Berita Ekonomi Archives - Page 2 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Laluan Lorong Hijau TNB bantu Malaysia capai sasaran jadi kuasa digital dan pembuatan

Pelancaran Laluan Lorong Hijau TNB merupakan satu usaha penting untuk menyokong matlamat Malaysia menjadi kuasa digital dan pembuatan di rantau Asia Tenggara, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata Malaysia adalah hab yang ideal untuk operasi pusat data di rantau ini berikutan lokasi geografi strategik negara yang memberikan kelebihan daya saing serta landskap pelaburan yang kondusif dan menarik susulan kesalinghubungan kita yang kukuh, infrastruktur kuasa terjamin dan persekitaran yang mesra perniagaan.

“Sehingga kini, Malaysia telah menerima penyertaan pelbagai pemain terkemuka dalam pusat data dan sektor awan kita.

“Kita ada Amazon Web Services, yang komited untuk melabur di Malaysia bagi membina pusat data.

“Kita juga ada ByteDance System Sdn Bhd, pemilik Tik Tok yang komited untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital Malaysia melalui pelaburan jangka panjang yang menyediakan pengalaman dalam talian kepada satu bilion penggunanya di seluruh dunia,” kata Tengku Zafrul pada majlis pelancaran Laluan Lorong Hijau TNB ,di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, apa yang lebih penting, pelaburan infrastruktur digital oleh syarikat-syarikat ini juga memperkasakan perniagaan dan perusahaan tempatan untuk mencipta lebih banyak nilai dan peluang pertumbuhan menggunakan data dan teknologi berasaskan awan.

“Dengan menarik pelabur asing untuk mewujudkan persekitaran digital sedia pasaran ini, semua industri dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan digalakkan untuk mengembangkan operasi mereka secara digital atau meneruskan inovasi berasaskan digital yang lain,” katanya.

Sementara itu TNB dalam satu kenyataan berkata Laluan Lorong Hijau itu merupakan laluan eksklusif dan tawaran strategik untuk menyediakan penyelesaian yang cekap dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar kepada pengendali pusat data.

“Ia adalah untuk menyelaraskan proses onboarding bagi pusat data, mempercepatkan kelulusan dan memudahkan persediaan operasi pusat data yang lancar di Malaysia.

“Laluan Lorong Hijau kami menyedia penawaran bekalan eletrik yang pantas, yang mana pusat data akan disambungkan tiga kali lebih cepat daripada masa penghantaran biasa, mengurangkan tempoh pelaksanaan daripada 36-48 bulan kepada hanya 12 bulan, di samping pusat sehenti (OSC) bagi pelabur pusat data dan perkhidmatan sokongan khusus,” kata TNB.

Syarikat utiliti nasional itu berkata, proses ini dijangka dapat menarik lebih banyak syarikat pusat data untuk menubuhkan operasi mereka di Malaysia, dan juga menawarkan bantuan penyelenggaraan 24 jam dan penyelesaian yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan setiap pusat data.

Pada majlis yang sama, TNB memeterai lima perkongsian strategik iaitu empat perjanjian bekalan elektrik dengan Yellowwood Properties Sdn Bhd, AirTrunk Malaysia Sdn Bhd, SIPP Power Sdn Bhd dan GDS IDC Malaysia Sdn Bhd dan satu memorandum persefahaman (MoU) dengan MRANTI Corporation Sdn Bhd.

Sumber: Bernama

Laluan Lorong Hijau TNB bantu Malaysia capai sasaran jadi kuasa digital dan pembuatan


Content Type:

Duration:

Politik negara yang stabil di bawah kerajaan perpaduan selain dasar ekonomi yang jelas telah berjaya menarik pelaburan asing ke Malaysia dan mampu memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata perkara ini dibuktikan dengan beberapa pelaburan baharu dari luar negara seperti Tesla yang sudah menyatakan hasratnya untuk membuka ibu pejabat bagi rantau ini di Cyberjaya.

“Syarikat (automotif China iaitu Zhejiang) Geely (Holding Group Co Ltd) saya jumpa di Beijing dan 10 hari sudah mereka tulis surat kepada saya dan setuju jadikan Tanjung Malim, Perak sebagai kota pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Asia tenggara untuk eksport ke luar negara, mereka melabur RM10 bilion,” katanya semasa berucap pada Ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Barisan Nasional, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi DAP Kebangsaan Lim Guan Eng.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, turut menafikan pelaburan oleh penyedia penyelesaian semikonduktor dari Jerman, Infineon Technologies AG, dibawa masuk oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kulim, Kedah sebaliknya berkata ia adalah usaha Kerajaan Persekutuan.

“MB Kedah kata ‘saya yang bawa pelaburan itu kerana perbincangan dua tahun lepas,’ inilah masalah politik, saya nak bagi tahu dia yang Infineon jumpa saya dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan bagitahu nak melabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

“Ia projek Kerajaan Persekutuan… bulan sudah mereka kata nak melabur tapi belum tentu melabur di Malaysia kerana belum buat keputusan nak labur di mana, sama ada Amerika, Eropah dan negara lain tapi mereka tanya politik negara stabil atau tidak, saya jawab positif kita stabil dan kekal lima tahun lagi hingga pilihan raya akan datang.

“Empat hari lalu, mereka buat keputusan nak melabur di sini tapi MB Kedah kata dua tahun lepas dah bagitahu kat dia, dia boleh tengok kenyataan (ahli) lembaga (syarikat) yang memutuskan untuk melabur di Malaysia sebanyak EUR5 bilion empat hari lepas,” katanya.

Sumber: Bernama

PM: Kestabilan kerajaan perpaduan tarik pelaburan asing, cipta peluang kerja


Content Type:

Duration:

Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mempelawa syarikat dari Amerika Syarikat (AS), khususnya yang sudah memiliki industri atau kilang di Malaysia, meneroka peluang pelaburan baharu disediakan di negeri Perlis.

Baginda bertitah demikian, menerusi kenyataan media dikeluarkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan ‘Sumbangan Ibnu Sabil MAIPs’ kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Los Angeles, California, AS, semalam.

Baginda yang juga merangkap Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sumbangan zakat bernilai RM5,000 itu kepada Konsul Jeneral Malaysia di Los Angeles, Anil Fahriza Adenan.

Tabung Ibnu Sabil disumbangkan oleh MAIPs kepada beberapa Pejabat Perwakilan negara di luar negara terpilih bertujuan untuk membantu rakyat Malaysia yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus bekalan saradiri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Hadir sama, Naib Presiden Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Los Angeles, Akbal Setia; dan Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Los Angeles, Irvin Francis.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Anil Fahriza dalam ucapan beliau mempersembah maklumkan kepada Tuanku Pemangku Raja dan Tuanku Raja Puan Muda bahawa Perlis salah satu negeri yang mendapat manfaat pelaburan berdasarkan kedudukan strategik berhampiran sempadan Thailand, kekuatan sektor agrikultur serta pembangunan logistik yang menyeluruh.

Beliau berkata, ‘Kewujudan Chuping Valley Industrial Area (CVIA) dan Perlis Inland Port (PIP) yang sedang dibangunkan akan mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di negeri Perlis, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti serta berteknologi tinggi.

“Antara syarikat dari Amerika Syarikat yang melabur di Perlis adalah Jabil (elektrikal & elektronik), Mediquip – dimiliki oleh Cardinal Health (sarung tangan getah serta peralatan kesihatan) dan Iriichi – syarikat usahasama di antara Iriichi Technology dan Sojitz America (elektrikal & elektronik),” kata Anil Fahriza.

Menurutnya lagi, sektor disasar seperti industri hijau, tenaga boleh baharu serta industri halal adalah selari dengan pendekatan dibawa pentadbiran AS yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi bersih dan hijau.

“AS adalah salah satu rakan dagang utama Malaysia. Pada tahun 2022, AS menjadi rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan jumlah AS$60.71 (RM267.59 bilion), peningkatan sebanyak 16 peratus berbanding tahun 2021.

“Eksport ke AS mencatatkan rekod tertinggi dengan perkembangan 10.6 peratus kepada AS$37.96 bilion (RM167.16 bilion) manakala import daripada AS mencatatkan perkembangan 26.2 peratus kepada AS$22.75 bilion (RM100.42 bilion),” katanya.

Sumber: Bernama

Syarikat Dari AS Dipelawa Teroka Peluang Pelaburan Baharu Di Perlis


Content Type:

Duration:

Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia serta menjadi hab kepada sektor pembuatan merentasi pelbagai industri, sekali gus menjadikannya negeri yang penting dalam meneruskan momentum eksport negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini (Separuh Pertama 2023), Selangor mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan sebanyak 14.2 peratus kepada RM806.3 bilion berbanding RM706.02 bilion pada tahun lepas.

Eksport meningkat 9.1 peratus tahun-ke-tahun kepada RM360.04 peratus pada Separuh Pertama 2023, berbanding 36.6 peratus kepada RM330.1 bilion pada 2022, katanya.

“Untuk menjana pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan kedua-duanya memainkan peranan penting.

“Selangor telah menunjukkan prestasi yang tinggi pada (Separuh Pertama 2023) dengan momentum (meningkat) yang berterusan dari 2021 hingga Jun 2023,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Hari Terbuka MITI Selangor 2023, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya Tengku Zafrul berkata semenjak 50 tahun lepas, Selangor telah membangun sebagai hab kepada sektor pembuatan merentasi pelbagai industri seperti automotif, elektrik dan elektronik, perkhidmatan logistik, industri aeroangkasa dan farmaseutikal.

“Hasilnya, terbina ekosistem rantaian nilai yang matang yang telah membantu pertumbuhan banyak syarikat tempatan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Dengan limpahan ekonomi memberangsangkan, terbangunnya bandar-bandar baharu di koridor selatan Selangor seperti Serenia City, Gamuda Cove, Setia Alam Sari, Serene Heights dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari Amirudin berkata beliau yakin Selangor akan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada tahun ini dengan jumlah sumbangan melepasi 25.5 peratus yang direkodkan pada 2022.

Beliau berkata sebagai sebuah negeri yang memiliki asas yang kukuh, ia sememangnya memberikan kelebihan kepada Selangor dalam aktiviti pembangunan ekonomi berbanding dengan negeri-negeri yang lain.

“Setiap tahun kita menunjukkan peningkatan, tapi saya percaya dengan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan yang bukan hanya tertumpu kepada Lembah Klang dan menumpukan kepada beberapa kawasan lain, akan memberi saingan kepada Selangor.

“Tetapi buat masa sekarang dengan beberapa asas yang ada, beberapa buah negeri lain memerlukan masa kerana pelaburan yang datang dan rangka kerja ekonomi (yang dibina) bukanlah kerja setahun.

“Saya percaya Selangor akan kekal menjadi penyumbang ekonomi yang terbesar, paling kurang dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya pada sidang media yang sama.

Amirudin berkata sekiranya kerangka pelan pembangunan lima tahun Selangor ‘Lima Tekad’ memperoleh mandat untuk diteruskan selepas Pilihanraya Negeri yang akan diadakan minggu hadapan, Selangor dilihat mampu untuk terus menjadi penumbang terbesar KDNK negara bagi tempoh lima hingga 10 tahun.

Beliau berkata jarak sumbangan antara Selangor dan penyumbang kedua terbesar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah terlalu jauh, sekali gus meletakkan Selangor di posisi selesa sebagai penyumbang terbesar.

“Sektor penting di Selangor ada dua iaitu pembuatan sebanyak 30 peratus dan perkhidmatan 60 peratus. Kalau boleh, kita ingin matangkan lagi sektor pembuatan dan perkhidmatan ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Selangor negeri penting sumbang eksport negara


Content Type:

Duration:

Malaysia berada di landasan yang tepat untuk merealisasikan usaha negara menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata beliau yakin insentif-insentif tersedia dan fokus yang diberikan kepada sektor-sektor utama mampu memacu sektor buruh, pendapatan isi rumah dan kelestarian ekonomi.

Lima sektor utama yang diberikan perhatian adalah aeroangkasa, bahan kimia/petrokimia, ekonomi digital, elektrik dan elektronik dan farmaseutikal.

Bercakap pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) hari ini, katanya Malaysia juga sentiasa mengekalkan perhubungan diplomatik dengan rakan dagang penting dan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) bagi memastikan pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia.

Memberikan contoh, beliau berkata pengumuman pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) oleh syarikat semikonduktor Jerman, Infineon Technologies AG yang diumumkan semalam menzahirkan keyakinan pelabur terhadap gagasan Ekonomi MADANI.

Syarikat itu mengumumkan pengembangan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (1 euro=RM4.99) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut syarikat itu, pelaburan tersebut akan menyumbang kepada potensi perolehan SiC tahunan kira-kira tujuh bilion euro menjelang akhir dekad ini, selain penukaran SiC 200-mm di Villach, Austria dan Kulim, Kedah.

Di sebalik keyakinan itu,Tengku Zafrul berkata negara turut menyaksikan pemulihan prestasi ringgit.

“Kita dapat lihat syarikat tempatan dan antarabangsa semakin banyak melabur dan pada masa sama, yang penting kita dapat melihat asas ekonomi semakin kukuh dari segi pekerjaan serta penurunan pengangguran dan inflasi.

“Kesemuanya melibatkan keyakinan sebenarnya. Saya percaya kita akan dapat mencapai sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar 4.0 hingga 5.0 peratus pada akhir tahun ini dan ini akan mengukuhkan lagi mata wang ringgit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menekankan kepentingan untuk penggiat tempatan melengkapkan ekosistem negara melalui pelaburan langsung domestik bagi menyokong keperluan pelabur asing.

“FDI tidak akan datang ke Malaysia jika syarikat tempatan gagal menyediakan bekalan, misalnya bahan mentah dan perkhidmatan yang cukup serta bakat yang dapat menjalankan tugas,” katanya.

Justeru, menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang dijangka dilancarkan bulan ini, pelan itu akan meneraju daya tahan perusahaan kecil dan sederhana antaranya menerusi automasi dan inovasi.

Tengku Zafrul berkata NIMP 2030 adalah kerangka dasar yang komprehensif dan jelas dalam mentransformasi sektor perindustrian Malaysia dan satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk memfokuskan kepada pelaksanaan dan keberhasilannya yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sumber: Bernama

Malaysia di landasan tepat tarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang mempunyai daya tahan ketara serta berpotensi untuk pulih biarpun dalam persekitaran mencabar akibat pandemik Covid-19, kata Bank Dunia.

Dalam laporan bertajuk ‘Building Malaysia’s Resilience: Lessons from Covid-19’s Economic Impacts and Policy Responses’ (Membina Daya Tahan Malaysia : Iktibar Impak Ekonomi dan Tindak Balas Dasar Akibat Covid-19), Bank Dunia juga menyifatkan Malaysia sebagai peneraju dalam kaji selidik yang turut melibatkan Kemboja, Indonesia, Mongolia, Filipina dan Vietnam.

Kaji selidik tersebut meneliti kesan ekonomi dan tindak balas kerajaan terhadap pandemik di enam negara berkenaan.

Kesemua enam negara terbabit mengharungi krisis tersebut secara berbeza dan telah bertindak melaksanakan pelbagai pendekatan bagi mengekang penularan virus selain mengurangkan impak ekonomi dengan pelbagai peringkat kejayaan, kata bank itu.

Pengurus Bank Dunia bagi Malaysia, Yasuhiko Matsuda berkata kejutan akibat Covid-19 telah mengurangkan jumlah pekerjaan dan pendapatan isi rumah, namun laporan itu sebaliknya menunjukkan Malaysia berupaya mencatat prestasi baik berbanding lima negara itu di peringkat makro.

“Kejutan jualan di Malaysia lebih terkawal manakala keperluan menghentikan kerja/kegiatan pula adalah sederhana. Bagaimanapun, impak pandemik itu adalah tidak sekata.

“Di Malaysia, syarikat-syarikat lebih kecil, golongan miskin dan isi rumah yang rentan lebih mudah terjejas dan kurang mendapat akses bagi bantuan kerajaan. Masalahnya adalah aspek jurang digital,” katanya.

Sementara itu, Ahli Ekonomi Kanan Ririn Salwa Purnamasari ketika membentangkan laporannya, mengetengahkan keadaan ekonomi Malaysia yang stabil dan berkembang sebelum pandemik dengan mencatat pertumbuhan tahunan pada lima peratus.

Ini menjadikannya sebagai antara paling mewah dalam kalangan enam negara yang ditinjau serta paras hutang kerajaan yang rendah dan membolehkan pelaksanaan pendekatan berkesan bagi mengurangkan impak pandemik selain memastikan kemampanan hutang jangka panjang.

“Di sebalik kemajuan itu, Malaysia masih berdepan cabaran bagi mengurangkan kemiskinan dan ketidaksamaan dengan indeks Gini secara relatifnya kekal tinggi untuk sebuah negara yang berhasrat menjadi mencapai status berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau juga menyifatkan pengalaman pandemik Covid-19 memberi pengajaran bermakna dari segi membina daya tahan serta pengurusan krisis di masa depan.

“Kerajaan perlu mengutamakan pemulihan secara saksama, memanfaatkan kemajuan teknologi dan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial untuk melindungi kumpulan rentan.

“Pada masa sama, ia juga harus melakukan penelitian berterusan dan menambah baik dasar serta pelaburan dalam membuat sebarang keputusan berdasarkan data. Ini penting dalam usaha mengemudi cabaran di masa depan secara berkesan selain memastikan pasaran tenaga kerja yang lebih berdaya tahan dan inklusif,” katanya.

Ketika tempoh pandemik itu, Malaysia telah melaksanakan pelbagai pakej bantuan dengan liputan meluas serta melibatkan gabungan mekanisme atau instrumen bagi syarikat-syarikat serta isi rumah.

