Berita Ekonomi Archives - Page 9 of 35 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Semakan semula Belanjawan 2023 dapat perkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global – MRANTI

Belanjawan 2023 yang disemak semula dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global dalam bidang utama — kelestarian alam sekitar, kesihatan dan keselamatan makanan, dengan inovasi sebagai pemboleh teras, menurut Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dzuleira Abu Bakar berkata peruntukan sebanyak RM428 juta untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk menangani cabaran sektor dan kemasyarakatan adalah tepat pada masanya.

“Ia akan memacu inovasi berdasarkan ‘teknologi impak’ dalam sektor perindustrian utama, untuk pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat, dengan mentransformasikan idea dan inovasi kepada impak.

“Melalui inovasi dalam bidang baharu dan sokongan kerajaan dalam perkara berkaitan perancangan dan dasar, Malaysia boleh menjadi destinasi pelaburan yang menarik,” katanya dalam kenyataan.

Dzuleira berkata langkah kerajaan untuk menyokong syarikat pemula kemampanan dan syarikat teknologi hijau dengan pembiayaan sebanyak RM2 bilion akan membantu MRANTI menarik dan mengupayakan syarikat dengan prinsip sedemikian.

“Langkah strategik ini akan membantu Malaysia membezakannya dalam pasaran global berikutan terdapat keperluan mendesak di seluruh dunia untuk penyelesaian yang mendukung kesihatan planet,” katanya.

Beliau berkata dalam teknologi pertanian, geran padanan sebanyak RM50 juta untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan merupakan instrumen penting untuk meningkatkan pertumbuhan Malaysia dalam industri teras.

“Subsidi dan insentif kerajaan untuk industri pertanian dan perikanan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk menambah baik bekalan makanan, termasuk hasil pertanian segar berteknologi tinggi untuk pengusaha agromakanan dalam Belanjawan 2023 akan turut membantu mengukuhkan daya saing Malaysia dalam bidang ini,” katanya.

Sumber: Bernama

Semakan semula Belanjawan 2023 dapat perkukuh kedudukan Malaysia di peringkat global – MRANTI


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Mesir komited untuk mengeratkan hubungan serta kerjasama dua hala, selain meneroka potensi perkongsian dalam industri baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata dalam perbincangan menerusi panggilan video bersama Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi hari ini, kedua-dua negara menekankan komitmen untuk mengeratkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, perdagangan dan pelancongan.

“Kami juga meneroka potensi perkongsian dalam industri baharu seperti pembuatan pintar dan ekonomi digital, serta membincangkan isu global yang berkepentingan termasuk keterjaminan makanan, krisis tenaga, Islamofobia dan perjuangan rakyat Palestin.

“Perbincangan kami menggambarkan hubungan ekonomi yang kukuh antara Mesir dan Malaysia. Mesir merupakan salah satu rakan dagangan terbesar Malaysia dan salah satu pengimport terbesar minyak sawit Malaysia, di rantau Afrika,” katanya menerusi satu perkongsian di Twitter.

Sumber: Bernama

Malaysia-Mesir komited eratkan kerjasama, teroka potensi industri baharu – PM Anwar


Content Type:

Duration:

Langkah melaksanakan pendekatan ke arah kadar cukai berperingkat dapat memberi ganjaran kepada pelaburan berkualiti tinggi untuk negara ini, kata PwC Malaysia.

Malah, Ketua Percukaiannya, Jagdev Singh berkata pentakrifan semula jenis pelaburan yang diperlukan Malaysia juga merupakan perkara teras berikutan persaingan sengit bagi mendapatkan pelaburan baharu di rantau ini.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting untuk melaksanakan sebarang tindakan yang membolehkan peralihan daripada menumpukan pelaburan modal semata-mata kepada aspek kualiti serta kesan pengganda seperti mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi dan pembangunan ekosistem utama bagi kemajuan penggiat tempatan.

“Oleh itu, cadangan memperkenalkan Cukai Barangan Mewah tahun ini, komitmen untuk mengkaji pengenalan Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham tidak tersenarai mulai 2024 serta kenaikan kadar cukai pendapatan individu kepada 2.0 peratus daripada 0.5 peratus bagi julat cukai RM100,001 hingga RM1 juta, tidak harus dilihat sebagai mengejutkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jagdev berkata, oleh kerana kerajaan telah menegaskan tidak akan memperkenalkan cukai penggunaan meluas dalam Belanjawan 2023, pilihan bagi Malaysia untuk meningkatkan hasil pendapatan adalah terhad.

“Bagaimanapun, kajian mengenai kemungkinan memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal perlu dilakukan bagi memastikan manfaat (seperti jumlah hasil cukai yang dijana) ternyata lebih daripada kos (impak kepada ekosistem pelaburan dan bebanan pentadbiran untuk pihak berkuasa dan pembayar cukai,” katanya.

Sumber: Bernama

Insentif kadar cukai berperingkat, takrifan semula bantu Malaysia raih pelaburan – PwC


Content Type:

Duration:

Kerajaan akan menambah baik prosedur menjalankan perniagaan bagi mengurangkan birokrasi termasuk memberikan insentif kepada pihak berkuasa tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia adalah langkah yang akan memudah cara pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan bagi memastikan usaha pelaburan dapat dipercepat.

“Kajian Bank Negara menunjukkan, manfaat pelaburan langsung asing (FDI) dilihat semakin mengecil ekoran ketersediaan insentif yang tinggi dan pelaburan bernilai tambah rendah.

“Malaysia mempunyai lebih 100 jenis insentif dan lebih 30 agensi promosi pelaburan (IPA). Dengan pola perubahan global susulan perkembangan teknologi dan perubahan iklim, evolusi insentif di Malaysia diperlukan untuk menyokong kegiatan ekonomi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 di sini, hari ini.

Bergerak ke hadapan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 akan diumumkan pada suku ketiga tahun ini untuk melakar hala tuju pembangunan perindustrian yang bertumpukan aktiviti berkualiti tinggi dan pengambilan bakat tempatan.

“Selari dengan pelan ini, agensi promosi pelaburan dan insentif pelaburan akan distruktur semula ke arah kadar cukai berperingkat berasaskan hasil seperti mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi, mendalami rantaian bekalan dengan firma tempatan dan mewujudkan kelompok industri baharu.

“Pemantauan pelaburan yang menerima insentif juga akan diperkasa untuk memastikan manfaat yang diharapkan dapat diperoleh sepenuhnya oleh negara dan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, antara isu utama pelabur asing ialah kurangnya bakat tempatan yang membolehkan mereka melabur dan beroperasi di Malaysia.

“Sedangkan pada masa sama, kita memberi biasiswa kepada lebih seribu pelajar setiap tahun untuk bidang kejuruteraan di Jepun, Korea, Perancis dan Jerman.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan akan menyelaras kerjasama antarabangsa dengan syarikat multinasional asing untuk menyediakan peluang perantisan di negara pemegang biasiswa menuntut. Pelajar ini juga dibenarkan menyempurnakan bon perkhidmatan mereka dengan syarikat ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tambah baik prosedur jalankan perniagaan, tarik pelabur


Content Type:

Duration:

Wilayah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)  merekodkan pelaburan awam dan swasta sebanyak RM102.36 bilion sehingga 2022, menurut Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sejumlah RM93.09 bilion disumbangkan oleh pelaburan swasta melalui pelaksanaan 334 projek manakala RM9.17 bilion daripada pelaburan awam yang melibatkan pelaksanaan 326 projek.

“SCORE menyasarkan jumlah pelaburan dirancang sebanyak RM334 bilion menjelang 2030, dengan pelaburan swasta RM267 bilion dan pelaburan kerajaan RM67 bilion,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai perkembangan terkini dan pencapaian SCORE di Tanjong Manis, Sarawak.

Menurutnya Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) adalah antara nod pertumbuhan utama yang telah dikenal pasti dalam wilayah SCORE untuk memacu pembangunan ekonomi di Tanjung Manis dan meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Sehingga kini, beliau berkata T-MEGA mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.4 bilion dan pihak Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah menjangkakan sejumlah RM803.5 juta pelaburan akan direalisasi menjelang 2026.

“Sebanyak RM2.5 bilion nilai eksport terkini daripada kawasan Wilayah Tengah Sarawak termasuk T-MEGA telah direkodkan melalui Pelabuhan Tanjung Manis dan ia dijangka terus meningkat sehingga RM4.5 bilion menjelang 2030,” katanya.

Hanifah berkata memandangkan T-MEGA ialah kawasan baru dibangunkan, fasa awal bertumpu kepada pembangunan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, telekomunikasi, elektrik dan infrastruktur logistik bagi menyokong keperluan asas industri yang dirancangkan serta memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Kepada pertanyaan Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim (PN-Kuala Terengganu) dan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai inisiatif kerajaan dalam membantu pembangunan infrastruktur dan penyaluran dana pembangunan untuk negeri pantai timur, Hanifah berkata di bawah Rolling Plan 2 Tahun 2022, negeri-negeri Pantai Timur telah diluluskan peruntukan pembangunan asas sebanyak RM5.89 bilion.

Katanya sebanyak 1,068 projek pembangunan di bawah pelbagai kementerian diluluskan.

Antara projek utama yang sedang dilaksanakan di negeri-negeri pantai timur adalah pembinaan bangunan baru pusat pakar pergigian Terengganu (kos projek RM34.2 juta), projek pembinaan Stadium Bukit Merbau di Kelantan (kos projek RM180 juta) dan program Perumahan Rakyat Bera, Pahang (kos projek RM234 juta), katanya.

Hanifah berkata kerajaan memperuntukkan RM162.8 juta perbelanjaan pembangunan pada 2022 bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi membiayai program/projek pembinaan infrastruktur negeri-negeri di wilayah ECER.

Katanya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12, Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mencatatkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM16.90 bilion dengan jumlah pelaburan direalisasi RM6.45 bilion.

Sumber: Bernama

SCORE raih pelaburan bernilai RM102.36 bilion sehingga 2022 – Hanifah


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memutuskan untuk mengkaji semula Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Ia berikutan cabaran operasi baharu dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh kesan buruk pasca wabak terhadap ekonomi negara, sentimen geopolitik global yang boleh mengakibatkan perang perdagangan, kemajuan teknologi yang pesat dan ancaman perubahan iklim.

NIMP 2030 yang disemak semula akan menampilkan satu set strategi komprehensif dan pelan tindakan bagi memastikan sinergi di peringkat dasar dan industri, terutamanya dalam mewujudkan ekosistem yang menyokong membantu memangkin pembangunan perindustrian Malaysia pada masa hadapan.

Pasca semakan, NIMP 2030 akan menjadi dokumen rujukan utama dalam mencartakan pembangunan industri masa depan Malaysia sehingga 2030.

Kajian semula akan dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas, yang akan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dengan Timbalan Menteri mempengerusikan secara ganti.

Sekretariat bagi Pasukan Petugas Khas itu akan diketuai oleh Ketua Setiausaha MITI.

Pasukan Petugas Khas itu terdiri daripada mereka yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pembangunan industri, perniagaan, kewangan, pelaburan, strategi korporat dan perancangan, peningkatan produktiviti dan pembangunan bakat.

Pasukan itu diberi mandat untuk membincangkan isu-isu utama seperti pembaharuan struktur keseluruhan, mempertingkatkan kompleksiti ekonomi negara, mewujudkan ekosistem yang betul untuk industri sasaran serta membina kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menyediakan mereka untuk permintaan pasaran global.

Cadangan untuk menambah baik NIMP 2030 dijangka dapat memastikan dasar yang tangkas dan komprehensif sejajar dengan konsep MADANI Kerajaan Perpaduan, objektif karbon sifar bersih 2050 dan dasar utama MITI seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Dasar Pelaburan Nasional (NIP) dan Industri4WRD.

Mesyuarat Pasukan Petugas Khas pertama diadakan pada 23 Februari 2023, dan NIMP yang disemak semula dijangka siap pada suku ketiga 2023.

Sumber: Berita Harian

Pelan induk perindustian 2030 dikaji semula


Content Type:

Duration:

Kaji selidik oleh Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) mendapati bahawa peratusan syarikat Jepun di Malaysia yang menjangka keuntungan daripada operasi telah meningkat, daripada 50.0 peratus pada 2020 kepada 59.7 peratus pada 2021 dan 63.0 peratus pada 2022.

Menurut kaji selidik itu, unjuran keuntungan daripada operasi pada 2023 menunjukkan bahawa peratusan mereka yang menjangka kemerosotan menurun dengan ketara di semua enam negara ASEAN.

“Di Malaysia, peratusan ‘bertambah baik’ meningkat sedikit kepada 47.4 peratus manakala peratusan ‘merosot’ menurun sebanyak 12.5 mata peratusan daripada 19.9 peratus kepada 7.4 peratus,” lapor Jetro.

Mengenai hala tuju pembangunan perniagaan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, sebanyak 48.4 peratus daripada syarikat Jepun di Malaysia menyatakan bahawa mereka akan berkembang, naik 5.2 mata peratusan daripada 43.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya kadar kenaikan itu adalah yang terbesar dalam kalangan enam negara-negara Asean utama.

Kos buruh dalam sektor pembuatan di Malaysia sebanyak 21.1 peratus dan kos bahan menyumbang 58.5 peratus.

Berbanding dengan kaji selidik pada 2019, Malaysia merupakan satu-satunya negara dalam kalangan enam negara-negara Asean utama yang mencatatkan penurunan dalam nisbah kos bahannya.

Sementara itu, penilaian positif terhadap persekitaran perniagaan Malaysia berada pada 60.5 peratus, dengan responden menyatakan kemudahan bahasa dan komunikasi serta persekitaran kehidupan untuk ekspatriat sebagai kelebihan.

