan di antara Malaysia dengan Jepun.

Ushiama dalam ucapannya pula berkata, beliau berbesar hati dengan penghargaan yang diberikan.

“Saya dihantar ke Ipoh dari Sagami, Jepun pada 1969 untuk mewujudkan usaha sama dalam menghasilkan produk getah melalui penubuhan Sagami Industries Sdn Bhd.

“Pada 1981, Persatuan Malaysia-Jepun Pulau Pinang cawangan Ipoh telah ditubuhkan dan dinamakan sebagai Persatuan Persahabatan Malaysia-Jepun Perak pada 1986 yang bertujuan meningkatkan lagi persefahaman dan persahabatan bersama di antara kedua-dua negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Jepun harap kerjasama kukuh dengan Malaysia berterusan di bawah kepimpinan baharu


Content Type:

Duration:

wpChatIcon