Berita Ekonomi Archives - Page 12 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia, Kanada bincang potensi kerjasama baharu pelbagai lapangan: PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) dan rakan sejawatnya dari Kanada Justin Trudeau hari ini membincangkan potensi kerjasama baharu antara Malaysia dan Kanada dalam pelbagai lapangan termasuk sektor pendidikan, tenaga boleh diperbaharui dan hubungan sesama insan.

Perkara tersebut dibincangkan ketika Perdana Menteri Kanada itu membuat panggilan telefon untuk mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar memuat naik video panggilan telefon berdurasi 4.09 minit itu di laman Facebook miliknya dengan catatan : “Kami turut perbaharui komitmen untuk meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Kanada ke tingkat yang lebih tinggi.”

Malaysia dan Kanada menyaksikan peningkatan dalam hubungan kerjasama dua hala sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957, dengan nilai dagangan dua hala mencecah RM10.58 bilion pada 2021.

Nilai pelaburan Kanada dalam sektor pembuatan Malaysia dalam tempoh 40 tahun kebelakangan pula adalah RM789 juta.

Trudeau dalam penggilan telefon itu menzahirkan minat untuk meningkatkan hubungan dua hala dan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia di atas sokongan yang diberikan kepada Kanada di rantau ini.

“Rakyat kita sama-sama menghadapi cabaran isu domestik yang berkisar tentang inflasi, harga makanan dan bahan api semua perkara yang dialami di seluruh dunia tetapi bekerjasama dengan rakan untuk menggiatkan lagi perdagangan dan mencipta peluang memang selalunya baik untuk rakyat,” kata beliau lagi. 

Sumber: Bernama

Malaysia, Kanada bincang potensi kerjasama baharu pelbagai lapangan: PM


Content Type:

Duration:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang baru dilantik, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengadakan pertemuan dengan delegasi Dewan Perdagangan dan Industri Jepun, Malaysia (JACTIM) serta Konsortium Syarikat Pertengahan Malaysia (MCMTC) pada Sabtu.

Beliau berkata ia bertujuan memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di Asia Tenggara dan berdaya saing untuk menyokong rantaian bekalan serantau dan global.

“Semoga perjumpaan sebegini dapat memberi kemaslahatan ekonomi dan mengekalkan momentum pertumbuhan kita, sementelahan persekitaran global dijangka lebih mencabar pada tahun depan,” katanya  menerusi catatan di laman Twitter rasminya, @tzafrul_aziz hari ini.

Sebelum ini, beiau juga bertemu dengan pihak Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak berbincang serta bertukar-tukar idea tentang inisiatif yang dapat meningkatkan perdagangan antarabangsa, pelaburan dan pembangunan industri, yang merupakan teras Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), katanya.

“Semoga kerjasama ini dapat memacu pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul juga berkata apabila kerajaan mahu merangka polisi, suara daripada pihak berkepentingan perlu didengar supaya dasar yang ditetapkan dapat memenuhi keperluan mereka.

Beliau juga telah mengadakan beberapa pertemuan dan perbincangan dengan MITI serta beberapa agensi di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

MIDA berjaya mencatatkan pelaburan langsung asing (FDI) bersih berjumlah RM48.2 bilion pada 2021 dan RM54 bilion dalam tempoh sembilan bulan bagi 2022.

MIDA juga meluluskan RM309.4 bilion pelaburan untuk 2021, serta RM123.3 bilion untuk separuh pertama 2022.

“Saya percaya bahawa kerjasama antara MITI dan MIDA akan dapat menyokong pertumbuhan ekonomi dengan berkesan dan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan,” katanya. 

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul bertemu JACTIM, MCMTC, pastikan Malaysia kekal destinasi pelaburan utama


Content Type:

Duration:

Penubuhan Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura pada tahun ini telah membuahkan hasil apabila turut menyumbang dalam menarik pelaburan langsung asing ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor Lee Ting Han berkata ia turut dibantu melalui kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor.

Katanya menerusi JETCO, sebanyak 15 siri perbincangan dengan pelbagai agensi di Singapura telah diadakan dan tiga siri lawatan suai kenal melibatkan ahli perniagaan dari Singapura ke Johor telah dianjurkan.

Setakat Jun lepas, katanya sebanyak RM6.668 bilion jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan telah direkodkan dan RM5.65 bilion daripadanya adalah pelaburan langsung asing (FDI).

“Daripada RM5.65 bilion itu, RM3.968 adalah pelaburan dari Singapura dengan kebanyakannya dalam elektrik dan elektronik (E&E) serta peralatan perubatan.

“Saya percaya ini antara kejayaan JETCO dan pada tahun depan, kerajaan negeri akan lebih giat dalam menarik pelaburan dari luar termasuk Singapura,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Lee (BN-Paloh) menjawab soalan tambahan daripada R. Vidyananthan (BN-Kahang) mengenai keberkesanan JETCO dalam membawa pelaburan dari Singapura ke Johor dan jumlah pelaburan yang telah dibawa oleh agensi itu.

Ketika menjawab soalan lisan daripada Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut), beliau berkata agensi itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menarik lebih banyak peluang pelaburan dan kerjasama menerusi usaha sama pintar bersama agensi-agensi berkaitan dari Singapura.

Selain itu, katanya JETCO juga telah menyertai tiga ekspo berkaitan perdagangan dan pelancongan di Singapura.

“Semua usaha yang telah dilaksanakan ini dilihat dapat memberi impak yang amat positif dan memberangsangkan,” kata Lee.

Terdahulu, bekas Menteri Besar Johor itu ingin tahu mengenai inisiatif yang bakal dilaksanakan JETCO di republik itu terutamanya dalam melipatgandakan peluang kerjasama Johor-Singapura dalam bidang pembangunan mampan.

Sumber: Bernama

Penubuhan JETCO membuahkan hasil, bantu tarik pelaburan ke Johor


Content Type:

Duration:

Ekonomi Asia dijangka menyaksikan permulaan yang suram pada 2023, tetapi ia tidak akan lama dengan Malaysia dilihat agak berdaya tahan dalam kalangan negaranegara ASEAN, kata Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).

ICAEW menyatakan bahawa pakar dan penganalisis telah memberi amaran tentang kemelesetan yang akan berlaku pada 2023 dengan inflasi menjejaskan banyak negara di seluruh dunia, bersama-sama dengan gangguan rantaian bekalan.

“Kenaikan harga komoditi dan kadar tambang sejak itu telah diperbetulkan berikutan penurunan mendadak dalam permintaan pengguna.

“Walaupun terdapat petunjuk jelas bahawa kemelesetan akan berlaku, Asia dijangka berdiri kukuh di tengah-tengah pandangan yang suram,” kata ICAEW dalam Forum Wawasan Ekonominya untuk suku keempat (S4) 2022.

