Berita Industri Archives - Page 11 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


Ferrotec akan bina kilang baharu di Kulim

Ferrotec Holdings Corp, syarikat global yang juga pembekal bahan komponen dan penyelesaian sistem ketepatan hari ini mengumumkan majlis pecah tanah bagi memulakan pembinaan fasiliti pembuatan baharunya di Kulim Hi-Tech Park di sini.

Kilang itu yang akan menjalankan kerja pemasangan elektro-mekanik dan fabrikasi bahan termaju bagi peralatan semikonduktor, berhasrat untuk memenuhi keperluan pelanggan sambil mengembangkan perniagaan kumpulan di serata dunia.

Exco Kanan Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata Ferrotec akan membina kilang terkini yang berkeluasan 800,000 kaki persegi dengan jumlah pelaburan melebihi RM500 juta.

“Pelaburan ini dijangka mencipta kira-kira 800 pekerjaan bernilai tinggi di Kedah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang, dan tentunya membantu memacu Kedah untuk menjadi negeri perindustrian dan maju,” katanya pada sidang akbar selepas majlis pecah tanah di fasiliti pembuatan Ferrotec di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Lim Bee Vian, CEO Invest Kedah Muhamad Mahazi Ibrahim dan CEO Kumpulan Ferrotec Holdings He Xian Han.

Ku Abd Rahman berkata Ferrotec akan memulakan pembinaan kilang itu dengan segera dan syarikat itu menjangkakan kilang yang akan dilengkapi jentera dan teknologi termaju itu akan mula beroperasi menjelang September tahun depan.

Dalam pada itu, Lim berkata pelaburan Ferrotec bukan sahaja memperlihatkan keyakinan syarikat tersebut ke atas cadangan pelaburan jangka panjang di Malaysia, malah, kedudukan industri pembuatan di negara ini yang berkembang maju.

Beliau berkata, walaupun mengalami persaingan dari negara-negara pengeluaran kos rendah, syarikat-syarikat jentera dan peralatan (M&E) di Malaysia terus berjaya menghasilkan produk nilai tambah tinggi dan perkhidmatan bersepadu, sekali gus menyokong keperluan syarikat multinasional dalam usahanya menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.

“MIDA menyasarkan untuk membantu syarikat-syarikat ini dengan memberi kemudahan peluang pelaburan yang berterusan bagi mengembangkan keupayaan operasi untuk meningkatkan kualiti dan jumlah output,” katanya sambil menambah MIDA sedang menjalankan rundingan pelaburan untuk beberapa lagi projek besar ke Kedah.

Sumber: Bernama

Ferrotec akan bina kilang baharu di Kulim


Content Type:

Duration:

Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang meneliti beberapa insentif khusus bagi pelaburan yang dibuat oleh Dagang NeXchange Bhd (DNeX) dan Hon Hai Precision Industry Co., Ltd (Foxconn) dari Taiwan.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kementeriannya mahu memberi pertimbangan kepada usaha kerjasama dua syarikat tersebut yang dilihat berupaya menarik pelaburan berteknologi tinggi.

“Kementerian Kewangan dan MIDA sedang meneliti beberapa insentif khusus untuk pelaburan yang dimaksudkan tersebut.

“Ia dalam perbincangan dan saya percaya perkara ini dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan dalam menarik pelaburan baharu kerana hasrat kita pada hari ini untuk memperkenalkan insentif yang lebih inovatif dalam menarik pelaburan yang berteknologi tinggi dan berkualiti,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Teo Eng Tee@ Teo Kok Chee yang ingin tahu mengenai perkembangan kerjasama antara DNeX dan pengeluar elektronik terbesar di dunia, Foxconn.

Pada 17 Mei, DNeX telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Big Innovation Holdings Limited (BIH), anak syarikat milik penuh Foxconn untuk menubuhkan syarikat usaha sama bagi membina dan mengendalikan loji fabrikasi wafer 12 inci di Malaysia.

Kemudahan tersebut dilihat berupaya menghasilkan sehingga 40,000 wafer sebulan bagi teknologi 28-nanometer dan 40-nanometer.

Menurut beliau, sepanjang 2021, MIDA telah meluluskan 94 projek dengan jumlah pelaburan sebanyak RM148 bilion dalam industri elektrik dan elektronik.

“Sebanyak 64 peratus daripada jumlah ini, bersamaan RM95 bilion jumlah pelaburan adalah daripada projek baharu dan pembesaran oleh syarikat-syarikat multinasional seperti Infineon, Fuji Electric, Intel, Onsemi, Nexperia, AT&S dan lain-lain,” katanya.

Sumber: Bernama

MoF, MIDA teliti insentif khusus bagi pelaburan DNeX, Foxconn


Content Type:

Duration:

Hextar Industries Bhd (HIB) telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Hextar Holdings Sdn Bhd (HHSB) membabitkan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Hextar Fertilizers Ltd (HFL) pada harga RM480 juta. 

Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan HIB meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada daripada 75,000 tan setahun kepada 679,000 tan setahun dan membenarkan HIB memanfaatkan rangkaian pengedaran HFL yang luas di seluruh Malaysia bagi mengembangkan pangkalan pengedarannya.

Kumpulan HFL merangkumi HFL yang memegang 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Hextar Fertilizers Group Sdn Bhd yang seterusnya memiliki 100 peratus kepentingan dalam Hextar Fert Sdn Bhd, Hextar Solutions Sdn Bhd dan PK Fertilizers Sdn Bhd. 

HIB dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata cadangan pelaksanaan itu akan dipenuhi melalui penerbitan dan peruntukan 1.6 bilion saham biasa baharu dalam HIB pada harga terbitan 30 sen sesaham.

Penerbitan saham pertimbangan itu akan menyebabkan pegangan saham HHSB meningkat daripada 45.66 peratus kepada 77.31 peratus, menokok lebih daripada dua peratus saham pengundian syarikat. 

Oleh itu, menurut Perenggan 4.01(b) Peraturan Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib, HHSB perlu melanjutkan tawaran am mandatori untuk memperoleh baki saham HIB yang belum dimiliki olehnya dengan serta-merta apabila SSA menjadi tanpa syarat.

Kumpulan itu juga menekankan bahawa HHSB sebagai penjamin telah menyediakan jaminan keuntungan terkumpul dua tahun yang mampu dicapai Kumpulan HFL untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 dan 31 Dis 2023. 

Katanya, di bawah terma jaminan keuntungan, penjamin memberikan ikrar kepada HIB bahawa Kumpulan HFL akan meraih keuntungan selepas cukai yang diaudit tidak kurang daripada RM94 juta secara kumulatif untuk tempoh jaminan.

Kumpulan itu ketika mengulas mengenai rasional cadangan tersebut berkata pada Ogos 2018, HIB mempelbagaikan perniagaannya kepada baja dengan pengambilalihan PK Fertilizers (Sarawak) Sdn Bhd oleh itu cadangan pengambilalihan Kumpulan HFL, yang juga terlibat dalam perniagaan baja merupakan pelaburan strategik yang sejajar dengan pelan jangka panjang HIB untuk memperluaskan perniagaan bajanya.

Cadangan pengambilalihan itu akan membolehkan Kumpulan HIB serta HFL memanfaatkan kekuatan gabungan mereka berhubung dengan pengalaman pasukan pengurusan utama, kedudukan pasaran, keupayaan pengeluaran termasuk hubungan perniagaan dengan pihak berkepentingan industri. 

“Berdasarkan kajian pasaran yang dijalankan oleh Protégé Associate Sdn Bhd, kumpulan menjelaskan bahawa saiz pasaran industri baja di Malaysia dijangka melonjak daripada RM4.72 bilion pada 2021 kepada RM6.37 bilion pada 2022 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 14.3 peratus untuk mencapai RM9.20 bilion menjelang 2026.

“Pertumbuhan permintaan akan didorong oleh kenaikan harga komoditi tanaman industri serta minat kerajaan dalam pembangunan sektor tanaman industri seperti kelapa sawit dan getah selain mencapai kebergantungan diri dalam komoditi makanan utama,” kata kumpulan itu.

Setelah selesai cadangan pengambilalihan itu, Kumpulan HFL akan menjadi anak syarikat HIB, sekali gus membolehkan syarikat itu menyatukan keputusan kewangan Kumpulan HFL yang dijangka akan meningkatkan pendapatan secara berperingkat.

Tanpa mengambil kira sebarang keadaan di luar jangka, cadangan pengambilalihan itu diunjur akan menyumbang secara positif kepada Kumpulan HIB pada masa akan datang, sekali gus meningkatkan nilai pemegang saham HIB, tambahnya lagi.

Sumber: Bernama

Hextar Industries peroleh keseluruhan kepentingan dalam HFL bernilai RM480 juta


Content Type:

Duration:

OCIKUMHO Sdn Bhd, usaha sama antara OCIM Sdn Bhd dan Kumho P&B Chemical Inc yang berpangkalan di Korea Selatan, akan mengeluarkan bahan epiklorohidrin (ECH) di Taman Perindustrian Samalaju di Sarawak yang juga projek ECH pertama di Malaysia.

OCIM adalah unit firma Korea Selatan, OCI Company.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pengeluaran ECH di Malaysia akan memperkukuh nilai rantaian pengeluar epoksi di Korea Selatan dan Malaysia.

ECH merupakan sebatian yang banyak digunakan dalam pengeluaran resin epoksi selain dapat menampung keperluan pasaran tenaga bersih seperti angin, solar, pengedaran elektrik dan menjadi salutan perlindungan.

Ia turut digunakan dalam industri, automotif dan pembungkusan selain sebagai komposit dalam industri penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata projek dengan potensi pelaburan melebihi RM760 juta itu merupakan satu pemangkin yang tidak hanya mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi ramai rakyat negara ini, tetapi turut membantu membangunkan industri tenaga bersih.

“Malaysia bertuah dapat menjadi lokasi bagi syarikat-syarikat global seperti OCIKUMHO dan memudahkan usaha mereka bagi meninjau peluang dalam sektor-sektor ekonomi kita.

“Ini akan memberi manfaat kepada negara dari segi mewujudkan peluang perniagaan baharu bagi syarikat-syarikat bahan kimia yang dapat menyokong dan memperkukuh ekosistem industri di Malaysia berikutan terdapatnya penawaran ECH itu,” katanya dalam kenyataan bersama MIDA dan OCIKUMHO, hari ini.

Pengeluaran itu akan menghasilkan kapasiti sehingga 100 kilotan setahun (ktpa).

Pembangunan kemudahan itu akan dimulakan pada suku pertama 2023 dengan operasi pengujian pada suku pertama tahun berikutnya.

“Kehadiran OCIKUMHO di Malaysia akan menyumbang kepada pasaran eksport Malaysia kerana syarikat itu akan mengeksport 95 peratus daripada produknya di sini ke pelbagai negara di serata dunia.

“Kilang yang menggunakan bahan mentah berasaskan bio (glycerin) dan memanfaatkan tenaga hidro di Sarawak juga adalah yang pertama mengeluarkan ECH di Malaysia.

“Projek ini dijangka dapat mewujudkan 40 peratus peluang pekerjaan di peringkat pengurusan, teknikal dan penyeliaan,” kata MIDA.

Sumber: Bernama

JV Korea Selatan OCIKUMHO keluarkan ECH di Sarawak, pertama di Malaysia


Content Type:

Duration:

FGV Holdings Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya FGV Integrated Farming Sdn Bhd (FGVIF) menandatangani perjanjian pemegang saham bersyarat dengan Baladna Food Industries W.L.L dan Touch Group Holdings Sdn Bhd untuk pembangunan perniagaan penternakan tenusu bersepadu di Chuping, Perlis.

Baladna Food Industries W.L.L merupakan anak syarikat Baladna Q.P.S.C. (Baladna).

Pegangan saham bagi pihak-pihak terbabit ialah FGVIF (40 peratus), Baladna (40 peratus) dan Touch Group (20 peratus), manakala projek itu yang akan dibangunkan di kawasan seluas 3,259 hektar di Lembah Agro Chuping FGV (FCAV), dijangka melibatkan pelaburan sehingga RM4.5 bilion.

Majlis menandatangani perjanjian itu diadakan pada Sabtu lepas di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022, di Serdang, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Perjanjian bersyarat itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif FGV Group Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor, Ketua Pegawai Eksekutif BALADNA Piet Hilarides dan Ketua Pegawai Eksekutif Touch Group Raja Datuk Idris Raja Halid.

“Usaha sama ini akan menjadi batu loncatan bagi FGV untuk menjadi salah satu perniagaan pertanian bersepadu dan mampan yang terkemuka di dunia,” kata Mohd Nazrul dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai sebuah organisasi yang terlibat dalam industri makanan, usaha terbaharu syarikat dalam perniagaan penternakan tenusu bersepadu ini meletakkan syarikat gergasi perladangan dalam industri susu dan tenusu yang semakin berkembang, sekali gus mengukuhkan kehadirannya dalam industri makanan, katanya.

Dengan matlamat untuk mengukuhkan Agenda Keselamatan Makanan Negara, projek itu juga sejajar dengan rancangan jangka panjang FGV untuk meletakkan FCAV sebagai antara hab lembah agro terkemuka di Malaysia, memberi nilai yang mampan untuk pihak berkepentingan dan keadaan hidup yang selesa kepada masyarakat tempatan serta menangani kebimbangan terhadap keselamatan makanan negara, di bawah pengawasan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara.

Penubuhan perniagaan pertanian tenusu bersepadu dijangka mewujudkan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan.

Dijangka beroperasi secara komersial menjelang 2025, projek itu menyasarkan untuk menghasilkan 100 juta liter susu segar setahun dalam tempoh tiga tahun pertama dan dijangka mencapai 300 juta liter susu segar dalam tempoh 10 tahun.

“Pasaran tenusu Malaysia berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 4.5 peratus dari 2015 hingga 2020.

“Prospek bagi sektor tenusu adalah positif, dan FGV optimis hala tuju strategik ini akan menyokong matlamat negara untuk memperoleh 50 peratus tahap sara diri untuk susu cair dan 100 peratus untuk susu segar menjelang 2028, menggandakan pengeluaran susu segar di Malaysia, mengurangkan import dan menyediakan susu segar kepada pengguna,” tambahnya.

Berdasarkan konsep “grass to glass“, usaha sama itu akan disepadukan sepenuhnya, beroperasi dari makanan haiwan, memerah susu lembu dan pemprosesan susu, penjualan, pemasaran dan pengedaran produk berkaitan tenusu, terutamanya susu segar.

Sementara itu, Hilarides berkata Baladna akan memanfaatkan pengalamannya yang luas dalam pengeluaran susu segar dan pembangunan jenama untuk meningkatkan tahap sara diri susu Malaysia. Kami gembira dapat bekerjasama dengan FGV Holdings dan Touch Group Holdings.

Sebelum sekatan ekonomi ke atas Qatar yang dikenakan oleh negara jiran pada 2017, Qatar, 90 peratus bergantung kepada import. Hari ini, Baladna adalah syarikat tenusu terbesar di Qatar dengan lebih daripada 250 unit simpan stok dan telah mencapai 100 peratus tahap sara diri yang memberangsangkan bagi susu segar di Qatar.

Touch Group pula merupakan syarikat pegangan Malaysia yang terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan termasuk telekomunikasi, tenaga boleh diperbaharui, pengurusan hartanah, pertanian, perkhidmatan keselamatan, perhotelan, pembinaan, pelancongan, makanan dan minuman serta teknologi maklumat dan komunikasi.

“Kami berharap penyertaan kami dalam usaha sama ini akan mengukuhkan dan menambah nilai kepada komposisi pemegang saham usaha sama ini, selaras dengan Agenda Sekuriti Makanan Negara,” kata Raja Idris.

Sumber: Bernama

FGV ceburi penternakan tenusu bersepadu di Chuping Perlis


Content Type:

Duration:

Malaysia terus menjadi tunjang utama kepada gergasi pengeluar makanan dan minuman (F&B) dunia, Nestle untuk menghasil dan mengawal selia produk halal.

Produk halal menjadi antara penyumbang utama kepada Kumpulan Nestle apabila menyumbang 15 peratus daripada keseluruhan jualan global.

Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle dan Ketua Bahagian Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff, berkata ketika ini ada lebih 150 daripada 477 kilang Nestle di seluruh dunia mengeluarkan produk halal.

“Malah, kami ketika ini sedang bekerjasama dengan Nestle Ivory Coast di Afrika Barat dan Serbia yang sudah memohon bantuan untuk mendapatkan pensijilan halal di kilang pengeluaran mereka yang dijangka mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk selesai.

“Di mana-mana sahaja Nestle beroperasi, jika ada permintaan untuk halal, kami akan memenuhinya. Mereka akan merujuk kepada Malaysia, iaitu Pusat Kecemerlangan Halal bagi Nestle global untuk meminta nasihat dan kami juga akan menyediakan bantuan teknikal di kilang mereka untuk membantu memperoleh pensijilan halal.

“Jika ada pembekal strategik atau pembekal atau pembekal yang kami memerlukan, kami juga akan menyediakan bantuan teknikal untuk membantu mereka memperoleh pensijilan halal. Selain itu, kami juga kekal mengawasi pusat pengeluaran halal yang lain di seluruh dunia bagi memastikan standard halal itu terus dipatuhi,” katanya dalam temu bual bersama di kilang pengeluaran Nestle Sri Muda dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Operasi Halal Nestle Malaysia, Sariffuddin Mahmud.

Mengulas lanjut, Othman berkata, Nestle Malaysia terus komited untuk membantu negara ini menjadi hab halal global, seiring dengan usaha syarikat itu yang telah menyumbang kepada penubuhan pensijilan halal di Malaysia pada awal 1990-an menerusi kerjasamanya dengan Hal Ehwal Islam di pejabat Pusat Islam di Kuala Lumpur dalam hal teknikal.

Nestle Malaysia juga telah memperkenalkan Sistem Jaminan Halal pada 2008 yang turut dilaksanakan oleh syarikat-syarikat lain sejak 2012, serta turut terbabit dalam penubuhan Piawaian Halal komprehensif pertama di dunia, MS 1500.

Malah, katanya, usaha sedemikian juga banyak membantu syarikat untuk menerapkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan lebih mudah.

“Jika kita bincangkan keselamatan dan kebersihan makanan, kedua-dua ini adalah keperluan halal. Jika kilang pembuatan atau restoran tidak bersih, maka kita tidak akan menerima pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), walaupun sudah memenuhi kehendak syariah yang lain.

“Dengan halal, ia lebih mudah untuk memenuhi keperluan lain dari segi keselamatan dan kebersihan. Halal adalah konsep ketelusan dan penting sekali, berpaksikan integriti. Ketelusan adalah konsep utama dalam halal dan ini adalah sebab halal menjadi semakin popular bukan sahaja di Nestle, tetapi bagi syarikat yang lain juga.

“Halal tidak seperti pensijilan yang lain kerana ia memerlukan pemeriksaan setiap bahan yang digunakan dalam produk, prosesnya dan sebagainya. Dengan semua pemeriksaan ini, barulah produk berkenaan boleh diiktiraf dengan pensijilan halal. Ini juga adalah antara kelebihan halal kerana ia memudahkan kami untuk memenuhi keperluan ESG,” katanya.

Beliau menambah, Nestle Malaysia kini adalah pengeluar produk halal terbesar dalam Kumpulan Nestle dengan portfolio yang terdiri daripada lebih daripada 500 produk halal buatan Malaysia yang dieksport kepada lebih 50 negara di seluruh dunia.

“Kami mencapai jualan RM5.7 bilion hingga RM5.8 bilion pada 2021 dan lebih RM1 bilion adalah daripada eksport. Ini adalah jumlah eksport yang besar,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Nestle jadikan Malaysia rujukan pengeluaran produk halal


Content Type:

Duration:

PETRONAS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan enam syarikat Korea Selatan untuk menjalankan kajian konsep dan kebolehlaksanaan ke arah mewujudkan rantaian nilai penuh berkaitan dengan penyerapan, pengangkutan dan penyimpanan karbon dioksida (CO2).

Enam syarikat itu ialah Samsung Engineering Co Ltd, Samsung Heavy Industries, SK Earthon Co Ltd, SK Energy Co Ltd, GS Energy Corporation dan Lotte Chemical Co.

Dalam kenyataan hari ini, PETRONAS menjelaskan MoU itu juga akan membabitkan penilaian ke atas tapak penyimpanan CO2 yang berpotensi di Malaysia dan penerokaan kawasan lain merentas rantaian nilai penyerapan dan penyimpanan karbon (CCS), termasuk pengukuhan pengangkutan CO2 rentas sempadan.

Syarikat minyak nasional itu menjelaskan, kerjasama itu adalah sebahagian usaha perlahan-lahannya untuk membina portfolio yang mampan dengan penyelesaian inovatif bagi menghasilkan tenaga secara bertanggungjawab seterusnya menyokong peralihan kepada masa depan rendah karbon melalui kerjasama dengan rakan kongsi industri.

Ketua Pengurusan Karbon PETRONAS, Emry Hisham Yusoff, berkata kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan melalui kerjasama ini akan mengenal pasti teknologi yang sesuai untuk CCS dan rantaian nilai pengangkutan.

“Usaha ini akan membawa PETRONAS lebih dekat ke arah mewujudkan Malaysia sebagai hab penyelesaian CCS serantau yang terkemuka,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Sumber: Bernama

PETRONAS, enam firma Korea teroka kerjasama rendah karbon


Content Type:

Duration:

Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bakal membuka akses dan membantu meningkatkan eksport peserta kimia Malaysia ke Kanada, Mexico dan Peru melalui daya saing harga yang lebih baik berikutan pemansuhan tarif yang ketara.

Pada masa ini, Kanada mengenakan tarif sehingga 270 peratus, Mexico (30 peratus) dan Peru (sembilan peratus), menurut Majlis Industri Kimia Malaysia (CICM) dalam kenyataan hari ini.

Katanya tarif yang tinggi menjejaskan produk utama yang dieksport ke negara-negara CPTPP, termasuk bahan kimia organik dan bukan organik.

Oleh itu, ia menggesa kerajaan untuk segera meratifikasi CPTPP bagi membolehkan industri kimia Malaysia meraih manfaat yang ditawarkan di bawah perjanjian itu.

“Berdasarkan pasaran domestik Malaysia yang kecil, strategi pelaburan tidak dapat dilaksanakan tanpa akses yang baik ke pasaran eksport lain.

“Negara-negara CPTPP menyumbang hampir 22 peratus (RM11 bilion) daripada eksport kimia Malaysia pada 2019. Destinasi eksport utama ialah Singapura, Jepun dan Vietnam,” katanya.

Dengan CPTPP, tarif ini akan dimansuhkan sepenuhnya menjelang tahun 2034 di semua negara CPTPP.

Menurut CICM, CPTPP juga dapat meningkatkan tarikan pelaburan Malaysia dan memacu pembangunan keupayaan tempatan, terutamanya dalam bahan kimia khusus dengan mewujudkan standard perlindungan yang tinggi untuk pelabur dan mengukuhkan lagi kelebihan daya saing Malaysia.

“Pelaburan asing dalam bahan kimia khusus akan turut menawarkan peluang pemindahan pengetahuan kepada pengeluar domestik.

“Ia akan memacu pembangunan keupayaan tempatan melalui bantuan teknikal dan program pembinaan kapasiti oleh rakan kongsi CPTPP. Ini berpotensi mengurangkan defisit perdagangan Malaysia dalam industri kimia,” menurut CICM.

Sumber: Bernama

CPTPP bantu penggiat kimia Malaysia berkembang dalam pasaran dengan tarif semasa tinggi


Content Type:

Duration:

Malaysia bakal mendapat manfaat yang besar hasil daripada kerjasama antara Graphjet Technology Sdn Bhd (Graphjet) dengan Toyoda Trike Corporation (Toyoda) dan Asia Development Capital Ltd dalam industri grafin dan grafit.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba percaya untuk jangka masa panjang, pemasaran grafin yang dihasilkan Graphjet akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia mempunyai potensi untuk membekalkan kepada syarikat produk grafin tempatan di bawah program ‘Graphenovation’. 

“Bagi jangka masa panjang, ia juga akan membolehkan Malaysia menjadi salah satu pengeksport grafin di dunia suatu hari nanti selain menjadi penggalak kepada syarikat yang ingin memanfaatkan potensi besar grafin untuk melabur di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Adham hari ini menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Graphjet dengan Toyoda dan Asia Development Capital Ltd.

Menerusi MoU berkenaan, Toyoda yang merupakan sebuah syarikat terkemuka dari Jepun dan terkenal di peringkat antarabangsa, telah diberikan hak eksklusif untuk mengedarkan grafit dan grafin yang dihasilkan Graphjet di Jepun.

Melihat kepada rekod prestasi Toyoda yang kukuh dan Jepun sebagai salah satu hab utama industri automotif, kerjasama tersebut dilihat akan mampu mempromosikan bahan grafin buatan Malaysia.

Syarikat Graphjet telah memulakan pendekatan yang inovatif untuk menghasilkan grafin daripada isirong sawit. Teknologi yang dipatenkan ini ialah penyelesaian yang akan memajukan pembangunan grafin.

Teknologi yang menggunakan isirong sawit sebagai bahan utama dalam penghasilan grafin ini juga memberi kelebihan kepada Malaysia untuk membekalkan bahan mentah dalam penghasilan grafin memandangkan Malaysia merupakan antara pengeluar kelapa sawit terbesar dunia.

Adham berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) turut menyarankan agar Graphjet menjalin kerjasama dengan NanoMalaysia Bhd (NMB) terutamanya dalam rantaian bekalan dan pembangunan produk hiliran dan aplikasi dengan grafin, selain mendapatkan pensijilan GrapheneVerify untuk produk bagi mengukuhkan kehadirannya dengan pengiktirafan domestik dan antarabangsa.

GrapheneVerify ialah program di bawah NanoVerify Sdn Bhd (NVSB), sebuah syarikat milik penuh di bawah NMB iaitu agensi di bawah MOSTI untuk menggalakkan penyertaan pemain grafin Malaysia dalam ekonomi grafin global yang dianggarkan berjumlah US$267 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, NMB telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Pelan Tindakan Grafin Kebangsaan 2020 (NGAP 2020).

Sehingga kini, terdapat 61 projek telah diaktifkan dan 40 harta intelek telah difailkan melibatkan 50 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, termasuk syarikat pemula niaga.

Projek-projek ini telah mencipta lebih 15,000 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia.

Sumber: Bernama

MOSTI komited pastikan pasaran grafit, grafin di Malaysia capai tahap global


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang mencatatkan eksport tertinggi bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) bernilai RM32.7 bilion pada Jun 2022, diikuti Selangor (RM6.6 bilion)  dan Johor (RM5.8 bilion).

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan (DOSM) berkata ketiga-tiga negeri itu mewakili pengeksport E&E utama di dalam negara.

Secara keseluruhan,  DOSM berkata Pulau Pinang mencatatkan peningkatan 55.7 peratus dalam eksport kepada RM45.6 bilion pada bulan kajian manakala import meningkat 53.9 peratus kepada RM27.1 bilion.

“Antara lima negeri pengeksport utama, Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 31.2 peratus, diikuti Johor (24.0 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.5 peratus) dan Kuala Lumpur  (3.9 peratus).

“Bagi import pula, Selangor merupakan penyumbang terbesar dengan 26.4 peratus, diikuti Johor (22.7 peratus), Pulau Pinang (21.9 peratus), Kuala Lumpur (9.4 peratus) dan Kedah (4.9 peratus),” katanya. 

Sumber: Bernama

Pulau Pinang catat eksport tertinggi barangan E&E sebanyak RM32.7 bln pada Jun 2022


Content Type:

Duration:

Kerajaan negeri Sarawak telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Melexis Technology iaitu pembekal global penyelesaian semikonduktor mikroelektronik berpangkalan di Belgium, yang sekali gus membuka laluan kerjasama dalam reka bentuk penghasilan cip bersepadu (IC) untuk cip buatan Sarawak.

Majlis menandatangani MoU antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak dan Melexis Technology itu telah diadakan di Tessenderlo, Belgium dan disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang kini sedang melakukan lawatan kerja selama seminggu ke Eropah.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Premier Sarawak hari ini,  Melexis Technology  telah menjadi sebahagian daripada faundri cip XFab sedia ada di Zon Perindustrian Bebas Samajaya di Sarawak, menghasilkan cip untuk pelbagai aplikasi, termasuk automobil.

Skop MoU itu termasuk kerjasama dalam reka bentuk IC dan pembangunan bakat semikonduktor di Sarawak sebagai sebahagian daripada program inovasi dan pembangunan bakat negeri.

Dalam ucapan ringkasnya pada majlis menandatangani perjanjian itu, Abang Johari berkata perubahan iklim dan pemansuhan enjin pembakaran secara berperingkat dalam automobil akan menyaksikan penghijrahan reka bentuk cip untuk mematuhi keperluan pasaran peralihan tenaga.

Beliau berkata kerjasama itu penting dan satu langkah ke arah yang betul untuk membolehkan Sarawak dan seluruh dunia mendapat manfaat daripada pembangunan reka bentuk cip yang mungkin berasal dari Sarawak pada masa hadapan.

“Kerjasama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Sarawak dan Melexis Technology, tetapi juga kepada dunia,” katanya kepada hadirin termasuk pengerusi Melexis Technology, Françoise Chombar dan lembaga pengarah syarikat, para menteri dan timbalan menteri Sarawak.

Abang Johari berkata pembangunan bakat adalah penting untuk menggalakkan iklim penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkesan dalam teknologi reka bentuk cip di Sarawak.

Beliau berkata Sarawak — terutamanya Kuching — sedang menuju ke arah pembangunan Transit Aliran Autonomi berkuasa hidrogen, dan R&D sudah pasti akan menjadi pemacu utama pengangkutan awam baharu itu.

Majlis menandatangani MoU itu dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,  Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Roland Sagah Wee Inn dan timbalannya, Datuk Francis Hardin dan Dr Annuar Rapa’ee.

Sementara itu, Premier Sarawak dan delegasinya turut melawat Pelabuhan Antwerp-Bruges untuk satu lagi majlis menandatangani MoU mengenai cadangan pembangunan pelabuhan baharu di Kuching.

Sumber: Bernama

Sarawak meterai MoU dengan Melexis Belgium untuk hasilkan cip bersepadu


Content Type:

Duration:

Malaysia memiliki ekosistem dan penyertaan bakat baharu yang lebih baik untuk menarik kemasukan lebih banyak pelaburan langsung asing dalam industri semikonduktor, menurut Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Presidennya Datuk Seri Wong Siew Hai berkata industri itu mencatatkan aliran masuk pelaburan pada beberapa tahun lepas berikutan negara telah mewujudkan hab automasi global yang kukuh.

Malah, beliau berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menjalankan peranan yang mengagumkan dari segi menarik syarikat-syarikat semikonduktor untuk melabur di Malaysia.

“(Ia) bukan sahaja mengenai ekosistem itu sendiri; kita mempunyai infrastruktur yang sesuai merangkumi jurutera, kontraktor dan arkitek (yang berupaya) membina kilang mengikut standard antarabangsa,” katanya pada sesi perbincangan panel bertajuk “Semikonduktor Memperkasa Dunia Moden” bersempena pelancaran Dana Ekuiti Semikonduktor Syariah Global Nomura Asset Management di sini hari ini.

Wong berkata urus niaga di Amerika Syarikat baru-baru ini adalah perkembangan positif untuk mengukuhkan keteguhan rantaian bekalan semikonduktor.

Industri tersebut mengalami pertumbuhan yang tinggi dengan memiliki transformasi digital dan teknologi baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat terhadap semikonduktor.

“Rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan fleksibel akan membolehkan industri ini mengharungi ketidaktentuan pasaran dengan lebih baik,” katanya.

Industri elektrik dan elektronik (E&E) meraih peluang pelaburan terbesar pada 2021, membabitkan 94 projek diluluskan bernilai RM148 bilion yang melahirkan 28,362 peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama

Malaysia miliki ekosistem lebih baik untuk tarik pelaburan semikonduktor – MSIA


Content Type:

Duration:

Malaysia dijangka menceburi industri getah bernilai tinggi susulan kejayaan hasil ciptaan anak tempatan dalam menghasilkan kombinasi ekstrak graphene dan getah asli untuk kegunaan belon aeroangkasa.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kejayaan dengan kerjasama sebuah universiti terkemuka di dunia itu, dapat meningkatkan nilai eksport produk getah negara di pasaran.

“Terbaharu hasil penyelidikan yang diterajui oleh anak Malaysia dengan kerjasama universiti terkemuka dunia, komposit getah generasi baharu telah berjaya dicipta hasil kombinasi ekstrak graphene dan getah asli.

“Komposit getah baharu ini akan digunakan dalam pembuatan belon aeroangkasa dan ini merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

“Penemuan baharu ini membolehkan Malaysia menceburi industri bernilai tinggi dan meneroka pasaran baharu yang melibatkan aplikasi satelit dan aeroangkasa seterusnya membantu meningkatkan nilai eksport produk getah negara,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sehingga kini Malaysia masih dikenali sebagai pengeksport getah asli dan barangan getah berkualiti tinggi.

Selain produk getah, Malaysia juga jelas Perdana Menteri terkenal dengan produk kayu yang diiktiraf dunia.

Lebih membanggakan, apabila produk kayu Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Malaysia juga perintis dalam pelaksanaan pensijilan hutan tropika yang dikenali sebagai Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) yang diiktiraf dan diperakui negara-negara dunia.

“Malah produk kayu bersijil daripada Malaysia telah digunakan dalam pembinaan Stadium Nasional Jepun untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Selain itu, sektor perabot negara juga sedang melalui transformasi dan kita kini boleh berbangga kerana mampumenghasilkan reka bentuk perabot yang semakin dikenali di peringkat antarabangsa di bawah label Tanggam,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan MiACES 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.

Turut menyaksikan perasmian, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin

Berlangsung selama tiga hari, MiACES 2022 bakal menampilkan penglibatan inovator, pelabur dan pengeluar hasil agrikomoditi dari 39 buah negara.

Sumber: Bernama

Kejayaan hasilkan komposit belon aeroangkasa, buka ruang industri getah bernilai tinggi – PM


Content Type:

Duration:

Syarikat-syarikat milik kerajaan China akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat Malaysia dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengeluarkan produk sawit di Malaysia melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM6 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata produk sawit itu ialah minyak sayuran rawatan hidro (HVO) dan bahan api penerbangan mampan (SAF).

Beliau berkata syarikat dari China ialah Shanxi Construction Investment Group Co Ltd (SCIG) dan Institute of Coal Chemistry, Chinese Academy of Sciences (ICC-CAS) manakala syarikat Malaysia terdiri daripada Pengerang Maritime Industries Sdn Bhd (Benalec) serta Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC).

“Usaha sama ini bakal menawarkan 1,000 peluang pekerjaan,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo dan Sidang Kemuncak Agrikomoditi Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini, pada Selasa.

Beliau berkata pembinaan kilang HVO dan SAF pertama di Malaysia ini merupakan antara inisiatif untuk memacu sektor sawit Malaysia ke arah industri berteknologi dan bernilai tinggi.

“Kerajaan akan terus menggalakkan FDI bagi mempelbagaikan produk agrikomoditi dengan nilai tambah tinggi,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau juga berharap agar sektor agrikomoditi dapat membantu negara menjana semula ekonomi dan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat.

“Kerajaan sangat komited dalam usaha memacu pembangunan sektor agrikomoditi agar lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata walaupun pengeluaran minyak sawit jatuh ke tahap rendah akibat cuaca buruk pada tahun lepas, sektor agrikomoditi tetap teguh.

“Sehingga Februari tahun ini nilai komoditi eksport meningkat lima peratus iaitu RM31.6 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Menjelang akhir tahun lepas, sektor ini mencapai nilai perdagangan sebanyak RM270.2 bilion iaitu peningkatan 39.7 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya. 

Mengenai MIACES 2022, Perdana Menteri berkata ekspo tersebut mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan produk-produk dan teknologi berkaitan industri sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kerajaan menyasarkan MIACES 2022 mampu menjana lebih RM300 bilion nilai eksport, sekali gus menjadi platfom terbaik untuk penggiat industri agrikomoditi tempatan mengembangkan eksport produk ke pasaran baharu.

“Ini kerana ekspo ini juga akan dihadiri oleh pengeluar hasil, inovator, pelaburan serta pengeksport dan pengimport hingga kepada penggubal dasar, penyelidik dan ahli akademik dari 39 buah negara,” katanya.

Sumber: Bernama

Kerjasama Malaysia-China hasilkan produk sawit, libatkan FDI RM6 bilion – PM


Content Type:

Duration:

Kerajaan Sabah mahu lebih ramai anak muda menyertai industri minyak dan gas sejajar usaha untuk mengembangkan industri itu di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Sabah telah mencatat kejayaan bersejarah menerusi penubuhan SMJ Sdn Bhd, iaitu syarikat minyak dan gas milik penuh negeri hasil Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai dengan PETRONAS pada tahun lepas.

“Kami amat menghargai kerjasama PETRONAS melalui CCA, menandakan langkah pertama dalam memastikan rakyat Sabah akan menikmati hasil daripada sumbernya.

“Ini bermakna penglibatan lebih besar bagi Sabah dalam perniagaan petroleum huluan; perniagaan minyak dan gas secara pertengahan serta hiliran, selain bersama PETRONAS meningkatkan penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas serta nilai rantaiannya.

“Saya berkongsi keinginan untuk melihat sumber minyak, gas dan tenaga Sabah memberi manfaat kepada pembangunan negeri. Bersama rakyat, Sabah telah memperjuangkan penyelesaian saksama untuk mendapat manfaat daripada sumber minyak dan gas,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis graduasi TAS Institute of Oil & Gas yang ke-10 di Taman Perindustrian Kota Kinabalu di sini hari ini.

Sebanyak 90 pelajar menerima Diploma Lanjutan Business and Technology Education Council (BTEC) dalam Operasi Kejuruteraan sempena majlis graduasi itu.

Dalam pada itu, Hajiji mahu pusat latihan yang kini memasuki tahun ke-14 penubuhannya itu memainkan peranan dalam melahirkan tenaga kerja teknikal terlatih dan cekap seterusnya memenuhi sumber berkemahiran diperlukan industri minyak dan gas khususnya di Sabah.

Menurutnya, Sabah amat memerlukan modal insan memiliki ilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi termasuk dalam bidang minyak dan gas untuk terus memacu pembangunan negeri ke tahap lebih tinggi.

“Komitmen ini juga adalah sejajar dengan tumpuan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional terhadap sektor utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memacu pemulihan pertumbuhan ekonomi.

“Penekanan kerajaan Sabah juga adalah untuk mendorong teras kedua hala tuju ini iaitu meningkatkan pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat dalam Belanjawan 2022,” katanya.

Sumber: Bernama

Sabah mahu lebih ramai anak muda sertai industri minyak dan gas


Content Type:

Duration:

TTM Technologies Inc yang tersenarai di NASDAQ dan memperuntukkan pelaburan modal AS$130 juta (kira-kira RM550 juta) sehingga 2025 bagi kilang pembuatan pertamanya di Asia Tenggara yang terletak di Pulau Pinang, menyasarkan 10 peratus hasilnya dijana daripada kemudahan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TTM Technologies Tom Edman berkata syarikat itu memutuskan untuk membuka kemudahan baharu tersebut bagi membolehkan pembangunan peringkat asas berteraskan pendekatan Industri 4.0 sebenar bagi penghasilan papan litar bercetak (PCB).

Ini juga sejajar dengan usaha untuk memenuhi permintaan pelanggan yang mahukan aspek ketahanan rantaian bekalan, keupayaan volum kemudahan bagi PCB berteknologi tinggi di luar China selain aspek kemampuan infrastruktur Malaysia.

“Jumlah saiz TTM Technologies pada masa ini adalah kira-kira AS$2.5 bilion (AS$1=RM4.45) dengan turut mengambil kira pengambilalihan terbaharu yang kami umumkan mengenai segmen pertahanan perniagaan kami.

“Kemudahan baharu ini adalah aspek penting masa depan syarikat dan kami menyasarkan lebih kurang 10 peratus daripada hasil itu akan dijana daripada kilang ini,” katanya kepada Bernama.

Mengulas pengembangannya di masa depan, Edman berkata tapak bagi kemudahan di Pulau Pinang itu turut mempunyai ruang bagi pembangunan fasa dua yang dapat menampung kapasiti tambahan sebanyak 25 peratus.

Bagaimanapun, beliau berkata pengembangan TTM Technologies di masa akan datang tidak terhad kepada lokasi tersebut dan mungkin meninjau lokasi lain sekiranya kemudahan itu terbukti berjaya.

“Kami optimis mengenai reaksi pelanggan terhadap kemudahan ini. Pada masa sama, kami menjangkakan kilang di Pulau Pinang ini dapat beroperasi sepenuhnya pada 2025 yang menjadi tempoh untuk menentukan pengembangan bagi masa depan,” katanya.

Pengeluaran rintis kilang itu dijadual bermula pada separuh kedua 2023 dengan pelaburannya dijangka mewujudkan 800 pekerjaan dalam tempoh tiga tahun membabitkan PCB lebih maju seperti kiraan lapisan tinggi dan saling sambungan berkepadatan tinggi (HDI).

Kilang baharu itu berperanan untuk menampung pasaran komersial global TTM termasuk rangkaian komunikasi, pengkomputeran pusat data, perubatan, perindustrian serta perkakasan.

Sumber: Bernama

TTM Technologies sasar kilang baharu di Pulau Pinang jana hasil 10 peratus


Content Type:

Duration:

Malaysia telah dipilih sebagai hab pembuatan bagi peralatan telekomunikasi 5G Ericsson di rantau Asia Pasifik (APAC) yang menghasilkan radio terkini teknologi itu bermula pada suku ketiga 2022.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh David Hägerbro berkata negara ini turut menjadi lokasi pertama di Asia Tenggara yang menghasilkan peralatan 5G bagi pasaran domestik serta serantau.

“Antara faktor bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau adalah kewujudan tenaga mahir serta infrastruktur kukuh yang ditawarkan oleh negara ini.

“Keputusan itu turut memaparkan komitmen jangka panjang Ericsson terhadap Malaysia, termasuk rangkaian 5G yang sedang kami laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Jumaat, Presiden merangkap CEO Kumpulan Ericsson Borje Ekholm berserta Hägerbro, telah menemui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya bagi perbincangan lanjut mengenai komitmen Ericsson terhadap Malaysia.

Menurut Hägerbro, seiring dengan rancangan pengeluaran tersebut, Ericsson akan meningkatkan lagi pelaburan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di negara ini.

“Bagi melengkapkan lagi hab tersebut, kami turut mewujudkan pusat pengedaran serantau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain pusat penyelenggaraan dan sokongan di Shah Alam yang membolehkan Ericsson meningkatkan aspek tindak balas dan penyampaian perkhidmatan sokongan untuk pelanggan di rantau Asia Pasifik,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Ericsson juga telah memulakan inisiatif Ericsson Educate – satu kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Digital Nasional Bhd bagi membantu mendidik penuntut Malaysia mengenai 5G serta teknologi baharu lain.

“Kerjasama itu dijangka menjangkau sehingga 1,200 penuntut pada tahun pertama dan seterusnya membolehkan penuntut UTM untuk menyertai dan menyumbang kepada ekonomi digital dan transformasi Industri 4.0 negara ini.

“Malah, Ericsson juga telah menubuhkan pusat inovasi pertama Malaysia bagi tujuan penyelidikan dan pengujian teknologi 5G di UTM pada 2016,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia jadi hab pembuatan peralatan 5G Ericsson bagi Asia Pasifik


Content Type:

Duration:

First Solar Inc akan membekalkan 93 megawatt (MW) panel solar filem nipis fotovoltaik (PV) termaju kepada Solarvest Holdings Bhd, dengan penghantaran dilakukan antara Julai dan Oktober 2022.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, First Solar berkata modul itu akan menggerakkan empat projek yang sedang dibina sebagai sebahagian daripada program solar berskala besar di Malaysia, kerana mereka akan menggunakan modul First Solar Siri 6 untuk projek di Selangor, Perak dan Kedah.

“Kira-kira 75 MW daripada jumlah tempahan itu dijangka diperoleh daripada kemudahan pembuatan First Solar di Kulim, Kedah,” kata kenyataan itu.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong berkata penggunaan panel solar termaju itu akan menyerlahkan lagi kelebihan yang dibawa oleh penyelesaian kejuruteraan syarikat dari segi memaksimumkan hasil tenaga.

“Kami sangat teruja untuk menggunakan teknologi filem nipis First Solar, termasuk panel solar buatan Pulau Pinang, untuk melaksanakan projek kami di Malaysia.

 “Kombinasi ini sudah pasti akan meningkatkan daya saing projek kami,” katanya.

Terutamanya memandangkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan global semasa, Chong berkata ia juga merupakan sebahagian daripada strategi Solarvests untuk mengurangkan risiko penggantungan berhubung dengan amalan pemerolehan, yang mana kepelbagaian sumber menggalakkan kestabilan yang lebih besar untuk mereka ketika mereka terus meningkat.

Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Global First Solar Adam Smith berkata perjanjian itu mewakili komitmen mereka untuk menggunakan teknologi modul berprestasi tinggi dan cekap ekonomi di Malaysia.

“First Solar telah lama berada di Malaysia dan kami berbangga bahawa teknologi modul kami akan memainkan peranan dalam membantu negara mencapai matlamat tenaga bersih,” katanya.

Solarvest diasaskan pada 2012, mempelopori pemasangan solar bersambung dengan grid di Malaysia dan telah menghasilkan sekitar 400 MW di seluruh negara.

Sementara itu, First Solar telah ditubuhkan pada 2007, dan kini mengendalikan kilang pembuatan 3.3 gigawat di Pulau Pinang.

Sumber: Bernama

First Solar bekal panel solar filem nipis PV termaju kepada Solarvest


Content Type:

Duration:

Industri petrokimia dijangka berkembang kira-kira 5.0 hingga 6.0 peratus setiap tahun walaupun menghadapi masalah berterusan seperti perang Rusia-Ukraine, kata Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA).

Presiden Akhbar Md Thayoob berkata peperangan itu mempunyai impak positif dan negatif terhadap industri, mengganggu aliran perdagangan sambil turut mewujudkan keperluan mendesak bagi kawasan geografi tertentu untuk meningkatkan pengeluaran bagi menggantikan volum yang dikeluarkan daripada sistem.

“Industri petrokimia sentiasa berkembang melebihi kadar ekonomi.

“Sesetengah segmen industri akan berkembang jauh lebih pantas daripada yang lain tetapi secara keseluruhannya, ia merupakan enjin pertumbuhan yang penting bagi negara,” katanya semasa sidang media untuk mengumumkan dua persidangan minyak, gas dan petrokimia di sini hari ini.

Akhbar berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk meraih faedah daripada krisis yang sedang berlaku tetapi mempunyai peranan dalam mengurangkan kesan konflik Rusia-Ukraine dengan mengukuhkan industri petroleum, petrokimia dan minyak sawit.

Beliau menegaskan bahawa industri petrokimia berada dalam mod penstabilan selepas COVID19.

“Masih terdapat ketidaktentuan pada masa hadapan, kitaran semasa tidak akan sama seperti sebelum ini.

“Kami mungkin akan menghadapi gangguan di antara (krisis) yang benar-benar boleh mengubah kitaran seterusnya,” jelasnya.

Mengenai peralihan tenaga, beliau berkata kebanyakan pemain petrokimia sedang merangka rangka kerja mereka sendiri ke arah menjadi industri pelepasan karbon sifar bersih.

“Terdapat beberapa langkah yang boleh kami lakukan dengan segera seperti mereka bentuk aset baharu dari tapak yang betul kerana semua pelaburan baharu perlu menjadi sifar bersih.

“Kami masih merangka tetapi saya pasti dalam beberapa tahun akan datang, kebanyakan organisasi akan mempunyai rangka tindakan untuk membimbing mereka,” kata Akhbar.

MPA, Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga Malaysia, dan Pasaran Informa Malaysia bersama-sama menganjurkan Minyak dan Gas Asia, Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia, serta Persidangan Kemampanan Petrokimia 2022 yang julung kali diadakan dari 13-15 September 2022.

Acara gabungan itu dijangka menarik sekurang-kurangnya 500 syarikat dan 20,000 pelawat perdagangan, termasuk 1,000 perwakilan daripada kedua-dua persidangan.

Sumber: Bernama

Industri petrokimia dijangka tumbuh 5-6 peratus setiap tahun — MPA


Content Type:

Duration:

Pembinaan kilang baharu Samsung SDI Energy Malaysia Sdn Bhd (SDIEM) di sini dengan nilai pelaburan sebanyak RM7 bilion bakal mewujudkan 1,300 peluang pekerjaan kepada Keluarga Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pembangunan kilang baharu fasa dua itu melibatkan tujuh bangunan baharu dan stesen sub tambahan elektrik 132 kilovolt (KV) serta dijangka mula beroperasi pada 2025. 

“Saya turut menghargai Samsung, salah satu syarikat elektronik terbesar di dunia dan jenama terkenal yang telah mula beroperasi di Malaysia sejak tahun 1990 lagi.

“Kilang baharu ini yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2025 nanti akan mampu untuk menghasilkan sebanyak 800 juta sel bateri setahun,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah kilang baharu itu yang disiarkan melalui rakaman video di sini hari ini. 

Beliau berkata usaha Samsung SDIEM dan komitmen untuk memenuhi keperluan pasaran global bagi kegunaan kenderaan elektrik dunia adalah satu usaha yang membanggakan buat negara dan rakyat Malaysia secara amnya.

“Saya menghargai peranan yang dimainkan oleh Samsung dalam membangunkan industri berdasarkan teknologi hijau.

“Hal ini selaras dengan matlamat negara dalam mencapai karbon sifar bersih seawal 2050 sepertimana yang dinyatakan dalam strategi Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya.

Ismail Sabri berkata bagi Malaysia, industri ini penting dari segi sumbangan kepada keseluruhan ekosistem EV yang komprehensif.

“Saya yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menyumbang bersama-sama dalam membangunkan ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SDI Co Ltd (Korea Selatan) Choi Yonho berkata hubungan antara Malaysia dan Samsung SDI adalah istimewa berikutan pada Februari 1991, Samsung SDI telah membangunkan kilang luar negara pertamanya di negara ini.

Katanya sejak itu, Samsung SDI telah menjadi syarikat pertama dunia dalam industri tiub sinar katod (CRT).

“Bermula dari 2024, bateri yang dihasilkan ini akan digunakan dalam pelbagai peranti termasuk peralatan elektrik, mobiliti mikro dan kenderaan elektrik yang akan menjadikan seluruh dunia ‘bergerak’ di atas bateri Samsung SDI,” katanya.

Katanya bateri itu menampilkan daya saing teknologi ‘super gap’ Samsung dengan kualiti terbaik, dikenali sebagai ‘PRiMX’, jenama asal Samsung SDI yang akan dihasilkan ratusan juta setiap tahun selain dieksport ke seluruh dunia.

Choi berkata pihaknya akan menjadikan Samsung SDIEM sebagai sebuah pusat industri bateri global melalui kerjasama semua warga kerja Samsung SDI, kerajaan Malaysia dan syarikat rakan kongsi.

“Di samping itu, selaras dengan strategi pengurusan berorientasikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Samsung SDI patuh dalam menunaikan tanggungjawab sosial kami terhadap alam sekitar, keselamatan dan pematuhan undang-undang,” katanya.

Samsung SDI merupakan sebuah anak syarikat di bawah Samsung Group di Korea yang memulakan pelaburannya di Malaysia sekitar 1990 melalui penubuhan syarikat Samsung Electron Devices Malaysia dalam sektor pembuatan CRT untuk televisyen.

Sejak penubuhan Samsung SDIEM pada November 2011 hingga Mei 2022, Samsung telah membuat pelaburan berjumlah RM3.8 bilion sekali gus menyumbang kepada kadar eksport tahunan Malaysia sebanyak RM2.5 bilion.

Sumber: Bernama

Kilang baharu Samsung SDIEM bernilai RM7 bilion bakal wujudkan 1,300 peluang pekerjaan


Content Type:

Duration:

Pengeluar sensor optik dunia yang berpengkalan di Jerman, Leuze Electronic Malaysia Sdn Bhd bercadang menambah pelaburan sehingga RM200 juta dalam masa terdekat menerusi operasi kilang baharunya di Bukit Rambai di sini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata setakat ini, syarikat berkenaan telah melabur sebanyak RM100 juta termasuk kos bangunan kilang bernilai RM50 juta, melibatkan lapan barisan pengeluaran.

Beliau berkata syarikat itu menawarkan kira-kira 100 peluang pekerjaan dengan 95 peratus daripadanya diisi penduduk tempatan dari sekitar kawasan Bukit Rambai dan Tanjung Minyak di sini.

“Hari ini kita merasmikan kilang baharu Leuze Electronic yang mula beroperasi sejak awal tahun lepas dan ia mengambil masa pembinaan hampir 16 bulan selepas lama tertangguh akibat pandemik COVID-19.

“Leuze Electronic dijangka menambah nilai pelaburan sebanyak dua kali ganda dan kerajaan negeri akan membantu mereka mengembangkan pelaburan di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Leuze Electronic di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Sulaiman berkata pelaburan berkenaan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada ekonomi negeri, malah turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Sementara itu, Ab Rauf berkata jumlah pelaburan syarikat Jerman di Melaka setakat ini mencecah hampir RM15 bilion termasuk Leuze Electronic dan Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya nilai pelaburan melibatkan hampir 10 syarikat dari Jerman itu membuktikan Melaka antara lokasi terbaik untuk pelabur membuat dan mengembangkan pelaburan masing-masing.

Sumber: Bernama

Leuze Electronic cadang tambah pelaburan sehingga RM200 juta di Melaka


Content Type:

Duration:

Kerajaan bersedia membantu Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) meluaskan pasaran sedia ada dan mencari pasaran baharu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Justeru, beliau mahu Perodua terus mempertingkatkan kebolehan pengeluarannya, sekali gus mencapai skala ekonomi yang kompetitif setaraf dengan syarikat-syarikat asing di rantau ini.

“Impak kemajuan industri automotif negara amat penting dan dapat dilihat melalui aktiviti ekonomi yang dijana melalui pewujudan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran teknikal, pindahan teknologi dan mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran Perodua Alza serba baharu hari ini. 

Malah, menurutnya Perodua turut membuktikan komitmen berterusan kepada sektor automotif tempatan dengan pembelian komponen automotif sebanyak RM7 bilion secara purata setiap tahun.

Perdana Menteri berkata keuntungan daripada pembelian komponen tempatan ini dapat digunakan oleh syarikat-syarikat tempatan untuk terus memajukan perniagaan masing-masing sama ada  mengembangkan operasi ataupun melabur dalam teknologi baharu.

“Saya difahamkan terdapat syarikat komponen tempatan yang telah menjadi pembekal komponen kepada syarikat Daihatsu di Jepun. 

“Ini satu pencapaian yang amat membanggakan negara kerana lazimnya kita import komponen dari Jepun tetapi kini, kita yang mengeksportkannya ke Jepun. Syabas saya ucapkan!,” ujar Ismail Sabri. 

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut berbangga dengan kegigihan Perodua mencari peluang bekerjasama dengan pelbagai kementerian untuk memajukan ekosistem industri automotif negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak Perodua juga harus menjadi contoh oleh syarikat-syarikat tempatan yang lain yang mana kepentingan negara didahulukan demi kesejahteraan semua,” katanya. 

Sementara itu, melihat kepada pertumbuhan industri automotif yang memberangsangkan, Ismail Sabri yakin Malaysia mampu mencapai sasaran jualan kenderaan sebanyak 600,000 unit bagi 2022, peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding 2021. 

Sebanyak 61,624 kenderaan didaftarkan pada suku pertama 2022, meningkat sebanyak 6.4 peratus berbanding 57,909 kenderaan yang dijual pada tempoh yang sama 2021. 

Pihak Perodua pula menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 247,800 unit, iaitu 30.2 peratus bagi tahun ini  berbanding 190,291 kenderaan pada tahun lepas.

Sumber: Bernama

Kerajaan sedia bantu Perodua luaskan pasaran luar negara – PM Ismail Sabri


Content Type:

Duration:

Perodua merancang untuk meningkatkan pengeluaran untuk menyelesaikan isu tempoh menunggu yang lama berikutan jumlah tempahan yang meningkat, yang kini berjumlah 243,000 unit. 

Pengeluar kereta itu menghadapi kekurangan bekalan cip semikonduktor dan pekerja asing, menyebabkan tempoh menunggu yang lebih lama kira-kira enam hingga tujuh bulan bergantung kepada model kereta, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Bagi menyelesaikan masalah kekurangan cip, Perodua telah mencari pembekal alternatif supaya ia boleh mendapatkan sumber daripada vendor lain, katanya kepada pemberita selepas pelancaran Perodua Alza serba baharu di sini hari ini.

Penggunaan komponen tempatan boleh melindungi Perodua daripada situasi tidak menentu yang berlaku dalam pasaran antarabangsa, katanya sambil menambah model Alza serba baharu itu mempunyai kadar komponen tempatan yang tinggi sebanyak 95 peratus.

Tempahan untuk Alza baharu bermula pada 23 Jun pada harga RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk varian AV bagi Semenanjung Malaysia dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) tetapi tanpa insurans.

Mengenai isu pekerja asing, katanya perkara itu sedang diselesaikan secara berperingkat. 

“Bagi Perodua, situasi itu tidak akan memberi impak yang besar kepada pengeluaran sekurang-kurangnya pada tahun ini. Sasaran (jualan) masih di landasan untuk tahun 2022,” katanya.

Perodua menyasarkan jualan sebanyak 247,800 unit pada 2022, meningkat sebanyak 30.2 peratus daripada 190,291 unit kenderaan yang dijual pada tahun lepas.

Zainal Abidin berkata langkah mengimbangi pengeluaran akan dilakukan untuk memastikan isu tempoh menunggu dapat ditangani, terutamanya dalam kalangan model kegemaran rakyat Malaysia seperti Perodua Myvi, Alza dan Aruz.

“Kita perlu menguruskan model ini dengan berhati-hati. Kita perlu (mencapai) keseimbangan,” katanya, sambil menambah mungkin tempoh menunggu untuk Aruz boleh (diselaraskan kepada) kurang tiga bulan manakala untuk Alza, boleh lebih tiga bulan.

Syarikat telah mencatatkan tempahan sebanyak 30,000 unit, merupakan yang tertinggi dan daripada jumlah tempahan setakat ini, hampir 15 peratus daripadanya adalah untuk Alza baharu, katanya sambil menambah syarikat menyasarkan untuk mengeluarkan 3,000 unit model itu setiap bulan.

Katanya kira-kira 4,300 unit Alza dijangka didaftarkan pada bulan ini.

“Unit pertama Alza serba baharu ini telah didaftarkan hari ini dan akan mula dihantar,” katanya.

Secara keseluruhan, Perodua telah melabur sebanyak RM770 juta untuk membangunkan Alza serba baharu sejak April 2018.

Mengenai impak daripada pengecualian SST yang telah berakhir, beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai impaknya terhadap permintaan.

Ditanya mengenai kemungkinan pengeluaran kenderaan elektrik (EV), beliau berkata Perodua masih mengkaji perkara itu.

“Ia dalam peringkat perancangan. Kita akan membuat pengumuman apabila wujud kerjasama konkrit dengan syarikat nasional lain,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan Perodua menjalin kerjasama dengan syarikat utiliti nasional, Tenaga Nasional Bhd untuk memperkenalkan kadar caj EV mampu milik kepada rakyat.

Ismail Sabri berkata TNB kini sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran tenaganya dengan menggunakan sumber tenaga boleh baharu dan menyediakan stesen pengecasan EV yang mencukupi.

“Pada masa sama, Perodua boleh menggunakan peluang ini dengan meneroka bidang baharu seperti menghasilkan EV yang berkualiti tinggi dan mampu dimiliki oleh Keluarga Malaysia,” katanya.

Sumber: Bernama

Perodua tingkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan


Content Type:

Duration:

Duopharma Biotech Bhd menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi makanan berpangkalan di Amerika Syarikat, The Live Green Co, bagi meninjau penggunaan ramuan serta teknologi berasaskan tumbuhan untuk menggantikan bahan mengandungi haiwan, sintetik dan ultra proses.

Kedua-dua pihak terbabit telah memeterai perjanjian kerjasama yang bertujuan memenuhi permintaan pengguna mendapatkan produk makanan kesihatan dan farmaseutikal yang lebih mampan.

“Kami sentiasa meninjau inovasi baharu yang mempromosi kesihatan lebih baik serta syarikat-syarikat yang berpendirian sama untuk menjalin kerjasama bagi meningkatkan lagi protfolio produk kesihatan yang lebih khusus,” kata Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Leonard Ariff Abdul Shatar ketika berucap pada majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama itu melibatkan pembangunan, pembuatan dan pengkomersialan makanan kesihatan dan farmaseutikal berasaskan tumbuhan semata-mata bagi rangkaian penjagaan kesihatan pengguna keluaran Duopharma.

Usaha itu akan turut meneroka pembangunan produk-produk farmaseutikal berasaskan tumbuhan dengan menggantikan bahan yang bersumberkan haiwan atau sintetik, pembangunan produk khas menerusi usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan rangkaian makanan baharu berasaskan tumbuhan bagi memenuhi permintaan pesakit dengan diet khas.

“Kerjasama dengan The Live Green Co akan membolehkan kami memperluas rangkaian penawaran makanan kesihatan dan farmaseutikal berasaskan tumbuhan, sekali gus mengembangkan lagi potensi pasaran.

“Pada masa sama, ini juga dapat mengurangkan jejak karbon kami daripada bahan bukan lestari serta usaha pemprosesan yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

Susulan itu juga, kerjasama Duopharma Biotech dengan The Live Green Co. akan menyaksikan sekurang-kurangnya dua produk rumusan semula ditawarkan kepada pengguna menjelang 2024.

Menurut Leonard Ariff, jenama pengguna Duopharma yang akan mengetengahkan ‘tag’ atau ciri mengandungi tumbuhan sahaja atau berasaskan tumbuhan termasuk Flavettes, Champs, Proviton, Uphamol dan Naturalle.

Beliau berkata, keputusan untuk menggantikan bahan-bahan sedia ada dengan alternatif tumbuhan adalah penting bagi merealisasikan matlamat sasaran prestasi iklim Duopharma Biotech bagi mengurangkan gas rumah hijau di sepanjang rantaian bekalannya.

Syarikat itu juga telah mengumumkan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk mencapai neutral karbon menjelang 2030, pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 selain menggantikan 50 peratus plastik sekali guna dengan jenis biodegradasi dalam operasinya menjelang 2026.

Ini menerusi usaha penekanan terhadap teknologi dan digitalisasi baharu untuk mengurangkan pelepasan dengan lebih cekap.

“Pada masa ini terdapat usaha yang kian ketara untuk memastikan keputusan penghasilan makanan dan makanan kesihatan lebih sihat dan kami berhasrat menjadi antara syarikat yang dapat memenuhi permintaan itu di Malaysia serta di pasaran lebih besar di peringkat global,” katanya.

Sumber: Bernama

Duopharma, Live Green bekerjasama bangunkan makanan berasaskan tumbuhan


Content Type:

Duration:

TKR Manufacturing (M) Sdn Bhd merancang untuk menambah pelaburannya di Melaka, kata Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pelaburan itu akan melibatkan penambahan bahagian pengeluaran di kilang tersebut, yang akan mewujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

“Pada masa ini, kilang yang telah mula beroperasi sejak 1988 ini mempunyai 1,700 pekerja dengan 1,190 daripadanya adalah pekerja tempatan. Ia kini menuju ke arah Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan mempertingkat pengetahuan dan kemahiran pekerja tempatan.

“Kilang ini memberi fokus kepada penghasilan pelbagai produk elektronik yang menghasilkan pulangan sebanyak RM360 juta setahun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau mengiringi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang meluangkan masa kira-kira dua jam untuk mendengar dan melawat kilang tersebut di Kawasan Perindustrian Tangga Batu di sini.

Hadir sama Pengarah Urusan TKR Manufacturing (M) Sdn Bhd Paul Nallasamy dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi.

Ab Rauf berkata apa yang membanggakan adalah pengurusannya di Tokyo, Jepun yang memberi kepercayaan kepada anak-anak tempatan untuk menguruskan kilang tersebut sepenuhnya.

“Dengan teraju daripada anak-anak Melaka ini, mereka berjaya meningkatkan pengeluaran dan hasil kepada syarikat,” katanya.

Sumber: Bernama

TKR Manufacturing rancang tambah pelaburan di Melaka


Content Type:

Duration:

wpChatIcon