Berita Industri Archives - Page 10 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


MMT, Future Hover labur RM1 bilion bina kilang di Negeri Sembilan

Pembinaan kilang pembuat komponen semikonduktor membabitkan kerjasama dua syarikat dengan pelaburan bernilai RM1 bilion bakal menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk khususnya di Negeri Sembilan.

Dua syarikat berkenaan ialah Metalmach Micro Technology (MMT) yang mengeluarkan alat ganti besi berketepatan tinggi dan pembekal bahan bantuan pembuatan dari China, Future Hover Industrial Co. Ltd (Future Hover).

Kedua-dua syarikat ini secara bersama melabur RM1 bilion bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengeksportan semikonduktor di Asia Tenggara dan dunia.

Kedua-dua pihak menandatangani perjanjian kerjasama (MoU) di MMT di Kawasan Perindustrian Oakland Seremban 2, di sini, petang ini.

Pengarah Operasi MMT, Low Kim Yoong, berkata menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan menyelaraskan teknologi dan sumber terbaik di dalam menawarkan solusi sehenti untuk industri berkenaan.

Katanya, MMT mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam penghasilan mesin berketempatan tinggi, pembuatan acuan dan pembangunan semikonduktor manakala Future Hover memiliki kepakaran dalam pengujian dan pembungkusan semikonduktor.

“Kerjasama ini bukan sahaja menguatkan posisi kedua-dua pihak di rantau ini, tetapi juga meningkatkan posisi Malaysia yang telah dikenali dalam sektor pembekalan.

“Ini juga akan membolehkan Malaysia menjadi pilihan utama untuk penghasilan semikonduktor secara global berdasarkan permintaan yang meningkat dan pengembangan yang pesat dalam sektor itu di Asia Tenggara.

“Kerjasama ini membolehkan pengurusan yang menyeluruh termasuk aspek pemasangan sekali gus menjadikan kami antara pemain yang terkuat dalam industri pembekalan semikonduktor,” katanya pada majlis perjanjian berkenaan.

Turut menyaksikan majlis berkenaan ialah Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Exco Negeri Sembilan, Nicol Tan Lee Koon serta Pengarah Perniagaan (Malaysia) Future Hover, Alfred Foo.

Kim Yoong berkata, pihaknya yakin melalui pelaburan RM1 bilion itu, akan dapat menjana secara kolektif RM10 bilion daripada hasil jualan eksport dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, kilang yang akan dibina akan berperanan sebagai hab untuk pembekal dalam dan luar negara bagi memperolehi barangan yang lebih berdaya saing.

“Kami juga berharap untuk membekalkan latihan teknikal dan pemahaman yang lebih mendalam di dalam industri sebagai salah satu usaha untuk menjana populasi pekerja mahir di Negeri Sembilan dan negara ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

MMT, Future Hover labur RM1 bilion bina kilang di Negeri Sembilan


Content Type:

Duration:

Sarawak bersedia untuk menjadi pengeluar hidrogen komersial menjelang 2027, sekali gus merealisasikan visi untuk menjadikan negeri itu ke arah ekonomi hidrogen.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata untuk mencapai visi itu Sarawak sedang mengambil langkah-langkah yang perlu dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membangunkan ekonomi hidrogen bagi negeri.

Beliau berkata, ini termasuk pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Sarawak Energy, SEDC Energy, Samsung Engineering, Lotte Chemical, serta Posco Holdings di Seoul, Korea Selatan, semalam.

MOU itu bertujuan mengkaji bekalan tenaga hidro boleh diperbaharui untuk projek hidrogen hijau dan ammonia di Sarawak yang digelar Projek H2biscus.

Dalam ucapannya semasa menandatangani MOU itu, Abang Johari berterima kasih kepada Samsung Engineering, Posco Holdings dan Lotte Chemical yang disifatkannya sebagai ‘gergasi’ dari Korea Selatan atas pelaburan mereka di Sarawak.

Beliau berkata, projek itu bukan sahaja akan memacu pertumbuhan ekonomi bagi kedua-dua negara tetapi menjadi projek utama bagi seluruh rantau ini.

“Saya juga tidak sabar untuk melihat kerjasama ini terus berkembang lagi, dengan jangkaan untuk menyaksikan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar pertama Sarawak yang sedia untuk dieksport, Insya-Allah menjelang 2027,” katanya.

Abang Johari dan anggota delegasinya berlepas ke ibu negara Korea pada Ahad dengan tujuan antara lain, meningkatkan perkongsian dengan industri Korea dalam bidang penjanaan tenaga hijau dan inovasi.

Sementara itu, Abang Johari berkata beliau berbangga kerana dua syarikat terbesar Sarawak; Sarawak Energy dan SEDC Energy yang memainkan peranan penting membangunkan ekonomi hidrogen Sarawak.

“Pada masa ini, Sarawak Energy sudah pun menghasilkan hidrogen hijau di stesen mengisi minyak hidrogen bersepadu mereka di Kuching – saya percaya ia adalah yang pertama di Asia Tenggara.

“SEDC Energy sebaliknya, juga akan mula mengeluarkan hidrogen hijau di stesen pelbagai bahan api PETROS menjelang akhir tahun ini,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Sarawak bakal jadi pengeluar hidrogen menjelang 2027


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Selangor jangka akan memperoleh potensi transaksi RM1 bilion melalui 24 memorandum persefahaman dalam bidang perkhidmatan, pembuatan dan pesawat elektrik, semasa Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022.

Exco Perindustrian dan Perdagangan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata SAS tahun lalu menyaksikan 13 MoU bernilai RM100 juta ditandatangani. 

“Setakat ini, sebanyak RM800 juta transaksi telah dimeterai dan kami berharap pada akhir acara itu, angka itu akan mencecah RM1 bilion,” katanya kepada pemberita semasa acara itu di sini hari ini.

SAS 2022 yang berlangsung selama tiga hari itu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

Acara itu dianjurkan Invest Selangor sebagai platform rangkaian untuk pemain industri aeroangkasa, terutamanya peneraju perniagaan serta penerbangan am, memperkasakan semula perniagaan mereka di rantau ini.

Acara kali ini telah menarik perwakilan tempatan serta pemain antarabangsa dari Thailand, Indonesia, China, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Brazil, Kanada, Perancis, Switzerland, Republik Czech, Nigeria, United Kingdom dan Amerika Syarikat. 

Teng berkata SAS 2022 menempatkan 40 pameran pesawat statik, sambil menambah 64 pempamer telah mengambil bahagian dalam acara itu tahun ini.

Acara tahunan itu akan dibuka kepada umum pada hari ketiga secara percuma, dengan seramai 10,000 pengunjung telah mendaftar setakat pagi ini.

Sumber: Bernama

Selangor sasar nilai transaksi RM1 bilion daripada SAS 2022


Content Type:

Duration:

Eksport barangan halal pada 2021 meningkat 19 peratus kepada RM36.30 bilion berbanding RM30.50 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lim Ban Hong.

Beliau berkata Malaysia merupakan antara pengeluar utama barangan halal di pasaran antarabangsa.

“Industi halal dijangka terus berkembang di rantau Asia Pasifik susulan daripada ratifikasi Malaysia ke atas perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) pada 18 Mac, 2022,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-18, di sini hari ini.

RCEP merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia yang merangkumi 15 negara dengan jumlah populasi melebihi 2.3 bilion atau sekitar satu pertiga daripada jumlah populasi dunia, katanya.

Lim berkata syarat perlu memiliki Sijil Tempasal untuk menikmati keistimewaan RCEP, seterusnya menarik bukan sahaja perdagangan, malah pelaburan di negara-negara anggota.

“Keahlian negara-negara besar serta negara maju dalam RCEP iaitu China, Jepun, Korea, Australia dan New Zealand serta ASEAN, menyediakan peluang keemasan dalam mempelbagaikan potensi halal,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) secara fizikal dan maya menghubungkan hampir 400 pembeli dari 46 negara serta 532 syarikat pengeksport Malaysia setakat ini.

“Format hibrid ini dijangkakan dapat menjana jualan eksport yang lebih memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Program INSP secara maya akan dilanjutkan sehingga 15 Nov depan,” katanya.

Mengenai MIHAS 2022, Lim berkata jumlah pempamer Malaysia mencatatkan peningkatan ketara termasuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, dengan jumlah pempamer tempatan menokok 411 peratus tahun ke tahun.

“Malah, ramai usahawan yang lebih muda. Sebagai contoh, 15 pempamer di Pavilion Pahang berusia di bawah 45 tahun,” katanya.

Sumber: Bernama

Eksport barangan halal meningkat 19 peratus kepada RM36.60 bilion pada 2021 – Timbalan Menteri


Content Type:

Duration:

Pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah terkemuka, Scientex Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Scientex Packaging Film Sdn Bhd mengambil alih 80.2 peratus kepentingan ekuiti dalam Taisei Lamick Malaysia Sdn Bhd (TLM) sebanyak RM63.8 juta.

TLM adalah anak syarikat pengeluar terkemuka Jepun bagi sistem pembungkusan cecair dan pes, Taisei Lamick Co Ltd (Taisei Lamick).

Scientex, menerusi anak syarikat milik penuhnya itu telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) dengan Taisei Lamick untuk memperoleh 8,100 saham biasa mewakili 80.2 peratus kepentingan ekuiti dalam TLM untuk pertimbangan tunai RM63.8 juta.

Selepas SSA selesai, Scientex akan memegang 80.2 peratus ekuiti dalam TLM, manakala Taisei Lamick akan memegang baki ekuiti 19.8 peratus.

Taisei Lamick yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo terbabit dalam pembuatan dan penjualan filem plastik, kantung retort dan kantung berzip untuk pengisi automatik dengan cecair dan pes, serta pembuatan dan penjualan pengisi automatik ‘DANGAN’ untuk cecair dan pes, peranti persisian dan perkhidmatan teknikal.

Anak syarikatnya, TLM pula terbabit terutamanya dalam pembuatan dan penjualan bahan pembungkusan cahaya fleksibel bercetak dan berlamina untuk makanan dan minuman (F&B) dan produk Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG).

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata kerjasama itu adalah langkah yang bermakna untuk Scientex dalam pelbagai bidang, terutamanyaTaisei Lamick ialah pengeluar nombor satu untuk pembungkusan cecair dan pes di Jepun.

Beliau berkata, kerjasama yang memanfaatkan reputasi kukuh dan kekuatan kolektif Scientex dan Taisei Lamick itu, bersedia untuk membawa produk kualiti kos daya saing kepada pelanggan serantau, sekali gus berpotensi mengembangkan bahagian pasaran pembungkusan fleksibel syarikat.

“Paling penting ialah hakikat bahawa ia akan membolehkan Scientex bertapak serta-merta dalam perniagaan filem yang berkembang pesat yang digunakan dalam pembungkusan cecair dan pes, sekali gus meningkatkan penawaran kami bagi produk pembungkusan fleksibel yang pelbagai dan disesuaikan terutamanya dalam sektor F&B.

“Ia juga akan memberi peluang kepada kami untuk mengembangkan keupayaan kami dalam menghasilkan pembungkusan khusus berkaitan penjagaan kesihatan dan kebersihan dan meluaskan rangkaian penyelesaian pembungkusan nilai tambah dalam sektor FMCG,” katanya.

Cadangan pengambilalihan akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman bank, dan tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Scientex dan pihak berkuasa kerajaan di Malaysia.

Dengan mengambil kira keadaan yang tidak dijangka, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada separuh kedua 2022 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Scientex bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2023.

Sumber: Berita Harian

Scientex beli saham syarikat pembungkusan Jepun


Content Type:

Duration:

Kementerian Kewangan komited untuk terus menyokong sektor peranti perubatan sebagai antara sektor pertumbuhan utama menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt ini.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sumbangan sektor peranti perubatan termasuk mencipta 39,000 peluang pekerjaan dari 2017 hingga 2021 di samping menyumbang eksport bernilai RM41.3 bilion pada tahun lepas.

“Daripada 30 pemain industri peranti perubatan terbesar di dunia, 10 beroperasi di Malaysia termasuk di Pulau Pinang. Pada 2021, sebanyak RM7.7 bilion jumlah pelaburan telah ditarik oleh sektor ini merangkumi beberapa syarikat yang telah beroperasi di Bayan Lepas selama 50 tahun, dan syarikat yang sedang dalam proses membina kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Kejayaan syarikat peranti perubatan yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tidak perlu diragukan lagi,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Beliau berkata baru-baru ini, beliau telah mengadakan sesi jelajah Bajet 2023 ke Pulau Pinang untuk melengkapkan jelajah ke semua negeri dan telah mempengerusikan sesi dialog bersama lebih 20 peserta industri peranti perubatan bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Sesi libat urus dengan beberapa syarikat pemula niaga teknologi pertumbuhan tinggi turut diadakan, katanya.

Tengku Zafrul berkata usaha ini selaras dengan penubuhan Kertas Konsultasi Awam terkini mengenai Bajet 2023 bertajuk ‘Dasar Penggunaan Barangan, Perkhidmatan dan Teknologi Hasil Penyelidikan Dan Pembangunan (R&D) Tempatan Dalam Perolehan Kerajaan’.

Ia bertujuan melindungi dan membangunkan keupayaan syarikat teknologi tempatan melalui penambahbaikan ekosistem pemindahan teknologi, pengkomersialan dan pemasaran hasil R&D tempatan, katanya.

Selain itu, beliau berkata satu dialog juga telah diadakan dengan pengasas dan pihak pengurusan The Habitat di Bukit Bendera bagi mendapatkan status terkini program UNESCO Man & the Biosphere Reserve, antara penerima peruntukan di bawah Bajet 2022.

“Menerusi peruntukan tersebut, ia telah berjaya menambah baik usaha untuk menerapkan konsep ekonomi kitaran sebagai asas kepada pembangunan ekopelancongan lestari di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata sokongan kepada industri ekopelancongan adalah strategi serampang dua mata untuk memelihara khazanah alam semula jadi negara dan pada masa sama menyasarkan pelancong bernilai tinggi.

Sumber: Bernama

Bajet 2023: Kementerian Kewangan komited terus sokong sektor peranti perubatan


Content Type:

Duration:

Satu Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) akan dibangunkan bagi menyokong ekosistem dron negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan 100,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.

Beliau berkata, mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN), yang dipengerusikannya, hari ini, membuat keputusan berkenaan selaras usaha Kerajaan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

Beliau berkata, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) bakal bertindak sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 serta melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi, yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Keputusan menubuhkan MDTAP30 adalah satu daripada lima ketetapan yang dicapai dalam mesyuarat yang turut dihadiri oleh menteri serta ketua jabatan agensi terbabit.

Pada mesyuarat sama, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act – Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Sumber: Berita Harian

Kerajaan bangunkan pelan tindakan teknologi dron


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menerajui dalam pengeluaran inovatif sarung tangan pembedahan dan pemeriksaan perubatan, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Presidennya, Dr S. Supramaniam berkata negara mengeluarkan kira-kira 259 bilion unit sarung tangan yang dibekalkan ke 195 negara, memenuhi kira-kira 65 peratus daripada permintaan global.

“Pada 2021, Industri Sarung Tangan Getah menyumbang RM54.81 bilion atau 3.78 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berikutan lonjakan permintaan dan purata harga jualan (ASP) yang luar biasa akibat pandemik COVID-19.

“Selepas keseimbangan, permintaan dan ASP kembali normal kepada paras sebelum pandemik. Oleh itu, tahun ini kami menjangka nilai eksport industri sarung tangan getah pada sekitar RM23 bilion atau kira-kira 1.2 peratus daripada KDNK 2022,” katanya dalam kenyataan pada Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-10.

Beliau berkata permintaan global untuk sarung tangan getah dijangka sebanyak 399 bilion unit pada 2022 dengan pertumbuhan tahunan tahun ke tahun dijangka sebanyak 10 hingga 12 peratus.

“Pengeluar Malaysia pada masa ini mempunyai keupayaan untuk menghasilkannya pada kelajuan terkini antara 42,000 dan 45,000 juta unit sarung tangan sejam daripada serendah 3,000 unit sejam, 12 tahun lepas.

“Pada 2008, dicatatkan 9.7 pekerja/1 juta sarung tangan/bulan. Bagaimanapun, berdasarkan pelaburan dalam automasi yang berterusan, kami menjangka menjelang 2024, akan mencecah 1.5 pekerja/1 juta sarung tangan/bulan,” katanya.

Supramaniam berkata MARGMA percaya sarung tangan getah asli akan membuat kemunculan semula apabila minda dan kebimbangan pembeli dapat ditangani dengan sewajarnya.

“Sarung tangan getah asli dan sintetik alternatif akan menyaksikan penerimaan pengguna yang lebih luas.

“Industri juga semakin maju dalam bidang ekonomi kitar semula dengan bahan mentah, aditif dan bahan baharu yang mesra alam dan terbiodegradasi,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia terajui dalam pengeluaran inovatif sarung tangan getah – MARGMA


Content Type:

Duration:

KOA Corporation, pengeluar utama perintang dan komponen elektrik sejak 1940, komited untuk melabur di Malaysia dalam tempoh dua tahun.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kumpulan dari Jepun itu yang merupakan satu daripada syarikat elektrik dan elektronik terbesar dunia, juga dijangka terus melabur di negara ini melangkaui 2024 dalam kilang baharu yang akan menggunakan automasi dalam proses pembuatannya sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluarannya sehingga 10 bilion keping sebulan. 

“Pelaburan terbaharu ini sudah pastinya akan meningkatkan lagi pindahan teknologi dan pengetahuan serta membangunkan rantaian bekalan tempatan serta menyediakan peluang bagi tenaga kerja tempatan untuk menambah kemahiran,” katanya di laman Twitter beliau bersempena dengan Misi Perdagangan dan Pelaburannya ke Jepun. 

Dalam misi perdagangannya, beliau bertemu dengan pengarah lembaga serta pengarah urusan KOA Corporation Akira Nonomura dan pengarah lembaga Katsuhiko Momose.

Mohamed Azmin berkata KOA Denko ketika ini menghasilkan perintang cip filem tebal yang menyumbang 50 peratus daripada jumlah jualan syarikat dengan pekerja seramai hampir 800 orang yang mana 70 peratus daripadanya adalah rakyat Malaysia. 

Kemudahan KOA Denko di Melaka menghasilkan 4.3 bilion keping perintang cip filem tebal dengan kadar pertumbuhan dijangka berkembang 18 peratus setahun.

“Saya dimaklumkan bahawa dalam tempoh empat bulan akan datang, kapasiti pengeluaran akan meningkat kepada 8.2 bilion keping sebulan.

“Permintaan terhadap produk KOA dijangka meningkat terutamanya daripada sektor automotif serta pemohon lain, kerana syarikat itu telah memutuskan untuk membina kilang pengeluaran terbesar di dunia, di Melaka,” katanya

Mohamed Azmin berkata Malaysia dikenali sebagai satu daripada hab pelaburan dalam industri semikonduktor global terutamanya dalam bahagian pemasangan dan ujian serta pembuatan peralatan. 

“Disokong oleh kecemerlangan pembuatannya selama lima dekad yang membuka jalan bagi pembangunan industri mampan, kami komited untuk mengukuhkan lagi kluster perindustriannya. 

“Saya beri jaminan kepada kedua-dua Nonomura dan Momose bahawa KOA Corporation mengambil langkah yang betul untuk mengembangkan pertumbuhan perniagaannya di Malaysia dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia bersedia untuk membantu memudahkan operasi mereka di rantau ini,” katanya.

Sumber: Bernama

KOA Corporation komited teruskan pelaburan di Malaysia – Mohamed Azmin


Content Type:

Duration:

MQ Technology Bhd (MQTech) menerima cadangan pelaburan sehingga 30 peratus dalam ekuitinya daripada Taiwan Superconductor International Semiconductor Technology Co. Ltd. (TSIST).

Untuk rekod, pada 2 Ogos lalu, MQTech memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan dengan TSIST bagi rundingan membabitkan minat syarikat semikonduktor dari Taiwan itu untuk melabur dalam MQTech menerusi penyertaan dalam aktiviti korporat pada masa akan datang.

MQTech dalam satu kenyataan berkata, aktiviti korporat dan kuantum jumlah pelaburan TSIST hendaklah dibincangkan dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Hasil daripada aktiviti korporat, TSIST akan membantu dan menyediakan pengetahuan teknikal kepada kepada MQTech untuk mengembangkan operasi semikonduktor di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TSIST, Prof Liu Chien-Lung, berkata syarikat itu memilih melabur dalam MQTech kerana ia adalah syarikat paling akomodatif berbanding peserta pasaran yang lebih besar, meskipun menjadi syarikat semikonduktor yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Ia akan menjadi sangat menarik untuk melihat bagaimana kami mengembangkan MQTech menjadi peserta semikonduktor besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami mahu menjadikan MQTech sebagai pembekal pasaran utama dunia dan memberi tumpuan kepada semikonduktor generasi ketiga, sambil mewujudkan rantaian industri bersepadu serta membangunkan semikonduktor generasi keempat,” katanya.

Chien-Lung akan terbang dari Taiwan dan akan memuktamadkan cadangan perjanjian dengan Pengarah MQTech pada 20 dan 21 September ini.

Pengarah Urusan MQTech, Tong Sian Shyen berkata, dengan komitmen dan sokongan modal baharu serta pemindahan teknologi semikonduktor daripada peserta semikonduktor Taiwan, MQTech akan dapat berkembang jauh lebih pantas berbanding sebelum ini.

Semalam, MQTech mengumumkan keuntungan sederhana RM1.3 juta bagi suku tahun berakhir 30 Jun 2022.

Sumber: Berita Harian

Syarikat semikonduktor Taiwan minat labur dalam MQTech


Content Type:

Duration:

Penggubalan rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kebangsaan bagi sektor pembuatan, selaras dengan status pelepasan gas rumah hijau sifar bersih Malaysia menjelang 2050.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata kementerian akan menyediakan satu kerangka kerja untuk mengarusperdanakan elemen ESG dalam pembangunan sektor pembuatan yang akan merangkumi empat perkara utama iaitu standard ESG, sokongan kewangan dan insentif, pembinaan keupayaan serta mekanisma pasaran seperti kredit karbon dan harga karbon.

Katanya, ia akan dirangka berdasarkan konsultasi dan libat urus dengan pemegang taruh tempatan mahupun antarabangsa, yang terbabit dalam sektor pembuatan, kawal selia dan kewangan.

Jelasnya, kemajuan kerangka kerja berkenaan adalah bergantung kepada peringkat pencapaian dalam libat urus dan kolaborasi bersama pemegang taruh.

“Seiring dengan matlamat Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), MITI akan memperhebatkan fokus kepada sektor seperti ekonomi digital, elektrik dan elektronik (E&E), farmaseutikal, kimia dan aeroangkasa yang mempunyai potensi ekonomi yang ketara dan manfaat jangka panjang yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Dialog MITI 2022 yang menyaksikan perbincangan dan bertukar pandangan bersama wakil perniagaan, persatuan industri Malaysia serta dewan perniagaan kebangsaan dan antarabangsa berkenaan strategi serta mencari penyelesaian yang terbaik dalam membangun ekosistem perdagangan dan pelaburan negara.

Acara dialog tahunan itu adalah inisiatif MITI melalui pendekatan perundingan terhadap pihak berkepentingan dalam membantu merangka dan mengkaji semula dasar untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan perdagangan antarabangsa, pembangunan industri yang mampan dan pelaburan berkualiti.

Sesi dialog itu meraih pembabitan lebih 12 kementerian dan 151 pertubuhan dalam menghasilkan suatu perbincangan yang amat produktif.

MITI telah menerima 96 memorandum yang merangkumi 24 kategori daripada sejumlah 396 isu yang dikemukakan bersama dengan usul untuk pertimbangan kerajaan.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan bertekad memastikan kemajuan produktiviti dan daya saing, meskipun kuasa inflasi global di luar kawalan.

Mengenai pekerja asing, beliau menegaskan bahawa industri Malaysia perlu mencari penyelesaian jangka panjang ke arah menangani masalah kebergantungan kepada tenaga kerja berkemahiran rendah.

Beliau juga menggesa sektor pembuatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk terus melabur dan menggunakan teknologi pembuatan termaju untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

MITI kekal komited untuk bekerjasama dalam menangani cabaran ke arah pemulihan ekonomi Malaysia dan kedudukan yang lebih kukuh sebagai negara perdagangan global.

Beberapa cadangan yang diketengahkan dalam Dialog MITI akan dipanjangkan untuk pertimbangan Kementerian Kewangan dalam penggubalan Bajet 2023.

Sumber: Berita Harian

Rangka kerja ESG industri pembuatan sedang digubal


Content Type:

Duration:

Pengeluar makanan terkemuka antarabangsa, The Arnott’s Group (TAG) mempertingkatkan pelan pengembangan perniagaannya untuk muncul sebagai kuasa serantau melalui pembukaan Hab Asia di Kuala Lumpur.

TAG adalah syarikat yang menghasilkan jenama Australia dan tempatan kegemaran ramai seperti Arnott’s, Prego dan Kimball.

Hab Asia di Kuala Lumpur itu dilancarkan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Dr Justin Lee; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan Berkualiti) MITI, Datuk Bahria Mohd dan Pengarah Urusan Asia TAG, May Lim.

Mohamed Azmin berkata, langkah jenama global seperti TAG memilih Greater Kuala Lumpur sebagai destinasi pilihan untuk berkembang memperlihatkan Malaysia sebagai destinasi yang mempunyai infrastruktur yang kukuh, ekosistem perniagaan yang bertenaga dan akses kepada bakat yang dinamik.

“Anda (TAG) telah membuat pilihan yang tepat, dan kami tidak sabar-sabar untuk menjadi rakan kongsi anda untuk berkembang kukuh. Justeru, pelancaran Hab Asia hari ini sememangnya satu permulaan yang hebat dan satu peristiwa penting untuk kedua-dua Malaysia dan TAG,” katanya pada pelancaran itu.

Mengulas lanjut penubuhan Hab Asia TAG di Kuala Lumpur itu, Lim berkata, sebagai permulaan, pihaknya menubuhkan kumpulan pengurusan berpusat di KL untuk hab itu.

Beliau berkata, hab itu bertanggungjawab menyatukan operasi di seluruh Asia bagi mencapai pelan pertumbuhan besar-besaran yang dirancang.

“Kami memilih KL sebagai hab kerana lokasinya yang strategik dan ia adalah batu loncatan untuk menembusi pasaran Asia, memiliki tenaga kerja berkemahiran serta sokongan dasar kerajaan,” katanya.

Pada masa ini, pasaran Asia menyumbang jualan melebihi RM1 bilion kepada TAG, bersamaan satu perempat daripada jualan tahunan keseluruhan kumpulan itu dan hasil tahunan dianggarkan mencecah RM2.5 bilion dalam tempoh 10 tahun.

“Hab Asia ini penting untuk kejayaan TAG di masa depan. Terdapat tiga tahap dalam rancangan pertumbuhan kami, dan KL berada di senarai teratas sebagai pusat pengembangan perniagaan kami.

“Malaysia adalah hab halal utama dunia dan kami berhasrat untuk mendapatkan sijil halal bagi jenama yang dihasilkan di hab pengeluaran baharu ini untuk dieksport ke seluruh dunia,” kata Lim.

Eksport makanan halal dalam pasaran global dijangka mencecah AS$3 trilion dalam tempoh lima tahun akan datang berbanding AS$2 trilion pada masa ini.

Pelan pengembangan perniagaan TAG akan dimulakan sebelum akhir tahun ini dan meliputi tiga tahap membabitkan pelaburan berjumlah A$50 juta untuk mewujudkan hab pengeluaran dan pengambilan lebih 200 tenaga kerja berkemahiran dalam pekerjaan bernilai tinggi dan berteknologi tinggi.

Ia juga membabitkan hab rantaian bekalan bagi menyatukan semua pemerolehan, logistik, kejuruteraan dan pengurusan tapak dan hab penyelidikan dan pembangunan yang menggabungkan kilang perintis, pembangunan produk berautonomi serta kerja inovasi dan penderiaan.

Lim menambah, pihaknya juga sedang berbincang secara giat dengan kerajaan Malaysia mengenai peluang untuk merealisasikan pelan pengembangan perniagaannya di KL.

“KL adalah lokasi bagi hab serantau kami, ia adalah pusat persinggahan utama dan menawarkan akses mudah kepada jaringan luas pembekal tempatan yang mempunyai hubungan rapat dengan pengeluar makanan di seluruh Asia.

“Oleh itu, KL adalah lokasi ideal bagi kami untuk mengeluarkan makanan lazat yang berkualiti serta mencipta detik-detik penuh keenakan untuk pelanggan di seluruh Asia,” katanya.

TAG turut menawarkan manfaat besar kepada Malaysia melalui pelbagai jenama terkemuka barangan pengguna yang dimiliki syarikat itu dan lebih 3,000 kakitangan di seluruh Asia Pasifik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Muhammad Azmi Zulkifli dalam kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu penubuhan Hab Asia TAG di Greater KL, menjadikannya salah satu daripada lebih 100 syarikat terkemuka dunia dalam senarai InvestKL.

“TAG dapat memanfaatkan kemudahan di Greater KL untuk menjalankan aktiviti berteknologi tinggi syarikat itu dan pada masa yang sama, Malaysia juga mendapat faedah daripada nilai positif dan limpahan ekonomi, selari dengan transformasi Malaysia ke arah negara yang mampan secara digital serta dipacu oleh teknologi.

“TAG adalah antara kisah kejayaan yang membuktikan bahawa Greater KL berdaya maju sebagai hab untuk inovasi, teknologi dan aktiviti Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kami sentiasa bersedia untuk menyokong perancangan TAG bagi memperluaskan dan memperkukuhkan jejaknya di Asia dari Greater KL,” katanya.

TAG menyasarkan pertumbuhan dua angka untuk tempoh lima tahun akan datang di Asia, pasaran yang mempunyai kira-kira 60 peratus daripada penduduk dunia.

Perbelanjaan bagi makanan di Asia dijangka meningkat sekali ganda daripada AS$4 trilion setahun kepada AS$8 trilion setahun menjelang 2030.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata beliau teruja dengan rancangan TAG untuk memperluaskan kehadirannya di sini bagi memenuhi permintaan pasaran pengguna di Asia dan global yang semakin meningkat.

Beliau berkata, keputusan untuk menempatkan Hab Asia syarikat itu di Malaysia adalah bukti keyakinan syarikat antarabangsa terhadap negara ini.

Katanya, sejak sekian lama, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan utama bagi syarikat multinasional (MNC) untuk mengembangkan perniagaan mereka di rantau ini dan di peringkat global.

“Malaysia adalah pengeluar makanan global yang pesat membangun dan peneraju dalam industri halal dunia. Kita menjadi pilihan lebih 300 jenama makanan antarabangsa dan pengeluar makanan proses disebabkan lokasi strategik di ASEAN, iklim pelaburan yang kondusif, tenaga kerja berkemahiran dan boleh dilatih, hubungan perdagangan kukuh dan mempunyai kelebihan dari segi kos, menjadikan Malaysia salah sebuah destinasi paling mudah untuk mana-mana perniagaan menembusi rantau itu.

“MIDA akan memudah cara rancangan syarikat ini untuk memperluaskan cabang perkilangann kepada hab rantaian bekalan yang dapat menyelia dan menyokong operasi mereka di rantau ini dengan lancar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

The Arnott’s Group pilih Kuala Lumpur sebagai Hab Asia


Content Type:

Duration:

Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) menyasarkan pengeluaran sehingga 60,000 tan metrik melamina setahun apabila loji bahan itu di Kompleks Petronas Chemicals Fertiliser Kedah Sdn. Bhd. (PCFK) di Gurun memulakan operasinya pada 2024.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, loji melamina adalah projek penting pihaknya kerana ia juga akan menjadikan PCG sebagai pengeluar tunggal melamina di Asia Tenggara.

Ia juga akan mengukuhkan lagi kepelbagaian portfolio produk PCG dengan menambah nilai kepada produk sedia ada seperti urea, metanol dan poliolefin.

“Sebagai pengeluar tunggal melamina di rantau ini, kami boleh memenuhi permintaan pasaran tempatan dan Asia Tenggara yang kini merupakan pengimport bersih melamina terutama dari China memandangkan tidak ada pengeluar lain di rantau ini.

“Loji ini akan menggunakan urea yang dihasilkan oleh PCFK sebagai bahan mentah yang membolehkan kami menawarkan produk berkualiti tinggi pada harga yang lebih kompetitif kerana integrasi Kompleks PCFK yang sedia ada membolehkan pelaburan minimum dari segi utiliti dan kos lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Loji Melamina yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Zon Industri, PCFK di Gurun di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan, Bahagian Pengurusan Tanah Kuala Muda, Mohamad Shahuri Mohamad Norlin; Ketua Pegawai Pembuatan PCG, Mohd. Kabir Noordin dan Ketua Pegawai Eksekutif PCFK, Ts. Noor Arifin Othman.

Untuk rekod, PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di negara ini dan antara yang terbesar di Asia Tenggara.

Mohd. Yusri berkata, loji melamina di Kompleks PCFK itu dibina menggunakan teknologi Switzerland yang terbukti mampu beroperasi dengan kecekapan penggunaan tenaga yang tinggi dan berdaya saing dalam pasaran.

Tambah beliau, melamina banyak digunakan dalam aplikasi lamina dan pelekat kayu, sebatian acuan, salutan permukaan serta kertas selain turut digunakan dalam industri tekstil.

“Melamina mempunyai pelbagai ciri berguna seperti kalis api, menyerap bunyi dan memiliki sifat rintangan terhadap hakisan, kesan kotoran dan kelembapan.

“Dengan kadar pertumbuhan purata terkompaun melamina sebanyak 3.5 peratus setahun, loji ini boleh memenuhi keperluan dengan anjakan jumlah import pasaran di rantau ini dan akan kekal berdaya saing,” katanya.

Menurut Mohd. Yusri, loji melamina di Gurun itu turut menitikberatkan kepatuhan terhadap faktor kesihatan, keselamatan dan alam sekitar yang menjadi asas operasi PCG.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pelancaran loji melamina akan melonjakkan ekonomi negeri dalam sektor industri minyak, gas dan petrokimia.

“Pada masa sama, ia mampu membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat menerusi pelbagai peluang pekerjaan yang akan ditawarkan,’’ katanya.

Sumber: Utusan

PCG bakal pengeluar tunggal melamina Asia Tenggara


Content Type:

Duration:

Pelaksanaan projek hab petrokimia di Tanjung Kidurong akan membolehkan Kerajaan Sarawak menerokai industri hiliran yang lain khususnya dalam sektor penerbangan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, bagi tujuan itu kerajaan berhasrat memajukan industri penghasilan bahan komposit yang merupakan salah satu komponen dalam pesawat.

“Saya berpandangan bahawa sekiranya projek ini dilaksanakan, ia akan menarik penggiat industri penerbangan untuk datang melakukan pelaburan bagi membangunkan sektor terbabit di Kidurong,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penghantaran Modul dan Pemasangan Tapak Petchem Sarawak di tapak projek di Tanjung Kidurong di sini, semalam.

Katanya, pelaksanaan projek ini nanti akan membolehkan Kerajaan Sarawak melatih anak jati tempatan khususnya dalam bidang kejuruteraan bagi mengendalikannya sekali gus salah satu lagi pencapaian Sarawak dalam sektor perindustrian berat selepas industri minyak dan gas.

“Dengan siapnya projek itu nanti sekali gus akan membolehkan Sarawak menjadi pembekal bahan komposit kepada sektor penerbangan di negeri ini,” jelasnya.

Mengulas mengenai Dialog Strategik Tahunan Sarawak-Petronas (ASD) 2022 di Millennium Ballroom 1, Hotel Parkcity Everly sebelumnya, Abang Johari berkata, perbincangan Kerajaan Sarawak dengan Petronas telah menghasilkan persefahaman yang memberangsangkan.

Beliau berkata, bekalan gas yang disalurkan Petronas akan membolehkan Sarawak memajukan industri hiliran di negeri ini khususnya dalam pembangunan projek metanol di kawasan perindustrian terbabit.

Sumber: Utusan Borneo

Hab petrokimia di Tanjung Kidurong buka peluang industri hiliran


Content Type:

Duration:

Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memperkenalkan motosikal jenama tempatan ke pasaran Malaysia selewat-lewatnya pada suku ketiga tehun depan melalui kerjasamanya dengan AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kerjasama yang diusahakan melalui Projek AM-2 itu akan membawa MARA selangkah lagi ke hadapan khususnya dalam industri teknologi permotoran.

Melalui kerjasama itu katanya, ia akan membuka peluang penempatan latihan industri kepada pelajar-pelajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) MARA, menerusi latihan praktikal yang dikendali secara langsung oleh tenaga pakar AMI yang berkonsepkan “Teaching Factory”.

“Kerjasama daripada aspek penyelidikan telah pun bermula dengan membangunkan Pusat Pembangunan Produk untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan gabungan kepakaran daripada pasukan R&D AMI dan German-Malaysian Institute (GMI),” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan AM-2 di sini hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu juga akan membantu mempercepatkan lagi proses pembangunan vendor dan tenaga kerja mahir serta R&D di peringkat MARA.

Kerjasama kedua-dua pihak itu turut merangkumi pelaburan strategik bagi membangunkan jenama dan hab pengeluaran motosikal Malaysia untuk pasaran domestik dan rantau Asia Pasifik, tambahnya.

“Turut diberi tumpuan, pembangunan vendor dan usahawan Bumiputera yang secara tidak langsung akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AMI Ahmad Faez Yahaya berkata, pembinaan motosikal di bawah projek tersebut telah dimulakan sejak 2020 dengan menumpukan kepada pengeluaran motosikal kapcai dan skuter, menggunakan kepakaran tempatan. 

“Projek motosikal ini dimulakan dengan pembangunan konsep hingga pengeluaran yang dihasilkan di kilang kami di Shah Alam dan sebuah lagi kilang akan dibina di utara Semenanjung,“ katanya. 

Beliau berkata AMI menyasarkan untuk penguasaan pasaran sebanyak lima peratus daripada kira-kira 670,000 unit penjualan motosikal di Malaysia untuk setahun.

Sumber: Bernama

MARA, AMI perkenal motosikal jenama tempatan tahun hadapan


Content Type:

Duration:

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengharapkan kerjasama yang lebih banyak dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) agar negeri itu dan Malaysia mampu dipacu menjadi ekonomi berpendapatan tinggi pada masa akan datang. 

Salah satu daripada tiga sektor yang telah dikenal pasti dan yang beliau percaya mempunyai masa depan yang cerah adalah pengeluaran bahan api penerbangan. Ini berikutan lawatan beliau ke kilang penyelidikan Petronas di Kidurong baru-baru ini.

“Tidak perlu saya dedahkan buat masa ini tetapi biarlah kita bincang dulu. Saya yakin ketiga-tiga sektor ini akan mengubah Sarawak dan Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Kemudahan Jualan Gas Tambahan Petronas Bintulu (BAGSF-2) di sini hari ini.

Kerjasama itu, yang membabitkan penggunaan teknologi terkini dan akan membantu dalam mengawal isu pelepasan karbon, boleh meletakkan Sarawak serta Malaysia di peringkat antarabangsa dengan lebih baik dalam konteks minyak dan gas termasuk tenaga boleh diperbaharui.

Katanya, pembinaan BAGSF-2 adalah bukti komitmen Petronas dalam bekerjasama selain menyokong aspirasi Sarawak untuk maju menjelang 2030 dan sebagai pemboleh kepada Bintulu menjadi satu lagi hab petrokimia di Malaysia.

Projek itu menandakan pencapaian yang amat penting, bukan sahaja dalam usaha Sarawak untuk mencapai aspirasi ke arah negeri maju menjelang 2030, tetapi yang lebih mustahak adalah merealisasikan platform sendiri ke arah penceburan ke dalam industri minyak dan gas (O&G) terutamanya sektor petrokimia hiliran.

“Sarawak mengiktiraf sumbangan industri O&G kepada pertumbuhan ekonominya. Saya yakin BAGF-2 akan menambah lagi nilai kepada perniagaan hiliran negeri melalui penzahiran operasi Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) sebagai enjin pertumbuhan ekonomi utama negeri dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” kata Abang Johari.

Menurut beliau lagi, langkah permulaan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) terbukti apabila negeri itu berupaya menceburi industri O&G, malah ekonominya mengukuh sebagai yang ketiga terbesar di negara ini selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

BAGSF-2, yang berkeluasan 70 hektar itu, mempunyai bangunan pentadbiran khusus, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti, ia direka dengan kapasiti untuk menghantar sehingga 390 juta kaki padu standard gas sehari (mmscfd).

Ia akan membekalkan 160 mmscfd gas asli ke Sarawak PetChem yang kini dalam pembinaan di Tanjung Kidurong, 70 mmscfd akan dibekalkan ke loji janakuasa Tanjung Kidurong Sarawak Energy Bhd manakala kapasiti selebihnya dikhaskan untuk pelanggan masa depan.

Sumber: Bernama

Abang Johari harap lebih banyak kerjasama Sarawak, Petronas


Content Type:

Duration:

PETRONAS memulakan pembangunan kemudahan penghantaran gas di Tanjung Kidurong, Bintulu yang akan membekalkan gas asli kepada Sarawak Petchem Sdn Bhd (SPSB) dan Sarawak Energy Bhd (SEB) bermula tahun depan.

Majlis pecah tanah bagi Kemudahan Penjualan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) dirasmikan oleh Premier Sarawak, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir adalah Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik serta Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Sim Kui Hian.

BAGSF-2 direka bentuk dengan kapasiti untuk menghasilkan sehingga 390 juta kaki padu standard gas sehari (MMscfd).

Kemudahan itu akan menggunakan 70 hektar tanah dan akan mempunyai bangunan pentadbiran khas sendiri, kawasan pemprosesan, stesen pemeteran dan utiliti.

Ia akan menghantar 160 MMscfd gas asli kepada loji menatol milik kerajaan Sarawak dikendalikan oleh SPSB yang kini sedang dibina di Tanjung Kidurong.

Sebanyak 70 MMscfd lagi akan dibekalkan kepada loji tenaga SEB di Tanjung Kidurong.

Kapasiti selebihnya akan membolehkan kemudahan itu membekalkan gas asli kepada pelanggan masa depan.

Tengku Muhammad Taufik berkata, pembangunan BAGSF-2 menandakan satu lagi pencapaian penting komitmen PETRONAS untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak bagi pertumbuhan mampan industri minyak dan gas.

Katanya, sebaik beroperasi, BAGSF-2 akan mewujudkan aktiviti nilai tambah baharu untuk sumber hidrokarbon Sarawak, menyokong aspirasi negeri itu bagi industri petrokimia serta tenaga domestiknya.

“Kami tidak sabar untuk membina kerjasama mantap dengan kerajaan negeri bagi membangunkan sumber Sarawak demi kemakmuran bersama negeri dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 2016, PETRONAS memeterai perjanjian bersama kerajaan Sarawak untuk membekalkan sejumlah 450 MMscfd gas asli kepada Sarawak bagi penjanaan tenaga dan industri petrokimia milik negeri.

Pada 2021, PETRONAS memeterai satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan bekalan gas kepada 1,200 MMscfd untuk Sarawak.

Sumber: Berita Harian

PETRONAS bekal gas asli untuk dua firma Sarawak


Content Type:

Duration:

Industri perkayuan yang menjadi industri penting kepada pembangunan ekonomi negara merekodkan eksport berjumlah RM13.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata pencapaian eksport bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini adalah 13.79 peratus lebih tinggi berbanding RM11.59 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

“Pada 2021, industri ini telah mencapai nilai eksport sebanyak RM22.7 bilion dengan perabot kayu yang menjadi komponen terpenting dalam industri perkayuan telah menyumbang nilai eksport sebanyak RM10.4 bilion.”Produk ini telah berjaya dieksport ke lebih 160 buah negara termasuk pasaran utama perabot Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), Jepun, Singapura, Australia dan United Kingdom,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CTCS Worldwide Sdn Bhd (CWSB) dengan tujuh pemegang taruh di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, walaupun produk perkayuan dan perabot Malaysia mencatat prestasi eksport memberangsangkan di pasaran dunia, sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan.

Katanya, berdasarkan nilai eksport perkayuan dan perabot, sumbangan usahawan Bumiputera dianggarkan kurang daripada 1.0 peratus sahaja.”Kementerian melalui agensinya, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) serta anak syarikat MTIB iaitu CWSB telah menjalankan pelbagai program untuk memastikan bahawa agenda Bumiputera ini terus diperkasa melalui program yang sedang dilaksanakan sepanjang tahun ini,” katanya.

Sejak penubuhan CWSB pada 2019, syarikat itu telah diberi mandat untuk menyokong pembangunan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera untuk meraih peluang pasaran samada di peringkat swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau kerajaan.

Kini, CWSB telah diberi mandat yang lebih besar sebagai enam peneraju program pemerkasaan usahawan Bumiputera bagi memastikan daya saing tinggi usahawan berkenaan.

Zuraida berkata, kerajaan komited untuk memastikan usaha pembangunan usahawan Bumiputera diterjemahkan dalam pelan jangka masa panjang melalui kerjasama strategik bersama pihak agensi kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan Negeri, universiti awam serta industri.

Katanya, CWSB juga menerima peruntukan RM25juta dari kementerian dan tambahan RM10 juta bagi memperkasa industri perkayuan.

“Justeru, MoU antara CWSB dan pihak yang berkaitan pada hari ini akan menggambarkan tujuh komitmen semua pihak terhadap pembangunan keseluruhan rantaian ekosistem perkayuan termasuk golongan usahawan Bumiputera.

“Sebanyak tujuh MoU yang dimeterai ini bertujuan untuk memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam industri kayu-kayan serta menggalakkan penggunaan produk kayu-kayan tempatan yang mapan.

“MoU ini juga akan membangunkan syarikat kayu-kayan Malaysia yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pameran atau program promosi serta kolaborasi dan promosi bersama pihak industri untuk produk kayu tempatan yang mampan,” katanya.

Tujuh pemeteraian MoU membabitkan CWSB bersama MTIB bagi menggalakkan pembangunan industri perkayuan di Malaysia; CWSB bersama Universiti Putra Malaysia (UPM), MYTeakwood Holdings Sdn Bhd dan Green Afforestation International Network Sdn Bhd untuk melaksanakan pembinaan sebuah rumah prototaip dengan menggunakan bahan binaan Paulownia Cross Laminated Timber (CLT) bagi Industri Pembinaan berkonsepkan Ready to Install System (ReTIS).

Selain itu, MoU CWSB bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pula untuk pembangunan sokongan ekosistem di Muar Furniture Park (MFP) Teaching Factroy (TF), UTHM bagi membantu pembangunan industri perabot khususnya industri perabot di wilayah Selatan iaitu di daerah Muar yang menjadi penyumbang utama eksport perabot Malaysia.

CWSB juga bekerjasama dengan Langkawi Development Authority (LADA) untuk membangunkan lebih ramai usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan dan ukiran di Langkawi; CWSB bersama Terengganu Timber Industry Training Center (TTITC) untuk meningkatkan kemahiran vendor bumiputera di bawah CWSB melalui latihan; CWSB bersama MFA Events untuk menggalakan penyertaan usahawan Bumiputera dalam program promosi dan pameran.CWSB bersama Persatuan Pengusaha-Pengusaha Kayu Kayan dan Perabot 11 Bumiputera Malaysia (PEKA) untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri produk perkayuan tempatan.

“Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera akan terus diangkat sebagai Misi Nasional dan kerajaan sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing secara kompetitif di pasaran tempatan dan antarabangsa.”Sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tujuh MOU ini adalah untuk raih nilai kontrak berjumlah RM50 juta bagi pasaran tempatan dan antarabangsa,” jelas Zuraida.

Sumber: Berita Harian

Nilai eksport industri perkayuan cecah RM13.2 bilion


Content Type:

Duration:

Malaysia diharap dapat mempelajari teknologi dimiliki Turkish Aerospace Industry (TAI) selaku pemain utama aeroangkasa negara ini.

Harapan itu dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang turut melahirkan rasa sukacita dengan lawatan baginda ke TAI.

Seri Paduka yang turut kagum dengan teknologi dimiliki TAI, berharap kerjasama lebih rapat dapat diwujudkan antara kedua-dua negara, khususnya dalam teknologi pembuatan pesawat udara serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada masa akan datang.

“Ini lawatan pertama kali saya ke TAI…saya perhatikan banyak pesawat dan R&Dnya…dan kagumlah.

“Saya dimaklumkan ada juga anak muda kita mempelajari sedikit sebanyak teknologi di sini.

“Mereka (TAI) melangkah begitu jauh dari segi teknologi dan berharap sangat dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam perkara ini,” titah baginda sejurus selesai mengadakan lawatan di TAI hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyaksikan pertunjukan udara menggunakan pesawat tempatan yang dibangunkan TAI, antaranya helikopter T129 ATAK dan Gokbey, pesawat tanpa pemandu Anka dan Aksungur serta pesawat latihan Hurkus.

Al-Sultan Abdullah kemudian turut berkenan mencuba simulasi pesawat milik TAI.

TAI sebelum ini berminat bekerjasama dan membangunkan industri aeroangkasa Malaysia dengan membawa kepakaran, pengeluaran produk tulen (OEM) ke Malaysia.

Mereka merancang untuk mewujudkan sebuah kilang pengeluaran produk aeroangkasa seperti jet, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) di Malaysia dalam tempoh setahun dan menjadikannya sebagai pangkalan untuk rantau Asia Pasifik.

Yang di-Pertuan Agong dalam lawatan negara ke Turkiye selama tujuh hari bermula Isnin lalu.

Sementara itu, dalam program sama, Seri Paduka berkenan bertemu dan beramah mesra dengan sebahagian pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Turkiye, termasuk tujuh pelajar Malaysia yang menjalani latihan praktikal selama sebulan di TAI.

Tujuh pelajar UniKL sertai latihan praktikal di Turkiye

Tujuh pelajar dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu adalah pelajar dalam bidang aeroangkasa di UniKL cawangan Banting, Selangor dan juga kumpulan pertama yang terpilih mengikuti latihan praktikal di TAI tajaan UniKL.

Seorang daripada pelajar berkenaan, Ihsan Jamal, 25, berharap dapat menggunakan ilmu dan pengalaman dipelajari sepanjang sebulan di TAI di alam pekerjaan nanti.

Ihsan yang kini dalam tahun akhir pengajian, berpeluang mempelajari pesawat yang terdapat di TAI khususnya dalam pertahanan.

“Pesawat tanpa pemandu seperti Hurjet dan combat aircraft (pesawat tempur) yang dimiliki TAI dipelajari daripada awal iaitu reka bentuk sampai akhir gabungan semua komponen pesawat dalam satu bangunan.

“Selain itu, kami juga mempelajari bagaimana syarikat TAI membangunkan pesawat itu terbang dengan selamat,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Danish Aqmar Rusdan, 21, berkata sepanjang sebulan latihan di TAI dia dapat mengembangkan pengetahuan dalam bidang kejuruteraan komputer yang dipelajarinya.

“Kebanyakan pembelajaran saya berasaskan komputer dan saya juga dapat menyumbang dalam satu daripada kapal terbang yang dinamakan Hurkus di TAI ini. Alhamdulillah, saya dapat banyak maklumat dan akan mengembangkan informasi ini di Malaysia juga,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia-Turkiye perlu teroka peluang kerjasama sektor aeroangkasa


Content Type:

Duration:

Proton Holdings Bhd (Proton) hari ini memeterai perjanjian pengedaran am (GDA) dengan smart Automobile Co Ltd (smart) bagi penjualan kenderaan elektrik (EV) premium serta menyediakan servis berkaitannya di Malaysia dan Thailand.

Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar berkata model pertama smart jualan Proton dalam fasa pertama perjanjian tersebut akan dilancarkan pada awal suku keempat tahun depan.

Menurutnya, Proton dan smart juga dapat mengembangkan jumlah pelanggan masing-masing selain berupaya meraih saluran perolehan hasil baharu daripada kalangan pembeli muda di Malaysia dan Thailand.

“Kami akan turut meraih pengetahuan penting mengenai cara pemasaran, penjualan serta servis membabitkan kenderaan tenaga baharu yang merupakan pasaran niaga baharu untuk kami selain memberi akses ke pasaran eksport baharu seperti Thailand yang mempunyai dasar EV dan pendedahan pengguna lebih maju.

“Ini turut memberi peluang untuk Proton memacu pembangunan Lembah Automotif Berteknologi Tinggi di Tanjong Malim, Perak selain mewujudkan peluang dalam ekosistem automotif negara,” katanya ketika berucap pada majlis pemeteraian GDA itu di sini, hari ini.

Syed Faisal Albar berkata impak daripada pengalaman penjualan dan servis kenderaan terbabit selain menguruskan operasi perniagaan EV dapat dilihat apabila Proton berpeluang memajukan tawaran EV di peringkat syarikat itu. 

Menurutnya, Proton juga merancang untuk melabur dalam rangkaian kemudahan pengecasan dan mewujudkan sistem terbabit bagi kegunaan pihak awam dan swasta.

“Ini melibatkan aspek pembekalan, pemaasangan dan penyelenggaraan dinding pengecas bagi kegunaan kediaman selain bekerjasama dengan penggiat pengecas tempatan bagi perkhidmatan kegunaan awam.

“Pelan servis pengecasan awam kami adalah untuk meliputi laluan pemanduan paling popular bagi kemudahan perjalanan pelanggan. Kami juga perlu memastikan pelanggan di kawasan pedalaman turut mendapat perkhidmatan itu berbanding mereka di kawasan bandar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Roslan Abdullah berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 10,000 unit EV smart dapat dijual sehingga 2027 dengan dianggarkan 800-1,000 unit setahun di pasaran Malaysia.

Model EV smart pertama itu akan dijual di Thailand pada separuh kedua 2024, kata beliau.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong menyifatkan pemeteraian GDA itu sebagai satu langkah besar untuk Proton menembusi pasaran kenderaan tenaga baharu.

“Fasa pertama perniagaan dengan smart bukan hanya tertumpu kepada penjualan semata-mata, tetapi turut menimba pengetahuan dan pengalaman berharga bukan sahaja dari cara pengendalian servis dan pengecasan EV, tetapi turut mengubah cara kami berinteraksi dengan pelanggan,” kata beliau.

Menurutnya, peralihan ke dalam segmen pasaran itu akan turut memacu Proton ke arah lebih mesra alam dalam semua aspek operasi di samping berusaha membantu Malaysia mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.

smart merupakan usaha sama oleh Mercedes-Benz dan Geely Group dengan kedua belah pihak saling memanfaatkan sinergi dalam penyelidikan dan pembangunan, pembuatan dan rantaian bekalan serta memajukan smart sebagai jenama automobil elektrik premium dan teknologi terkemuka dunia.

Sumber: Bernama

Proton meterai perjanjian jual kenderaan elektrik Smart di Malaysia, Thailand


Content Type:

Duration:

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Tenaga Penerbangan Mampan dalam usaha mengurangkan jejak karbon dalam industri aeroangkasa.

Ketika mengumumkannya, Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pasukan terbabit akan mengemukakan cadangan dasar serta menyelaras pelaksanaan kerjasama awam-swasta di peringkat kebangsaan, termasuk berkaitan dengan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di negara ini.

Beliau berkata, pasukan terbabit akan dianggotai oleh wakil kerajaan dan sektor swasta termasuk Malaysia Aviation Group, Air Asia dan Petronas.

“Pasukan ini akan mengumpulkan maklum balas bagi pihak industri bagi tujuan kerjasama dengan sektor awam dan swasta untuk membangunkan serta menetapkan pergerakan aeroangkasa negara yang turut melibatkan penyertaan penggiat industri tempatan.

“Usaha ini bagi memastikan sasaran berkaitan SAF dapat dicapai. Kita mahu SAF ini menjadi satu keutamaan bagi tempoh masa tertentu yang selaras dengan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta matlamat Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara neutral karbon menjelang 2050,” kata beliau kepada media selepas merasmikan acara Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2022 (MyAERO’22) di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menyifatkan usaha tersebut dapat membantu Malaysia menjadi perintis industri aeroangkasa yang menggunakan teknologi hijau dan seterusnya menyumbang kepada alam sekitar yang lebih bersih dan selamat.

Beliau berkata, Malaysia Airlines misalnya telah melakukan penerbangan sulung menggunakan teknologi SAF dari Kuala Lumpur ke Singapura pada 5 Jun lepas yang menjadi satu kejayaan bagi syarikat penerbangan nasional itu dalam penglibatan teknologi hijau seumpamanya.

Terdahulu ketika berucap, Mohamed Azmin menyifatkan industri aeroangkasa Malaysia dalam trajektori meningkat, sekali gus membantu meletakkan negara ini sebagai kuasa serantau selain memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri aeroangkasa global.

Pada tahun lepas, industri tersebut mencatatkan masing-masing pelaburan bernilai RM104.7 juta, jumlah perdagangan RM13.84 bilion serta hasil mencecah RM12.2 bilion.

“Pakej kerja-kerja bernilai RM2 bilion telah dianugerahkan kepada industri aeroangkasa tempatan yang berkaitan dengan projek pembesaran penyelenggaraan serta pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai RM600 juta yang dijangka dapat dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

“Malah, pada acara Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough bulan lepas, syarikat-syarikat Malaysia berjaya meraih janji niaga bernilai RM572.6 juta,” kata beliau.

Mohamed Azmin berkata kerajaan juga kekal komited dari segi memberi kemudahan untuk pertumbuhan industri aeroangkasa menerusi pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“MITI misalnya akan menumpukan tiga bidang utama dari segi hala tuju dasar dan inisiatif-inisiatif strategik dalam masa terdekat seperti perdagangan dan pembangunan mampan, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta pembangunan modal insan,” kata beliau.

Pada acara MyAERO’22, Mohamed Azmin telah menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selain SeniorAerospace UPECA Aerotech Sdn Bhd dan UTHM yang membabitkan inisiatif akademik dan pendidikan.

Selain itu, satu MoU turut ditandatangani antara Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka membabitkan penubuhan makmal perindustrian bagi menjalankan aktiviti pembangunan komposit aeroangkasa.

Sumber: Bernama

MITI tubuh pasukan petugas tenaga penerbangan mampan, kurang jejak karbon


Content Type:

Duration:

D’Nonce Technology Bhd (DTB) telah mencadangkan untuk memperoleh keseluruhan pegangan dalam Komark (Thailand) Company Ltd pada harga RM9.1 juta daripada anak syarikat milik penuh Komarkcorp Bhd, General Labels & Labeling (M) Sdn Bhd dan mempelbagaikan perniagaannya menjadi pembuatan dan penjualan label pelekat sendiri.

“Syarikat menjangkakan sumbangan yang terhasil daripada cadangan pengambilalihan itu adalah lebih daripada 25 peratus daripada aset bersih dan/atau keuntungan bersih kumpulan pada masa hadapan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan DTB terlibat dalam pembungkusan dan penyelesaian reka bentuk; perkhidmatan kejuruteraan polimer jitu; ‘cleanroom’ dan perkhidmatan pembuatan kontrak; dan pengurusan rantaian bekalan serta jualan dan pengedaran produk.

‘Cleanroom’ adalah bilik bersih sebuah ruangan fasiliti, persekitarannya dikawal supaya menjadi sangat bersih.

Sementara itu, DTB juga telah mencadangkan terbitan hak boleh lepas sehingga 434.69 juta saham berdasarkan satu saham hak bagi setiap satu saham sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

“Kami juga telah mencadangkan untuk menamatkan skim opsyen saham pekerja (ESOS) sedia ada syarikat,” katanya.

Sumber: Bernama

D’nonce akan pelbagaikan perniagaan dalam pembuatan dan label pita lekat sendiri


Content Type:

Duration:

Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Diversatech Fertilizer Sdn Bhd (DFSB) bagi pembinaan kilang baja nano berteknologi tinggi di Sabah.

Kilang baja nano yang dijangkakan mula operasi pada 2023 itu dibangunkan sejajar dengan saranan Kerajaan Negeri melalui pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan akan didirikan di atas tanah 10 ekar milik SLDB di Silabukan, Lahad Datu. 

Sejumlah RM40 juta sehingga RM50 juta diperuntukkan untuk pembangunan tersebut. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyaksikan MoU tersebut bersama SLDB yang diwakili Pengurus Besarnya Tuan Syaheddrul R. Joddari dan Diversatech Fertilizer Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Muhammad Fairus Hussain.

“Sabah harus melangkah ke hadapan dengan mendirikan kilang baja moden yang dinamik untuk memenuhi keperluan baja terhadap projek tanaman sawit, padi, getah, buah-buahan serta sayur-sayuran bagi kegunaan rakyat tempatan dan pasaran eksport”, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar 

“Menerusi pembangunan kilang ini juga, banyak peluang pekerjaan dapat dicipta untuk memajukan masyarakat Sabah dan membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan” tambahnya. 

Memorandum berkenaan merupakan inisiatif SLDB ke arah membangunkan masyarakat luar bandar Sabah berasaskan pertanian selain memastikan SLDB kekal relevan dalam industri pertanian. 

Selain itu, kerjasama itu akan mewujudkan pelbagai aktiviti jualan melalui penjualan baja tanaman kepada peladang-peladang tempatan selain menembusi pasaran antarabangsa seperti Indonesia dan Filipina. 

SLDB memiliki ekuiti sebanyak 51 peratus manakala DFSB memegang 49 peratus.

Menerusi pembangunan kilang baja nano yang menggunakan teknologi tinggi, DFSB menjangkakan sebanyak 50,000 sehingga 200,000  tan setahun bagi kapasiti pengeluaran untuk tahun pertama. 

Terdahulu, SLDB dan Diversatech menjalinkan usaha sama dalam bidang penyelidikan kajian produk baja premium ke atas tanaman sawit menggunakan teknologi nano keluaran DFSB yang dapat mengurangkan serangan Ganordema pada tanaman sawit muda serta meningkatkan hasil pengeluaran yang tinggi. 

Memandang kehadapan, SLDB merancang untuk menjalankan tanaman jangka pendek melibatkan tanaman nanas, halia serta jagung untuk meningkatkan sekuriti makanan dan memberi pulangan kepada peneroka-peneroka Sabah dan rakyat tempatan.

Sumber: Bernama

SLDB, Diversatech meterai MoU bagi pembinaan kilang baja nano


Content Type:

Duration:

Malaysia berpotensi menjadi hab pembuatan sel bahan api hidrogen untuk aplikasi dalam mobiliti hidrogen dan sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), kata Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE).

Presiden Pengasasnya Prof Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud berkata terdapat peluang untuk syarikat tempatan dan antarabangsa menceburi bidang pembuatan sel bahan api hidrogen di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata terdapat dua projek utama membabitkan mobiliti hidrogen dan sistem UPS yang dicadangkan untuk dijalankan di Malaysia sehingga 2025.

“Projek pertama ialah demonstrasi kemasukan hidrogen dalam pasaran dan aplikasi sel bahan api untuk projek mobiliti hidrogen di kawasan bandar yang melibatkan pengisian bahan api hidrogen hijau daripada solar/hidro/biojisim dan sel bahan api untuk kereta dan bas.

“Projek lain termasuk aplikasi sel bahan api hidrogen dalam UPS untuk menara telekomunikasi dan kuasa pusat data,” katanya di Sidang Kemuncak Hidrogen ASEAN 2022 secara maya hari ini.

Beliau juga merupakan salah seorang ahli panel pada sidang kemuncak itu.

Wan Ramli berkata terdapat juga peluang untuk pemain industri menceburi pengeluaran motor elektrik magnet kekal untuk kegunaan mobiliti hidrogen serta elektrolisis pemisah air untuk pengeluaran hidrogen hijau.

“Untuk aplikasi mobiliti hidrogen, kita juga perlu mengeluarkan motor elektrik magnet kekal dan Malaysia mempunyai industri nadir bumi yang boleh digunakan bagi menghasilkan unsur nadir yang diperlukan untuk pengeluaran motor tersebut,” katanya.

Beliau berkata cabaran utama yang dihadapi oleh industri ketika ini ialah kekangan rantaian bekalan sel bahan api, magnet kekal, bahan dan komponen elektroliser serta sumber manusia dan pekerja mahir.

Sementara itu, Wan Ramli berkata mengikut Wawasan Majlis Hidrogen 2050, ekonomi hidrogen global dianggarkan menjana sekitar US$2.5 trilion (US$1=RM4.46) menjelang 2050 seiring dengan penciptaan 30 juta pekerjaan.

Beliau berkata melihat kepada saiz aplikasi hidrogen global, kira-kira 10 exajoule (EJ) hidrogen yang dihasilkan telah digunakan dalam segmen bahan suapan kimia pada 2020.

“Melangkah ke arah 2050, selain bahan suapan kimia, kita akan melihat peningkatan besar dalam aplikasi hidrogen di segmen pasaran lain, terutamanya dalam mobiliti dan pengangkutan dengan anggaran 22 EJ, tenaga industri dan pemanasan bangunan (27 EJ) serta penjanaan kuasa (9 EJ),” tambahnya.

Sumber: Bernama

Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan sel bahan api hidrogen – MAHE


Content Type:

Duration:

Kulim (Malaysia) Bhd (KULIM), melalui anak syarikat perladangannya, Mahamurni Plantations Sdn Bhd (MPSB), akan membina loji pengekstrakan minyak gentian sawit (PFOE) pertama di kilang kelapa sawit Sedenak, Johor.

Sebagai salah satu inisiatif yang menukar sisa menjadi bahan berguna, loji PFOE mengekstrak minyak daripada gentian mesokarpa buah tandan segar yang diproses untuk menghasilkan minyak sawit merah yang boleh dijual pada 85 peratus daripada harga minyak sawit mentah.

Inisiatif ini akan menjana aliran pendapatan baharu bagi kumpulan dengan anggaran RM8 juta setahun.

MPSB hari ini menandatangani perjanjian kontrak dengan Eonmetall Technology Sdn Bhd (Eonmetall), anak syarikat Eonmetall Group Bhd yang berpusat di Pulau Pinang, untuk membina loji itu, yang dijangka siap pada suku ketiga tahun hadapan.

Perjanjian ditandatangani oleh Pengarah Urusan KULIM, Mohd Faris Adli Shukery bagi pihak MPSB dan Pengarah Urusan Eonmetall, Yeoh Cheng Chye.

Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KULIM, Fairuz Ismail dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Eonmetall Group, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak.

“Projek ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk melaksanakan ekonomi kitaran atau ‘circular economy’ dengan memanfaatkan sisa minyak sebagai bahan mentah untuk biofuel dan menggunakan tenaga boleh diperbaharui untuk operasi loji daripada sumber yang mampan.

“Lebih penting lagi, ia adalah bukti komitmen kami terhadap agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” kata Mohd Faris dalam satu kenyataan.

Sejak 2007, Eonmetall, yang memiliki paten teknologi itu, telah memasang lebih daripada 20 kilang dalam industri minyak sawit.

Sementara itu, Cheng Chye berkata ia hala tuju penting bagi KULIM untuk melabur dalam pendekatan tambahan nilai bersepadu untuk menghasilkan minyak gentian sawit bernilai tinggi.

“Loji ini direka dengan operasi berterusan dan beroperasi sepenuhnya secara automatik dengan tenaga kerja yang minimum, selaras dengan penggunaan IR 4.0 dalam pemprosesan berkaitan kelapa sawit,” katanya.

Sumber: Berita Harian

KULIM bina loji hasilkan minyak sawit merah


Content Type:

Duration:

wpChatIcon