Walaupun ekonomi global dijangka menghadapi kemerosotan untuk dua suku pertama tahun depan, kemelesetan akan lebih ringan berbanding kemelesetan masa lalu dalam sejarah, tambahnya.

Dan walaupun potensi perubahan menjadi lebih baik pada separuh kedua tahun ini, pembuatan berorientasikan eksport Asia dijangka melanda pada 2023 dengan Korea dan Taiwan diramalkan akan menyaksikan penurunan mendadak 40 peratus dalam nilai pertumbuhan eksport barangan mereka manakala negara-negara ASEAN akan bernasib baik sedikit dengan penurunan 20 peratus.

“Secara amnya, penurunan dalam pengeluaran pembuatan dalam ekonomi maju akhirnya akan menghalang pertumbuhan pengeluaran Asia,” katanya.

ICAEW juga menekankan bahawa salah satu tonggak utama pertumbuhan iaitu pelancongan – dijangka menghadapi sedikit kelonggaran pada 2023 tidak seperti peningkatan besar yang dilihat pada 2021 dan 2022 apabila sempadan mula-mula dibuka semula.

Perjalanan antarabangsa ke Asia Tenggara juga dijangka menyaksikan kadar pemulihan yang lebih perlahan pada 2023 berbanding kawasan Asia Selatan dan Oceania.

“Disebabkan KDNK Malaysia secara relatifnya kurang bergantung kepada perdagangan bersih dan pelancongan berbanding ekonomi sedang pesat membangun lain di ASEAN, ia diunjurkan juga kurang terjejas oleh faktor eksogen dan kemelesetan global yang diramalkan tahun depan,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran, ICAEW berkata prospek pertumbuhan jangka panjang kekal positif dengan “strategi tambah satu” China, yang melibatkan kepelbagaian pelaburan perniagaan dan ekosistem rantaian bekalan, penting kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN.

“Diletakkan dengan baik dalam kepelbagaian ekosistem, Malaysia, sebagai contoh, berada pada kedudukan yang baik untuk mengambil sistem rantaian bekalan bernilai pertengahan hingga tinggi dengan Indonesia ingin mengejar secara agresif.

“Selain itu, negara seperti Vietnam kekal sebagai sumber utama pembuatan dan pengeluaran intensif buruh. Oleh itu, ASEAN dijangka masih melihat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tahun akan datang,” tambahnya.

Bagi Malaysia, negara dijangka mencatatkan rekod permintaan domestik pada 2022 dan diunjurkan menyumbang peratusan tertinggi kepada KDNK dalam dua dekad yang lalu.

Ia menyatakan bahawa Malaysia mempunyai salah satu nisbah hutang kasar kerajaan kepada KDNK tertinggi di rantau ini, dan memandangkan defisit bajet tidak diunjurkan menurun dengan banyak, terdapat ruang fiskal terhad untuk mengimbangi dasar.

Pertumbuhan KDNK di Malaysia diunjurkan menyusut daripada 9.2 peratus pada 2022 kepada 2.7 peratus pada 2023, katanya.

Sumber: DagangNews.com

Tinjauan ekonomi Asia 2023: Permulaan yang
suram tetapi tidak lama, Malaysia agak berdaya
tahan – ICAEW


Content Type:

Duration:

Kerajaan Negeri Sembilan hari ini melancarkan Dokumen Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan 2021-2025 (RPNS 2021-2025) dan Dokumen Pelan Ekonomi Digital Negeri Sembilan 2027 (PEDNS 2027) bagi menggariskan pelaksanaan dasar pembangunan sektor ekonomi dalam negeri.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerangka RPNS 2021–2025 adalah komprehensif selain penyumbang kepada kemajuan ekonomi setempat yang memanfaatkan sumber tempatan, mengurangkan jurang perbezaan kualiti hidup penduduk bandar dan luar bandar serta memperkasakan infrastruktur.

“Ia juga menyediakan hala tuju intervensi dasar yang melangkaui 2025 dengan sebahagiannya adalah bersifat jangka panjang seperti pembangunan dan pengoperasian aktiviti pemangkin ekonomi di wilayah MVV 2.0.

“Dengan mengambil kira jangkaan ekonomi negara akan mencapai tahap prapandemik pada 2023, keadaan ini dijangka turut mempengaruhi magnitud pergerakan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran dokumen berkenaan di sini hari ini.

Aminuddin berkata PEDNS 2027 yang bertujuan merancakkan pembangunan ekonomi digital di seluruh negeri sehingga 2027 itu pula bermatlamat memastikan pelaksanaan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) di peringkat nasional adalah sejajar dengan peringkat negeri.

Beliau berkata pelan itu sebagai rujukan bagi menetapkan sasaran pencapaian negeri lima tahun akan datang melalui penetapan bidang keutamaan sejajar dengan hala tuju Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

“Kandungan utama PEDNS 2027 terbahagi kepada empat komponen iaitu ekosistem ekonomi digital Negeri Sembilan, visi dan hala tuju serta struktur tadbir urus selain kajian keberkesanan dan perancangan masa hadapan,” katanya.

Jelasnya, pembangunan ekonomi digital di negeri ini dapat dilaksanakan melalui tiga pendekatan iaitu kerajaan yang dipacu oleh pendigitalan, industri berpaksikan pendigitalan dan rakyat negeri dengan literasi digital yang baik.

“Rakyat perlu diberi peluang untuk meningkatkan tahap kemahiran digital bagi memastikan inklusiviti digital berlaku secara sistematik sekali gus selari dengan perkembangan bidang ekonomi digital yang bakal mengubah keseluruhan landskap ekonomi global,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata menerusi RPNS 2021-2025, kerajaan negeri menetapkan sasaran termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus berbanding 2.6 peratus pada 2016-2019 serta KDNK per kapita RM46,534 berbanding RM41,079 (2016-2019).

“Kerajaan negeri turut menyasarkan untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan kepada 100 peratus perkhidmatan digital, meningkatkan pendapatan per kapita rakyat negeri melebihi RM50,000 selain merekodkan lebih 6 peratus hasil KDNK dalam bidang perkhidmatan digital,” katanya.

RPNS 2021 – 2025 mengandungi 13 bab dengan tiga tema iaitu kemampanan ekonomi, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan kelestarian alam sekitar serta disokong oleh dasar yang antaranya menumpukan usaha membangunkan infrastruktur dan kemudahan teknologi maklumat.

Sumber: Bernama

N.Sembilan lancar Dokumen Pembangunan Ekonomi dan Pelan Ekonomi Digital


Content Type:

Duration:

Permeteraian perjanjian antara Petronas dan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) merupakan cerminan untuk Malaysia membina hubungan antarabangsa yang lebih jitu serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai negara di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Petronas Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petronas, telah menandatangani perjanjian bersejarah dengan ADNOC untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

“Saya menjunjung kasih atas peranan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menjadi tenaga pendorong utama kepada kejayaan usaha ini,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata beliau menyambut baik perjanjian bersejarah itu dan menaruh sepenuh keyakinan bahawa syarikat serta tenaga kerja tempatan mampu menerajui serta meneroka idea dan peluang untuk bersaing di peringkat global.

Petronas akan memegang 100 peratus ekuiti dan pengendalian untuk meneroka dan menilai minyak bukan konvensional di kawasan konsesi itu bagi tempoh sehingga enam tahun.

Selepas fasa penilaian yang berjaya, rakan kongsi boleh memasuki konsesi pengeluaran yang ADNOC mempunyai pilihan untuk memegang 50 peratus kepentingan.

Sumber: Bernama

Perjanjian Petronas-ADNOC cerminan untuk Malaysia bina hubungan antarabangsa lebih jitu – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk membawa pelaburan domestik dan asing berimpak tinggi ke Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk mengukuhkan dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, NCIA berkata pihaknya menjangkakan lebih banyak kerjasama dengan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta kerajaan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menjelang 2023 dan seterusnya.

“Wilayah ini bersedia untuk melabur dalam teknologi dan inovasi baharu untuk kekal berdaya saing dan relevan demi landskap ekonomi semasa dan masa depan,” katanya.

Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata pihaknya akan terus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap NCER melangkaui sektor elektrik dan elektronik, mekanikal dan elektrikal, serta peranti perubatan dalam pembangunan industri yang berkaitan, bernilai tinggi, berteknologi tinggi dan bakat tempatan yang berkemahiran tinggi.

Beliau berkata NCER juga memudahkan dan meningkatkan pemain industri untuk menjadi lebih berorientasikan eksport dengan memberikan mereka insentif untuk menurunkan kos perniagaan, menjadi lebih berdaya saing di peringkat global, mempunyai akses kepada pelbagai pasaran dan melaksanakan pematuhan.

“Bagaimanapun, kita juga harus berwaspada dengan tekanan ekonomi yang dijangkakan akan menjejaskan ekonomi global tahun depan.

“NCER berhati-hati dengan tugas berat untuk mengekang tekanan inflasi, kos tinggi yang ditanggung dalam perang dingin teknologi antara Amerika Syarikat dan China, serta perang berterusan antara Rusia dan Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global,” katanya.

Walaupun menghadapi cabaran ini, beliau menyatakan bahawa ia juga merupakan peluang untuk pemain industri dalam NCER bagi mengukuhkan operasi mereka dan meningkatkan bakat melalui pelaburan baharu, terutama dalam industri semikonduktor.

Sumber: Bernama

NCIA, MITI teruskan kerjasama, bawa pelaburan berimpak tinggi ke NCER


Content Type:

Duration:

Menteri Ekonomi yang baru dilantik, Mohd Rafizi Ramli menjelaskan fokus keseluruhan beliau adalah untuk membawa Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata ini memandangkan terdapat tumpuan berterusan yang baik terhadap industri dan kegiatan ekonomi yang boleh melonjakkan status Malaysia kepada negara berpendapatan tinggi.

“Terdapat banyak fokus untuk negeri-negeri yang buat masa sekarang ini tidak mengalami pertumbuhan yang baik, yang lebih ramai orang miskin.

“Fokus penting harus diberikan kepada kumpulan paling rentan dalam masyarakat dari segi ekonomi, tentang program pembasmian tegar dan sebagainya,” katanya semasa sidang media pertama selepas memasuki pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata tumpuan juga akan berikan kepada matlamat pembangunan mampan (SDG) serta ekonom pengetahuan dan teknologi.

Bagaimanapun, perkara paling penting yang perlu dilakukan adalah memastikan wujud kepaduan yang kukuh daripada kepimpinan utama kerajaan sehingga ke peringkat bawah bagi memastikan perkara yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik, katanya.

Sementara itu, mengenai perubahan dasar, Mohd Rafizi berkata masih terlalu awal untuk bercakap mengenai sebarang dasar namun akan meneliti semula perkara itu dengan maklumat lanjut dalam minggu-minggu dan bulan-bulan akan datang.

Mengulas mengenai perkembangan Belanjawan 2023, beliau berkata kerajaan akan membentangkan belanjawan emolumen pada persidangan Parlimen akan datang, manakala bajet penuh akan dibentangkan dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

“Kita telah meneliti (belanjawan), dan ia berada pada tahap yang sangat mikro, dan sangat awal sekarang untuk mengatakan apa-apa,…kita akan melalui proses itu walau macam mana sekalipun,” katanya.

Sumber: Bernama

Fokus jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi – Rafizi Ramli


Content Type:

Duration:

Perdagangan dua hala Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dianggarkan mencecah lebih AS$7 bilion menjelang akhir tahun, peningkatan luar biasa berbanding tahun lalu yang bernilai AS$5.4 bilion.

Menurut kenyataan yang memetik Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Alghaith, sebagai berkata ketika berucap pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-51 UAE yang diadakan di sini baru-baru ini, antara sektor penyumbang tertinggi kepada peningkatan itu ialah petrokimia, barang kemas, mesin dan peralatan elektrik.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berharap dapat mempertingkatkan lagi hubungan dua hala yang kukuh antara UAE dan Malaysia.

Dalam ucapannya, Alghaith turut mengetengahkan mengenai ‘Prinsip 50’ yang akan menjadi panduan untuk masa depan UAE dalam 50 tahun akan datang.

Beliau turut menyentuh mengenai perkembangan dan pencapaian negaranya dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta diplomasi budaya.

Turut hadir pada majlis itu, Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah, dan isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Kedua-dua negara menjalin hubungan dua hala pada awal 1970-an, diikuti dengan pembukaan misi diplomatik Malaysia di Abu Dhabi pada 1983 dan Kedutaan UAE di Kuala Lumpur pada 1995.

Sumber: Bernama

Perdagangan Malaysia-UAE tahun ini dianggar lebih AS$7 bilion


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berharap dapat bekerjasama dengan rakan sejawatnya dari Thailand Prayut Chan-o-Cha, untuk memajukan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Thailand.

Anwar berkata demikian mengulas perutusan tahniah daripada Prayut atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10 di Facebook.

Thank you my friend Prime Minister Prayut Chan-o-Cha for your kind wishes (Terima kasih sahabat saya Perdana Menteri Prayut Chan-o-Cha atas ucapan anda),” katanya sambil memuat naik surat ucapan tahniah daripada Prayut.

