Berita Industri Archives - Page 12 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


PM Ismail Sabri sambut baik cadangan kerjasama kerangka keselamatan makanan dengan Arab Saudi

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan cadangan daripada Menteri Pertanian Arab Saudi, Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam kerangka keselamatan makanan.

Beliau menerusi catatan di Facebook hari ini berkata, ini berikutan potensi besar yang dimiliki Malaysia dalam bidang pertanian, termasuk mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan.

Ismail Sabri berkata kerjasama itu dicadangkan AlFadley ketika kunjungan hormatnya ke Putrajaya hari ini.

“Saya dan TYT AlFadley melihat banyak potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan industri makanan yang boleh diterokai bersama.

“Saya bersetuju Malaysia dan Arab Saudi untuk berkerjasama dalam kerangka kerja keselamatan makanan dengan menubuhkan satu jawatankuasa bersama bagi melihat serta merangka dasar berhubung keselamatan makanan,” katanya. 

Pada pertemuan itu, perdana menteri berkata AlFadley turut menyentuh mengenai prospek ‘pelaburan berbalik’ yang boleh diterokai Malaysia dalam mengatasi isu keselamatan makanan yang kini dihadapi seluruh dunia.

Beliau berkata kerajaan Arab Saudi telah menggunakan konsep yang sama dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, negara-negara di Selatan Amerika, Ukraine dan Australia.

“TYT AlFadley merasakan kerjasama ini akan memberi manfaat yang meluas kepada kedua-dua negara, malah kepemimpinan Arab Saudi bersedia memberi sokongan terhadap inisiatif keselamatan makanan antara kedua-dua negara,” katanya.

Ismail Sabri berkata Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa yang terjalin sejak sekian lama bukan sahaja dalam konteks hubungan antara rakyat kedua-dua negara tetapi juga merangkumi hubungan ekonomi yang luas.

Sumber: Bernama

PM Ismail Sabri sambut baik cadangan kerjasama kerangka keselamatan makanan dengan Arab Saudi


Content Type:

Duration:

Malaysia mengeksport 24.9 juta tan setahun (MTPA) gas asli cecair (LNG) pada 2021, menjadikannya kekal di kedudukan tahun sebelumnya sebagai pengeksport LNG kelima terbesar selepas Australia, Qatar, Amerika Syarikat dan Russia, kata Persatuan Gas Malaysia (MGA).

Memetik laporan tahunan ke-13 World LNG Report 2022 yang dikeluarkan oleh Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) pada Rabu, MGA berkata eksport tahun lalu sebanyak 24.9 MTPA, meningkat sedikit daripada 23.9 MTPA pada 2020.

“Ini adalah kira-kira 6.7 peratus daripada jumlah LNG yang didagangkan di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata Asia Pasifik kekal sebagai rantau pengeksport LNG terbesar, dengan 131.2 juta tan LNG telah dieksport tahun lepas.

Sementara itu, MGA berkata Malaysia terus menjadi peneraju teknologi dalam pengeluaran gas asli cecair terapung (FLNG), yang menyaksikan Gas Asli Cecair Terapung Satu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) (PFLNG1) dengan kapasiti 1.2 MTPA dan Gas Asli Terapung Dua Petronas (PFLNG2) dengan kapasiti 1.5 MTPA yang beroperasi pada 2021.

“Pada akhir April 2022, hanya terdapat empat unit FLNG yang beroperasi di seluruh dunia, keputusan pelaburan akhir (FID) untuk FLNG ketiga Petronas dijangka dibuat menjelang akhir 2023,” katanya.

Sumber: Bernama

Malaysia kekal pengeksport LNG ke-5 terbesar dunia


Content Type:

Duration:

Turkish Aerospace Industries (TAI) berharap dapat merealisasikan rancangannya untuk mewujudkan sebuah kilang pengeluaran produk-produk aeroangkasa seperti jet, helikopter dan kenderaan udara tanpa pemandu di Malaysia dalam tempoh setahun dan menjadikannya sebagai pangkalan untuk rantau Asia Pasifik.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TAI Prof Temel Kotil bagaimanapun berkata syarikat itu perlu mempunyai perniagaan di Malaysia sebelum dapat memulakan pengeluaran terbabit.

“Kami perlu menjalinkan beberapa perniagaan di Malaysia (terlebih dahulu) dan ini adalah sesuatu yang biasa. Apabila ke Malaysia bagi tujuan pengeluaran kelak, kami akan bekerjasama bagi mengeluarkan jentera-jentera terbaik dunia,” katanya yang juga bekas CEO Turkish Airlines.

Beliau berkata demikian kepada kumpulan media Malaysia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Turkiye, melawat kemudahan TAI pada Rabu.

Mengulas selanjutnya, Kotil berkata antara produk yang dirancang pengeluarannya di Malaysia adalah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang dikawal secara jarak jauh keluaran tempatan dikenali Anka, pesawat latihan, helikopter Gokbey dan jet tempur ringan Hurjet yang dijangka diperkenalkan pada tahun depan.

Menurutnya, TAI yang telah membuka sebuah pejabat di Cyberjaya akhir tahun lepas, akan turut bekerjasama erat dengan syarikat-syarikat Malaysia untuk membuka kilang terbabit selain menggunakan pengalamannya bagi menyokong industri aeroangkasa Malaysia.

“Oleh itu, kami perlu mendapatkan pengalaman dan telah melatih masing-masing seramai 1,000 jurutera serta juruteknik setahun. Kami akan mempunyai kira-kira 100 jurutera di Malaysia menjelang tahun ini dan seramai 20 jurutera Malaysia juga sedang dalam peringkat latihan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, kilang pengeluaran TAI yang terletak di pinggir ibu negara Turkiye, merangkumi kawasan seluas lima juta meter persegi yang turut menempatkan kemudahan perindustrian berkeluasan 150,000 meter persegi.

TAI merupakan firma pertahanan dan aeroangkasa terbesar di Turkiye dengan menumpukan pembangunan produk tulen.

Ia turut menyasarkan untuk muncul sebagai 10 firma terkemuka dunia dalam industri itu menjelang 2028 dengan perolehan hasil sebanyak US$10 bilion (US$1=RM4.42).

Firma itu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Norfolk Southern Corp Negeri Sembilan yang melibatkan pembangunan NS Aerospace Valley (NSAV) dan lembah kenderaan tanpa pemandu atau UVV di negeri tersebut.

Kerjasama terbabit akan merangkumi pembangunan pembuatan komponen aeroangkasa, penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih, pembangunan tenaga kerja mahir dan juga pemindahan teknologi.

Sementara itu, Pengerusi Bersama (Industri) Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali berkata kumpulan pemikir teknologi itu bekerjasama erat dengan TAI bagi usaha pemindahan teknologi Turkiye ke Malaysia.

“Mereka mahu membina sebuah kilang di Malaysia bagi pengeluaran helikopter dan lain-lainnya. Ini sudah pasti dapat memberi manfaat kepada industri aeroangkasa Malaysia selain memberi peluang pekerjaan kepada jurutera serta juruteknik tempatan,” katanya.

Sumber: Bernama

Turkish Aerospace sasar jadikan Malaysia sebagai pangkalan bagi Asia Pasifik


Content Type:

Duration:

Penyedia penyelesaian semikonduktor, Infineon akan melabur lebih RM8 bilion untuk membina modul fabrikasi wafer di Kulim, menambah kapasiti pengeluaran yang ketara dalam semikonduktor kuasa.

Pembinaan itu dijangka siap menjelang suku ketiga 2024.

Ketua Pegawai Operasi Infineon Technologies AG, Dr Rutger Wijburg, berkata Malaysia adalah hab penting bagi Infineon disebabkan skala ekonomi sedia ada dalam pembuatan fabrikasi wafer bahagian hadapan di Kulim dan pembuatan cip bahagian belakang di Melaka.

“Apabila dilengkapi sepenuhnya, produk daripada modul baharu itu akan menjana hasil tahunan tambahan 2 bilion euro.

“Berikutan usaha penyahkarbonan mendapat momentum di peringkat global, permintaan daripada kenderaan elektrik, infrastruktur pengecasan dan penyimpanan dan tenaga boleh diperbaharui bagi semikonduktor kuasa jurang jalur lebar semakin meningkat dan kami bersedia untuk menyokong permintaan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian berkata Malaysia bertuah kerana mempunyai rakan kongsi industri jangka panjang dan komited, termasuk Infineon, yang memainkan peranan penting dalam membawa pertumbuhan kepada industri semikonduktor Malaysia.

“Ketika kami bergembira dengan pengumuman kemudahan ketiga hari ini untuk meningkatkan fabrikasi wafer bagi semikonduktor jurang jalur lebar, saya gembira untuk memaklumkan bahawa modul ketiga Infineon Kulim akan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

“Matlamat kolektif kami adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu rakan kongsi utama dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya.

Lim menyatakan bahawa mempunyai rakan kongsi global yang berfikiran sama seperti Infineon akan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global dan matlamatnya untuk menjadi pangkalan pembuatan termaju di rantau ini, dipacu oleh inovasi.

“Kami komited untuk menyokong peneraju industri seperti Infineon dan kami menghargai kepercayaan serta komitmen yang telah anda tunjukkan sepanjang kehadiran anda di Malaysia,” tambahnya.

Industri elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan KDNK Malaysia, pendapatan eksport, pelaburan dan pekerjaan, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan perindustrian negara.

Pada suku pertama 2022 sahaja, Malaysia menarik RM18.6 bilion (US$4.4 bilion) dalam pelaburan yang diluluskan untuk industri E&E, antara industri berprestasi terbaik dalam tempoh Januari hingga Mac 2022 bagi sektor pembuatan.

Sumber: Bernama

Infineon labur RM8 bilion di Kulim


Content Type:

Duration:

Pelabur asing kekal yakin dengan ekosistem produk elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia yang berkembang maju dan rancak sehingga membolehkan penciptaan teknologi di negara ini untuk menghasilkan produk amat diperlukan, kompleks dan berkualiti tinggi, menurut Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, ia dicerminkan menerusi kerjasama teknologi yang baru dibina dalam industri semikonduktor di antara Silterra Malaysia Sdn Bhd dengan TUYAR Mikroelektronic yang berpejabat di Istanbul.

“(Kerjasama) ini akan memanfaatkan bukan sahaja Silterra, malah peserta E&E lain di Malaysia.

“Kini, Malaysia boleh menghantar pengetahuan teknikal dan kepakaran pembuatan kita untuk membantu Turkiye,” katanya menerusi catatan terkini di akaun Twitter.

Mohamed Azmin adalah antara delegasi yang menyertai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang tiba di negara itu pada Selasa bersempena lawatan rasmi selama empat hari. Beliau menyertai Perdana Menteri dalam mesyuarat bersama Pengerusi Silterra Tan Sri Syed Zainal Abidin dan Pengerusi TUYAR  Prof Sezai Elagoz yang diadakan pagi ini.

Menerusi catatan di laman media sosialnya, Mohamed Azmin menyifatkan langkah TUYAR dan beberapa syarikat E&E berteknologi tinggi lain yang telah memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi dan pemindahan teknologi masing-masing sebagai memberangsangkan, sekali gus menjelaskan mengapa negara kekal menjadi destinasi pelaburan pilihan.

Silterra dan TUYAR telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi dan pembuatan dalam industri semikonduktor di mana pembuat cip Malaysia membantu TUYAR untuk membangunkan teknologi asas dan menghasilkannya di Silterra.

Mohamed Azmin berkata kerjasama itu akan melibatkan pelaburan berpotensi oleh TUYAR, perintis pembentukan reka bentuk litar bersepadu dan sistem pembuatan di Turkiye bagi proses pembangunan kejuruteraan serta peralatan dan kapasiti bagi menghasilkan wafer untuk syarikat itu.

“Untuk jangka panjang, Silterra akan membantu TUYAR membangunkan kemampuan tempatan dalam industri semikonduktor di Turkiye,” katanya.

Menurut Mohamed Azmin, kerjasama itu turut memberi kebaikan kepada pengeluar jentera dan peralatan di Malaysia, di samping mencipta peluang kepada vendor tempatan lain, sekali gus meningkatkan nilai kepada rantaian bekalan domestik.

Beliau berkata Perdana Menteri telah menyatakan minatnya dari segi potensi kerjasama, selain menegaskan bahawa kerajaan menyokong sepenuhnya inisiatif-inisiatif ini melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia .

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata perbincangan yang produktif telah diadakan dengan Dr Tarik Var selaku Ketua Pegawai Eksekutif Istanbul Shipyard — peneraju industri pembinaan kapal Turki — untuk meneroka peluang perniagaan selanjutnya di Malaysia.

Beliau berkata syarikat itu sedang meninjau lebih banyak potensi kerjasama dengan penggiat pertahanan dan pembinaan kapal di Malaysia, meliputi kerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan nilai pelaburan yang dicadangkan berjumlah kira-kira RM1 bilion dalam tempoh lima tahun.

“Perdana Menteri telah menegaskan keperluan untuk syarikat-syarikat Malaysia menjalinkan kerjasama dengan rakan niaga yang sesuai bagi membangunkan industri pembinaan kapal di Malaysia.

“Saya menyatakan bahawa inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional memandangkan kerajaan melalui MITI komited untuk membangunkan ekosistem pembinaan kapal dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan mendorong pemindahan teknologi,” tambahnya.

Sumber: Bernama

Sektor E&E Malaysia kekal jadi pilihan pelabur asing


Content Type:

Duration:

Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd memperkenalkan barisan pemasangan enjin baharu dan berteknologi tinggi yang berupaya menghasilkan enjin 1.5 TGDI (Suntikan Terus Gasolin Turbo) untuk pasaran tempatan dan eksport.

Barisan pemasangan, yang berada di kemudahan enjin dan rangkaian kuasa Proton di sini, meliputi kawasan seluas 18,000 meter persegi dan mempunyai kapasiti maksimum semasa sebanyak 180,000 unit enjin apabila beroperasi dalam tiga syif.

Ini buat kali pertama enjin 1.5 TGDI dipasang di luar China dan merupakan antara barisan pemasangan enjin automotif tercanggih di negara ini.

Projek itu juga merupakan sebahagian daripada RM1.8 bilion yang diperuntukkan oleh Proton untuk menaik taraf kemudahannya di sini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata barisan pemasangan enjin baharu itu menunjukkan pihaknya mengotakan janji kepada pihak berkepentingannya.

“Apabila perjanjian dibuat untuk bekerjasama dengan Geely pada 2017, antara komitmen kami adalah melabur dalam industri automotif Malaysia dari segi kewangan dan melalui pengenalan komponen baharu berteknologi tinggi.

“Barisan pemasangan baharu ini memenuhi syarat ini di samping memberi laluan kepada Proton untuk menarik dan membangunkan bakat muda yang akan membantu memacu industri automotif dan Proton pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke kilang Proton di sini, pada Selasa.

Beliau berkata kualiti merupakan keutamaan barisan pemasangan enjin baharu Proton.

Proton perlu menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa ia mampu membina produk berkualiti tinggi yang boleh dipercayai, jadi pihaknya bersedia untuk setiap kemungkinan, katanya.

Roslan berkata selain langkah pemantauan kualiti yang digunakan pada barisan pemasangan, Proton turut bekerjasama rapat dengan rakan sejawatan di Geely.

“Ini untuk menyelesaikan masalah dan berkongsi amalan terbaik dalam usaha kami menghasilkan enjin bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Kejuruteraan Pembuatan, Rangkaian Kuasa Proton, Mohamad Karim Mansor berkata kilang enjin 1.5 TGDi itu kini beroperasi pada kadar automasi sebanyak 47 peratus.

Beliau berkata ia sepadan dengan beberapa operasi kilang Geely di Baoji, China, yang semua barisan pengeluaran adalah automatik sepenuhnya.

“Barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi di sini direka untuk mampu menghasilkan sehingga 300,000 unit (enjin) setahun, apabila tiba masanya,” katanya.

Mengetengahkan 88 stesen yang terdiri daripada 17 stesen automatik, 15 separa automatik dan 56 stesen manual, barisan pemasangan 1.5 TGDi dibina menggunakan pendekatan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dengan menampilkan tahap automasi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti.

Kilang ini juga menggunakan teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dalam bentuk alat pengumpulan dan analisis data intensif untuk memastikan kualiti memenuhi piawaian.

1.5 TGDi tiga silinder dan variannya setakat ini telah digunakan dalam lebih 750,000 kenderaan yang dijual di seluruh dunia.

Menerusi penggunaan penyelesaian seperti pengecilan saiz enjin, sistem termal dan pelinciran yang dioptimumkan, pengecas turbo inersia rendah serta GDI yang dihomogenkan, prestasi pasangan enjin dengan penggunaan bahan api dan pelepasan yang berkurangan telah memenuhi syarat Euro 6.

Sumber: Bernama

Proton perkenal barisan pemasangan enjin berteknologi tinggi baharu di Tanjung Malim


Content Type:

Duration:

Kerajaan Pulau Pinang melihat industri halal berpotensi besar untuk menarik minat semua pihak dari seluruh dunia sejajar kemajuan ketika ini, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata ini kerana industri halal turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bukan Islam malah mendapat kerjasama baik daripada semua pihak untuk membangunkan industri itu dalam pelbagai sektor.

“Perkara ini dapat dilihat selepas pembukaan semula sempadan negara. Industri halal berpotensi untuk mengembalikan semula pasaran dunia kembali ke paksinya.

“Bagi industri berkembang maju, kita mesti memanfaatkan sinergi berpotensi yang ada. Kita mesti memacu ekosistem yang ada dengan teknologi baharu dan meneroka semua bidang pertumbuhan termasuk melengkapkan usahawan halal dengan akses dan pengetahuan digital bagi memulakan pertumbuhan eksponen mereka,” katanya berucap merasmikan Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) di sini hari ini.

Chow berkata merangkumi sektor makanan dan minuman (F&B), kosmetik dan farmaseutikal hingga pelancongan, semua lapisan masyarakat belajar daripada satu sama lain dan bekerja untuk memperkayakan seluruh industri global tersebut.

“Ini adalah jenis kerjasama harmoni yang berakar umbi dalam kalangan rakyat Pulau Pinang. Di sini, umat Islam dan bukan Islam secara aktif bekerjasama dalam mencapai matlamat yang sama untuk mencapai keamanan dan kemakmuran.

“Dengan kerjasama yang positif ini, kerajaan negeri melihat industri halal di Pulau Pinang mencatat pertumbuhan yang mengagumkan. Dengan gabungan  ekosistem ekonomi, bakat manusia serta latar belakang cemerlang dalam pembuatan, logistik dan infrastruktur rantaian bekalan, saya yakin kita dapat menunjukkan potensi terbaik kita,” katanya.

PIHEC 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE sejak semalam hingga esok menghimpunkan pengilang dan pembeli dari seluruh Asia Tenggara dengan menyediakan 161 reruai pameran merangkumi pelbagai sektor perniagaan dalam industri halal.

Usahawan yang menyertai ekspo ini mampu memaksimumkan rangkaian mereka melalui padanan perniagaan PIHEC 2022 untuk mengenal pasti rakan perniagaan baharu yang berpotensi.

PIHEC 2022 turut menganjurkan persidangan mengenai penyelarasan perniagaan pascaCOVID-19 dengan para panel membincangkan pelbagai topik seperti adaptasi teknologi halal yang mampan, cabaran logistik disebabkan inflasi yang tinggi dan jaminan makanan global. 

Sumber: Bernama

Industri halal berpotensi besar tarik minat semua pihak – Chow


Content Type:

Duration:

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan S&P Global Malaysia yang diselaraskan secara bermusim mencatatkan 50.4 pada Jun, meningkat daripada 50.1 pada Mei, menandakan peningkatan yang agak kukuh namun masih sederhana, dalam sektor pembuatan.

Sektor pembuatan Malaysia menyaksikan keseluruhan keadaan operasi bertambah baik pada kadar sedikit lebih cepat pada pertengahan tahun 2022.

Tahap pengeluaran pula stabil buat kali pertama berikutan penurunan bulanan lima kali berturut-turut, manakala pesanan baharu melonjak untuk bulan ketiga walaupun hanya secara berperingkat.

Ketua Ekonomi Perniagaan S&P Global Market Intelligence Chris Williamson berkata pengilang Malaysia melaporkan pengakhiran yang stabil tetapi tidak mengagumkan pada suku kedua sambil menekankan bagaimana pemulihan ekonomi telah berkurangan sedikit berbanding permulaan suku berkenaan.

“Syarikat -syarikat melaporkan jualan eksport yang lembap dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap peningkatan kos sara hidup, terutamanya dari segi kenaikan harga tenaga dan bahan api.

“Kos input dan harga jualan purata kembali melonjak, sekali gus menunjukkan tekanan inflasi terus meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Beliau juga berkata walaupun terdapat berita baik dari segi beberapa kekangan bekalan yang menunjukkan tanda-tanda keredaan yang jelas dan ini sepatutnya membantu mengurangkan beberapa tekanan harga industri, tenaga global dan bekalan makanan telah menjadi sumber kebimbangan yang semakin meningkat.

Sementara itu menurut data terkini PMI, sektor pembuatan ASEAN mencatatkan peningkatan dalam persekitaran operasi pada bulan Jun.

Pertumbuhan dalam output/pengeluaran dan pesanan baharu lebih pantas berbanding tempoh tinjauan sebelumnya. Bagaimanapun, syarikat-syarikat pembuatan turut melaporkan penguncupan baharu dalam aktiviti pembelian dan pekerjaan.

PMI keseluruhan mencatatkan 52.0 pada Jun, turun sedikit daripada 52.3 pada Mei dan ini menandakan peningkatan keseluruhan yang kukuh dalam kesihatan sektor pembuatan ASEAN.

Sumber: Bernama

PMI Malaysia Jun lebih baik, tanda peningkatan dalam sektor pembuatan


Content Type:

Duration:

Farm Fresh Bhd bercadang untuk membeli tanah perindustrian pegangan bebas di Bandar Baru Enstek, Negeri Sembilan berharga RM18.24 juta.

Dalam pemaklumannya di Bursa Malaysia semalam, Farm Fresh berkata syarikat itu merancang untuk menggunakan tanah tersebut bagi membangunkan hab pembuatan baharu di wilayah tengah Semenanjung Malaysia yang lebih besar.

Menurut syarikat tenusu itu lagi, ia adalah bertujuan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran sedia ada kumpulan bagi produk tenusu dan berasaskan tumbuhan, serta penawaran produk baharu bersebelahan.

“Tanah itu terletak secara strategik di wilayah tengah Semenanjung Malaysia, yang akan membolehkan kumpulan itu meningkatkan kecekapan kosnya dengan mengurangkan kos pengangkutan, kerana hab pembuatan baharu itu akan lebih dekat dengan pelanggannya di Lembah Klang,” katanya.

Farm Fresh berkata, pengambilalihan tanah daripada THP Enstek Development Sdn Bhd itu dijangka siap dalam tempoh enam hingga sembilan bulan, dan akan dibiayai sepenuhnya daripada hasil tawaran awam permulaannya.

Saham dalam Farm Fresh ditutup satu sen atau 0.61% lebih rendah pada RM1.62 pada 30 Jun 2022, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran RM3.01 bilion.

Sumber: DagangNews.com

Farm Fresh mahu beli tanah di Negeri Sembilan jadi hab pembuatan baharu


Content Type:

Duration:

Pulau Pinang mencatatkan pelaburan pembuatan yang diluluskan berjumlah RM6.3 bilion pada suku pertama 2022, membuka jalan untuk menjadi antara penyumbang utama negara daripada segi jumlah aliran masuk pelaburan tahun ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

“Prestasi Pulau Pinang yang memberangsangkan itu adalah bukti ekosistem perindustrian kami yang berdaya tahan, meletakkan kami di barisan hadapan dalam perindustrian,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian kemudahan pembuatan Smith & Nephew di sini hari ini.

Chow berkata Pulau Pinang memperoleh rekod tertinggi sebanyak RM76.2 bilion dalam jumlah pelaburan pembuatan yang diluluskan pada 2021 dengan ketara melebihi prestasi tahun-tahun sebelumnya.

“Secara khususnya, pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang 98 peratus daripada jumlah aliran masuk pelaburan, menjadikan Pulau Pinang sebagai penerima FDI pembuatan tertinggi di Malaysia,” katanya.

Chow berkata Pulau Pinang daripada segi perdagangan ia berada di kedudukan teratas negara pada 2021 dengan nilai eksport tertinggi iaitu sebanyak RM354 bilion.

“Produk elektrik dan elektronik serta peranti perubatan merangkumi kira-kira 80 peratus daripada jumlah eksport Pulau Pinang tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata pembukaan kemudahan pembuatan pertama Smith & Nephew di Asia Tenggara di Pulau Pinang akan menjadikan negeri tersebut hab peranti perubatan di rantau ini.

“Dengan pendapatan global sebanyak AS$5.2 bilion (RM22.8 bilion) pada 2021, Smith & Nephew adalah antara 30 syarikat peranti perubatan terbesar di dunia,” katanya.

Syarikat tersebut adalah syarikat teknologi perubatan global terkemuka yang mempunyai kepakaran dalam ortopedik, perubatan sukan, telinga, hidung dan tekak serta subsegmen pengurusan berkaitan luka, katanya.

Beliau berkata pelaburan Smith & Nephew dijangka mewujudkan 800 pekerjaan bernilai tinggi pada tahun-tahun akan datang.

Sumber: Bernama

P. Pinang catat pelaburan pembuatan RM6.3 bilion pada suku pertama 2022


Content Type:

Duration:

Smith+Nephew, sebuah syarikat teknologi perubatan global, membuka kemudahan pembuatan berteknologi tinggi baharu di Taman Perindustrian Batu kawan, Pulau Pinang dengan pelaburan bernilai lebih US$100 juta (US$1=RM4.39).

Ia berkata kemudahan itu akan menyokong perniagaan ortopedik syarikat, yang dijangka berkembang dengan kukuh di rantau Asia Pasifik.

“Sehingga 800 pekerjaan tempatan baharu dalam pembuatan, kejuruteraan dan rantaian bekalan akan diwujudkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan beberapa jawatan penting telah diisi,” katanya dalam satu kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) hari ini.

Kemudahan baharu itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, dan yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Arham Abdul Rahman serta CEO Smith+Nephew Dr Deepak Nath.

Smith+Nephew berkata kemudahan pembuatannya itu adalah pendahulu dalam kemampanan dan mencapai matlamatnya untuk sifar sisa ke tapak pelupusan empat tahun lebih awal daripada sasaran serta diiktiraf oleh United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) dalam kategori Penanda Aras SDG 4: Sifar Sisa ke Tapak Pelupusan dan Pembakaran pada Disember 2021.

“Smith+Nephew juga menyediakan dermasiswa kepada pelajar dari Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang yang akan diambil bekerja dan dilatih sebagai juruteknik selepas tamat pengajian di syarikat itu,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata kemudahan itu merupakan usaha niaga pembuatan pertama syarikat itu di Asia Tenggara, menunjukkan kemampuan dalam menarik pengeluar peranti perubatan terkenal ke Malaysia.

“Kehadiran Smith+Nephew juga akan menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan dan ekosistem industri peranti perubatan kita dan mengukuhkan reputasi kami sebagai hab pembuatan teknologi perubatan yang ideal di ASEAN,” katanya.

Menurut kenyataan itu, MIDA telah meluluskan 38 projek pembuatan berkaitan peranti perubatan bernilai RM7.68 bilion, yang dijangka mewujudkan kira-kira 12,500 peluang pekerjaan kepada negara, pada 2021.

“Industri ini memberikan keyakinan dalam menjana pekerjaan berpendapatan tinggi, meningkatkan nilai eksport dan memperkukuh ekosistem rantaian bekalan domestik,” katanya.

Ia menambah bahawa Malaysia juga berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peranti perubatan di Asia sambil menempatkan lebih 200 pengeluar dengan lebih 30 syarikat multinasional peranti perubatan mengeluarkan peranti perubatan bernilai tambah tinggi.

Pengarah Urusan dan ketua tapak Smith+Nephew Operation Malaysia Sdn Bhd Mark Arthun berkata kemudahan itu dijangka membuat penghantaran pertamanya pada Julai untuk pasaran Amerika Syarikat (AS).

“Kami menjangkakan untuk membuat penghantaran pertama kami ke AS bulan depan dan kemudahan ini mewakili komitmen kami kepada Asia Pasifik, Malaysia, pelanggan kami dan pesakit mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian itu.

Beliau menambah, pembinaan kemudahan kira-kira 23,225.76 meter persegi itu bermula pada Mac 2020 dan siap tahun lepas.

Sementara itu, Nath berkata sejajar dengan tonggak Strategi Pertumbuhan syarikat yang diperbaharui untuk mengukuhkan asasnya, kemudahan itu akan membolehkan Smith+Nephew melayani pelanggan dan pesakit mereka secara mampan melalui pembuatan termaju.

“Ia juga merupakan bahagian penting dalam Strategi Pertumbuhan kami, meningkatkan kecekapan dan daya tahan serta menyokong tujuan Life Unlimited kami supaya pesakit di seluruh rantau ini dan seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan sepenuhnya,” katanya.

Smith+Nephew ialah syarikat teknologi perubatan yang diasaskan di Hull, United Kingdom pada tahun 1856, memfokuskan pada pembaikan, penjanaan semula dan penggantian tisu lembut dan keras.

Syarikat itu kini beroperasi di lebih 100 negara.

Sumber: Bernama

Smith+Nephew buka kemudahan pembuatan di Malaysia dengan pelaburan bernilai lebih US$100 juta


Content Type:

Duration:

Wiwynn Corporation, penyedia infrastruktur teknologi maklumat  pengkomputeran awan berpejabat di Taiwan bagi kemudahan pusat-pusat data skala hiper, akan menubuhkan sebuah fasiliti pembuatan papan litar bercetak dengan nilai pelaburan RM300 juta di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata kemudahan itu bakal mewujudkan kira-kira 1,100 peluang pekerjaan.

“Johor semakin menjadi kawasan khas untuk pelaburan pusat data di sebabkan negeri ini mampu memenuhi keperluan syarikat berteknologi tinggi bertaraf dunia, selain utiliti dan tanah yang mencukupi.

“Pelaburan Wiwynn dan kehadiran mereka di Johor, sekali lagi akan membawa pendedahan Johor ke peringkat antarabangsa untuk menarik lebih banyak pelaburan yang serupa atau berkaitan ke negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Lee menghadiri majlis pecah tanah bagi kemudahan tersebut di Senai Airport City di Kulai.

Beliau berkata kedudukan fasiliti berkenaan di Kulai yang berfungsi sebagai hab serantau Wiwynn di rantau Asia Pasifik, akan meletakkan Johor dalam peta global sebagai pangkalan pembuatan infrastruktur berkaitan pusat data.

Wiwynn bakal menggunakan teknologi Indeks Bangunan Hijau untuk membolehkan pembuatan pintar dan operasi yang mampan di negeri ini, kata Lee sambil menyatakan keyakinan ia akan menjadi penanda aras baharu dalam industri. 

Lee berkata Wiwynn turut merancang untuk bekerjasama dengan institut pengajian tinggi seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), termasuk menyediakan peluang latihan untuk graduan supaya dapat merealisasikan potensi mereka di negeri ini.

Katanya kerajaan negeri mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Perbandaran Kulai, Senai Airport City dan pihak lain berikutan usaha gigih untuk menjayakan pelaburan tersebut. 

“Ia benar-benar memberi inspirasi kepada kita bagaimana mereka dapat bekerjasama untuk memudahkan pelaburan lanjutan Wiwynn dalam tempoh yang begitu singkat.

“Secara keseluruhan, nilai pelaburan Wiwynn di Johor berjumlah RM500 juta, mewujudkan 1,600 peluang pekerjaan untuk Bangsa Johor,” katanya.

Pada 20 Dis tahun lepas, Wiwynn dilaporkan akan memajukan tanah seluas 4.806 hektar di Senai yang menempatkan kilang rak khidmat pelayan bersepadu di Johor dengan pelaburan bernilai RM200 juta dan mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama

Wiwynn labur RM300 juta bina fasiliti pembuatan papan litar bercetak di Johor


Content Type:

Duration:

Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada Ahad mengumumkan perancangan pembangunan Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) Fasa Dua.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata projek di kawasan seluas lebih 339.93 hektar di Bukit Kayu Hitam yang diterajui NCIA itu dijangka bermula pada suku keempat 2022 dan siap sepenuhnya untuk pelabur menjelang 2024.

“Perjanjian kerjasama ini akan menyaksikan NCIA membangunkan infrastruktur dan terus memberi sokongan ke atas projek yang akan menarik pelabur bernilai tinggi ke negeri ini.

“NCIA juga akan bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan antaranya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) bagi mempromosikan KSTP serta mengalu-alukan pelabur domestik dan asing dalam bentuk skala besar dan sederhana,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, beliau menyaksikan pertukaran dokumen Perjanjian Kerjasama Pembangunan Fasa Dua KSTP antara Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNK Datuk Syed Yussof Syed Othman.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya berharap kerjasama itu dapat mempercepat pembangunan sektor-sektor yang boleh membantu memulihkan ekonomi negeri selepas terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri dan NCIA untuk menjadikan Kedah sebagai hab  penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersialan (R&D&C) dan pembuatan. Adanya KSTP ini, ia akan mengukuhkan lagi daya tarikan Kedah kepada pelabur,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Haris berkata fasa dua KSTP akan memfokuskan kluster pelaburan bagi sektor agromakanan, bioteknologi dan teknologi nano.

“Kita sudah ada nama-nama besar pelabur yang berminat, tunggu kita akan umumkan nanti. Fasa satu projek berkenaan di kawasan seluas 97.12 hektar yang diterajui PKNK telah siap sepenuhnya pada Sept tahun lalu dan akan ada fasa ketiga di kawasan seluas lebih 311.60 hektar yang melibatkan pembangunan masa hadapan,” katanya.

Secara keseluruhan KSTP dijangka mampu mencapai pelaburan bernilai RM12.9 bilion dan mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan dengan kawasan keseluruhan seluas lebih 749.07 hektar dijangka terus memacu dan melonjakkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) sebagai destinasi pelaburan pilihan di Malaysia.

Sumber: Bernama

NCIA, PKNK umum perancangan pembangunan KSTP Fasa Dua


Content Type:

Duration:

Industri biokomposit di Malaysia kini berkembang pesat dengan negara mencatatkan nilai eksport sebanyak RM4.3 bilion atau 19 peratus daripada RM22.74 bilion bagi keseluruhan jumlah eksport kayu pada tahun lepas.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (gambar) berkata antara negara pengeksport utama produk biokomposit yang terdiri daripada papan lapis, venir dan papan gentian ialah Amerika Syarikat, Jepun, China dan Singapura. 

“Setakat ini, terdapat 176 kilang papan lapis, masing-masing tujuh kilang papan serpai dan papan gentian serta tiga kilang komposit plastik kayu (WPC) di seluruh negara bagi menghasilkan bahan mentah biokomposit terutamanya dalam sektor perabot dan pembinaan.

“Di peringkat global pula, negara menduduki tempat kelima sebagai pengeksport papan lapis dan tempat ke-17 untuk papan gentian dan ke-29 untuk papan serpai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembinaan kios daripada WPC di sini hari ini.

Beliau berkata pasaran WPC disasarkan untuk mencatatkan pertumbuhan mampan dalam tempoh lima tahun akan datang di peringkat global didorong oleh peningkatan segmen pembinaan dan bangunan terutamanya di Amerika Utara dan Eropah.

Katanya segmen itu dijangka menjadi pengguna terbesar WPC dan sektor automotif untuk komponen automotif ringan.

“Pengguna juga telah mula menggunakan WPC bertujuan memelihara alam sekitar berikutan ia diperbuat daripada bahan kitar semula,” katanya.

Optimis WPC menjadi tumpuan negara pengimport seiring dengan peningkatan permintaan terhadap produk kayu mesra alam dari negara maju, Wee berkata lebih banyak inisiatif perlu dilaksanakan bagi memperkenalkan produk kayu ke pasaran global.

Produk WPC adalah produk alternatif kayu bercirikan hijau dan mesra alam serta dihasilkan daripada dua bahan utama iaitu gentian semula jadi dan plastik termasuk sisa pertanian, sisa perindustrian kayu atau hutan asli seperti kelapa sawit dan serbuk kayu.

Dalam pada itu, beliau berkata Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama syarikat swasta akan membangunkan rumah FAST (Mesra, Mampu Milik, Sistem, Teknologi) daripada produk biokomposit yang mempunyai ciri-ciri kalis air, tahan lasak dan tidak mudah diserang anai-anai.

Menurutnya, pada peringkat permulaan, rumah dengan anggaran nilai RM70,000 hingga RM100,000 seunit itu akan dibina di Pahang terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke negeri lain.

Dalam perkembangan lain, Wee berkata kerajaan sentiasa memantau dan melihat situasi semasa bagi menstabilkan harga sawit di pasaran dan harga buah tandan segar sehingga 22 Jun turun kepada RM1,000 satu tan metrik.

“Kelapa sawit bergantung kepada permintaan dan penawaran pasaran antarabangsa. Kerajaan berusaha untuk meningkatkan harga terutamanya di lapangan. Saya yakin jika kerajaan dapat menstabilkan harga di lapangan, ia akan membantu pekebun kecil,” katanya. 

Sumber: Bernama

Nilai eksport biokomposit negara catat RM4.3 bilion tahun lepas


Content Type:

Duration:

Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur terutamanya dari luar negara untuk membuka kilang pemprosesan rumpai laut di negeri itu, seterusnya memajukan industri berkenaan sebagai pemangkin kemajuan ekonomi tempatan.

Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim berkata industri rumpai laut di Sabah adalah amat berpotensi dengan meraih pendapatan bagi rumpai laut mentah sehingga RM50 juta sehingga RM60 juta setahun dan pengeluaran sekitar 18,000 tan metrik setahun, sejak tiga tahun lepas.

“Ini data semasa rumpai laut kering yang kita ambil. Data ini (pendapatan) boleh meningkat sehingga tiga hingga empat kali ganda jika rumpai laut itu dapat kita proses dan eksport,” katanya dalam temubual dengan Bernama.

Beliau berkata, ketika ini komoditi dalam bentuk mentah dan kering itu dieksport ke China, Jepun, Filipina dan Indonesia yang memberi manfaat kepada kira-kira 1,200 pengusaha di Semporna, Kunak, Lahad Datu dan Tawau.

Mengulas selanjutnya, Azhar berkata Sabah diintai oleh dua pelabur berpotensi dari China dan Semenanjung Malaysia yang mempunyai usaha sama dengan pelabur Eropah untuk melabur dalam industri rumpai laut di negeri berkenaan.

Katanya pelabur berkenaan kini membuat kajian dari segi kebolehlaksanaan pembangunan industri itu termasuk jumlah rumpai laut yang boleh diperolehi.

“Mereka telah berhubung dengan jabatan (perikanan). Jadi, hasrat mereka adalah cuba membuka kilang atau ambil alih kilang yang sudah sedia ada atau kilang yang ditutup untuk mereka cuba bangunkan.

“Perkara ini masih di peringkat penelitian dan kita memang memberi kerjasama kepada pelabur berminat. Memang harapan kita untuk pelabur buka kilang…ada pelabur yang berbincang dengan pihak kita, menyatakan mahu membuka kilang yang besar di satu daerah,” katanya. 

Menurut Azhar pewujudan kilang pemprosesan rumpai laut itu akan memberi nilai tambah, sekali gus membangunkan industri berasaskan komoditi berkenaan di Sabah dan menyumbang pendapatan tambahan kepada ekonomi negara.

“Kalau kilang ini dapat menghasilkan untuk serbuk karaginan separa bertapis dan lebih baik, karaginan bertapis, itu cukup bagus kerana eksport rumpai laut kita telah ada nilai tambah. 

“Sebanyak 90 peratus kegunaan rumpai laut adalah untuk industri seperti farmaseutikal dan kosmetik.Hanya sedikit untuk industri makanan,” katanya sambil menambah pewujudan kilang itu akan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Sumber: Bernama

Sabah mahu menarik lebih ramai pelabur buka kilang proses rumpai laut


Content Type:

Duration:

Syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sarawak perlu mengambil peluang yang dijana di bawah inisiatif Rangka Tindakan Industri OGSE Kebangsaan 2021-2030 untuk menawarkan produk bernilai tinggi dan lestari, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata 88 peratus syarikat minyak dan gas di Malaysia kini telah membangunkan struktur tadbir urus lestari mereka dalam memastikan pelaksanaan strategi serta amalan perniagaan yang mampan. 

“Syarikat OGSE di Sarawak harus memanfaatkan peluang ini terutama dengan adanya geran pembangunan OGSE, promosi eksport serta pembangunan modal insan. Pada masa yang sama, mereka harus mengamalkan standard kesihatan, keselamatan dan persekitaran tertinggi dengan menggabungkan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya semasa ucapan penutup di Sarawak OGSE Roadshow 2022 di sini hari ini.

Ketika Sarawak bergerak ke arah masa depan karbon rendah dengan hidrogen yang boleh diperbaharui serta kesedaran yang lebih besar mengenai isu-isu hijau, beliau menekankan komitmen negeri untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada gabungan kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui menjelang 2030. 

Dalam acara yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Sarawak telah menunjukkan bahawa ia sedang menerajui agenda tenaga boleh diperbaharui negara.

Menurut Mustapa, penubuhan Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri itu mencerminkan komitmen Sarawak bagi mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) Sarawak amat menekankan kelestarian alam sekitar untuk mencapai peralihan tenaga melalui peluang dalam tenaga boleh diperbaharui,” katanya. 

PCDS 2030 adalah penting untuk menangani perubahan iklim dalam mencapai pembangunan sosio-ekonomi yang mampan melalui penciptaan peluang baharu yang bernilai tinggi selain bertujuan menjana pendapatan. 

Acara itu juga menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas), PTTEP HK Offshore Ltd dan Sarawak Shell Bhd untuk projek Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES), satu lagi pencapaian penting bagi Sarawak ke arah menjamin bekalan gas yang mampan untuk pasaran industri dan domestik. 

Turut hadir adalah Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Dr Hazland Abang Hipni, Pengerusi Petroleum Sarawak Bhd Tan Sri Hamid Bugo dan Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corp Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus.

Sumber: Bernama

Firma Sarawak diseru ambil peluang daripada rangka tindakan OGSE Kebangsaan


Content Type:

Duration:

Pameran Hibrid Peralatan Mesin, Kerja Logam & Teknologi Automasi Antarabangsa ke-26 (Metaltech & Automex 2022) akan terus menyokong matlamat kerajaan untuk membangunkan industri jentera dan peralatan Malaysia bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata sebagai salah satu sektor paling inovatif dalam ekonomi, beliau berharap industri jentera dan automasi akan terus berdaya saing di peringkat global, disokong oleh pelbagai inisiatif yang dipertingkatkan oleh kerajaan di tengah-tengah kelemahan ekonomi yang disebabkan pandemik COVID-19.

“Elemen inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga telah diserapkan secara berterusan ke dalam perniagaan daripada semua spektrum sebagai keperluan yang semakin berkembang yang boleh memacu penciptaan nilai jangka panjang, menggalakkan amalan perniagaan yang mampan dan menarik lebih ramai pelabur yang berdaya maju.

“Sehubungan itu, jentera dan automasi hari ini harus memanfaatkan teknologi yang bukan sahaja memfokuskan pada produktiviti dan kecekapan tetapi juga perlu condong kepada penyelesaian yang bersih dan cekap tenaga,” katanya pada majlis perasmian Metaltech & Automex 2022 hari ini. Acara berlangsung dari 22-25 Jun, 2022.

Lim berkata sektor itu, yang diwakili lebih 2,000 syarikat dengan 90,000 pekerja di negara ini, telah meningkatkan rantaian nilainya dengan mengalihkan tumpuannya bagi memasukkan bidang teknologi tinggi yang menghasilkan produk bernilai tambah tinggi dan khusus.

Beliau juga berkata kerajaan juga akan meneruskan perjanjian perdagangan bebas berkualiti tinggi untuk memberi manfaat bersama kepada industri dan pelabur dari segi pengurangan sekatan tarif dan kemudahan perdagangan yang dipertingkatkan.

Malaysia katanya, kini merupakan pengeluar utama peralatan proses dan automasi khusus untuk industri elektrik dan elektronik di rantau ini.

Jumlah pelaburan yang direalisasikan dalam jentera dan peralatan domestik sejak 1980-an berjumlah RM33.9 bilion sehingga hari ini, katanya.

Tahun lepas, sebanyak 42 projek jentera dan peralatan diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM1.6 bilion, dan dijangka menjana 2,268 pekerjaan, katanya.

Dari segi perdagangan, produk jentera dan peralatan merupakan eksport ketujuh terbesar Malaysia, mewakili empat peratus daripada jumlah nilai eksport.

Eksport jentera dan peralatan mencatatkan peningkatan 25.7 peratus pada 2021, dengan nilai eksport RM49.6 bilion berbanding RM39.5 bilion pada 2020.

Lim berkata peningkatan ketara itu disokong oleh peningkatan dalam permintaan bagi jentera khusus untuk menyokong pembuatan semikonduktor.

Sementara itu, Pengerusi Metaltech & Automex 2022 Datuk Tan Chin Huat memberitahu pemberita bahawa acara itu tepat pada masanya kerana kekurangan buruh telah menjana permintaan untuk mesin dan automasi.

“Kami menjangkakan lebih banyak petunjuk jualan semasa acara empat hari ini dengan lebih 20,000 pelawat perdagangan.

“Ramai yang datang ke acara itu untuk menjadi pengunjung terawal dan memastikan pesanan mereka dihantar bagi memenuhi permintaan pelanggan; jika tidak, mereka mungkin perlu menunggu lebih lama kerana kekurangan komponen elektrik dan tenaga kerja,” kata Tan.

Selain pertemuan bersemuka, seminar dan ceramah, acara itu menghimpunkan hampir 300 peserta pameran, termasuklah dari Korea Selatan, Jerman, India, China dan Singapura.

Sumber: Bernama

Industri automasi, jentera komited pada agenda kemampanan kerajaan – MITI


Content Type:

Duration:

Nilai pelaburan sektor pembuatan di Johor berjumlah RM2.237 bilion bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, peningkatan hampir 30 peratus berbanding RM1.705 billion bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor Lee Ting Han berkata nilai pelaburan sektor perkhidmatan bagi tempoh sama pula adalah RM23 juta.

“Bagaimanapun, sektor perkhidmatan bagi tempoh sama tahun lepas adalah RM39 Juta,” katanya ketika menggulung perbahasan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata statistik itu menunjukkan trend positif sekali gus memperlihatkan usaha berterusan kerajaan pimpinan bekas Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad yang telah menyediakan satu asas kukuh untuk kerajaan hari ini menggandakan lagi usaha menarik pelaburan ke Johor. 

Lee berkata Johor mempunyai kelebihan berhubung sektor ekonomi apabila negeri ini mempunyai eko-sistem pelaburan, termasuk bagi sektor pembuatan, perkhidmatan serta sektor utama yang lengkap selain kestabilan politik yang amat dipandang serius para pelabur kerana ia berkaitan polisi kerajaan.

“Johor ada pembangunan minyak dan gas secara besar-besaran di Pengerang yang telah mewujudkan rantaian bekalan berkaitan industri itu, termasuk pembangunan industri berasaskan petrokimia di Pengerang dan juga Tanjung Langsat di Pasir Gudang. 

“Bagi sektor digital pula, kami sedang giat menarik pelaburan pusat data ke negeri ini supaya rantaian bekalan dapat diwujudkan kemudiannya selepas pembangunan infrastruktur asas, kami juga akan berusaha ke arah meningkatkan perkhidmatan digital,” katanya.

Tambahnya Johor turut memperkasa ekonomi di kawasan luar wilayah Iskandar Malaysia dengan pelaksanaan projek pemangkin seperti Taman Perabot Muar, Maharani Energy Gateway, Hab Pendidikan Pagoh, Hab Pertanian dan Industri Asas Tani Segamat serta Hab Ekonomi Kreatif Kluang.

Sumber: Bernama

Nilai pelaburan sektor pembuatan Johor berjumlah RM2.237 bilion dari Jan-Mac


Content Type:

Duration:

FELCRA Berhad melalui anak syarikatnya FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) membangunkan sebuah kilang memproses Santan Sawit jenama SURI dengan kos RM3.5 juta.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kilang pengeluaran secara komersial di Changkat Jong di sini itu mampu menghasilkan 60 tan metrik santan sawit sebulan.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, FELCRA mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama. 

“Pengeluaran santan sawit oleh FELCRA ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kompleks Industri FELCRA Processing & Engineering Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FELCRA Berhad Datuk Mat Roni Zakaria, Pengerusi FPESB Datuk Abdul Shukur Idrus dan Ketua Pegawai Eksekutif FPESB Wan Ramlan Wan Abdullah.

Mahdzir berkata pembinaan kilang pengeluaran santan sawit itu juga sebahagian daripada inisiatif FELCRA Berhad dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Katanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan geran RM3 juta menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi membina kilang tersebut manakala baki kosnya menggunakan sumber dalaman FPESB.  

“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran lebih tinggi dan kilang beroperasi sepenuhnya automatik,” katanya.

Kilang seluas lebih 4,000 meter persegi itu mula beroperasi pada Selasa lepas dengan keupayaan memproses 2.8 tan metrik santan sawit sehari.

Ia menggantikan kilang lama yang hanya mampu menghasilkan santan sawit 1.7 tan metrik sehari atau 30 tan metrik sebulan.

Setakat ini, produk Santan Sawit Suri mempunyai lima Pengedar Utama dan dipasarkan di 40 lokasi pasar raya dan peniaga individu di Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Pahang.

“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran sekali gus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus”, katanya.

Sementara itu, Wan Ramlan berkata kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang dijalankan bagi menghasilkan santan sawit dalam bentuk kotak bagi pasaran antarabangsa.

“Walaupun kualiti produk ini sudah baik tetapi kajian masih dijalankan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk memastikan keluaran produk berkualiti dan tahap lebih baik termasuk perubahan dari segi bentuk pembungkusan dari plastik kepada dalam kotak,” katanya.

Sumber: Bernama

FELCRA peruntuk RM3.5 juta perkasa industri santan sawit


Content Type:

Duration:

Persidangan utama industri semikonduktor dan mikroelektronik di rantau ini, SEMICON Southeast Asia 2022 menonjolkan kepentingan industri elektrik dan elektronik (E&E) di Malaysia serta Asia Tenggara secara lebih meluas. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Semiconductor Equipment & Materials International (SEMI) Ajit Manocha berkata industri semikonduktor telah berjaya menangani dan menunjukkan pertumbuhan yang kukuh walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.

SEMI merupakan penganjur persidangan itu.

“Pengajaran yang paling penting daripada pandemik ini adalah betapa pentingnya semikonduktor untuk semua aspek kehidupan.

“Pemecutan dalam transformasi digital serta penumpuan AI (kecerdasan buatan), IoT (Internet Pelbagai Perkara), AR/VR (realiti maya), pengkomputeran kuantum, mesin autonomi dan banyak lagi teknologi baru muncul akan menyentuh hampir setiap pasaran akhir, menghasilkan peluang yang besar kepada industri semikonduktor,” katanya dalam ucapan alu-aluannya di SEMICON Southeast Asia 2022 di sini hari ini.

Bertemakan ‘Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia’, acara tiga hari bermula hari ini akan menghimpunkan pakar industri bagi mendapatkan pandangan kritikal mengenai ekosistem semikonduktor, peluang perniagaan baharu dan kerjasama. 

Sementara itu, CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Arham Abdul Rahman berkata pendigitalan dan permintaan pengguna yang semakin meningkat untuk elektronik akan mendorong perubahan berterusan pada tahun-tahun akan datang kerana peluang itu tidak terbatas. 

“Seperti yang dirangkakan dalam Aspirasi Pelaburan Negara, terdapat lebih banyak ruang untuk kita berkembang. 

“Membangunkan kluster dan inovasi baharu dalam bidang sedia ada akan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, mengembangkan rantaian bekalan serantau serta global dan meningkatkan usaha kita dalam membangunkan sosio-ekonomi,” katanya.

SEMICON Southeast Asia 2022 dijangka menarik lebih daripada 10,000 hadirin selain menampilkan dua pavilion bertema, dua pavilion global, pembentangan utama dan pelbagai forum teknologi untuk menangani trend serta isu-isu penting dalam rantaian bekalan pembuatan elektronik.

Sumber: Bernama

SEMICON Southeast Asia 2022 tonjol kepentingan industri E&E di rantau ini


Content Type:

Duration:

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) kini sedang menjalankan penilaian terperinci ke atas Maleic Anhydride (MAn) yang dijangka siap pada suku pertama 2023 manakala tertakluk kepada kelulusan akhir, loji MAn itu disasarkan siap pada separuh pertama 2025.

Pengeluar bahan kimia bersepadu terkemuka itu dalam satu kenyataan berkata, baru-baru ini ia telah menandatangani perjanjian dengan syarikat usaha samanya (JV), BASF Petronas Chemicals Sdn Bhd (BPC), untuk mengambil alih loji 113 kilo-tan setahun (ktpa) Maleic Anhydride yang terletak di Gebeng, Kuantan.

Loji MAn ditutup oleh BPC sebelum ini berikutan langkah penjajaran semula portfolio produk yang membawa kepada penutupan kekal loji Butanediol (BDO) dan derivatifnya.

Dengan pengambilalihan itu, PCG akan menggunakan semula loji tersebut dengan memperbaharui dan menaik taraf kemudahan berkenaan untuk menghasilkan MAn yang berkualiti tinggi agar lebih sesuai untuk industri makanan dan farmaseutikal.

“Kemudahan bersepadu kami sekarang akan memastikan bekalan bahan mentah (feedstock) yang kompetitif dan terjamin ke loji.

“Di samping itu, kedekatan loji dan pasaran sasaran kami yang dikenal pasti di benua kecil Asia Pasifik dan India akan membolehkan kami menawarkan harga yang kompetitif kepada pelanggan kami,” kata Pengarah Urusan da Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Pengambilalihan ini akan membolehkan PCG meluaskan portfolio produk terkini dan mengukuhkan tumpuannya untuk mempelbagaikan ke dalam derivatif dan bahan kimia yang berbeza.

Sumber: Bernama

Petronas Chemicals bakal hasilkan Maleic Anhydride


Content Type:

Duration:

ChemOne Group mengumumkan bahawa projek Kompleks Tenaga Pengerang (PEC) dijangka menerima kemudahan jaminan eksport kira-kira US$2.4 bilion (US$1=RM4.40) pada akhir tahun ini. 

Dalam kenyataan hari ini, ChemOne, yang merupakan pemaju utama projek itu, berkata PEC akan menyelesaikan penutupan kewangannya pada akhir 2022 mengikut terma dan jadual pembiayaan yang dipersetujui dengan agensi kredit eksport terkemuka global.

“Dijadualkan untuk memulakan pembinaan pada suku keempat tahun ini, kemudahan PEC bernilai US$4.4 bilion itu akan ditempatkan di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), Johor, terletak di tengah-tengah untuk mengakses sumber stok suapan antarabangsa teras dan membekalkan pusat permintaan produk utama di Asia,” menurut ChemOne, konglomerat petrokimia, tenaga hijau dan sumber asli yang berpangkalan di Singapura.

PEC dibina untuk mengoptimumkan kecekapan tenaga, meminimumkan saiz peralatan dan mengurangkan jejak karbon dengan ketara dan dibangunkan sejajar dengan standard prestasi International Financial Corporation dan Equator Principles 4.

Menurut kumpulan itu, PEC juga telah memperoleh komitmen pengambilalihan jangka panjang daripada penggiat tenaga berkualiti tinggi dalam industri untuk semua produknya.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ChemOne Group M. Y. Ling berkata melalui PEC, ChemOne menyasarkan untuk mewujudkan kompleks aromatik terkini yang mampan dan cekap tenaga di Asia Tenggara untuk memberikan perkhidmatan kepada pasaran Asia yang luas.

Katanya pembiayaan hutang kanan untuk projek itu, dianggarkan kira-kira US$2.9 bilion, turut dilancarkan dalam bulan ini dan dijangka selesai dalam tempoh enam minggu.

PEC dijangka akan memuktamadkan beberapa perjanjian utama dengan rakan industri yang menyertai projek itu, bersama dengan usaha sama dan rakan kongsi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian, kumpulan Maire Tecnimont S.p.A dari Itali.

PEC telah menganugerahkan kontrak pelesenan teknologi kepada Honeywell UOP untuk projek tersebut, yang akan menggabungkan teknologi LD Parex generasi terkini Honeywell UOP.

“Teknologi pemprosesan aromatik termaju Honeywell UOP terkemuka di pasaran akan menghasilkan penggunaan tenaga yang berkurangan, pengeluaran aromatik yang maksimum, kos modal dan tenaga yang rendah dan fleksibiliti stok suapan yang lebih luas, membolehkan loji PEC menjadi antara kemudahan paling canggih, cekap tenaga dan karbon,” katanya.

Projek itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026 dan mampu memproses 150,000 tong sehari (bpd) kondensat dan suapan sampingan nafta, yang sekali gus menghasilkan aromatik sebanyak 2.3 juta tan metrik setahun (mmtpa), output produk tenaga sebanyak 3.9 mmtpa dan hidrogen sebanyak 50,000 tan metrik setahun (mtpa). 

Pemisah kondensat akan menghasilkan nafta berat, stok suapan utama untuk kilang aromatik dan hidrogen yang dihasilkan dirancang digunakan untuk membangunkan kemudahan bahan api boleh baharu hiliran di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengerang Energy Complex Sdn Bhd Alwyn Bowden berkata kemajuan ketara yang dilihat untuk projek itu, terutamanya adalah dalam tempoh enam bulan lepas.

“Dengan pembukaan pasaran serantau, kami berharap untuk mendapat momentum yang lebih baik berikutan kami akan memulakan pembinaan.

“Perjanjian yang dimeterai setakat ini menunjukkan keyakinan pihak berkepentingan kami yang tinggi terhadap projek itu.

“Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami menjangka akan memuktamadkan rundingan dan menandatangani perjanjian dengan syarikat tenaga terkemuka global dan syarikat minyak untuk stok suapan dan pengeluaran,” katanya.

PEC menjangka perolehan eksport tahunan sebanyak US$5 bilion, mendorong Malaysia untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor petrokimia.

Ia dirancang untuk menerima bekalan stok suapan jangka panjang daripada syarikat minyak utama antarabangsa manakala penggiat petrokimia Eropah, Amerika, Jepun, China dan Thailand yang terkemuka komited untuk mengambil alih produk tersebut.

Dalam fasa pembinaan selama 45 bulan, PEC dijangka mengambil lebih 7,000 pekerja dan dijangka mengekalkan lebih 200 pekerja untuk operasi dan penyelenggaraan apabila pengeluaran komersial bermula.

Sumber: Bernama

PEC dijangka terima pembiayaan US$2.4 bilion pada akhir tahun, kata ChemOne


Content Type:

Duration:

Pelaburan sebanyak RM130 juta untuk membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette Singapore dengan pensijilan halal di Taman Teknologi Nusajaya (NTP), Iskandar Puteri selari dengan hasrat kerajaan Johor untuk memperkasakan industri halal di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata ini kerana Johor mempunyai pasaran makanan halal global yang cukup besar iaitu melebihi US$2 trilion.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu secara langsung, kami yakin pelaburan ini akan turut memberi nilai tambah dan menarik industri atau syarikat lain yang berdekatan atau bersekutu ke Johor di samping membina ekosistem rantaian bekalan untuk perusahaan kecil dan sederhana,” katanya di laman Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata pelaburan itu membuktikan bahawa negeri ini mempunyai kelebihan dari segi lokasi yang strategik dan infrastruktur yang baik, termasuk pelabuhan serta lapangan terbang yang dapat menyokong perkembangan sesuatu perniagaan ke rantau ini.

Malah menurutnya, Johor juga mempunyai sumber manusia yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, persekitaran politik yang stabil serta usaha kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah kepada pihak yang bertungkus-lumus untuk membawa pelaburan ini ke Johor, termasuk Invest Johor, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan sebagainya.

“Pelaburan ini tidak akan tercapai tanpa usaha gigih dan kerjasama semua,” katanya. 

Hari ini, dilaporkan bahawa Paris Baguette yang dimiliki oleh firma Korea Selatan, SPC Group, akan melabur sebanyak RM130 juta untuk membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette dengan pensijilan halal di Johor.

SPC dalam kenyataan memaklumkan pembinaan pusat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan beroperasi pada Jun 2023 selain menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu.

Pusat yang dibangunkan di tapak berkeluasan 16,500 meter persegi itu akan mengeluarkan kira-kira 100 produk bakeri seperti roti, kek dan pencuci mulut yang dibekalkan ke pelbagai cawangan Paris Baguette di negara-negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Sumber: Bernama

Pelaburan RM130 juta bangunkan pusat pengeluaran bakeri sejajar dengan hasrat Johor perkasa industri halal – Exco


Content Type:

Duration:

Paris Baguette Singapore yang dimiliki oleh firma Korea Selatan, SPC Group, akan melabur sebanyak RM130 juta bagi membangunkan pusat pengeluaran bakeri dan pengedaran pertama Paris Baguette dengan pensijilan halal di Johor.

Dalam kenyataan hari ini, SPC berkata pembinaan pusat berkenaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan beroperasi pada Jun 2023 selain menyediakan kira-kira 100 peluang pekerjaan baharu.

“Pusat SPC yang berpangkalan di Johor itu akan mengeluarkan kira-kira 100 produk bakeri seperti roti, kek dan pencuci mulut yang dibekal ke pelbagai cawangan Paris Baguette di negara-negara Asia Tenggara termasuk Singapura, Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

“Kemudahan itu akan turut berperanan sebagai hab pengeluaran dan pengedaran bagi tujuan pembekalan ke pasaran halal di masa depan seperti di negara-negara Timur Tengah,” katanya.

Pengerusi SPC Group Huh Young-in berkata pusat itu akan menjadi asas bagi pengembangan perniagaan syarikat itu di Asia Tenggara selain membantu dari segi menembusi pasaran Timur Tengah.

“SPC Group juga berharap untuk turut sama menyumbang kepada pasaran makanan halal global yang luas  dengan potensi nilainya melebihi US$2 trilion.

“Kemudahan baharu di Johor itu berkeluasan 16,500 meter persegi dan terletak di Taman Teknologi Nusajaya (NTP).

“Malah, NTP merupakan sebuah lokasi strategik dengan pelbagai akses ke lapangan terbang dan pelabuhan antarabangsa di Singapura mahu pun Malaysia yang menghubungkan semua bandar-bandar utama di Asia selain dapat menyokong usaha pengembangan perniagaan di Asia Tenggara dan Timur Tengah,” katanya.

Huh berkata, selain faktor lokasi yang strategik dan dasar-dasar yang mesra perniagaan, Malaysia juga merupakan sebuah destinasi pelaburan bagi SPC Group berikutan landskap halal yang terdapat di negara ini.

Menurutnya, syarikat terbabit juga akan terus melabur secara agresif bagi mempercepat usaha pengembangannya di peringkat global.

SPC Group juga menyasarkan untuk membina sebuah pusat pengeluaran dan pengedaran tambahan global di Malaysia.

Selain itu, syarikat tersebut akan turut memanfaatkan pensijilan halal berkenaan dengan menumpukan pasaran Muslim yang mewakili kira-kira 24 peratus atau 1.9 bilion daripada jumlah penduduk dunia.

Sumber: Bernama

Firma Korea Selatan SPC Group bina hab bakeri halal RM130 juta di Johor


Content Type:

Duration:

Pembuat automotif dan pengawal selia perlu bekerjasama untuk mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk penggunaan kenderaan elektrik (EV).

Menurut Hexagon Manufacturing Intelligence yang membantu sektor pembuatan perindustrian membangunkan teknologi, dorongan untuk penggunaan EV perlu disokong oleh advokasi industri dan pendidikan yang merangkumi bukan sahaja pembuat automotif tetapi pengawal selia, penggubal dasar dan pengguna.

Pengurus Besar Hexagon Manufacturing Intelligence bagi rantau Asean dan Pasifik, Terrence Lim dalam satu kenyataan hari ini berkata pembuat automotif, pengawal selia dan peneraju industri berkaitan harus mengadakan perbincangan mengenai cabaran yang mereka hadapi, mengadakan sesi libat urus antara satu sama lain dan bekerjasama untuk berkongsi amalan terbaik industri.

“Perjalanan ke arah elektrifikasi tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” kata Lim.

Beliau berkata dengan pasaran EV diunjurkan mencecah jualan global sebanyak AS$34.7 juta menjelang 2030, penganalisis industri menganggarkan menjelang tahun 2040, kereta elektrik akan mengatasi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Jualan EV telah meningkat tiga kali ganda, sebanyak sembilan peratus daripada semua kereta yang dijual adalah elektrik pada 2021 berbanding 2.5 peratus pada 2019, katanya.

Lim berkata di seluruh dunia, jenama terkemuka dalam industri automotif melabur dalam bidang elektrifikasi antaranya ialah Volkswagen dari Jerman, Honda (Jepun) dan Ford (Amerika Syarikat).

Syarikat pemula niaga dan teknologi dari Silicon Valley, United Kingdom dan China sedang menembusi pasaran EV kerana mereka untuk menerima pendigitalan dan keupayaan automasi , katanya.

Menurutnya, ramai yang sanggup menukar kenderaan ICE mereka kepada kereta elektrik atau hibrid, apabila kesedaran tentang perubahan iklim dan kesan alam sekitar semakin meningkat.

Sehubungan itu, persaingan untuk menerima pakai 100 peratus automotif mesra alam sekitar harus dipercepatkan dengan menggunakan perspektif global Hexagon dan pemahaman menyeluruh mengenai pembangunan dan pembuatan automotif untuk menetapkan penanda aras yang lebih tinggi.

“Matlamat kami adalah untuk membantu pengeluar bangkit dalam memenuhi revolusi e-mobiliti, menjadikan peralihan pasaran automotif mesra alam sekitar berkesan dan mencapai matlamat 100 peratus EV dengan lebih cepat.

“Kami menawarkan industri pendekatan bersepadu untuk menambah baik, mempercepatkan dan memudahkan pembangunan EV, teknologi peralihan hibrid dan model tenaga automotif mesra alam sekitar.

“Justeru, apabila mobiliti berkembang untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah hari ini, keupayaan untuk menyesuaikan dan menyampaikan inovasi yang berkaitan dengan cepat, mampan, dengan harga berpatutan dalam cara yang selamat akan menjadi faktor kejayaan yang penting,” katanya.

Sumber: Bernama

Pembuat automotif, pengawal selia harus bekerjasama bagi jayakan penggunaan kenderaan elektrik


Content Type:

Duration:

wpChatIcon