Berita Ekonomi Archives - Page 7 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Langkah UK sertai CPTPP akan tingkatkan perdagangan dengan Malaysia, Indo-Pasifik

United Kingdom (UK) semalam mengumumkan ia sudah memuktamadkan rundingan perdagangan dengan negara-negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) selepas melalui proses rundingan selama 21 bulan.

Pesuruhjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur dalam satu kenyataan dikeluarkan berkata blok itu mempunyai penduduk melebihi 500 juta orang dan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan mencecah GBP11 trilion pound dengan penyertaan UK.

“Rundingan berkenaan yang bermula pada Jun 2021 dimuktamadkan selepas siri rundingan yang mencabar di Vietnam dengan wakil dari semua negara-negara anggota CPTPP bersetuju bahawa UK telah mencapai kata putus berhubung proses penyertaannya untuk menyertai CPTPP,” kata kenyataan itu.

UK adalah negara Eropah pertama yang menyertai blok perdagangan dinamik tersebut dan merupakan ahli baharu pertama sejak pembentukan CPTPP.

CPTPP kini menjadi perjanjian peringkat global dan bukan setakat perjanjian Pasifik sahaja, katanya.

Penyertaan UK ke blok perdagangan dinamik itu adalah susulan berita mengenai ratifikasi Malaysia pada November lepas, kedua-dua negara akan dapat meningkatkan capaian yang ketara kepada ekonomi dan pasaran masing-masing.

“Perniagaan UK yang mengeksport barangan dan perkhidmatan bernilai GBP3.3 bilion pound ke Malaysia dalam tempoh 12 bulan hingga akhir September 2022, boleh mendapat manfaat daripada perjanjian keutamaan yang ditawarkan oleh ahli CPTPP antara satu sama lain.

“Penyertaan UK dalam CPTPP juga bermakna capaian pasaran Malaysia yang jauh lebih baik kepada pasaran UK. UK mengimport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira GBP2.6 bilion dari Malaysia dalam empat suku tahun hingga akhir suku ketiga 2022.

“Perniagaan dan pengguna boleh mendapat manfaat daripada tarif keutamaan yang akan ditawarkan oleh UK kepada Malaysia dalam CPTPP,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Charles Hay berkata: “Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia kini berjumlah GBP5.9 bilion, dengan trajektori pertumbuhan yang positif.

“Penyertaan UK dalam CPTPP akan meningkatkan capaian pasaran bagi UK dan Malaysia, dan terus membolehkan kami mencapai potensi penuh hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Dalam pada itu, Setiausaha Perniagaan dan Perdagangan UK, Kemi Badenoch pula berkata: “Penyertaan kami dalam CPTPP menyampaikan mesej kuat bahawa UK terbuka untuk perniagaan dan akan menggunakan kebebasan pasca Brexit kami untuk menjangkau pasaran baharu, termasuk di rantau Asia Pasifik dan mengembangkan ekonomi kami.”

“Menyertai blok perdagangan berpengaruh ini akan membantu kami membentuk peraturan perdagangan global dengan negara-negara yang berfikiran sama, dan bekerjasama lebih rapat dalam keutamaan bersama kami iaitu kemakmuran, keselamatan dan perdagangan bebas dan adil,” katanya.

Sumber: Bernama

Langkah UK sertai CPTPP akan tingkatkan perdagangan dengan Malaysia, Indo-Pasifik


Content Type:

Duration:

Persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dengan perlumbaan semasa yang tertumpu pada teknologi canggih seperti ditunjukkan dalam persaingan dalam industri semikonduktor, pesaing yang akan mendahului dalam hal ini boleh menjadi sama ada produktif atau destruktif.

“Justeru, izinkan saya mengulangi bahawa persaingan yang tiada halangan mesti memberi laluan kepada kerjasama yang penuh semangat,” katanya dalam sesi pleno di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) di sini hari ini.

Beliau berkata dalam memperakui keperluan setiap negara untuk melindungi hak harta inteleknya dan cuba untuk terus mendahului persaingan, penghadang tertentu perlu diwujudkan supaya persaingan tidak membawa kepada perpecahan dalam dunia teknologi yang hanya akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan.

Anwar berkata Malaysia telah memperkenalkan konsep Malaysia MADANI sebagai satu ekspresi hasrat untuk menempa laluan negara berdasarkan acuan sendiri kerana ia mewujudkan sebuah negara insani selaras dengan nilai ketamadunannya.

“Dalam pengertian ini, ia juga falsafah negara kita yang berpaksikan enam nilai teras: kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan,” katanya.

Daripada falsafah inilah, Anwar berkongsi pemikirannya tentang cara mencapai perpaduan dan kerjasama untuk pembangunan di tengah-tengah cabaran.

Beliau berkata dunia harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai yang menyatukan rakyat sebagai keluarga insani dan bukannya nilai-nilai yang memecahbelahkan.

“Etika, keikhlasan dan integriti dalam berurusan dengan rakan kongsi dalam situasi dua hala dan pelbagai hala harus diutamakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata konsep akauntabiliti demokrasi juga harus diutamakan dan bukannya sekadar melontarkan slogan atau istilah “demokrasi” yang telah digunakan sebagai cara mengkategorikan negara-negara mengikut standard yang agak sembarangan.

“Pada fikiran saya, ‘akauntabiliti demokratik’ menyarankan pemimpin bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat, menyediakan taraf hidup yang lebih baik, ketelusan dalam proses membuat keputusan dan amalan menyeluruh tadbir urus yang baik dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata rakyat biasa dengan bebanan terpaksa menyediakan makanan dan ketidaktentuan ketara dan mendesak yang dihadapi juga tidak boleh dilupakan.

Beliau berkata gaji/upah masih kekal sebagai satu bentuk pendapatan utama bagi majoriti penduduk dunia tetapi menurut Laporan Gaji Global Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2022-2023, gaji/upah dan kuasa beli isi rumah telah “merosot dengan ketara” disebabkan oleh COVID-19 dan inflasi global. .

Anwar berkata dalam ketiadaan tindak balas dasar yang mencukupi, masa depan terdekat akan menyaksikan kejatuhan mendadak dalam pendapatan benar dan peningkatan ketidaksamaan yang boleh mencetuskan lagi kekacauan sosial.

“Sehubungan itu, kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan, berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.

“Sebagai penutup, sekiranya kita terus bekerjasama, bercakap dalam suara yang bersatu dan bertukar-tukar idea mengenai strategi dan amalan dasar terbaik, kita boleh berusaha ke arah Asia yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” tambahnya.

Forum Boao bagi Asia ialah organisasi bukan kerajaan dan bukan untung antarabangsa yang dimulakan oleh 29 negara anggota dan Boao ialah venue tetap untuk persidangan tahunan itu.

Penyertaan Anwar dalam BFA 2023 juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 peningkatan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China sejak 2013.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong di Hotel Boao Golden Coast.

Anwar akan berlepas dari Hainan ke Beijing pada tengah hari untuk meneruskan lawatan rasminya dan dijadualkan bertemu Presiden China Xi Jinping. 

Sumber: Bernama

Anwar: Perbincangan peringkat tertinggi harus libatkan persaingan teknologi sebagai agenda utama


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatannya ke China minggu ini merupakan manifestasi kepentingan negara itu kepada Malaysia dalam pelbagai aspek khususnya perdagangan.

“Memandangkan keutamaan itu, kita datang ke China dulu. Tetapi sebagai sebuah negara dagangan, kita perlu mengekalkan hubungan baik dengan semua, termasuk Amerika Syarikat (AS),” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia, di sini, malam ini.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia sejak 2009. Pada 2022 nilai perdagangan antara Malaysia dan China mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 mencecah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sumber: The Sun Daily

Anwar: China rakan dagang penting kepada Malaysia


Content Type:

Duration:

Lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China mulai Khamis bakal membuka lembaran baharu dalam mengukuhkan hubungan strategik antara Kuala Lumpur dan Beijing ke arah yang lebih komprehensif.

Ini merupakan lawatan sulung beliau ke negara Asia Timur sejak menjadi perdana menteri pada November lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata lawatan ini bersejarah dan bermakna, mengambil kira bahawa perdana menteri telah menerima undangan daripada kerajaan China untuk mengadakan lawatan hanya selepas empat bulan memegang tampuk pentadbiran negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China manakala kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 tahun hubungan diplomatik pada 2024.