Beliau berkata, berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini, Malaysia banyak bergantung kepada sokongan dalam membantu syarikat dari segi mudah tunai, kredit dan pinjaman dan secara relatifnya rendah dalam memberi sokongan langsung kepada isi rumah.

Malaysia melaksanakan pemberian gabungan bantuan kerajaan yang besar namun lebih wajar jika lebih bersasar serta diselaras.

Ini kerana, sokongan kepada firma atau perniagaan dilihat sebagai “berat sebelah”dengan disasarkan kepada perniagaan lebih produktif dan besar manakala sokongan untuk isi rumah adalah promiskin namun tidak responsif terhadap kejutan, kata Ririn.

“Penangguhan pembayaran bersasar (bagi cukai atau bayaran balik pinjaman) adalah lebih berkesan berbanding sokongan pendapatan dan mudah tunai dalam menangani krisis modal kerja.

“Subsidi upah misalnya membantu pekerja daripada kesan penuh krisis ekonomi itu serta memelihara hubungan antara majikan dan pekerja manakala bantuan sosial mengurangkan bebanan terhadap isi rumah ketika krisis…namun tahap manfaat itu secara amnya tidak mencukupi,” katanya.

Bagi kemajuan masa depan, beliau berkata berdasarkan ruang fiskal yang ketat dan ketidakpuasan berterusan, aspek yang diperlukan adalah sasaran yang lebih baik atau wajar serta penyatuan mekanisme sokongan berkaitan.

“Program pasaran tenaga kerja yang aktif, termasuk latihan semula atau meningkatkan kemahiran pekerja juga perlu agar membolehkan mereka lebih aktif dalam pekerjaan dan pasaran.

“Ini lebih mampan kerana menjadikan pekerja mempunyai lebih banyak kuasa atau keupayaan untuk melakukan tugas sendiri dan terbabit dalam aktiviti ekonomi yang boleh memberi manfaat bagi tempoh lebih panjang,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh aspek pemindahan tunai, Matsuda berkata ini mencabar untuk Malaysia kerana walaupun kerajaan mampu menampung sebahagian besar penduduk, jumlahnya masih agak kecil berbanding yang diterima di negara lain.

Berikutan itu, beliau menyifatkan kesan pemindahan tunai di Malaysia sebagai terhad.

“Ada yang tidak menerimanya manakala di pihak lain pula menerima jumlah tidak mencukupi yang dapat memberi kesan yang benar-benar ketara,” katanya sambil menegaskan setiap liputan dan jangkauan adalah penting.

Menurutnya, krisis akibat pandemik itu terbukti meningkatkan aspek penerimagunaan teknologi digital dan membangkitkan potensinya bagi memacu produktiviti serta inovasi.

“Kerajaan dan perniagaan perlu melabur dalam infrastruktur digital dan keupayaan bekerja secara jarak jauh bagi meningkatkan daya tahan dan kecekapan ketika krisis di masa akan datang,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia terbukti berdaya tahan hadapi cabaran Covid-19 – Bank Dunia


Content Type:

Duration:

Pengumuman pelaburan tambahan sehingga lima bilion euro (RM25 bilion) oleh Infineon Technologies AG (Infineon) selaras dengan gagasan Ekonomi MADANI yang menyasarkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan berada di kedudukan antara 30 ekonomi terbesar di dunia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keyakinan syarikat semikonduktor global itu terhadap ekosistem pelaburan Malaysia mencerminkan kedudukan Malaysia yang penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Saya mengalu-alukan pengumuman pelaburan daripada Infineon yang telah membuktikan kepercayaan mereka terhadap Malaysia.

“Pengumuman ini adalah lanjutan daripada perbincangan saya dengan pihak syarikat Dr Rutger Wijburg, Ketua Pegawai Operasi (Infineon) pada 24 Julai 2023,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Perdana Menteri mengulas berkaitan perkembangan terbaharu Infineon yang berhasrat meningkatkan kemudahannya di Kulim, Kedah untuk membina loji fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200-milimeter (mm) terbesar di dunia dengan pelaburan baharu terbabit untuk dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sejak lima dekad yang lalu, Infineon telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab penting dalam pembuatan fabrikasi wafer di Kulim dan melaksanakan aktiviti pembungkusan cip semikonduktor di Batu Berendam, Melaka.

“Ia menjadi pelengkap kepada Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu iaitu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi bagi menyokong ekonomi global dan domestik,” kata Anwar.

Sumber: Bernama

Pelaburan besar Infineon selaras dengan gagasan Ekonomi MADANI


Content Type:

Duration:

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengalu-alukan minat Posco Holdings yang berpangkalan di Korea Selatan melabur dalam industri tenaga baharu di negeri ini.

Posco yang terletak di Pohang, Korea Selatan menerokai pelaburan dalam sektor-sektor ekonomi baharu termasuk hidrogen dan penyerapan atau pengumpulan dan penyimpanan karbon (CCS).

“Sektor-sektor ini diperkenal dan dipromosikan seiring dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Sarawak.

“Justeru, saya bagi pihak Kerajaan Sarawak mengalu-alukan minat Posco (menerokai industri tenaga baharu) dan berharap syarikat ini akan meneliti dengan lebih jauh lagi untuk melabur dalam projek-projek ini di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pejabatnya hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata demikian sempena kunjungan hormatnya terhadap Naib Presiden Eksekutif, Unit Hidrogen Posco Holding Cho Ju Ik di Seoul, Korea Selatan semalam.

Kunjungan hormat itu bertujuan memperbaharui dan memperkukuhkan lagi hubungan dengan Posco Holdings yang telah terlibat dalam beberapa projek di Malaysia.

POSCO ialah sebuah syarikat pembuatan keluli yang beribu pejabat di Pohang, Korea Selatan, mempunyai pengeluaran 42,000,000 tan metrik (41,000,000 tan panjang, 46,000,000 tan pendek) keluli mentah pada 2015, menjadikannya pembuat keluli keenam terbesar di dunia.

Pada 2010, ia merupakan syarikat pembuatan keluli terbesar di dunia mengikut nilai pasaran dan pada 2012, ia disenaraikan sebagai syarikat ke-146 terbesar di dunia oleh Fortune Global 500. 

Posco kini mengendalikan dua kilang keluli bersepadu di Korea Selatan iaitu di Pohang dan Gwangyang.

Hadir sama semasa kunjungan hormat itu ialah Duta Malaysia Ke Republik Korea Datuk Lim Juay Jin, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Datuk Mohd Naroden Majais, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Zaidi Mahdi, Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron, Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Datu Abdullah Julaihi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah Datu Ismawi Ismuni, Ketua Pegawai Operasi (COO) Sarawak Energy Berhad James Ung dan Naib Presiden Huluan PETROS Jeremy Wong serta Pengarah MIDA, Seoul, Korea Selatan Ruhizam Idris.

Sumber: Utusan Borneo

Syarikat Korea Selatan dialukan melabur di Sarawak


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Melaka yakin dapat mencapai pelaburan berjumlah RM7.6 bilion menjelang hujung tahun ini, mengatasi sasaran awalnya sebanyak RM5 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata setakat ini, bagi tahun ini, Melaka telah menerima pelaburan berjumlah hampir RM6 bilion dan optimis bakinya dapat dicapai menerusi komitmen dari China dan Jerman selepas ini.

“Kita sasar pelaburan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini dan ia (jumlah itu) telah dicapai menerusi pelaburan daripada Texas Instruments dan kita yakin mampu menerima sejumlah RM2.6 bilion lagi pelaburan dari China dan Jerman menjelang hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pada Jun lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilaporkan berkata Texas Instruments melabur sebanyak RM14.6 bilion untuk mengembangkan operasi kilangnya di Kuala Lumpur dan Melaka dengan pengeluaran di kedua-dua lokasi tersebut dijangka bermula seawal 2025.

Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata pelaburan syarikat semikonduktor beribu pejabat di Amerika Syarikat itu yang berjumlah RM9.6 bilion di Kuala Lumpur akan mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan manakala jumlah RM5 bilion yang akan dilaburkan di Melaka bakal mewujudkan 500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, ketika menggulung perbahasan, Ab Rauf berkata kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara yang perlu diberi tumpuan bagi merancakkan sektor pelaburan di negeri berkenaan, antaranya menggalakkan penyertaan pihak swasta untuk pelaburan berkualiti.

“Invest Melaka Berhad akan diberi peranan untuk membentuk Jawatankuasa penasihat Pelaburan Negeri Melaka sebagai pemudah cara pelaburan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan mengutamakan bidang sedia ada dan pertumbuhan baharu yang memiliki nilai tambah tinggi, diterajui teknologi termasuk pembuatan semikonduktor berteknologi tinggi.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menyasarkan pembangunan kawasan perindustrian baharu di seluruh negeri seperti projek MCorp Hi-Tech Park seluas 2,023 hektar di Masjid Tanah di Alor Gajah, pembesaran Industri Elkay seluas 243.5 hektar di Lipat Kajang, Jasin, serta kawasan perindustrian seluas 809.3 hektar di koridor ekonomi Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ).

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan turut membangunkan kawasan perindustrian baharu yang dikenali sebagai Taman Teknologi Jerman (GIP) serta merangka Pelan Induk Perindustrian Negeri Melaka untuk menterjemahkan hala tuju perindustrian negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Bagi tujuan itu, katanya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus diperkukuh melalui kerjasama pemain industri terutamanya dalam sektor pembuatan manakala penyediaan penginapan pekerja yang kondusif di Penginapan Pekerja Berpusat akan dilaksanakan secara bersasar di seluruh daerah di Melaka bermula 2025.

Sumber: Bernama

Melaka yakin capai pelaburan RM7.6 bilion menjelang hujung tahun ini – Ketua Menteri


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang berjaya mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM200 bilion dalam tempoh 15 tahun sejak 2008, semenjak Pakatan Harapan membentuk kerajaan negeri, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Justeru, katanya, beliau optimis Pulau Pinang akan terus berjaya mencatatkan pertumbuhan yang baik pada masa akan datang berdasarkan kepimpinan padu kerajaan negeri yang dapat membawa kestabilan diperlukan bagi menarik lebih ramai pelabur.

Tengku Zafrul berkata beliau juga ada melakukan tinjauan di kawasan perindustrian terutamanya di Kawasan Perindustrian Perai yang menempatkan banyak syarikat multinasional.

Menurutnya, lebih banyak fokus perlu diberikan kepada kawasan tersebut kerana ia merupakan kawasan yang besar dan penting yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Seperti yang kita dapat lihat dari segi pelaburan dan perdagangan, itu amat penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang disasarkan untuk tahun-tahun akan datang.

“Mereka (pelabur) datang ke sini untuk berdekatan dengan rantaian dan di sini (Pulau Pinang) yang penting bukan sahaja pelabur antarabangsa tapi juga pelabur domestik.

“Banyak syarikat besar telah berjaya di sini kerana kita ada kawasan perindustrian yang menarik pelabur asing yang memberikan limpahan kepada ekonomi setempat dan juga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kawasan Perindustrian Perai juga merupakan antara penerima peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dalam rangka kerja MADANI membabitkan peruntukan RM100 juta untuk menambah baik kawasan perindustrian di seluruh negara.

“Berapa banyak kawasan Perindustrian Perai akan menerima peruntukan (daripada jumlah RM100 juta) itu, kita akan bincangkan dan saya dapat lihat ia amat penting,” katanya.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang catat pelaburan berjumlah RM200 bilion sejak 2008 – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Momentum pelaburan di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan kukuh sejak suku pertama 2023 dijangka mengekalkan trajektori meningkat pada suku kedua 2023, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, pada suku pertama 2023, Malaysia telah menerima pelaburan diluluskan berjumlah RM71.4 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding RM44.7 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas.

“Momentum pada suku kedua 2023 yang akan diumumkan tidak lama lagi, turut positif. Kita berada pada landasan yang tepat dan ini isyarat yang baik dengan mengambil kira situasi tidak menentu yang menyelubungi pasaran global,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata, jumlah perdagangan Malaysia dijangka menyederhana pada suku kedua 2023 berikutan perdagangan global yang perlahan dan diramal berkembang sekitar 1.6 hingga 1.7 peratus tahun ini, seiring dengan pertumbuhan ekonomi global.

Beliau berkata, Malaysia adalah ekonomi terbuka dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2022 pada 141 peratus, justeru banyak dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di seluruh dunia.

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berharap syarikat Malaysia akan terus memberikan tumpuan untuk meluaskan eksport dengan berkembang ke pasaran baharu serta meninjau peluang di pasaran halal untuk meredakan penyusutan angka perdagangan akibat kejatuhan harga komoditi sejak tahun lepas.

Berkenaan ramalan KDNK Malaysia pada empat hingga lima peratus bagi 2023, beliau optimis bahawa angka ini mampu dicapai.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa negara tidak boleh bergantung kepada penggunaan dan perbelanjaan kerajaan untuk meraih pertumbuhan.

“Kita mendapati bahawa keputusan di Amerika Syarikat (AS) telah menjejaskan dunia. Terdapat banyak spekulasi berkenaan hala tuju seterusnya Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC). Pengukuhan dolar AS adalah disebabkan langkah memperketat dasar monetari dan ini telah memberikan tekanan kepada mata wang lain termasuk ringgit.

“Apa-apa sahaja keputusan FOMC, bagi Malaysia, kita perlu memberi fokus kepada asas kita dan inilah sebabnya Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengumumkan kerangka Ekonomi MADANI untuk meningkatkan ekonomi dan menambah baik daya saing negara.

“Penting untuk memberikan tumpuan kepada jangka panjang supaya kita boleh bergerak ke hadapan untuk tampil sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, 40 peratus daripada langkah yang diumumkan dalam Ekonomi MADANI adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

“Jelas bahawa menerusi kerangka ekonomi ini, pemerkasaan industri, pelaburan dan eksport dilihat sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya.

Berkenaan matlamat Ekonomi MADANI untuk membolehkan Malaysia menjadi antara 30 ekonomi terbesar di dunia, Tengku Zafrul berkata hasrat itu boleh dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama memberikan idea masing-masing.

Beliau menegaskan, bahawa ia adalah pendekatan keseluruhan negara dan tidak boleh dilaksanakan secara bersendirian.

Bagi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli baru-baru ini, Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa langkah itu akan membantu meningkatkan dan menarik lebih banyak pelaburan.

“Saya berpandangan bahawa tenaga boleh baharu (TBB) akan menjadi pelengkap. Kita memerlukan kepelbagaian berikutan kita bergantung kepada satu sumber tenaga.

“Sudah tentu, peralihan akan berlaku dan bakal mengambil masa disebabkan kos masih tinggi berbanding sumber tenaga semasa yang kita gunakan pada masa ini yang mempunyai subsidi tinggi,” kata Tengku Zafrul.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa peralihan kepada TBB tidak dapat dielakkan kerana Malaysia memerlukan pertumbuhan yang mampan.

Bagi mencapai hasrat itu, negara memerlukan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus, antaranya TBB.

“Kita mempunyai banyak pelaburan TBB yang sedang dilaksanakan dan perlu ditegaskan bahawa pelaburan daripada syarikat multinasional memerlukan TBB. Sehubungan itu, Tenaga Nasional Bhd dan banyak syarikat lain menyertai TBB kerana terdapat permintaan. Inilah sebabnya saya melihat banyak pelaburan masuk.

“Mempunyai NETR adalah kelebihan kita yang menunjukkan kita mempunyai perancangan dalam industri hijau dan ini akan membantu merangsang keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri ini,” katanya. 

Sumber: Bernama

Momentum pelaburan di Malaysia kekal positif – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Perdagangan dua hala Turkiye-Malaysia telah menunjukkan trend peningkatan dan dijangka melonjak dua kali ganda pada tahun-tahun akan datang selepas pengenalan protokol tambahan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) mereka.

Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata hubungan dua hala yang sudah mantap boleh dipertingkatkan lagi selain terdapat potensi besar dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami baru-baru ini telah memperluaskan skop FTA dengan protokol tambahan. Sekarang FTA merangkumi perdagangan dalam perkhidmatan, e-dagang termasuk pelaburan.

“Tahun lepas, perdagangan dua hala menghampiri US$5 bilion (US$1=RM4.54). Saya yakin angka ini akan melonjak dua kali ganda pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam ucap tama semasa majlis resepsi “Turkiye: Rakan Pelaburan Berdaya Tahan Anda”, yang diadakan di Kediaman Duta Turki di sini pada Khamis.

Majlis resepsi, yang dihadiri oleh 150 tetamu, dianjurkan bagi memperingati ulang tahun ke-100 penubuhan republik itu.

Pada majlis tersebut, Yuksel berkongsi aspirasi negaranya untuk menjadi antara 10 ekonomi terbaik dunia dalam tempoh sedekad.

Yuksel berkata Turkiye akan terus menjadi titik persamaan bagi pelaburan dan sebagai rakan berdaya tahan pada abad akan datang.

“Masih terdapat potensi yang besar dan belum diterokai. Oleh itu, saya ingin mengambil peluang untuk menjemput anda agar melabur dalam Turkiye.

“Kami menawarkan pasaran yang stabil dan besar seramai 85 juta pengguna di dalam sempadan kami. Selain itu, setelah berjaya memuktamadkan Kesatuan Kastam dengan Kesatuan Eropah (EU) beberapa dekad lepas, pelaburan anda di Turkiye akan mempunyai akses bebas ke pasaran EU,” kata Yuksel.

Sementara itu, Presiden Pejabat Pelaburan A. Burak Daglioglu ketika bercakap kepada Bernama di luar majlis resepsi berkata Turkiye menawarkan banyak peluang dalam pelbagai sektor yang mana ia mempunyai kelebihan seperti lokasi strategik, iklim pelaburan liberal, pasaran domestik dan serantau yang besar.

Antara peluang sektoral yang diketengahkan oleh Burak adalah makanan tani, tenaga, pemula niaga penjagaan kesihatan dan kewangan tertentu, hasil daripada projek Pusat Kewangan Istanbul yang dilancarkan baru-baru ini.

Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama dan destinasi import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Pada 2022, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye meningkat 12.6 peratus kepada RM20.25 bilion (US$4.62 bilion) daripada RM17 bilion (US$4.10 bilion) pada 2021.

Sumber: Bernama

Perdagangan dua hala Turki-Malaysia melonjak dengan protokol FTA terkini


Content Type:

Duration:

Kemasukan pelaburan asing yang besar seperti syarikat teknologi dan kenderaan elektrik (EV) Tesla Inc membuktikan bahawa negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan adalah stabil serta kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelabur asing memilih Malaysia sebagai lokasi pelaburan bukan kerana nama beliau sebaliknya kerana kestabilan kerajaan yang berjaya diwujudkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“… bila kita (Kerajaan Perpaduan) perintah dan jadi kerajaan stabil, apa yang berlaku? Elon Musk minta nak bercakap dengan saya, Perdana Menteri Malaysia.

“Bukan kerana saya tapi kerana kerajaan ini yang stabil… kebijaksanaan PH dan BN yang memilih untuk bekerjasama demi Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika berucap pada program Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Pada 14 Julai lepas, Anwar berkata Musk, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla Inc dan SpaceX, bersetuju untuk melabur secara besar-besaran di Malaysia termasuk membuka ibu pejabat Tesla Inc di Cyberjaya, Selangor.

Berkongsi perkembangan terkini berhubung pelaburan Tesla, Perdana Menteri berkata ibu pejabat syarikat teknologi dan kenderaan elektrik di Cyberjaya itu dijangka dirasmikan pada September atau Oktober tahun ini.

Katanya pihak Tesla juga telah menjemput dan meminta beliau merasmikan pejabat itu menerusi pertemuan dengan Ketua Pengurus syarikat tersebut minggu lepas.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain Tesla, syarikat automotif terkenal dunia Geely Global juga bakal membina kota pembangunan kenderaan terbesar di rantau Asia Tenggara di Tanjung Malim, Perak.

Beliau berkata pelaburan besar itu sekali gus akan membuka dan menambah peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia khususnya golongan belia.

“Dia (Geely Global) rancang dah 10 tahun (buka kota automotif) tapi dia tunggu kerajaan stabil (Kerajaan Perpaduan).

“Saya akan pastikan golongan belia, khususnya anak muda dari Terengganu yang layak, akan dibawa ke Tanjung Malim untuk menjayakan projek ini,” katanya.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut menyampaikan replika cek bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Negeri Terengganu yang melibatkan dana RM12,570,000 dan Program Peningkatan Pendapatan bernilai RM797,250 kepada wakil penerima.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah Datuk Seri Ahmad Said serta beberapa menteri Kabinet.

Sumber: Bernama

Pelaburan asing yang besar bukti Kerajaan Perpaduan kukuh, stabil – PM


Content Type:

Duration:

PELAN Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada Khamis akan membuka lebih banyak peluang pelaburan bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini disasarkan daripada 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan diperkenalkan seiring dengan pelancaran tersebut serta dasar-dasar yang diumumkan oleh kementerian itu serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

“Pelaburan yang dipacu oleh NETR ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi.

“Fasa pertama NETR itu sahaja dijangka mewujudkan kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Fasa 1 NETR di sini, pada Khamis.

Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata, NETR juga bukan sekadar dokumen yang menyenaraikan langkah-langkah sementara bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih, sebaliknya “menggabungkan strategi serta inisiatif yang boleh mentransformasi ekonomi, mata pencarian kita serta kedudukan di peringkat dunia.”

Pada masa sama, beliau berkata, pelan hala tuju itu dapat membantu usaha transformasi ekonomi negara dengan membuka peluang kerjasama menguntungkan serta baik untuk alam sekitar serta ekonomi.

Ini penting, katanya, berikutan sejak beberapa tahun lepas, pelaburan Malaysia dalam aspek tenaga boleh baharu (TBB) adalah ketinggalan berbanding negara lain yang memulakan usaha itu lebih lewat.

Beliau berkata, antara punca utamanya adalah tindakan pentadbiran sebelum ini yang tidak menjadikan industri TBB sebagai lubuk atau peluang menguntungkan untuk diceburi oleh perniagaan.

“Sehubungan itu, NETR adalah usaha kerajaan ini untuk mengubah ekonomi TBB supaya kita dapat meningkatkan kapasiti sedia ada dengan infrastruktur serta teknologi yang tepat,” katanya.

Bersandarkan kepentingan itu, Rafizi berkata, kementeriannya dan NRECC pada dua bulan lepas telah membuat keputusan dasar penting seperti menarik balik larangan eksport TBB dan mewujudkan pusat pertukaran elektrik kendalian pengagregat atau “aggregator” pasaran tunggal bagi memastikan harga yang adil serta telus.

“Bagi mengurangkan komitmen kerajaan, kita turut bertindak meningkatkan lagi sasaran kapasiti TBB yang dipasang kepada hampir dua kali iaitu daripada 40 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050,” katanya.

Selain itu, antara projek-projek di bawha NETR adalah Zon TBB brsepadu yang akan diterajui oleh Khazanah Nasional Bhd menerusi usaha sama dengan UEM dan ITRAMAS.

“Pada (kapasiti) satu gigawatt, loji jana kuasa solar fotovolta hibrid tersebut adalah yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

“Impian besar kita itu telah berjaya menarik pelabur berprofil tinggi daripada blok-blok utama ekonomi yang berjumlah RM6 bilion,” katanya.

Rafizi juga menyifatkan NETR akan turut membuka gerbang hidrogen di Sarawak selaras dengan pelaksanaan beberapa projek untuk muncul sebagai hab hidrogen di negara ini selain rangka kerja berkaitan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang membolehkan pelbagai projek pemangkin dijalankan dalam tempoh dua tahun.

Menyentuh aspek mata pencarian, beliau berkata NETR menyasarkan untuk membolehkan keluarga Malaysia memahami sains dan data peralihan tenaga serta menjadikan tenaga bersih sebagai pilihan kewangan yang relevan untuk kebanyakan isi rumah pada masa ini.

Berikutan itu, kerajaan berhasrat untuk memberi pilihan kepada isi rumah menerusi penyewaan bumbung (bagi penjanaan tenaga) untuk mendapatkan pendapatan bulanan yang dapat mengurangkan bil elektrik selain menambah pendapatan.

“Kerajaan menerajui usaha itu dengan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi pemasangan panel solar di bumbung bangunan-bangunan kerajaan.

“Kita turut mengubah amalan lama dengan tidak lagi menghukum agensi kerajaan dengan bertindak menolak belanjawan mereka daripada langkah penjimatan elektrik yang dijana secara solar,” katanya.

Di samping itu, Rafizi berkata sebanyak 10,000 stesen pengecasan akan dipasang di sepanjang lebuh raya dan bangunan komersial menjelang 2025 manakala pengangkutan awam akan dijana secara elektrik bagi memastikan perjalanan yang menggunakan tenaga bersih. 

Sumber: Bernama

NETR wujudkan peluang pelaburan RM1.85 trilion menjelang 2050


Content Type:

Duration:

MALAYSIA dilihat berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan gelombang kemajuan teknologi dan peluang perdagangan seterusnya untuk bersaing dengan rakan setaranya di ASEAN, menurut Majlis Ekonomi Lembangan Pasifik (PBEC).

Ketua Pegawai Eksekutif PBEC, Michael Walsh berkata, ASEAN mampu bersaing dengan rantau yang lain bagi meraih peluang baharu dalam perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan menerusi jalinan kerjasama sebagai satu blok.

“Lembangan Pasifik kekal sebagai demografi terbaik dari segi penciptaan ekonomi dan kekayaan jangka panjang di seluruh dunia. Ini bermakna ekonomi seperti Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

“Singapura mempunyai tawaran nilai sangat kukuh. Malaysia boleh memanfaatkan dari segi aliran pelaburan. Selain itu, ibu pejabat serantau yang ditubuhkan di Singapura sejak tiga tahun lepas menghadapi peningkatan kos sara hidup dan kekurangan ruang.

“Malaysia, khususnya Johor Bahru, kini menarik lebih ramai pekerja hibrid dan mahir warga Singapura. Mereka berulang-alik apabila diperlukan,” katanya semasa Sidang Kemuncak Ekonomi dan Keusahawanan Asia ke-6 anjuran Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik pada Khamis.

Walsh menyatakan bahawa aliran ekonomi China ke ASEAN dan Timur Tengah serta peningkatan ekonomi India dan mereka yang berada di kawasan sekitarnya mendapat manfaat daripada aliran perdagangan dengan ASEAN.

“Globalisasi telah bertukar menjadi serantau. Trend globalisasi yang tidak terkawal sejak 15 tahun lepas bagi kita semua yang meminati perdagangan dan perniagaan antarabangsa, telah menimbulkan jenis globalisasi yang berbeza akibat kegagalan beberapa dasar negara,” katanya.

Profesor Ekonomi Institut Asia-Eropah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rajah Rasiah berkata, Malaysia dan ASEAN kini mendapat manfaat daripada isu geopolitik di seluruh dunia.

“Banyak syarikat kini berpindah dari China bukan sahaja ke Malaysia, tetapi ke Vietnam dan Thailand sebahagian besarnya, untuk mengatasi isu larangan serta kenaikan tarif untuk sampai ke Amerika Syarikat,” katanya.

Presiden KSI dan Pengerusi Kelab Ekonomi ASEAN, Tan Sri Michael Yeoh berkata, dalam ucapan aluannya bahawa Malaysia berharap untuk menjadi tunjang aktiviti perdagangan China-India-ASEAN untuk memanfaatkan peluang daripada kerjasama tersebut.

Perdagangan menyaksikan peralihan yang lebih besar ke arah China, India dan ASEAN dan adalah strategik untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat antara rantau ini.

“Kita perlu mengambil kira transformasi teknologi hijau dan digital kerana pertumbuhan teknologi hijau adalah masa depan perdagangan.

“Kita perlu mempercepatkan lagi pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik kerana ini akan membuka lebih banyak peluang untuk negara kita,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia bakal raih manfaat gelombang kemajuan teknologi ASEAN


Content Type:

Duration:

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dijangka memacu pelaburan langsung domestik (DDI) dan menyokong pembangunan vendor tempatan dalam sektor strategik, seperti elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi digital dan aeroangkasa.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata kementeriannya berbesar hati kerana DDI akan menjadi salah satu daripada petunjuk prestasi utama (KPI) kerana apa yang memberi keyakinan terhadap dasar pelaburan negara adalah pelabur domestik.

Ekonomi MADANI: Rangka Kerja Pemerkasaan Rakyat yang dilancarkan hari ini akan menangani pembaharuan struktur yang diperlukan untuk menghentikan kitaran ekonomi berbahaya negara iaitu kos tinggi, gaji rendah, untung rendah dan nilai kurang kompetitif, beberapa isu ini diburukkan lagi oleh pandemik.

“Kerajaan akan memberi tumpuan untuk menggalakkan kedua-dua DDI dan pelaburan langsung asing (FDI) dalam membangunkan Malaysia sebagai ekonomi terkemuka di Asia dan memastikan wujud limpahan ekonomi yang positif kepada rakyat,” katanya pada majlis menandatangani kerjasama strategik antara Citaglobal Bhd dan MASDAR di sini, hari ini.

Beberapa inisiatif utama yang diumumkan di bawah Ekonomi MADANI yang secara langsung di bawah bidang kuasa Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ialah penubuhan zon kewangan khas di Johor untuk menarik pelabur global dan pekerja berpengetahuan untuk menetap di Malaysia.

Kedua, peruntukan awal RM100 juta untuk menaik taraf infrastruktur industri sedia ada menjadi lebih hijau (mesra alam) serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur, kawasan sasaran termasuk sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu, pusat data di Sedenak, Johor dan industri getah hiliran di Kuala Nerang, Kedah.

Ketiga, Pulau Pinang akan digalakkan untuk bergerak melangkaui pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan penyedia perkhidmatan ujian (OSAT) bernilai lebih rendah dan memberi lebih tumpuan kepada industri semikonduktor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC).

Empat, kerajaan akan memperuntukkan RM1 bilion untuk membiayai, memupuk dan mengantarabangsakan syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk merangsang pertumbuhan eksport, sebanyak RM1 bilion ini akan dipadankan oleh dana swasta untuk menyokong syarikat pemula niaga tempatan dan mempromosikan usahawan teknologi.

“Kelima, kerajaan juga akan melaksanakan dasar perindustrian berfokuskan negeri untuk mengurangkan jurang pembangunan antara negeri maju dan kurang membangun seperti mengukuhkan industri hiliran minyak dan gas (O&G) di Sabah dan Terengganu atau meningkatkan aktiviti nilai tambah dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Kulim dan Bayan Lepas.

“Terdapat juga pelepasan cukai untuk firma yang mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi di negara ini, serta semakan semula insentif pelaburan sedia ada untuk memastikan situasi menang-menang lebih baik untuk rakyat/perniagaan dan pelabur kita.”

Semua langkah ini dan banyak lagi bertujuan untuk menjadikan Malaysia antara 12 ekonomi teratas di dunia daripada segi daya saing dan kemudahan pelabur menjalankan perniagaan serta disenaraikan dalam 30 ekonomi teratas di dunia dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Sumber: Bernama

Ekonomi Madani: GLC, GLIC akan pacu pelaburan domestik – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia menyasarkan untuk berada dalam senarai 30 ekonomi terbesar dunia dalam jangka masa sederhana, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia antara sasaran utama dalam penstrukturan semula ekonomi negara menerusi kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang dilancarkan hari ini.

Perdana Menteri yakin Malaysia mampu mencapai sasaran besar itu dengan meneladani negara yang pernah berdepan kejatuhan, namun tangkas dan bangkit semula ke hadapan.

“Mahu atau tidak, kita mesti menjadi jaguh ekonomi serantau. Kita perlu punyai minda global dan mengutama pengantarabangsaan ekonomi.

“Dengan demikian, kita mampu mencapai sasaran ditetapkan untuk muncul sebagai 30 ekonomi terbesar di dunia dalam jangka masa sederhana.

“Jika kita hanya berpuas hati dengan keadaan sekarang, ekonomi akan terus mencatat pertumbuhan antara empat hingga lima peratus, namun jika kita berusaha gigih dan melaksana pembaharuan, kita mampu mencapai 5.5 peratus, malah saya percaya adalah tidak mustahil untuk kita menghasilkan pertumbuhan enam peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan barisan menteri yang lain.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, untuk merealisasikan sasaran besar berkenaan, negara perlu membentuk integrasi ekonomi yang lebih besar dengan negara jiran lebih-lebih lagi dunia sedang berdepan kekangan rantaian bekalan.

Susulan itu, katanya, negara perlu melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang berdaya saing tinggi untuk menembusi pasaran rantau ASEAN.

“Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas. Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal, modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.

“Selama ini, kita tertumpu kepada aktiviti sektor utama seperti elektrikal dan elektronik (E&E) serta kimia secara keseluruhan. Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi.

“Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia dan oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus.

“Kerajaan akan memperkenalkan insentif cukai berasaskan pencapaian bagi mendukung dan memberi ganjaran kepada syarikat yang menumpukan aktiviti berdampak tinggi,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat juga akan menjadi induk kepada beberapa lagi dasar khusus yang akan diumumkan kelak termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, Ekonomi MADANI menetapkan sasaran jangka pendek yang sudah digerakkan bagi menangani isu segera yang mengesankan rakyat.

Sumber: Berita Harian

Malaysia sasar muncul 30 ekonomi terbesar dunia


Content Type:

Duration:

Industri minyak dan gas (O&G) serta tenaga di Pahang telah memperoleh pelaburan komited sebanyak RM800 juta bagi tempoh separuh pertama tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib berkata kerajaan negeri telah menyasarkan RM1 bilion bagi pelaburan baharu untuk industri tersebut.

“Kita berharap sektor O&G boleh menjadi komponen lebih besar dalam kerangka atau jumlah pelaburan baharu ke Pahang…kekuatan negeri dalam industri itu adalah petrokimia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Pantai Timur 2023 di sini hari ini.

Acara itu turut dihadiri oleh Presiden dan Ketua Pengawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) Mohd Yazid Ja’afar.

Selain itu, mengulas perkembangan Kawasan Perindustrian Tanjung Agas (TAIA) di Pekan yang dibangunkan sebagai pusat industri maritim, O&G sejak 2011, Mohamad Nizar berkata kerajaan Pahang sedang aktif untuk memasarkan serta menarik pelabur ke kawasan berkenaan.

Menurutnya, usaha itu digerakkan menerusi TGA Solutions Sdn Bhd (TGA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan pelabur dari China dan Eropah difahamkan berminat melabur di situ.

Mohamad Nizar berkata walaupun TAIA menumpukan industri O&G, kerajaan negeri sedia mempertimbangkan kelulusan dalam sektor lain bagi menarik lebih ramai pelabur.

“Kita juga perlu bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dari segi tambahan insentif bagi menarik lebih ramai pelabur seperti memberi elaun cukai pelaburan,” katanya.

Malah, katanya, kerajaan negeri turut berurusan dengan syarikat-syarikat perunding percukaian profesional bagi mengenal pasti tawaran lain yang dapat menjadikan Pahang sebagai destinasi pelaburan menarik. 

Sumber: Bernama

Pahang raih pelaburan komited RM800 juta bagi Industri O&G, tenaga


Content Type:

Duration:

Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bertujuan menerangkan hala tuju ekonomi Malaysia untuk dekad ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia juga bertujuan menarik pelabur dan menjana peluang kerjaya yang bernilai sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.

Kata beliau, kedua-dua perancangan itu satu lonjakan utama untuk menunjukkan dan menghantar isyarat kepada dunia bahawa Malaysia akan menjadi peneraju industri hijau nombor satu di rantau ini.

“Kita sudah dapatkan pelaburan RM25 bilion yang terdiri daripada 10 projek rintis bertaraf nasional yang sekarang ini.

“Malaysia mempunyai potensi yang cukup baik dalam peralihan sektor tenaga dengan kedudukan geografi di tengah rantau Asia Tenggara menjadikan negara ini berada pada kedudukan yang sangat strategik.

“Kita berada paling depan untuk menjadi pemimpin, peneraju industri tenaga boleh baharu atau peralihan tenaga.

“Mengikut rekod pelaburan seluruh dunia, industri yang paling banyak mendapat pelaburan dalam tempoh dua tahun lepas adalah industri tenaga boleh baharu,” katanya menerusi Twitter hari ini.

Rafizi berkata, kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pukul 9 pagi esok, manakala Kementerian Ekonomi akan meluncurkan NETR Fasa 1 pada sebelah petang.

Dalam pada itu, beliau menyelar kepemimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang tidak mempunyai perancangan ekonomi besar yang diumumkan untuk menarik atau meyakinkan pelabur.

“Sampai ke hari ini, PN masih tidak ada rancangan ekonomi baik untuk negeri atau untuk negara. PN mempersoalkan hala tuju ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Harap mereka dengar dengan teliti pagi dan petang esok,” katanya. 

Sumber: Kosmo

Kerangka Ekonomi Madani, NETR terangkan hala tuju ekonomi negara


Content Type:

Duration:

Kehadiran beberapa pemimpin tertinggi negara luar yang dijadual berkunjung ke Malaysia minggu ini, merupakan satu isyarat jelas menunjukkan keyakinan mereka kepada kestabilan politik di negara ini, kata penganalisis politik Prof Azmi Hassan.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) itu berkata ini kerana, tidak akan ada mana-mana negara berani hadir dengan potensi membawa masuk pelaburan atau menjalin kerjasama, jika melihat situasi politik di sesebuah negara itu dalam keadaan tidak stabil.

“Maknanya mereka yakin dengan kestabilan Kerajaan Perpaduan kita, sebab itu bila kita lihat atas kertas, kehadiran Presiden Filipina (Ferdinand Marcos Jr) pada Selasa, agenda utama mereka ialah ekonomi dan perdagangan.

“Mereka jadi yakin (melabur)… membawa peluang kerjasama pelaburan dua hala, seterusnya menguntungkan kedua-dua pihak, seperti untuk Malaysia pastinya meningkatkan aliran masuk FDI (pelaburan langsung asing) kita,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Beliau pada masa sama yakin, kunjungan Marcos Jr akan dimanfaatkan Malaysia untuk membincangkan mengenai perihal geopolitik Asean, selain berkaitan tatakelakuan di perairan Laut China Selatan.

Azmi berkata kunjungan Presiden Timor-Leste Dr Jose Ramos-Horta ke Malaysia yang dijadual pada hujung bulan ini pula, dilihat sebagai petunjuk bahawa negara luar amat memandang tinggi peranan dan pengaruh Malaysia dalam ASEAN.

“Mereka (Timor-Leste) tahu kita ada pengaruh yang kuat di Asean, jadi saya kira antara agenda kehadiran mereka nanti, untuk dapatkan sokongan dan pengaruh Kuala Lumpur bagi membantu negara itu diterima menjadi anggota ke-11 Asean, kerana permohonan berkenaan akan dinilai tahun ini.

“Lawatan Hong Kong (Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) John Lee Ka-chiu) pula, saya lihat akan 100 peratus berkisar kepada agenda ekonomi terutama melibatkan pelancongan perubatan dan kesihatan tanpa membincangkan hal geopolitik,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata keyakinan yang diterjemah pemimpin luar untuk mengadakan kunjungan ke Malaysia, jelas berkait rapat dengan kewibawaan pimpinan tertinggi negara.

Beliau berkata ia menunjukkan, betapa mereka memilih untuk berkunjung ke Malaysia bukan sahaja atas rasa yakin dengan kestabilan politik negara, malah mempunyai satu tahap penghormatan yang tinggi kepada pemimpin di peringkat Persekutuan.

“Ini satu petanda baik, selain memperkukuhkan hubungan dua hala antara negara-negara terlibat, malah ia juga membuka seluasnya jalinan kerjasama antara kementerian, agensi korporat dan perniagaan, seterusnya memperoleh pelbagai manfaat.

“Ini juga memudahkan segala urusan diplomasi kedua-dua negara, untuk kita melakukan satu rundingan konstruktif mengenai isu-isu berbangkit, menyelesaikannya dalam suasana menang-menang dan memperbaharui kerjasama bilateral dan multilateral, pascapandemik ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Kunjungan pemimpin luar isyarat jelas kestabilan politik negara – Penganalisis


Content Type:

Duration:

Malaysia lebih diingini oleh ekspatriat dan pelabur di seluruh dunia sebagai destinasi pelaburan hartanah berbanding sebelum ini memandangkan negara telah pulih daripada COVID-19 untuk menjadi tempat yang lebih dinamik dan positif, menurut syarikat teknologi hartanah, Juwai IQI.

Juwai IQI menjelaskan pembeli rumah China menaikkan kedudukan Malaysia kepada destinasi keenam paling popular pada separuh pertama 2023 manakala kaji selidik meliputi 12,000 responden oleh organisasi ekspatriat global, InterNations, mendapati ekspatriat Barat meletakkan kedudukan Malaysia di tempat keempat terbaik di dunia.

Malaysia dan negara Asia Tenggara lain turut membentuk empat daripada 10 negara teratas yang menerima pelaburan hartanah China paling banyak pada separuh pertama 2023, menurut laporan terbaru berdasarkan bilangan pertanyaan pembeli yang diterima melalui platform Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik, disokong oleh kualiti kehidupan, kehidupan mampu milik dan ketersambungan digital serta sebagai sebuah negara berbilang bahasa, justeru, kalangan pengunjung dunia berasa selesa di sini.

“Apabila melibatkan pembeli China, mereka mempunyai simpanan yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang boleh digunakan untuk pembelian hartanah di luar negara. Menurut statistik rasmi, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022 sahaja, deposit simpanan rakyat China melonjak nilainya sebanyak 26.3 trilion renminbi (US$3.6 trilion),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Juwai IQI memaklumkan rakyat China juga ialah peserta paling ramai di dunia dalam program Visa Emas, dengan pemohon China membentuk 46 peratus daripada jumlah visa yang diluluskan di Australia dan Greece serta 31 peratus di Portugal.

Rakyat China juga menyumbang bahagian yang sama besar dari segi kewarganegaraan dan pemastautin berprofil rendah melalui program pelaburan, dengan 25 peratus daripada semua Visa Emas yang dikeluarkan oleh Antigua dan Barbuda telah diberikan kepada warganegara China.

Sumber: Bernama

Malaysia antara destinasi utama bagi pembeli China, ekspatriat Barat – Juwai IQI


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Vietnam boleh bekerjasama dalam memanfaatkan keanggotaan dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata RCEP dan CPTPP akan mempertingkatkan usaha pemulihan ekonomi yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara, pascapandemik.

“Perjanjian ini memainkan peranan penting dalam memajukan agenda pertumbuhan progresif, mampan dan inklusif kita, memperkukuh usaha kita ke arah masa depan yang berdaya tahan dan makmur,” katanya pada Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam di sini, pada Jumaat.

Beliau berada di sini sebagai sebahagian daripada lawatan rasmi dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata penyertaan United Kingdom (UK) sebagai anggota baharu CPTPP baru-baru ini menandakan perkembangan penting dalam pakatan perdagangan ini, malah UK juga menjadi negara bukan pengasas pertama di luar rantau Asia Pasifik yang menyertai perjanjian perdagangan mega ini.

“Penerimaan ke atas UK itu jelas menunjukkan daya tarikan dan manfaat CPTPP, dan ini pastinya akan menggalakkan negara lain untuk mempertimbangkan kelebihan menjadi anggota, serta penyepaduan dan kerjasama ekonomi yang lebih erat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata CPTPP menyediakan banyak peluang untuk Malaysia dan Vietnam menonjolkan potensi pasaran masing-masing, memperkukuh sektor perkhidmatan, memudahkan aliran pelaburan dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana.

CPTPP juga merangsang pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan peruntukan yang melindungi hak pekerja, perlindungan alam sekitar dan pembangunan mampan.

“Menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan keterangkuman sosial menyumbang kepada kemakmuran jangka masa panjang dan kesejahteraan negara yang menyertainya, termasuk Malaysia dan Vietnam,” katanya.

Malaysia dan Vietnam juga ialah rakan kongsi yang aktif dalam Asean, bekerjasama untuk menggalakkan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan penyepaduan dalam rantau ini.

“Marilah kita memanfaatkan penyertaan bersama kita dalam pelbagai platform serantau dan antarabangsa untuk terus menangani cabaran dan memajukan kepentingan bersama kita demi faedah kedua-dua negara dan pertumbuhan mampan, seimbang dan inklusif Asean,” katanya.

Tengku Zafrul menekankan bahawa Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam boleh membangunkan pencapaian penting yang jelas, yang dicapai dalam 50 tahun pertama hubungan diplomatik Malaysia dan Vietnam.

“Semoga forum ini menjadi pemangkin untuk hubungan yang baharu, kerjasama yang membuahkan hasil, serta masa depan yang makmur untuk kedua-dua negara kita,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia-Vietnam akan manfaatkan RCEP, CPTPP – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa pelabur Vietnam untuk membuat pelaburan di Malaysia dan memberi jaminan Kerajaan Perpaduan untuk mempermudahkan urusan pelaburan mereka di negara ini.

Pelawaan itu disuarakan beliau ketika bertemu komuniti perniagaan dalam program Forum Perniagaan Malaysia-Vietnam di Hanoi pada hari kedua lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya hubungan erat antara Malaysia dan Vietnam ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama antara kedua-dua negara menerusi pelbagai bidang,” katanya dalam hantaran Facebook rasminya, hari ini.

Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Hanoi petang semalam untuk lawatan rasmi itu atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh dan berlepas pulang ke ibu negara petang tadi.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan penghargaannya kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas usaha dilakukan beliau dalam menarik pelabur ke Malaysia.

Dalam hantaran Facebook berasingan, Perdana Menteri berkata sebelum berlepas pulang ke ibu negara, beliau dan delegasinya turut berkongsi mengenai kunjungan hormat beliau dan delegasi ke atas Presiden Vietnam, Vo Van Thuong.

“Saya menzahirkan rasa puas hati terhadap hubungan erat yang terjalin di antara Malaysia dan Vietnam.

“Tidak dapat dinafikan, kedua-dua negara mempunyai kerjasama ekonomi yang kukuh dan saya percaya masih terdapat banyak peluang kerjasama baharu yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara terutamanya dalam bidang pertanian dan industri halal,” katanya.

Anwar yang mempunyai jadual padat di Hanoi berkata, ketika pertemuan itu beliau turut mengambil kesempatan menerangkan dasar-dasar baharu negara kepada Thuong dan mempelawanya untuk berkunjung ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Selain itu, Anwar berkata beliau dan delegasi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Dewan Rakyat Vietnam Vuong Dinh Hue dan menyampaikan hasrat Dewan Rakyat Malaysia untuk mempergiatkan hubungan bagi menggalakkan kerjasama lebih erat menerusi dialog dan pertukaran maklumat.

“Saya juga nyatakan keperluan untuk Malaysia dan Vietnam terus bekerjasama dan berkongsi kepakaran dalam bidang yang dikuasai sekali gus mendapat manfaat bersama.

Semoga hubungan Malaysia dan Vietnam terus diperkasa sempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara,” katanya.

Sumber: Bernama

PM pelawa pelabur Vietnam, beri jaminan kerajaan mudahkan urusan


Content Type:

Duration:

Rakan dagang utama, Malaysia dan Vietnam, wajar bekerjasama rapat untuk menarik lebih banyak pelaburan di rantau ASEAN, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan wartawan Agensi Berita Vietnam (VNA) di Kuala Lumpur menjelang lawatan rasmi Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Vietnam dari 20 hingga 21 Julai, Tengku Zafrul berkata beliau akan mengiringi perdana menteri untuk mempromosi hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Beliau menekankan bahawa Vietnam adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan anggota ASEAN dan Vietnam dan Malaysia merupakan rakan dagang ASEAN yang penting.

Malaysia adalah pelabur langsung asing ketiga terbesar Vietnam di rantau itu dan masih ada peluang untuk kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, khususnya eksport dan import barangan pertanian dan akuatik.

Tengku Zafrul berkata selain pertanian, beliau mencadangkan kedua-dua negara bekerjasama dalam ekonomi hijau dan digital memandangkan kedua-dua negara membuat pelaburan yang besar dlam sektor berkenaan dan bersedia untuk memasuki pasaran di luar ASEAN.

Menurut Tengku Zafrul, kedua-dua negara perlu bekerjasama untuk menjual barangan halal ke pasaran di luar ASEAN.

Beliau juga berpendapat bahawa wujud potensi besar untuk perniagaan Vietnam dan Malaysia bekerjasama seperti dalam bidang kosmetik dan penjagaan kesihatan, dengan memberi keutamaan kepada bidang makanan dan pertanian.

Menurut Tengku Zafrul, wakil Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga turut serta dalam lawatan itu.

Mereka dijadual mengadakan sesi kerja dengan perniagaan Vietnam yang menyasarkan eksport ke Malaysia.

Beliau berkata kementerian itu akan menganjurkan Pameran Tahunan Halal Antarabangsa Malaysia pada September, dengan penyertaan daripada beberapa perusahaan domestik dan antarabangsa, serta berharap syarikat Vietnam akan melihat Malaysia sebagai pusat eksport produk halal di seluruh dunia.

Sumber: Bernama

Masih banyak ruang untuk kerjasama Vietnam-Malaysia – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Pas Pelabur Strategik (ISP) yang menawarkan manfaat layanan istimewa untuk pelabur memasuki Malaysia secara berulang kali, dijangka dapat melonjakkan daya tarikan Malaysia bagi kalangan pelabur asing, kata ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Prof Yeah Kim Leng, berkata kemudahan itu juga mampu meningkatkan persepsi positif pelabur terhadap iklim pelaburan negara ini.

“Sentimen sedemikian akan mempengaruhi keputusan masa depan mereka untuk sama ada mengembangkan atau memindahkan operasi ke negara lain (seperti di Malaysia),” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 14 Julai lalu mengenai langkah kerajaan mengeluarkan SIP secara aktif kepada pelabur dalam usaha menjadikan Malaysia destinasi pelaburan global, termasuk membolehkan pelabur tinggal di negara ini untuk sekurang-kurangnya lima tahun sebelum dipertimbangkan untuk lanjutan selama lima tahun lagi.

Anwar turut mengumumkan hasrat kerajaan untuk memperlukan skop Pas Lawatan Profesional Nomad Digital untuk merangkumi kemahiran berkaitan pembuatan.

Pas itu membolehkan profesional yang layak seperti pereka elektrik dan elektronik (E&E) serta litar bersepadu (IC) berpeluang berpindah ke Malaysia dan bekerja secara bebas sehingga dua tahun.

Mengulas selanjutnya, Kim Leng turut menyifatkan SIP sebagai antara beberapa kaedah pemudahcara utama yang diperkenalkan kerajaan bagi meningkatkan semula kedudukan negara sebagai destinasi pilihan.

“Ini satu inisiatif yang berpandangan jauh (bagi membawa kemajuan) berikutan persaingan sengit untuk mendapatkan pelaburan langsung asing, perdagangan, tenaga kerja serta modal di rantau ini.

“SIP akan mempermudah akses bagi pegawai dagang utama yang sememangnya kerap melakukan perjalanan serta berada di negara ini.

“Pegawai dagang ini yang lazimnya berkemahiran tinggi dan berkaliber, turut menyumbang dari segi pemindahan pengetahuan, teknologi serta peningkatan kemahiran bagi kalangan tenaga kerja tempatan, terutama mereka yang dilatih untuk mengambil alih peranan atau fungsi utama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata inisiatif itu bertujuan mempercepat usaha peningkatan kemahiran atau membantu sektor E&E meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.

“Sektor ini sudah wujud sekian lama sejak 1970-an apabila Intel menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan mereka.

“Untuk beberapa lama, kita kekal di peringkat bawah sektor E&E, khususnya dalam semikonduktor yang mana terus berperanan sebagai penggiat utama untuk perkhidmatan penyumberan luar pengujian dan pemasangan semikonduktor (OSAT),” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, sejajar dengan usaha bagi memastikan sektor berkenaan dapat terus meningkatkan kedudukannya dalam rantaian global serta membolehkan kehadiran bakat asing di Malaysia, SIP juga dilihat sebagai satu pemangkin tepat untuk mereka berada di sini.

“Bagaimanapun, perlu ada hala tuju untuk menjamin pemindahan teknologi itu berlaku secara paling kondusif.

“Dasar-dasar berkaitan perlu lebih jelas yang mungkin memerlukan usaha meneliti insentif cukai untuk menarik dan mengekalkan bakal terbabit,” katanya.

Sumber: Bernama

Pas Pelabur Strategik bakal lonjak daya tarikan Malaysia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon