Berita Ekonomi Archives - Page 5 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Kerajaan komited permudahkan aktiviti perniagaan, sokong pelaburan domestik – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan komited untuk meningkatkan dan mempermudahkan lagi aktiviti perniagaan dalam negara dan menyokong pelaburan langsung domestik.

Selain itu, katanya, Kabinet juga menumpu untuk mempercepat pelaksanaan projek kerajaan dan memudahkan kelulusan aktiviti perniagaan antaranya termasuklah permohonan berkenaan ekspatriat yang berkemahiran, dalam usaha menggalakkan pertumbuhan domestik.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memangkin dan menarik pelaburan berkualiti tinggi yang akan menghasilkan hubungan dengan para usahawan tempatan dan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Ini termasuk langkah Belanjawan 2023 untuk menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya melalui penyediaan pelbagai kemudahan pembiayaan dan jaminan bernilai RM40 bilion,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Anwar terdahulu hari ini mengadakan sesi dialog dengan pemimpin perniagaan, badan pengawal selia dan ahli ekonomi berhubung langkah-langkah untuk memperkukuh pemacuan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan domestik.

Sesi dialog berkenaan disertai dewan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan bank-bank.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri berkata, petunjuk awal indikator ekonomi memperlihatkan dasar fiskal kerajaan dan langkah Belanjawan 2023 telah membuahkan hasil meskipun menghadapi pelbagai cabaran. Jelasnya, Malaysia mencapai pertumbuhan Suku Pertama (S1) 2023 yang memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus (berbanding unjuran 2023 sebanyak 4 peratus hingga 5 peratus) dan mengurangkan kadar pengangguran kepada 3.5 peratus (berbanding 5.2 peratus pada Mei 2020).

Selain itu, jumlah pelaburan yang diluluskan pada S1 2023 mencecah RM71 bilion, meningkat 60 peratus daripada RM45 bilion pada S1 2022.

“Ia disokong oleh minat pelaburan yang tinggi daripada, antaranya, Amazon Web Services, Tesla EV, Geely / Proton Automotive City di Tanjung Malim dan Ronsheng Petrochemicals di Pengerang.

“Pengesahan penarafan kredit oleh Fitch dan Moody’s masing-masing pada Februari 2023 dan April 2023 mencerminkan keyakinan mereka terhadap iltizam kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi walaupun di tengah-tengah situasi global yang sangat mencabar,” katanya.

Pada pertemuan yang sama, Anwar turut menekankan komitmen kerajaan dalam memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan, memulihkan keyakinan terhadap institusi awam dan tata kelola serta menegakkan keadilan sosial untuk semua rakyat, selaras dengan visi Malaysia MADANI.

Beliau turut menjelaskan bahawa dasar dan keutamaan ekonomi di bawah Kerajaan Perpaduan akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam Pelan Induk Perindustrian (Ogos 2023), Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (September 2023) dan Belanjawan 2024 (Oktober 2023).

Justeru, katanya, kumpulan perniagaan turut dipelawa untuk mengemukakan input dan cadangan berhubung rancangan ekonomi yang bakal dibentangkan itu.

Orang ramai juga boleh berkongsi cadangan berhubung langkah-langkah bagi mengembangkan lagi ekonomi negara melalui segmen “Suarakan Pendapat Anda” di lawan web rasmi Kementerian Kewangan www.mof.gov.my, tambahnya.

Sumber: Bernama

Kerajaan komited permudahkan aktiviti perniagaan, sokong pelaburan domestik – Anwar


Content Type:

Duration:

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyarankan agar semua rakan Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) untuk berusaha ke arah membina integrasi vertikal rantaian bekalan bagi mencapai pertumbuhan holistik dan progresif untuk semua.

Saranan itu dibuat oleh Timbalan Menteri MITI, Liew Chin Tong semasa Mesyuarat Menteri IPEF pada 27 Mei 2023 di Detroit, Amerika Syarikat.

Menurut MITI, perjanjian rantaian bekalan yang dicadangkan bertujuan untuk meningkatkan pemahaman kolektif tentang risiko rantaian bekalan dan bagaimana menguruskannya bagi menambahbaik daya tahan, kecekapan, produktiviti, kemampanan, ketelusan dan keterangkuman rantaian bekalan.

“Ini melibatkan antara lain, pengenalpastian sektor kritikal dan barangan utama oleh setiap negara rakan serta penubuhan badan rantaian bekalan yang berkaitan di peringkat serantau IPEF untuk memudahkan kerjasama dalam kalangan rakan kongsi,” kata MITI dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ia menambah 14 rakan IPEF mewakili 40 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) global dan 28 peratus daripada perdagangan barangan dan perkhidmatan global.

MITI berkata para menteri turut mengemaskini kemajuan rundingan dalam tiga tonggak IPEF lain iaitu perdagangan, ekonomi bersih dan ekonomi saksama, memfokuskan pada langkah-langkah untuk mencapai hasil dan faedah ketara yang kukuh untuk semua rakan.

Selain daripada Mesyuarat Peringkat Menteri IPEF, Liew turut mengetuai delegasi ke Mesyuarat Menteri Bertanggungjawab untuk Perdagangan (MRT) APEC ke-29 (25-26 Mei) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 26 Mei.

Semasa Mesyuarat Peringkat Menteri CPTPP yang dihoskan oleh Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O’Connor, Liew mengulangi sokongan berterusan Malaysia untuk mengekalkan dan menegakkan standard tinggi Perjanjian CPTPP.

Timbalan Menteri itu turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat dalam kalangan pihak CPTPP mengenai penggunaan dan manfaat yang ditawarkan di bawah perjanjian berkenaan khususnya integrasi perusahaan kecil dan sederhana ke dalam rantaian bekalan CPTPP untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Sumber: Bernama

MITI saran rakan IPEF bangunkan integrasi vertikal rantaian bekalan


Content Type:

Duration:

Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM71.4 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi suku pertama 2023, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Agensi penggalakan dan pembangunan pelaburan utama kerajaan itu menjelaskan pelaburan ini melibatkan 1,265 projek yang dijangkakan menjana 23,977 peluang pekerjaan baharu.

“Berdasarkan landskap pelaburan yang kondusif, Malaysia terus memperoleh lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berbanding pelaburan langsung domestik (DDI).

“FDI menyumbang RM37.5 bilion, mewakili 52.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan,” menurut Mida dalam kenyataan pada Isnin.

Singapura mendahului dalam aspek pelaburan yang diluluskan dengan jumlah RM11.5 bilion, diikuti oleh British Virgin Islands (RM7.1 bilion), China (RM6.5 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion) dan Korea Selatan (RM2.5 bilion).

Sementara itu, DDI menyumbang RM33.9 bilion, menunjukkan keyakinan baharu daripada kalangan pelabur domestik terhadap kemajuan dan prospek ekonomi Malaysia, tambah agensi itu.

Mida menambah dari segi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan ialah Kuala Lumpur dengan RM21.8 bilion, disusuli Johor (RM10.6 bilion), Selangor (RM7.4 bilion), Perak (RM7.1 bilion) dan Sabah (RM6.3 bilion).

Dari segi sektor, sektor perkhidmatan menarik bahagian terbesar pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM53.6 bilion (dengan lebih 12,000 peluang pekerjaan), diikuti sektor perkilangan (RM15.6 bilion, lebih 11,900 pekerjaan baharu) dan sektor utama (RM2.2 bilion).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keupayaan Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM71.4 bilion pada suku itu membuktikan daya tarikan berterusan Malaysia sebagai kuasa pelaburan.

“FDI dan pelaburan domestik hampir sepadan antara satu sama lain dari segi nilai. Dari perspektif domestik, ini jelas mencerminkan keyakinan baharu terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

“Semua ini akan memberi kesan limpahan positif, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan domestik, selain kepada rakyat dari segi pekerjaan dengan gaji lebih baik, yang akan membantu menyokong ekonomi kita dalam menghadapi pelbagai cabaran global tahun ini. ,” katanya.

Landskap pelaburan Malaysia menyediakan prospek cerah dengan perancangan pelaburan yang dicadangkan dan mendorong projek diselia oleh pihak Mida.

Mida menjelaskan pada masa ini terdapat 878 projek meliputi cadangan pelaburan bernilai RM35.9 bilion untuk projek yang akan dilaksanakan dan RM150.4 bilion untuk projek utama.

Sektor pembuatan mendahului dengan 78.8 peratus (RM28.3 bilion) projek yang dirancang, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 21.2 peratus (RM7.6 bilion), menunjukkan portfolio pelaburan yang pelbagai.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Arham Abdul Rahman berkata perancangan yang teguh dan portfolio projek utama ini memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berkembang maju, dipacu oleh lokasi strategik, infrastruktur lengkap, tenaga kerja mahir dan dasar perniagaan yang menyokong.

Beliau berkata Mida, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama di Malaysia, kekal komited memupuk persekitaran yang kondusif untuk perniagaan dan pelabur, dan angka memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia bagi pertumbuhan dan kejayaan jangka masa panjang.

“Dalam melangkah maju, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Mida menyasar untuk mengekalkan momentum ini dengan menarik pelaburan baharu yang sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu, ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif untuk Malaysia,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Malaysia tarik pelaburan diluluskan bernilai RM71.4 bilion


Content Type:

Duration:

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Jepun dari 29 Mei hingga 3 Jun 2023 untuk mengukuhkan hubungan perdagangan, perindustrian dan pelaburan sedia ada antara kedua-dua negara.

Misi itu akan meliputi Tokyo dan Osaka dan akan terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata misi perdagangan dan pelaburan adalah program utamanya, yang turut mencerminkan fungsi utamanya sebagai kementerian yang bertanggungjawab untuk menggalakkan perdagangan dan menarik pelaburan asing serta menggalakkan pelaburan tempatan.

Jepun telah menjadi rakan dagang yang penting dan sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) untuk Malaysia selama beberapa dekad.

“Misi ini dijangka mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara sejajar dengan peningkatan hubungan dua hala Malaysia-Jepun kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun lepas,” menurut MITI.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul dan delegasinya akan bertemu dengan pemain industri Jepun yang terkemuka dalam sektor ini, yang telah menunjukkan minat mereka untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia.

Tengku Zafrul juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Nishimura Yasutoshi untuk membincangkan isu dua hala dan kerjasama ekonomi melalui pelbagai platform antarabangsa, terutamanya Dialog Dasar Perindustrian Awam-Swasta Jepun-Malaysia, Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik (IPEF), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Pada 2022, Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan sebanyak US$41.21 bilion (RM181.50 bilion) berbanding US$36.41 bilion (RM149.76 bilion) pada 2021.

Jumlah perdagangan Malaysia-Jepun pada 2022 telah meningkat 21.2 peratus tahun ke tahun.

Dari segi pelaburan, Jepun telah menjadi antara sumber utama FDI Malaysia untuk sektor pembuatan.

Sehingga 2022, sebanyak 2,746 projek pembuatan dengan penyertaan Jepun telah dilaksanakan.

“Projek ini telah menjana impak limpahan yang positif untuk rantaian bekalan perusahaan kecil dan sederhana tempatan dan menyediakan pekerjaan kepada 336,326 orang,” menurut MITI.

Katanya Jepun disenaraikan sebagai pelabur asing keempat terbesar dari segi projek pembuatan yang dilaksanakan.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Jepun dari 29 Mei hingga 3 Jun


Content Type:

Duration:

Hubungan baik dengan delegasi dan pemain industri utama dari China dilihat mampu membuka peluang kerjasama serta menarik pelaburan asing masuk ke dalam negara, sekali gus membantu memacu ekonomi Malaysia.

Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Bhd., Tan Sri Ir Lim Hock San berkata, lawatan delegasi dari China yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Fujian Provincial People’s Congress, Zhou Zuyi baru-baru ini adalah sangat signifikan dalam mewujudkan peluang pertukaran pendapat, maklumat dan pandangan.

LBS secara langsung terlibat dengan dua sesi perkongsian yang diadakan sempena lawatan timbal balik ke Malaysia berikutan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China pada April lalu.

“Pertemuan baru-baru ini berjalan dengan lancar dan kami yakin ia mampu meneroka peluang kolaborasi yang memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi bagi kedua-dua buah negara.

“Malah, sekiranya Fujian berminat serta merancang untuk membuat pelaburan di Malaysia, ianya bakal membuka peluang pelaburan yang lebih besar di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan pemerkasaan ekonomi negara.

“Kami juga percaya bahawa ia turut bakal memberi manfaat kepada China untuk memulakan pasaran dan peluang perdagangan dua hala,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di pejabat LBS Suite di sini pada Khamis.

Salah sebuah sesi perkongsian tersebut berlangsung semasa majlis minum petang di hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, di mana Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan berangkat bercemar duli.

Dalam sesi perkongsian berasingan yang diadakan pada hari sama, LBS turut terlibat dengan mesyuarat delegasi Kerajaan Fujian yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bertempat di hotel St. Regis Kuala Lumpur.

Menurut Hock San, perbincangan tersebut menyentuh tentang prospek kerjasama yang akan diterokai dengan tumpuan khusus kepada pembangunan Zon Ekonomi Tepi Laut Melaka (M-WEZ).

“Melalui anak syarikat LBS, Leaptec Engineering Sdn. Bhd. memeterai perjanjian dengan kerajaan Melaka untuk membangunkan 1,200 ekar tanah di M-WEZ. Ketua Menteri Melaka turut menyatakan kesediaan beliau dan kerajaan negeri untuk terus mempromosikan Melaka kepada pemimpin utama China bagi memacu kestabilan ekonomi.

“LBS positif bahawa China akan terus memainkan peranan besar dalam pembangunan dan kemajuan negara agar bergerak ke hadapan. Kami berharap dapat melihat peningkatan jumlah usaha sama dan kerjasama antara Malaysia dan China pada masa akan datang,” ujarnya.

Terdahulu pada April, semasa lawatan Anwar ke China, sebanyak 19 perjanjian persefahaman telah dimeterai di antara syarikat-syarikat Malaysia dan syarikat-syarikat China dengan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China ke Malaysia.

Sumber: Astro Awani

Kerjasama LBS dan syarikat dari China, buka laluan pelaburan ke Malaysia


Content Type:

Duration:

Semua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara syarikat Malaysia dan China baru-baru ini akan dinilai secara telus dan komprehensif oleh Jawatankuasa Penilaian MoU yang dianggotai oleh beberapa kementerian serta agensi berkaitan pelaburan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kementerian yang terlibat iaitu Kementerian Kewangan (MoF) akan mengesahkan syarikat tersebut tidak disenarai hitam di bawah MoF, manakala Kementerian Luar akan meneliti implikasi MoU terhadap dasar luar negara Malaysia.

Beliau berkata MITI pula akan menganalisa kekuatan kewangan syarikat tempatan yang terlibat dengan MoU.

Menurutnya agensi berkaitan pelaburan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengambil kira impak atau faedah yang akan diperoleh melalui MoU terhadap aspek perdagangan negara.

“Dalam proses penilaian MoU, terdapat beberapa MoU telah ditolak oleh Jawatankuasa Penilaian MoU disebabkan tidak memenuhi kriteria MoU dan tidak membawa faedah ekonomi yang signifikan kepada negara,” katanya dalam akaun media sosial miliknya hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian susulan dakwaan Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Dewan Rakyat bahawa terdapat beberapa syarikat yang menandatangani MoU dengan syarikat China hasil lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini, tidak mempunyai rekod prestasi dan sama ada MITI atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat tersebut.

Tengku Zafrul berkata bukan semua komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion adalah daripada MoU.

Menurutnya ia terbahagi kepada dua komponen iaitu RM100.33 bilion komitmen pelaburan daripada syarikat terkemuka China semasa sesi meja bulat yang dipengerusikan oleh Anwar.

Beliau berkata komponen kedua adalah RM69.74 bilion iaitu komitmen pelaburan dan kerjasama ekonomi melibatkan 19 MoU perniagaan kepada perniagaan antara syarikat Malaysia dan China.

Tengku Zafrul berkata MoU yang telah dimeterai adalah transaksi perniagaan kepada perniagaan, justeru beliau berkata penilaian secara komprehensif perlu dilaksanakan.

“Ini kerjasama dengan syarikat asing dengan nilai projek yang mencecah bilion ringgit. Penilaian mesti dilakukan kerana kalau urusan perniagaan tersebut tidak jadi, yang rugi nanti syarikat kita, bukan kerajaan,” katanya.

Sumber: Bernama

Semua MoU antara syarikat Malaysia, China dinilai telus, komprehensif – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Minat untuk penglibatan dalam hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan antara negara dan syarikat yang terlibat dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) meningkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkembangan positif ini tidak hanya ditunjukkan pada sektor aeroangkasa tetapi juga sektor maritim.

“Pada LIMA kali ini, kami melihat peningkatan minat dan penglibatan bukan hanya untuk mengukuhkan hubungan dua hala tetapi juga dari segi pelaburan dan perdagangan dalam kalangan rakan kongsi.

Inilah yang kami capai dalam beberapa hari lepas dan insya-Allah dalam sehari atau dua hari lagi (LIMA ’23) penglibatan ini akan menjadi lebih kuat, prestasi bukan hanya daripada aeroangkasa tetapi juga dalam sektor maritim, kata beliau dalam ucapannya semasa Resepsi Persidangan Maritim Antarabangsa bersempena LIMA ’23 di sini malam ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Selain itu, Anwar berkata hubungan terjalin antara Malaysia dan negara-negara yang menyertai LIMA sebelum ini kekal utuh, terutamanya antara negara anggota ASEAN, Turkiye, Amerika Syarikat, Rusia dan Romania.

“Keseluruhan tujuan LIMA — terutamanya untuk sektor maritim dan aeroangkasa – ialah memastikan kami meneruskan penglibatan dengan negara lain secara bermakna, bagi mengukuhkan keupayaan pertahanan kami,” katanya.

LIMA ’23 yang bertemakan “Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” yang bermula semalam sehingga 27 Mei ini dijangka menarik kehadiran lebih 45,000 pelawat perdagangan dan 250,000 pengunjung awam.

Acara dwitahunan itu disertai lebih 525 pempamer termasuk 140 syarikat dalam industri pertahanan, 101 syarikat dalam sektor komersial dan 284 syarikat daripada kedua-dua sektor.

Acara itu turut menyaksikan 18 negara mewujudkan pavilion termasuk Australia, China, Republik Czech, Finland, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, Korea Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu.

Sumber: Bernama

Peningkatan minat dalam hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan pada LIMA ’23 – PM


Content Type:

Duration:

Ekonomi Malaysia dijangka meneruskan pemulihan kukuhnya tahun ini, selepas dinobatkan sebagai ‘juara’ pertumbuhan di Asia apabila merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 8.7 peratus tahun lalu, paras tertinggi dalam tempoh 26 tahun.

Ketua Ahli Ekonomi yang juga Ketua Bersama Penyelidikan Global Asia HSBC, Frederic Neumann, berkata dengan pertumbuhan suku pertama KDNK pada 5.6 peratus, Malaysia sekali lagi mengatasi jangkaan pasaran dipacu daya tahan ekonomi yang sebahagian besarnya disokong penggunaan swasta yang kukuh.

Katanya, sebahagian daripada daya tahan ekonomi Malaysia adalah hasil daripada peningkatan berterusan dalam pasaran buruh yang semakin menghampiri paras sebelum pandemik.

“Daripada aspek lain, Malaysia menerajui rantau ini dari aspek pemulihan dalam jualan runcit terutama dalam jualan kereta.

“Ia bukan saja membabitkan penggunaan barangan, malah turut merangkumi penggunaan perkhidmatan termasuk aktiviti rekreasi dan pelancongan sekali gus menunjukkan pembukaan semula yang berterusan,” katanya pada sesi taklimat maya Unjuran Asian Separuh Kedua 2023 HSBC secara maya, hari ini.

Yang turut serta, Ketua Strategi Ekuiti Asia Pasifik HSBC Global Research, Herald J Van Der Linde; Ketua Ahli Ekonomi bagi China HSBC Global Research, Jing Liu; Ketua Penyelidikan FX Asia, Joey Chew; dan Ketua Pusat Perubahan Iklim dan Ketua Penyelidikan ESG HSBC Global Research, Wai-Shin Chan.

Neumann berkata, ekonomi Malaysia juga meraih manfaat daripada inflasi lebih terkawal yang disokong subsidi disalurkan kerajaan bagi menstabilkan harga.

“Dengan inflasi utama sebanyak 3.4 peratus tahun ke tahun pada Mac, Malaysia berada di tempat kedua terendah di ASEAN selepas Thailand. Tidak menghairankan, sentimen penggunaan yang kukuh juga telah menunjukkan peningkatan berterusan dalam sektor perkhidmatan.

“Bukan sahaja perkhidmatan berorientasikan dalam negeri telah menunjukkan daya tahan, pemulihan dalam pelancongan antarabangsa juga meneruskan momentum yang kukuh.

“Pelancongan menerima manfaat langsung susulan rancangan pembukaan semula China. Walaupun Malaysia tidak bergantung kepada sektor pelancongan seperti Thailand, sumbangan pelancongan antarabangsa masih besar mencakupi enam peratus daripada KDNK, melebihi purata Asia iaitu kira-kira empat peratus,” katanya.

Beliau menegaskan, sektor pelancongan berjaya mengimbangi beberapa kelemahan dalam penggunaan barangan, meskipun sektor pembuatan kekal berdaya tahan.

Katanya, pengeluaran perindustrian menongkah arus berbanding kelembapan perdagangan global yang ketara dan mencatat pertumbuhan kekal baik iaitu 3.2 peratus tahun ke tahun.

“Sebagai negara pengeksport yang memiliki asas eksport yang pelbagai seperti komoditi dan pembuatan elektronik, perdagangan Malaysia adalah yang terbaik di Asia.

“Walaupun kami menjangkakan ketidaktentuan pertumbuhan akan berlaku pada dalam dan luar negara, ini tidak bermakna Malaysia akan memasuki kemelesetan. Kami mengekalkan pertumbuhan 2023 kami pada empat peratus, lebih perlahan tetapi stabil,” katanya.

Berhubung Kadar Dasar Semalaman (OPR), Neumann berkata, HSBC menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar yang stabil pada 3.0 peratus.

Sementara itu, beliau menjelaskan, risiko terbesar kepada pertumbuhan Malaysia ialah faktor halangan perdagangan yang meningkat.

“Bagaimanapun, kami percaya Malaysia adalah antara penerima manfaat utama pembukaan semula China, yang boleh mengurangkan sebahagian daripada beberapa risiko perdagangan.

“Walaupun, inflasi yang agak terkawal, sebarang kejutan menaik kepada inflasi teras berikutan pengukuhan permintaan dalam negeri akan menjejaskan fungsi tindakan BNM.

“Selain itu, pelan konsolidasi fiskal Malaysia juga patut diawasi dengan teliti, kerana ia akan mempunyai implikasi utama untuk kedudukan fiskal jangka sederhana Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Van Der Linde berkata, pasaran saham Malaysia adalah lebih baik berbanding pasaran lain di Asia, berikutan kestabilan yang dikecapi, sekali gus berada pada jajaran positif dalam kalangan pasaran Asia.

“Kami menjangkakan Bursa Malaysia berada pada paras 1,490 mata menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia mampu kekalkan status ‘juara’ ekonomi Asia: HSBC


Content Type:

Duration:

Misi penggalakan pelaburan dan perdagangan serta lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke sembilan buah negara dari Januari hingga Mac 2023 telah berjaya menarik potensi pelaburan dianggarkan berjumlah RM184.73 bilion serta potensi eksport bernilai RM3.22 bilion.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, negara yang dilawati Perdana Menteri dan delegasi kerajaan adalah Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, Turkiye, Filipina, Arab Saudi, Kemboja dan China.

“Misi utama yang digalas Perdana Menteri semasa lawatan antara lainnya adalah bagi meyakinkan bakal pelabur untuk melabur di Malaysia di samping memperkukuh, mendalami dan memperluas kerjasama dua hala antara Malaysia dan negara yang telah dilawati.

“….terutamanya dalam sektor kebudayaan dan pelancongan ke arah menggalakkan perhubungan yang lebih akrab dalam kalangan rakyat dan pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan, serta memupuk persefahaman yang lebih jitu antara kedua-dua buah negara,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin tahu jumlah kos yang dibelanjakan oleh kerajaan bagi lawatan Perdana Menteri ke negara luar dari Januari hingga Mac 2023 dan hasil pelaburan yang sebenar daripada lawatan tersebut.

Armizan berkata, lawatan rasmi dan persidangan antarabangsa itu merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia serta mampu memberi maklumat terkini kepada komuniti perniagaan antarabangsa mengenai kedudukan ekonomi dan persekitaran perniagaan di negara ini.

Antara program yang dilaksanakan sepanjang lawatan rasmi tersebut termasuklah mesyuarat tertutup bersama bakal pelabur, seminar dan mesyuarat meja bulat.

Ketika lawatan rasmi ke Arab Saudi dari 22 hingga 24 Mac 2023, Perdana Menteri menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat Malaysia dan Arab Saudi yang melibatkan kerjasama antaranya bagi pengeluaran cip untuk semi-konduktor termasuk pembukaan kilang di Negeri Sembilan dan di Arab Saudi serta aspek latihan kepada jemaah haji di 23 buah negara di rantau Asia dengan anggaran kos pelaburan berjumlah AS$50 juta.

Manakala ketika lawatan rasmi ke Kemboja, Anwar menyaksikan dua MoU ditandatangani antara kerajaan Malaysia dan Kemboja berhubung pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja domestik dan penghantaran pulang pekerja.

Sumber: Bernama

Lawatan PM ke-9 negara tarik potensi pelaburan RM184.73 bilion


Content Type:

Duration:

Sebanyak 157,760 peluang pekerjaan telah diwujudkan di Malaysia hasil daripada pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan sejak 2017 hingga 2022, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menteri, Liew Chin Tong berkata daripada jumlah itu, sebanyak 133,117 atau 84.3 peratus ialah pekerja tempatan manakala selebihnya iaitu 26,643 pula merangkumi pekerja asing.

“Ia terhasil daripada sejumlah 1,392 projek pemilikan asing bernilai RM426.6 bilion,” katanya semasa esi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah pekerjaan sebenar yang diwujudkan hasil daripada FDI sejak 2017 hingga 2022.

Mengikut pecahan, sebanyak 1,164 projek perkilangan yang melibatkan pelaburan bernilai RM329.9 bilion telah direalisasikan dan mewujudkan 150,873 peluang pekerjaan, katanya.

Beliau berkata lima industri perkilangan utama melibatkan pemilikan asing yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah industri elektrik dan elektronik melibatkan 75,593 pekerjaan, barangan logam asas (14,477 pekerjaan), jentera dan kelengkapan (7,001 pekerjaan), barangan galian bukan logam (6,820 pekerjaan) dan barangan getah (5,721 pekerjaan).

LIew berkata bagi sektor perkhidmatan pula, sebanyak 228 projek dengan pelaburan bernilai RM96.7 bilion telah direalisasikan bagi 2017 hingga 2022 dan mewujudkan 6,887 peluang pekerjaan.

Beliau berkata tiga subsektor utama yang mewujudkan jumlah pekerjaan tertinggi adalah pertubuhan global (3,197 pekerjaan), perkhidmatan sokongan (1,481 pekerjaan) dan perkhidmatan kesihatan (1,303 pekerjaan).

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Johari mengenai beberapa syarikat Malaysia yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat China dan tidak mempunyai rekod prestasi, Liew berkata projek atau MoU yang ditandatangani itu akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus dan juga dengan proses biasa yang telah diamalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Bagi masa depan, sebenarnya kerajaan dipandu oleh lima kriteria dasar pelaburan nasional.

“Kriteria ini untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi, untuk menjana pelaburan bernilai tinggi dan juga pendapatan tinggi, memperluas rangkaian domestik dan juga mewujudkan kluster ekonomi baharu dan tambahan kepada yang sedia ada serta meningkatkan kerangkuman.

“Ini adalah ‘dashboard’ (panel maklumat dan kawalan) kita untuk memantau apa yang kita terima,” katanya. 

Sumber: Bernama

MITI: 157,760 peluang pekerjaan diwujudkan hasil FDI sejak 2017-2022


Content Type:

Duration:

Kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas dan menyakinkan telah menarik pelaburan ke dalam pelbagai sektor ekonomi yang lebih rancak pada suku pertama 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama 2023 adalah berjumlah RM71.4 bilion iaitu peningkatan 60 peratus daripada suku pertama 2022 yang mencatatkan RM44.7 bilion.

“Saya rasa kestabilan politik itu sesuatu yang menyakinkan sehinggakan perlaburan lebih rancak sekarang daripada dulu, (apa) yang penting bukan sekadar pengumuman dan Memorandum Persefahaman (MoU) tetapi pelaksanaannya.

“Ini sepertimana pelaburan daripada Tesla dalam kenderaan elektrik (EV), Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037, Rongsheng Petro Chemical dan Geely sebagai permulaan,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengenai keyakinan pelabur dan dasar ekonomi utama Malaysia.

Anwar berkata jika dasar ekonomi negara mengelirukan, maka pertumbuhan Malaysia tidak akan dapat mengatasi pertumbuhan Indonesia, Vietnam dan China. 

Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.6 peratus pada suku pertama 2023, lebih baik berbanding negara serantau seperti Indonesia (5.0 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus). 

Pertumbuhan itu juga adalah lebih kukuh berbanding unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2023 iaitu 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, katanya.

“Kalau dasar (kita) celaru, tidak mungkin pelaburan datang dan pelaburan ini serius sebab sebulan selepas ke China, Geely datang bukan saja melancarkan Proton tapi juga mencadangkan supaya disegerakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City, Tanjong Malim,” katanya.

Anwar berkata keyakinan terhadap pengurusan ekonomi kerajaan juga terbukti apabila agensi penarafan kredit Fitch (Februari 2023) dan Moody’s (April 2023) mengekalkan penarafan kredit Malaysia.

Sementara itu mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB), beliau berkata penyelesaian dengan pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) melibatkan US$1.8 bilion akan diteruskan.

“Seperti semua tahu Putera Mahkota Abu Dhabi (Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan) hadir (di Malaysia) sekarang untuk meneruskan langkah-langkah perbincangan termasuk pelaburan,” katanya.

Beliau berkata penyelesaian 1MDB adalah antara usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan tata kelola yang menghasilkan kemajuan positif.

Sumber: Bernama

Kestabilan politik, dasar ekonomi jelas tarik pelaburan rancak bagi suku pertama 2023


Content Type:

Duration:

Hubungan perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini berada di landasan pertumbuhan yang betul, dengan lebih banyak bidang dan peluang untuk diteroka oleh kedua-dua negara dalam melangkah maju, menurut pandangan pakar ekonomi.

Profesor ekonomi di Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata UAE ialah antara 20 destinasi eksport utama Malaysia selain menjadi antara pasaran yang paling pesat berkembang untuk eksport Malaysia, apabila berkembang 43 peratus pada 2022.

Beliau berkata justeru, terdapat potensi kukuh untuk melonjakkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara, dengan Malaysia boleh memanfaatkan pasaran Timur Tengah melalui UAE dan demikian juga UAE boleh meneroka peluang perdagangan dan pelaburan di Asean melalui Malaysia.

“Memandangkan ekonomi maju menghadapi cabaran dalam mengekalkan pertumbuhan, negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran eksportnya untuk mengimbangi permintaan pasaran maju yang semakin lemah.

“Perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara-negara di Asia telah sedia berkembang. Oleh itu, memperluas tumpuan ke rantau lain termasuk negara Timur Tengah akan menjadi peluasan semula jadi bagi pempelbagaian pasaran eksport,” katanya kepada Bernama.

Berkongsi pandangan yang sama, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata beliau mendapati eksport Malaysia ke UAE terlalu kecil.

“Data terbaru pada April 2023 menunjukkan eksport ke UAE berjumlah 1.0 peratus. Jadi jelas, terdapat lebih banyak ruang untuk kerjasama seterusnya.

“Saya juga mendapati kebanyakan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) telah melaksanakan banyak usaha untuk mempelbagaikan ekonomi mereka daripada industri bahan api fosil semata-mata.

“Oleh itu, amat wajar untuk bekerjasama dengan UAE dalam sebarang pembangunan ekonomi yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Pada Februari, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia dan UAE, melalui perbualan telefon, telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan dan tenaga.

Sementara itu, Yeah berkata selain sektor makanan halal dengan kedua-dua negara boleh menggalakkan pelaburan yang boleh melonjakkan pengeluaran makanan dan meningkatkan jaminan makanan setiap negara, tenaga boleh baharu dan pelaburan hijau juga menjadi bidang yang berpotensi untuk diteroka demi manfaat bersama.

Mengulas mengenai jaminan makanan, beliau berpandangan bahawa rasional untuk menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran makanan adalah untuk memastikan bekalan makanan jangka masa panjang dan mempertingkatkan jaminan makanan bagi kedua-dua negara.

“Malaysia akan mendapat manfaat daripada peranannya sebagai hab pengeluaran dan eksport memandangkan negara ini boleh memanfaatkan sumber tanah pertanian dan kelebihan iklim pertumbuhan tanaman.

“Selain itu, akan wujud lebih banyak faedah pembangunan jika pelaburan modal disalurkan kepada pertanian pintar yang memanfaatkan kuasa teknologi digital,” katanya.

Semasa lawatan rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke UAE pada 2022, Putrajaya secara rasmi menjemput UAE untuk meneroka peluang dalam pembangunan projek Bandar Malaysia yang telah diteliti semula dengan menyediakan pakej untuk lebih ramai pelabur mengambil bahagian.

Ismail Sabri juga menyatakan minat syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan firma UAE dalam industri petroleum, termasuk dalam sektor huluan dan gas asli cecair, tenaga boleh baharu, baja dan karbon dioksida.

Yeah berkata penyertaan syarikat UAE dalam projek Bandar Malaysia akan menjadi pemangkin dalam mengukuhkan keyakinan pelabur di samping menarik pelabur Timur Tengah lain bukan sahaja dalam pembangunan bandar malah juga aktiviti ekonomi seperti kewangan Islam, pelancongan dan logistik.

Mengenai sektor minyak dan gas, beliau berkata UAE menyumbang 6.0 peratus kepada jumlah import bahan api Malaysia manakala eksport ke UAE membentuk kira-kira 1.0 peratus daripada jumlah eksport bahan api Malaysia pada 2022.

Beliau berkata bahagian yang agak kecil itu menunjukkan ruang untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam industri minyak dan gas masing-masing, termasuk cari gali dan pengeluaran di negara Teluk yang kaya dengan minyak itu.

Kedua-dua negara telah menjalinkan hubungan dua hala pada awal 1970-an, diikuti dengan pembukaan misi diplomatik Malaysia di Abu Dhabi pada 1983 dan Kedutaan UAE di Kuala Lumpur pada 1995.

Sumber: Bernama

Hubungan Malaysia-UAE di landasan betul, banyak bidang dan peluang untuk diteroka


Content Type:

Duration:

Melaka bakal menerima pelaburan RM3.5 bilion menerusi tujuh projek yang akan dibangunkan di negeri ini dengan kerjasama Cheng Ho International Trade and Cultural City Centre Sdn Bhd dan syarikat pelabur dari China.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata kesemua projek berkenaan akan dibangunkan setelah proses permohonan pelaksanaannya diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.

“Pelbagai pembangunan baharu akan dibangunkan di Melaka menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan syarikat dari China. Pelaburan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan dua hala dengan republik itu.

“Salah satu projek yang dilihat akan memberi impak besar kepada Melaka ialah Menara Asean-China setinggi 88 tingkat yang akan dibangunkan di Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis MoU dengan Cheng Ho International Trade and Cultural City Centre Sdn Bhd, di sini hari ini.

Pada majlis itu, MoU berkenaan ditandatangani oleh Yong Chen Lim selaku Pengurus Besar Cheng Ho International Trade and Cultural City Centre Sdn Bhd dan disaksikan EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, beberapa projek lain ialah Asean-China Made Products Outlet and Exhibition Center, Asean-China International Grand Bazaar dan Malaysia-China Metaverse Database Center and High-Level Professional Training Base.

Katanya, semua projek berkenaan akan dibangunkan dengan kerjasama China Centre Oversea Joint Development Preparatory Comittee.

Yang turut dibangunkan ialah Health E-Atomization Industrial Park (Oriental Vaping and E-Atomization- Malaysia and China Sdn Bhd), Asean Health E-Atomization Forum (Oriental Vaping and E-Atomization Ltd UK) dan Asean Cup 2023 (Melaka) International Regatta Competition.

Sumber: Bernama

Melaka bakal terima pelaburan RM3.5b dari China


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang mencatatkan pelaburan berimpak tinggi bernilai RM22.7 bilion dengan 18,844 pekerjaan dijana pada tahun lalu berikutan pertumbuhan yang berterusan dan pembangunan industri berkaitan teknologi di negeri ini.

Menurut Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam kenyataan, dalam membina ekosistem yang kukuh dan mampan berhubung landskap perindustrian dan ekonomi negeri, ia mewujudkan hab teknologi dan inovasi yang dinamakan Pusat Inovasi Teknologi NCER (NTIC).

Katanya, penubuhan NTIC akan menjadi langkah penting dalam memudahkan inovasi dan teknologi dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui kerjasama dengan syarikat multinasional dan ahli akademik, selain turut menyediakan platform pembangunan tenaga kerja untuk menyokong keperluan industri.

Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pusat itu adalah aspek penting dalam strateginya untuk terus membangunkan industri berkaitan teknologi di negeri ini ke peringkat seterusnya.

DISYORKAN UNTUK ANDA

“Kami percaya dengan bekerjasama rapat dengan syarikat multinasional, PKS tempatan dan ahli akademik, kami dapat mewujudkan ekosistem yang berdaya maju yang akan menarik lebih banyak perniagaan ke rantau ini dan membantu memacu pertumbuhan ekonomi bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi Wilayah Ekonomi Koridor Utara secara keseluruhannya.

“Kami percaya ini akan membolehkan Pulau Pinang mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama dan hab untuk pembangunan teknologi di rantau ini,” katanya.

Selain memberi tumpuan kepada industri berkaitan teknologi, NCIA berkata pihaknya komited untuk mempromosikan sektor utama lain di Pulau Pinang, iaitu pelancongan, logistik dan perladangan pintar, yang penting kepada ekonomi negeri untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata negeri komited untuk bekerjasama rapat dengan NCIA dan kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan tarikan negeri ini kepada pelabur dalam sektor elektronik dan elektrik, semikonduktor serta pembuatan dan kejuruteraan.

“Kami juga komited untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju serantau dalam teknologi maju, tenaga kerja bernilai tinggi dan inovasi teknologi, menjadikan Pulau Pinang sebagai antara destinasi pelaburan teknologi utama di dunia,” katanya.

Sumber: Bernama

Pulau Pinang tarik pelaburan impak tinggi RM22.7 bilion


Content Type:

Duration:

Kerajaan komited untuk menambah baik dan memperkasa ekosistem serta landskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju untuk menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan satu inisiatif yang, antara lainnya, akan menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.

“Ini juga akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.

“Tadbir urus IPA juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Anwar berkata, perkara ini dibincangkan semasa Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil 1/2023 dipengerusikan beliau yang diadakan buat pertama kali selepas diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lepas.

Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Menteri Ekonomi; Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.

Majlis itu juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan, terutamanya yang melibatkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek tersebut.

“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa,” kata Anwar.

Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, katanya.

Menurut Perdana Menteri, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan.

“Hasrat ini adalah selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan untuk menilai semula landskap IPA negara agar lebih terancang sekali gus memudahkan perjalanan pelabur,” katanya.

Mesyuarat MPN kali pertama itu juga turut membincangkan mengenai pemantauan projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai Anwar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama (S1) tahun 2023 adalah sebanyak RM71.4 bilion, iaitu peningkatan 59.7 peratus berbanding S1 2022 (RM44.7 bilion), merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

MPN dijadualkan untuk bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun agar setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.

“Kerajaan komited untuk memastikan setiap pelaburan yang diluluskan akan dilaksanakan, dan seterusnya akan memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kerajaan yakin dasar dan strategi yang digubal akan memperkasakan ekosistem pelaburan dan merancakkan aktiviti pelaburan untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negara serta mengembalikan kedudukan negara sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini,” kata Anwar.

Sumber: Bernama

Kerajaan Komited Tingkat Pelaburan Langsung Asing, Domestik — PM Anwar


Content Type:

Duration:

Tugas anggota keselamatan dalam memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara banyak menyumbang kepada minat syarikat besar luar negara untuk melabur di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sumbangan anggota keselamatan termasuk polis dan tentera, tidak boleh dipandang rendah memandangkan mereka bertungkus lumus menjaga sempadan negara dan mengawal perbatasan laut.

“Jangan lupa, kalau negeri tidak aman, orang tidak datang. Di Sudan, di Pakistan tidak ada pelaburan baharu sebaliknya di Malaysia banyak pelaburan baharu kerana keamanan dijamin polis,” katanya ketika berucap pada program Sambutan Aidilfitri Perpaduan Madani Masyarakat Bersama Polis peringkat Parlimen Tangga Batu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Anwar berkata keamanan dan kestabilan politik negara, secara tidak langsung menarik minat syarikat besar seperti Geely, Amazon dan Rongsheng Petrochemical Co Ltd untuk melabur dengan jumlah pelaburan melibatkan berbilion ringgit.

Anwar turut mengulangi kenyataannya bahawa negara mampu membangun sebagai gergasi ekonomi baharu jika kestabilan politik dikekalkan dan ketelusan diamalkan dengan mengelakkan amalan sakau menyakau dan tabiat pemimpin membina ‘mahligai’ masing-masing.

“Suku tahun pertama 2023, pertumbuhan ekonomi kita terbaik di Asia, mengatasi China, Indonesia dan Vietnam. Pelaburan (Malaysia) sekarang ini tertinggi di ASEAN,” kata beliau.

Sehubungan itu Anwar berkata tekad beliau ketika ini adalah untuk memastikan negara dibersihkan daripada amalan rasuah, walaupun terdapat pihak yang mendakwanya sebagai berdendam.

“Saya bukan berdendam, saya cuma ingin membersihkan negara daripada rasuah,” katanya.

Sumber: Bernama

Keamanan negara tarik minat syarikat besar melabur – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Kerajaan disaran untuk membina ekosistem ekonomi yang lebih baik untuk mempergiat kemasukan pelaburan melalui beberapa pembaharuan termasuk sistem perbankan yang lebih baik dan dipercayai serta tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata langkah-langkah termasuk meningkatkan kemahiran pekerja dapat membantu negara untuk mengelakkan pertembungan secara langsung dengan pengeluar kos rendah seperti Indonesia dan Vietnam.

Beliau berkata sektor pembuatan negara kini berada dalam keadaan yang sukar kerana berdepan dengan produk-produk keluaran China yang mempunyai nilai dan teknologi yang kompetitif.

“Kita cuma ada satu kelebihan berbanding China. Kos kita lebih rendah berbanding China dari segi buruh, tetapi kita terlalu bergantung kepada pekerja asing. Sekarang kita bersaing dengan Vietnam dan Indonesia dari segi pembuatan.

“Bagaimanapun, kita masih ada peluang untuk melonjak kepada pengeluaran produk atasan dan lebih mempunyai nilai tambah seperti tenaga solar,” katanya pada sesi panel memperkasa ekonomi rakyat pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di sini pada Ahad.

Wong berkata Malaysia perlu mencapai pelepasan karbon sifar bersih lebih awal daripada jangkaan asal pada 2050 untuk menjana perkhidmatan sektor perundingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta kelestarian.

“Kita perlu mencapai sifar bersih untuk memberi kredibiliti penuh kepada Malaysia sebagai destinasi utama di Asia Tenggara dan seluruh Asia bagi hab teknologi hijau yang terunggul,” katanya.

Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata kerajaan mesti berkebolehan untuk membawa pelaburan dalam dan luar negara bagi merancakkan sektor peniagaan di Malaysia, seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Sesebuah kerajaan itu juga harus mempunyai kredibiliti dan integriti pada kaca mata rakyat serta kompeten dan mempunyai pengalaman untuk mentadbir kerajaan,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan disaran bina ekosistem ekonomi lebih baik, pergiat kemasukan pelaburan


Content Type:

Duration:

Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang diadakan kali pertama hari ini bersetuju menambah baik ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara dengan melaksanakan inisiatif bagi menyelaras fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan termasuk aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, cekap dan teratur.

“Ia akan memastikan Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekali gus menjamin penyampaian perkhidmatan yang lebih berkesan.

“Tadbir urus IPA juga adalah faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar mempengerusikan mesyuarat berkenaan yang sebelum ini diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari lalu.

Anggota tetap Majlis terdiri daripada Menteri Kewangan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Menteri Ekonomi, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan.

Anwar berkata MPN berperanan sebagai badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan.

Selain itu, MPN turut bertanggungjawab menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek pelaburan terutama yang membabitkan pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut komited untuk menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta lanskap pelaburan negara bagi meningkat dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik (DDI).

“Dalam usaha untuk menyelaras aktiviti penggalakan pelaburan dengan lebih berkesan dan meningkatkan keupayaan IPA dari segi keutamaan strategik, fungsi, sumber manusia, ciri organisasi dan dasar tadbir urus, penyusunan semula ekosistem IPA negara akan dimulakan dengan pelan penyelarasan fungsi dan peranan IPA secara berfasa.

“Sehubungan itu, MPN juga bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.

“Selain itu, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemantauan oleh IPA serta pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudahcara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan,” katanya.

Anwar berkata mesyuarat MPN turut membincangkan mengenai

pemantauan projek-projek pelaburan khususnya hasil potensi pelaburan menerusi program Misi Penggalakan Perdagangan dan Pelaburan.

Ia akan diketuai beliau sendiri dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Katanya, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi Suku Pertama2023 adalah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 59.7 peratus berbanding dengan suku pertama pada 2022 iaitu RM44.7 bilion.

Ia merangkumi 1,265 projek yang berpotensi menjana hampir 24,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, Anwar berkata, MPN dijadualkan bersidang sekurang-kurangnya empat kali setahun supaya setiap inisiatif dan program pelaburan dapat dipantau dan dinilai keberkesanannya.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan komited tambah baik, perkasa ekosistem dan lanskap pelaburan negara


Content Type:

Duration:

Kerajaan yakin dapat mencapai unjuran pertumbuhan 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun penuh 2023 disebalik cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global, disokong oleh asas ekonomi Malaysia yang kukuh serta pelaksanaan langkah Belanjawan 2023, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengutamakan untuk menangani cabaran ekonomi harian yang dihadapi oleh rakyat sambil menumpukan usaha mengurangkan ketirisan dan menangani rasuah.

Mengenai prestasi ekonomi Suku Pertama 2023, Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan berkata ia disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua sektor terutamanya sektor perkhidmatan dan pembuatan yang masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus dan 3.2 peratus.

“Pengembangan ekonomi juga disokong oleh permintaan domestik yang mampan terutamanya perbelanjaan swasta berikutan penambahbaikan berterusan dalam pasaran buruh,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan lebih baik dari jangkaan sebanyak 5.6 peratus pada suku pertama 2023 dipacu terutamanya oleh perbelanjaan sektor swasta.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata ekonomi Malaysia tumbuh 5.6 peratus pada suku pertama, lebih baik berbanding pertumbuhan negara serantau lain seperti Indonesia (5 peratus), China (4.5 peratus) dan Vietnam (3.3 peratus).

“Prestasi pertumbuhan Suku Pertama 2023 menyumbang kepada sasaran untuk mencapai pertumbuhan ekonomi keseluruhan tahun 2023 antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus,” katanya.

Menurut kementerian tersebut, pertumbuhan suku pertama itu juga lebih baik berbanding Suku Pertama 2022 iaitu sebanyak 4.8 peratus manakala dari segi pelarasan musim suku tahunan, ekonomi berkembang sebanyak 0.9 peratus pada Suku Pertama 2023 berbanding penguncupan 1.7 peratus pada Suku Keempat 2022.

Pasaran buruh terus mencatatkan momentum pertumbuhan pada Suku Pertama 2023, mengekalkan tahap guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.5 peratus daripada 3.6 peratus pada Suku Keempat 2022.

“Kadar inflasi pada Suku Pertama 2023 menyederhana kepada 3.6 peratus berbanding 3.9 peratus pada Suku Keempat 2022, antara lainnya, berikutan pelaksanaan langkah kawalan harga dan pemberian subsidi kepenggunaan oleh kerajaan

“Kadar inflasi domestik terus mencatatkan trend penurunan kepada 3.4 peratus iaitu lebih rendah berbanding beberapa negara maju dan serantau seperti United Kingdom (10.1 peratus), Filipina (7.6 peratus), Singapura (5.5 peratus), serta Amerika Syarikat dan Indonesia (5 peratus),” katanya.

Bagaimanapun, selari dengan unjuran prospek pertumbuhan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, Kementerian Kewangan berkata, pertumbuhan KDNK Malaysia dijangka menyederhana pada 2023 berikutan permintaan luar yang lebih perlahan akibat daripada kelembapan perdagangan global.

“Ketegangan geopolitik, tekanan harga yang tinggi dan kekangan keadaan kewangam juga akan terus menjejaskan prospek ekonomi dunia,” katanya.

Menurut kementerian itu lagi, perkembangan dalam negara seperti iklim ekstrem yang mencetus fenomena gelombang haba dan musim El Nino yang diramal bermula pada Jun 2023, dijangka mempengaruhi aktiviti ekonomi terutamanya dalam sektor pertanian dan pembinaan.

Sumber: Bernama

Kerajaan yakin capai unjuran pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan cabaran – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan diluluskan bernilai RM2.2 bilion di Perak hasil kerjasama dengan kerajaan negeri, serta agensi pelaburan persekutuan dan negeri, peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, dalam kenyataan hari ini berkata dengan jumlah pelaburan ini juga, ia berjaya mewujudkan 3,816 pekerjaan, meningkat 28.5 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, Perak berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran RM4.2 bilion pelaburan yang diluluskan dan 3,780 pewujudan pekerjaan untuk 2023.

“Menjelang 2023, kami (kerajaan negeri) optimis terhadap prospek ekonomi di negeri ini dengan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan utama dan pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital dan gig.

“Dengan sokongan inisiatif yang dibangunkan dan dikendalikan oleh NCIA, kami yakin Perak akan terus maju dan memberi peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan, berkata NCIA telah memperkenalkan pelbagai program modal insan bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan untuk golongan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini.

Beliau berkata, NCIA melaksanakan pelbagai inisiatif seperti program peningkatan kemahiran, latihan amali dan program bimbingan untuk membantu PKS mengekalkan bakat melalui kaedah inkubator, pemecut dan ruang kerja bersama bagi membantu golongan PKS mengakses sumber yang diperlukan.

“NCIA telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong PKS dan meningkatkan kemahiran bakat yang selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

“Antaranya Dana Usahawan (DU@NCER) yang menyediakan bantuan pembiayaan kepada PKS membantu membangunkan perniagaan mereka yang memfokuskan kepada sektor industri teras di NCER,” katanya.

Mohamad Haris berkata, NCIA dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) telah memulakan Projek Lata Kinjang bertujuan menangani kemiskinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dengan menubuhkan Koperasi Orang Asli Lata Kinjang (KOALK).

Beliau berkata, KOALK ialah sebuah koperasi yang dilantik sebagai pengendali utama Taman Eko Rimba Lata Kinjang bagi menjana pendapatan mampan daripada aktiviti dan kemudahan eko-pelancongan.

“Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, dengan pelbagai tarikan eko-pelancongan seperti air terjun, tapak perkhemahan, kemudahan perkelahan dan infrastruktur asas lain telah dibuka sejak Ogos lalu.

“Sehingga Februari tahun ini, Lata Kinjang menerima lebih 57,000 pengunjung tempatan dan asing manakala lebih daripada 1,400 penduduk tempatan dari tujuh buah kampung sekitar telah mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi yang dijana oleh kemasukan pelancong ke taman air terjun itu,” katanya.

Sumber: Bernama

NCIA berjaya tarik pelaburan RM2.2 bilion di Perak


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah merealisasikan pelaburan berjumlah RM7.34 bilion dan mewujudkan 5,365 peluang pekerjaan melalui pelaburan berimpak tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) pada tahun 2022.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata program pembangunan bakat NCER dan inisiatif pembangunan taman perindustrian adalah bukti komitmen untuk mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti dan menggalakkan inovasi serta pertumbuhan ekonomi di Kedah.

“Dengan melabur dalam kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja kami serta menyediakan infrastruktur dan kemudahan bertaraf dunia, NCIA mewujudkan persekitaran yang akan menarik pelaburan baharu dan menggalakkan pertumbuhan industri berteknologi tinggi di Kedah.

“Saya yakin usaha NCER dalam mewujudkan ekosistem yang kondusif dengan membangunkan bakat dan infrastruktur strategik serta taman perindustriannya akan memberi impak yang berkekalan kepada pembangunan ekonomi di rantau ini dan saya berharap dapat melihat hasil positif daripada inisiatif ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemandu negeri di Wisma Darul Aman di sini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata NCIA terus mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk pekerja berkemahiran tinggi di Kedah melalui program pembangunan bakatnya seperti Program Peningkatan Bakat NCER (NTEP) dan Pusat Inovasi dan Teknologi NCER (NTIC).

“Sejak diperkenalkan, program pembangunan bakat kami seperti NTEP dan NTIC telah berjaya membangunkan pekerja berkemahiran tinggi di Kedah dan mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti,” katanya.

Sehingga kini, beliau berkata NCIA mempunyai 803 peserta komited yang mana 448 daripadanya telah diambil bekerja.

Beliau berkata pada tahun ini, tumpuan NCIA adalah untuk merealisasikan pelaburan bagi taman perindustrian NCER di Kedah seperti Bandar Getah Kedah (KRC) dan Taman Teknologi Sains Kedah (KSTP), yang akan terus mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang positif di negeri itu.

Mohamad Haris berkata NCIA percaya bahawa melabur dalam pembangunan bakat dan taman perindustrian adalah kunci untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti di Kedah.

Beliau berkata, taman perindustrian NCER di Kedah, termasuk KRC dan KSTP, menawarkan infrastruktur dan utiliti yang terbaik serta insentif kompetitif untuk menarik pelabur selain menyediakan persekitaran yang kondusif untuk perniagaan berkembang dan berjaya, mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Tambahnya taman perindustrian itu juga akan menawarkan kepada pelabur mengenai peluang unik untuk menubuhkan perniagaan mereka di lokasi strategik dengan infrastruktur yang sangat baik dan insentif pelaburan yang sangat kompetitif.

Sumber: Bernama

NCIA, kerajaan Kedah realisasi pelaburan RM7.3 bilion


Content Type:

Duration:

Pahang merekodkan jumlah pelaburan asing lebih RM21 billion dalam tempoh dua tahun bermula 2021, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Mohamad Nizar Najib.

Beliau berkata bidang perkhidmatan serta pembuatan antara sektor yang terlibat pada 2021 dengan pelaburan itu tertumpu di Bentong dan Gebeng di sini, manakala sektor pembuatan, perkhidmatan, penternakan termasuk pelancongan antara tumpuan utama di di Pekan, Kuantan dan Rompin.

Bagi menarik lebih ramai pelabur antarabangsa ke Pahang, beliau berkata kerajaan negeri membuka peluang perbincangan dengan kedutaan asing selain melibatkan agensi kerajaan negeri serta Persekutan iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Selain itu, perbincangan bersama pelabur berpotensi juga giat dijalankan bagi meyakinkan pihak pelabur untuk memilih Pahang sebagai destinasi utama pelaburan.

“Misi pelaburan ke negara yang dikenalpasti juga diadakan bagi meluaskan peluang pelaburan sedia ada, antara kerjasama dari luar negara yang berjaya dicapai berdasarkan inisiatif tersebut adalah New Zealand, Uzbekistan dan China,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Mohamad Nizar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin tahu jumlah pelaburan asing, agihan pelaburan dan sektor terlibat serta inisiatif kerajaan negeri dalam menarik pelaburan baharu ke Pahang.

Selain itu, beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) juga telah mewujudkan laman web Invest Pahang dengan memperkenalkan “Location Centric Approach” sebagai usaha mempromosikan peluang pelaburan di Pahang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff semasa menjawab soalan Hasan Omar (PN-Lanchang) memaklumkan kerajaan negeri telah mengemukakan permohonan peruntukan berjumlah RM414.29 juta untuk membaiki jalan Persekutuan dan RM200.40 juta bagi jalan negeri.

Sumber: Bernama

Pahang rekod lebih RM21 bilion pelaburan asing


Content Type:

Duration:

Pengeksportan produk halal negara dijangka meningkat sehingga 15 peratus tahun ini berdasarkan prestasi dagangan keseluruhan negara yang mencapai lebih RM3 trilion tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Bhd (HDC), Hairol Ariffein Sahari, berkata pengeksportan produk halal Malaysia mencecah RM59 bilion pada 2022 iaitu 63 peratus lebih tinggi berbanding pencapaian 2021 sebanyak RM30.3 bilion.

“Ini didokong pelbagai aspek termasuk jumlah pelaburan ke kawasan industri halal yang semakin meningkat. Jumlah pelaburan terkumpul sehingga Disember tahun lepas sahaja adalah sebanyak RM16.4 bilion.

“Kita menjangkakan lebih RM600 juta pelaburan akan masuk lagi ke 14 kawasan industri halal di seluruh negara tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa program sesi padanan perniagaan HDC-Mydin sempena Jelajah Halal Malaysia Buka Potensi Tingkatkan Jualan, di sini pada Isnin.

Lebih 30 syarikat menyertai sesi padanan itu dan nama syarikat yang berjaya memasuki pasar raya Mydin akan diumumkan pada 18 Mei depan.

Mengulas lanjut, Hairol Arrifien berkata hampir 70 peratus eksport halal adalah ke negara Asia Tenggara dan Asia Pasifik dengan permintaan tertinggi dari China diikuti Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Jepun dan Indonesia.

Permintaan produk halal bagi negara Asia Pasifik sahaja sudah mencecah RM2.8 trilion tahun ini, lebih separuh daripada RM5 trilion yang disasarkan mampu dicapai pada 2030, katanya.

Beliau berkata, ia satu fakta yang menarik kerana ramai beranggapan pasaran produk halal lebih mendapat tempat di negara Timur Tengah berikutan jumlah penduduk muslim yang lebih ramai di negara berkenaan.

Ia juga membuktikan bahawa produk halal turut mendapat tempat dan menjadi pilihan negara yang majoriti penduduknya bukan Islam kerana nilai tambah, kebersihan dan keaslian produk halal negara.

Dalam pada itu, beliau berkata hampir 80 peratus produk halal yang dieksport adalah produk makanan dan minuman selain bahan ramuan yang digunakan untuk menghasilkan makanan dan produk bukan makanan seperti farmasitikal dan kosmetik.

Sumber: Bernama

Eksport produk halal Malaysia dijangka meningkat 15 peratus


Content Type:

Duration:

Malaysia mempunyai hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang kukuh, terutamanya dalam ASEAN, untuk meningkatkan perdagangannya serta memanfaatkan pelbagai perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Tan Sri Munir Majid, Pengerusi CIMB Asean Research Institute (CARI) ASEAN Research and Advocacy, berkata negara juga tidak perlu bimbang dengan peluang yang ditawarkan oleh CPTPP.

Beliau berkata perdagangan dan pelaburan antara serantau yang lebih baik telah berlaku berikutan perang perdagangan dan teknologi yang diisytiharkan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap China serta hasil kumpulan perdagangan bebas dan serantau lain seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu meningkatkannya. Ia boleh dipertingkatkan (perdagangan antara ASEAN hanya kekal pada sekitar 25 peratus).

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan pemisahan antara AS dan China boleh menyebabkan penguncupan dalam KDNK dunia sebanyak 7.0 peratus dalam situasi yang paling melampau.

“Kita perlu meningkatkan perdagangan yang masuk dan menarik pelaburan daripada rakan kongsi serantau untuk mengimbanginya,” katanya kepada Bernama.

Lawatan PM ke China

Presiden Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata Malaysia telah melaksanakan tugas yang baik setakat ini ke arah mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan rakan perdagangan serantau termasuk China dalam siri lawatan oleh Anwar.

“China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM488 bilion pada 2022 dan merupakan pelabur langsung asing yang terbesar dengan pelaburan berjumlah RM55.16 bilion.

“Susulan lawatan rasmi ke China pada Mac, didapati kedua-dua negara telah bersetuju untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, termasuk mempercepatkan projek Laluan Rel Pantai Timur selain meningkatkan dan meninjau bidang kerjasama baharu seperti TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional), pendigitalan dan pembangunan dalam industri halal,” katanya.

Dalam lawatan itu, Soh berkata Malaysia meraih RM2.44 bilion untuk potensi eksport dan mencatatkan komitmen pelaburan sebanyak RM170 bilion dari China, iaitu dalam sektor pembuatan termasuk pembuatan kereta generasi baharu, petrokimia dan vaksin.

Dengan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka, katanya pelaburan berkualiti tinggi ini akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan membantu mewujudkan kesan limpahan kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan yang akan mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi dalam pengeluaran, pengedaran dan peningkatan industri selain membina keupayaan baharu, membangunkan industri utama dan mewujudkan pekerjaan dengan pendapatan yang tinggi untuk rakyat Malaysia.

Soh berkata Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Kemas Kini Tinjauan Ekonomi Dunianya pada Januari 2023 telah memberi penekanan kepada keperluan untuk mengukuhkan kerjasama pelbagai hala yang termasuk mengukuhkan perdagangan global untuk menangani risiko daripada pemecahan geopolitik semasa.

“Dalam perkara ini, perjanjian perdagangan bebas (FTA) menjadi aspek penting dalam perbincangan antara kedua-dua pemimpin dari Malaysia dan China dengan penekanan kepada memanfaatkan faedah daripada Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) dan RCEP untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.

Perbincangan mengenai AMF tepat pada masanya

Sementara itu, Munir berkata perbincangan mengenai Tabung Kewangan Asia (AMF), yang disarankan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, tepat pada masanya berikutan proses pemisahan sedang berlaku dalam ekonomi dunia, “situasi yang disebabkan oleh usaha AS untuk mengawal China”.

“Penggunaan mata wang rakan niaga yang lebih besar, mengelak dolar sebagai perantaraan, juga sedang berlaku, seperti rubel-rupee dalam perdagangan Rusia-India atau riyal-yuan dalam perdagangan Saudi-China, bukan petrodollar.

“Dolar AS menjadi semakin kurang penting dan negara dalam sistem antarabangsa mahu kurang terdedah kepada kesan dasar monetari dan fiskal AS ke atas mata wang dan ekonomi mereka,” katanya.

Menurut Munir, terdapat juga struktur yang diperkenalkan pada 2000 selepas krisis kewangan Asia yang boleh digunakan sebagai asas seperti Chiang Mai Initiative Multilateralisation (CMIM), yang melibatkan negara ASEAN+3 (China, Jepun dan Korea Selatan).

Beliau berkata mekanisme ini bertujuan membantu pihak terlibat yang mungkin menghadapi masalah imbangan pembayaran dan mudah tunai jangka pendek.

“Terdapat juga AMRO (Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3) untuk memantau dasar ekonomi bagi memastikan mereka yang mungkin meminta bantuan mudah tunai tidak menghadapi masalah kerana dasar fiskal dan kewangan yang melulu. Justeru, ia seperti IMF serantau itu sudah ada,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, untuk membangunkannya menjadi AMF memerlukan pembinaan secara konsensus berhubung parameter dasar fiskal dan monetari serta mengenal pasti mata wang pilihan terakhir yang boleh diterima ketika krisis.

“Mata wang manakah yang akan memainkan peranan dolar? Adakah yuan? Bukankah ekonomi dan mata wang lain juga akan terdedah kepada dasar fiskal dan kewangan China, sama kepada dolar AS ketika ini? Mungkinkah terdapat formula untuk hak pengeluaran khas dan bukannya bergantung kepada satu atau dua mata wang sahaja?

“Terdapat banyak butiran yang perlu diselesaikan. Struktur asas sudah ada dan boleh dibangunkan. Ia adalah tepat pada masanya untuk berbuat demikian kerana dasar AS memacu negara daripada dolar dan Asia yang akan menjadi pusat aktiviti ekonomi dan pertumbuhan,” katanya.

Peluang dalam pasaran di luar rantau

Munir berkata masih terdapat pasaran di luar rantau ini yang baik seperti Mexico dan Kanada.

“Kesatuan Eropah (EU) jangan dilupakan. Malah AS, Mexico dan Kanada, berikutan terdapat FTA antara ketiga-tiganya.

“Memandangkan kini United Kingdom (UK) menyertai CPTPP, kita perlu melihat bagaimana untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan dengan mereka.

“Semua negara tersebut sedang melalui masa yang sukar, tetapi kita perlu ingat RCEP, sebagai contoh, masih hanya 30 peratus daripada ekonomi dunia,” katanya.

Beliau menegaskan walaupun memberi tumpuan kepada rantau ini, kerajaan tidak boleh mengabaikan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pihak lain.

“Perlu diambil perhatian juga mengenai keputusan oleh menteri-menteri kewangan ASEAN dan gabenor bank pusat di Bali pada akhir bulan lepas untuk memperluas penggunaan mata wang tempatan dalam penyelesaian perdagangan berbanding menggunakan dolar,” katanya.

Sementara itu, Soh berkata dalam melengkapkan lagi usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri untuk menyokong pengembangan peluang eksport bagi industri Malaysia dan menggiatkan semula pelaburan, FMM yakin FTA penting untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang pro-industri, pro-perdagangan dan pro-pelaburan.

“Oleh itu, FMM telah menyokong Malaysia melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menyambung semula rundingan mengenai FTA Malaysia-EU (MEUFTA), yang dilancarkan pada 2010 tetapi ditangguhkan selepas beberapa pusingan rundingan pada 2012.

“Kami juga menggesa kerajaan untuk menandatangani perjanjian perdagangan keutamaan dengan negara-negara pesat membangun seperti Bangladesh dan negara-negara Timur Tengah (terutamanya Emiriah Arab Bersatu), kerana Malaysia mengeksport hampir RM50 bilion ke pasaran ini pada 2021,” katanya.

Sumber: Bernama

Hubungan perdagangan dua hala yang kukuh beri manfaat kepada Malaysia


Content Type:

Duration:

Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) menjangkakan kehadiran lebih banyak pelabur dan usahawan China ke Malaysia dan sebaliknya, susulan kejayaan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu baru-baru ini, kata Presidennya, Datuk Keith Li.

Lawatan rasmi Anwar ke republik itu turut menyaksikan Malaysia menerima komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah yang bernilai kira-kira RM170 bilion daripada kalangan pelabur China menerusi pemeteraian 19 memorandum persefahaman melibatkan syarikat kedua-dua negara.

Li turut berkongsi keyakinannya bahawa masa depan Malaysia dan China dalam aspek perniagaan adalah cerah memandangkan kedua-dua negara saling aktif bekerjasama bagi meningkatkan penglibatan dua hala, hubungan dagang serta hubungan persahabatan.

“Kunjungan Perdana Menteri Anwar ke Beijing adalah satu kejayaan besar kerana dapat membawa masuk banyak pelabur China. Kita juga berharap menerusi usaha pemimpin kedua-dua negara akan membawa manfaat seperti lebih banyak perniagaan dan pelaburan dua hala serta meningkatkan lagi perdagangan.

“Banyak usahawan China seperti saya yang (memilih untuk) menetap di Malaysia bagi tempoh lama. Ada yang sayangkan negara ini dan seperti saya juga, berkahwin dengan rakyat tempatan dan tinggal lebih lama di sini.

“Budaya etnik Malaysia juga pelbagai dan ia adalah sebuah negara yang aman. Memang seronok dapat menetap di sini,” katanya selepas mengagihkan pek makanan Ramadan daripada Malaysia-China Insight kepada kakitangan Bernama di sini pada Jumaat.

Pihak Malaysia-China Insight menaja 400 pek makanan yang menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat selain menyasarkan untuk melakukan program sama setiap tahun.

Li yang juga pengasas Malaysia-China Insight, juga berharap dapat menjalin kerjasama dengan Bernama di masa depan selain membantu menyumbang kepada komuniti tempatan.

Malaysia-China Insight yang juga milik penuh GTC Group serta boleh diakses melalui aplikasi berita trilingual, adalah akhbar bahasa Inggeris serta majalah dwibahasa Inggeris-China yang khusus memaparkan berita perniagaan terkini berkaitan Malaysia-China. 

Sumber: Bernama

Lebih ramai usahawan China dijangka melabur di Malaysia – PUCM


Content Type:

Duration:

wpChatIcon