Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) sedang mengambil langkah aktif untuk menggalakkan dan memperkasa sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mencapai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan matlamat kemampanan.
Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata dengan peningkatan produktiviti melalui penggunaan teknologi dan automasi, pemain industri tempatan boleh meningkatkan daya saing dan membayar gaji pekerja mahir Malaysia dengan lebih baik.
“Selain mendorong penyahkarbonan ke arah mencapai sifar bersih menjelang 2050, yang biasanya boleh diukur, kita memerlukan aspirasi yang lebih bercita-cita tinggi dan lebih jelas untuk ‘S’ (sosial) pada ESG juga.
“Kita tidak sepatutnya melihat ESG sebagai kos tetapi sebagai peluang untuk melabur dan berkembang,” katanya kepada pemberita pada Persidangan Kemampanan dan ESG 2023 di sini, semalam.
Liew berkata sasaran ESG biasanya akan merangkumi pengurangan pelepasan gas rumah hijau, melabur dalam tenaga mampan, meningkatkan kepelbagaian di tempat kerja dan menyediakan amalan kewangan yang telus.
Persidangan Kemampanan dan ESG 2023, anjuran bersama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Nexus Produktiviti Elektrik dan Elektronik (EEPN), bertujuan untuk mempromosikan kesedaran dan impak ESG dan kemampanan ke atas PKS.
Sumber: Bernama
MITI galakkan ESG, kemampanan melalui NIMP 2030
Content Type:
Duration: