Berita Ekonomi Archives - Page 13 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Empat firma multinasional bina hab di Greater KL

InvestKL telah menarik empat syarikat multinasional untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan di kawasan Greater Kuala Lumpur, mengukuhkan matlamat strategik untuk tempoh 10 tahun bagi menarik pelaburan sebanyak RM35 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli mengumumkan bahawa pengeluar dari Australia, The Arnott’s Group (TAG), Tupperware Brands Corp, syarikat pembangunan perisian senaraian awam Britain, Endava Plc dan Baxter Southeast Asia telah memilih Greater KL untuk mewujudkan hab dan pejabat perkhidmatan perniagaan.

“Prestasi ekonomi negara yang berdaya tahan selepas pandemik turut dapat dilihat daripada peningkatan pelaburan asing yang masuk, dengan lebih banyak syarikat global memutuskan untuk mewujudkan hab perkhidmatan global mereka di Greater KL pada tahun ini.

“Ini menjadi bukti kepada tarikan Malaysia yang berterusan dalam kalangan pelabur asing sebagai destinasi pelaburan pilihan berdasarkan asas negara yang kukuh, dasar yang mesra pelabur, infrastruktur yang baik dan kumpulan tenaga kerja yang dinamik,” katanya dalam kenyataan.

Pada separuh pertama 2022, InvestKL berjaya menarik RM1.68 bilion nilai pelaburan, mewujudkan 1,919 peluang pekerjaan eksekutif berkemahiran tinggi.

Sumber: Bernama

Empat firma multinasional bina hab di Greater KL


Content Type:

Duration:

Ekonomi halal global dianggarkan mencecah AS$4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang 2030.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, pertimbangan untuk ekonomi halal dicerminkan dalam Bajet 2023 yang dicadangkan, termasuk peruntukan bagi mempromosikan produk halal di pasaran global melalui program Perkhidmatan dan Halal Malaysia, dan inisiatif pembangunan untuk meningkatkan pematuhan dan inovasi pensijilan halal.

“Dengan memanfaatkan 46 pejabat kami di luar negara, Matrade menyediakan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) semasa edisi ke-18 Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas 2022) untuk menghubungkan pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa melibatkan perjanjian perdagangan bernilai tinggi dimeterai.

“Acara fizikal berkenaan dijalankan pada 6 September 2022, manakala INSP maya dilanjutkan kepada 15 November 2022 berikutan sambutan yang menggalakkan,” katanya dalam kenyataan.

Mustafa berkata, Matrade bersedia membantu lebih banyak perniagaan mengambil peluang yang terbuka luas yang ada di pasaran antarabangsa dan mengambil langkah untuk memanfaatkannya.

Selaku tuan rumah kepada peserta pameran daripada lebih 30 negara dan pelawat perdagangan secara fizikal dan maya, Mihas, anjuran Matrade menggunakan sinerginya dengan syarikat berwajaran tinggi industri untuk menawarkan pengajaran dan tip penting untuk menggalakkan lebih banyak perusahaan Malaysia mula mengeksport, seperti Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N).

Berdasarkan pengalaman peribadi, gergasi eksport F&N menggalakkan perniagaan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan seperti Matrade dan mengambil bahagian dalam pameran seperti Mihas, Gulf Food dan pameran perdagangan Perancis serta Salon International de I’Alimentation untuk tahap pendedahan dan promosi yang lebih tinggi bagi jenama masing-masing.

Katanya, F&N juga menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana untuk menetapkan visi dan sasaran yang lebih tinggi untuk memacu perusahaan mereka lebih jauh dalam pasaran eksport.

Sumber: Harian Metro

Dijangka cecah RM22.34 trilion


Content Type:

Duration:

Malaysia dan United Kingdom (UK) telah mengadakan Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan yang kedua di London.

Mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan telah dianjurkan secara maya oleh Malaysia pada tahun 2020.

Pesuruhjaya Perdagangan bagi Asia Pasifik, Natalie Black CBE, mempengerusikannya bersama-sama Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Antarabangsa) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Malaysia, Hairil Yahri Yaacob.

Bagi mengiktiraf kepentingan hubungan perdagangan, mesyuarat itu turut memformalkan hasrat untuk menaik taraf Jawatankuasa Bersama kepada Jawatankuasa Perdagangan Ekonomi Bersama (JETCO) yang diketuai pada peringkat menteri, kata MITI berkata dalam satu kenyataan.

JETCO baharu tersebut akan membantu mempromosikan dan meningkatkan hubungan perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi, termasuk menangani halangan perdagangan yang menjejaskan perniagaan antara kedua-dua negara.

Mesyuarat pertama JETCO UK-Malaysia dijangka diadakan pada musim luruh tahun depan.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Bersama itu, UK mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

UK turut mengemaskini status penyertaan mereka dan Malaysia membentangkan manfaat CPTPP apabila ia mula berkuat kuasa untuk Malaysia pada 29 Nov 2022.

CPTPP akan meningkatkan potensi perdagangan selanjutnya antara UK dan Malaysia, menyumbang kepada kemakmuran bersama kedua-dua negara melalui penciptaan peluang baharu untuk perniagaan dan pelabur.

Mesyuarat itu juga menghimpunkan enam ketua bersama kumpulan kerja untuk melaporkan kemajuan kerjasama dua hala mereka dalam bidang keutamaan yang dipersetujui.

Selain itu, terdapat pembentangan dari UK mengenai latihan guru serta  inisiatif minyak sawit lestari Malaysia.

Sumber: Bernama

Malaysia-UK naik taraf Jawatankuasa Bersama Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan kepada peringkat menteri


Content Type:

Duration:

Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) menjangkakan peranan industri kimia sebagai pemboleh rantaian bekalan mampu diperkasakan lagi berikutan ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

CICM dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan Malaysia berpotensi menjadi destinasi pelaburan yang lebih menarik serta dirangsang untuk membangunkan keupayaan tempatan, terutama dalam segmen bahan kimia khusus.

“Pembangunan dalam keupayaan tempatan mampu mempercepatkan pengembangan segmen bahan kimia khusus, ini seterusnya, membawa kepada peningkatan nilai tambahan dalam aktiviti pembuatan tempatan,” kata kenyataan itu.

Selain itu, ratifikasi CPTPP juga akan meluaskan lagi akses pengeluar kimia Malaysia ke dalam pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang belum lagi dilindungi oleh mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedia ada.

“Selain itu, United Kingdom berada di peringkat akhir untuk menzahirkan persetujuan terhadap perjanjian tersebut, manakala, China, Taiwan, Ecuador dan Costa Rica telah memohon menyertai CPTPP.

“Kemasukan mereka akhirnya akan memberikan peluang akses pasaran yang lebih luas dan lebih mendalam kepada pengeksport kimia Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Ratifikasi CPTPP akan dorong industri kimia, buka pasaran baharu


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sebanyak RM72.4 bilion pada September 2022, daripada jumlah dagangan Malaysia RM256.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Berdasarkan Statistik Hari Ini bagi Statistik Eksport Import mengikut Negeri, September 2022 yang dikeluarkan oleh jabatan itu, Pulau Pinang juga mencatatkan eksport yang lebih tinggi sebanyak RM14.4 bilion, diikuti oleh Johor (RM8.3 bilion), Sarawak (RM5 bilion), Selangor ( RM2.8 bilion), Kedah (RM1.5 bilion) dan Wilayah Persekutuan Labuan (RM1 bilion).j

Sementara itu Sabah, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka dan Perlis masing-masing mencatatkan eksport berjumlah RM555.8 juta, RM371.4 juta, RM271.2 juta, RM108.8 juta dan RM63.6 juta.

Bagaimanapun, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengalami penurunan eksport dengan merekodkan RM430.4 juta, Pahang (RM263.9 juta), Perak (RM170.7 juta) dan Kelantan (RM118 juta).

Menurut DOSM dalam pada itu, Johor mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi import dengan RM9.7 bilion, diikuti Selangor (RM5.9 bilion), Pulau Pinang (RM3.5 bilion), Kedah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (masing-masing RM1.7 bilion), Melaka (RM1.3 bilion) dan Sarawak (RM1 bilion).

Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Pahang, Terengganu, Perlis dan Kelantan masing-masing turut mencatatkan import lebih tinggi iaitu RM851.8 juta, RM682.9 juta, RM625.5 juta, RM360.5 juta, RM199 juta, RM95. 7 juta, RM43.7 juta dan RM3.4 juta.

Jabatan itu menjelaskan antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.2 peratus, Johor (21.2 peratus), Selangor (17 peratus), Sarawak (8.5 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.3 peratus).

Bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang utama dengan 25.8 peratus, diikuti Johor (23.5 peratus), Pulau Pinang (21.7 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (6.6 peratus) dan Kedah (6.0 peratus). 

Sumber: Bernama

P.Pinang catat jumlah dagangan tertinggi RM72.4b pada Sept 2022: DOSM


Content Type:

Duration:

Malaysia akan bekerjasama dengan Singapura untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata demikian dalam ciapan di Twitter hari ini, membalas dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, yang mengucapkan tahniah kepada beliau atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Thank you PM @leehsienloong for the telephone call and warm wishes. As close neighbours and partners in ASEAN, Malaysia and Singapore also share many commonalities, intertwined history and very close and active people-to-people connections (Terima kasih PM @leehsienloong atas panggilan telefon dan ucapan selamat maju jaya. Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi ASEAN, Malaysia dan Singapura turut berkongsi banyak persamaan, sejarah yang saling berkaitan dan hubungan rakyat yang rapat dan aktif).

“I look forward to meeting you at the earliest opportunity and working together to further elevate Malaysia-Singapore bilateral relations (Saya berharap dapat bertemu dengan anda secepat mungkin dan bekerjasama untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura),” katanya.

Terdahulu, Hsien Loong dalam ciapannya, mengucapkan tahniah kepada Anwar dan menyatakan minatnya untuk bekerjasama dengan Anwar serta kerajaan baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

“Congratulated Dato’ Seri @anwaribrahim on being sworn in as Malaysia’s 10th Prime Minister and invited him (Anwar) to visit Singapore soon. Look forward to working with PM Anwar and the new government to further strengthen our bilateral relationship (Tahniah Dato’ Seri @anwaribrahim yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan menjemput beliau (Anwar) untuk melawat Singapura tidak lama lagi. Teruja untuk bekerjasama dengan PM Anwar dan kerajaan baharu untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala kita,” katanya.

Anwar, 75, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, di sini, semalam. 

Sumber: Bernama

Malaysia mahu pertingkat hubungan dua hala dengan Singapura


Content Type:

Duration:

Bajet Selangor 2023 akan memfokuskan kepada strategi mendepani gelombang kemelesetan ekonomi dijangka berlaku pada tahun hadapan, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau memaklumkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadual bermula esok, diikuti dengan pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat ini akan turut menitikberatkan aspek mampu memberi kebaikan kepada golongan muda, wanita dan kegiatan ekonomi.

“Ada beberapa insentif kita akan fokuskan terutamanya untuk anak muda, wanita serta memperkasakan kegiatan ekonomi supaya kelembapan atau ketidaktentuan ekonomi berjaya diatasi negeri yang menjadi nadi penting negara.

“Sudah pasti kita mahu mendepani cabaran tahun depan supaya Selangor bukan sahaja boleh menahan uji tetapi juga boleh menongkah arus,” katanya selepas merasmikan kejohanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Selangor Masters Golf 2022 di Kelab Golf Seri Selangor, hari ini.

Beliau berkata, tumpuan berkenaan diberi berikutan keadaan ekonomi dijangka mencabar pada tahun depan disebabkan krisis bekalan, serta geopolitik tidak seimbang di samping kesan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sabtu lalu, Amirudin yang juga ahli Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila memperoleh majoriti undi 12,729. 

Sumber: Bernama

Bajet Selangor 2023 fokus hadapi kemelesetan ekonomi


Content Type:

Duration:

Public Investment Bank Bhd (PIVB) mengekalkan jangkaan bahawa sektor teknologi Malaysia akan mengatasi penanda aras yang relevan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ini susulan lebih banyak aliran masuk pelaburan disaksikan ke dalam rantau ASEAN dengan Malaysia akan meraih manfaat ketara daripada peningkatan kebuntuan ketegangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Menurut bank pelaburan itu, pelabur harus meneliti semula saham teknologi dengan asas yang kukuh dalam jangka masa panjang memandangkan manfaat ganjaran risiko yang menarik.

Malaysia lebih menonjol di rantau ini, jelasnya menerusi nota penyelidikan pada Selasa.

“Kami yakin akan berlaku kesan limpahan positif (daripada) pemindahan industri dari China dan AS ke rantau ini untuk meminimumkan risiko masa depan yang timbul daripada peningkatan ketegangan AS-China.

“Malaysia ialah antara negara terkemuka dari segi pelaburan untuk industri semikonduktor, telekomunikasi dan teknologi kerana negara ini memiliki ekosistem yang menggalakkan, termasuk bakat, infrastruktur dan persekitaran yang mesra perniagaan,” jelasnya.

PIVB menambah, peserta Malaysia dalam penyumberan luar peralatan ujian automatik serta perkhidmatan pemasangan dan ujian boleh memperoleh manfaat daripada lencongan perdagangan dari AS dan China di samping kelemahan semasa ringgit juga menarik bagi pelabur asing.

“Industri semikonduktor Malaysia, yang membentuk 13 peratus daripada bahagian pasaran pemasangan cip dan pengujian global, diunjurkan meraih manfaat daripada Akta Cip dan Sains AS yang diluluskan baru-baru ini (dengan US$52.7 bilion subsidi Persekutuan disediakan untuk menyokong pembuatan cip) bagi jangka panjang.

“Ini memandangkan lebih banyak kerja pemasangan dan ujian diperlukan untuk memenuhi keperluan kilang fabrikasi cip canggih baharu dengan teknologi proses tujuh nanometer dan ke bawah,” jelasnya.

Sumber: Bernama

Sektor Teknologi Malaysia Akan Raih Manfaat Ketara Daripada Kebuntuan AS-China


Content Type:

Duration:

Pelan Pembangunan Labuan 2030 mampu membawa pelbagai pembangunan ekonomi di pulau bebas cukai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pelan pembangunan yang dilancarkan pada 2018 itu telah dirangka merangkumi kepelbagaian pembangunan fizikal dan sektor ekonomi bagi memacu pembangunan ekonomi Labuan.

“Pelan Pembangunan Labuan 2030 telah dirangka untuk memenuhi keperluan sektor ekonomi sedia ada dan bakal diwujudkan.

Beliau berkata lima hala tuju yang dirangka dalam pelan pembangunan itu antara lain memberi fokus kepada pembangunan sektor perniagaan dan kewangan Labuan, sejajar dengan sumbangan pendapatan (melalui pungutan cukai) kepada negara daripada sektor ini.

“Sektor pendidikan juga antara yang diberi perhatian dalam pelan pembangunan ini bagi memperkasakan pembangunan modal insan di sini,” katanya.

Ismail Sabri turut menyentuh isu bekalan air dan beliau berkata sebanyak lapan projek pemulihan (penggantian paip usang) dan naik taraf loji rawatan air dilaksanakan pada tahun ini.

“Kerajaan sedar kesulitan yang dihadapi rakyat di Labuan dan kerajaan sudah semestinya akan berbuat sesuatu demi kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri berkata cadangan projek pembinaan Kolej MRSM di Labuan telah lama diluluskan dan seharusnya boleh dilaksanakan berikutan tanah telah tersedia.

Sumber: Bernama

Pelan Pembangunan Labuan 2030 tawar pelbagai pembangunan ekonomi – Ismail Sabri


Content Type:

Duration:

Kejayaan mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion merupakan bukti kerajaan Barisan Nasional (BN) di Pahang dalam memastikan pembangunan ekonomi berterusan pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kejayaan itu juga membuktikan kemampuan Kerajaan Negeri Pahang dalam memelihara kemakmuran dan kesejahteraan rakyatnya termasuklah kebajikan warga Keluarga Malaysia Bera.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pentadbiran Kerajaan Negeri kerana buat pertama kali berjaya mengutip hasil mencecah RM1 bilion dan menarik pelaburan berjumlah RM20.56 bilion seperti diumumkan oleh Kerajaan Negeri dalam Belanjawan Pahang Tahun 2023,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis Pecah Tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) Bera di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya Datuk Seri Ismail Abd Mutalib.

Justeru Perdana Menteri mahu rakyat Pahang terus memastikan kerajaan BN kekal diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerana adalah penting mengekalkan mandat kerajaan negeri yang sama dengan kerajaan pusat bagi memastikan semua pembangunan dapat dirancang dan diteruskan.

“Saya kata begini kerana pada PRU15 nanti, Pahang juga akan memilih kerajaan negeri, jika begini hebatnya kerajaan Pahang, saya percaya kerajaan negeri sekarang akan terus memerintah Pahang,” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan satu lagi inisiatif Keluarga Malaysia iaitu Projek PPR Bera bagi memenuhi keperluan tempat kediaman, untuk mereka yang berkelayakan dan berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah.

“Projek PPR Bera merupakan satu manifestasi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang terjalin sejak sekian lama,” kata penyandang kerusi Parlimen Bera itu.

Ismail Sabri berkata projek PPR Bera yang melibatkan 1,000 rumah teres tiga bilik hanya berharga RM45,000 berbanding kos sebenar RM160,000.

Katanya ini bermakna kerajaan menanggung subsidi rumah berkenaan sebanyak hampir RM120,000.

Dalam projek PPR yang tiap satu unit berkeluasan 750 kaki persegi itu, 100 unit dikhaskan kepada veteran tentera dan polis serta 10 unit kepada pembeli Orang Kurang Upaya (OKU).

Ismail Sabri berkata bagi memastikan rumah berkenaan benar-benar menepati sasaran golongan sepatutnya, iaitu golongan isi rumah berpendapatan RM5,000 ke bawah, beliau mahu kerajaan negeri mengguna pakai polisi PPR kerajaan pusat, iaitu rumah tidak boleh disewa atau dijual semula dalam tempoh 10 tahun.

Sementara itu Reezal Merican dalam ucapannya di majlis itu berkata Pahang merupakan negeri yang memiliki bilangan projek PPR tertinggi di Semenanjung iaitu 31 buah projek, yang menyumbang kepada lebih 4,000 unit rumah.

Katanya ia termasuk tiga projek PPR di Pahang yang dalam pembinaan iaitu PPR Tahan, Jerantut (100 unit), Rumah Malaysia (Disewa), di Lanchang (350 unit) dan PPR Beserah Chendor sebanyak 100 unit.

“Dalam Bajet 2023 yang dibentangkan pada awal Oktober lalu, Kerajaan meneruskan agenda membela rakyat dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM367 juta untuk membina lebih banyak PPR kepada rakyat,” katanya.

Sumber: Bernama

Pahang kutip hasil RM1 bilion, tarik pelaburan RM20.56 bilion, bukti kejayaan BN – Ismail Sabri


Content Type:

Duration:

Sabah berjaya memperolehi sejumlah RM11.9 bilion pelaburan asing dan RM942 juta pelaburan domestik dalam tempoh dua tahun dari September 2020 sehingga September 2022.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kejayaan berkenaan sekali gus berjaya mencipta sejumlah 5,000 peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Katanya, kejayaan itu juga membuktikan bahawa para pelabur yakin dengan Sabah seterusnya menjadikan negeri ini sebagai destinasi terbaik melakukan perniagaan.

“Jangan bimbang, kerajaan negeri komited untuk mencari jalan bagi menambah baik pelaksanaan dasar dan memastikan sistem penyampaian kerajaan diperkasakan,” katanya pada Majlis Borneo Architecture Festival 2022, BAF Convention: Borneo Moving Forward di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya.

Hajiji menyeru pemain dalam sektor swasta seperti Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) atau badan berkaitan untuk menjadi rakan kepada kerajaan negeri seterusnya bersama-sama membangunkan Sabah.

Beliau juga berbangga PAM Sabah serta organisasi seumpamanya berjaya memulakan program seperti Borneo Architecture Festival, seterusnya melengkapkan usaha kerajaan dalam usaha membangunkan negeri ini.

“Kita tidak pernah leka dalam hal pembangunan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada Oktober 2020, walaupun dalam tempoh pandemik, kita berjaya melancarkan pelan pembangunan lima tahun iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). 

“Pada Mac 2021, kita juga melancarkan pelan hala tuju untuk menggariskan visi, strategi dan keutamaan kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun.

“Pelan utama berkenaan penting kepada pembangunan Sabah untuk bertahun-tahun akan datang.

“Kita berazam untuk mewujudkan persekitaran pembangunan yang kondusif seterusnya mesra perniagaan. Sabah kini juga dalam landasan tepat pembangunan kerana negeri ini berjaya mencapai pendapatan tertinggi tahun lalu iaitu RM5.449 bilion.

“Saya juga yakin dengan perkembangan positif dalam usaha kita untuk bersuara lebih lantang serta penyertaan dalam sektor gas dan minyak di Sabah, kita juga mampu memperolehi pendapatan dari sumber lain.

“Saya yakin pendapatan negeri tahun ini akan melebihi RM6 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata pembinaan lebih banyak bangunan hijau atau bangunan penggunaan cekap tenaga adalah pendekatan terbaik untuk menjaga serta memulihkan alam sekitar.

“Tema persidangan kali ini bertepatan dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang diterima pakai oleh semua ahli dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015.

“Agenda ini menyediakan satu pelan tindakan bersama bagi mencapai kemakmuran sedunia pada ketika ini dan masa depan.

“Kerajaan Malaysia juga sentiasa aktif bagi mencapai matlamat pembangunan mampan dan usaha berkenaan dilakukan melalui pelbagai kementerian, agensi agar dapat disesuaikan dengan perubahan iklim,” katanya.

Katanya, usaha mengurangkan impak perubahan iklim sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda kerajaan negeri.

Menurutnya, Majlis Tindakan Perubahan Iklim dibawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan negeri juga diwujudkan bagi membincangkan dasar perubahan iklim, tindakan, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memperkasakan teknologi hijau dan pembangunan. 

“Komitmen ini selaras dengan dasar kerajaan negeri terhadap alam sekitar serta aspirasi negara khususnya dalam proses mitigasi dan proses penyesuaian,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Sabah berjaya peroleh RM11.9 bilion pelaburan asing


Content Type:

Duration:

Johor akan berusaha untuk memperluaskan konsep Kulai Fast Lane ke daerah lain, satu langkah yang berupaya menggalakkan lebih ramai pelabur ke negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata inisiatif itu, yang diperkenalkan oleh Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan memudahkan pelabur menubuhkan perniagaan, telah berjaya dan akan dinamakan semula sebagai Johor Fast Lane.

“Ini adalah komitmen kerajaan negeri dalam memastikan Johor mesra pelabur dan perniagaan. Kami mengalu-alukan semua orang dari seluruh dunia ke negeri ini,” katanya pada perasmian Fasa Satu Bridge Data Centres (BDC) di Pusat Teknologi Sedenak di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Datuk Wira Arham Abdul Rahman dan CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Mahadhir Aziz.

Onn Hafiz berkata memandangkan Johor berhasrat untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030, kerajaan negeri telah berusaha setiap masa untuk memastikan negeri itu bukan sahaja bersedia dari segi infrastruktur malahan memastikan keperluan asas dipenuhi.

“Ini bagi memastikan pelabur dan rakyat terus selesa di negeri ini. Jalan raya kami, utiliti seperti air semuanya adalah standard antarabangsa, jadi pelabur merasakan negeri ini akan terus menyokong pertumbuhan mereka,” kata ADUN Machap itu.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata beberapa minggu akan datang penting bagi rakyat Malaysia termasuk rakyat Johor kerana mereka akan mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15, yang dijadualkan pada 19 Nov.

Beliau berkata sebarang keputusan yang dibuat dalam minggu-minggu akan datang bakal memberi kesan langsung kepada Johor.

“Johor telah mencatatkan pelaburan bernilai RM60.9 bilion, yang tertinggi direkodkan di negara ini untuk 2022. Pada pendapat saya, selain sokongan daripada kerajaan persekutuan, ini adalah kerana kestabilan (negeri),” katanya lagi.

Mengenai BDC, ia merupakan syarikat pertama dianugerahkan status Digital Malaysia untuk menyiapkan pembinaan dan penyerahan pusat data skala besar sedia untuk perniagaan pada tahun 2022. Pusat data itu siap dibina dalam masa kira-kira 2.2 juta jam bekerja (314 hari) sejak majlis pecah tanah pada November 2021.

Fasa 1 pusat data terdiri daripada bangunan pertama daripada tiga bangunan dalam projek pusat data skala besar 110 megawatt yang berkeluasan 15.4 hektar.

ByteDance, yang merupakan syarikat induk TikTok, akan menjadi penyewa utama di pusat data skala besar BDC dengan komitmen pelaburan jangka panjang di negara ini. 

Sumber: Bernama

Johor akan perluas konsep ‘Kulai Fast Lane’ ke daerah lain


Content Type:

Duration:

Malaysia sebagai sebuah negara terkemuka dalam dunia Islam, mampu menawarkan banyak perkara terutama yang membabitkan amalan terbaik, perdagangan dan inovasi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar).

Negara ini adalah contoh bagi ekonomi halal dan berjaya menempatkan dirinya sebagai penggerak utama ekonomi halal global, katanya sambil menambah berdasarkan Skor Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI), Malaysia telah berada di kedudukan nombor satu selama sembilan tahun berturut-turut.

Ekonomi halal menyumbang kira-kira 7.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kata Mustapa pada Forum Perniagaan Muslim Global 2022 yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata negara kini menerajui kewangan Islam, makanan halal, pelancongan mesra Islam dan dan sektor-sektor media dan rekreasi.

“Komponen terbesar ekonomi halal ialah sektor makanan, menyumbangkan kira-kira US$31 bilion (US$1=RM4.72).

“Malaysia adalah perintis dalam kewangan Islam dan industri itu cukup maju dan dikawal dengan baik di negara kita. Kita adalah antara lima negara teratas dengan aset kewangan Islam terbesar dengan lebih US$619.7 bilion pada 2021,” kata menteri itu.

Malaysia terus mendahului dengan inovasi, tambahnya sambil menyatakan pada tahun lepas, negara ini menerbitkan nota komersial berkaitan kemampanan kewangan Islam berdenominasi dolar AS yang pertama di dunia.

“Begitu juga pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global. Cop keaslian halal Malaysia membantu mengelakkan ‘pencucian wang kotor”  dan membina kepercayaan, terutamanya dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Menurut Mustapa, kerajaan juga terus menekankan kepentingan ekonomi halal.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, beliau berkata strategi utama ialah meletakkan Malaysia sebagai hab global dengan merancakkan pembangunan bakat halal, memperkenalkan pengiktirafan profesional halal, merangsang pembangunan industri dan meningkatkan daya saing produk.

Sasarannya adalah untuk melonjakkan sumbangan ekonomi halal daripada KDNK kepada 8.1 peratus dan menjana lebih US$12 bilion hasil eksport menjelang 2025, katanya.

Menyentuh tema forum “Kebangkitan Ekonomi Islam Global: Memfokuskan Semula, Menetapkan Semula dan Pulih Dalam Era Pascapandemik” (The Rise of the Global Islamic Economy: Refocusing, Resetting and Recovering in the Post-Pandemic Era), Mustapa berkata ia konsisten dengan potensi perniagaan yang besar bagi 1.9 bilion pengguna Islam di seluruh dunia.

Perbelanjaan masyarakat Muslim seluruh dunia mencecah US$2 trilion pada 2021 merangkumi pelbagai sektor seperti makanan, fesyen dan kewangan selain US$3.6 trilion aset kewangan Islam seperti sukuk dan bon Islam.

Memetik Laporan Keadaan Ekonomi Islam Global terkini oleh DinarStandard, beliau berkata tahap perbelanjaan pengguna untuk semua sektor ekonomi Islam global, kecuali untuk perjalanan telah kembali ke tahap sebelum pandemik setakat akhir tahun lepas.

“Prospek untuk ekonomi Islam global adalah baik. Permintaan untuk barangan dan perkhidmatan halal dijangka meningkat dengan unjuran perbelanjaan global mencecah US$2.8 trilion menjelang 2025.

“Penduduk Islam global mencecah 1.9 bilion pada 2019 dan diunjur berkembang dua kali lebih pantas berbanding keseluruhan populasi dunia. Akan ada sekurang-kurangnya tiga bilion umat Islam menjelang 2060, yang akan mewakili satu pertiga daripada populasi global, menurut Pusat Penyelidikan Pew,” katanya.

Mustapa turut menekankan peranan penting kesalinghubungan digital dalam dunia Islam.

Memetik data penyelidikan Newzoo, beliau berkata 15 daripada 50 negara yang mempunyai kadar penembusan telefon pintar tertinggi adalah dari Pertubuhan Kerjasama Islam; justeru permintaan untuk produk digital mesra Muslim – daripada kewangan Islam hinggalah kepada produk gaya hidup, akan berkembang.

“Perniagaan dan pelabur mesti menyedari potensi besar dalam ekonomi Islam global. Terdapat peralihan yang jelas ke arah barangan dan perkhidmatan mesra Muslim, disokong oleh konsep halal dalam dunia Islam dan melangkauinya,” tambah Mustapa. 

Sumber: Bernama

Malaysia mampu tawar banyak perkara berkaitan ekonomi halal, bidang lain dalam dunia Islam


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik serta meningkatkan daya saing negara di arena global.

Dalam kenyataan pada Khamis, Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) Akbar Md Thayoob berkata persatuan itu memuji usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam menyelesaikan prosedur domestik berikutan mandat yang diterima daripada Kabinet.

Beliau berkata MITI telah menyumbang kepada penyerahan akhir instrumen ratifikasi (IOR) Malaysia bagi CPTPP dengan depositari di New Zealand yang dilaksanakan pada 30 Sept 2022.

“Perjanjian CPTPP telah diratifikasi dan dilaksanakan secara berperingkat sejak Disember 2018 oleh Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru.

“Ia akan meluaskan akses Malaysia kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru yang tidak diliputi oleh mana-mana perjanjian perdagangan bebas (FTA) sedia ada,” katanya.

Beliau berkata pengeksport Malaysia akan menikmati layanan bebas cukai ke atas produk seperti alat ganti dan komponen automotif, barangan plastik, sarung tangan pembedahan, produk getah, tekstil dan pakaian, produk koko serta barangan makanan.

Akbar berkata, langkah United Kingdom dan China, Chinese Taipei, Ecuador dan Costa Rica yang turut memohon secara rasmi untuk menyertai CPTPP adalah sesuatu yang memberangsangkan, membolehkan pengeksport Malaysia meraih peluang kepada akses pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata analisis kos-faedah (CBA) yang dilaksanakan ke atas CPTPP mengunjurkan jumlah perdagangan dari Malaysia dijangka meningkat kepada US$655.9 bilion (AS$1=RM4.71) pada 2030.

Selain itu, beliau berkata eksport diramalkan mencecah AS$354.7 bilion pada tahun yang sama dengan imbangan perdagangan kekal dalam lebihan kukuh pada 8.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030.

Beliau berkata, di bawah CPTPP, hampir 100 peratus daripada eksport Malaysia ke semua negara CPTPP akan menikmati layanan bebas cukai menjelang 1 Jan 2033.

Akbar berkata apabila CPTPP dikuatkuasakan untuk Malaysia, semua eksport Malaysia ke pasaran Australia dan Singapura tidak dikenakan sebarang duti.

Semua produk Malaysia yang dieksport ke New Zealand dan Kanada adalah tanpa cukai, masing-masing pada 2024 dan 2029, katanya.

Ketika ini, beliau berkata duti ke atas eksport utama Malaysia ke Kanada dan Mexico adalah antara 15 hingga 30 peratus.

“Pada dasarnya, CPTPP akan wujud bersama semua FTA lain dan akan meletakkan Malaysia pada kedudukan strategik, meningkatkan daya saing kita di arena global,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaksanaan CPTPP akan tingkatkan daya saing Malaysia di arena global – MPA


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Johor sedang berunding dengan kira-kira 20 syarikat dan perniagaan mengenai pelaburan baharu dan pengembangan di Johor, dua daripadanya dijangka dimeterai menjelang akhir tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Lee Ting Han, berkata kedua-dua perjanjian itu akan meningkatkan jumlah pelaburan negeri itu tahun ini melebihi RM60.9 bilion, ia adalah jumlah direkodkan dari Januari hingga Jun 2022.

Beliau berkata, perundingan itu membabitkan dua penggiat pusat data dari Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun.

Selain itu, Lee berkata pengumuman kerajaan persekutuan mengenai Pengerang untuk diberi status istimewa serta insentif khas untuk syarikat kimia dan petrokimia yang berminat turut menarik minat syarikat dari Jepun, China dan Taiwan.

“Mereka mengemukakan pertanyaan mengenai status istimewa Pengerang, mahu penjelasan lengkap mengenainya, justeru ia menunjukkan wujud minat di Pengerang dalam bidang kimia dan petrokimia. Sudah tentu, saya ada menyatakan baru-baru ini bahawa kami sedang berbincang dengan dua syarikat farmaseutikal yang berpangkalan di AS.

“Kami harap dapat memuktamadkan perjanjian itu dan membantu mereka melabur di Johor pada awal tahun depan atau pun pada suku kedua 2023. Kami melihat aliran masuk pelaburan yang positif. Kerajaan negeri sedang dalam proses perbincangan dengan kira-kira 20 syarikat dan perniagaan.

“Sehubungan itu, kami melihat prospek yang baik untuk Johor sehingga suku kedua tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Johor Bahru Gateway DHL Express di Senai, di sini hari ini.

Selain dua industri itu, terdapat juga beberapa minat daripada pemain industri pembuatan elektrik dan elektronik di Johor.

“Malaysia mendapat manfaat daripada perang perdagangan China kerana banyak firma sedang mempertimbangkan untuk beralih ke tempat neutral dan seperti yang saya nyatakan, Malaysia khususnya Johor terletak di lokasi strategik. Kita berada dalam radius enam jam dari bandar utama di Asia Pasifik yang membolehkan Malaysia memberikan banyak kelebihan daya saing berbanding negara lain.

“Oleh itu, kami menjangkakan aliran masuk positif sekurang-kurangnya sehingga suku kedua tahun depan. Seterusnya, melangkah ke hadapan, ia akan bergantung pada keadaan ekonomi global,” kata Ting Han.

Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan DHL Express Johor Gateway yang menjadi satu daripada enam pintu masuk merentasi rangkaian penerbangan dan darat DHL Express Malaysia.

Turut hadir Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo.

Kemudahan bernilai RM10.8 juta itu dilengkapi dengan sistem penghantar berkelajuan tinggi yang mampu menyusun sehingga 1,900 penghantaran sejam serta pemprosesan penghantaran yang lebih baik untuk lebih daripada 1,800 bungkusan dan dokumen.

Sumber: Bernama

Johor berpotensi terima 20 lagi pelaburan baharu


Content Type:

Duration:

Dasar dan strategi percukaian mesti memainkan peranan dalam menggalakkan syarikat atau perbadanan untuk menerima dan melaksanakan dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia telah mengguna pakai Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan yang merangkumi keutamaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030.

“Kita juga komited untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dan telah menggesa semua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan untuk menetapkan sasaran bersih-sifar yang sama,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di mesyuarat tahunan ke-51 Kumpulan Kajian mengenai Pentadbiran dan Penyelidikan Cukai Asia-Pasifik (SGATAR) 2022 di sini hari ini.

Bagi menyokong usaha ini, katanya kerajaan sedang berusaha ke arah percukaian karbon dan mengkaji kemungkinan mekanisme penetapan harga karbon.

“Kami juga mencadangkan agar dilanjutkan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) untuk aktiviti hijau yang layak, dan mengembangkannya untuk memasukkan sistem penyimpanan tenaga solar dan bateri,” katanya.

Beliau juga berkata kerajaan komited terhadap kemampanan dalam erti kata yang luas melangkaui alam sekitar dan selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang disasar dicapai pada 2030.

“Sejajar dengan SDG, kerajaan berhasrat untuk menghapuskan kemiskinan tegar dan justeru, dalam Bajet 2023 kami mencadangkan peruntukan RM1 bilion untuk membantu isi rumah yang sangat miskin meningkatkan pendapatan mereka,” jelasnya.

Tengku Zafrul turut menyatakan Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dalam pendidikan yang pada masa ini untuk kemasukan ke universiti menyaksikan bilangan wanita melebihi lelaki.

“Bagaimanapun, dalam tenaga buruh, penyertaan tenaga buruh wanita secara relatifnya kekal rendah iaitu 55.7 peratus berbanding tenaga buruh lelaki sebanyak 82.6 peratus, terutamanya disebabkan wanita meninggalkan pekerjaan untuk menjaga keluarga,” katanya.

Bagi menyokong ibu-ibu yang bekerja, beliau berkata Bajet 2023 telah mencadangkan pelepasan cukai RM3,000 untuk perbelanjaan penjagaan anak dan juga pengecualian cukai ke atas pendapatan untuk wanita yang kembali bekerja selepas tempoh berehat.

Tengku Zafrul turut menekankan pentadbiran cukai memikul tanggungjawab yang besar untuk memastikan kedudukan kewangan sesebuah negara adalah mencukupi untuk membiayai perbelanjaan yang dirancang kerajaan.

“Oleh itu, pentadbiran cukai mesti cepat menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan sosioekonomi dan norma baharu semasa menjalankan operasi cukai,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Dasar percukaian penting untuk galakkan syarikat terima pakai ESG – Tengku Zafrul
Bernama


Content Type:

Duration:

Selaras dengan sasaran menjadi negeri maju menjelang tahun 2030, kerajaan negeri akan terus memastikan peluang pekerjaan kepada golongan ‘anak muda’ sentiasa ada di negeri ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia sekali gus akan mengurangkan kebergantungan golongan berkenaan termasuk para graduan yang terpaksa berhijrah keluar untuk mencari rezeki.

Beliau berkata pihak kerajaan negeri akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk pihak swasta untuk mewujudkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk teknologi.

“Perkara yang paling merisaukan kami (kerajaan negeri) untuk mencapai negeri maju adalah tenaga kerja berkemahiran di mana kita akan buang kelompongan berkenaan.

“Anak muda jangan kemana-mana lagi dah lepas ni, duduk sahaja di Johor kerana peluang kerja akan kami wujudkan. Sama-samalah kita kerajaan, pihak swasta dan anak muda serta semua pihak untuk memajukan Johor,” katanya dalam ucapannya, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-30 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) serta Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Makmal Kecerdasan Buatan Kebangsaan (Makmal AI) di UTHM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hadir sama adalah Naib Canselor UTHM Prof Dr. Ruzairi Abdul Rahim dan Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.

Sementara itu, berkenaan dengan Makmal AI, ia adalah kerjasama antara UTHM, UTM, Huawei dan TM bagi menggalakkan pembangunan bakat digital universiti di Malaysia.

Sementara itu Ruzairi berkata pihaknya berbangga apabila UTHM dan UTM dipilih untuk menerajui penubuhan Makmal AI bagi universiti awam di negara ini dengan mendigitalkan operasi kedua-dua universiti.

“Di UTHM khususnya dengan adanya Makmal AI ini kelak, sesi pengajaran dan pembelajaran serta pentadbiran universiti ini akan dapat dilaksanakan secara digital sepenuhnya, di mana sekarang ini dilaksanakan secara hibrid (gabungan digital dan manual),” kata beliau.

Sumber: Bernama

Kerajaan negeri akan pastikan peluang pekerjaan untuk anak muda – MB Johor


Content Type:

Duration:

Kerajaan Malaysia dan Jepun bersetuju menaikkan taraf hubungan daripada Perkongsian Strategik kepada Perkongsian Komprehensif Strategik, kata Menterti Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, bagi menyelaras penaikan taraf hubungan ini, Malaysia sudah memulakan perbincangan pada peringkat pegawai dengan mengenal pasti bidang kerjasama untuk manfaat kedua-dua negara.

“Kami bersetuju bidang kerjasama baharu atau dinaik taraf ini perlu mengambil kira kepentingan bersama bagi memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan, keamanan dan kestabilan serta pembangunan mampan terutamanya ketika Malaysia dan Jepun masih dalam fasa pemulihan pasca COVID-19.

“Kedua-dua negara bersepakat untuk mesyuarat dua hala antara pegawai kanan Kementerian Luar masing-masing diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan bidang kerjasama dua hala sedia ada dan mengenal pasti bidang kerjasama baharu dengan mengambil kira perkembangan keselamatan serantau serta antarabangsa.

“Ini termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, teknologi digital, pendidikan, pembangunan sumber manusia, tenaga bersih dan baharu serta pelancongan,” katanya pada sidang media bersama Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi di sini, hari ini.

Hayashi kini dalam rangka lawatan dua hari ke Malaysia, bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala sempena ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik Malaysia-Jepun dan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Malaysia dan Jepun menaik taraf hubungan kepada Perkongsian Strategik pada 2015 ketika Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida melawat Malaysia atas kapasiti sebagai Menteri Luar ketika itu.

Saifuddin berkata, kedua-dua negara turut menzahirkan penghargaan atas komitmen ditunjukkan negara masing-masing dalam membantu proses penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.

“Hasrat menubuhkan kampus ini bagi memberi lebih pendedahan dan akses kepada sistem pendidikan Jepun kepada pelajar Malaysia.

“Jadi, kedua-dua negara meletakkan harapan tinggi dalam penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba ini supaya dapat direalisasikan mengikut sasaran iaitu pada 2024,” katanya.

Berhubung isu serantau dan antarabangsa, Saifuddin berkata, Malaysia dan Jepun amat prihatin terhadap perkembangan di Myanmar.

Katanya, ledua-dua negara juga bersetuju meneruskan kerjasama dalam mencari penyelesaian terbaik kepada situasi di Myanmar, sama ada kerjasama dua hala Malaysia-Jepun atau kerjasama dalam rangka ASEAN.

Sementara itu, Hayashi berkata, Jepun ingin mengeratkan lagi kerjasama dengan Malaysia untuk merealisasikan prinsip Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka dalam menangani isu geopolitik yang melanda dunia hari ini.

Katanya, program pertukaran pelajar dan profesional antara kedua-dua negara juga akan terus dipergiat susulan kelonggaran prosedur kawalan sempadan oleh Jepun yang bakal bermula 11 Oktober ini.

Menjelang ulang tahun ke-50 persahabatan dan kerjasama Jepun-ASEAN pada tahun depan, Hayashi turut menyatakan kesediaan Jepun mengaktifkan semula hubungan dua hala secara bersemuka dan terus memperluas lagi hubungan baik dengan Malaysia. 

Sumber: Bernama

Malaysia, Jepun naik taraf hubungan antara dua negara


Content Type:

Duration:

Bajet 2023 tidak lari daripada menggunakan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing dalam bidang strategik, kata Ketua Cukai PwC Malaysia Jagdev Singh.

“Saya gembira melihat Bajet 2023 mengumumkan lanjutan insentif penempatan semula Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menarik pelaburan elektrik dan elektronik (E&E) melalui lanjutan insentif cukai sedia ada dan pengurangan kadar cukai peribadi untuk ekspatriat C-suite sehingga 2024.

“Saya turut melihat usaha yang berterusan dalam hala tuju yang tepat dengan pelaksanaan cukai minimum global, bagaimanapun, pelepasan cukai sahaja mungkin bukan lagi menjadi sektor yang membezakan yang besar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas Bajet 2023 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama” yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam.

Bagaimanapun, Jagdev berkata Malaysia perlu berbeza dengan menawarkan infrastruktur dan modal insan bertaraf dunia pada harga yang kompetitif.

Pengumuman Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) pada malam sebelumnya mengiktiraf kepentingan membangunkan ekosistem tersebut, yang boleh membawa masuk pelaburan yang betul,” katanya.

Mengenai usaha pembangunan mampan yang diumumkan dalam Bajet 2023, Ketua Cukai KPMG Malaysia Soh Lian Seng berkata walaupun tiada tarikh khusus mengenai pelaksanaan cukai karbon yang diumumkan dalam bajet tersebut, kerajaan sedang menilai mekanisme penetapan harga karbon.

“Ia telah diperkenalkan di pelbagai negara maju, cukai karbon akan menjadi sumber baharu hasil kerajaan dan ternyata merupakan langkah untuk membantu negara mencapai neutral karbon menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Beliau berkata lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) selama dua tahun lagi kepada 31 Dis 2025 akan terus memberi insentif dan menggalakkan perniagaan mempercepatkan penggunaan teknologi berteraskan ESG dan memulakan projek hijau.

Sumber: Bernama

Bajet 2023 tarik pelaburan dalam bidang strategik – Pakar cukai


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus memperkasa pembangunan industri, perdagangan antarabangsa dan pelaburan yang berkualiti dalam mengatur strategi daya saing Malaysia di arena global serta memacu ekonomi negara yang dinamik, progresif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi memastikan momentum pelaburan kekal kukuh, MITI akan memberi tumpuan kepada tiga bidang iaitu, perdagangan dan pembangunan lestari, daya tahan rantaian bekalan dan pembangunan modal insan.

“Dalam pada itu, peruntukan kepada MITI dalam Bajet 2023 berjumlah RM1.557 bilion yang meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM625.09 juta dan peruntukan pembangunan bernilai RM932.45 juta, akan terus memperkasa inisiatif MITI dan 13 agensi di bawahnya.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk mencerdaskan ekonomi negara agar sentiasa berdaya saing khususnya dalam membangunkan industri, meningkatkan perdagangan antarabangsa dan menarik pelaburan berkualiti,” katanya dalam satu kenyataan susulan pembentangan Bajet 2023.

Mohamed Azmin berkata MITI akan meneruskan usaha mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang terpilih demi pelaburan baharu yang berkualiti tinggi, berteknologi tinggi dan berteknologi hijau.

Ini seiring dengan usaha Dasar Pelaburan Baharu yang baru dilancarkan yang memberi penekanan kepada Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan melonjakkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara.

Sebagai usaha untuk memelihara alam sekitar yang bersih, penawaran kereta elektrik (EV) ke dalam pasaran negara adalah digalakkan.

“Justeru, MITI telah berbincang dengan Kementerian Kewangan di mana kerajaan bersetuju memberi pengecualian bayaran fi lesen import (AP) sebanyak RM10,000 ke atas setiap unit EV yang diimport oleh syarikat pemegang AP terbuka yang telah dilantik oleh MITI.

“Pengecualian ini diharap akan menyokong usaha MITI dalam meningkatkan penawaran kereta EV di pasaran yang secara langsung dapat membantu membangunkan ekosistem EV selaras dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) serta sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab automotif serantau bagi pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk EV,” katanya.

Beliau berkata, MITI berpegang teguh kepada sistem perdagangan pelbagai hala yang berpaksikan prinsip Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Malaysia, katanya, akan mengejar peluang pasaran eksport melalui perjanjian perdagangan bebas seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif, bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), mengguna pakai persekitaran kawal selia yang mesra perniagaan dan pragmatik serta memberikan sokongan kepada industri negara terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta generasi muda untuk menghadapi cabaran yang akan datang.

Sumber: Bernama

Bajet 2023: MITI terus cerdaskan ekonomi negara agar berdaya saing di persada global


Content Type:

Duration:

Dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi kerajaan komited untuk mencapai tangga 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing menjelang 2025, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata justeru, komitmen ini memerlukan usaha sama awam-swasta yang akan diterajui melalui Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (PEMUDAH).

“Sebagai permulaan, Kementerian Kewangan akan menangani isu yang dibangkitkan sektor swasta di dalam platform PEMUDAH dengan melaksanakan beberapa pembaharuan.

“Pertama, membenarkan untuk menyerap kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap oleh syarikat dalam sektor yang mempunyai tempoh ‘long gestation’ sehingga maksimum 20 tahun seperti bidang perladangan hutan dan projek hidroelektrik,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 bertemakan ‘Keluarga Malaysia: Makmur Bersama’ di Dewan Rakyat, pada Jumaat.

Beliau berkata pembaharuan kedua adalah membenarkan aset tak ketara seperti perisian sebagai sebahagian takrifan loji di bawah Jadual 3, Akta Cukai Pendapatan 1967.

Tengku Zafrul berkata ketiga adalah kerajaan juga bersetuju supaya hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan yang dilakukan.

Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10 peratus, katanya.

Beliau berkata pembaharuan keempat adalah pembayar cukai perlu membuat penghantaran elektronik bagi pembayaran cukai mulai tahun taksiran 2024.

“Pembaharuan kelima adalah kerajaan juga akan melanjutkan kelonggaran tatacara dan peraturan perolehan kerajaan antaranya membenarkan agensi kerajaan menaikkan had nilai sebut harga daripada RM500,000 kepada RM800,000 sehingga akhir 2023,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan komited capai 10 teratas dunia sebagai negara berdaya saing untuk tarik pelaburan


Content Type:

Duration:

Lima Wilayah Koridor utama negara akan menerima peruntukan keseluruhan RM1.4 bilion iaitu meningkat dua kali ganda berbanding RM690 juta pada tahun ini.

Pada pembentangan Bajet 2023, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan, program utama yang dilaksanakan termasuk Projek Ladang Tenusu di Chuping, Perlis dengan kos RM80 juta.

“Kedua pula adalah Program Pembangunan Modal Insan bagi meningkatkan prestasi akademik anak B40 dengan peruntukan RM63 juta dan ketiga, Sistem Pengangkutan Bas Rapid Transit di Johor dengan peruntukan RM80 juta.

“Program keempat pula adalah Pembesaran Pelabuhan Kontena Sapangar Bay di Sabah dengan peruntukan RM250 juta dan kelima, Projek Infrastruktur Bekalan Air Samalaju Fasa 3 di Sarawak dengan peruntukan RM100 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi koridor, pakej galakan cukai sedia ada yang akan tamat pada tahun ini akan ditambah baik dan dilanjutkan untuk tempoh dua tahun lagi.

“Pertumbuhan ekonomi di utara akan terus dipacu melalui projek Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Delapan di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Kerajaan berhasrat membangunkan hab lalu lintas digital dan pusat data alternatif bagi rantau Asia Tenggara di kawasan seluas 81 hektar di SBEZ Delapan.

“Tahun depan, RM25 juta disediakan untuk menyediakan infrastruktur utama, selain sektor swasta pula akan melabur aset perniagaan dengan potensi pelaburan domestik sehingga RM4 bilion dan menyediakan lebih 600 peluang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan merancang membangunkan bandar bersempadan Thailand dan Kalimantan, Indonesia termasuk Bukit Kayu Hitam di Kedah; Kalabakan, Sabah serta Tebedu dan Bakelalan, di Sarawak dengan kos RM150 juta.

Malah, kerajaan bercadang memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia.

Sumber: Berita Harian

5 Wilayah Koridor utama negara terima peruntukan RM1.4 bilion


Content Type:

Duration:

Momentum prestasi pelaburan negara dijangka kekal berterusan dengan sasaran tahunan antara RM250 bilion hingga RM300 bilion dipacu pelancaran dasar baharu berdasarkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini melancarkan dasar pelaburan baharu itu yang bertunjangkan enam teras strategik untuk menangani cabaran ekonomi dan pelaburan yang dinamik.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata teras strategik pertama ialah pembentukan strategi pelaburan yang menggabungkan NIA dan Agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan kedua ialah memberi penekanan kepada pakej insentif yang tangkas dan berpandangan ke hadapan disasarkan secara langsung untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelabur.

Beliau berkata, teras strategik ketiga pula ialah memberi tumpuan kepada pentingnya memacu Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) dengan peranan dan tanggungjawab yang jelas untuk perjalanan pelabur yang lancar.

Katanya, teras keempat ialah memajukan pemupukan pelaburan inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang kondusif untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan teras kelima, ialah mempunyai kumpulan bakat yang memenuhi keperluan dan permintaan pasaran pekerjaan.

“Akhir sekali, dasar baharu itu akan mempercepatkan penyelarasan ekosistem perniagaan holistik yang memudahkan perniagaan, meningkatkan daya saing dan menjamin kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan dalam rantau ini,” katanya pada pelancaran dasar pelaburan baharu itu di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Malaysia menyasarkan bidang baharu dengan memastikan pelaburan yang masuk ke negara ini tidak berintensifkan tenaga kerja asing.

Beliau berkata, pelaburan yang menjadi tumpuan adalah berteknologi tinggi dengan sasaran membabitkan tiga sektor utama ekonomi iaitu pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama.

“Pada tahun lalu, kita telah mencecah sasaran yang kita tetapkan iaitu RM394 bilion. Tahun ini, kita menjangkakan prestasi ini dan momentum ini dapat dipertahankan.

“Namun begitu, kita kena melakukan beberapa pembaharuan struktural untuk memastikan dasar kita ini terikat dengan piawaian antarabangsa dan ini dapat memperkukuhkan lagi prestasi pelaburan negara,” katanya.

Mengulas sama ada insentif pelaburan baharu diperkenalkan, Mohamed Azmin berkata, MITI sedang berunding dengan Kementerian Kewangan untuk memperkenalkan cukai yang lebih inovatif kepada pelabur.

Beliau berkata, ketika ini, MITI meninjau bidang baharu termasuk insentif khas untuk meningkatkan kemahiran dan menggalakkan pelaburan berlandaskan ESG ke Malaysia.

“Dengan insentif baharu itu, saya percaya kita kita dapat menarik pelaburan yang menerima pakai kerangka ESG dan membantu pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia sasar raih RM300 bilion pelaburan setahun


Content Type:

Duration:

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) percaya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah tepat pada masanya memandangkan ia akan memudahkan secara ketara pemulihan ekonomi selepas COVID-19.

Analisis Faedah Kos (CBA) yang dijalankan untuk CPTPP oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menunjukkan dengan jelas faedah ratifikasi.

“MIER yakin bahawa CPTPP bukan saja satu langkah ke arah yang betul tetapi juga akan membantu membawa Malaysia mencapai aspirasinya untuk menjadi negara maju,” katanya dalam satu kenyataan.

MIER berkata, CPTPP bukan saja akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global, tetapi juga kemasukan negara ahli ekonomi lain seperti Taiwan, Ecuador, Costa Rica dan terutamanya United Kingdom (UK) dan China dijangka menyediakan akses pasaran yang lebih luas dan mendalam untuk pengeksport Malaysia.

Ia berkata, memandangkan Malaysia tidak mempunyai akses keutamaan ke Kanada, Mexico dan Peru, perdagangan dengan negara berkenaan akan bertambah baik dengan ketara.

Katanya, eksport sektor seperti elektronik dan elektrik, minyak sawit, kimia, peralatan optik dan saintifik serta plastik juga akan meningkat,” katanya.

“Dalam eksport perkhidmatan, pengiktirafan bersama kelayakan profesional, lesen atau pendaftaran dalam kalangan negara CPTPP dijangka meningkat.

“Profesional Malaysia seperti akauntan, arkitek, doktor, jururawat dan jurutera dijangka mendapat manfaat daripada kemudahan mekanisme di bawah perjanjian, termasuk peningkatan mobiliti melalui peraturan yang telus mengenai mobiliti rentas sempadan golongan profesional,” katanya.

MITI dalam satu kenyataan baru-baru ini, berkata kerajaan telah menyerahkan Instrumen Ratifikasi (IOR) kepada depositari CPTPP, New Zealand pada 30 September lalu.

Penyerahan IOR menyaksikan Malaysia menjadi negara kesembilan telah meratifikasikan CPTPP, perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimeterai pada 8 Mac 2018.

Selain Malaysia, lapan lagi negara iaitu Australia, Kanada, Jepun, Mexico, New Zealand, Singapura, Vietnam dan Peru telah meratifikasi CPTPP.

Sumber: Berita Harian

Ratifikasi CPTPP tepat pada masanya – MIER


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangka momentum prestasi pelaburan negara pada tahun ini berdasarkan sasaran tahunan antara RM250 bilion dan RM300 bilion dapat dipertahankan melalui Dasar Pelaburan Baru di bawah Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata momentum itu dapat dipertahankan jika beberapa pembaharuan struktur dilakukan untuk memastikan dasar negara terikat dengan piawaian antarabangsa.

Katanya negara mencatatkan pelaburan berjumlah RM394 bilion pada tahun lepas, melebihi sasaran yang ditetapkan, dipacu oleh pelaburan langsung asing dan projek yang meningkat bagi industri pembuatan serta elektrik dan elektronik.

“Apa yang kita sasarkan melalui polisi baharu ini juga untuk bidang baharu dan kita tidak mahu pelaburan yang masuk ke negara ini berintensifkan tenaga kerja asing tetapi lebih kepada berteknologi tinggi,” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Pelaburan Baru (NIP) di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan, Mohamed Azmin berkata NIA menunjukkan langkah kerajaan yang aktif, pantas dan berpandangan ke hadapan untuk mendapatkan ekosistem pelaburan yang kukuh yang akan mendorong pertumbuhan yang lebih pesat dan inklusif.

“Aspirasi ini menjadi asas teras kepada NIP, menggariskan strategi penting untuk menggiatkan semula dan memangkin ekosistem pelaburan Malaysia,” katanya.

Di bawah NIP, enam teras strategik telah digariskan untuk menangani cabaran ekonomi dan pelaburan, termasuk merangka strategi pelaburan disatukan mengenai NIA dan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG).

Ia akan turut memberi penekanan kepada pakej insentif yang pantas dan berpandangan ke hadapan disasarkan untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelabur.

Selain itu, ia memberi tumpuan kepada memberikan Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) peranan dan tanggungjawab yang jelas untuk perjalanan pelabur yang lancar.

Katanya NIP turut menyokong kepada menggalakkan pelaburan yang inovatif, berimpak tinggi dan berteknologi tinggi yang kondusif kepada mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Ini penting untuk menambah nilai dan menjana impak positif kepada kerumitan ekonomi yang mentakrifkan trajektori pertumbuhan jangka panjang negara,” katanya.

Ia turut bertujuan untuk memastikan terdapat kumpulan tenaga kerja yang berdaya maju untuk memenuhi keperluan dan permintaan pasaran buruh supaya dapat meraih peluang pekerjaan bernilai tinggi.

“Ini akan menjamin pemindahan teknologi secara berperingkat dan progresif, pembinaan kapasiti dan mendapat pengetahuan dan kemahiran teknikal dan digital yang diperlukan oleh industri dan perniagaan.

“Akhir sekali, dasar baharu itu akan mempercepatkan penyelarasan ekosistem perniagaan secara menyeluruh yang memastikan memudahkan menjalankan perniagaan, meningkatkan daya saing dan memastikan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan di rantau ini,” kata Mohamed Azmin.

Sumber: Bernama

Prestasi pelaburan negara teruskan momentum 2021


Content Type:

Duration:

wpChatIcon