“Ini jelas sekali menunjukkan hasrat kerajaan China, khususnya Presiden Xi Jinping yang baharu dilantik sebagai Presiden China untuk penggal ketiga, untuk memupuk hubungan yang rapat dengan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada media di sini lewat malam tadi.

Zambry berkata Anwar juga antara pemimpin dunia terawal yang melawat Beijing selepas pelantikan semula Xi pada awal bulan ini.

Perdana Menteri dijangka tiba sini pada petang Khamis selepas menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia di Hainan dan ketibaan beliau di sini dijadualkan akan disambut oleh Timbalan Menteri Luar China Sun Weidong.

Zambry berkata Anwar dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Xi pada Jumaat, dan perbincangan akan tertumpu kepada langkah-langkah baharu yang boleh diambil dalam pelbagai bidang untuk menyemarakkan lagi hubungan dua hala.

“Mereka juga akan membincangkan langkah-langkah konkrit yang boleh diambil dalam bidang perdagangan, kerjasama politik, pencegahan rasuah dan isu-isu ketamadunan,” katanya.

Zambry berkata kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pendapat mengenai hala tuju hubungan dua hala mengambil kira senario antarabangsa yang semakin mencabar.

Ini disusuli dengan pertemuan bersama Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan China Zhao Leji dengan perbincangan akan tertumpu kepada kerjasama pada peringkat ahli-ahli Parlimen kedua-dua negara.

Pada petang Sabtu, Anwar akan diraikan oleh Perdana Menteri China Li Qiang dengan upacara sambutan Rasmi di Great Hall of the People, dan disusuli dengan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara.

“Perbincangan kedua-dua pemimpin akan tertumpu kepada pemerincian langkah-langkah yang boleh diambil khususnya dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” kata Zambry.

Beliau berkata selain menentukan usaha konkrit untuk meningkatkan perdagangan dan hubungan lebih erat antara kedua negara, Anwar juga dijangka membincangkan isu-isu berkepentingan bersama semasa pertemuannya bersama pemimpin-pemimpin China termasuk isu geopolitik antarabangsa dan serantau, serta sekuriti dan kestabilan di Indo-Pasifik. 

Sementara itu, perdana menteri juga akan menyampaikan syarahan umum di Universiti Tsinghua, antara universiti tersohor di China selain menghadiri mesyuarat meja bulat bersama pelabur-pelabur berprofil tinggi dan tokoh-tokoh korporat China.

Beliau dijadualkan menyampaikan ucaptama pada satu forum perniagaan yang akan disertai hampir 1,000 orang peserta dari Malaysia dan China semasa dalam rangka lawatan rasmi ke sini. 

Di sebalik jadual padat, Anwar juga akan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di China dan yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Malaysia-China.

Program tersebut juga akan dihadiri oleh pemimpin-pemimpin komuniti Islam di China, kata Zambry.

Sepanjang lawatan rasmi tiga hari itu, sekurang-kurangnya 14 memorandum persefahaman (MoU) berkaitan perdagangan dan pertanian akan ditandatangani.

Selain Zambry, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing akan turut serta dalam delegasi itu. 

China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009. Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada 2022 mencecah 17.1 peratus dari jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trillion.

Jumlah perdagangan antara kedua-dua pada 2022 ialah RM487.13 billion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Sumber: Bernama

Lawatan Anwar ke China bakal semarakkan hubungan strategik KL-Beijing


Content Type:

Duration:

Malaysia dan China mahu memanfaatkan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) tahun ini serta ulang tahun ke-50 jalinan hubungan diplomatik pada tahun depan untuk membawa hubungan dua hala sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

Ini termasuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor yang memberi manfaat bersama kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang ke arah keamanan dan keselamatan di peringkat serantau dan global.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan di sini berkata komitmen itu dipersetujui semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan rakan sejawatannya dari China, Qin Gang di pejabatnya di sini pada petang Selasa.

Pertemuan itu yang berlangsung sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China minggu ini, juga merupakan pertemuan pertama secara bersemuka antara kedua-dua Menteri Luar.

Menurut kenyataan itu, Qin menyifatkan lawatan sulung Anwar ke China sebagai “sangat penting” yang membuktikan hubungan rapat antara kedua-dua negara memandangkan perdana menteri merupakan antara pemimpin pertama yang melawat Beijing selepas pemilihan semula Presiden Xi Jinping sebagai Presiden China untuk penggal ketiga dan pemilihan Perdana Menteri Li Qiang, awal bulan ini.

Kedua-dua menteri juga mengiktiraf persamaan mendalam antara konsep Malaysia MADANI Anwar dan visi Xi Jinping tentang “Komuniti Masa Depan Bersama untuk Umat Manusia”. Mereka juga menegaskan mengenai pentingnya mengambil langkah konkrit untuk memanfaatkan kedua-dua konsep itu.

Semasa mesyuarat itu, mereka juga membincangkan projek dan inisiatif tertentu dalam bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertanian yang akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua negara.

Mereka turut membincangkan isu keselamatan strategik serantau dan global.

Sumber: Bernama

Hubungan Malaysia, China akan ditingkat ke tahap lebih tinggi


Content Type:

Duration:

Negeri Sabah mencatatkan pelaburan sebanyak RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi pada tahun 2022, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia melibatkan 89 buah projek dan bakal menjana 4,566 jumlah peluang pekerjaan.

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut, sebanyak RM9.2 billion merupakan pelaburan langsung asing (FDI) manakala RM2.3 billion adalah pelaburan langsung domestik.

“Sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar sebanyak RM8.4 bilion atau 72.9 peratus manakala sektor utama menyumbang RM1.6 bilion dan sektor perkhidmatan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya menjawab soalan tambahan Senator Datuk Noraini Idris mengenai jumlah pelaburan ekonomi negeri Sabah bagi 2022 serta sektor yang terlibat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata projek berprofil tinggi bernilai lebih RM100 juta adalah terutamanya dalam sektor produk petroleum, produk mineral bukan logam dan peralatan pengangkutan.

Sementara itu, beliau berkata kementeriannya menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) komited untuk menarik FDI ke Malaysia termasuk di negeri Sabah khususnya bagi industri-industri yang disasarkan.

“Dalam hal ini, MIDA sentiasa bekerjasama secara strategik dengan semua agensi pelaburan di peringkat negeri dan Koridor Ekonomi dalam menarik pelaburan.

“MIDA sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE Sabah) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di dalam misi pelaburan dan perdagangan untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan yang terdapat di negeri Sabah,” katanya.

Antara sektor ekonomi baharu yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan di Sabah yang dikenalpasti sebagai industri yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 adalah seperti sektor perkilangan berasaskan teknologi hijau dan mesra alam; industri tenaga yang boleh diperbaharui; pembangunan sektor perkhidmatan logistik dan sektor ekopelancongan.

Sumber: Bernama

Sabah catat pelaburan RM11.5 bilion pada 2022


Content Type:

Duration:

Terdapat 426 projek berpotensi dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan tempatan dengan jumlah pelaburan terkumpul RM107.6 bilion berada di peringkat rundingan aktif sehingga Mac 2023, dan dijangka dimeterai dalam tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu menjelaskan pada tahun ini kerajaan menerusi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya mendapatkan komitmen pelaburan FDI melalui misi pelaburan ke beberapa negara.

“Antaranya misi pelaburan ke Milan, Itali dengan komitmen pelaburan sejumlah RM3.25 bilion pada 20 hingga 23 Jan, 2023.

“Misi pelaburan ke Singapura dengan komitmen pelaburan sejumlah RM13 bilion pada 28 hingga 31 Jan, 2023 selain misi pelaburan ke Korea Selatan dengan komitmen pelaburan sejumlah RM24 bilion pada 14 hingga 17 Mac 2023,” tambah MITI dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad mengenai sasaran kemasukan pelabur asing bertaraf mega dan jumlah dana yang dijanjikan oleh pelabur asing tersebut.

Menurut MITI di saat dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan langsung asing yang berdaya saing.

Antara faktor penarik pelabur asing dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta hab rantaian bekalan pilihan dan utama di rantau ini adalah aspek pertumbuhan ekonomi; pembangunan infrastruktur dan kualiti pengangkutan, jelasnya.

MITI menambah faktor lain adalah galakan pelaburan; perkhidmatan telekomunikasi dan utiliti tempatan; kualiti dan bekalan tenaga kerja serta keselamatan.

Sumber: Bernama

426 projek berpotensi dengan jumlah pelaburan RM107.6 billion di peringkat rundingan aktif – MITI


Content Type:

Duration:

Malaysia menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Hong Kong selaras dengan komitmen negara untuk memulihkan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga merupakan Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, di Parlimen.

Pertemuan tersebut merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh tiga tahun.

“Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan,agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fadillah berkata seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi destinasi eksport kelima terbesar negara.

Nilai perdagangan antara Malaysia dengan Hong Kong juga mencatatkan peningkatan sebanyak20 peratus kepada US$25.69 bilion pada 2022 berbanding US$21.68 billion pada 2021.

“Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao,” katanya.

GBA merupakan kawasan yang berpotensi besar bagi pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Sumber: Bernama

Malaysia mahu perkukuh hubungan dua hala dengan Hong Kong – Fadillah


Content Type:

Duration:

Beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pelaburan dijangka dimeterai syarikat berkaitan teknologi di China bersempena dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu bermula hari ini hingga 1 April.

Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang yang akan menyertai lawatan Perdana Menteri berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan rakan sejawatnya di China untuk membincangkan aspek berkaitan sains, teknologi dan inovasi terutamanya sektor kenderaan elektrik, teknologi angkasa dan pelaburan.

“Kita berharap lawatan ini akan menghasilkan kerjasama bagi menaik taraf pelaburan berkaitan teknologi. Malah, banyak pelabur China berminat untuk melabur di Malaysia, cuma di peringkat yang berbeza. Ada yang sudah di peringkat akhir, ada yang baru bermula,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu Subplace di sini semalam.

Beliau berkata semasa lawatan itu, selain perbincangan lanjut antara kementeriannya dengan beberapa syarikat berkaitan teknologi, sesi itu akan turut melibatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri khususnya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bagi urusan pelaburan.

Walaupun lawatan tersebut bukan misi perdagangan negara, beliau berkata pihaknya akan memanfaatkan peluang tersebut untuk berbincang lebih lanjut dengan rakan sejawat dan syarikat berkaitan teknologi di negara itu yang berminat untuk melabur di Malaysia.

Sementara itu, mengenai rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) untuk menggugurkan syarat lesen operasinya di Malaysia, Chang berkata pendengaran rayuan itu akan dibuat pada akhir April.

“Pada Februari lepas, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas tetapi mengekalkan empat syarat tersebut, dan Lynas mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan dan mereka telah menghantar rayuan itu.

“Saya akan mempengerusikan sesi pendengaran itu dan keputusan akan dibuat selepas sesi berkenaan, namun tiada had masa,” katanya.

Sumber: Bernama

MoU pelaburan syarikat berkaitan teknologi dijangka dimeterai ketika lawatan PM ke China


Content Type:

Duration:

Kelewatan pembukaan semula sempadan antarabangsa adalah faktor utama penurunan kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) 2022, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata trend penurunan ranking WCR jelas dilihat kepada negara-negara yang lewat membuka semula sempadan antarabangsa kerana pandemik COVID-19 yang menyaksikan Malaysia berada pada kedudukan ke-32 dalam WCR IMD 2022, turun tujuh tangga berbanding tangga ke-25 pada 2021.

Menurutnya jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia telah mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat keputusan untuk membuka semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 dengan mengambil kira dari segi mengimbangi nyawa rakyat dan kelangsungan hidup rakyat.

“Berikutan kelewatan itu berbanding negara-negara lain, menyebabkan kedudukan Malaysia dalam ranking Daya Saing Global jatuh,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berhubung faktor menyebabkan penurunan ranking Malaysia dalam WCR IMD.

Tengku Zafrul berkata antara faktor lain adalah persepsi komuniti perniagaan tempatan dan antarabangsa terhadap peraturan dan undang-undang yang dilihat sebagai kekangan dan kurang mesra perniagaan.

Sehubungan itu, menurutnya MITI sedang memperhalus cadangan untuk memudahkan perniagaan bagi membantu syarikat-syarikat tempatan dan luar negara yang ingin melabur di Malaysia.

Menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) berhubung cadangan kerajaan untuk meyakinkan pelabur dengan cara menetapkan semula ekonomi khususnya menerusi pembangunan bidang pertumbuhan baharu, beliau berkata dalam usaha mewujudkan ekosistem pelaburan lebih mampan di Malaysia, MITI dan agensinya telah melaksanakan pelbagai strategi untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.

Antara strategi utama yang telah dan sedang dilakukan adalah dengan menggubal dan menambah baik dasar-dasar berkaitan kelancaran dasar pelaburan baharu, katanya.

“Ini berteraskan aspirasi pelaburan nasional dengan dasar baharu ini mempercepat kemasukan pelaburan berkualiti dan mampan terutamanya dalam bidang pertumbuhan baharu serta memberi tumpuan kepada keterangkuman dan kemampanan yang selari dengan aspirasi dan matlamat amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan melaksanakan kajian semula cukai yang komprehensif terhadap rangka kerja galakan cukai sedia ada serta melaksanakan pendekatan negara yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

“Dalam hal ini, penekanan diberikan kepada pelaburan bagi sektor kawasan pembangunan baharu termasuk kenderaan elektrik, kilang pintar yang menggunakan teknologi 5G, ekonomi digital, teknologi hijau, pertanian pintar dan ekosistem rantaian bekalan,” katanya.

Sumber: Bernama

Lewat buka semula sempadan faktor Malaysia di tangga ke-32 Ranking Daya Saing Dunia IMD 2022


Content Type:

Duration:

Satu pelaburan baharu yang merupakan komitmen tertinggi kerajaan akan diumumkan pada Rabu atau Khamis ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengumuman itu akan dibuat sempena lawatan rasmi beliau ke China yang bermula pada 29 Mac (Rabu) hingga 1 April 2023.

“Ini sahaja yang boleh jamin tentang nasib rakyat, pendidikan, kesihatan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama rakyat Malaysia di Kemboja di Kedutaan Besar Malaysia Phnom Penh, di sini, hari ini.

Anwar tiba di sini pagi tadi sempena lawatan rasmi sehari beliau ke Kemboja.

Beliau berkata kerajaan di bawah pentadbirannya akan memastikan ekonomi negara terus berkembang dan Malaysia mampu menjadi tarikan baharu bagi pelaburan.

Katanya, untuk itu, semua aspek yang berkaitan termasuk prasarana, infrastruktur atau insentif perlu terus diperkasa selain memberi tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

“Bila ada perubahan, maka ia boleh menarik pelaburan asing. Sebagai contoh Amazon yang mahu melabur di Malaysia walaupun ada negara lain yang menawarkan insentif menarik kepada mereka dan bila ia datang ke sini, ia akan menarik syarikat lain untuk datang, ” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan mahu Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lebih telus dan fokus, dan bukannya menjadi saingan kepada sektor swasta.

“Kalau ada projek baik sektor swasta atau GLC tak patut compete (bersaing). Tapi mungkin kena bandingkan juga jika ada kelemahan,” katanya ketika menjawab soalan daripada seorang tetamu mengenai pandangan terhadap GLC Malaysia yang selalu dipandang sebagai gergasi jika dibandingkan dengan perniagaan lain.

Sumber: Bernama

PM Anwar bakal umum pelaburan penting baharu semasa lawatan ke China


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Kemboja berharap dapat meningkatkan kerjasama dalam sektor pelaburan, industri halal, teknologi digital, pendidikan dan pertahanan bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata isu berkenaan dibincangkan dan menjadi antara keutamaan dibangkitkan semasa mesyuarat dua hala di Istana Keamanan di sini, hari ini.

“Perbincangan adalah sangat terperinci dan menyeluruh…menyentuh isu-isu perdagangan dan pelaburan yang menjadi keutamaan kami dalam hubungan dua hala, selain beberapa isu lain yang menjadi perhatian,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen sempena lawatan rasmi sehari ke Kemboja.

Terdahulu, Anwar dan Hun Sen menyaksikan majlis menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kerajaan Malaysia dan Kemboja.

MoU berkenaan berkaitan pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja dalam sektor domestik serta pengambilan, penggajian dan penghantaran pulang pekerja Kemboja di sektor formal bagi mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor buruh.

Mengenai industri halal, Perdana Menteri berkata, Malaysia sudah menerajui sektor berkenaan dan ia akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk menggunakan kemudahan itu bagi menggalakkan dan memudahkan eksport ke negara Islam, khususnya di Asia Barat.

Anwar juga menyentuh mengenai kejayaan pengeluaran beras di Kemboja dan beliau akan menggalakkan syarikat beras Malaysia dalam memenuhi keperluan import beras supaya dapat mempertimbangkan pilihan mengimport beras dan kacang gajus dari Indochina.

“Perdana Menteri (Hun Sen) menyebut tentang kejayaan pengeluaran beras, yang patut dipuji walaupun anda kata ada lebihan… saya tahu sebenarnya pengeluaran beras bukan sesuatu yang mudah, tetapi anda berjaya meningkatkan produktiviti,” katanya.

Kedua-dua negara menurut Anwar, turut bersetuju menggunakan buluh yang terdapat di Kemboja bagi menarik pelabur dalam memproses dan mengeksportnya.

“Anda (Hun Sen) telah menyebut isu keperluan untuk meneruskan latihan selain daripada urusan kerajaan-ke-kerajaan seperti pertahanan dan kepakaran teknikal dan pentadbiran.

“Mengenai teknologi digital dan pendidikan, sudah tentu kita akan dapat bekerjasama, sebaik sahaja jawatankuasa bersama bersidang, mudah-mudahan menjelang akhir tahun. Saya rasa giliran Malaysia menjadi tuan rumah selepas beberapa tahun berlalu,” katanya.

Malaysia harap komitmen Kemboja dalam isu Myanmar

Dalam perkembangan berasingan, Anwar berharap Hun Sen dapat memberi beberapa idea pada Sidang Kemuncak ASEAN akan datang berhubung rangka kerja komprehensif bagi menangani krisis semasa Myanmar.

Menurut Anwar, ia bukan lagi isu dalaman kerana lebih 200,000 pelarian Rohingya telah melarikan diri dari Myanmar ke Malaysia.

Anwar berkata, komuniti ASEAN memahami situasi semasa di Myanmar tetapi junta (kumpulan pemimpin tentera) negara itu juga perlu memahami bahawa perkara itu tidak boleh diteruskan tanpa penyelesaian.

Beliau turut menyatakan kepercayaannya terhadap kebijaksanaan rakan sejawatannya dari Kemboja itu kerana Hun Sen telah berjaya mengembalikan keamanan apabila berdepan dengan situasi yang lebih kompleks di Kemboja berbanding situasi semasa di Myanmar.

“Ini adalah contoh yang hebat bagaimana sebuah negara yang berdepan perang saudara dan keganasan boleh mencapai keamanan. Perdana Menteri (Hun Sen) dengan pengalaman luas sudah tentu lebih sesuai untuk membincangkan isu yang lebih kompleks seperti Myanmar,” katanya.

Anwar berkata Malaysia dan Kemboja berkongsi pandangan yang sama mengenai isu Laut China Selatan, Russia-Ukraine, Semenanjung Korea dan Taiwan-China.

Beliau juga berterima kasih kepada Hun Sen kerana menganjurkan majlis iftar bersama ribuan masyarakat Islam di Kemboja malam ini dan ia menggambarkan pemahaman rakan sejawatnya itu terhadap toleransi dan rasa hormat terhadap kumpulan minoriti, yang dianggapnya masih kurang di dunia buat masa ini.

“Terdapat begitu banyak kebencian, salah faham, dan sikap tidak bertoleransi, dan anda (Hun Sen) telah menunjukkan bahawa anda bersedia untuk menerima perasaan dan sensitiviti orang lain dan begitu baik hati menjemput saya menyertai anda dalam majlis besar ini,” kata beliau.

Anwar berkata beliau juga mengalu-alukan lawatan Hun Sen ke Kuala Lumpur nanti.

Sumber: Bernama

Malaysia, Kemboja tingkat kerjasama pelbagai sektor


Content Type:

Duration:

Jumlah pelaburan diterima Johor pada 2022 adalah RM70.6 bilion, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata daripada angka tersebut RM58.78 bilion atau 83.26 peratus adalah daripada pelaburan asing, manakala RM11.81 bilion atau 16.74 peratus daripada domestik.

“Jumlah tersebut menunjukkan Johor telah menerima peningkatan drastik dan jumlah pelaburan yang tertinggi untuk tempoh sedekad yang lalu.

“Sepanjang tahun lepas juga negeri ini menerima 570 projek pelaburan dengan 16,762 peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Hasni ingin mengetahui jumlah dan jenis pelaburan yang telah diterima Johor setakat ini dengan pecahan mengikut sektor.

Menurut Lee (BN-Paloh) sektor pelaburan telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu primer, pembuatan dan perkhidmantan.

“Nilai pelaburan bagi sektor primer tahun lepas adalah RM38.91 juta atau 0.06 peratus, manakala sektor pembuatan menerima RM14.58 bilion atau 20.65 peratus dan sektor perkhidmatan pula berjaya menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu RM55.98 bilion atau 79.29 peratus.

“Tiga sektor tersebut juga dibahagikan kepada pelbagai subsektor. Sektor primer dibahagikan kepada dua subsektor iaitu pertanian menerima RM33 juta nilai pelaburan diikuti perladangan dan komoditi menerima RM5.89 juta,” katanya.

Beliau berkata sektor pembuatan telah dibahagikan kepada 18 subsektor, dengan lima subsektor telah menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu bahan kimia dan produk kimia dengan nilai RM5.2 bilion, peralatan saintifik dan pengukuran (RM3.65 bilion), elektrik dan elektronik (RM1.96 bilion), produk mineral bukan logam (RM736 juta), manakala tekstil (RM432 juta).

Sektor perkhidmatan pula dibahagikan kepada 10 subsektor, dengan lima subsektor menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu maklumat dan komunikasi (RM51 bilion), utiliti (RM2.8 bilion), hartanah (RM1.1 bilion), perdagangan pengedaran (RM521 juta) dan perkhidmatan sokongan (RM317 juta).

Sumber: Bernama

Johor terima jumlah pelaburan RM70.6 bilion tahun lepas


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat swasta Malaysia dan Arab Saudi.

Ketiga-tiga MoU itu ditandatangani antara Dagang Nexchange Bhd dan Ajlan & Bros Holding Group Co; Dewan Perniagaan Antarabangsa Kuala Lumpur dan Wadi Makkah Knowledge Co; dan Qhub International Sdn Bhd dan Eromman Technologies Sdn Bhd.

Majlis yang turut disaksikan oleh Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Jeddah Sheikh Mohammed Yousuf Naghi berlangsung di The Ritz-Carlton Jeddah selepas solat Tarawih malam tadi.

Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Terdahulu, Anwar dan delegasinya yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke ke Arab Saudi telah mengadakan pertemuan dengan kira-kira 20 pemimpin syarikat negara itu dalam mesyuarat meja bulat untuk membincangkan bidang kerjasama dan sektor-sektor baharu yang boleh diterokai bersama.

Pada mesyuarat selama sejam itu, Perdana Menteri memberi jaminan kepada pemimpin industri Arab Saudi bahawa mereka kini boleh mengharapkan kestabilan politik di Malaysia serta pendekatan perniagaan yang lebih dinamik daripada kerajaan semasa.

Anwar juga berjanji bahawa pentadbirannya akan komited untuk memastikan tadbir urus yang baik.

Perdana Menteri turut diberi taklimat oleh ahli perniagaan Malaysia mengenai penglibatan meluas mereka dalam bandar futuristik Neom, projek mega terbaharu Arab Saudi, dan pelbagai peluang yang menanti pihak industri dari Malaysia.

Sementara itu, Sheikh Mohammed Yousuf menyifatkan Malaysia sebagai inspirasi untuk pembaharuan sambil menambah komuniti perniagaan Arab Saudi yakin dengan kestabilan politik di Malaysia dan bersedia untuk membawa usaha mereka ke peringkat seterusnya.

“Melangkah ke hadapan, kami mengintai peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, dan kami berharap pelabur Arab Saudi boleh melibatkan diri dalam usaha sama dan memanfaatkan pengetahuan Malaysia,” katanya.

Antara lain, syarikat-syarikat Arab Saudi telah menyatakan minat mereka untuk meneroka dalam pembuatan cip mikro dan semikonduktor, sektor perubatan dan pendidikan.

Perdana Menteri dan delegasi dijadual berlepas pulang hari ini.

Sumber: Bernama

PM Anwar saksi pemeteraian MoU antara syarikat Malaysia-Arab Saudi


Content Type:

Duration:

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempelawa komuniti perniagaan di Arab Saudi untuk lebih banyak melabur di Malaysia berikutan Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil dengan dasar yang jelas.

Berucap di hadapan ratusan ahli perniagaan Arab Saudi dan Malaysia di sini, Perdana Menteri berkata, kerajaan baharu di bawah kepemimpinannya komited untuk memudahkan urusan perniagaan di negara ini dengan melakukan pembaharuan yang menyokong perniagaan dan agenda MADANI.

“Sehubungan itu, saya meminta sebahagian daripada komuniti perniagaan untuk menghantar delegasi selepas Ramadan dan mengadakan pertemuan dengan rakan perniagaan anda.

“Kami sudah tentu menggalakkan anda untuk melabur dalam bidang seperti yang saya nyatakan sebagai keutamaan kami iaitu teknologi digital, sekuriti makanan dan sudah tentu, infrastruktur di negara ini dan kami mengharapkan penyertaan aktif anda di Malaysia,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada majlis perjumpaan dengan komuniti perniagaan Arab Saudi dan Malaysia di ibu pejabat Bank Pembangunan Islam (IsDB) di sini hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil tiba di Lapangan Terbang King Abdulaziz pada jam 6.40 pagi waktu tempatan (11.40 pagi waktu Malaysia) semalam bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke negara itu.

Anwar dalam pada itu, berkata kedua-dua negara menjalinkan perhubungan timbal balik yang baik dari segi pelaburan.

“Kami telah mempunyai beberapa bentuk pelaburan dalam infrastruktur (dari Arab Saudi di Malaysia)… dan mengagumkan (Malaysia) yang mempunyai ekonomi kecil berbanding Arab Saudi, mempunyai pelaburan di Arab Saudi.

“Saya menggesa anda untuk memberikan segala sokongan yang diperlukan berikutan langkah ini akan memberikan banyak perbezaan kepada dunia Islam, justeru menggalakkan ekonomi yang lebih rancak,” katanya.

Perdana Menteri turut berkongsi dengan hadirin berkenaan potensi Malaysia dan daya tarikannya sebagai destinasi pelaburan sehingga menarik minat Amazon Web Services (AWS) baru-baru ini untuk membuat keputusan melabur sebanyak RM25.5 bilion di negara ini.

Anwar yang juga gabenor IsDB bagi Malaysia, berkata usaha perlu dilaksanakan untuk memastikan pusat bank itu di Kuala Lumpur menjadi benar-benar signifikan.

“Gunakan pusat ini untuk semua bidang termasuk penyelidikan halal, malah vaksin, berikan tumpuan kepada cabaran baharu, sains, teknologi, inovasi, sekuriti makanan, pendigitalan, dan kecerdasan buatan.

“Pusat Kecemerlangan IsDB Kuala Lumpur mesti bersedia untuk meneroka bidang dan disiplin baharu ini yang boleh memanfaatkan umat,” katanya.

Sumber: Bernama

Anwar pelawa komuniti perniagaan Arab Saudi melabur di Malaysia


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengeluarkan 576 Sijil Tempasal Berkeutamaan dengan nilai Percuma atas Kapal (FOB) lebih RM226.6 juta kepada pengeksport tempatan sejak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) berkuat kuasa pada 29 Nov, 2022 sehingga data terkini pada 10 Mac, 2023.

Menurut MITI langkah itu bagi membolehkan pengeksport tempatan mendapat layanan berkeutamaan melalui duti import yang lebih rendah atau bebas duti di bawah Perjanjian CPTPP.

“Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat permintaan daripada pengeksport tempatan terhadap Perjanjian CPTPP, sekali gus meyakinkan kerajaan bahawa CPTPP adalah relevan dan perlu diteruskan pelaksanaannya,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang bertarikh 22 Mac, 2023.

Jawapan itu bagi menjawab pertanyaan lisan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang tidak dijawab di dalam Dewan Rakyat mengenai rasional kerajaan meratifikasikan Perjanjian CPTPP di samping penjelasan tuntas bagi pelbagai persoalan berbangkit dan langkah mempersiapkan industri tempatan berdepan dengan impak ratifikasi ini.

MITI menambah sehingga kini, sebanyak enam negara iaitu United Kingdom (UK), China, Taiwan, Ecuador, Costa Rica dan Uruguay telah mengemukakan permohonan kemasukan ke dalam Perjanjian CPTPP secara rasmi.

Permohonan itu disifatkan sebagai satu petanda positif yang membuktikan bahawa Perjanjian CPTPP memberi pelbagai manfaat termasuk dalam meningkatkan kedudukan sosio-ekonomi negara-negara tersebut, jelasnya.

“Untuk makluman, rundingan kemasukan UK ke dalam Perjanjian CPTPP adalah di peringkat akhir dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Jelas dapat perhatikan bahawa, sekiranya Perjanjian CPTPP tidak mempunyai sebarang manfaat atau faedah, maka sudah pasti negara-negara tersebut tidak akan membuat permohonan rasmi untuk menyertai perjanjian ini,” menurut MITI lagi.

MITI menegaskan sekiranya Malaysia menarik diri daripada Perjanjian CPTPP, tindakan itu akan amat merugikan negara.

Ini kerana Malaysia bukan hanya akan terlepas daripada menikmati segala manfaat serta peluang yang boleh diperoleh menerusi perjanjian berpiawaian emas ini, malah juga mungkin dilihat sebagai bergerak ke belakang dalam perdagangan antarabangsa, tambah kementerian itu.

Mengulas mengenai kesan yang mungkin timbul selepas CPTPP dikuatkuasakan, MITI menekankan bahawa kerajaan telah berjaya merundingkan dan memperoleh beberapa fleksibiliti dan ruang dasar untuk Malaysia di bawah perjanjian ini.

“Selain itu, Kerajaan kekal optimis bahawa manfaat yang dinikmati daripada Perjanjian CPTPP jauh lebih banyak berbanding sebarang kos yang mungkin timbul, seperti mana dapatan hasil Kajian Analisis Kos-Faedah berhubung penyertaan Malaysia dalam CPTPP yang telah dilaksanakan oleh PricewaterhouseCoopers (PWC),” menurutnya.

Sumber: Bernama

MITI keluarkan 576 sijil tempasal berkeutamaan dengan FOB bernilai RM226.6 juta sehingga 10 Mac


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus melindungi kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan walaupun menjalin kerjasama di peringkat ASEAN.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, rakyat, perniagaan dan ekonomi rantau ASEAN telah menghadapi pelbagai impak akibat pandemik.

“Bagaimanapun, saya percaya pandemik telah merapatkan hubungan kekeluargaan dan menguatkan semangat kebersamaan Asean dalam menangani masalah di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di laman media beliau selepas menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi (dan Perdagangan) Asean ke-29 (AEM 29) di Magelang, Indonesia.

Beliau berkata Pengerusi Asean-BAC bagi tahun 2023, Arsjad Rasjid telah memberi taklimat kepada mesyuarat tersebut mengenai projek sektor swasta di bawah payung Asean serta inisiatif utama pada tahun ini.

“Ini adalah waktu untuk Asean terus bersatu hati, dengan satu suara. Berdasarkan perkembangan politik global semasa, inilah peluang untuk Asean menyinar, contohnya, sebagai hab rantai bekalan kepada pelbagai rantau ekonomi lain,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, perbincangan pada pemukiman itu hari ini berkisar kepada dasar baharu dan sedia ada yang bakal meningkatkan kapasiti rakyat, PKS dan perniagaan dalam menangani cabaran semasa.

“Kita perlu lebih holistik dan strategik dalam menjana pemulihan dan pembangunan yang mantap, inklusif dan mampan bagi rantau Asean.

“Kita juga telah berbincang mengenai bagaimana sektor perniagaan dan swasta boleh bekerjasama rapat dengan kerajaan negara-negara Asean dalam mempercepat integrasi, antara lainnya, dalam sektor digitalisasi, ekonomi digital, kelestarian, sekuriti makanan dan daya tahan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang menggariskan kesemua keutamaan ini adalah keterangkuman, pemerkasaan PKS dan manfaat jelas bagi populasi Asean yang kini sudah mencecah 663 juta.”Memandangkan banyak projek keutamaan ini ditangguhkan semasa pandemik, Miti berharap dapat bekerjasama dengan Asean-BAC Malaysia untuk mempercepat pelaksanaannya,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI akan terus lindungi kepentingan PKS, perniagaan dalam kerjasama di peringkat ASEAN – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) kali ke-29 yang berlangsung di Magelang, Indonesia pada Rabu sepakat menyokong tujuh Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dirangka Indonesia mengikut bidang kuasa mereka, yang menumpukan tiga Teras Strategik iaitu Pemulihan dan Pembangunan Semula, Ekonomi Digital dan Kemampanan.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), delegasi daripada pihaknya diketuai oleh Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Malaysia yakin PED ini akan memacu Asean ke arah rantau ekonomi yang sangat bersepadu, kohesif, berdaya saing dan dinamik selain menjadi boleh sesuai dan mampan secara digital untuk kesejahteraan dan kemakmuran warganya,” menurut MITI dalam kenyataan di sini.

Pemukiman AEM pertama bagi 2023 ini membincangkan keutamaan dan keberhasilan di bawah Indonesia sebagai pengerusi, dengan tema ‘Asean Matters: Epicentrum of Growth’.

Menurut MITI selain membuat susulan berhubung perkara daripada Sidang Kemuncak Asean dan Sidang Kemuncak Berkaitan kali ke-40 dan ke-41 dengan Kemboja sebagai pengerusi tahun lepas, menteri-menteri juga membincangkan pelbagai isu yang penting bagi pembangunan sosio-ekonomi rantau Asean.

Ekonomi Digital terus menjadi Agenda Penting

MITI menambah ekonomi digital terus menjadi agenda penting yang menyokong Hala Tuju Bandar Seri Begawan (BSBR) yang menyasarkan mempercepat visi Asean untuk menjadi blok komuniti dan ekonomi digital terkemuka.

AEM menjangkakan ini dibolehkan oleh perkhidmatan, teknologi dan ekosistem digital yang terjamin dan transformatif.

Menteri-menteri juga mengambil maklum kemajuan kajian berkaitan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang menumpukan asas, kesan dan keterangkuman ekonomi digital terhadap pihak berkepentingan dalam rantau ini.

“Kajian ini dijangka disahkan pada Mesyuarat AEM kali ke-55 pada Ogos 2023, manakala rundingan mengenai DEFA mungkin dilancarkan ketika Sidang Kemuncak Asean ke-43 pada September 2023,” jelas kementerian ini.

Kementerian itu turut memaklumkan bahawa mengambil kira kepentingan agenda kemampanan, Asean juga sedang mengusahakan Strategi untuk Keneutralan Karbon bagi membolehkan rantau ini mengurangkan kesan perubahan iklim dan menggalakkan pembangunan mampan.

Menteri-menteri juga mengambil maklum berkaitan kemajuan kajian untuk merangka strategi yang akan menekankan, antara lain, pembangunan penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pasaran, serta ekosistem yang mampan dan inklusif, tambah MITI.

MITI menjelaskan strategi itu sejajar dengan komitmen Malaysia untuk mencapai status pelepasan karbon sifar bersih pada 2050 serta inisiatif pihaknya untuk menetapkan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi sektor pembuatan.

AEM juga menyokong dan memuji kerja yang dijalankan oleh Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC), memfokuskan lima bidang keutamaan iaitu Transformasi Digital; Pembangunan Mampan; Pemudahan Perdagangan; Daya Tahan Kesihatan; dan Jaminan Makanan, yang menyokong PED oleh Indonesia dan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2025.

Menurut MITI selain itu AEM menekankan kepentingan kerjasama erat antara sektor swasta dan awam untuk menangani cabaran yang dihadapi rantau ini dan untuk membolehkan usaha merealisasikan Asean yang lebih berdaya saing, bersepadu dan mampan.

Asean-BAC juga akan menyokong inisiatif pembangunan mampan Asean, serta memperkukuh kesalinghubungan, inovasi dan penerimagunaan digital merentas industri untuk melonjakkan daya saing perniagaan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Malaysia berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua AEM bagi memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan AEC 2025 yang berkesan dan keutamaan seiringnya bagi kemakmuran sosio-ekonomi Malaysia dan Asean,” jelas MITI.

Sumber: Bernama

Keberhasilan ekonomi ASEAN akan pacu Malaysia dan ekonomi rantau ini – MITI


Content Type:

Duration:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Singapura boleh mengembangkan kerjasama dalam bidang baharu seperti ekonomi digital, ekonomi hijau serta keterjaminan makanan.

Seri Paduka bertitah Singapura secara konsisten kekal sebagai antara rakan dagangan utama Malaysia di mana republik itu adalah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan sebaliknya.

“Adalah menjadi harapan beta agar hubungan yang erat ini akan terus mekar bagi mengukuhkan lagi kerjasama sedia ada demi kepentingan bersama kedua-dua negara dan rakyat pada tahun-tahun akan datang,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Majlis Jamuan Negara bagi meraikan Halimah dan delegasinya Yacob di Istana Negara hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke majlis itu.

Terdahulu, Halimah diberikan sambutan negara di Istana Negara sempena lawatan sulungnya selama tiga hari ke Malaysia yang bermula semalam.

Memandangkan kedua-dua negara sentiasa berkongsi hubungan yang utuh serta erat, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda yakin bahawa jalinan persahabatan yang kukuh antara rakyat Malaysia dan Singapura akan terus menjadi faktor penting yang membentuk teras dalam hubungan dua hala.

“Kita berkongsi silaturahim agak unik serta terikat dengan pelbagai faktor seperti perkongsian sejarah, persamaan budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat termasuk perkaitan kekeluargaan,” titah baginda.

Sementara itu, sebagai anggota pengasas Asean, Seri Paduka bertitah Malaysia dan Singapura perlu terus menjalin kerjasama yang erat dalam mempromosi kestabilan dan keselamatan rantau ini serta menjadikan Asean sebagai kumpulan serantau yang dinamik.

Berhubung lawatan itu, Seri Paduka bertitah umpama aur dengan tebing, lawatan Presiden Singapura buat julung kalinya ke Malaysia adalah bukti hubungan kukuh serta persaudaraan erat antara kedua-dua negara dan rakyat.

“Adalah menjadi harapan beta agar lawatan negara ini akan memperkasa hubungan yang telah sekian lama terjalin dan membuka ruang kepada interaksi aktif Malaysia dan Singapura dalam meneroka pelbagai peluang dan bidang baharu serta mencari penyelesaian terbaik terhadap pelbagai perkara berbangkit,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar lawatan tersebut membawa kenangan manis kepada Halimah sambil mendoakan kesejahteraan dan kesihatan yang baik kepada Presiden Singapura itu dan suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong turut ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan yang bakal kunjung tiba kepada Puan Yang Terutama sekeluarga serta kepada rakyat Malaysia dan Singapura beragama Islam,” titah Seri Paduka.

Sumber: Bernama

Agong harap Malaysia-Singapura kembang kerjasama keterjaminan makanan, ekonomi hijau


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melihat potensi besar untuk melaksanakan pendekatan ‘nudging’ dan ‘Behavioural Insights’ (BI) dalam usaha memudahkan urusan menjalankan perniagaan di Malaysia.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata BI (pendekatan induktif untuk membuat dasar) boleh digunakan terutamanya dalam mengurangkan kos pematuhan dan menggunakan tahap optimum sumber pada pemantauan serta penguatkuasaan kawal selia dan prosedur.

“Ini adalah kunci untuk menguruskan kos operasi dan memaksimumkan keuntungan.

“Justeru, ‘nudging’ dan BI boleh menjadi langkah reformatif bagi menggubal peraturan berkualiti dan pelaksanaan kawal selia yang cekap tanpa bergantung kepada langkah-langkah berbentuk paksaan,” katanya dalam ucap tama beliau pada acara National Conference on Behavioural Insights 2023 yang dijalankan menerusi dalam talian hari ini.

Tengku Zafrul juga melihat penggunaan pendekatan itu oleh agensi seperti Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) Malaysia dan entiti kawal selia atau penguatkuasaan lain dengan mandat yang serupa untuk mengurangkan kerenah birokrasi bagi pelabur dan perniagaan untuk mencapai matlamat jangka panjang negara.

Beliau berkata Malaysia menyambut baik penggunaan BI bagi dasar yang efektif dan peraturan berkualiti bagi membantu orang ramai membuat keputusan dengan sewajarnya tanpa mengehadkan kebebasan pilihan mereka.

Tahun lepas, dengan bantuan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Miti sendiri menjalankan projek BI bagi meningkatkan pematuhan terhadap Akta Perdagangan Strategik 2010.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata dasar dan peraturan berkualiti penting bagi meningkatkan pertumbuhan produktiviti.

Beliau berkata produktiviti Malaysia pulih kepada prestasi sebelum pandemik pada 2022, tumbuh 5.4 peratus, mencatatkan tahap nilai RM95,628 bagi setiap pekerja. Ini merupakan lantunan semula yang tinggi dari 2021 apabila produktiviti Malaysia mencatatkan pertumbuhan 1.8 peratus dengan RM90,697 setiap pekerja.

Malaysia menyasar mencapai pertumbuhan produktiviti lebih daripada 3.6 peratus sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dalam merealisasikan tahap produktiviti RM106,060 menjelang 2025.

“Bagi mencapai sasaran ini, ekosistem perniagaan Malaysia perlu kondusif kepada pertumbuhan ekonomi dan dasar serta peraturannya berkualiti untuk membangun persekitaran yang sesuai,” katanya.

Abdul Latif berkata, dalam membina kapasiti pegawai kerajaan dan mewujudkan kumpulan pakar BI tempatan, MPC telah melatih 609 individu melibatkan 42 kementerian dan agensi kerajaan dan melibat urus dengan sektor swasta untuk mengembangkan kumpulan pakar itu.

Perbadanan itu telah membangunkan National Behavioural Insights Guidelines sebagai rujukan bagi pengawal selia, penggubal dasar dan pengamal untuk mengguna pakai BI sebagai instrumen dasar dan produktiviti.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul: Potensi besar terapkan pendekatan ‘behavioural Insights’ untuk permudah jalankan perniagaan


Content Type:

Duration:

Syarikat pemula niaga United Kingdom (UK) mampu memberi pendedahan amalan terbaik global kepada Malaysia selain mewujudkan persaingan sihat serta tekanan bagi menggalakkan firma tempatan melakukan inovasi, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Beliau berkata kalangan belia Malaysia juga dapat menyelami bagaimana syarikat pemula yang mempunyai idea, saiz dan operasi serba sama namun berupaya melaksanakan inovasi bagi mewujudkan perubahan.

“Ini akan memberi mereka keyakinan diri yang diperlukan serta ciri-ciri untuk bangkit dan menyerlah dengan cara sendiri.

“Apa yang kerajaan boleh janjikan adalah memastikan pintu kita sentiasa terbuka kepada bantuan pihak luar — menerusi pelaburan, kemahiran serta peluang saling menguntungkan dan mewujudkan satu ekosistem yang menyokong model pertumbuhan berteraskan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada acara Hari Demo Program Inovasi Digital UK-Malaysia di sini, hari ini.

Pada acara itu, sebanyak 10 syarikat pemula sifar bersih UK membentangkan idea teknologi masing-masing bagi merebut peluang pelaburan sehingga US$1 juta dan menyertai makmal Sunway Innovation Labs (Sunway iLabs), sebuah program pemecut bagi syarikat pemula baharu.

Sementara itu bercakap pada majlis sama, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia David Wallace berkata usaha menghubungkan perniagaan teknologi digital UK dengan korporat terkemuka di Malaysia dan menggabungkan kekuatan serta sumber sokongan akan membolehkan program tersebut menjadi pemangkin bagi aspek perkongsian dan pelaburan komersial.

“Perdagangan dua hala UK dengan Malaysia berjumlah £5.9 bilion ((£1=RM5.45) dengan digital, teknologi dan siber sebagai sektor pertumbuhan terpantas,” katanya.

Malah, program pemecut itu akan membolehkan syarikat teknologi UK berhubung dan meninjau peluang dengan ekosistem teknologi lebih meluas di Malaysia.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Sunway iLabs yang juga cabang inovasi Sunway Group), MyDigital Corporation dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta dijayakan oleh loT Tribe.

“Di bawah program ini, syarikat pemula UK dapat merintis dan meningkatkan penyelesaian inovatif mereka bersama syarikat Malaysia bagi pendigitalan sistem analog serta menggunakan Internet Pelbagai Benda dan kecerdasan buatan dalam mengoptimumkan penggunaan tenaga dan meningkatkan jaminan makanan.

“Inisiatif ini akan turut merealisasikan cita-cita digital Malaysia sebagai sebuah negara yang digital sepenuhnya sebagaimana digariskan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan dasar Revolusi Perindustian 4.0,” kata kenyataan daripada Suruhanjaya Tinggi Britain di Kuala Lumpur.

Sumber: Bernama

Syarikat pemula UK beri pendedahan amalan global terbaik kepada Malaysia – Rafizi


Content Type:

Duration:

Negeri Perak merekodkan sebanyak 294 projek yang diluluskan untuk sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan dengan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM6.6 bilion, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee.

Loh berkata projek-projek tersebut dijangka dapat mewujudkan 7,682 peluang pekerjaan baharu.

“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan itu, sumber Pelaburan Langsung Domestik (DDI) mencatatkan RM4.32 bilion atau 65.5 peratus, manakala Pelaburan Langsung Aasing (FDI) sebanyak RM2.28 bilion atau 34.5 peratus,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Projek Naik Taraf Bangunan dan Pondok Kawalan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kawasan Perindustrian Bebas (FIZ) Jelapang di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman, Pengarah JKDM Perak Abdul Ghafar Mohamad dan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

Loh berkata pelaksanaan projek di Perak mencatat kadar peratusan sihat iaitu 76 peratus atau sebanyak 227 projek yang telah terlaksana dengan pemantauan MIDA dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak, Invest Perak serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Menurut beliau MIDA juga dipertanggungjawabkan menyelaras peruntukan geran untuk Program Menaik Taraf Infrastruktur Asas bagi Kawasan Perindustrian Berintegrasi Sedia Ada (projek infra) sejak RMK-9 sehingga RMK-12.

“Jumlah itu termasuk Kumpulan Wang Amanah COVID-19 (KWC-19) dengan jumlah peruntukan geran sebanyak RM424.75 juta dan melibatkan 542 projek infra di seluruh negara.

“Bagi negeri Perak, peruntukan sejumlah RM31.49 juta telah diluluskan untuk 45 projek termasuk projek naik taraf bangunan dan pondok kawalan KDRM di Jelapang ini,” katanya.

Sementara itu katanya, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima peruntukan geran daripada MIDA sebanyak RM540,172.00 bagi melaksanakan projek menaik taraf bangunan dan pondok kawalan kastam di FIZ, Jelapang.

Projek naik taraf tersebut membabitkan penyediaan kemudahan infrastruktur kepada pihak kastam selaku agensi pengawal aktiviti pengoperasian industri di kawasan FIZ, Jelapang.

Pelaksanaan projek yang siap sepenuhnya November tahun lalu itu memberi kemudahan dan keselesaan kepada pihak JKDM dan warga kota yang berurusan dengan pihak berkuasa tersebut.

Sumber: Bernama

Perak rekod 294 projek diluluskan pada 2022 dengan jumlah pelaburan RM6.6 bilion


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sentiasa mengkaji semula Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan semasa yang berlaku di dalam dan luar negara.

Ketua Setiausaha MITI Datuk Seri Isham Ishak berkata dasar itu bersifat ‘futuristik’ dan tiada penambahbaikan diperlukan buat masa ini.

“NAP 2020 masih dikemas kini dan dipakai dengan baik buat masa sekarang. Ia sentiasa terus disemak di bawah MITI serta Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

“Kami melihat (setiap) perubahan, (sebagai contoh) geopolitik, supaya kami boleh mengubahnya dengan segera dan industri akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan ini melalui sokongan dasar kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Pameran Perdagangan Automotif-Automechanika Kuala Lumpur 2023 di sini hari ini.

Selain NAP 2020, terdapat juga dasar oleh agensi lain yang menyediakan sokongan mikro terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pengeluar, penyedia bahan mentah, syarikat perantaraan yang menghasilkan barangan perantaraan serta pemasang akhir.

Isham berkata contohnya, adalah Dasar Kenderaan Elektrik (EV) Nasional yang turut dimasukkan ke dalam Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon serta Dasar Pengangkutan Negara untuk memacu penggunaan EV di Malaysia di tengah-tengah peningkatan seruan ke arah alam sekitar, sosial dan tadbir urus di peringkat global.

Penubuhan Pasukan Petugas EV Kebangsaan bertujuan merangkumkan semua dasar berkaitan EV dan menyatukan semua pihak berkepentingan untuk membentuk persefahaman yang sama serta sinergi yang kukuh dalam memastikan semua inisiatif merentasi skop dan bidang kuasa masing-masing dapat digabungkan.

“Pasukan petugas khas ini akan menilai dasar semasa, menggubal dasar baharu dan memantau pelaksanaan agenda EV.

“Sebagai contoh, stesen pengecasan, yang mana kami menerima aduan bahawa Malaysia mempunyai jumlah stesen EV yang amat sedikit tetapi angka ini telah bertambah kepada 900 stesen pengecasan dan banyak lagi akan dibina,” katanya.

Pada masa sama, pemilik stesen minyak perlu menyesuaikan diri serta bertindak balas terhadap perubahan ini kerana mereka perlu memenuhi keperluan pengguna pengecasan, yang menggunakan lebih banyak masa berbanding semasa mengisi minyak.

Beliau berkata penyedia telekomunikasi juga mesti dapat menampung kemajuan teknologi yang melengkapkan sesebuah EV.

Isham berkata permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan cekap tenaga bukan sahaja akan memacu sektor itu tetapi juga segmen nilai tambah yang lain.

“Sesetengah pemain bergerak ke arah hibrid terlebih dahulu sebelum bersedia ke arah EV. Ada yang mencebur terus ke dalam EV seperti pengumuman Tesla baru-baru ini di Malaysia,” katanya.

Isham juga menjangkakan trend baharu membabitkan minat orang ramai terhadap segmen hiburan serta gaya hidup dalam kereta.

“Kami lihat permintaan semakin meningkat untuk hiburan. Permintaan pasaran bagi meningkatkan kenderaan mereka juga bertambah.

“Jadi, kenderaan bukan sekadar pergerakan tetapi juga ke arah penyesuaian, hiburan dan trend ini juga berubah,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata industri automotif secara keseluruhannya menawarkan nilai menarik untuk pelaburan mereka di Malaysia.

“Ya, kami melihat banyak pengeluar baharu memasuki Vietnam tetapi kami mesti melihat perspektif keseluruhan,

“Mereka mempunyai lebih daripada 90 juta orang, jadi pasaran mereka adalah jauh lebih besar daripada Malaysia tetapi orang (pelabur) yang datang ke negara ini adalah berbeza kerana daripada segi pembelian kenderaan premium, Malaysia antara yang tertinggi berbanding negara ASEAN yang lain.

“Jadi, inilah trend yang sedang datang ke dalam industri automotif dan ini merupakan masa yang sangat mengujakan,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI sentiasa kaji semula dasar NAP 2020


Content Type:

Duration:

Malaysia dan United Kingdom (UK) mahu meningkatkan hubungan dua hala, selain meneroka ruang kerjasama strategik dalam pelbagai bidang seperti keselamatan, perdagangan dan pelaburan, teknologi hijau serta ekonomi digital.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang kini dalam lawatan kerja ke UK berkata, perkara itu dibincangkan ketika pertemuannya dengan Setiausaha Luar Negeri, Komanwel dan Hal Ehwal Pembangunan UK, James Cleverly.

“Kami turut sama membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang membabitkan kepentingan bersama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketika perbincangan itu, beliau juga sempat mengetengahkan isu minyak sawit yang juga antara eksport penting negara selain isu keselamatan serta keselamatan rantau Indo-Pasifik.

Zambry mengetuai delegasi Malaysia untuk menyertai tiga acara penting Komanwel di London, UK mulai Isnin lalu sehingga hari ini .

Acara itu adalah Sambutan Hari Komanwel, Mesyuarat Kumpulan Tindakan Menteri-menteri Komanwel (CMAG) dan Mesyuarat Menteri-Menteri Hal Ehwal Luar Komanwel (CFAMM).

Malaysia menjadi ahli Komanwel sejak 66 tahun lalu dan selaku tuan rumah Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-11 pada 1989 serta mendapat penghormatan sebagai negara Asia pertama yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada 1998.

Sumber: Berita Harian

Malaysia, UK bincang teroka kerjasama strategik


Content Type:

Duration:

Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Mesaad Ibrahim Al Sulaim berkata kerajaan negara itu mengunjurkan pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia akan terus meningkat tahun ini.

Beliau berkata kedua-dua negara juga dijadual menandatangani perjanjian perdagangan dan pelaburan tahun ini, yang akan memenuhi aspirasi kerajaan untuk mempelbagai ekonominya yang berasaskan minyak.

Menurut data terkini, nilai perdagangan dua hala pada 2022 berjumlah AS$10.26 bilion atau peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding AS$4.23 bilion pada 2021.

Al-Sulaim juga berkata kerajaan negara itu berminat untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia dalam semua bidang, terutama perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi, perkhidmatan perubatan, serta tenaga bersih dan ekonomi digital.

Bercakap mengenai pelaburan, duta itu berkata pelabur Malaysia aktif dalam sektor perniagaan di Arab Saudi selain berminat untuk mengambil bahagian dalam Wawasan 2030 negara itu, terutama dalam sektor kesihatan dan pembuatan.

“Usaha kerajaan negara itu untuk mempelbagai ekonomi berasaskan rangka kerja wawasan itu telah membuka banyak peluang, termasuk projek bandar NEOM, projek Laut Merah, dan projek Inisiatif Hijau Saudi, dengan syarikat Malaysia boleh bersaing dalam projek berkaitan,” katanya dalam wawancara dengan Bernama.

Selain itu, katanya, terdapat peluang dalam sektor tenaga, petrokimia, pembuatan, makanan, pelancongan, hospitaliti, pengangkutan, logistik, pembinaan, dan projek infrastruktur teknikal, serta projek berkaitan haji dan umrah.

Mengenai hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin pada 1961, Al Sulaim berkata hubungan antara Riyadh dan Kuala Lumpur adalah berteraskan asas peradaban dan budaya yang berteraskan Islam.

Sejak hubungan diplomatik terjalin, hubungan antara kedua-dua negara telah menyaksikan perkembangan yang luar biasa dalam semua bidang.

Beliau berkata berikutan kesungguhan kedua-dua negara untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan, hubungan itu akan menyaksikan perkembangan pesat pada tahun-tahun akan datang.

Mengenai aspirasi beliau dalam tempoh perkhidmatannya di Malaysia, Al Sulaim berkata: “Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menikmati hubungan persaudaraan dan sejarah. Saya akan berusaha untuk mengukuhkan hubungan ini ke peringkat tertinggi dan berkhidmat untuk kepentingan kedua-dua negara dan rakyat mereka. Saya menjangkakan tempoh yang akan datang ini akan menyaksikan kerjasama erat antara dua negara bersaudara dalam semua bidang.”

Al Sulaim menyerahkan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 21 Februari lepas.

Sumber: Bernama

Arab Saudi unjur pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon