Berita Industri Archives - Page 13 of 29 - MIDA | Malaysian Investment Development Authority
B. Melayu
contrastBtngrayscaleBtn oku-icon

|

plusBtn crossBtn minusBtn

|

This site
is mobile
responsive


KGB dapat kontrak bina kemudahan semikonduktor

Kelington Group Bhd (KGB) memperoleh kontrak bernilai RM114 juta bagi membina kemudahan pengeluaran pembuatan.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, KGB berkata anak syarikatnya, Kelington Technologies Sdn Bhd (KTSB) semalam memeterai kontrak pembinaan dengan pengeluar elektronik dan semikonduktor multinasional Perancis-Itali, untuk mereka bentuk dan membina sebuah bangunan baharu merangkumi kawasan pengeluaran, kilang utiliti elektrik dan mekanikal serta bangunan letak kereta bertingkat untuk kilang sedia ada di Johor.

KGB berkata, kontrak itu bernilai kira-kira RM114 juta, tertakluk kepada jumlah sebenar kerja yang dibuat, bergantung kepada variasi tempahan, opsyen skop dan nilai kejuruteraan.

“Kerja itu dijadualkan bermula bulan ini dan dijangka akan siap menjelang Disember 2023,” katanya.

KGB berkata, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan tahun kewangan 2023.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KGB, Raymond Gan berkata, selain pasaran luar negara, syarikat itu terus melihat peluang yang besar di Malaysia memandangkan negara ini kekal destinasi pelaburan bagi firma elektrik dan elektronik antarabangsa.

“Sementara itu, jumlah tempahan dalam tangan kami terus meningkat ketika pasukan syarikat fokus untuk mendapatkan lebih banyak kontrak, terutama projek penulenan ultra-tinggi di Singapura yang mewakili sebahagian besar nilai tender.

“Tempahan sedia ada kami, ditambah dengan jangkaan perolehan kontrak baharu, meletakkan prestasi kewangan syarikat berada dalam kedudukan yang baik untuk baki tahun ini,” katanya.

Termasuk kontrak terkini yang dimenanginya itu, KGB memperoleh tempahan baharu bernilai RM700 juta setakat tahun ini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kontrak dalam tangan KGB mencecah RM1.6 bilion setakat pertengahan bulan ini.

Sumber: Berita Harian

KGB dapat kontrak bina kemudahan semikonduktor


Content Type:

Duration:

Syarikat semikonduktor, TF AMD Microelectronics (Penang) Sdn Bhd menjangkakan kilang pembuatannya bernilai RM2 bilion di Pulau Pinang akan siap pada suku pertama tahun depan.

Pengarah Urusan merangkap Naib Presiden Korporatnya, Neoh Soon Ee, berkata kilang baharu di Taman Perindustrian Batu Kawan itu adalah yang kedua di negeri itu dan dijangka mewujudkan lebih daripada 3,000 pekerjaan baharu dalam bidang kejuruteraan semikonduktor maju, reka bentuk dan teknologi pemprosesan bagi penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Kemudahan baharu seluas 1.5 juta kaki persegi (0.139 juta meter persegi) dan di kawasan kira-kira 14 ekar (5.66 hektar) itu akan mengeluarkan teknologi litar bersepadu serba maju.

“Apabila siap kelak, ini akan menjadikan kapasiti pembuatan syarikat secara keseluruhannya mencecah lebih 2.3 juta kaki persegi (0.21 juta meter persegi),” katanya pada sidang media selepas mengumumkan rancangan pelaburan itu di sini, hari ini.

TF AMD Microelectronics adalah sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2016 oleh syarikat China, TongFu Microelectronics dan Advanced Micro Devices Inc (AMD) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Bendahari AMD, Datuk Devinder Kumar, berkata AMD telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan dalam tempoh beberapa tahun ini.

Malah, katanya, TF-AMD telah berperanan penting sebagai pembekal strategik dan rakan kongsi dalam menyokong pertumbuhan syarikat itu.

Mengulas masalah kekurangan bekalan cip di peringkat global, beliau berkata ini menyebabkan kesukaran menampung permintaan, khususnya melibatkan pengkomputeran maju yang turut disertai oleh AMD.

“Permintaan masih kukuh kerana keperluan bagi pengkomputeran global terus berkembang. Saya berharap pelaburan kami ini sedikit sebanyak dapat membantu dari segi bekalan itu dan dapat selesai dalam tempoh setahun atau sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata Malaysia masih kekal sebagai destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi serta perkhidmatan global di Asia.

Menurutnya, keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia juga terus berkembang berikutan negara ini kekal sebagai antara ekosistem paling komprehensif di rantau ini serta bagi industri elektrikal dan elektronik (E&E) dan jentera dan peralatan (M&E), sekali gus menjadikannya sebagai tapak tunggal terbesar pilihan bagi firma-firma semikonduktor luar pesisir.

“Kami akan mengumumkan prestasi pelaburan suku pertama bagi Malaysia dalam beberapa hari lagi. Ia membabitkan angka yang baik, khususnya bagi sektor E&E.

“Namun, sukar sebenarnya untuk mencapai angka menyamai suku sama tahun lepas yang menyaksikan kami meluluskan projek besar bernilai RM42.2 bilion,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan CEO InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian.

Sumber: Bernama

Kilang RM2 bilion TF AMD siap tahun depan


Content Type:

Duration:

Malaysia perlu melaksanakan dasar baharu untuk menangani pelbagai isu mengenai kenderaan elektrik (EV) kerana sektor itu semakin berkembang pesat di negara ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata dengan penggunaan EV yang semakin berleluasa di seluruh dunia, semestinya negara ini juga tidak terkecuali daripada arus pembangunan teknologi itu.

“Kita memerlukan ekosistem mencukupi yang akan menyokong penggunaan EV pada masa hadapan kerana pada masa ini, kita kekurangan infrastruktur bagi menyokong teknologi berkenaan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Hantaran itu turut memaparkan Wee menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Alpha ESS Co Ltd Alfred Wang, dengan kedua-dua mereka bertukar pandangan mengenai pembangunan EV. Alpha ESS adalah penyelesaian storan tenaga global dan pembekal perkhidmatan.

Turut hadir ialah Naib Presiden dan Pengasas Bersama Alpha ESS Zoe Zhang dan Pengurus Besar di Malaysia Arthur Liu.

Wee berkata seiring mencapai matlamat pengangkutan hijau, sudah tiba masanya untuk negara ini menjalankan kajian mendalam mengenai rancangan pelaksanaan memperkenalkan lebih banyak stesen pengecasan di tempat awam termasuk pusat beli-belah dan lebuh raya, serta mencari penyelesaian terhadap pelupusan bateri lama.

Sumber: Bernama

Dasar baharu perlu untuk rancakkan industri berkaitan EV di Malaysia


Content Type:

Duration:

Kerajaan bersetuju melaksanakan beberapa perkara bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang serius dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini antara lain bersetuju melaksanakan ‘Program Train and Place untuk Jurutera dan Juruteknik’ kepada masing-masing 1,000 jurutera dan juruteknik.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju memperbaiki dan mempercepat mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Sumber Manusia akan menyelaras dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia untuk segera menangani isu kekurangan tenaga kerja ini.

“Kerajaan komited terhadap kajian berdaya maju dan berpotensi dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) akan terus berusaha memodenkan peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjakkan produktiviti dan daya saing negara.

Tegasnya, mesyuarat turut bersetuju memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua kementerian, agensi Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta persatuan perniagaan.

“Mesyuarat juga bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding enam hingga 12 bulan sebelum ini.

“Temu duga pekerja asing akan dilaksanakan di negeri berbanding hanya di pusat sehenti (OSC) Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya.

“Kerajaan akan memperkasakan OSC yang membabitkan semua kementerian dan agensi berkaitan proses kemasukan pekerja asing,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Kekurangan tenaga kerja mahir sektor E&E ditangani


Content Type:

Duration:

Hong Seng Consolidated Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan EoCell Inc (EoCell) untuk membangunkan hab pembuatan bateri kenderaan elektrik (EV) dan penyelesaian simpanan tenaga (ESS).

Kenyataan bersama oleh kedua-dua syarikat itu pada hari ini berkata Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai untuk meningkatkan pengeluaran bateri EV dan sektor ESS bagi pasaran rantau Asia Tenggara yang turut dibekalkan kepada pengilang, pemasang dan pengguna EV.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Seng, Datuk Seri Teoh Hai Hin berkata tugas utama syarikat itu termasuklah membantu mengenal pasti dan mencadangkan lokasi yang sesuai untuk tapak projek, berunding dan berhubung dengan kerajaan untuk mendapatkan insentif dan kebenaran yang diperlukan.

“Pasaran penyimpanan tenaga global mempunyai prospek yang sangat cerah bernilai AS$10.37 bilion pada 2020 dan diramal mencecah US$37.06 bilion menjelang 2027.

“Ini diterjemahkan kepada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 19.9 peratus antara 2022 dan 2027 dan segmen bateri dijangka menyumbang bahagian terbesar dalam pasaran penyimpanan tenaga,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EoCell, Datuk Michael Loh berkata syarikat itu dijangka menyediakan lesen dan teknologi pembuatan untuk bateri EV, industri yang berkaitan serta pengetahuan teknologi serta kepakaran dalam reka bentuk dan pemasangan barisan pengeluaran bateri.

“Kami percaya Hong Seng bersedia untuk menjadi salah satu pengeluar bateri terkemuka di Asia Tenggara dan teruja untuk bekerjasama dengan mereka bagi membangunkan bateri terbaik dalam kelas generasi pertama mereka.

“Ia juga bersinergi dengan inisiatif tenaga bersih Malaysia,” tambahnya.

MoU itu adalah kenyataan tidak terikat tentang niat semasa mereka dan dalam tempoh 90 hari akan datang, tertakluk kepada rundingan perjanjian muktamad yang boleh diterima bersama, pihak-pihak yang terbabit berhasrat untuk memeterai perjanjian usaha sama dan menubuhkan syarikat usaha sama baharu.

EoCell, sebuah syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley, ialah syarikat penyelidikan dan teknologi yang khusus dalam reka bentuk dan pembangunan bahan anod nano-silikon bertenaga tinggi dan teknologi elektron tidak mudah terbakar untuk silikon termaju dan bateri pepejal.

Sumber: Bernama

Hong Seng, EoCell bangunkan hub bateri EV, ESS


Content Type:

Duration:

Nextgreen Global Bhd melabur RM162 juta bagi membina tiga bangunan untuk mengilang tisu, makanan haiwan dan baja di Green Technology Park (GTP) Pekan, Pahang.

Dari segi pengeluaran, kilang pertama dijangka menghasilkan 10,000 tan metrik tisu, manakala dua kilang lagi akan mengeluarkan 30,000 tan metrik makanan haiwan dan 30,000 tan metrik baja organik.

Kilang tisu merangkumi pelaburan sebanyak RM80 juta, manakala kilang makanan haiwan dan kilang baja masing-masing membabitkan pelaburan RM50 juta dan RM32 juta.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri berharap dengan adanya pelaburan daripada Nextgreen itu dapat menarik lebih banyak pelabur ke arah projek berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) bagi pembangunan negeri Pahang yang mampan.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam memudahcara urusan pelaburan bagi mencapai kejayaan di Pahang.

“Melalui pelaburan ini, kerajaan negeri berharap dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan seterusnya meningkatkan ekonomi individu dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau sebelum itu menyempurnakan majlis pecah tanah kilang Fasa 1B Nextgreen.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, berkata industri pulpa dan kertas di Malaysia sedang memacu ke arah penggunaan tandan buah kosong daripada kelapa sawit kerana ia menyediakan bahan mentah yang banyak.

Katanya, dalam tempoh lima tahun lalu antara 2017 hingga 2021,MIDA telah

meluluskan 48 projek berkaitan biojisim dengan jumlah pelaburan RM1.24 bilion.

“MIDA akan terus memberi khidmat fasilitasi kepada pihak industri, seperti Nextgreen dalam merealisasikan pelaburan mampan dan inklusif yang akan mewujudkan rantaian industri baharu, limpahan yang positif serta pekerjaan bernilai tinggi selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA).

“MIDA berharap lebih ramai lagi pemain industri akan turut serta menghasilkan produk berasaskan bio yang bernilai lebih tinggi, selain daripada mengeksport bahan mentah sahaja.

“Ini dilihat sebagai salah satu jalan penyelesaian dalam menanggani isu perubahan iklim dan juga menggalakkan pembangunan dan aktiviti sosio-ekonomi luar bandar,” katanya.

Sempena majlis pecah tanah, turut diadakan majlis memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Nextgreen dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam usaha membangunkan industri pertanian negara yang bersifat hijau, lestari dan mesra alam sekitar.

MoU itu dimeterai oleh Pengarah Urusan Nextgreen, Datuk Lim Thiam Huat dan Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob.

Antara bidang kerjasama strategik yang dimeterai merangkumi pengeluaran baja organik, makanan haiwan mesra alam dan juga bidang pelaburan yang strategik dan berdaya maju.

Sumber: Berita Harian

Nextgreen labur RM162 juta bina kilang di Pahang


Content Type:

Duration:

Pemain industri getah perlu mempelbagaikan operasi ke segmen bukan perubatan untuk terus menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negara pada masa depan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin berkata semasa pandemik Covid-19, Malaysia muncul sebagai antara pengeksport utama global sarung tangan getah perubatan berikutan keupayaan negara untuk menampung lonjakan permintaan.

“Semasa tempoh kemuncak Covid-19, komoditi kita mencatatkan prestasi baik, sama ada minyak sawit, getah, kayu, lada dan lain-lain. Pengeluaran sarung tangan getah kita menjadi nombor satu dalam negara disebabkan pandemik.

“Tetapi sekarang dengan pandemik yang semakin mereda, mungkin kita boleh pelbagaikannya sedikit dan beralih ke segmen bukan perubatan,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis pelancaran Pembiayaan Global bagi Inovasi Getah (GFRI), di sini, hari ini

GFRI yang bertemakan “Memupuk Idea untuk Industri Getah Secara Global” merupakan inisitatif Majlis Getah Malaysia (MRC) bagi mewujudkan ekosistem yang lengkap untuk menyokong pembangunan industri getah dalam bidang yang berkaitan, seperti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Zuraida berkata MRC GFRI menyediakan dana permulaan berjumlah RM10 juta yang akan dianugerahkan sebagai dana penyelidikan penuh.

“Dana penyelidikan ini terbuka kepada semua penyelidik tempatan dan luar negara dari pelbagai institusi penyelidikan awam dan swasta, universiti, institusi pengajian tinggi dan syarikat yang berpangkalan di dalam dan luar Malaysia,“ katanya.

