Berita Ekonomi Archives - Page 8 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Malaysia akan permudahkan jalankan perniagaan untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul

Malaysia akan mengutamakan dalam menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan akan terus memperkemas proses dan memantau serta menjejaki proses pelaburan ini dengan teliti dan dalam masa sebenar menerusi unit pengurusan dan penyampaian projek dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kami akan melakarkan perjalanan pelaburan, daripada meluluskan kelulusan di peringkat kerajaan persekutuan kepada memudahkan di peringkat pihak berkuasa negeri dengan garis masa yang jelas.

“Pencapaian dan penjejakan penyampaian lain yang berkaitan untuk memudahkan perniagaan merealisasikan pelaburan mereka di Malaysia,” katanya dalam menyampaikan ucaptama pada Seminar mengenai Peluang Perniagaan di Malaysia yang diadakan di Korea Selatan, semalam.

Seminar itu adalah program pertama yang dianjurkan bersama oleh agensi MITI; Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk Misi Perdagangan dan Pelaburan ke Korea Selatan dari 14-17 Mac.

Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia mempunyai pelbagai tawaran dalam hal perniagaan dengan kumpulan pekerja bermahiran dan asas ekonomi yang kukuh yang properniagaan, berhemat dan dasar pragmatik.

Dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa bagi sektor keutamaan, insentif cukai khas untuk penempatan semula telah dilanjutkan selama dua tahun sehingga 2024.

“Dengan insentif ini, saya percaya ia akan terus menarik pelabur dalam sektor keutamaan untuk menempatkan semula perniagaan mereka ke Malaysia dan memacu pertumbuhan jangka panjang kami melalui pelaburan berkualiti, pemindahan teknologi dan pembinaan kapasiti,” katanya.

Beliau berkata semua perkembangan ini memberi petanda baik untuk pelaburan dari Korea Selatan khususnya dalam bidang teknologi tinggi, inovasi, industri berasaskan pengetahuan dan kemahiran intensif untuk meneroka memanfaatkan dan menyepadukan dengan rantaian bekalan domestik Malaysia, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi di Malaysia dan terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata antara isu yang dibincangkan dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan, Ahn Duk-geun adalah untuk memanfaatkan industri hijau dan digital untuk mengukuhkan bukan sahaja kerjasama serta penglibatan antara sektor swasta tetapi juga kerajaan-kepada-kerajaan.

“Mungkin, kita perlu mengadakan mesyuarat rasmi tahunan antara kedua-dua negara dalam hal perdagangan dan pelaburan.

“Korea Selatan mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan ASEAN, mungkin juga kita harus melihat bagaimana Korea Selatan dan Malaysia boleh mengembangkannya,” katanya dalam video berdurasi lima minit yang disediakan kepada Bernama.

Korea Selatan merupakan rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah US$26.01 bilion (uS$1=RM4.48) pada 2022, meningkat 29.7 peratus berbanding US$21.01 bilion pada 2021.

Daripada segi pelaburan, Korea Selatan merupakan salah satu sumber pelaburan langsung asing utama Malaysia dalam sektor pembuatan dengan 374 projek bernilai US$9.2 bilion sedang dilaksanakan dan menjana 46,260 pekerjaan setakat Jun 2022.

Sumber: Bernama

Malaysia akan permudahkan jalankan perniagaan untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Malaysia merekodkan sejumlah RM264.6 bilion pelaburan diluluskan tahun lepas yang diterjemah kepada 4,454 projek serta mewujudkan 140,370 peluang pekerjaan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata, sektor perkhidmatan mendominasi jumlah pelaburan diluluskan tahun lepas dengan mencatatkan 3,581 projek bernilai RM154 bilion atau 58 peratus dari jumlah keseluruhan.

“Ini mewakili peningkatan 58.8 peratus berbanding pelaburan tahun sebelumnya sebanyak RM97 bilion, yang dijangka mewujudkan 63,464 pekerjaan baharu,” kata Tengku Zafrul semasa pengumuman tahunan Prestasi Pelaburan Malaysia dalam Sektor Pembuatan, Perkhidmatan dan Sektor Utama 2022 di MIDA Sentral.

Pelaburan terbesar, katanya, melibatkan sektor perkhidmatan termasuk daripada ByteDance System Sdn Bhd yang mengendalikan TikTok Malaysia, Amazon Web Services, dan Mamee Double Decker Distribution (M) Sdn Bhd.

Sementara itu, Malaysia merekodkan RM84.3 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan dengan industri elektrik dan elektronik (E&E) yang mendahului jumlah pelaburan sebanyak RM29.3 bilion.

Ini diikuti oleh jentera dan peralatan (RM8.4 bilion), peralatan pengangkutan (RM8.0 bilion), kimia dan produk kimia (RM7.4 bilion), dan produk petroleum termasuk petrokimia (RM5.9 bilion).

Tengku Zafrul menambah projek besar dalam sektor pembuatan termasuk pelaburan yang dilakukan oleh Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd, TF-AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd, dan Ferrotec Manufacturing Malaysia Sdn Bhd.

Beliau juga berkata negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor utama berjumlah RM26.3 bilion atau 9.9 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Industri perlombongan menerima sejumlah RM24.0 bilion pelaburan, menyumbang 91.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor ini.

Ketika ditanya pemberita mengenai punca kemerosotan 13.6 peratus dalam jumlah pelaburan yang diluluskan tahun lepas berbanding laporan sebelum ini yang mencatatkan RM306.5 bilion, menteri berkata ini berikutan dua pelaburan langsung asing yang besar secara one-off dalam tahun 2021.

“Jika kita lihat pada 2022, ia masih merupakan pelaburan kedua tertinggi yang diluluskan di Malaysia. Tetapi terdapat dua pelaburan yang sangat besar yang berlaku pada 2021 yang bersifat sekali sahaja.

“Mereka adalah daripada Intel Electronics dan Risen Solar, yang jumlah keseluruhannya hampir RM100 bilion,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Malaysia rekod RM264.6 bilion pelaburan diluluskan pada 2022 – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Seoul, Korea Selatan dari 14 hingga 17 Mac ini untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Misi itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan untuk perniagaan Korea serta produk dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran Korea.

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata tumpuan misi itu adalah kepada sektor teknologi tinggi dan nilai tambah tinggi seperti pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan tenaga boleh diperbaharui.

“Delegasi rasmi itu terdiri daripada pegawai kanan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta wakil daripada agensi penggalakan pelaburan negeri, koridor-koridor pembangunan wilayah dan syarikat dari Malaysia,” katanya.

MITI berkata semasa misi itu, Tengku Zafrul akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perdagangan Korea Selatan Dukgeun Ahn untuk membincangkan isu dua hala, kerjasama ekonomi serantau serta langkah mengukuhkan kerjasama dalam menangani isu global untuk kepentingan bersama.

“MITI akan menganjurkan seminar mengenai peluang perniagaan di Malaysia, di mana audiens Korea Selatan akan dikemas kini mengenai iklim perdagangan dan pelaburan Malaysia serta kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada syarikat Korea yang merancang untuk melabur di Malaysia.

“Terdapat juga sesi perkongsian oleh syarikat Korea mengenai pengalaman mereka menjalankan perniagaan di Malaysia serta mesyuarat perniagaan yang disasarkan dengan syarikat terkemuka Korea yang telah menyatakan minat untuk melabur dan mengembangkan perniagaan mereka di Malaysia,” katanya.

Selain itu, ia berkata akan ada sesi pemadanan perniagaan antara bakal pelabur Korea Selatan dan pengimport dengan agensi penggalakan pelaburan negeri yang berkaitan, koridor-koridor pembangunan wilayah serta perniagaan dan pengeksport Malaysia.

Korea Selatan merupakan rakan dagangan kelapan terbesar bagi Malaysia dengan jumlah perdagangan berjumlah RM114.55 bilion (US$26.01 bilion) pada 2022, meningkat 29.7 peratus berbanding RM88.31 bilion (US$21.01 bilion) pada 2021.

Daripada segi pelaburan, Korea Selatan telah menjadi salah satu sumber utama pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia untuk sektor pembuatan dengan 374 projek bernilai US$9.2 bilion (RM32.9 bilion) sedang dilaksanakan dan menjana 46,260 pekerjaan setakat Jun, tahun 2022.

Sumber: Bernama

Tengku Zafrul ketuai misi perdagangan MITI ke Korea Selatan


Content Type:

Duration:

Terdapat potensi amat besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam perdagangan dan pelaburan antara Turkiye dan Malaysia.

Duta Republik Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Turkiye di ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak US$4.7 bilion (US$1=RM4.51) pada 2022, pertumbuhan 35 peratus dari 2021.

Beliau berkata sektor ekonomi yang berbeza antara Turkiye dan Malaysia menjadi pelengkap antara satu sama lain yang terdiri daripada perniagaan angka lepas hinggalah kepada pembinaan.

“Kita telah meningkatkan perkongsian kita pada Julai lepas daripada perkongsian strategik kepada kajian yang lebih padu, yang bermakna kita perlu mengukuhkan lagi hubungan kira, setiap butiran dan setiap perkara,” katanya kepada Bernama di luar acara Mesyuarat Perniagaan-kepada-Perniagaan (B2B) dan Delegasi Perdagangan Turkiye-Malaysia Kuala Lumpur 2023, di sini, hari ini.

Malaysia dan Turkiye memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas (MTFTA), yang berkuat kuasa pada 1 Ogos, 2015.

Pengembangan skop MTFTA pada September tahun lepas bagi memasukkan perdagangan dalam perkhidmatan, pelaburan dan e-dagangan merupakan satu lagi pencapaian besar dalam kerjasama ekonomi Malaysia-Turkiye.

Mengenai sektor yang perlu diberi tumpuan, Yuksel berkata, industri Malaysia perlu memberi lebih perhatian kepada industri Turki terutamanya produk makanan serta pelbagai jenis pengeluaran industri, yang boleh memberi manfaat kepada industri Malaysia berikutan harganya yang kompetitif.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, timbalan ketua setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Induteri (perdagangan) Hairil Yahri Yaacob berkata Turkiye kekal sebagai satu daripada rakan dagangan penting Malaysia di rantau Asia Barat.

Beliau berkata pada 2022, Turki merupakan rakan dagang serta destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import keenam paling utama di kalangan negara Asia Barat.

Angka eksport Malaysia ke Turki pada 2022 mencacah paras RM17.39 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada minyak sawit, produk pertanian berasaskan minyak sawit, pembuatan logam, tekstil, pakaian, kasut, produk elektrik dan elektronik serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.

Jumlah import pada 2022 direkodkan sebanyak RM2.86 bilion yang merangkumi produk petroleum, barang kemas, produk besi dan keluli, kimia dan produk kimia , tekstil, pakaian serta kasut.

“Lokasi strategik termasuk hubungan perdagangan yang disediakan oleh keanggotaan kami di bawah pelbagai set perjanjian perdagangan bebas yang telah mula berkuat kuasa dan dilaksanakan menjadikan hubungan perdagangan dua hala Malaysia-Turki berkembang melangkaui sektor-sektor ini.

“Asas yang kukuh ini sudah pasti akan merancakkan lagi perkongsian ekonomi dua hala yang disokong oleh aspirasi ekonomi kita bersama,” katanya.

Hairil Yahri berkata dengan MTFTA memasuki tempoh matang tahun ini, ia akan menjadi satu lagi rangsangan bagi hubungan perdagangan Malaysia-Turki dengan kira-kira 99 peratus daripada eksport Turki yang memasuki Malaysia akan menerima layanan bebas cukai manakala hampir 86 peratus daripada eksport Malaysia ke Turki akan menikmati manfaat yang sama di bawah MTFTA.

“Kadar tarif keutamaan yang sangat menarik ini perlu dimanfaatkan oleh komuniti perdagangan dan sewajarnya, diambil kesempatan.

“Saya teruja untuk berkongsi daripada permulaan kuat kuasa MTFTA pada 2015 hingga 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala adalah 34 peratus, menunjukkan bahawa masih terdapat banyak ruang bagi komuniti perdagangan memanfaatkan MTFTA,” katanya.

Beliau berkata 2023 dijangka menimbulkan cabaran yang lebih tinggi kepada ekonomi global, terutamanya dengan isyarat kemungkinan kelembapan ekonomi atau kemelesetan dalam kalangan ekonomi utama dunia.

Hairil Yahri berkata, Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan, akan terus memastikan perdagangan dan pelaburan kekal sebagai pemacu utama untuk mengekalkan trajektori pertumbuhannya, memulihkan keyakinan pelabur untuk meningkatkan pelaburan langsung asing dan meneruskan komitmennya dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan walaupun mendepani cabaran yang sukar.

Dari segi pelaburan, beliau berkata, sebanyak empat projek membabitkan Turkiye telah dilaksanakan di Malaysia dengan jumlah pelaburan bernilai RM436.9 juta.

“Syarikat Turkiye dialu-alukan untuk mengembangkan pelaburan mereka di Malaysia melalui perkongsian untuk perkhidmatan pembuatan kontrak secara penyumberan luar, menggunakan kemudahan rakan kongsi sebagai hab pengedaran, pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih di rantau ini dan perkhidmatan penyetempatan dalam industri seperti kandungan multimedia dan kreatif serta perkhidmatan ICT,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata peningkatan dalam penggunaan e-dagang untuk meningkatkan akses pasaran telah menyebabkan semakin banyak syarikat mengambil pendekatan pemasaran ‘omnichannel’, yang menyasarkan jangkauan pelanggan yang lebih luas.

Beliau berkata syarikat Turkiye boleh mempertimbangkan platform seperti Shopee dan Lazada di Malaysia manakala syarikat Malaysia pula boleh menggunakan e-dagang Turkiye, Hepsiburada untuk memasarkan produk terus kepada pengguna.

Hairil Yahri berkata sektor halal juga merupakan saluran yang berpotensi untuk mengembangkan hubungan perdagangan kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk menjadi hab halal global dan percaya ia telah membangunkan ekosistem halal yang diperlukan bagi mencapai matlamat ini.

“Sehubungan itu, perniagaan Turkiye dijemput untuk mengambil bahagian dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), yang akan berlangsung di Kuala Lumpur dari 12 hingga 15 Sept tahun ini.

“Saya percaya MIHAS menawarkan peluang keemasan kepada pemain industri dan pemimpin kerajaan untuk bekerjasama mengenai cara memaksimumkan potensi sektor ekonomi global yang rancak dan berkembang ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Perdagangan dan pelaburan Malaysia-Turkiye masih belum dimanfaatkan sepenuhnya – Duta Turkiye


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperkemas semula fokus dan strategi semasanya untuk memastikan pelabur asing membuat pelaburan yang berterusan di Malaysia dan tidak beralih arah ke negara lain.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan melalui MITI sentiasa mengambil langkah-langkah yang proaktif dalam usaha menarik pelaburan ke dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia merekodkan prestasi memberangsangkan dengan kelulusan pelaburan yang diluluskan dalam pelbagai sektor pada tahun 2021 berjumlah RM309.4 bilion dan sebanyak RM264.6 bilion pada 2022.

“Daripada keseluruhan jumlah pelaburan pada tahun 2022, pelaburan asing menyumbang melebihi separuh iaitu 61.7 peratus atau RM163.3 bilion, manakala pelaburan domestik menyumbang 38.3 peratus atau RM101.3 bilion.

“Jumlah pelaburan yang diluluskan ini berpotensi mewujudkan sejumlah 140,370 peluang pekerjaan baharu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berhubung usaha kerajaan bagi memastikan syarikat besar tidak beralih arah dari Malaysia ke negara lain.

Liew berkata Asia Tenggara kini menjadi tumpuan dunia yang mana syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak lagi mahu terlalu terikat dengan pelaburan di China sahaja melalui model “China + 1”, atau mahu beralih keluar daripada China dan melihat Asia Tenggara sebagai destinasi alternatif mereka.

Selain itu, katanya, syarikat China yang menjadi pembekal kepada syarikat Eropah dan AS turut memilih Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka.

“Inilah peluang Malaysia untuk mendapat lonjakan kedua menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dengan ekosistem ekonomi yang dinamik dan bertenaga.

“Lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara yang membolehkan pelabur mendapat akses pasaran yang luas juga merupakan antara faktor lain yang mengekalkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan pelabur,” katanya.

Sumber: Bernama

MITI perkemas semula fokus, strategi pastikan pelabur asing terus melabur di Malaysia


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan pelaburan RM3 bilion di Kelantan tahun ini, sekaligus mewujudkan banyak pekerjaan baharu dan keusahawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, berkata, sejak dua tahun lalu, Pakej Insentif Khas Kelantan dipromosi secara meluas dalam usaha untuk mengekalkan momentum pelaburan ke Kelantan.

“Pelabur yang layak boleh menikmati kadar cukai pendapatan sifar peratus selama 15 tahun dan lanjutan lima tahun lagi pada kadar istimewa 17 peratus.

“Selain itu, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan utama dalam syarikat yang termasuk bawah inisiatif ini, hanya akan dikenakan kadar cukai rata 15 peratus sebagai insentif tambahan untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai sebuah destinasi pelaburan.

“Sehingga Februari tahun ini, ECERDC sudah mencapai sasaran RM1.1 bilion dalam pelaburan komited dan saya yakin sasaran RM3 bilion dapat dicapai, di samping menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor pertanian,” katanya di sini, hari ini.

Beliau hadir dalam Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di di sini, yang menyaksikan 600 peserta menamatkan latihan dan kursus.

Perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut hadir ialah Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohamad Ahmad Shazly Ramli.

Turut diadakan adalah pelancaran Program Yayasan PETRONAS empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan (sesi 2022/2024) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) serta program Yayasan PETRONAS enterpreneur ECER bersama SIRIM.

Sementara itu Mohamad Ahmad Syazly berkata, program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang dikendalikan oleh UiTM dan USM itu akan membabitkan 800 peserta daripada keluarga B40 di Kota Bharu, Pasir Mas, Kuala Krai dan Machang.

“Peserta terdiri daripada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), usahawan baharu serta sedia ada dari daerah berkenaan dan setiap peserta akan menjalani latihan kemahiran dan keusahawanan selama 12 bulan.

“Antara latihan kemahiran termasuklah bidang dandanan rambut dan terapi kecantikan, jahitan, percetakan, sulaman dan produk kreatif, pembuatan makanan, membaik pulih peralatan elektrik, refleksologi serta kesihatan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

ECERDC sasar pelaburan RM3 bilion di Kelantan


Content Type:

Duration:

Malaysia melihat komitmennya kepada Asean sebagai kepentingan strategik dalam penglibatannya dengan negara-negara Asean lain dan China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dan juga Asean, sambil menambah China dan Asean – dengan gabungan penduduk lebih dua bilion – boleh membentuk trajektori Asian Century (Abad Asia).

“Malahan, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menjadi pendaya kukuh bagi usaha ini. China menyaksikan perdagangannya dengan Asean meningkat sebanyak 15 peratus pada 2022 – tahun pertama RCEP mula berkuat kuasa.

“Hubungan ekonomi kita terus bertahan dalam tempoh mencabar. Perdagangan dua hala China-Asean malahan menongkah arus negatif yang disebabkan oleh pandemik, meningkat daripada AS$641.5 bilion pada 2019 kepada US$975.3 bilion pada 2022,” katanya dalam ucap tama beliau pada Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Perniagaan CGS China-Asean, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata China merupakan pelabur utama Malaysia pada tahun lepas dengan pelaburan bernilai US$12.5 bilion (RM55.4 bilion).

Ketika rantau ini membina semula ekonominya daripada kemusnahan akibat pandemik COVID-19, Tengku Zafrul berkata Malaysia, bersama-sama dengan China dan negara anggota Asean, boleh juga menimbang membentuk perkongsian kerjasama pelbagai hala dengan negara-negara lain yang menyertai Inisiatif Jalur dan Laluan.

Ini akan membantu memudahkan aliran barang, modal dan perkhidmatan, katanya, sambil menambah Malaysia bersedia untuk menyokong BRI dengan tenaga kerja mahirnya yang fasih bertutur pelbagai bahasa.

Beliau juga mencadangkan beberapa sektor utama diteroka secara bersama-sama untuk manfaat bersama semua pihak.

Ini termasuk pasaran kewangan dan pasaran halal, katanya, sambil menambah 20 peratus daripada populasi besar China tidak mempunyai akaun bank, manakala 70 peratus penduduk Asia Tenggara sama ada tidak mempunyai akaun bank atau jarang menggunakan perkhidmatan bank.

“Sudah tentunya terdapat peluang besar dalam segmen ini. Juga, di rantau ini yang 42 peratus penduduknya adalah orang Islam, kewangan Islam dan industri halal masih belum dimanfaatkan sepenuhnya bagi perniagaan berkaitan China, termasuk dari segi BRI,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pengiktirafan bersama pensijilan halal antara satu sama lain, sebagai permulaan, yang akan memastikan kecekapan kos yang lebih baik bagi perusahaan kecil dan sederhana.

China dan negara-negara anggota Asean juga boleh bekerjasama rapat dalam sektor seperti alam sekitar, sosal dan tadbir urus (ESG) dan tenaga bersih serta ekonomi digital.

Tengku Zafrul berkata Malaysia mempunyai dasar yang kukuh bagi kesemua ketiga-tiga sektor tersebut yang mencerminkan komitmen kemampanan negara, fokus utama kepada teknologi digital serta pasaran kewangan yang dikawal selia dengan baik dan ekosistem halal.

“Sebagai menteri perdagangan baharu Malaysia, saya boleh katakan bahawa kami berusaha keras untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang properdagangan, properniagaan dan propelaburan.

“Oleh itu, ingin saya katakan bahawa Malaysia mempunyai apa yang diperlukan untuk menjadi papan loncatan utama dan efisien dari segi kos atau pangkalan sokongan bagi negara-negara yang mahu memasuki bukan hanya Asia Tenggara tetapi juga negara-negara lain di Asia termasuk China,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia yakin rundingan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) yang dijangka dimuktamadkan dalam masa dua tahun, juga akan mengukuhkan lagi hubungan rapat sedia ada di peringkat dua hala dan juga serantau.

Menyentuh mengenai prinsip berkecuali Asean, beliau berkata Malaysia juga akan meneruskan hubungan baik dengan semua rakan dagang utamanya.

“Selain itu, hubungan antara Asean dan China perlu sentiasa berlandaskan sikap saling mempercayai dan menghormati.

“Kita amat berharap sebarang potensi persengketaan kuasa besar tidak akan menular ke sempadan kita. Tetapi kita menghargai kehadiran dan komitmen mereka ke rantau kita, terutamanya dalam perniagaan, pelaburan dan perdagangan.

“Menjadi harapan besar kita agar Asia Tenggara boleh kekal sebagai zon konflik atau permusuhan yang minimum, dan rantau yang menyokong kerjasama, kemakmuran dan keamanan global,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia mempunyai komitmen kukuh terhadap ASEAN, China – Tengku Zafrul


Content Type:

Duration:

Johor mencatatkan penerimaan pelaburan langsung asing (FDI) RM70.6 bilion, tertinggi dalam negara tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata pelaburan yang diterima itu bakal menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, Johor hanya menduduki tempat kelima membabitkan kemasukan FDI dengan hanya RM7 bilion pada 2021.

“Namun tahun lalu, Johor bangkit ke kedudukan pertama dengan FDI berjumlah RM70.6 bilion. Ia diikuti Selangor (RM60.1 bilion), Sarawak (RM28.2 bilion), Kuala Lumpur (RM25 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.3 bilion).

“Saya merakam penghargaan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohd Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ling Ting Han, kerana membantu merealisasikan objektif untuk menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

“Tidak dilupakan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Johor, serta semua agensi lain di peringkat Persekutuan dan negeri yang sentiasa memberi sokongan kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan Johor bersama kerajaan Persekutuan akan terus mengorak langkah demi memajukan Johor,” katanya di Facebook hari ini.

Pada Disember lalu, Johor dilaporkan mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila mencatatkan pelaburan paling tinggi untuk tempoh Januari sehingga September tahun lalu, iaitu sebanyak RM63.9 bilion.

Berdasarkan statistik MIDA, pelaburan yang dicatatkan itu hampir 33 peratus daripada angka pelaburan nasional yang direkodkan iaitu RM193.7 bilion.

Sumber: Berita Harian

Johor catat FDI RM70.6b, tertinggi di Malaysia tahun lalu


Content Type:

Duration:

Kerajaan menubuhkan Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merencana agenda pelaburan mengikut kepentingan negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata penubuhan MPN yang disifatkan penting itu akan bermesyuarat kali pertama, dalam masa terdekat ini.

“Dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan, sekali gus memastikan tadbir urus pelaburan negara diperkasakan, terdapat keperluan bagi penubuhan MPN.

“Sebelum ini tak ada MPN, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan berharap penubuhan majlis ini adalah penting berikutan ia amat bertetapan dalam usaha untuk merencanakan agenda pelaburan ikut kepentingan negara.

“Terutamanya berkaitan pelaburan strategik dengan komitmen peringkat tertinggi negara,” katanya pada sesi penggulungan usul Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, di sini.

Pada masa sama, Zafrul berkata, menerima peruntukan perbelanjaan pembangunan daripada Kementerian Ekonomi sebanyak RM10 juta bagi tahun ini untuk program menaik taraf infrastruktur asas kawasan perindustrian sedia ada.

Beliau berkata, beberapa langkah penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan antaranya menubuhkan operasi pengurusan kawasan perindustrian iaitu Unit Penyelarasan Perindustrian di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurus, menyelenggara serta mengadaptasikan elemenDasar Industri 4.0 Nasional (Industry4WRD).

“Kementerian ini dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga membelanjakan sepenuhnya peruntukan sejumlah RM19 juta secara geran padanan bagi melaksanakan Program High Speed Broadband (HSBB) Industry4WRD yang bertujuan bagi menaik taraf infrastruktur ketersambungan internet di 37 kawasan perindustrian di seluruh negara.

“Selain itu, unit khas turut ditubuhkan di bawah MIDA yang bekerjasama dengan semua pemilik taman perindustrian bagi memantau dan membangunkan taman perindustrian untuk menarik pelaburan berkualiti,” katanya.

Zafrul berkata, pihaknya mengakui faktor kestabilan politik menyumbang antara faktor syarikat asing untuk melabur ke sesebuah negara selain tenaga kerja, infrastruktur dan tatakelola yang baik.

Sementara itu, berhubung pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pihaknya merancang kaedah komprehensif untuk merealisasikan kluster ekonomi sepanjang jajaran projek itu.

“Dari segi statusnya ia berjalan seperti dijadualkan cuma kita hendak merealisasikan pelaburan dalam membangunkan infrastruktur ini dan kita baharu berbincang bagaimana hendak merealisasikan kluster sepanjang jajaran ECRL,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Agenda pelaburan diperkasa melalui Majlis Pelaburan Negara


Content Type:

Duration:

Kerajaan menyasarkan pertumbuhan sebanyak 20 peratus untuk pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun ini, masing-masing meningkat daripada RM163.3 bilion dan RM101.3 bilion dicatatkan pada 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun ini sukar berdasarkan cabaran, pelaburan lebih bersifat jangka panjang dan syarikat yang melihat Malaysia akan melihat kepada tempoh yang lebih lama.

“Bagi menarik pelaburan ke Malaysia, apa yang penting ialah meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di negara ini, kumpulan tenaga kerja, infrastruktur (fizikal dan digital) serta tadbir urus.

“Apa yang penting ialah mengekalkan momentum dan memberi tumpuan kepada sektor dan industri yang betul. Hasil yang kami mahukan bukan sahaja kesan pengganda kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi turut mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi,” katanya pada sesi panel pada Invest Malaysia 2023 di sini hari ini.

Malaysia meluluskan jumlah pelaburan bernilai RM264.6 bilion pada 2022, jumlah kedua terbesar yang pernah dicatatkan selepas 2021, dengan sektor perkhidmatan menyumbang bahagian terbesar daripada keseluruhan, diikuti sektor pembuatan dan utama.

Sektor perkhidmatan menyaksikan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM154 bilion atau 58.2 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun ini.

Pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan berjumlah RM84.3 bilion (31.9 peratus) dan sektor utama sebanyak RM26.3 bilion (9.9 peratus).

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, sebab utama Tesla melabur di Malaysia ialah sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara yang kukuh, apabila beberapa syarikat tempatan telah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan Tesla pada masa ini.

“Mereka (Tesla) bukan sahaja mewujudkan pejabat mereka di sini. Mereka turut mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam sektor ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan produktiviti dan bagaimana pelaburan baharu perlu menyumbang kepada produktiviti, sekali gus menyumbang kepada upah yang lebih tinggi.

“Ini adalah kunci untuk menaikkan tahap pendapatan rakyat. Ia adalah perjalanan yang panjang, dan dalam memudahkan menjalankan perniagaan, kita perlu memastikan apabila syarikat tempatan atau syarikat asing ingin memulakan perniagaan, wujud ‘kemudahan’ kerana, pada akhirnya, ia adalah mengenai produktiviti,” katanya.

Pada masa ini, katanya kadar produktiviti Malaysia masih positif, tetapi pertumbuhannya tidak secepat beberapa negara lain.

“Terdapat kebimbangan bahawa kadar produktiviti kita, walaupun dalam istilah mutlak lebih tinggi daripada beberapa negara jiran kita, dari segi pertumbuhan produktiviti, kita perlahan berbanding negara-negara jiran kita. Oleh itu, jurang adalah mengecil.

“Kami perlu memastikan bahawa kemudahan menjalankan perniagaan adalah antara bidang yang kami beri tumpuan,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia perlu mengukuhkan pelaburan awal yang masuk, seperti daripada syarikat permulaan atau PKS yang merupakan sebahagian daripada pelaburan asing dan industri kewangan perlu memainkan peranannya dalam menyediakan dana penyambung ini.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (turut) menghasilkan rangka kerja untuk sektor pembuatan, terutamanya PKS, untuk menerima pakai alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi mereka. Rangka kerja itu akan diumumkan pada awal 2024,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerajaan sasar pertumbuhan FDI, DDI 20 peratus tahun ini


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menarik pelaburan berimpak tinggi yang akan membawa kesan limpahan kepada ekonomi bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kata presiden dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Maybank Datuk Khairussaleh Ramli.

Beliau berkata dengan Malaysia Madani, negara berada di landasan pertumbuhan mampan berteraskan enam nilai teras Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, keyakinan, nilai hormat dan ihsan, yang menekankan kepada ’ekonomi kemanusiaan’ dengan menggabungkan komponen sosial dan pembangunan ekonomi.

“Belanjawan 2023 merupakan langkah pertama dalam meletakkan rangka kerja pembangunan Malaysia Madani di bawah kerajaan perpaduan.

Pendekatan holistik ditetapkan, seperti yang dilihat dalam langkah-langkah yang dibentangkan dalam Belanjawan 2023, dan kami mengalu-alukan sokongan yang diberikan kepada perniagaan untuk mengembangkan ekuiti di samping memastikan jaringan keselamatan sosial yang mencukupi bagi menjamin masa depan mereka yang memerlukan, terutamanya kumpulan rentan.

“Lebih khusus lagi, kami berhasrat untuk memacu pelaburan kukuh dan memperuntuk sumber mencukupi ke bidang pertumbuhan tinggi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang,” katanya dalam ucapan pembukaan beliau pada acara Invest Malaysia 2023, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pelaburan peralihan dan pembiayaan adalah sama penting untuk diambil perhatian oleh perniagaan Malaysia.

“Kami percaya Invest Malaysia menyediakan peluang besar kepada pelabur untuk memahami dengan lebih baik lagi strategi fiskal dan ekonomi jangka sederhana Malaysia dalam mengekalkan pembangunan, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan trajektori pertumbuhannya.

“Ini memandangkan pembukaan semula ekonomi pasca pandemik yang menyediakan peluang baharu bagi Malaysia di tengah-tengah jangkaan pertumbuhan perlahan ekonomi global tahun ini,” katanya.

Khairussaleh juga berkata usaha pendigitalan dan mendayakan ekonomi digital merupakan satu lagi penggerak utama bagi negara, kerana ia melangkaui kecekapan operasi bagi perniagaan dan pengguna individu, dan merupakan pembawa perubahan, bukan hanya bagi inovasi tetapi juga keterangkuman.

Menurutnya, usaha itu juga akan meningkatkan ketelusan dan keselamatan, walaupun ia juga memberikan penekanan utama kepada keselamatan siber bagi memastikan urus niaga digital boleh dijalankan secara selamat dan boleh dipercayai.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya pada Invest Malaysia 2023, pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata dalam keadaan inflasi global dan konflik geopolitik yang berterusan serta dasar monetari yang ketat, pertumbuhan global pulih kembali selepas kemuncak pandemik, walaupun ia menyusut kepada 2.9 peratus tahun lepas dan dijangka hanya mencapai pertumbuhan 1.7 peratus tahun ini.

“Bagaimanapun, ekonomi global dan Malaysia masih sedang berkembang walaupun pada kadar yang perlahan. Keadaan ini telah mencetuskan pelbagai kelemahan seperti gangguan rantaian bekalan pembuatan, kekurangan makanan yang disebabkan keadaan cuaca ekstrem dan kesesakan dalam sektor perkapalan, antara isu-isu yang masih belum diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

Meskipun cabaran ini, Abdul Wahid berkata keadaan itu juga menyediakan ruang bagi kekuatan baharu, seperti meningkatnya usaha untuk membangun dan mengguna pakai teknologi serta penyelesaian berdasarkan data.

Selain itu, katanya, terdapat juga komitmen dalam penerajuan global dan di peringkat lembaga pengarah untuk memacu perubahan transformasi seperti Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan usaha mengurangkan pelepasan karbon pada masa depan.

“Malahan di Bursa Malaysia, kami komited kepada transformasi dengan lima Buku Panduan Transformasi PLC yang dikeluarkan tahun lepas,” katanya, sambil menambah Belanjawan 2023 mencerminkan keberanian untuk menangani masalah yang dihadapi negara dan memulakan usaha ke arah kemajuan.

“Walaupun pengembangan, Belanjawan 2023 mencerminkan tanggungjawab dan kemampanan fiskal dengan menetapkan sasaran berani bagi pengurangan defisit, daripada 5.6 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2022 kepada 5.0 peratus daripada KDNK pada 2023, dan seterusnya kepada 3.2 peratus pada 2024,” katanya.

Sumber: Bernama

Pelaburan berimpak tinggi pacu limpahan ekonomi


Content Type:

Duration:

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasarkan untuk mencapai RM9.5 bilion pelaburan komited ke Pahang tahun ini.

Ia adalah sasaran peningkatan lebih 40 peratus daripada pelaburan komited yang dicapai sebanyak RM5.5 bilion tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pelaburan berpotensi dalam sektor pembuatan, perniagaan tani, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia serta sektor tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, ia juga dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan kepada rakyat Pahang.

“Bagi tempoh dua bulan tahun ini, ECERDC mencapai RM2.07 bilion dalam pelaburan komited di Pahang.

Ini adalah hasil usaha promosi intensif ECERDC dan kerjasama erat dengan Kerajaan Pahang, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Saya menzahirkan keyakinan bahawa ECERDC akan mengekalkan momentum pelaburan dan meningkatkan aktiviti promosi pelaburannya untuk menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan bernilai tinggi ke negeri Pahang.

“Projek dan inisiatif strategik yang dirancang oleh ECERDC untuk negeri Pahang seperti penambahbaikan infrastruktur dan program pembangunan modal insan yang dijalankan. Ia seiring dengan usaha promosi pelaburan akan membantu mengukuhkan kedudukan negeri Pahang sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hari ini, Wan Rosdy yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Pahang di Putrajaya bersama ahli jawatankuasa ICC diberi taklimat mengenai status inisiatif pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) di Malaysia.

Ia termasuk lawatan kerja oleh pengurusan tertinggi daripada syarikat pengeluar RV Jerman, pengeluar komponen RV dan penganjur pameran perdagangan karavan ke Taman Automotif Pahang (PAP) dan Taman Teknologi Pahang (PTP) untuk meneroka potensi pelaburan dalam pemasangan dan pembuatan RV di Wilayah ECERdari 7 hingga 9 Februari lalu.

Wan Rosdy berkata, ECERDC juga kini dalam usaha ‘Mencipta Destinasi’ bagi merancakkan sektor pelancongan dan memacu ekonomi tempatan yang kini sedang menaik taraf Pantai Hiburan Rompin.

Katanya, projek itu merangkumi pembinaan pintu masuk, menara tinjau, gazebo, kaunter tiket dan kemudahan awam lain.

“Malah, Pantai Hiburan Rompin juga telah dikenal pasti sebagai lokasi Taman Kenderaan Rekreasi (RV) pertama di Wilayah ECER.

“Selain itu, ahli Jawatankuasa ICC Pahang turut diberi taklimat mengenai projek ECERDC lain yang sedang dijalankan termasuk kerja menaik taraf Jeti Kampung Salang di Pulau Tioman.

“Selain itu, paip agihan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Kuantan dan pembangunan Pantai Hiburan Rompin,” katanya.

Wan Rosdy turut berterima kasih kepada ECERDC yang menyokong sepenuhnya agenda pembangunan kerajaan, terutama dalam memangkin pelaburan dalam sektor pertumbuhan baharu kerana ini akan menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkualiti.

“Saya berharap menerusi ECERDC, sektor ekonomi di Pahang ini akan dapat terus dipacu dan berkembang dengan lebih baik dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat ke arah kesejahteraan dan kestabilan negeri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

ECERDC sasar tarik komitmen pelaburan RM9.5 bilion ke Pahang


Content Type:

Duration:

Keputusan Amazon Web Service (AWS) membuat pelaburan sebanyak RM25.5 bilion di Malaysia adalah kerana syarikat gergasi teknologi itu percaya kepada pentadbiran politik yang stabil dan dasar yang jelas oleh Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Dewan Rakyat hari ini, pelaburan itu juga memberi impak tinggi kerana menambah keyakinan untuk kemasukan pelabur-pelabur asing baharu dari barat dan timur, ke dalam negara.

“Tetapi, khusus dalam konteks perundingan ini, sejak Disember 2019 dan diteruskan, AWS menunggu sehingga mereka percaya kepada satu pentadbiran politik yang stabil, dasar dan arahan yang jelas.

“Ini yang akhirnya menyebabkan mereka menghubungi kami (Kerajaan Perpaduan) dan menyatakan, kerana politik yang stabil dan dasar ekonomi yang jelas, menyebabkan AWS memilih Malaysia sebagai pangkalan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang bertanya apakah implikasi kepada ekonomi negara dengan komitmen pelaburan oleh AWS yang bernilai RM25.5 bilion menjelang tahun 2037 itu.

Pada masa sama, Sim mahukan penjelasan berhubung Tesla yang telah menyatakan komitmen pelaburan ke Malaysia dan bagaimana perancangan selanjutnya oleh kerajaan.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan infrastruktur oleh AWS dijangka mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi dalam negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, pelaburan tersebut akan membawa akses kepada infrastruktur AWS bertaraf dunia dan program kemahiran digital ke Malaysia, yang membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk berinovasi.

Menjawab soalan tambahan bagaimana perbezaan pendekatan Kerajaan Perpaduan pula, Anwar berkata, pendirian kerajaan kekal untuk memastikan ketelusan dalam rundingan melibatkan syarikat tempatan yang dipilih kelak.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memastikan pengaliran masuk pelaburan asing berkualiti tinggi ke dalam negara dengan menambah baik dasar-dasar semasa yang mesra perniagaan serta memudah cara kemasukan serta pelaksanaan projek-projek pelaburan.

Ujar beliau lagi, kerajaan akan turut melaksanakan pendekatan berfokus dan memberdayakan ekosistem dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk menambah nilai dan mencipta nilai.

Sebelum ini, Tesla dilaporkan akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di negara ini.

Sementara AWS pula, pelaburannya dijangka meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi serta membantu inovasi perusahaan kecil dan sederhana, seiring dengan aspirasi digital negara.

Sumber: Astro Awani

Pelaburan RM25.5 bilion: Amazon percaya kepada kestabilan politik – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Bencana banjir yang melanda beberapa negeri termasuk Johor yang menyumbang pelaburan tertinggi kepada negara pada tahun lepas, dilihat tidak menjejaskan minat dan memberikan impak negatif kepada pelaburan asing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini berikutan kawasan perindustrian yang terkesan tidak melibatkan situasi yang boleh menjejaskan pelaburan.

Beliau berkata kerajaan juga sentiasa memantau keadaan semasa banjir dan kementeriannya juga melakukan libat urus bagi membantu pihak industri.

“Dari segi impak kepada pelaburan tidak ada (kesan negatif), kerana kita dapat lihat bahawa kawasan perindustrian dan juga kawasan terkesan tidak melibatkan situasi yang boleh menjejaskan pelaburan.

“Bagaimanapun, dalam jangka masa panjang sederhana, kita bersama pihak industri banyak buat sesi libat urus bagaimana untuk membantu, tidak ambil ringan perkara itu. 

“Kita perlu juga cari kaedah untuk mitigate (mengurangkan kesan) dan meneruskan libat urus dengan pihak industri, tetapi pada masa ini Alhamdulillah situasi baik buat waktu ini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Johor Port Berhad, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada bencana banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini akan menjejaskan minat pelabur asing.

Menurutnya, Johor juga dijangka meneruskan momentum sebagai penyumbang terbesar pelaburan dalam negara susulan trend kukuh yang dicatatnya.

Terdahulu, beliau berkata, MITI menyasarkan sekurang-kurangnya 120 syarikat yang memenuhi kriteria kelayakan akan menyertai AKI 2024, yang mana penyertaan dibuka mulai 1 April hingga 31 Ogos tahun ini. 

Sebanyak 14 kategori akan dipertandingkan terdiri daripada lapan kategori utama iaitu Sektor Pembuatan (tiga kategori), Sektor Perkhidmatan (4 kategori) dan Kategori Terbuka.

Kategori lain adalah seperti Syarikat Paling Berpotensi, Industry4WRD dan yang terkini dua anugerah baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Kecemerlangan Produktiviti (3 kategori) dan Anugerah Kecemerlangan ESG. 

AKI menawarkan insentif untuk meraikan syarikat yang menunjukkan kemajuan ketara dalam amalan pengurusan, produk serta peningkatan kualiti perkhidmatan, antara lainnya seperti trofi, hadiah wang tunai, latihan dan aktiviti promosi.

Sumber: Bernama

Bencana banjir tidak jejas minat dan beri impak negatif pada pelabur asing


Content Type:

Duration:

Pelaburan dua syarikat utama, Tesla dan Amazon Web Services (AWS) dijangka membawa limpahan ekonomi kepada negara sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pelaburan positif seperti Tesla itu didorong faktor Malaysia yang mempunyai ekosistem kukuh dalam menyokong pembuatan kenderaan elektrik (EV).

“Contohnya Tesla mengatakan bahawa sebahagian yang agak besar daripada rantaian bekalan mereka adalah dari Malaysia, jadi mengapa tidak mereka berpindah ke sini,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pelancaran Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 di Johor Port Bhd, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelaburan baharu daripada Tesla dan AWS itu.

Sebelum ini Tengku Zafrul dilaporkan berkata MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport kenderaan bateri elektrik (BEV) ke Malaysia.

Dalam merealisasikan objektif itu, Tesla akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Tengku Zafrul berkata pelaburan terkini AWS pula dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM25.5 bilion untuk tempoh melebihi 15 tahun, akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi serta membantu inovasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), seiring dengan aspirasi digital negara.

Sumber: Bernama

Pelaburan Tesla, AWS dijangka bawa limpahan ekonomi, wujudkan pekerjaan berkualiti tinggi


Content Type:

Duration:

Kementerian Kewangan menegaskan, Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada tahun ini seperti yang diramalkan akan berlaku di kebanyakan negara di dunia.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.5 peratus.

Menurut beliau, ia adalah selari dengan ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang mengunjurkan kadar pertumbuhan ekonomi negara sebagai 4.4 peratus dan 4 peratus.

“Berdasarkan statistik ini, meskipun berdepan dengan cabaran ketidaktentuan global, saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan mengalami kegawatan ekonomi pada 2023.

“Hal ini berdasarkan takrifan kegawatan atau kemelesetan ekonomi secara teknikal adalah apabila sesebuah negara mengalami penguncupan ekonomi iaitu pertumbuhan negatif suku tahunan sebanyak dua kali berturut-turut,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai pelan kerajaan dalam menghadapi kegawatan ekonomi yang dijangka berlaku pada tahun ini.

Mengulas lanjut, Ahmad menjelaskan, kerajaan akan terus mengutamakan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan yang saksama untuk rakyat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

“Kerajaan akan memudahcara proses pelaburan, mewujudkan lebih banyak syarikat pemula berinovasi tinggi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal,” tambah beliau.

Sumber: Astro Awani

Malaysia tidak akan berdepan kegawatan ekonomi tahun ini – Ahmad Maslan


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mempunyai hubungan dua hala yang cukup erat dan kedua-dua negara sepakat untuk meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertahanan, dan tenaga.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau juga berharap akan dapat mengadakan lawatan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam masa terdekat dan berbesar hati untuk menerima lawatan Presidennya, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan ke Malaysia pada tahun ini.

“Saya fikir di bawah kepimpinan Sheikh Mohamed, ia adalah hebat, berjaya dan maju. Secara peribadi, kamu telah banyak membantu.

“Malah saya pula berasa malu kerana kamu telah membantu banyak perkara, terutama dalam perdagangan, pelaburan. Saya benar-benar dan sangat menghargai kamu sebagai seorang saudara,” katanya semasa berbincang melalui telefon dengan Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan pada Jumaat.

Justeru, beliau melahirkan penghargaan kepada UAE kerana sentiasa membantu dan memberi sokongan kepada negara dalam banyak perkara.

Ia termasuk bantuan UAE terhadap Malaysia dalam misi menghantar bantuan kemanusiaan kepada mangsa gempa bumi di Syria baru-baru ini.

Ujar Anwar lagi, Malaysia dan UAE akan terus meneroka bentuk kerjasama dan hubungan yang lebih erat bagi mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Sheikh Mohamed berkata, hubungannya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kekal utuh.

Malah, Malaysia dan rakyatnya sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam Presiden UAE itu.

“Hubungan saya dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berjalan sepanjang masa. Saya mempunyai tempat yang istimewa untuk negara (Malaysia) dan orang yang hebat di hati saya.

“Sejujurnya saya gembira mendengar suara kamu. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan kamu kerana bekerja keras menyelesaikan isu ini antara kita,” tambahnya.

Semalam berpeluang adakan perbincangan melalui telefon bersama Yang Mulia Sheikh Mohamed Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sumber: Astro Awani

Malaysia-UAE sepakat tingkatkan kerjasama pelbagai bidang – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Malaysia memainkan peranan penting dalam Asean dan sewajarnya dilihat sebagai gerbang masuk perniagaan Australia untuk mendapatkan lebih 600 juta pengguna yang tinggal di rantau ini, kata Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC).

Majlis itu dalam satu kenyataan hari ini berkata Australia dan Malaysia mempunyai hubungan ekonomi yang telah lama terjalin dengan perdagangan dua hala mereka mencecah lebih 15 bilion dolar Australia (1 dolar Australia=RM3.02) pada 2021, yang mana Australia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia serta destinasi eksport ketujuh terpenting.

Lawatan Menteri Luar dan Perdagangan Australia Penny Wong baru-baru ini telah menyumbang kepada kemajuan ekosistem perniagaan yang telah wujud antara Malaysia serta Australia.

MABC akan terus menyokong usaha menteri berkenaan dalam memajukan hubungan perdagangan dan ekonomi yang signifikan termasuk hubungan erat antara kedua-dua negara.

Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan bukti hubungan saling menghormati antara Malaysia dan Australia.

Majlis itu berkata mesyuarat yang diadakan bersama Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli adalah sama penting.

“Majlis Perniagaan Malaysia Australia menghargai pengesahan semula keutamaan bersama kami di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif dan janji yang diwakili kami yang meliputi perniagaan di kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (Mafta), yang telah memudahkan peningkatan perdagangan, selain Australia disenaraikan sebagai salah satu daripada lima rakan dagang utama Malaysia.

Katanya lagi, Mafta adalah perjanjian komprehensif dengan standard tertinggi yang seterusnya mengintegrasikan ekonomi Australia ke dalam ekonomi Malaysia yang berkembang pesat.

Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 1 Jan 2013 dan berdasarkan faedah yang sudah dinikmati oleh perniagaan Australia dan Malaysia daripada Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Australia-New Zealand (AANZFTA).

MABC ditubuhkan pada 1986 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada ahli-ahlinya yang berpangkalan di Malaysia dan Australia.

Disokong oleh penaung bersamanya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia serta Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, MABC memainkan peranan penting dalam memajukan perdagangan dan pelaburan dua hala.

Sumber: Bernama

Malaysia dilihat sebagai gerbang perniagaan Australia memasuki ASEAN – MABC


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Filipina bersetuju untuk terus meneroka kerjasama dalam pelbagai sektor dalam usaha mempertingkat hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerjasama dua hala Malaysia dan Filipina adalah dalam pelbagai sektor yang antara lain merangkumi perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan serta pertanian.

“Kami turut membincangkan bidang-bidang untuk kerjasama lanjut. Sektor baharu dan penting seperti industri halal, keterjaminan makanan dan ekonomi digital adalah antara bidang utama yang saya sarankan sebagai potensi kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar bersama dengan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr selepas mengadakan mesyuarat dua hala di Istana Malacanang hari ini.

Terdahulu, pesawat khas yang membawa Anwar serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Pangkalan Udara Villamor di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Filipina.

Anwar berkata kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8 yang akan diterajui Menteri Luar masing-masing tahun ini pada tarikh yang sesuai.

Perdana Menteri juga bercakap mengenai langkah mempererat silaturahim rakyat kedua-dua negara selain meneruskan pertukaran budaya dan pelancongan.

“Saya mengiktiraf peranan diaspora Filipina di Malaysia serta sumbangan mereka kepada ekonomi kedua-dua negara dan sebagai anggota pengasas ASEAN dan kawasan pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, hala tuju serantau Filipina dan Malaysia adalah berpaksikan ASEAN,” katanya.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Anwar berkata beliau telah membincangkannya dengan Marcos dan berkongsi pandangan sama mengenai perkara itu.

“Memandangkan isu ini adalah rumit, kita harus mencuba dan melibatkan diri serta menyatakan pendirian di peringkat pelbagai hala antara ASEAN supaya kita mempunyai pendekatan yang komprehensif dan mencapai penyelesaian memuaskan bagi masalah yang sudah lama tertangguh ini,” katanya.

Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangan mengenai isu perbalahan di Myanmar yang masih tidak selesai sehingga turut menjejaskan Malaysia susulan jumlah pelarian yang ramai.

Beliau berkata jumlah pelarian Myanmar di Malaysia telah melebihi 200,000 orang.

“Presiden Marcos telah mengulangi keperluan konsensus lima perkara namun saya menyarankan untuk meneroka kaedah baharu bagi memujuk junta Myanmar agar berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam ASEAN serta menyelesaikan isu yang tertangguh dan tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata kerana ia menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rantau ini, ” katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia, Filipina terus teroka kerjasama dalam pelbagai sektor


Content Type:

Duration:

Kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan kadar realisasi pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi berbanding 30 peratus yang dicatatkan sejak tiga tahun lalu.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata sejak beberapa tahun lalu sejumlah RM200 bilion FDI telah diluluskan, tetapi hanya 30 peratus dapat direalisasikan kerana kemahiran yang dimiliki bakat tempatan tidak memenuhi keperluan pelabur asing.

Justeru, katanya, langkah perlu diambil untuk meningkatkan kadar realisasi FDI termasuklah menangani ketidakpadanan kemahiran dalam pekerjaan meningkatkan pekerjaan.

“Kami berharap dapat merapatkan jurang melalui program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula supaya kita dapat memanfaatkan nilai FDI yang diluluskan untuk berkembang dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC) dan institut penyelidikan dan latihan Perancis, IFP Energies Nouvelles (IFPEN) di sini, hari ini.

Yang turut serta, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Ja’afar; serta Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif IFPEN, Pierre-Franck Chevet.

Rafizi berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu sebenar ekonomi bukannya kemasukan FDI, sebaliknya mengenai merapatkan jurang antara apa yang diperlukan pelabur dari aspek tenaga kerja dengan apa yang dimiliki negara.

“Itulah sebabnya dalam ekonomi sekarang ada ketidakpadanan. Rakyat bercakap mengenai tidak mempunyai pekerjaan atau perlu melakukan pekerjaan bergaji rendah. Namun apabila anda melihat senarai pekerjaan dan apabila bercakap dengan industri, mereka akan katakan mengenai kekurangan bakat.

“Sesebuah syarikat memutuskan untuk memasuki Malaysia kerana mahu mengembangkan kehadiran mereka dan salah satu cabaran besar sebenar di sini adalah tenaga kerja,” katanya.

Beliau berkata, MoU antara MPRC dan IFPEN boleh menjadi contoh dalam merapatkan jurang ketidaksepadanan kemahiran supaya mereka yang berkaitan dapat dilatih dengan kepakaran khusus.

“Kerajaan perlu bekerjasama dengan industri dan pelabur untuk membawa kemahiran dan diharapkan kurang enam bulan atau setahun sebaik sahaja angka rasmi diumumkan dengan angka realisasi FDI yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, MoU antara MPRC dan IFPEN menyaksikan kedua-dua entiti itu akan meneroka langkah terbaik untuk meningkatkan keupayaan syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas Malaysia (OGSE) di tengah-tengah peralihan tenaga.

Mohd Yazid berkata, MPRC dan IFPEN akan mencari peluang untuk bekerjasama bagi menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 (Pelan Tindakan OGSE ) serta menyumbang kepada pencapaian matlamat kelestarian Malaysia.

Katanya, ia akan meliputi kawasan termasuk peralihan tenaga dan hala tuju penyahkarbonan; serta pembangunan modal insan dalam bidang berkaitan.

“Dengan perjanjian ini yang ditandatangani MPRC dengan IFPEN iaitu antara institut penyelidikan dan latihan tenaga yang terkemuka di Perancis, kami menjangka dapat meningkatkan hasil Pelan Tindakan OGSE dengan pendedahan kepada peluang baharu untuk syarikat OGSE Malaysia bagi memanfaatkan dan meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang mereka.

“Ini akan mengukuhkan daya tahan syarikat OGSE untuk menangani keperluan perniagaan menerusi Pelan Tindakan OGSE 2030 dan melindungi kemampanan mereka untuk jangka panjang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan mahu tingkat kadar realisasi pelaburan asing


Content Type:

Duration:

Jumlah pelaburan langsung ke luar negara (DIA) syarikat Malaysia meningkat sebanyak 10.1 peratus kepada RM602.1 bilion pada 2022 berbanding RM547.0 bilion pada tahun sebelumnya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) yang memetik data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia berkata DIA bagi tahun 2022 pula telah mencatatkan peningkatan ketara dengan pelaburan paling tinggi ke Singapura iaitu sebanyak RM126.8 bilion diikuti Indonesia (RM63.5 bilion) dan Belanda (RM38.8 bilion)

Bagi tahun 2021, pelaburan langsung ke luar negara mencatatkan pelaburan paling tinggi ke Singapura iaitu sebanyak RM109.4 bilion diikuti Indonesia (RM51.6 bilion) dan United Kingdom (RM35.2 bilion).

“Sektor yang menyumbang kepada jumlah DIA tertinggi bagi 2021 adalah sektor perkhidmatan iaitu sebanyak RM374.1 bilion dengan kenaikan sebanyak 8.6 peratus kepada RM406.2 bilion diikuti sektor perlombongan sebanyak RM65.2 bilion pada tahun 2021, meningkat sebanyak 16.6 peratus kepada RM76.0 bilion.

“Sektor perkilangan pula mencatatkan sebanyak RM53.7 bilion pada tahun 2021 dan turut meningkat sebanyak 10.8 peratus pada 2022 kepada RM59.5 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang ingin tahu kedudukan pelaburan negara di luar negeri dan jumlah pelaburan bagi 2021 dan 2022.

Aliran keluar DIA yang meningkat terutamanya dalam aktiviti kewangan, perlombongan, perkilangan, dan pertanian menunjukkan daya saing yang tinggi syarikat Malaysia untuk berkembang dan bersaing serta mengambil bahagian dalam rantaian bekalan di peringkat serantau dan global, kata MITI.

Sumber: Bernama

Jumlah pelaburan langsung ke luar negara meningkat kepada RM602.1 bilion pada 2022 – MITI


Content Type:

Duration:

MALAYSIA mengalu-alukan pelaburan daripada pemain industri berkaitan teknologi yang menyertai Kongres Dunia Mudah Alih (MWC) 2023, terutamanya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi,Datuk Seri Chang Lih Kang berkata, Malaysia merupakan destinasi pelaburan yang mahu mengembangkan bahagian pasarannya dalam ekonomi digital, yang seterusnya akan diterjemahkan kepada peningkatan dalam peluang perdagangan dan perniagaan.

Sehubungan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dijadual menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan Sepanyol dalam bidang STI pada 2 Mac 2023.

MoU itu dijangka meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara, khususnya kementerian sains dan teknologi mereka dalam industri STI.

Sementara itu, Chang menekankan bahawa penyertaan MOSTI dalam MWC 2023 telah membuka peluang bagi penerokaan peraturan kecerdasan buatan (AI) dan kaedah untuk pelaksanaan etika AI, yang merujuk kepada beberapa pertimbangan yang berkaitan keselamatan, kebimbangan manusia dan isu alam sekitar.

“Kami juga mengadakan perbincangan yang sangat bermanfaat dalam memahami teknologi baru muncul dalam telekomunikasi seperti pecutan transformasi digital selain, rangka kerja peraturan AI,” katanya.

MOSTI telah melancarkan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan Malaysia 2021-2025 yang bertujuan mewujudkan ekosistem inovasi AI kendiri yang berpandukan kepada tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab.

“Bagaimanapun, pada masa ini, tiada rangka kerja dan garis panduan minimum mengenai pelaksanaan prinsip AI yang bertanggungjawab di Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Chang berkata, MOSTI sentiasa mencari jalan bagi memastikan ekosistem kawal selia secara keseluruhannya berkesan dan koheren dalam menghadapi cabaran baharu.

“Malaysia berada di hadapan keluk pada ketika ini, hasil daripada nasihat pakar serta kerjasama dengan agensi tempatan dan syarikat teknologi.

“Huawei Technologies adalah salah satu syarikat yang berada di barisan hadapan dalam usaha ini dalam menyampaikan visi yang akan membantu kami mewujudkan Malaysia yang didigitalkan.

“Kerjasama Huawei dengan agensi di bawah MOSTI, Technology Park Malaysia Corp dalam membangunkan platform e-Perkhidmatan Malaysian Research Accelerator for Technology Innovation (MRANTI) untuk mempercepatkan pengkomersialan teknologi, meningkatkan inovasi tempatan dan membangunkan teknologi, sewajarnya dipuji,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia-Sepanyol meterai MoU kerjasama teknologi


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi di bawahnya menerima peruntukan berjumlah RM1.59 bilion menerusi Belanjawan 2023 yang dibentangkan hari ini.

Kementerian itu berkata jumlah tersebut meliputi peruntukan mengurus sebanyak RM625 juta dan peruntukan pembangunan bernilai RM960 juta.

“Peruntukan ini secara jelas membuktikan kerajaan MADANI komited dalam merencanakan pembangunan negara secara inklusif dan holistik seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan dan perdagangan serta sebagai pintu masuk ke rantau Asia,” kata MITI dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

MITI berkata tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pembangunan industri, perdagangan antarabangsa dan pelaburan tempatan dan asing, kekal utuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, menambahbaik daya tahan rantaian bekalan dan memperkasa pembangunan modal insan Malaysia.

Kementerian yang diterajui oleh Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu juga sedang memperbaharui dan mengemaskini Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, ia akan mengupas isu-isu utama.

Ia termasuk reformasi struktur, meningkatkan kepelbagaian ekonomi negara, mewujudkan ekosistem yang sesuai untuk industri sasaran, serta membina kapasiti perusahaan kecil dan sederhana untuk menerapkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi memenuhi permintaan pasaran global.

Seperti yang diumumkan di dalam ucapan Belanjawan 2023, NIMP 2023 yang diperbaharui itu dijangka siap pada suku ketiga 2023, kata MITI.

Sumber: Bernama

Belanjawan 2023: MITI terima peruntukan RM1.59 bilion untuk pacu pelaburan, perdagangan mampan


Content Type:

Duration:

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang diratifikasi Malaysia pada 30 September tahun lalu, tidak memberi impak negatif terhadap sektor pertanian negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong, berkata CPTPP sebaliknya menjamin hak dan kepentingan petani tempatan kerana ia adalah satu-satunya perjanjian perdagangan bebas (FTA) ditandatangani Malaysia yang mengiktiraf isu keterjaminan makanan.

Menerusi perjanjian itu, beliau berkata, kerajaan berhak melaksanakan larangan sementara eksport bagi produk makanan supaya ia mencukupi untuk kegunaan rakyat.

“Dakwaan bahawa perjanjian ini tidak membenarkan kerajaan melaksanakan larangan eksport makanan asas seperti ayam, adalah tidak benar.

“Selain itu, perjanjian CPTPP tidak akan menjejaskan program bantuan kerajaan, termasuk pemberian subsidi kepada pertanian untuk tujuan eksport,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Che Alias Hamid (PN-Kemaman) yang meminta kerajaan menyatakan pendirian berhubung isu CPTPP yang jelas memberi impak kepada sektor pertanian negara.

Seterusnya, Chin Tong berkata, CPTPP juga tidak akan mengakibatkan penghapusan menyeluruh duti import bagi barangan pertanian, secara mendadak.

Beliau menjelaskan, Malaysia memang bergantung pada import barangan pertanian yang mana lebih 50 peratus daripada keperluan tempatan seperti daging kambing dan lembu dipenuhi melalui sumber import.

“Bagi 2020, purata duti import bagi barangan pertanian ialah sekitar 13.8 peratus dan ia terus berkurangan kepada 7.9 peratus bagi 2021. Pada masa sama, Malaysia diberi tempoh pelaksanaan lebih panjang, iaitu 16 tahun lagi untuk tujuan pengurangan dan penghapusan duti import, termasuk bagi barangan pertanian.

“Tambahan pula, Malaysia tidak perlu menghapuskan sepenuhnya duti import bagi ayam, telur dan beberapa produk lain bawah CPTPP, serta masih boleh mengekalkan sistem kuota kadar tarif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, sektor pertanian termasuk komitmen berkaitan dalam perjanjian FTA yang lain, adalah bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) sama ada kerajaan bercadang meratifikasi FTA baharu dalam masa terdekat pula, Chin Tong memaklumkan setakat ini, tiada sebarang perancangan untuk berbuat demikian.

“Buat masa ini, belum ada apa-apa keputusan untuk meneruskan perbincangan FTA baharu walaupun ada yang berminat menandatanganinya dengan Malaysia.

“Dari segi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan CPTPP, kenapa kerajaan terdahulu dan sekarang meneruskan pembabitan Malaysia dalam dua sistem ini… ia adalah kerana sistem perdagangan dunia sudah berubah,” katanya.

Sumber: Berita Harian

CPTPP tidak beri impak negatif terhadap sektor pertanian negara


Content Type:

Duration:

Malaysia merupakan rakan kongsi penting Australia di rantau ini, kata Menteri Luarnya Penny Wong yang turut menekankan komitmen Canberra untuk sentiasa berusaha memperkukuh hubungan dua hala itu.

Beliau menegaskan bahawa kerajaannya mahu membina hubungan yang paling kukuh dengan Malaysia yang melangkaui bidang kerjasama dua hala sedia ada.

Kedua-dua pihak menjalin kerjasama yang mendalam dalam pelbagai sektor, termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.

“Hubungan ini (juga) melibatkan dimensi serantau. Malaysia merupakan anggota penting ASEAN, (dan) ASEAN adalah pusat rantau kita.

“Kami berharap dapat terus melibatkan diri, mendengar dan bekerjasama dengan Malaysia ketika rantau ini melalui tempoh masa yang agak mencabar,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, hari ini.

Wong kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia, lawatan kedua beliau ke sini sebagai menteri luar Australia. Beliau melawat Malaysia pada Jun tahun lepas sejurus menyandang jawatan itu.

Beliau tiba di sini pada Isnin dan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Mengenai pertemuan dengan Anwar pada Isnin, beliau berkata: “Saya menghargai kemesraan dan penglibatan Perdana Menteri dan sikap berterus-terang antara satu sama lain semasa pertemuan itu.

“Tidak kira siapa yang pernah berada dalam kerajaan, di Australia kami sentiasa melihat hubungan dua hala dengan Malaysia sebagai sangat penting”.

Dalam kenyataan media sebelum lawatannya, Wong berkata kunjungannya ke Malaysia kali ini akan menumpukan pada usaha meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi yang penting, kerjasama dalam pertahanan dan keselamatan serantau serta hubungan rapat antara rakyat kedua-dua negara.

Hubungan rapat Malaysia dan Australia bermula sebelum kemerdekaan Malaya pada 1957 diikuti pembentukan Malaysia pada 1963.

Pada 2021, Malaysia dan Australia meningkatkan hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP).

Selain hubungan dua hala, kedua-dua negara juga bekerjasama rapat dalam platform serantau dan antarabangsa yang lain, termasuk di ASEAN-Australia CSP, Sidang Kemuncak Asia Timur, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Kedua-dua negara, bersama Singapura, New Zealand dan United Kingdom juga membentuk Perjanjian Pertahanan Lima Negara yang merupakan kerjasama pertahanan pelbagai hala.

Dalam ekonomi dan perdagangan, Australia dan Malaysia juga terlibat dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Jumlah perdagangan antara kedua-dua negara pada 2022 meningkat dengan ketara sebanyak 55.4 peratus kepada RM88.65 bilion (AS$20.05 bilion), menjadikan Australia rakan dagangan ke-10 terbesar Malaysia.

Pada 2021, dagangan dua hala bernilai RM52.28 bilion (AS$12.43 bilion), meningkat 28.7 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sumber: Bernama

Australia komited jalin hubungan paling kukuh dengan Malaysia


Content Type:

Duration:

wpChatIcon