Kos buruh, prosedur visa/permit kerja dan tahap kadar perolehan dinyatakan sebagai risiko. Ini terutamanya, peratusan yang tinggi syarikat melaporkan “kadar pengekalan pekerja” sebagai masalah pengurusan.

Menurut kaji selidik itu, “dalam kalangan enam negara-negara Asean utama, Malaysia mempunyai jumlah syarikat tertinggi yang menjawab bahawa mereka mempunyai sasaran berkaitan penyahkarbonan, pada 23.1 peratus.”

“Isu-isu yang dinyatakan termasuklah kos yang meningkat, dasar kerajaan yang tidak jelas dan kesedaran yang rendah. Terdapat juga suara yang berpandangan bahawa kekurangan insentif untuk penyahkarbonan sebagai satu isu,” katanya.

Ia turut menyatakan bahawa kesedaran mengenai isu hak asasi manusia dalam rantaian bekalan adalah tinggi di Malaysia dalam kalangan enam negara-negara Asean utama, dengan 65.7 peratus melihatnya sebagai isu pengurusan.

Dapatan itu, yang merupakan kaji selidik ke-36 sejak 1987, telah dijalankan dari 22 Ogos 2022 hingga 21 Sept 2022.

Kaji selidik itu termasuk Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Sumber: Bernama

Syarikat Jepun di Malaysia jangka keuntungan daripada operasi catat trend meningkat – Jetro


Content Type:

Duration:

Labuan mempunyai segala yang diperlukan untuk maju dari segi ekonomi dengan kesalinghubungan dan pembangunan infrastruktur yang lebih baik, demikian menurut Dewan Perniagaan Labuan (LCC).

Pengerusinya, Daniel Doughty berkata Labuan, sebagai hab minyak dan gas serantau serta pusat perniagaan dan kewangan antarabangsa (IBFC), boleh mencapai tahap yang lebih tinggi.

“Kita perlu meningkatkan kesaling-hubungan melalui udara, laut dan darat. Kita mesti menghubungkan pulau ini dengan bandar-bandar utama di rantau ini.

“Kita mesti terus meyakinkan kerajaan bahawa Labuan mempunyai potensi untuk setanding dengan bandar maju lain seperti Pulau Pinang yang dihubungkan dengan jambatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dan tanah besar Sabah akan melonjakkan kemajuan pembangunan ekonomi di pulau ini.

“Memandangkan Labuan berhasrat untuk mempelbagaikan ekonominya, jambatan yang dicadangkan itu akan memberikan rangsangan yang ketara kepada pembangunan pulau itu. Jambatan itu akan meningkatkan kesalinghubungan, menarik pelaburan baharu dan menjana pekerjaan merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan, logistik dan pertanian.

“Selain itu, ia akan menjadikan pengangkutan lebih cekap dan kos efektif untuk kedua-dua penduduk tempatan dan perniagaan,” katanya.

Doughty berkata dewan itu yakin jambatan itu akan merealisasikan potensi sepenuhnya pulau itu sebagai hab ekonomi serta merangsang pertumbuhan di rantau ini.

“Jambatan itu bukan untuk kemewahan tetapi satu keperluan kepada Labuan iaitu kesalinghubungan atau ketersambungan yang lebih baik.

Menyorot kisah kejayaan Pulau Pinang dan jambatannya pada zaman awal yang kini berjaya menarik lebih 350 syarikat multinasional (MNC) dan lebih 4,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia berfungsi sebagai kajian kes yang hebat untuk potensi mengadakan jambatan baharu ke Labuan dari tanah besar Sabah. Pulau Pinang mempunyai ekosistem elektrik dan elektronik (E&E) yang kukuh dan bertenaga.

Beliau berkata dengan membina jambatan ke Sabah, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah boleh menganggap Labuan sebagai koridor ekonomi baharu yang akan memberi perkhidmatan kepada bandar dan masyarakat tanah besar berhampiran.

“Menarik MNC dan PKS untuk melabur dan beroperasi di koridor kawasan baharu akan mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan perdagangan dan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua tanah besar Sabah dan Labuan.

Beliau berkata mengikut jejak kejayaan Pulau Pinang, melabur dalam infrastruktur baharu ini akan membuka potensi wilayah itu dan membawa peluang baharu kepada penduduk.

Sumber: Bernama

Labuan harus contohi Pulau Pinang


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Koridor mencatat jumlah pelaburan komited sebanyak RM101.43 bilion, dengan jumlah pelaburan direalisasi sebanyak RM64.07 bilion bagi tahun 2021-2022 dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Pihak Berkuasa Koridor juga menjana 206,339 peluang pekerjaan dan 15,071 peluang keusahawanan di koridor ekonomi wilayah walaupun berdepan dengan cabaran pascapandemik COVID-19.

“Pembangunan di Koridor Ekonomi Wilayah akan terus diberi perhatian apabila potensi sedia ada di wilayah terus dimanfaatkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan menangani ketidakseimbangan wilayah.

“Selaras dengan strategi yang digariskan di bawah RMK12, usaha untuk menarik pelaburan berkualiti melalui pelaksanaan projek yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi, dengan pendekatan teknologi, automasi dan inovasi akan terus dipergiatkan di wilayah.

“Dalam tempoh RMK12, beberapa program yang menggalakkan penggunaan teknologi dan inovasi juga dilaksanakan,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Pihak Berkuasa Koridor di lima koridor ekonomi wilayah merekodkan jumlah pelaburan komited sebanyak RM343.06 bilion, dengan RM263.79 bilion pelaburan.

Beliau berkata, ia turut menjana 297,480 peluang pekerjaan dan 27,602 peluang keusahawanan di seluruh koridor ekonomi wilayah.

Beliau menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), mengenai prestasi kelima-lima koridor wilayah ekonomi dari segi penciptaan ekonomi baharu dan peningkatan pendapatan masyarakat tempatan terutamanya dalam bidang perkhidmatan digital dan industri berasaskan teknologi tinggi. 

Sumber: Bernama

Pihak Berkuasa Koridor catat pelaburan komited RM101.43b bagi tahun 2021-2022


Content Type:

Duration:

Malaysia akan terus menumpu untuk menangani cabaran luar dan kesannya terhadap ekonomi domestik pada tahun ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, momentum pertumbuhan yang dijana Malaysia pada 2022, hasil daripada dasar tegas untuk melindungi ekonomi dan pekerjaan sejak Mac 2020, akan memacu negara kehadapan pada tahun ini.

Tengku Zafrul berkata, semasa tempoh pandemik, Malaysia melaksanakan pelbagai langkah untuk mengukuhkan daya tahannya dan ia telah membantu menyokong pemulihan ekonomi negara selain mengukuhkan asasnya.

“Jelas sekali, keluaran dalam negara kasar Malaysia pada 2022 mengatasi jangkaan, merekodkan pertumbuhan 8.7 peratus, yang tertinggi dalam tempoh 22 tahun.

“Ini diiring oleh petunjuk makroekonomi yang positif seperti angka pekerjaan dan inflasi yang bertambah baik, yang terus menyederhana,” katanya pada sesi perangkaian Tahun Baru Cina kementeriannya, di sini, hari ini.

Menurutnya, prospek ekonomi Malaysia adalah memberangsangkan dengan jumlah perdagangan pada 2022 melepasi RM2 trilion dan eksport berkembang 25 peratus kepada RM1.6 trilion.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga mengatasi angka sasaran eksport RM1.25 trilion menjelang 2025 yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan.

Bagaimanapun, susulan jangkaan tahun yang sukar pada tahun ini, beliau berharap semua pemegang kepentingan dapat bekerjasama rapat dengan kementeriannya dalam membantu industri dan pengeksport, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana, untuk membina daya tahan menghadapi cabaran mendatang.

Apabila diminta media untuk mengulas mengenai prestasi perdagangan bulan Januari Malaysia yang diumumkan awal hari ini, beliau berkata 2023 akan menjadi tahun mencabar bagi ekonomi global.

“Kita melihat prospek lebih mencabar bagi ekonomi global tahun ini. Ini akan memberi impak kepada negara yang bergantung kepada eksport dan import serta ekonomi terbuka seperti Malaysia,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) awal hari ini mengumumkan Malaysia mengekalkan prestasi perdagangan yang memberangsangkan pada Januari 2023 dengan perdagangan, eksport dan import mencatatkan nilai bulanan tertinggi bagi bulan Januari.

Menurut kementerian itu, perdagangan berkembang sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun kepada RM207.51 bilion dengan eksport meningkat sebanyak 1.6 peratus kepada RM112.84 bilion dan import naik sebanyak 2.3 peratus kepada RM94.67 bilion.

Mengulas mengenai kadar pengangguran negara, Tengku Zafrul berkata, angka tersebut dijangka terus turun sejajar dengan pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kita melihat kadar pengangguran negara, kita perlu melihatnya secara menyeluruh. Kadar pengangguran mencecah kemuncaknya pada 5.3 peratus pada Mei 2022 dan hari ini pada 3.6 peratus dan Gabenor Bank Negara Malaysia (Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus) menyatakan keadaan pengangguran semakin bertambah baik.

“Jadi dengan ekonomi berkembang pada 8.7 peratus tahun lepas dan diunjur terus berkembang dan bank pusat menyatakan ia tidak menjangkakan kemelesetan, kadar pengangguran seharusnya menjadi lebih rendah,” katanya. 

Sumber: Bernama

Malaysia terus tumpu tangani cabaran luar tahun ini


Content Type:

Duration:

Kerajaan Selangor menjangkakan nilai pelaburan asing negeri itu pada 2022 dianggarkan sekitar RM12 bilion, lebih tinggi daripada sasaran awalnya iaitu RM10 bilion.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Industri dan Industri Kecil dan Sederhana Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, ia disebabkan nilai sasaran awal telah pun berjaya dicapai lebih awal pada September tahun lepas.

Justeru, beliau berkata, pihaknya sedang mengkaji keseluruhan data kemasukan pelaburan pada tahun 2022 sebelum menetapkan sasaran pelaburan baharu di Selangor pada tahun ini.

“Tahun ini kita dijangka berdepan banyak cabaran kerana ramai pakar ekonomi berkata negara akan masuk ke dalam ‘musim sejuk’ dalam pembangunan ekonomi, bagaimanapun ada yang berpandangan ia hanyalah luaran, dalamannya tidak begitu.

“Kalau kita lihat kepada situasi pembangunan geopolitik dan ekonomi di seluruh dunia, kita dapati masih ada keadaan ketidaktentuan dalam kadar faedah di Amerika Syarikat. Jika ia terus naik, sudah tentu ia akan mendatangkan bebanan, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah COMPASS @ Kota Seri Langat (COMPASS @KSL) di sini pada Jumaat.

Chang Khim berkata, kerajaan Selangor melihat situasi ekonomi berkenaan sebagai satu cabaran dan mengambil langkah berani menerusi pelaksanaan Rancangan Selangor Satu (RS1) untuk membantu memacu pembangunan ekonomi di negeri tersebut.

Tambah beliau, RS1 meliputi tiga projek utama pembangunan iaitu projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) yang melibatkan dua daerah iaitu Kuala Langat dan Sepang, projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Selangor Maritime Gateway (SMG).

“Tapi kita menghadapi sedikit gangguan kerana dalam tempoh dua bulan lagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan dibubarkan dan banyak usaha tidak dapat dijalankan sepanjang tempoh pembubaran tersebut namun agensi pelaburan negeri, Invest Selangor akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, pada majlis tersebut beliau merasmikan ke Majlis Pecah Tanah COMPASS @KSL, ia adalah hasil usahasama antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi anak syarikatnya MIDF Property Berhad; KWEST Sdn Bhd dan AREA Group of Companies (AREA) untuk membina sebuah tapak industri hijau dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Projek pembinaan hab logistik berkeluasan 89.03 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.2 bilion itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Tapak Perindustrian dan Logistik COMPASS seluas 48.56 hektar yang memuatkan gudang bina suai dan lot pembuatan seluas 130,000 hingga 500,000 kaki persegi.

COMPASS SME Precint seluas 23.88 hektar pula merupakan tapak yang dilengkapi kilang dan gudang siap dibina (ready built) dengan pelbagai saiz bermula daripada 3,600 hingga 50,000 kaki persegi.

Sumber: Bernama

Nilai pelaburan asing Selangor dianggar RM12 bilion pada 2022


Content Type:

Duration:

Penyertaan Malaysia di bawah Rundingan Menaik Taraf Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas Asean -China (ACFTA) amat penting untuk meningkatkan kerjasama dan usaha untuk menjadikan ACFTA inklusif, terkini dan komprehensif.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, penambahan empat sektor baharu iaitu Ekonomi Digital; Perdagangan dan Pembangunan Mampan/Ekonomi Hijau; Persaingan dan Perlindungan Pengguna; dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana saling menguntungkan semua pihak.

Malah, katanya, ia juga menggambarkan kepentingan untuk mengekalkan persekitaran perdagangan yang kukuh, terbuka, dan telus supaya dapat mempermudahkan perdagangan dan pelaburan di rantau ini.

“Malaysia amat menyokong Rundingan Menaik Taraf Perjanjian ACFTA ini yang telah berkuat kuasa sejak Januari 2010 yang bukan sahaja tepat pada masanya tetapi juga merupakan asas penting bagi memperkukuh dan menambah baik kerjasama dan hubungan ekonomi antara ASEAN dan China,” kata kementerian itu dalam kenyataan media, hari ini.

MITI menambah, China merupakan rakan dagang yang terbesar bagi Malaysia dan negara-negara ASEAN dan Malaysia amat komited untuk mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh dengan negara China.

Dalam hal ini, MITI memberitahu, Malaysia yakin bahawa rundingan menaik taraf ACFTA akan memperkukuhkan lagi kerjasasama sedia ada yang rapat di peringkat dua hala dan serantau.

“Rundingan menaik taraf ini dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh dua tahun,” katanya.

Sumber: MalaysiaGazette

Rundingan naik taraf ACFTA amat penting – MITI


Content Type:

Duration:

Perdagangan dua hala antara Malaysia dan China mencatatkan peningkatan besar pada 2022 mencecah rekod tertinggi sebanyak US$203.6 billion, kata Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing.

Beliau berkata China dan Malaysia saling bekerjasama mempromosikan pembinaan ‘Belt and Road’ yang berkualiti tinggi serta kerjasama yang berterusan dalam projek utama seperti ‘Two Countries, Twin Parks’  dan Laluan Rel Pantai Timur yang membawa manfaat besar kepada rakyat kedua-dua negara pada tahun lepas.

“China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut. China dan Malaysia adalah jiran baik yang telah menjalin persahabatan sejak sekian lama. Kita adalah rakan baik yang saling memahami dan mempercayai antara satu sama lain.

“Kita juga rakan kongsi yang baik yang mendapat manfaat daripada kerjasama sama-sama menang. Hubungan China-Malaysia adalah antara yang terbaik dalam kalangan negara-negara Asean,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah Biasiswa Duta Besar China di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, hari ini.

Beliau berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia, manakala tahun depan adalah ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Malaysia.

“Ini adalah tahun-tahun yang penting untuk menggalakkan lagi kerjasama pendidikan, dan pertukaran rakyat dengan rakyat antara kedua-dua negara,” katanya.

Selain itu, Ouyang berkata pendidikan sentiasa mengikuti peredaran masa dan pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan interaksi dan pertukaran yang lebih erat antara golongan muda kedua-dua negara.

Justeru, katanya, Kedutaan China telah menubuhkan Biasiswa Duta Besar China dan berbesar hati apabila seramai 259 belia di UTAR telah menerima biasiswa itu sejak ia ditubuhkan pada 2016.

Sumber: Bernama

Perdagangan dua hala Malaysia-China cecah US$203.6 bilion pada 2022


Content Type:

Duration:

Malaysia akan menjadi lokasi penting bagi syarikat Jerman untuk mempelbagaikan perniagaan dan pelaburan mereka, kata Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier.

Beliau berkata terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia dan mewujudkan 65,000 pekerjaan serta terdapat ruang untuk lebih banyak syarikat Jerman mempelbagaikan dan membekalkan pasaran mereka di rantau ini.

“Kami tahu mengenai lokasi perniagaan dan komuniti perniagaan Jerman telah memulakannya dulu ke arah kepelbagaian dalam pembuatan dan rantaian bekalan,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, di sini hari ini.

Steinmeier berkata terdapat banyak potensi untuk menjalinkan kerjasama antara Jerman dan Malaysia dengan salah satu sektor yang perlu dipergiatkan ialah latihan vokasional.

Beliau berkata semasa lawatannya ke Pulau Pinang semalam, banyak syarikat Jerman berteknologi tinggi mengeluarkan semikonduktor dan bekalan perubatan di Pulau Pinang tetapi kekurangan latihan vokasional untuk golongan muda.

“Saya bercakap dengan golongan muda yang menyuarakan harapan mereka dan kita perlu mempertingkatkan latihan vokasional di Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia akan jadi lokasi penting bagi syarikat Jerman pelbagaikan perniagaan


Content Type:

Duration:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membincangkan mengenai langkah-langkah untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi dan pasaran kewangan global semasa pertemuan beliau dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) Katherine Tai.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi ciapan di laman Twitter rasminya berkata, perbincangan mereka juga turut menyentuh mengenai langkah-langkah bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi, isu-isu kemudahan perdagangan selain melaksanakan usaha untuk menarik pelaburan yang berkualiti ke Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, lawatan Tai itu merupakan lawatan kerja yang pertama kali oleh ahli Kabinet Pentadbiran Amerika Syarikat ke Malaysia sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan tahun lalu.

Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, manakala delegasi Tai turut diiringi oleh Duta Besar AS ke Malaysia Brian D. McFeeters.

Sumber: Bernama

PM bincang langkah-langkah perkukuh kerjasama ekonomi bersama wakil perdagangan AS


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) hari ini mengesahkan komitmen untuk mempergiat kerjasama bagi mengukuhkan hubungan ekonomi dua hala, serta di peringkat pelbagai hala dan serantau, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata komitmen itu dizahirkan semasa pertemuan di antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan rakan sejawatannya dari AS, Duta Katherine Tai, selaku Wakil Perdagangan AS di Menara Miti Kuala Lumpur.

Kementerian itu berkata sebagai juara dalam sistem perdagangan pelbagai hala, Malaysia dan AS berkongsi rekod prestasi yang kukuh bagi hasil progresif dalam pelbagai forum antarabangsa.

Menyedari keperluan untuk mengukuhkan integrasi ekonomi serantau, Tengku Zafrul memuji peranan AS dalam merintis Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF), sebuah pakatan perdagangan serantau dengan 14 ahli yang membincangkan kemudahan perdagangan; ketahanan rantaian bekalan; tenaga bersih, penyahkarbonan dan perubahan iklim; serta cukai dan rasuah.

“Tai berkongsi bahawa AS membayangkan keputusan oleh IPEF adalah pragmatik dan berpandangan ke hadapan kerana ia bukanlah perjanjian perdagangan konvensional.

“Sambil mengulangi kenyataan Tai, Tengku Zafrul menambah adalah penting bagi IPEF untuk menggariskan hasil yang ketara ke arah mencapai objektif perdagangan dan pelaburan bersama di rantau Indo-Pasifik,” kata kementerian itu.

Menurut Miti, Tengku Zafrul dan Tai bersetuju bahawa pematuhan terhadap prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan adalah cara utama untuk ke hadapan.

“Dalam memastikan penerimaan secara inklusif, Tengku Zafrul menekankan pada peralihan yang adil ke arah penerimaan ESG dan keperluan untuk menangani cabaran utama pelbagai peringkat pembangunan yang memerlukan sokongan dalam pembinaan kapasiti, yang mana AS, sebagai salah satu penyokong utama ESG, boleh memainkan peranan penting,” tambahnya.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut menyatakan semangat yang berkobar-kobar untuk melibatkan diri dalam perbincangan dengan AS, sebagai pengerusi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023, dan ekonomi APEC lain dalam meningkatkan agenda inovasi, pendigitalan, keterangkuman dan kemampanan pada 2023, terutamanya dalam memajukan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“Dalam hal ini, Malaysia percaya bahawa tema APEC 2023 “Creating a Resilient and Sustainable Future for All” adalah sesuai dan relevan untuk menangani cabaran ekonomi semasa ke arah mencapai objektif APEC.

“Sebagai ahli pengasas APEC, Malaysia dan AS mempunyai peranan penting bagi mencapai apa yang boleh diberikan oleh APEC, terutamanya dalam menyokong merealisasikan Wawasan Putrajaya 2040 yang dilancarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi APEC pada 2020, yang mana para pemimpin bertekad dalam memajukan agenda APEC bagi mencapai komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman menjelang 2040 demi kemakmuran rakyatnya dan generasi akan datang,” kata Miti.

AS pada masa ini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia selepas China dan Singapura.

Pada 2022, jumlah perdagangan antara Malaysia dan AS meningkat sebanyak 23.3 peratus kepada RM267.58 bilion (US$60.70 bilion) berbanding RM216.97 bilion (US$52.33 bilion) pada 2021.

Sumber: Bernama

Malaysia, AS mengesahkan semula komitmen bagi kukuhkan hubungan ekonomi dua hala – MITI


Content Type:

Duration:

Beberapa syarikat berpangkalan di Belanda dan Australia berminat untuk melabur dalam pelbagai bidang di Johor atas keyakinan terhadap potensi serta pencapaian yang diraih negeri ini sepanjang 2022.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata minat tersebut disuarakan menerusi pertemuannya dengan delegasi dari kedua-dua negara itu semasa lawatan rasmi tiga hari beliau ke Singapura.

“Di Singapura, kita banyak berjumpa dengan delegasi yang berminat untuk melabur di Johor dan maklum balas yang kita terima daripada mereka sangat memberangsangkan, dengan Belanda akan membuka perniagaan mereka di sini dan Australia pula melibatkan pusat data, ini membuatkan kita sangat teruja.

“Ini kerana pada tahun lepas, sehingga suku ketiga, Johor mencatatkan pelaburan bernilai RM63.9 bilion, (justeru) potensi Johor memang cukup besar dan kita di peringkat negeri akan terus meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembinaan tangki simpanan bitumen di ATB Tanjung Bin, Pusat Petroleum Tanjung Bin, di sini pada Rabu.

Beliau berkata peningkatan kadar efisien dalam menarik pelabur adalah sangat penting, sekali gus memastikan peningkatan pendapatan untuk negeri selain menambah peluang pekerjaan yang berkualiti bagi rakyat Malaysia khususnya penduduk Johor.

Onn Hafiz juga berkata kerajaan negeri optimis untuk mengekalkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama negara selain percaya nilai pelaburan RM63.9 bilion yang dicatatkan bagi tempoh Januari hingga September 2022, mampu dicapai tahun ini.

Selepas Singapura, kerajaan negeri bercadang mengadakan lawatan rasmi ke Belanda dan China dalam masa terdekat bagi membincangkan mengenai peluang pelaburan di Johor sekali gus menarik pelabur dan syarikat antarabangsa.

“Ketika di Singapura, pelabur memuji keupayaan Johor menerusi Invest Johor selain Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang telah membantu mempercepat proses dokumen untuk melabur di Johor,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan pecah tanah pembangunan projek fasa tiga tambahan yang bernilai RM260 juta itu yang dijangka menggalakkan lagi pengembangan sektor berkenaan di rantau ini.

Pusat Perindustrian Petrokimia dan Maritim Tanjung Bin yang dibangunkan pelabur antarabangsa termasuk dari Belanda dengan modal RM2.4 bilion sejak 2012 itu disasarkan dapat mentransformasikan selatan Johor menjadi hab minyak dan gas.

Sumber: Bernama

Syarikat Belanda, Australia suarakan minat melabur di Johor – Onn Hafiz


Content Type:

Duration:

Malaysia berupaya untuk mencapai negara berpendapatan tinggi seawal 2026 jika pertumbuhan ekonomi tahunan negara kekal berkembang sekitar antara empat hingga lima peratus.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata mencapai status negara berpendapatan tinggi bergantung kepada dua perkara iaitu pertumbuhan ekonomi dan kadar tukaran asing.

Beliau berkata, jika ekonomi negara kekal berkembang sekitar empat hingga lima peratus, negara akan berada dalam landasan baik mencapai status negara berpendapatan tinggi seawal 2026.

Malah, katanya, jika pertumbuhan lebih bagus lagi iaitu melepasi lima peratus, negara boleh mencapai status itu dalam tempoh dua tahun.

“Faktor kedua adalah tukaran asing memandangkan paras negara berpendapatan tinggi adalah dalam dolar iaitu AS$15,200. Kalau mata wang lebih kukuh, sudah tentu lebih awal boleh capai.

“Insya-Allah, kalau terus begini (ekonomi berkembang empat hingga lima peratus), Malaysia akan capai negara berpendapatan tinggi pada penggal ini (Kerajaan Perpaduan),” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai prestasi ekonomi 2022, Rafizi berkata, Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 8.7 peratus pada 2022, yang mana prestasi ekonomi itu adalah memberangsangkan dan mencerminkan daya tahan ekonomi negara.

Namun, beliau berkata, pertumbuhan tahunan yang baik itu perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan dari suku pertama 2022 hingga suku keempat 2022 untuk memberi gambaran penuh prestasi ekonomi negara.

“Suasana ekonomi global yang dijangka menyederhana dan tumbuh pada kadar yang lebih perlahan dalam tahun 2023 akan mempengaruhi prestasi ekonomi negara.

“Pertumbuhan ekonomi dunia dijangka lebih perlahan pada kadar 2.9 peratus dalam tahun 2023 berbanding 3.4 peratus dalam tahun 2022,” katanya.

Rafizi berkata, dalam keadaan pertumbuhan ekonomi global yang dijangka lebih perlahan dalam tahun ini dan pertumbuhan sukuan yang perlahan selama empat suku berturut-turut dalam tahun 2022, kerajaan sedar keperluan untuk bersiap sedia menghadapi suasana ekonomi yang lebih mencabar.

Beliau berkata, program ekonomi yang memberi fokus kepada dua perkara pokok ekonomi rakyat, iaitu kos sara hidup dan pendapatan, akan diberi tumpuan utama dalam perancangan ekonomi.

“Kementerian Ekonomi akan melancarkan program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang bertujuan menambah pendapatan rakyat pada 26 Februari 2023. Sasaran pertama IPR adalah golongan miskin tegar dan keluarga B40 di seluruh negara,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Malaysia mampu jadi negara pendapatan tinggi seawal 2026


Content Type:

Duration:

Malaysia dan Indonesia dijangka menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) untuk mengalakkan perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara pada Jun depan, demikian menurut Kementerian Agama Indonesia.

Ketua Setiausahanya, Nizar Ali, berkata draf MoC yang disepakati Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia dan Sekretariat Majlis Halal Malaysia di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah dibincangkan sejak pertengahan 2022 dan dimuktamadkan pada Januari tahun ini.

“Kita berharap MoC halal Indonesia-Malaysia ini dapat ditandatangani ketika Presiden Joko Widodo berkunjung ke Malaysia pada Jun,” katanya dalam satu kenyataan.

Nizar menerima kunjungan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff diiringi Atase Agama Kedutaan Besar Malaysia, Muhammad Naqzrul Azraf Mohd Nazarludin di pejabatnya di Jakarta, Khamis lalu.

Menurut koordinator kerjasama BPJPH Fertiana Santy, MoC berkenaan sangat dinantikan oleh pemain industri yang mana akan membolehkan pengiktirafan bersama sijil halal di kedua-dua negara dapat dilaksanakan.

Sementara itu, Hakimah berharap pengurusan industri halal di Indonesia, Malaysia dan Singapura akan menjadi lebih sistematik berbanding negara lain termasuk di Eropah.

Menurut Laporan Tahunan Ekonomi Halal Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) 2022, Malaysia, Indonesia dan Turkiye adalah antara negara anggota OIC yang disenarai sebagai 20 pengeksport ekonomi halal terbaik dunia.

Sumber: Bernama

Malaysia, Indonesia meterai kerjasama halal Jun ini


Content Type:

Duration:

Kerajaan telah meluluskan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM392.9 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 2018 sehingga 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong berkata daripada jumlah tersebut, pelaburan bernilai RM300.5 bilion atau 76.5 peratus telah berjaya direalisasikan.

“Perincian FDI yang direalisasikan antara 2018 hingga 2021 adalah masing-masing 57.6 peratus bagi 2018; 75.6 peratus (2019); 62.2 peratus (2020) dan 87 peratus (2021). Data rasmi FDI yang diluluskan untuk 2022 akan hanya dimuktamadkan pada penghujung Mac depan.

“Secara lazimnya, pelaksanaan projek mengambil masa satu hingga dua tahun untuk direalisasikan, bergantung pada skala projek serta keadaan ekonomi semasa,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai jumlah FDI yang berjaya direalisasikan setiap tahun berbanding jumlah pelaburan diluluskan MIDA bagi tempoh 2018 hingga 2022.

“Kemasukan FDI berkualiti tinggi adalah penting untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan membawa kesan limpahan positif kepada negara dan rakyat melalui penjanaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan dan peluang perniagaan,” katanya.

Liew turut menegaskan bahawa kerajaan melalui MITI dan MIDA sentiasa komited untuk menggembleng usaha bagi terus menggalakkan pelaburan domestik dan asing ke dalam negara.

Malah, katanya, bagi memastikan impak positif dari kemasukan FDI segera diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi, MIDA telah melaksanakan pelbagai strategi proaktif bagi merealisasikan projek pelaburan.

Ini termasuk penubuhan Unit Percepatan dan Koordinasi Projek yang menyediakan fasilitasi menyeluruh kepada pelabur dengan cara mempercepat dan memudahkan lagi proses kelulusan agar projek pelaburan berkaitan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

Menurutnya, MIDA juga memperkenalkan Portal InvestMalaysia iaitu platform permohonan dalam talian bagi mengoptimumkan fasilitasi pelaburan seperti kelulusan lesen pengilang untuk industri tidak sensitif yang dalam tempoh dua hari bekerja.

Ia turut memantau kemajuan pelaksanaan projek yang diluluskan menerusi kaji selidik status pelaksanaan yang dijalankan sebanyak dua kali setahun iaitu pada Jun dan Disember, kata beliau.

Sumber: Bernama

Malaysia raih FDI RM392.9 bilion pada 2018-2021, lebih 76 peratus direalisasi – MITI


Content Type:

Duration:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi melalui usaha pemerkasaan peranan sektor swasta serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.

“Bagi menyokong usaha tersebut, penyediaan infrastruktur dan akses kepada perkhidmatan digital perlu terus dipertingkatkan selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional tahun 2030,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga sentiasa prihatin akan nasib rakyat ekoran kesan kenaikan kadar inflasi global, kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat serta fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus mengambil langkah untuk meringankan beban kalangan penternak, petani dan pengeluar makanan susulan peningkatan kos pengeluaran yang berterusan agar kelangsungan pengeluaran makanan negara berada pada tahap optimum dan aspek keterjaminan makanan negara kekal pada tahap terbaik,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah mengingatkan agar ekosistem industri juga hendaklah sentiasa dikawal selia dan ditambah baik seiring dengan perkembangan semasa.

Selain itu, baginda bertitah bahawa pelan jalinan digital negara telah dibangunkan untuk mempercepat pembangunan infrastruktur digital negara supaya rakyat dapat menikmati peluang yang bakal diwujudkan oleh teknologi tersebut dan seterusnya menyokong agenda pembangunan ekonomi digital negara.

“Pada 2021, ekonomi digital telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada keluaran dalam negara kasar dan e-dagang merupakan sektor yang paling pesat berkembang,” titah Seri Paduka.

Sumber: Bernama

Agong sambut baik matlamat jadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi


Content Type:

Duration:

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pelaksanaan dasar dan inisiatif nasional seperti dasar pelaburan baharu berteraskan aspirasi pelaburan nasional akan merancakkan lagi ekonomi negara dan mencapai sasaran yang diunjurkan.

Seri Paduka bertitah program pembangunan sosioekonomi seperti agenda pemerkasaan ekonomi, pendigitalan dan penerima gunaan teknologi, keusahawanan serta pembangunan modal insan amat perlu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, pada masa sama, kerajaan hendaklah meneruskan usaha memerangi kemiskinan tegar melalui program pembasmian kemiskinan tegar bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025.

“Ini amatlah bertepatan dengan indikator matlamat pembangunan mampan yang pertama iaitu kemiskinan sifar bagi memastikan tahap kemiskinan tegar bertambah baik.

“Industri yang strategik dan berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan kenderaan elektrik perlu terus diteroka bagi mencipta aliran pendapatan negara yang baharu,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Kuala Lumpur hari ini.

Seri Paduka bertitah kerajaan juga akan menumpukan kepada agenda pembaharuan bagi memperkukuh daya saing ekonomi Malaysia menjadi destinasi pelaburan pilihan.

“Buktinya, negara mencatat eksport bernilai RM1.552 trilion pada Disember 2022 iaitu peningkatan 25 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

“Pencapaian ini telah melepasi sasaran jumlah eksport negara tiga tahun lebih awal daripada yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu sebanyak RM1.25 trilion menjelang 2025,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah dalam mendepani cabaran agenda pelestarian alam sekitar, kerajaan telah memperkenalkan agenda nasional transformasi sektor air 2040 bagi menjamin kemampanannya.

“Selain dapat menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK), transformasi tersebut akan turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta memudah cara pembangunan sains, teknologi dan inovasi serta penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersialan.

Baginda bertitah sektor agrikomoditi juga memberi sumbangan signifikan kepada KDNK,  pendapatan eksport negara dan pembangunan masyarakat luar bandar, khususnya mengurangkan jurang pendapatan serta kadar kemiskinan penduduk.

Bagi tempoh Januari hingga September 2022, sektor ini telah menyumbang sebanyak RM61.3 bilion iaitu 5.5 peratus dari keseluruhan KDNK, titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah Malaysia turut tidak terlepas daripada menghadapi inflasi serta peningkatan kos sara hidup sepertimana kebanyakan negara lain.

“Bagi mendepani permasalahan ini, beta mengalu-alukan usaha untuk memperkasa fungsi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara.

“Majlis Tindakan Sara Hidup Negara akan diperkasa dengan menerap dan meningkatkan pendekatan secara menyeluruh kekuatan negara melibatkan pengeluar, peniaga, pengguna dan semua agensi kerajaan,” titah baginda.

Sumber: Bernama

Pelaksanaan dasar, inisiatif nasional akan rancakkan ekonomi – Agong


Content Type:

Duration:

Johor berpotensi menerima pelaburan bernilai antara RM10 bilion hingga RM15 bilion daripada beberapa syarikat antarabangsa yang berpangkalan di Singapura, kata Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, ini berikutan pertemuannya dengan wakil beberapa syarikat antarabangsa termasuk AirTrunk iaitu sebuah syarikat pusat data berskala besar yang terbesar di Asia Pasifik dan Jepun serta syarikat Wilhelmsen, satu daripada kumpulan maritim terkemuka di peringkat global.

“Selain mereka, saya juga sudah berjumpa dengan beberapa lagi pelabur berpotensi dari negara lain,” katanya dalam kemas kini laman Facebook rasminya hari ini yang turut disertakan foto pertemuan dengan wakil syarikat itu.

Onn Hafiz ketika ini dalam rangka lawatan rasmi selama tiga hari ke Singapura yang bermula hari ini, bertujuan meningkatkan lagi hubungan baik di antara republik itu dengan Johor.

“Insya-Allah, selain ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bangsa Johor, limpahan ekonomi dan pembangunan yang bakal dijana hasil pelaburan ini, sudah tentu akan membawa lebih kemakmuran kepada rakyat di negeri ini.

“Semua ini menunjukkan Johor terus kekal menjadi destinasi pilihan utama bagi pemain industri bertaraf global,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri dengan bantuan Kerajaan Persekutuan komited menjadi pemudahcara dari segi penyediaan utiliti dan infrastruktur, sehingga kepada insentif cukai bagi menghasilkan suasana perniagaan yang lebih mesra pelabur dari serata dunia.

Pertemuan itu dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

Selain itu, hadir sama, Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Singapura, Vinothan Tulisinathzan; Ketua Eksekutif Invest Johor, Zarina Abdul Kadir; Ketua Pegawai Eksekutif Johor Economic, Tourism and Cultural Office Singapore (JETCO), Saifuddin Abdul Rahim dan Pengurus Invest Johor, Sarkawi Zainal Abidin.

Sumber: Bernama

‘Johor berpotensi terima pelaburan RM10 bilion hingga RM15 bilion’


Content Type:

Duration:

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mengenal pasti enam lokasi untuk menjadi destinasi pelaburan dengan program dan insentif akan dilaksanakan di situ dalam usaha menggalakkan lebih banyak peluang pelaburan.

Dalam kenyataan hari ini, pihak NCER menjelaskan lokasi tersebut ialah Langkawi, Kedah; Pulau Pinang; Ipoh, Pulau Pangkor, Taman Negeri Royal Belum di Perak; serta Perlis.

“Fokus utama usaha penggalakkan oleh NCER dalam menawarkan peluang pelaburan pelancongan termasuk pembangunan hotel, MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran), pelancongan penjagaan kesihatan, tarikan bertema, komersial dan runcit, hiburan keluarga, ekopelancongan, kemudahan penginapan dan pelancongan khusus.

“NCER komited untuk memupuk pengembangan industri pelancongan dan telah melaksanakan pelbagai program bagi membawa lebih banyak pelaburan ke wilayah ini sebagai wilayah pelancongan yang popular,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan, berkata pelancongan adalah bidang tumpuan utama dalam NCER kerana industri ini sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi di wilayah ini.

“Kami yakin pembangunan sektor pelancongan akan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pertumbuhan,” katanya.

Hari ini, NCER menyertai Hari Pelaburan Langkawi, acara sehari yang dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bertujuan menggalakkan pelaburan dalam sektor pelancongan Langkawi.

Hari Pelaburan Langkawi adalah platform untuk pelabur tempatan dan antarabangsa meneroka peluang perniagaan dalam industri pelancongan mampan Langkawi yang semakin berkembang.

“Hari Pelaburan Langkawi adalah acara penting untuk NCER memandangkan ia mengetengahkan potensi besar industri pelancongan mampan Langkawi. Kini sememangnya masa yang baik untuk peserta pelancongan antarabangsa dan tempatan melabur di NCER,” katanya. 

Sumber: Bernama

NCER kenal pasti enam destinasi promosi peluang pelaburan


Content Type:

Duration:

Langkawi disasar menerima pelaburan bernilai RM1 bilion dalam pelbagai jenis merangkumi pembinaan hotel bertaraf empat dan lima bintang, produk eko pelancongan dan pusat beli-belah tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin, berkata pulau peranginan itu menerima pelaburan bernilai RM1.8 bilion pada 2022, meningkat daripada RM1.2 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Beliau berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi agak perlahan namun nilai pelaburan yang masuk ke Langkawi dilihat masih positif semasa fasa pemulihan ekonomi atau pasca-COVID-19.

“LADA turut mengalu-alukan pelbagai jenis pelaburan ke pulau ini. Antara pelaburan baharu yang berimpak tinggi dan amat diperlukan di sini adalah pelaburan berasaskan pelancongan kesihatan seperti hospital pakar atau pusat kesihatan bagi menjadikan Langkawi sebagai hab pelancongan perubatan di negara ini.

“Selain itu, pelaburan dalam bidang pendidikan juga berpotensi besar dengan mewujudkan universiti atau kolej antarabangsa seterusnya menjadikan Langkawi sebagai antara hab pendidikan yang diminati,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, LADA juga optimis untuk menarik pelaburan berkaitan teknologi hijau yang merupakan antara inisiatif bagi memelihara kelestarian di pulau lagenda itu serta menjadi nilai tambah kepada industri pelancongan dan ekonomi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri Kedah, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata Langkawi bersedia menjadi hab pelaburan utama sektor pelancongan di negara ini.

Beliau berkata, penganjuran julung kali Hari Pelaburan Langkawi hari ini yang bertujuan mempromosikan peluang pelaburan baharu khususnya sektor perkhidmatan pelancongan yang masih belum diterokai, dapat membantu merancakkan semula industri pelancongan dan pertumbuhan ekonomi Langkawi.

“Langkawi adalah destinasi pelancongan yang terkenal di mata dunia dan sentiasa menjadi perhatian pelabur.

“Justeru, dengan berlangsungnya program ini maka LADA dan rakan strategik dapat mempromosikan dan menawarkan tanah-tanah yang berpotensi milik LADA serta tanah milik kerajaan negeri kepada pelabur-pelabur yang berminat,” katanya.

Ku Abd Rahman hari ini merasmikan program sehari Hari Pelaburan Langkawi bertemakan ‘Memanfaatkan Peluang Pelaburan bagi Pelancongan Mampan’ anjuran LADA.

Sumber: Bernama

Langkawi sasar pelaburan RM1 bilion pada 2023


Content Type:

Duration:

wpChatIcon