Prayut dalam suratnya berkata beliau berharap dapat bekerjasama rapat untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala termasuk menjalin kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Saya yakin Malaysia akan terus maju dan makmur di bawah visi dan kepimpinan anda dan hubungan kejiranan akan terus berkembang dan menghasilkan banyak manfaat bersama yang meluas untuk rakyat dan rantau kita,” kata Prayut.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 24 Nov.

Pada Februari, Malaysia dan Thailand mengesahkan komitmen mereka untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan dua hala, bekerjasama rapat mencapai sasaran perdagangan dua hala US$30 bilion menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Malaysia akan terus majukan hubungan dua hala dengan Thailand – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Malaysia tidak mampu untuk menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berikutan perjanjian itu penting untuk perdagangan negara pada masa depan.

Menurut Syarikat Pertengahan Konsortium Malaysia (MCMTC), bukan seperti perjanjian perdagangan lain, CPTTP bukan sahaja membuka perdagangan tetapi turut membawa bantuan teknikal dan pemindahan teknologi/pengetahuan, yang penting untuk pembinaan kapasiti bagi perniagaan tempatan.

“MCMTC bersama dengan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menentang gesaan daripada pihak tertentu yang menggesa kerajaan menarik diri daripada CPTPP yang telah lama ditunggu, yang berkuat kuasa mulai 29 Nov 2022,” kata Presiden Callum Chen dalam kenyataan hari ini.

Katanya kelewatan dalam meratifikasi telah menyebabkan Malaysia kehilangan kelebihan dari segi pelaburan langsung asing (FDI), apabila Vietnam, yang telah menandatangani lebih awal pada Januari 2019, telah menjadi batu loncatan kepada Kanada ke pasaran ASEAN melalui CPTPP.

“Banyak telah diperkatakan mengenai kos berbanding faedah CPTPP. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dari segi jumlah penduduk dan keluasan tanah tetapi dari segi perdagangan, kita berada di kedudukan ke-25 di dunia.

“Kita telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia tidak mampu untuk tarik diri daripada CPTPP – MCMTC


Content Type:

Duration:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menggariskan tiga keutamaan untuk memulihkan keyakinan pelabur berikutan ekonomi global yang dijangka perlahan pada 2023 antaranya memastikan perdagangan kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama.

Beliau berkata keutamaan kedua ialah memulihkan keyakinan pelabur dan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan ketiga;memastikan penggubalan dan/atau pelaksanaan mana-mana perjanjian perdagangan dua hala mahupun pelbagai hala akan memberikan nilai dan kelebihan padu kepada pemain domestik dalam rantaian bekalan Malaysia terutamanya bagi PKS kecil dan mikro.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata peningkatan FDI diperlukan memandangkan ia telah lama menjadi pembina utama daya tahan ekonomi selain merupakan antara sumber tukaran mata wang asing terbesar negara.

Memanfaatkan pengalamannya di Kementerian Kewangan serta pengalaman korporat sebelum ini, Tengku Zafrul berkata beliau akan memastikan kementerian yang baru diterajuinya itu akan terus menjadi pemacu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelabur serta antara negara kekal berdaya saing global dari segi perdagangan.

“Melalui Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula di Parlimen, MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) akan mencadangkan pewujudan dana pelaburan khas bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tambah tinggi yang bakal menjana peluang pekerjaan profesional bergaji lebih tinggi,” katanya.

Industri berasaskan teknologi lain yang turut diberi perhatian adalah aeroangkasa, kimia dan petrokimia, nanoteknologi, teknologi kesihatan dan pembuatan pintar, katanya.

Beliau berkata usaha tersebut akan disesuaikan dengan langkah-langkah pembangunan modal insan yang bakal menyumbang kepada penstrukturan semula ekosistem perdagangan Malaysia bagi jangka masa sederhana dan panjang.

“Saya juga akan memulakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dalam komuniti perdagangan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa untuk memastikan kita mengekalkan atau menambah baik daya saing ekosistem perdagangan Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Tiga tumpuan utama harungi kelembapan ekonomi global 2023 – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berikrar memastikan Malaysia terus menjadi destinasi penting dalam pelaburan selain menjadikan negara ini berdaya saing bagi pelabur.

“Saya percaya tugas ini telah menjadi tugas besar, namun pada masa hadapan, kita perlu memastikan Malaysia terus meraih momentum bagi memastikan kita menarik pelaburan utama, terutamanya dalam bidang yang memberikan nilai kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu buat kali pertama sebagai menteri pada 6.07 petang di Menara MITI hari ini.

Terdahulu, beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bersama-sama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri Kabinet di Istana Negara.

Tengku Zafrul berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh selama empat suku.

“Dengan berkembang pada masa hadapan, kita perlu memastikan bahawa momentum ini berlanjutan dan saya berharap peranan saya di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dengan sokongan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), barisan Kabinet dan rakan sekerja, kita dapat memastikan Malaysia mampu mengharungi 2023 dengan baik,” katanya.

Mengenai gesaan sesetengah pihak agar mengkaji semula pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Tengku Zafrul berkata beliau akan mengadakan perbincangan di peringkat Kabinet sebaik sahaja menerima taklimat daripada pegawai kementerian.

“Saya masih belum dapat taklimat secara menyeluruh. Masih awal untuk saya komen,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bekas menteri MITI Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pelantikannya, Tengku Zafrul berkata pelantikan itu adalah prerogratif perdana menteri, justeru, tumpuan terarah kepada memastikan peranan beliau sebagai menteri MITI untuk membantu negara.

Bekas menteri kewangan itu dilantik sebagai Menteri MITI di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan Kabinet selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul ikrar pastikan Malaysia terus kompetitif, jadi destinasi pelaburan penting


Content Type:

Duration:

Bekas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan Kabinet selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Zafrul akan menggantikan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

Bekas pegawai bank itu memulakan tugasnya sebagai Menteri pada 9 Mac 2020 apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Muhyiddin seterusnya dilantik semula ke jawatan yang sama pada 27 Ogos 2021, di bawah pentadbiran Ismail Sabri.

Sepanjang tempohnya di Kementerian Kewangan, kerajaan telah melaksanakan lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion untuk menangani pandemik COVID-19.

Tengku Zafrul juga bertanggungjawab terhadap Pelan Pemulihan Negara dan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana).

Beliau bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihan raya umum ke-15 namun kalah.

Sebelum dilantik dalam kerajaan, Tengku Zafrul ialah ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif CIMB Group Holdings Bhd.

Azmin pula berkhidmat sebagai Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dari tahun 2020 hingga 2022.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul kembali ke Kabinet di bawah Kerajaan Perpaduan


Content Type:

Duration:

Selangor merekodkan pelaburan berjumlah RM4.88 bilion membabitkan 118 projek perkilangan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Datuk Teng Chang Khim berkata, berdasarkan statistik pelaburan dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Selangor mencatatkan nilai pelaburan lebih rendah berbanding Johor dengan jumlah pelaburan RM6.67 bilion.

Bagaimanapun katanya, Selangor merekodkan bilangan kelulusan projek perkilangan yang tertinggi berbanding Johor dan negeri-negeri lain iaitu sebanyak 118 projek perkilangan berbanding Johor sebanyak 68 projek.

“Berdasarkan statistik kelulusan projek perkilangan mengikut penyertaan asing di Johor, sebanyak 70 peratus nilai pelaburan asing membabitkan pelaburan daripada Singapura.

“Dalam menarik pelaburan, Selangor dan Johor mempunyai kekuatan hampir sama dari segi kedudukan lokasi yang strategik, kemudahan pelabuhan dan jaringan jalan raya yang menghubungkan antara setiap kawasan.

“Selain itu, antara faktor lain yang mendorong pelabur ke Johor seperti kawasan perindustrian lengkap dengan kemudahan asrama pekerja dan harga tanah industri yang jauh lebih murah berbanding Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan berikutan jumlah pelaburan di Selangor jatuh ke kedudukan kedua selepas Johor dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Chang Khim berkata, dalam usaha menambah pelaburan baru, kerajaan negeri melalui Invest Selangor selaku agensi penggalakkan pelaburan sentiasa melaksanakan pelbagai program bagi memastikan Selangor kekal relevan dan sentiasa diyakini oleh pelabur.

“Antara strategi dirancang ialah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai pelan rancangan pembangunan lima tahun secara menyeluruh berpandukan strategi dan inisiatif jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencapai visi menjadikan Selangor sebagai negeri pintar, makmur dan berdaya huni menjelang 2025.

“Dalam usaha merancakkan pembangunan ekonomi dan hartanah pula, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Pelaksanaan Projek Pembangunan (IDRISS) membabitkan daerah Sepang dan Kuala Langat.

“Kerajaan negeri juga menubuhkan Majlis Industri Rel Negeri Selangor bagi memastikan industri ini diberi perhatian kerana dilihat mampu memberikan impak besar kepada ekonomi Selangor pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu katanya, program promosi pelaburan seperti misi lawatan penggalakkan pelaburan ke luar negara, libat urus, perbincangan, webinar, promosi dan pengiklanan dalam media cetak mahupun elektronik secara berterusan dilaksanakan dari semasa ke semasa dalam usaha menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelaburan sedia ada.

Sumber: Harian Metro

Selangor catat nilai pelaburan RM4.88 bilion, kedua selepas Johor


Content Type:

Duration:

Malaysia menunjukkan prestasi yang agak baik dalam membangunkan kewangan mampan dan pelaksanaan rangka kerja dasar jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN yang lain, kata Kumpulan Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan bagi Pertumbuhan Mampan dan Hab Kewangan Inklusif di Malaysia, Tatiana Didier berkata, dari segi pembangunan ekonomi, negara itu menerajui perubahan dalam kalangan ASEAN-5 (Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Vietnam) dan beberapa negara sebaya yang lain.

“Apabila tiba untuk membangunkan kewangan yang mampan, terdapat banyak bahan asas yang ada di luar sana.

“Saya rasa Malaysia sepatutnya diperkenalkan kepada seluruh dunia,” katanya kepada pemberita pada “Global Green Finance Leadership Program (GFLP) Scaling-up Sustainable Finance in Southeast Asia’, di sini, hari ini.

Didier berkata, menutup jurang data dan mempertingkatkan sistem maklumat harus menjadi dasar yang diutamakan, yang mana pelaksanaan taksonomi dan prosedur pendedahan yang berkesan, dengan matlamat utama untuk pelaksanaan yang lebih luas merentas sektor swasta secara amnya.

Beliau menambah bahawa pendedahan adalah mengenai ketelusan pasaran yang akan membolehkan penilaian risiko yang betul dalam kalangan syarikat.

Menurut laporan ‘Unleashing Sustainable Finance In Southeast Asia (SEA)’ oleh Bank Dunia, taksonomi dalam konteks kewangan mampan merujuk kepada takrifan yang menyediakan pengkategorian pelaburan mampan tertentu atau aktiviti ekonomi di dalamnya.

Taksonomi mungkin membenarkan pembuat dasar menetapkan beberapa keutamaan dasar dengan menyediakan beberapa panduan tentang pelaburan mampan yang mungkin paling diperlukan.

Laporan itu juga mendedahkan bahawa ekonomi ASEAN-5 dengan pasaran kewangan mampan yang relatif lebih maju – terutamanya Malaysia – juga cenderung mempunyai pelaksanaan rangka kerja dasar yang lebih maju.

Malaysia mengeluarkan pendekatan berasaskan prinsip untuk taksonomi pasaran kewangan pada 2021, yang mempertimbangkan keadaan pembangunan ekonominya sendiri dan peringkat awal penggunaan amalan pengurusan risiko iklim dalam negara, sambil membenarkan penjajaran yang lebih baik dengan piawaian klasifikasi antarabangsa.

Malaysia juga telah menerbitkan cadangan taksonomi pasaran modal (Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti) yang kini dalam fasa perundingan, yang mempunyai empat kategori utama- alam sekitar, peralihan, sosial dan kemampanan.

Sumber; Bernama

Malaysia melakukan dengan agak baik dalam membangunkan kewangan mampan – Bank Dunia


Content Type:

Duration:

Turkiye merupakan antara negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang disenarai sebagai 20 pengeksport ekonomi halal terbaik dunia, menurut laporan yang dikeluarkan oleh pertubuhan antara kerajaan itu pada Selasa.

Indonesia dan Malaysia adalah dua lagi negara anggota yang turut tersenarai dalam kategori ini, menurut Laporan Tahunan Ekonomi Halal OIC 2022.

Laporan itu dilancarkan di Istanbul di luar mesyuarat ke-38 Jawatankuasa Tetap Kerjasama Ekonomi dan Komersial (COMCEC) yang berlangsung selama empat hari, lapor Agensi Anadolu.

Bagaimanapun, laporan oleh Pusat Pembangunan Perdagangan Islam (ICDT) itu memaklumkan, anggota OIC merekodkan defisit perdagangan sebanyak AS$63 bilion bagi produk halal tahun lepas.

Eksport itu meliputi makanan, fesyen, farmaseutikal dan kosmetik, dengan eksport menyamai AS$275 bilion dan import berjumlah AS$338 bilion, menurut laporan itu.

“Hanya 18 peratus daripada import ini diperoleh daripada intra-OIC, manakala hanya tiga negara OIC (Turkiye, Indonesia dan Malaysia) berjaya tersenarai 20 pengeksport produk ekonomi halal,” menurut laporan itu, yang disediakan oleh penyelidikan pasaran yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan firma penasihat DinarStandard.

Ketua Pengarah ICDT Latifa el Bouabdellaoui berkata laporan itu bertujuan untuk “memberi inspirasi dan memperkasakan negara-negara OIC untuk bertindak secara kohesif, menggalakkan pertumbuhan inklusif dan meningkatkan syer OIC dalam ekosistem perdagangan dan pelaburan halal berasaskan integriti dan tujuan.”

Laporan itu mendedahkan anggota OIC mengeksport produk pakaian dan kasut berjumlah AS$101.94 bilion tahun lepas, manakala blok Islam itu mengimport sebahagian besar makanan, farmaseutikal dan kosmetik.

Turkiye termasuk Arab Saudi dan Indonesia, adalah antara tiga pasaran teratas dalam sektor pendidikan tinggi Islam, serta menurut laporan itu “penting untuk mendidik industri dan pemain rantaian bekalan halal.”

Sumber: Bernama

Turkiye, Indonesia, Malaysia antara 20 pengeksport ekonomi halal terbaik


Content Type:

Duration:

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berusaha menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi melalui sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE), kata Ketua Setiausaha kementerian Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Beliau berkata MOSTI mahu Malaysia menerajui teknologi dan inovasi maju untuk meningkatkan daya saing global negara dan kementerian percaya bahawa pengukuhan dasar dan peraturan akan memakmurkan pembangunan teknologi negara.

“Sains, teknologi dan inovasi (STI) memainkan peranan utama dalam meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dari segi aspek ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan alam sekitar negara.

“STI menyediakan asas untuk pembangunan teknologi mampan baharu untuk memenuhi keperluan manusia dan menangani cabaran global seperti isu kesihatan, perubahan iklim, masyarakat menua, perubahan gaya hidup dan banyak lagi,” katanya dalam ucaptamanya pada persidangan dua hari I-Nation 2022 Global Reset: Tech for Impact di Taman Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di sini hari ini.

Aminuddin berkata apabila Malaysia melangkah ke 2023 dan seterusnya, negara mempunyai peluang untuk membangunkan keupayaan digital bagi membina daya tahan dan memperlengkap semula bagi dunia yang semakin tidak menentu, sukar diramal dan bergerak pantas.

Oleh itu, beliau berkata penggubal dasar, pengawal selia dan agensi kerajaan mesti bekerjasama dengan saintis, ahli akademik dan orang awam untuk melihat kepada harga, akses pasaran, buruh, kesihatan dan keselamatan, ketaksamaan gender, konflik buruh, rasuah dan impak sosial daripada penggunaan teknologi.

“STI terus mengubah dunia kini dan masa hadapan seperti yang kita tahu. Dan apa yang kita alami sebenarnya hanyalah permulaan. Peluang ini adalah luas dan masa untuk membentuk masa hadapan ialah sekarang,” katanya.

Sementara itu, dalam perbincangan bertajuk InnovateNations: 45 minutes, 4 Nations: Catalysing Innovation in the Business of Government yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI Dzuleira Abu Bakar, kesemua empat ahli panel bersetuju bahawa kerajaan perlu memudahkan dan memainkan peranan penting dalam inovasi yang perlu inklusif dan masyarakat termasuk sektor swasta perlu mengambil bahagian.

Empat ahli panel itu ialah Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay, Duta Besar Jerman ke Malaysia Dr Peter Blomeyer, Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Brian D. McFeeters dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N.Reddy.

Semasa perbincangan itu, kesemua ahli panel berkongsi inisiatif inovasi di negara masing-masing dan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan rakan kongsi Malaysia.

Sumber: Bernama

MOSTI berusaha jadikan Malaysia negara berteknologi tinggi


Content Type:

Duration:

Eksport pada Oktober 2022 meningkat sebanyak RM17.1 bilion atau 15 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya, dengan Pulau Pinang menyumbangkan eksport tertinggi bernilai RM7.1 bilion.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah dagangan Malaysia pada Oktober 2022 bernilai RM245.2 bilion, meningkat 21.1 peratus tahun ke tahun, dengan nilai eksport RM131.6 bilion dan import bernilai RM113.5 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi eksport mengikut negeri menunjukkan eksport lebih tinggi juga dicatatkan oleh Johor (+RM4.8 bilion), Sarawak (+RM3.7 bilion), Wilayah Persekutuan Labuan (+RM1.7 bilion), Sabah (+RM1.4 bilion), Kedah (+RM1.0 bilion), Negeri Sembilan (+RM453.2 juta), Perlis (+RM43.5 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM41.8 juta), Melaka (+RM38.0 juta) dan Kelantan (+RM17.7 juta).

“Bagaimanapun, eksport menyusut di Selangor (-RM1.8 bilion), Terengganu (-RM581.2 juta), Perak (-RM404.6 juta) dan Pahang (-RM330.6 juta),” katanya dalam kenyataan mengenai Statistik Eksport Import Mengikut Negeri, Oktober 2022 pada Isnin.

Beliau berkata import pada Oktober 2022 juga meningkat RM25.6 bilion (+29.2 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

“Peningkatan import dipacu oleh import yang lebih tinggi oleh kebanyakan negeri iaitu Johor (+RM14.1 bilion), Selangor (+RM4.3 bilion), Melaka (+RM1.9 bilion), Kedah (+RM1.8 bilion), Pulau Pinang (+RM1.7 bilion), Sarawak (+RM929.3 juta), Negeri Sembilan (+RM353.0 juta), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (+RM164.6 juta), Pahang (+RM144.6 juta), Sabah (+RM107.8 juta), Kelantan (+RM39.8 juta) dan Perlis (+RM26.3 juta),” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, import berkurangan di Terengganu (-RM346.0 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (-RM52.5 juta) dan Perak (-RM32.5 juta).

Mohd Uzir berkata antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 29.6 peratus, diikuti oleh Johor (21.9 peratus), Selangor (17.1 peratus), Sarawak (9.0 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (4.3 peratus).

Sementara itu, bagi import, Johor merupakan penyumbang utama dengan 28.0 peratus, diikuti oleh Selangor (24.0 peratus), Pulau Pinang (20.8 peratus), Kedah (6.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (5.7 peratus).

Sumber: Bernama

P.Pinang penyumbang terbesar kepada eksport bagi Okt 2022


Content Type:

Duration:

Ekonomi Sabah dilihat semakin mampan apabila sektor perindustrian negeri menerima pelaburan asing bernilai RM11.9 bilion dalam tempoh suku kedua tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri itu berkata Sabah juga menerima pelaburan domestik berjumlah RM942 juta bagi sektor utama perkilangan dan perkhidmatan, menjadikannya negeri penerima pelaburan ketiga tertinggi di Malaysia dalam tempoh tersebut.

“Perkembangan pesat sektor perindustrian di Sabah memberi petunjuk bahawa ekonomi negeri semakin mampan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2023 bertemakan ‘Ekonomi Diperkasa, Rakyat Sejahtera’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata Sabah telah menerima pelaburan Syarikat Kumpulan Kibing dari China dengan nilai pelaburan berjumlah RM2 bilion yang akan mewujudkan 2,100 peluang pekerjaan.

Pelaburan itu merangkumi pembinaan kilang pembuatan panel kaca solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP); serta perlombongan dan pembinaan kilang pemprosesan pasir silika di Kudat yang masing-masing dijangka beroperasi sepenuhnya pada September dan Oktober tahun depan.

“Syarikat SK Nexilis yang merupakan kilang kerajang tembaga dengan jumlah pelaburan RM4.2 bilion menyediakan 7,000 peluang pekerjaan dalam fasa pembinaan dan dijangka akan mewujudkan lebih 400 lagi peluang pekerjaan apabila mula beroperasi pada September tahun depan,” katanya.

Sementara itu, katanya industri minyak dan gas di Sabah juga berkembang positif dan dijangka akan memberi pulangan hasil yang tinggi, membolehkan Sabah mendapatkan penyertaan dan penguasaan dalam industri itu melalui usaha sama Petronas dan anak syarikat kerajaan negeri.

Setakat ini katanya peningkatan pegangan ekuiti kepada 10 peratus dalam syarikat Petronas LNG9 Sdn Bhd menambahkan pendapatan sebanyak RM202 juta kepada kerajaan negeri.

“Pemindahan aset huluan gas Petronas dan kontrak pembekalan gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) menjadikan agensi kerajaan negeri sebagai pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar di Malaysia.

“Kerjasama ini dapat menyediakan 250 juta kaki padu standard sehari gas asli kepada penjana-penjana tenaga bebas (IPP) dan sektor bukan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Belanjawan Sabah 2023 memperuntukkan RM808.06 juta bagi merancakkan pembangunan serta pertubuhan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri mengagihkan sejumlah RM501.54 juta kepada Kementerian Pertanian dan Perikanan bagi memperkasa empat subsektor pertanian iaitu tanaman, ternakan, perikanan dan akukultur serta komoditi getah.

Dalam sektor pelancongan pula, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri diperuntukkan sebanyak RM134.59 juta bagi melaksanakan program menaik taraf kemudahan asas pelancong demi keselesaan dan keselamatan para pelancong serta pembangunan modal insan.

Hajiji berkata bagi tempoh lapan bulan tahun ini, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah bertambah iaitu seramai 1,012,119 orang berbanding 125,601 pelancong dalam tempoh yang sama pada tahun lepas, meningkat sebanyak 705.8 peratus.

Bersesuaian dengan hala tuju Sabah Maju Jaya, sebanyak RM175.61 juta diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah serta agensi-agensi di bawah kementerian itu bagi meningkatkan pelaksanaan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi di Sabah.

Sumber: Bernama

Sektor perindustrian Sabah terima pelaburan asing RM11.9 bilion – Hajiji


Content Type:

Duration:

Sebanyak 689 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan pelaburan berjumlah RM30.82 bilion bagi tempoh 2020 hingga Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim, berkata daripada nilai pelaburan berkenaan, RM19.16 bilion adalah pelaburan tempatan.

“Sejumlah RM11.66 bilion lagi adalah daripada pelaburan asing dan sebanyak 39,287 potensi peluang pekerjaan sudah diwujudkan setakat ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Menjawab soalan Elizabeth Wong Keat Ping (PH-Bukit Lanjan), Chang Khim, berkata beberapa sektor industri juga dikenal pasti menjadi fokus pelabur dari dalam dan luar negara.

Antara sektor berkenaan, katanya, adalah sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, pembuatan produk elektrik dan elektronik, kelengkapan pengangkutan serta mesin dan peralatan.

“Selain itu, dua industri baharu turut dikenal pasti dan berpotensi melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan, iaitu perkhidmatan logistik serta pelaburan digital seperti perkhidmatan perniagaan global (GBS), pusat data dan teknologi kandungan kreatif.

“Invest Selangor ketika ini sedang melaksanakan kajian bagi menilai semula sektor-sektor yang menjadi tumpuan sebelum ini serta meneroka sektor-sektor baru yang berpotensi dan menjadi kekuatan Selangor.

“Sektor berkenaan untuk dipromosikan pada masa hadapan dalam usaha menarik pelaburan dalam pelbagai sektor yang berpotensi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Selangor terima pelaburan RM30b tempoh 2020-Jun 2022


Content Type:

Duration:

Model ekonomi Bio-Circular-Green (BCG) akan berfungsi sebagai hala tuju untuk mencapai sasaran kemampanan dan matlamat hijau di rantau Asia Pasifik bagi merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, dari perspektif pertumbuhan mampan, model ekonomi BCG melakarkan laluan ke arah kesejahteraan ekonomi yang disokong oleh elemen hijau dalam merealisasikan Wawasan Putrajaya serta menyatukan peranan APEC sebagai penyokong teguh kemampanan dan keterangkuman.

“Hari ini, langkah-langkah ekonomi dan dasar alam sekitar bergerak secara bersama. Elemen ini tidak lagi saling eksklusif.

“Dalam hal ini, saya ingin menegaskan semula bahawa, dalam konteks domestik kita, pertumbuhan mampan dan mengurangkan perubahan iklim menjadi keutamaan yang tinggi dalam agenda nasional kita (Malaysia).

“Mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030 adalah salah satu keutamaan penting di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) ke-29 di Bangkok semalam.

Beliau turut berkongsi inisiatif Malaysia melalui pelancaran Dasar Tenaga Negara, yang menggariskan tindakan ke arah peralihan tenaga serta mekanisme untuk memanfaatkan teknologi baru muncul dan menggalakkan penggunaan tenaga yang cekap.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata model ekonomi BCG boleh menjadi kunci untuk memudahkan aliran pelaburan berkualiti ke dalam sektor teknologi tinggi dan industri inovatif.

Sebagai permulaan, beliau berkata, model BCG berkemungkinan akan menggalakkan pelabur untuk memasukkan elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam operasi, mempromosikan kelakuan perniagaan yang beretika dan menarik pelaburan yang lebih mampan ke rantau Asia-Pasifik.

“Dengan memacu agenda ESG dan meningkatkan kerja berterusan dalam Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab (IRBI), APEC berada di landasan untuk mewujudkan titik rujukan serantau untuk kedua-dua sektor awam dan swasta yang memulakan inisiatif pembangunan mampan,” katanya.

Mohd Zuki berkata memandangkan Malaysia baru-baru ini mengemas kini dasar pelaburannya, dengan tumpuan khusus pada ESG, Malaysia berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan belajar daripada, sesama ekonomi APEC.

“Bertukar-tukar pandangan sebegini boleh memudahkan penyusunan pengetahuan umum dan pengalaman bersama daripada kita semua, yang kemudiannya boleh disaring kepada amalan terbaik untuk rantau ini,” tambahnya.

Mohd Zuki merupakan Wakil Khas Perdana Menteri yang mengetuai delegasi negara ke AELM ke-29.

Sidang kemuncak yang bertemakan “Open. Connect. Balance,” adalah sidang kemuncak pertama kumpulan itu dalam tempoh empat tahun.

Sumber: Bernama

Model ekonomi BCG adalah hala tuju untuk merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040


Content Type:

Duration:

Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia-Jerman (MGCC) berkata 50 peratus daripada syarikat Jerman di Malaysia merancang untuk meningkatkan perbelanjaan berkaitan pelaburan tempatan pada tahun depan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Dalam kenyataan hari ini, MGCC berkata syarikat terbabit akan terus meningkatkan kehadiran di negara ini selain memperkukuh hubungan dagangan biarpun ekonomi global dijangka lebih suram pada tahun depan.

Pendirian itu dipaparkan menerusi dapatan tinjauan terkini oleh AHK World Business Outlook Fall 2022.

Syarikat-syarikat tersebut juga merancang untuk menggaji lebih ramai pekerja tempatan dan meningkatkan perbelanjaan memajukan perniagaan pada tahun depan manakala 66.7 peratus daripada responden yakin keadaan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas.

Pengarah Eksekutif Daniel Bernbeck berkata hasil tinjauan itu terus memaparkan bahawa Malaysia dilihat sebagai memberi manfaat besar untuk syarikat-syarikat Jerman, termasuk persekitarannya yang mesra pelabur, pekerja yang mahir selain rangkaian pembekal serba meluas dan kukuh.

“Ini merupakan satu potensi yang meyakinkan apabila adanya petunjuk bagi mewujudkan pekerjaan dan kesediaan meningkatkan perbelanjaan untuk memperkukuh kehadiran masing-masing di negara ini.

“Pada masa sama, ini juga menggambarkan pemulihan Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan selepas berdepan gangguan selama dua tahun akibat COVID-19,” katanya.

 Bernbeck berkata sebagai wakil industri dan perdagangan Jerman di Malaysia, MGCC menyambut baik hasrat syarikat-syarikat terbabit untuk membuat perancangan pelaburan jangka panjang di sini.

“Keyakinan sedemikian daripada pelabur asing akan menyuntik pertumbuhan ekonomi yang dapat melonjakkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menjalankan perniagaan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, tiga kebimbangan utama syarikat-syarikat Jerman pada tahun depan adalah kekurangan pekerja (58.3 peratus), kenaikan harga komoditi (54.2 peratus) serta gangguan rantaian bekalan yang berterusan (50 peratus).

Malah, gangguan bekalan rantaian itu akan terus menjadi halangan syarikat dan bagi menanganinya, 65.2 peratus telah melaksanakan pelan mencari atau menambah pembekal sedia ada.

Selain itu, 81 peratus responden berkata Asia Pasifik, tidak termasuk China, adalah rantau pilihan bagi mendapatkan pembekal baharu manakala 61.9 peratus memilih untuk mengenal pasti pembekal terbabit di Malaysia.

Sumber: Bernama

Syarikat-Syarikat Jerman Di Malaysia Mahu Tingkat Pelaburan Pada 2023 – MGCC


Content Type:

Duration:

Pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembuatan Malaysia menjadi faktor utama di sebalik data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga yang kukuh dan ia diunjur akan meneruskan pertumbuhannya sehingga tahun 2023.

Menerusi laporan Economic View Asia Pacific, Moody’s Analytics menyatakan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih kukuh sebanyak 14.2 peratus pada suku ketiga mengatasi jangkaan dengan penggunaan dan pelaburan menyumbang secara ketara kepada pertumbuhan tersebut.

Kemasukan pelancong yang tinggi mendorong permintaan untuk sektor perdagangan runcit, penginapan serta makanan dan minuman (F&B), oleh itu pertumbuhan dalam industri tersebut dijangka berterusan sehingga awal tahun 2023.

Menurut firma tersebut, eksport produk pembuatan kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan kekal teguh hingga tahun depan walaupun mengalami kelembapan di China.

“Sektor elektronik terus berkembang, didorong oleh permintaan terhadap cip semikonduktor, Malaysia menempatkan beberapa pengeluar semikonduktor utama, dan eksport mungkin kekal teguh hingga tahun depan,” menurut laporan tersebut yang dikeluarkan hari ini.

Sebagai pengeksport bersih minyak mentah dan minyak sawit, Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih tinggi.

Selain itu, sektor perlombongan dan pertanian juga meningkat pada suku ketiga selepas terjejas ekoran masalah pekerja semasa awal pandemik.

Pertumbuhan sektor perkhidmatan, pembuatan Malaysia dijangka berterusan sehingga 2023


Content Type:

Duration:

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi terpantas dalam kalangan enam negara ASEAN pada suku ketiga dan juga bagi sembilan bulan pertama tahun ini, dan pada masa yang sama negara terus membina daya tahan untuk menghadapi cabaran global yang kuat, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Dipermudahkan oleh langkah-langkah tegas dalam peralihan ke fasa endemik, kita sedang membina daya tahan untuk menghadapi cabaran global yang kuat.

“Kestabilan politik adalah penting menjelang pilihan raya pada 19 Nov,” kata Khairy dalam catatan terbarunya di laman sosial Twitter.

Memetik data daripada pelbagai sumber di ASEAN, beliau menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang memberangsangkan iaitu 14.2 peratus pada suku ketiga.

Menurut carta yang digunakan beliau dalam catatan Twitter yang sama, purata pertumbuhan KDNK sembilan bulan Malaysia iaitu pada 9.36 peratus juga merupakan yang tertinggi di rantau ini, mendahului Vietnam di tempat kedua pada 8.8 peratus.

KDNK Vietnam meningkat 13.67 peratus pada suku ketiga, diikuti Filipina (7.6 peratus), Indonesia (5.72 peratus) dan Singapura (4.4 peratus).

Bagaimanapun, Thailand masih belum mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiganya.

Pada suku kedua, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.9 peratus, mendahului enam negara ASEAN yang lain.

Vietnam mencatatkan pengembangan 7.72 peratus pada suku kedua, Filipina (7.5 peratus), Indonesia (5.44 peratus), Singapura (4.4 peratus) dan Thailand (2.5 peratus).

Rakyat Malaysia akan membuang undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

Sumber: Bernama

Pertumbuhan ekonomi Malaysia terpantas dalam ASEAN, kestabilan politik penting – Khairy


Content Type:

Duration:

wpChatIcon