Menurutnya, satu Jawatankuasa Khas yang terdiri daripada pakar industri dan teknikal dari sektor awam dan swasta telah ditubuhkan untuk menjalankan penilaian teknikal dan kewangan ke atas kertas cadangan penyelidikan yang menepati keperluan program pembiayaan.

Zuraida berkata objektif utama GFRI adalah untuk menggalakkan penjanaan idea, inovasi dan ciptaan bagi produk dan teknologi getah dengan daya pengkomersialan yang tinggi untuk menarik pelaburan dalam industri getah Malaysia.

Beliau berkata produk getah Malaysia kini dieksport ke 189 buah negara di seluruh dunia dengan kadar eksport meningkat sebanyak 50.6 peratus daripada RM40.1 bilion pada 2020 kepada RM61.7 bilion pada tahun 2021.

“Industri, universiti, dan institusi penyelidikan merupakan pusat minda terbaik negara yang memiliki kumpulan pakar dari pelbagai bidang. Oleh itu, para penyelidik dari pelbagai organisasi memainkan peranan penting dalam menjana inovasi yang boleh menyumbang kepada kemakmuran ekonomi.

“Dalam hal ini, Malaysia boleh menggunakan kepakaran teknikal dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun yang berpotensi memacu pembangunan teknologi yang pesat,“ katanya.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus menyokong inovasi pembangunan produk getah yang berpotensi memacu pertumbuhan ekonomi negara selain komited dalam memastikan agar industri getah terus kekal berdaya saing di peringkat pasaran global.

Sumber: Bernama

Zuraida: Pemain industri getah perlu pelbagai ke segmen bukan perubatan untuk kekal relevan


Content Type:

Duration:

Kementerian Pengangkutan mahu lebih banyak syarikat tempatan dan luar negara merebut peluang mengembangkan ekosistem serta industri pesawat laut di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ia penting kerana ketika ini Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang meneliti untuk pembinaan pelabuhan kapal terbang laut pertama di Pengerang, Johor oleh sebuah syarikat swasta.

Beliau berkata, kementerian juga menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri penerbangan di negara ini.

“Dengan langkah yang betul, Malaysia boleh turut mengambil bahagian dalam pasaran ini sekali gus dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baharu dalam industri pesawat laut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Pandangan itu dikongsi Ka Siong selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Delta Aerospace Sdn. Bhd. (Delta Aeorospace) mengenai perkembangan pesawat laut pertama yang akan dikilangkan sepenuhnya di Malaysia.

Katanya, pesawat laut dikenali sebagai LA-8 itu kini dalam proses memohon pensijilan teknikal yang diperlukan.

Ka Siong berkata, jika semuanya berjalan lancar, Delta Aeorospace akan layak untuk memohon kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) di Amerika Syarikat melalui Perjanjian Keselamatan Penerbangan Dua Hala (BASA) yang disediakan antara CAAM dan FAA sejak 1998.

“Saya menegaskan bahawa pesawat laut mesti memenuhi semua keperluan kawal selia CAAM, terutama untuk mematuhi peraturan mengenai pesawat laut. Saya difahamkan, pesawat amfibia yang digelar LA-8 ini menarik minat beberapa pihak untuk mendapatkan hak pengedaran di benua Amerika.

“Model pesawat laut ini boleh digunakan untuk operasi menyelamat, rondaan maritim, pelancongan dan juga untuk tujuan aplikasi ketenteraan,” katanya.

Sumber: Utusan

Rebut peluang industri pesawat laut


Content Type:

Duration:

Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank, mengekalkan unjuran bahawa aktiviti pembuatan Malaysia terus berada di landasan pemulihan ketika negara beralih ke fasa endemik biarpun prestasinya agak statik pada Mei, 2022.

Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (PMI) Malaysia pada Mei susut kepada 50.1 berbanding 51.6 pada April, sekali gus menjadi paras terendah dalam tempoh dua bulan.

“Bagaimanapun, unjuran pertumbuhan kami masih terdedah kepada beberapa risiko penurunan, terutamanya susulan dasar China yang ketat dalam membendung COVID-19 dan krisis Rusia-Ukraine yang menjejaskan rantaian bekalan global, menaikkan inflasi serta harga komodii.

“Namun, impak tersebut dijangka diimbangi oleh sokongan dasar serta eksport Malaysia yang pelbagai dan permintaan kukuh daripada rakan dagang utama.

“Berikutan itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2022 pada 5.0 hingga 5.5 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Sementara itu mengulas PMI bagi Mei 2022, MIDF Research yang juga cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank berkata aktiviti sektor pembuatan tersebut secara amnya tidak banyak berubah daripada bulan sebelumnya apabila angkanya susut kepada 50.1, kebanyakannya disebabkan oleh penurunan pesanan baharu.

Menurutnya, kalangan pengilang memberi alasan kenaikan harga serta kekurangan bekalan sebagai faktor yang menjejaskan permintaan dan kapasiti produktif mereka.

Berikutan keadaan itu, mereka mengurangkan jumlah pengeluaran bagi bulan kelima berturut-turut.

Pada masa sama, MIDF berkata penggajian sektor pembuatan juga menyederhana di tengah-tengah cabaran berterusan untuk menggaji pekerja asing.

Ia turut menekankan bahawa gangguan rantaian bekalan turut menjejaskan firma pengeluar barangan dengan sekatan pergerakan di China memburukkan lagi kekurangan bahan mentah serta kapasiti pengangkutan yang terhad.

Dari sudut positif, MIDF berkata pengeluar menjangkakan prospek bertambah baik dengan kelonggaran sekatan dan sebarang pengakhiran pandemik akan mengundang peningkatan permintaan serta persekitaran bekalan yang positif.

“Bagaimanapun, kenaikan kos dan kekangan bekalan akan terus menjejaskan perniagaan tempatan serta berpotensi melonjakkan harga,” katanya. 

Sumber: Bernama

Aktiviti pembuatan Malaysia dijangka kekal di landasan pemulihan


Content Type:

Duration:

Pelaburan Insulet Corporation bernilai kira-kira US$200 juta di Johor akan membawa limpahan positif termasuk penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi dalam bidang teknologi tinggi, program pembangunan vendor tempatan strategik dan lain-lain.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelaburan yang dicadangkan syarikat itu adalah seiring dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita akan terus mempertingkatkan infrastruktur yang diperlukan untuk Malaysia menjadi ‘Naungan Bakat’, memacu perniagaan dan inovasi di Asia dan dunia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada Khamis.

Berlandaskan RMK12, industri peralatan perubatan akan dipacu menjadi antara industri penting yang akan mendorong Malaysia berada dalam trajektori teknologi tinggi dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menumpukan usaha menarik pelaburan asing berkualiti ke dalam Malaysia dengan penghebatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta teknologi baharu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman berkata kemasukan Insulet ke Malaysia merupakan bukti daya tarikan negara dalam membawa masuk pembuat produk peralatan perubatan premium dan berteknologi tinggi.

“Ia konsisten dengan aspirasi kita untuk menjadikan negara sebagai hab pembuatan peralatan perubatan serantau untuk memenuhi keperluan ASEAN serta bahagian lain di dunia. Kita mengalu-alukan pengembangan global Insulet dan penyertaan tambahannya dalam ekosistem industri peralatan perubatan Malaysia yang terus berkembang,” katanya.

Menurut MIDA, Malaysia berada di kedudukan baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peralatan perubatan di Asia.

Pada masa ini Malaysia menempatkan lebih 200 pembuat, dengan lebih 30 syarikat multinasional peralatan perubatan menghasilkan peralatan perubatan bernilai tambah tinggi.

“Pembuat peringkat kedua dan ketiga alat ganti dan komponen peralatan perubatan telah meningkatkan peluang untuk vendor tempatan disepadukan kepada rantaian bekalan global industri ini,” jelas agensi itu.

Terdahulu hari ini, Insulet Corp iaitu syarikat peralatan perubatan berpangkalan di Amerika Syarikat dan beribu pejabat di Acton, Massachusetts, mengadakan majlis pecah tanah di Gelang Patah, kira-kira 30 minit dari bandar raya Johor Bahru, bagi kemudahan pembuatan baharunya untuk menghasilkan Sistem Pengurusan Insulin Omnipod.

Kemudahan pembuatan baharu itu akan mendorong peningkatan kapasiti pembuatan sedia ada Insulet di Amerika Syarikat dan China.

Sumber: Bernama

Pelaburan Insulet di Johor akan bawa limpahan positif – Azmin


Content Type:

Duration:

Insulet Corporation, syarikat peranti perubatan berpangkalan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS) melabur AS$200 juta (RM876.34 juta) bagi membangunkan kilang pengeluaran Sistem Pengurusan Insulin Omnipod di Gelang Patah, Johor.

Menjadi antara kilang pengeluaran baharu bagi peranti berkenaan, pengembangan perniagaan Insulet bakal mengembangkan kapasiti pengeluaran sedia ada di AS dan China.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pelaburan terbaharu itu adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menjadikan peranti perubatan sebagai antara industri utama yang memacu negara kepada trajektori teknologi tinggi.

Katanya, pelaburan Insulet itu juga adalah selaras dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang memberi tumpuan untuk menarik pelaburan asing berkualiti ke Malaysia membabitkan teknologi baharu serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kerajaan mengiktiraf syarikat yang meletakkan nilai tinggi terhadap bakat. Oleh itu, kami menjangka limpahan positif daripada usaha Insulet, termasuk penciptaan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat Malaysia dalam bidang berteknologi tinggi dan program pembangunan vendor tempatan yang strategik.

“Ia terutama membabitkan segmen industri sokongan kejuruteraan, kerjasama universiti serta latihan dan program peningkatan kemahiran untuk tenaga kerja tempatan.

“Kami akan terus memperkukuhkan infrastruktur yang diperlukan untuk menjadikan Malaysia sebagai ‘Pusat Bakat’ yang memacu perniagaan dan inovasi di Asia dan dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Majlis pecah tanah pembangunan kilang pengeluaran Insulet dekat Gelang Patah disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Turut hadir, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Operasi Insulet, Charles Alpuche; dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman.

Pelaburan Insulet telah dibincangkan semasa Misi Perdagangan dan Pelaburan ke AS yang diketuai Mohamed Azmin termasuk pertemuan dengan wakil Insulet di Washington DC.

Sementara itu, Arham berkata, kemasukan pelaburan Insulet membuktikan daya tarikan Malaysia dalam membawa masuk pengeluar produk peranti perubatan premium dan berteknologi tinggi.

Katanya, ia selaras dengan aspirasi MIDA untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan peranti perubatan serantau dan yang akan memberi sumbangan kepada ASEAN dan dunia.

“Kami mengalu-alukan pengembangan global operasi Insulet dan tambahan kepada ekosistem industri peranti perubatan negara yang sentiasa berkembang.

“Kami berharap Insulet dapat membuka peluang perniagaan baharu untuk pemindahan teknologi dan mengintegrasikan vendor tempatan ke rangkaian bekalan globalnya,” katanya.

Mengulas mengenai pengembangan Insulet, Alpuche berkata, Johor menawarkan lokasi strategik di rantau ASEAN dengan akses yang sangat baik kepada pelabuhan selain memiliki tenaga kerja berkelayakan bagi melancarkan proses pengeluaran syarikat.

“Kami didorong oleh misi untuk meningkatkan kehidupan penghidap diabetes di seluruh dunia. Itulah sebabnya keutamaan kami adalah untuk memastikan pelanggan mempunyai akses berterusan kepada produk Omnipod,” katanya.

Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi hab pembuatan bagi industri peranti perubatan di Asia.

Pada masa ini, Malaysia menempatkan lebih 200 pengeluar, dengan lebih 30 syarikat multinasional (MNC) peranti perubatan mengeluarkan peranti perubatan bernilai tambah tinggi.

Untuk 2021 sahaja, MIDA meluluskan 38 projek pembuatan bernilai RM7.68 bilion (AS$1.84 bilion), yang dijangka mewujudkan 12,498 peluang pekerjaan kepada negara.

Sumber: Berita Harian

Insulet labur RM876 juta bina kilang di Johor


Content Type:

Duration:

Toyoda Trike Inc, pembuat dan pengeluar kenderaan elektrik dan motosikal elektrik Jepun, akan bekerjasama dengan Graphjet Technology Sdn Bhd untuk mendapatkan bekalan grafit dan grafin bagi pengeluaran basikal elektriknya, kata Toyoda Trike dalam kenyataan hari ini.

Graphjet menukar cangkerang isirung sawit kepada grafit dan grafin dan disebut-sebut sebagai satu-satunya syarikat yang mempunyai keupayaan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Toyoda Trike Toyoda Misako berkata Graphjet akan menjadi pembekal bahan mentah utama untuk pengeluaran basikal elektriknya.

Toyoda Trike ialah sebuah syarikat persendirian di Jepun yang mengkhususkan dalam penyelesaian mobiliti neutral karbon seperti kenderaan elektrik dan motosikal.

Pemegang saham terbesarnya ialah keluarga Toyoda, iaitu generasi keempat pembuat kereta Toyota Corporation. Bersama-sama dengan Asia Development Capital Co. Ltd (ADC) yang tersenarai di Tokyo dan Toyota Corporation, mereka memiliki lebih daripada 80 peratus pegangan dalam Toyoda Trike.

Ketua Pegawai Eksekutif ADC Anselm Wong berkata: “Bahan mentah utama seperti grafin dan grafit adalah penting dalam pengeluaran bateri yang tahan lama. Dengan permintaan yang semakin meningkat untuk kenderaan elektrik dan basikal elektrik, kami perlu bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan bekalan bahan mentah ini tidak terganggu.”

Grafin dan grafit turut digunakan untuk membuat komponen-komponen lain basikal elektrik selain daripada bateri.

Pengarah Urusan Graphjet Jay Aw berkata perkongsian itu akan membantu mempercepatkan penggunaan penyelesaian mobiliti neutral karbon di Malaysia dan Asia Tenggara kerana rancangan itu adalah untuk memasarkan basikal elektrik di Malaysia dan bahagian lain di Asia Tenggara.

“Ini memberi kami peluang untuk mengembangkan kehadiran kami dalam ruang kenderaan elektrik, dan berpotensi dalam munculnya era baharu bateri tahan lama,” kata Aw dalam kenyataan itu.

Memandangkan kepentingan bahan mentah utama seperti grafin dan grafit, Graphjet akan memastikan kesesakan logistik dan gangguan rantaian bekalan adalah minimum.

Sumber: Bernama

Graphjet jadi pembekal utama bahan mentah basikal elektrik Toyoda


Content Type:

Duration:

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan perbincangan, hari ini, untuk menerokai potensi syarikat Micron menambah lagi pelaburan di Malaysia, khususnya untuk segmen lebih maju dalam rantaian nilai semikonduktor.

Perbincangan itu dibuat ketika kunjungan delegasi Micron yang diketuai Naib Presiden Eksekutif Operasi Globalnya, Manish Bhatia, ke Putrajaya susulan lawatan kerja Ismail Sabri ke Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

“Alhamdulillah, pelabur-pelabur asing semakin yakin untuk terus melabur di Malaysia.

“Saya yakin lebih banyak syarikat asing akan terus menanam modal di Malaysia kerana iklim pelaburan yang masih dianggap salah satu terbaik di rantau ini,” kata Perdana Menteri dalam kenyataan melalui Facebook.

Ismail Sabri berkata, Micron kini beroperasi di Malaysia dengan menggaji hampir 4,000 anak tempatan.

Dalam lawatan kerja beliau ke AS sebelum ini, Ismail Sabri bertemu pegawai-pegawai kanan syarikat utama Amerika, termasuk Microsoft, Google, Tesla, Boeing, IBM, Texas Instruments, GE Aviation, Conoco Phillips, Ford, National Instruments, Infineon, Micron dan Insule.

Sumber: Bernama

PM bincang potensi Micron tambah pelaburan di Malaysia


Content Type:

Duration:

Rantaian bekalan semikonduktor yang lebih berdaya tahan dan fleksibel diperlukan untuk Malaysia menghadapi laluan pertumbuhan yang teguh dan mampan, kata Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata menjadikan rantaian bekalan semikonduktor dan elektronik lebih berdaya tahan dalam jangka panjang akan membantu mengurangkan kos dan menjadikan industri lebih cekap dalam menghadapi ketidaktentuan dan turun naik.

“Ini penting berikutan industri sedang melalui tempoh pertumbuhan tinggi pada skala global sepanjang tahun lepas dengan pemain semikonduktor utama membuat pelaburan melebihi US$550 bilion (US$1=RM4.36) dalam kilang fabrikasi,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-50 elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia anjuran Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lim Ban Hong serta Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai.

Mohamed Azmin berkata memorandum kerjasama mengenai daya tahan rantaian bekalan semikonduktor yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat (AS) amat penting kepada Malaysia bahawa negara tidak boleh memberi terlalu banyak penekanan terhadap impak positif daripadanya.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan berbincang dengan industri E&E tidak lama lagi untuk mewujudkan pelan tindakan bagi mencapai matlamat memorandum itu.

Pada 2021, produk E&E bernilai RM455.7 bilion telah dieksport, naik 18 peratus daripada 2020 dan mewakili 36.8 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

MITI baru-baru ini memuktamadkan misi perdagangan dan pelaburan ke AS, meraih pelaburan bernilai RM16.52 bilion termasuk pelaburan strategik daripada syarikat gergasi pembuatan global seperti Texas Instruments dan AMD bernilai RM7.92 bilion, yang dijangka menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan.

Sumber: Bernama

Rantaian bekalan semikonduktor perlu lebih berdaya tahan, fleksibel – Azmin


Content Type:

Duration:

Malaysia memperkukuh kerjasama dengan Jepun melalui penubuhan rangka kerja untuk mewujudkan rantaian bekalan yang mampan bagi industri pesawat di kedua-dua negara.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata kedua-dua negara hari ini bertukar-tukar Memorandum Kerjasama (MOC) berhubung industri pesawat, yang dijangka turut mendorong lebih banyak pertukaran pengetahuan di antara Malaysia dengan Jepun melalui usaha bersama.

“Pejabat Penyelaras Industri Aeroangkasa Kebangsaan (NAICO Malaysia) akan menjadi tumpuan utama kepada inisiatif MOC berkenaan terutamanya dalam kejuruteraan dan reka bentuk, pembuatan aeroangkasa; penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih; penyelidikan dan teknologi; dan pembangunan modal insan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kanan MITI Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertukar MOC itu dengan Menteri Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun Koichi Hagiuda dalam satu majlis yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatnya Fumio Kishida.

Ismail Sabri dalam lawatan kerja rasmi ke Jepun selama enam hari mulai 23 Mei.

Menurut MITI, pelaburan aeroangkasa Jepun di Malaysia pada masa ini tertumpu terutamanya dalam perkhidmatan kejuruteraan dan pembuatan aeroangkasa.

“Dengan adanya MOC tersebut, lebih banyak peluang dalam subsegmen lain boleh diteroka oleh kedua-dua pemain industri aeroangkasa untuk faedah bersama,” katanya.

Kementerian berkata sejak sekian lama Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) telah bekerjasama dengan Persatuan Syarikat-syarikat Aeroangkasa Jepun (SJAC) untuk membangunkan hubungan perindustrian yang kukuh melibatkan penggiat tempatan kedua-dua negara.

Syarikat seperti Spirit AeroSystems Malaysia, SME Aerospace dan Strand Aerospace Malaysia telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat Jepun seperti MHI, Kawasaki, Asahi, Mitsua dan Wada dalam kedua-dua program pesawat barat dan  timur Jepun, katanya.

“Sepanjang pandemik, MAIA dan SJAC telah berkongsi pandangan dan amalan terbaik untuk menangani cabaran dalam rantai bekalan, dan melalui MOC tersebut, peluang yang lebih baik dijangka wujud kepada industri domestik untuk bersandar kepada rantaian bekalan dan nilai yang dipertingkatkan, seiring dengan kerjasama lebih besar daripada pertumbuhan industri pesawat di Malaysia,” katanya.

Satu sasaran utama daripada kerjasama yang dipertingkatkan itu adalah penerimagunaan teknologi maju dan pendigitalan adalah penting untuk mencapai rantaian bekalan yang mampan — yang mana transformasi adalah diperlukan bagi syarikat, pembekal dan penyedia perkhidmatan dan utiliti.

MOC tersebut akan menyokong inisiatif Pusat Kecemerlangan Aeroangkasa Negara Malaysia untuk membangunkan kepakaran tempatan yang mampu mengembangkan ekosistem negara dan menyokong keperluan industri.

MITI berkata MOC tersebut adalah seiring dengan aspirasi yang digariskan di bawah Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 dan Rangka Kerja Industri Aeorangkasa di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Kedua-dua dokumen dasar itu menumpukan perhatian kepada transformasi digital aeroangkasa dan Industri 4.0, pengukuhan ekosistem dan pembangunan modal insan.

Pada 2021, Jepun merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam industri aeroangkasa dengan jumlah perdagangan barang niaga aeroangkasa mencapai RM260.6 juta, menyumbang 1.9 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia dalam industri aeroangkasa.

MITI berkata melalui pelbagai usaha bersepadu dalam melaksanakan strategi pembangunan perindustrian, industri aeroangkasa Malaysia dijangka menyumbang perolehan tahunan berjumlah RM30 bilion dan mencipta 30,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2025.

Sumber: Bernama

Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama dalam industri pesawat


Content Type:

Duration:

SEMICON Southeast Asia (SEMICON SEA 2022), perhimpunan utama rantau ini untuk industri semikonduktor dan mikroelektronik, akan menyediakan platform untuk pemain industri mencari penyelesaian terhadap gangguan rantaian bekalan global.

Presiden Peralatan Semikonduktor & Bahan Antarabangsa (SEMI) Asia Tenggara Linda Tan berkata berlatarkan gangguan rantaian bekalan global, industri semikonduktor perlu meneliti keseluruhan rantaian nilainya dan mencari penyelesaian untuk memastikan daya tahan dan ketangkasan perniagaan dalam menyesuaikan diri dengan keadaan global yang berkembang pesat.

“Sehubungan itu, SEMICON SEA 2022 menyediakan platform yang tepat pada masanya dan relevan kepada pemain industri berkumpul untuk mencari penyelesaian melalui dialog, pertukaran pengetahuan dan perkongsian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah bahawa acara itu akan menghimpunkan pakar dari seluruh dunia yang mengutarakan pandangan terhadap isu paling mendesak dalam industri, termasuk topik yang berkaitan dengan alam sekitar, kemampanan dan daya tahan rantaian bekalan.

Bertemakan ““Forward as One – Building A Resilient and Sustainable Electronics Supply Chain in Southeast Asia”, SEMICON SEA 2022 akan diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE dan Arena dari 21 hingga 23 Jun.

Ia akan menampilkan lebih daripada 250 syarikat dengan 400 gerai dan dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung.

Sementara itu, Penasihat Pelaburan Khas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Seri Lee Kah Choon berkata Pulau Pinang adalah hab elektrik dan elektronik (E&E) terkemuka negara, dengan masing-masing menyumbang lebih 40 peratus dan 50 peratus lebihan dagangan tahunan negara serta eksport elektrik dan elektronik (E&E), sejak 2018.

Beliau berkata negeri itu juga meraikan ulang tahun ke-50 perindustrian pada tahun ini, dan kecemerlangan yang mampan serta ekosistem perindustrian yang mantap menjadikan ia adalah tempat yang sesuai.

InvestPenang, rakan kongsi strategik dalam SEMICON SEA 2022, juga akan menganjurkan beberapa acara selama tiga hari, bagi menunjukkan transformasi Pulau Pinang dan kecekapan teras dalam perjalanan perindustrian selama 50 tahun, kata Lee.

Sumber: Bernama

SEMICON SEA 2022 Jadi platform bagi menangani gangguan rantaian bekalan


Content Type:

Duration:

Sebuah kilang pemprosesan makanan haiwan ternakan berasaskan sumber alternatif iaitu sisa isirung kelapa sawit bernilai kira-kira RM20 juta, bakal beroperasi di Bukit Kor dekat Marang, hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan Perladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata kilang hasil kerjasama pelaburan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri dan syarikat swasta itu dalam proses akhir persiapan membabitkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Perbincangan diadakan secara terperinci dengan pakar formulasi makanan untuk haiwan ternakan supaya kilang ini mampu mengeluarkan alternatif, selain penggunaan jagung bijian dan kacang soya.

“Kita akan gunakan sisa isirung kelapa sawit sebagai bahan utama makanan haiwan ternakan yang akan diproses di kilang ini dan apabila beroperasi kelak, ia dijangka mampu memenuhi 80 peratus permintaan daripada penternak haiwan di negeri ini,” katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu di sini, hari ini.

Terengganu mempunyai sumber sisa isirung kelapa sawit yang banyak kerana terdapat puluhan ribu hektar ladang kelapa sawit milik GLC negeri seperti TDM Berhad dan Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd.

Azman berkata, bagi menggantikan kacang soya sebagai sumber protein makanan haiwan ternakan pula, formulasi digunakan kilang itu nanti ialah campuran ikan tilapia hitam dan ikan baja.

“Ikan tilapia hitam ini jarang dimakan dan harganya pula murah, jadi tiada masalah kerana sumbernya terlalu banyak serta boleh didapati daripada nelayan tempatan, begitu juga dengan ikan baja.

“Harga untuk setiap satu beg (50 kilogram) makanan haiwan ternakan ini mampu dijual lebih rendah iaitu sekitar RM35 saja berbanding RM70 ketika ini dan ia dapat membantu penternak mendapatkan makanan haiwan dengan lebih murah, sekali gus merancakkan lagi industri ternakan di Terengganu,” katanya.

Sumber: Bernama

Kilang makanan haiwan guna isirung sawit di Terengganu


Content Type:

Duration:

Kulim Hi-Tech Park (KHTP) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM20 bilion bermula Januari hingga Mei tahun ini melepasi sasaran pelaburan Kedah sebanyak RM10 billion setahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah itu membabitkan kira-kira lima pelabur yang telah disahkan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA).

Menurutnya, angka itu dijangka terus meningkat dengan lebih banyak penglibatan pelaburan sehingga penghujung tahun ini.

“Bagaimanapun butir mengenai perkara itu tidak dapat diumumkan lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri dan merasmikan penutupan mesyuarat agung tahunan Pusat Pembangunan Kemahiran Industri dan Pengurusan Kedah Darul Aman (Kismec) Kulim, Kedah di sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dan Exco Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi Kedah, merangkap Pengarah KISMEC Sdn Bhd, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan keputusan Ferrotec Holdings Corporation (Ferrotec) menubuhkan fasiliti pembuatan berteknologi tinggi di KHTP akan memacu pembangunan bakat tempatan dan mengukuhkan cadangan nilai Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah Ferrotec adalah bukti kesediaan bakat tempatan, kekuatan serta keupayaan ekosistem pembuatan dan perniagaan negara.

Sumber: Sinar Harian

Kulim Hi-Tech Park tarik pelaburan tertinggi


Content Type:

Duration:

Signature International Bhd sedang memperoleh kepentingan 23.67 peratus atau 120 juta saham dalam Fiamma Holdings Bhd pada harga RM180 juta.

Pembuat kabinet dapur itu berkata pengambilalihan yang dicadangkan akan membolehkan kumpulan tersebut memasuki rangkaian pengedaran serta perkhidmatan peralatan elektrik dan dapur kediaman Fiamma yang luas.

“Cadangan pengambilalihan ini adalah sejajar dengan objektif kumpulan bagi memperoleh kepentingan strategik dalam syarikat yang menguntungkan dalam rantaian pembekalan industri untuk pertumbuhan masa depan,” menurut Pengarah Urusan Chiau Haw Choon dalam satu kenyataan.

“Kami telah meninjau prospek Fiamma yang agak menarik, yang telah menyaksikan permintaan untuk  produknya meningkat secara signifikan disebabkan COVID-19. Pandemik tersebut telah mengakibatkan lonjakan permintaan terhadap produk elektrik kediaman dan dengan itu menambah jualan dalam segmen perdagangan dan perkhidmatan Fiamma.”

Fiamma, yang perniagaan utamanya menjurus kepada peralatan dapur serta peranti kediaman elektrik, memiliki banyak jenama dalaman yang terkemuka seperti Elba, Faber, Rubine, Tuscani dan Haustern.

Ia juga memegang hak pengedaran bagi produk-produk penjagaan kesihatan serta perubatan seperti Braun, Speed ​​Queen, Omron dan Beurer.

Chiau berkata penyatuan kepentingan ekuiti Fiamma dijangka meningkatkan keuntungan dan mengukuhkan kedudukan kewangan Signature.

Urusan transaksi Fiamma dijangka selesai dalam masa empat bulan dari tarikh perjanjian penjualan saham bersyarat. Fiamma pada dasarnya merupakan syarikat pegangan pelaburan, manakala anak -anak syarikatnya terlibat dalam perdagangan serta perkhidmatan, pembangunan hartanah, pegangan pelaburan dan pelaburan hartanah.

Sumber: Bernama

Signature peroleh kepentingan 23.67 peratus dalam Fiamma berharga RM180 juta


Content Type:

Duration:

Keputusan Ferrotec Holdings Corporation (Ferrotec) untuk menubuhkan fasiliti pembuatan berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park akan memacu pembangunan bakat tempatan dan mengukuhkan cadangan nilai Malaysia dalam rantaian bekalan global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata langkah Ferrotec adalah bukti kesediaan bakat tempatan, kekuatan serta keupayaan ekosistem pembuatan dan perniagaan negara.

“Projek ini dijangka mewujudkan kira-kira 250 pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia. Sebagai syarikat peringkat pertama yang membuat pembekalan kepada firma multinasional dalam industri semikonduktor, syarikat itu komited untuk menyediakan latihan kepada pekerja Malaysia di kilang-kilangnya di Jepun dan Amerika Syarikat.

“Pelaburan ini akan membuka kemungkinan yang lebih besar kepada firma global lain di industri untuk menjejaki dan melabur di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata Ferrotec akan mendapat manfaat daripada tarikan kolam bakat Malaysia, persekitaran pelaburan yang positif termasuk kepelbagaian dalam rantaian bekalan yang akan membolehkan syarikat itu meningkatkan penawaran kepada pelanggan globalnya.

MIDA berkata pada 2021, industri jentera dan peralatan (M&E) mencatatkan 48 projek yang diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.67 bilion daripada sumber asing dan domestik.

Projek-projek ini dijangka menjana 2,500 peluang pekerjaan dalam pengurusan, teknikal dan segmen yang berkaitan dengan kejuruteraan.

Sumber: Bernama

Pengembangan Ferrotec akan pacu pembangunan bakat tempatan


Content Type:

Duration:

Firma Ferrotec (USA) Corporation telah menyatakan komitmen untuk membuat pelaburan baharu bernilai lebih RM500 juta di Malaysia bagi membuka kemudahan pembuatan pertamanya di Asia Tenggara.

Pembinaan yang dijangka bermula dalam masa beberapa minggu lagi, merangkumi kawasan seluas 8.13 hektar dengan kilang bersaiz 800,000 kaki persegi (74,322.43 meter persegi) di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, syarikat global yang juga pembekal bahan komponen, sistem ketepatan dan peneraju fabrikasi bahan kuarza bagi industri semikonduktor di serata dunia, juga komited untuk mewujudkan sejumlah 250-500 pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

“Mereka juga memberi komitmen untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia dalam membina rantaian bekalan dan ekosistem industri semikonduktor.

“Ini merupakan satu perkembangan yang cukup positif di mana syarikat tersebut bukan sahaja mahu membawa pelaburan ke Malaysia, tetapi (pada masa sama) ingin melihat Malaysia terus berkembang maju dalam teknologi-teknologi baharu dengan melibatkan syarikat-syarikat tempatan khususnya PKS,” katanya.

Beliau yang kini dalam Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) selama 10 hari di Amerika Syarikat (AS) sejak 8 Mei lepas, berkata demikian kepada Bernama dan stesen TV3 selepas mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ferrotec, Eiji Miyanaga di sini, hari ini.

Azmin juga mencadangkan supaya Ferrotec melatih pekerja Malaysia, khususnya di kemudahan berpengkalan di AS atau Jepun dengan melibatkan penuntut atau warga Malaysia berstatus profesional yang menetap di dua negara tersebut.

Selain daripada Ferrotec, beliau turut bertemu dengan Marco Miller yang juga Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama syarikat peneraju penjejak solar, Nextracker Inc.

Menurutnya, Nextracker akan berusaha meningkatkan produk-produk dari Malaysia untuk menembusi pasaran AS serta di seluruh dunia.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas pertemuan dengan Azmin, Miyanaga berkata, syarikat itu mempunyai kira-kira 40 kilang di peringkat global dan kemudahan di Malaysia adalah platform pembuatan terbesarnya di luar Jepun, China serta AS.

“Kami memilih Malaysia kerana Asia Tenggara, termasuk Malaysia telah menjadi kawasan tumpuan utama bagi rantaian bekalan industri dan ini mendorong kami untuk melabur di rantau tersebut,” katanya.

Mengulas aspek penggajian, beliau berkata, syarikat turut menyasarkan untuk mengambil khidmat 250-500 orang pekerja tempatan dalam tempoh tiga tahun akan datang dengan matlamat untuk membolehkan kemudahan itu dikendali serta diurus oleh rakyat negara ini.

“Syarikat mahu melabur dalam aspek tenaga kerja. Kami maklum usaha (proses) itu akan memakan masa dan bagi peringkat awal, kami akan membawa masuk pegawai dagang untuk jangka masa pendek bagi tujuan pemindahan teknologi serta melatih rakyat tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Miller berkata, syarikat Nextracker kini menjalankan perniagaan bernilai US$100 juta dengan dua syarikat Malaysia dan berhasrat mengembangkan usaha tersebut dalam beberapa tahun akan datang, termasuk menjadikan Malaysia sebagai rakan pembuatan utamanya.

“Kami memilih Malaysia kerana lokasi geografinya serta mempunyai barisan pekerja berkemahiran tinggi dalam menghasilkan produk syarikat ini yang berteknologi tinggi,” katanya.

Menurutnya, Nextracker juga menyasarkan rakan niaga di Malaysia akan melipatgandakan jumlah pekerjanya daripada 400 orang pada masa ini dalam usaha menampung pengembangan perniagaan terbabit.

Sumber: Bernama

Malaysia raih pelaburan baharu Ferrotec bernilai lebih RM500 juta – Azmin Ali


Content Type:

Duration:

Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah memeterai satu perjanjian pembelian sekuriti bagi memperoleh 100 peratus syarikat bahan kimia khusus global berpangkalan di Sweden, Perstorp Holding AB pada 1.54 bilion euro atau RM7.02 bilion.

Perjanjian tersebut telah ditandatangani dengan Financiere Foret S.a.r.l, sebuah syarikat di bawah PAI Partners yang juga firma ekuiti swasta Eropah.

Pembelian itu meletakkan Perstorp Group pada nilai perusahaan sebanyak 2.30 bilion euro atau RM10.5 bilion.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata pengambilalihan bermakna itu merupakan satu pencapaian besar untuk PCG dalam mewujudkan satu platform penting untuk mempelbagaikan usahanya dalam industri bahan kimia khusus.

“Ini juga dapat menjana peluang pertumbuhan baharu yang membolehkan perniagaan kalis masa depan terhadap kitaran serta ketidaktentuan pasaran.

“Perstorp juga adalah pelengkap strategik yang mantap bagi PCG dalam membolehkan kami menyertai pasaran akhir yang menarik seperti (segmen) cat dan salutan, pembinaan, automotif, penjagaan peribadi dan makanan berkhasiat untuk haiwan dengan prospek pertumbuhan yang memberangsangkan.

“Pembelian ini akan turut membantu dari segi mendapatkan pekerja dengan kemahiran penting, serba tahu selain platform teknologi serta saluran pelanggan yang terbukti dapat menangani keperluan pasaran bagi penyelesaian lebih mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PCG juga menyifatkan perjalanannya bagi mencapai matlamat sebagai syarikat kimia pilihan dengan menawarkan penyelesaian inovatif untuk pelanggan, adalah berteraskan strategi jelas yang memperkukuh portfolio petrokimia asasnya dan kepelbagaian aspek derivatif, terutama kimia khusus serta penyelesaiannya, sekali gus dapat memperkukuh pendapatan secara menyeluruh.

Langkah terbaharu ini juga menyusuli usaha pengambilalihan BRB Group pada 2019 — peneraju pengeluar bebas dan perumus silikon, bahan tambahan minyak pelincir dan bahan kimia yang membolehkan PCG menembusi bidang baharu.

“Bagi kami, pembelian Perstorp ini menarik kerana rangkaian produknya yang meluas, jumlah pelanggan yang kukuh serta kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam bahan kimia tertentu yang menjadi pelengkap kepada PCG,” katanya.

Mohd Yusri berkata Perstorp akan turut memberi tambahan sehingga 2.3 juta tan setahun ke atas kapasiti pengeluaran PCG dan menyumbang kira-kira 28 peratus peningkatan hasil untuk PCG berdasarkan keputusan kewangan 2021 selain menyokong matlamat jangka sederhana untuk mewujudkan 30 peratus hasil yang dijana daripada perniagaan bukan tradisional menjelang 2030.

“Pengambilalihan ini akan turut menyumbang ke arah memperkukuh industri kimia khusus Malaysia yang dapat memberi manfaat ekonomi dalam jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perstorp Jan Secher pula yakin terhadap kemampuan kumpulan untuk berkembang dalam fasa pertumbuhan seterusnya dengan berasaskan jenama Petronas yang kukuh di peringkat global serta kekuatan PCG sebagai peneraju industri dan pasaran terkemuka di rantau Asia Pasifik.

Perstorp yang ditubuhkan sejak 140 tahun lepas, terbabit dalam pembangunan penyelesaian mampan yang menumpukan pasaran resin dan salutan, cecair kejuruteraan dan makanan berkhasiat untuk haiwan.

Ia terdapat di 26 negara termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Asia Pasifik yang dibarisi oleh kira-kira 1,500 pekerja.

Beberapa produk Perstorp juga di kedudukan pertama global seperti trimethylolpropane (TMP) dan pentaerythritol (Penta).

Bagi tahun kewangan 2021, Perstorp mencatat perolehan hasil sebanyak 1.33 bilion euro (RM6.54 bilion) manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan sebanyak 248 juta euro (RM1.21 bilion).

Sumber: Bernama

Petronas Chemicals beli firma Sweden Perstorp bernilai RM10.5 bilion


Content Type:

Duration:

Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) sedang membina sebuah kilang bernilai RM300 juta di Puchong, Selangor, yang akan beroperasi untuk menghasilkan insulin dan vaksin halal.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata kilang yang mula dibina sejak dua tahun lepas itu dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2023 dan akan memulakan pemasaran pada awal tahun 2024.

Katanya apabila beroperasi nanti, kilang tersebut akan menghasilkan vaksin COVID-19 serta pelbagai vaksin lain dan insulin dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 100 hingga 300 juta dos dalam tempoh setahun.

“Pandemik lalu mengajar kita agar Malaysia mempunyai jaminan ubat-ubatan. Oleh itu, kita kini dalam perancangan untuk melaksanakannya, selain beberapa perbincangan juga telah diadakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, bekalan vaksin diimport dari luar negara sepenuhnya. Dengan adanya kilang ini nanti, kita mampu untuk membangunkan vaksin sendiri di Malaysia dengan beberapa kerjasama dari Thailand, Korea dan India sekali gus membuatkan kita tidak lagi bergantung kepada negara lain untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan rasmi kunci rumah kepada mangsa kebakaran Che Aziz Che Teh di Kampung Kubang Palas di sini. Turut hadir Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UAC Berhad, BT Gan.

Zulkarnain berkata setakat ini, pihaknya telah membekalkan sebanyak 20.4 juta dos vaksin COVID-19 kepada kerajaan dan kini masih mempunyai baki vaksin COVID-19 sebanyak 14 juta dos.

Katanya pihaknya kini sedang menfokuskan untuk memasarkan bekalan vaksin yang ada untuk pasaran kepada pihak swasta termasuk klinik swasta dan klinik yang berdaftar. 

“Kita juga ingin menyarankan kepada ibu bapa, pihak sekolah supaya membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak untuk ketahanan mereka terhadap wabak ini memandangkan setakat ini hanya kira-kira 30 peratus daripada golongan ini yang mendapatkan suntikan,” katanya.

Mengenai penyerahan kunci rumah itu, Zulkarnain berkata rumah bernilai RM80,000 itu diberikan kepada Che Aziz yang terlibat dalam kejadian kebakaran pada 14 Okt tahun lepas sehingga mencederakannya dan menyebabkan beliau serta keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Sumber: Bernama

Pharmaniaga bina kilang RM300 juta hasilkan insulin, vaksin halal


Content Type:

Duration:

GIIB Holdings Bhd (GIIB), melalui anak syarikat 51 peratus miliknya, GIIB Healthcare Products Sdn Bhd akan memulakan operasi pembuatan sarung tangan lateks di kilangnya di Nilai, Negeri Sembilan.

Dalam satu kenyataan, GIIB berkata kilang itu mempunyai lima barisan mesin celup sarung tangan dengan kapasiti pengeluaran 1.05 bilion keping sarung tangan setahun yang boleh ditukar ganti untuk menghasilkan sarung tangan lateks atau nitril.

Ketua Pegawai Eksekutif/Pengerusi Eksekutif GIIB, Tai Boon Wee, berkata pelancaran kilang itu hari ini menandakan kejayaan kumpulan itu dalam pembuatan sarung tangan.

“Kami telah mendapat pesanan jualan yang kukuh untuk tahun ini, mempamerkan kualiti produk kami dan menjangkakan perniagaan sarung tangan itu akan mula menyumbang kepada keuntungan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2023,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, menghasilkan pada kapasiti penuh dan purata harga jualan semasa kira-kira RM90 bagi setiap 1,000 sarung tangan lateks, dijangkakan sumbangan hasil daripada loji ini boleh mencecah kira-kira RM94 juta setahun.

Sebagai perbandingan, kumpulan itu melaporkan hasil sebanyak RM36.6 juta untuk tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2021.

“Kami menjangkakan eksport sarung tangan getah kekal kukuh dengan pertumbuhan dua angka di peringkat serantau. Secara keseluruhan, kami percaya permintaan untuk sarung tangan akan kekal kukuh berikutan peningkatan kesedaran kesihatan yang disebabkan oleh pandemik.

“Kami optimis bahawa usaha ini akan menyediakan syarikat dengan aliran pendapatan yang mampan dan meningkatkan keuntungan kumpulan pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Bernama

Kilang sarung tangan GIIB di Nilai mula beroperasi


Content Type:

Duration:

Kerajaan Pahang menarik pelaburan asing bernilai RM500 juta melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman bagi membangunkan industri pembuatan karavan di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MoU yang dimeterai ini merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan karavan, eko-sistem pembuatan karavan dan pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik serta Australia.

Menurutnya, pihaknya akan memberikan komitmen sepenuhnya bagi membangunkan industri karavan dan projek itu akan dilaksanakan bermula penghujung tahun ini.

“Taman karavan ini akan beroperasi di lokasi strategik dan pihak kita sedang mengenal pasti kawasan sesuai.

“Kita yakin Pahang boleh dijadikan hub pengeluaran karavan terkemuka di rantau ini kerana negeri ini sememangnya terkenal dengan industri pemasangan kereta jenama terkemuka dunia seperti Mercedes, Volkwagen, dan Isuzu di Taman Perindustrian Automotif, Pekan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak East Coast Economic Region (ECER).

Sehubungan itu, Wan Rosdy menjelaskan pembukaan industri karavan ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik dan kompetitif untuk warga tempatan.

“Saya amat berharap agar MoU ini dapat direalisasikan bukan sahaja bagi membangunkan industri baharu di Pahang tetapi juga menyumbang kepada hasrat kita untuk meningkatkan pelaburan asing ke negeri ini,” katanya.

Sumber: Astro Awani

Pahang tarik pelaburan asing RM500 juta, bangunkan industri karavan


Content Type:

Duration:

wpChatIcon